BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, December 6, 2013

Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu 5

Hafez J.Malim Si Buruh Kasar


Hari-Hari Muda Yang Bertenaga

Dahululah ... ketika hari-hari muda yang penuh dengan kekuatan dan tenaga, kehidupan adalah sesuatu yang sangat indah untuk diteroka. Tiada istilah penat atau beralasan, semuanya dilalui dengan rasa berani tanpa gentar. Ia adalah peraduan-peraduan kehidupan yang diberikan Allah SWT kepada diri saya untuk ditandingi. Biar apa pun keputusan akhirnya ... saya tetap tersenyum kerana itulah lumrah kehidupan yang singkat ini. Sesekali saya menang menghadapi peraduan hidup itu dan sesekali kekalahan adalah sesuatu yang tidak dapat dilarikan. Namun sesuatu yang pasti, kehidupan hari silam yang penuh perjuangan itulah yang menjadikan hidup saya kini lebih bererti. 

Menjengah Usia 20 Tahun

Hampir 10 tahun yang lalu ... ketika usia baru mengetuk angka 20 tahun, saya sebenarnya adalah seorang mahasiswa junior di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim. Melalui detik-detik indah di kampus sememangnya amat menyeronokkan bagi saya. Bertemu dan berkenalan dengan teman-teman baru dari pelbagai negeri memberikan dimensi baru bagi seorang anak kampung yang hanya sesekali keluar dari kepompong kehidupan yang tenang di pekan kecil Bidor. Ia adalah ritual kenangan yang amat bermakna dalam hidup.

Namun itulah, berita kegembiraan kemasukan saya ke universiti turut diiringi oleh berita duka ayah yang diberhentikan kerja oleh pihak majikan. Setelah lebih dari 30 tahun bekerja di kilang yang menjadi lubuk rezeki kami sekeluarga, ayah diberhentikan kerja secara paksa ekoran dari langkah pihak pengurusan yang mahu mengurangkan kos penggajian pekerja. Saya sendiri berperang dengan perasaan sama ada mahu melanjutkan pelajaran atau terus bertahan di Bidor ... bekerja dan membantu keluarga. Ia benar-benar menguji hati dan ketabahan saya.

Kebetulan pula pada ketika itu saya masih bekerja sebagai penjual santan di pasar awam Bidor. Dengan upah yang agak lumayan kehidupan seharian saya sebagai seorang anak muda boleh dikira agak mewah. Ayah tidak merelakan saya tidak menyambung pelajaran ke universiti dan saya akur dengan kehendaknya. Perlu saya kenang sampai akhir hayat saya ialah segala wang perbelanjaan saya untuk masuk ke universiti adalah dari hasil dari wang pampasan pemberhentian kerja ayah. Sampai mati pun saya tidak akan melupakan jasa ayah !.

Masuk ke universiti bermakna saya perlu mengucapkan selamat jalan yang hangat kepada pekerjaan penjual santan di pasar awam Bidor. Saya perlu akur dengan kehendak perjalanan hidup yang telah diaturkan oleh Allah SWT. Maka hilanglah satu episod indah zaman anak muda saya di pasar awam Bidor. Saya kini bukan lagi anak muda yang selekeh dan comot ketika bekerja di pasar. Saya kini anak muda yang segak berbaju kemeja dan bertali leher di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim.



Cuti Semester

Pertama kali berhadapan dengan cuti semester, saya merasa agak jengkel. Duduk di rumah tanpa sebarang hala dan tujuan membuatkan saya runsing. Kesudahannya, saya kembali semula ke pasar Bidor. Bekerja semula sebagai penjual santan. Ia sekurang-kurangnya membantu saya menambahkan duit poket yang makin menipis. Ayah pula setelah diberhentikan kerja lebih selesa duduk-duduk sahaja di rumah. Kewangan keluarga mula merosot pada ketika ini dan kehidupan kami mula tertekan.

Menjelang cuti semester kedua yang panjang, saya mula merasakan tekanan hidup yang amat parah. Dengan kedudukan kewangan diri dan keluarga yang semakin membeban, cuti semester yang belanjutan selama tiga bulan ini benar-benar menyakitkan. Mahu bekerja di pasar, sudah ada pekerja lain yang menggantikan tempat saya. Fikiran menjadi semakin buntu ketika ini.

Waktu itu pula heboh teman-teman di kawasan kejiranan saya ramai yang memohon dan mendapat kerja di kilang Tinex Kaolin yang terletak tidak jauh dari tempat tinggal saya. Melihat kepada keghairahan teman-teman, saya mengajak sahabat karib saya Tashar untuk sama-sama memohon kerja di kilang berkenaan. Kebetulan beliau juga belajar bersama saya di UPSI dan kami juga pernah bekerja sebagai penjual santan di pasar Bidor. Dengan menaiki motor ayah, kami berdua memberanikan diri memohon kerja di kilang berkenaan. Tanpa membawa sebarang dokumen rasmi dan menyembunyikan identiti sebagai mahasiswa, kami berjaya mendapatkan kerja di kilang berkenaan.

Nampaknya sejarah keluarga saya bagaikan berulang kembali. Ayah dahulu bekerja selama lebih 30 tahun di kilang KAOLIN Malaysia. Kini saya pula bekerja di kilang TINEX KAOLIN. Kedua-dua kilang ini beroperasi mengeluarkan sejenis bahan galian bukan mineral yang dikenali sebagai kaolin. Kaolin ini ialah tanah liat halus yang bewarna putih dan ianya digunakan secara meluas dalam industri pembuatan tembikar dan jubin lantai.

Suatu ketika dahulu ayah 
pernah bekerja di kilang Kaolin Malaysia

Saya masih mengingati lagi gaji pokok pertama yang ditawarkan kepada kami ialah RM480 tidak termasuk elaun bekerja lebih dan syif. Walaupun jumlahnya kecil namun ia bagaikan durian runtuh kepada kami berdua. Sekurang-kurangnya dengan gaji sekecil itu kami mampu untuk mengurangkan masalah kewangan diri. Cuma satu sahaja masalah yang bakal timbul, saya dengan Tashar perlu bekerja dalam tiga syif yang berbeza dalam setiap minggu. Inilah kali pertama saya bekerja dalam waktu syif dan pasti ia memberikan pengalaman yang sangat berguna kepada diri. Hati berdebar juga bimbang diri saya tidak mampu melaksanakan kerja yang pertama kali saya lakukan dalam kehidupan. 

Saya dan Tashar ditempatkan di bahagian "Processing Plan". Ia merupakan bahagian utama dan terpenting dalam pembuatan kaolin di kilang ini kerana daripada bahagian inilah kaolin yang diangkut dengan menggunakan jentolak diproses buat pertama kalinya. Saya dan Tashar diperkenalkan dengan ketua bahagian processing plan ini iaitu seorang lelaki berbangsa Cina yang dipanggil Mr. Yean. Orangnya ramah namun tegas. Sebaik sahaja beliau terpandang nama ayah saya terus beliau berkata bahawa beliau mengenali ayah saya. Rupa-rupanya beliau adalah rakan sekerja ayah yang sama-sama diberhentikan kerja di kilang lamanya. Ah ... satu kebetulan yang begitu aneh.

Hidup Kelas Bawahan

Sesuatu yang menarik berkenaan dengan kilang ini ialah keazaman pihak pengurusan yang berusaha untuk memberi pekerjaan hanya kepada rakyat tempatan dan bukannya kepada warga asing. Oleh itu tidak hairanlah pekerja-pekerja disini agak erat hubungan antara satu sama lain walaupun berbeza bangsa, agama dan keturunan. Majoriti pekerja adalah berbangsa Melayu dan India. Terdapat juga pekerja berbangsa Cina dan orang Asal. Kebanyakan dari pekerja-pekerja ini merupakan dari golongan kelas bawahan yang berjuang untuk terus hidup. Bagi orang bujang seperti saya ini, gaji RM600 sebulan mungkin mencukupi untuk menampung hidup seharian. Tapi bagaimana pula dengan mereka yang berkeluarga ?

Walaupun dalam kepayahan tersebut, kami semua tetap gembira dalam bekerja. Sesekali bila bersama teman-teman sekerja timbul juga ayat-ayat ketidakcukupan dalam kehidupan. Namun itulah realiti yang perlu dilalui oleh kelas bawahan seperti kami. Ia seperti sudah alah tegal biasa. Di kilang inilah saya mula melihat apa itu perjuangan kelas pekerja. Dalam diam saya mula mendalami idea sosialisme dan mengapa ayah suatu ketika dahulu menjadi seorang aktivis kelas pekerja walaupun berjiwa nasionalis. Kini saya sudah mula mengalaminya sendiri dan memahami betapa perlunya pembelaan berterusan terhadap kelas pekerja.

Bekerja Dan Terus Bekerja

Saya tidak mengerti tentang skop tugasan saya di kilang ini. Pertama kali melapor diri saya dan Tashar telah diberikan penerangan ringkas berkenaan dengan tugasan yang perlu dilakukan setiap hari. Kerjanya agak mudah namun memerlukan tenaga yang banyak dan menjemukan.

Lucu juga apabila di hari pertama kami berdua telah diberikan kerja memancut air sahaja. Selama lapan jam kerja saya hanyalah memancutkan air sahaja pada sebatian kaolin yang bercampur air yang dialirkan ke dalam sebuah tangki yang besar. Saya dan Tashar tidak henti-henti ketawa apabila memikirkan betapa mudahnya pekerjaan sedemikian. Namun esoknya baru saya sedar ada tugasan lain yang menanti kami dan ianya sungguh memeritkan !.

Esoknya kami berdua dibawa ke satu kawasan yang menjadi nadi utama kepada bahagian plan kami. Ianya terletak di bahagian bawah dan perlu menuruni beberapa tangga besi untuk sampai ke dalamnya. Ruangan berbentuk empat segi itu terletak di bawah sebuah mesin besar yang berpusing membawa tanah kaolin ke atas. Luasnya mungkin dalam anggaran 5 kaki lebar dan 10 kaki panjang. Ketinggiannya pula adalah dalam sekitar 2 meter. Terasa gerun apabila memasukinya. Tambah mengerunkan lagi  ialah "plate" mesin yang berbentuk seperti roda kereta kebal itu berputar betul-betul di atas kepala kami. Tidak tahulah apa akan berlaku jika sekiranya plate itu patah dan menimpa kepala kami. Namun syukurlah, selama tiga bulan bekerja di kilang berkenaan tidak pula terjadi perkara-perkara yang tidak diingini.

Ruangan sempit tempat tugasan saya.
Di bahagian atas ialah papan plate yang berputar.

Rupa-rupanya kami perlu mengangkut tanah kaolin yang jatuh dari mesin ini masuk semula ke dalam laluannya. Hati saya berdebar sendiri dan mula terasa kecut. Berbekalkan sebatang skop kami perlu mengorek dan mengangkut tanah yang terjatuh dalam setiap 2 jam sekali. Biasanya aktiviti mengorek dan mengangkut tanah ini mengambil masa hampir 30 minit ke 40 minit bergantung kepada kecekapan dan kekuatan kita. Pada mulanya saya sendiri terkial-kial untuk melaksanakannya. Namun setelah beberapa hari, ianya menjadi suatu perkara yang amat mudah dan menyenangkan.

Sesuatu yang amat menakutkan ialah sewaktu kami bertugas di bawah mesin berkenaan, jentolak yang membawa tanah kaolin yang belum diproses akan sentiasa memunggahkan tanah kaolin itu kedalam mesin yang sedang berputar itu. Terasa gegaran dan bunyi yang kuat dari atas. Seringkali saya berdoa agar papan plate mesin ini sentiasa kukuh dan tidak patah menimpa kami. Allah SWT sahaja yang mengetahui ketakutan saya ketika itu. Barangkali setelah acapkali berhadapan dengan situasi berkenaan, saya mula menjadi berani dan rasa kerisauan itu hilang sedikit demi sedikit.

Bekerja Malam

Saya tidak pernah bekerja pada waktu malam. Hal ini seterusnya begitu membebankan fikiran saya. Selalunya saya ke tempat kerja dihantar oleh ayah pada awal pagi. Begitu juga jika bekerja pada syif petang. Masalahnya saya seboleh-bolehnya tidak mahu ayah menghantar saya ke tempat kerja pada waktu malam. Tambahan pula lokasi kilang berkenaan terletak dalam kawasan yang agak tersorok. Tidak ada alternatif lain untuk saya melainkan terpaksa juga menerima perkhidmatan ayah untuk menghantar saya ke tempat kerja pada waktu malam.

Syif malam bermula pada jam 11 malam dan berakhir pada jam 7 pagi. Ketika hari pertama saya akan memulakan kerja pada syif malam, hujan turun dengan lebatnya di pertengahan jalan sehingga memaksa ayah berhenti di tepi jalan untuk mengenakan baju hujan. Tidak semena-mena berhenti sebuah motosikal lain berhampiran kami. Sangkaan saya pasti penunggang motosikal itu mahu mengenakan baju hujan. Sangkaan saya meleset apabial penunggang motosikal itu ialah rakan setugas yang membawa jentolak yang saya panggil Arul Kumar. Beliau dengan lembut mengajak saya membonceng bersamanya dan meminta ayah jangan lagi menghantar saya pada waktu malam. Biar sahaja beliau yang menumpangi saya ke kilang. Alangkah indahnya detik itu. Betapa kuatnya hubungan antara kami dalam kelas pekerja. Walaupun berbeza agama, bangsa dan bahasa semua itu bagaikan tidak terasa apabila sama-sama berjuang untuk hidup.

Segelas Kopi Di Tengah Malam

Kopi O panas yang enak

Biasanya apabila bekerja syif malam, saya akan membawa kopi "o" yang penuh dalam termos selain dari air kosong yang sememangnya menjadi kewajipan. Teman-teman sekerja agak jarang membawa air panas. Jadi, kopi "o" panas dari termos saya lah yang menjadi kegilaan ramai. Uniknya, walaupun hanya kopi "o" panas yang ringkas dan sedikit namun apabila dinikmati bersama teman-teman sekerja dalam suasana malam yang dingin dan sepi ianya menjadi begitu enak dan nikmat. Terasa begitu indah dan meriah berehat dan menikmati waktu minum ringkas sambil berbual dan bergurau ketawa. Biasanya subjek yang diperbual memang agak lucah dan melampau. Tetapi itulah hiburan yang kami ada pada ketika itu. Sekurang-kurangnya ia menghilangkan rasa mengantuk.

Bekerja di waktu malam sememangnya menjemukan malahan menakutkan juga. Bahagian kerja saya terletak agak jauh dan tersorok. Biasanya hanya enam orang sahaja yang bertugas di bahagian ini pada setiap malam. Tiga orang di kawasan mesin dan pancutan air, seorang menjadi pembancuh bancuhan kimia dan seorang mandur yang akan membantu kerja-kerja kami. Selain itu terdapat juga seorang pemandu jentolak. Terdapat juga bahagian-bahagian lain di kilang ini yang menjalankan operasinya pada waktu malam. Namun jumlah pekerjanya tidaklah terlalu ramai.

Biasanya kami akan membuat giliran waktu tidur. Setiap orang di antara kami diberi masa selama dua jam untuk tidur secara bergilir-gilir. Walaupun dianggap salah namun ianya bagaikan telah menjadi satu kelaziman yang tidak dapat dibendung oleh pihak pentadbiran. Masing-masing akan mencari lokasi yang paling tersorok untuk tidur bagi mengelakkan ditangkap oleh pihak pentadbiran. Saya sendiri mempunyai lokasi tempat tidur yang agak kondusif dan dilapik oleh kotak-kotak yang tebal. Biasanya, Arul Kumar yang membawa jentolak akan tidur tidak jauh dari saya. Katanya bimbang dipatuk ular.

Jodoh Hari Ini Bermula Di Kilang

Jika tidak mengorek dan mengangkut tanah, biasanya kerja saya banyak dihabiskan dengan memancut air. Kerja ini walaupun mudah namun amat membosankan. Tambahan pula jika bekerja pada waktu malam pasti mata mudah layu dan mengantuk. Syukur juga ketika itu saya sudah memiliki telefon bimbit. Jadi dapat juga saya menghilangkan rasa jemu itu.

Sejujurnya, saya bukanlah lelaki yang mempunyai teman wanita pada ketika itu. Dengan rupa paras yang agak kurang dan ekonomi keluarga yang susah, saya sememangnya tidak langsung terfikir untuk memiliki seorang teman wanita. Tetapi sebagai seorang lelaki, saya tidak boleh lari dari punya rasa ingin memiliki dan dimiliki. Namun sifat pemalu saya mengatasi segalanya. Dan tidak hairanlah, saya sukar untuk mendekati wanita apatah lagi memilikinya.

Seorang teman di UPSI memperkenalkan saya dengan sepupunya yang sedang mengikuti pengajian kejururawatan di sebuah kolej swasta di Selangor. Mulanya dari sekadar berhubung dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas secara iseng-isengan. Lama-kelamaan menjadi suatu yang menyeronokkan pula. Sayangnya, perhubungan secara khidmat pesanan ringkas itu tidak pula menjadikan kami berdua erat sebaliknya hanyalah sebagai teman biasa sahaja. Sehinggalah perhubungan melalui khidmat pesanan ringkas itu terputus lama dan saya sebenarnya sudah menyerah kalah lebih awal.

Akhirnya di suatu malam yang pekat, saya yang ketika itu sudah mengantuk panjang memberanikan diri menghantar khidmat pesanan ringkas kepada gadis tersebut. Alhamdulillah ianya berbalas setelah hampir tiga bulan kami terputus hubungan. Alhamdulillah, bermula dari malam itu akhirnya gadis itu kini telah menjadi isteri saya. Itulah jodoh ketentuan Allah SWT yang diciptaNya untuk saya dalam suasana kerja yang penuh cabaran dan sesungguhnya saya amat bersyukur kerana inilah pilihan yang terbaik dalam hidup saya.

Teman-Teman Sekerja

Bersama Anaz ( kiri ) dan seorang teman yang saya terlupa namanya.

Di kilang ini saya bertemu dan berkenalan dengan pelbagai jenis manusia. Dari yang jujur, mengambil kesempatan, membodek dan pelbagai jenis ragam manusia yang rencam. Semuanya memberikan makna yang tersendiri kepada diri saya. Sebagai manusia yang menjadi kelas pekerja, kehidupan kami semuanya sama. Berjuang untuk meneruskan hidup di bumi Tuhan ini.

Banyak yang namanya telah saya lupa. Antara yang masih saya ingati adalah ketua mandur Mr. Yean, Mandur Mikal, Mandur Shaari Praq, Anaz, Tashar, Manoharan, Arul Kumar dan Maniam. Paling baik dengan saya ialah Maniam. Beliau seorang yang agak kuat berpegang kepada ajaran agama Hindu. Saya amat suka bila melihat beliau menikmati bekalan makanan yang dibawanya setiap hari. Beliau seorang yang agak teratur apabila menikmati hidangan. Daun pisang sentiasa menjadi keutamaan bagi melapik nasi. Kegemaran utamanya ialah kari ayam yang disimpan di dalam sebuah kelalang kaca Nescafe. Sayuranya juga ringkas sesekali ada juga telur dadar. Uniknya sebelum menikmati makanan, beliau akan memastikan persekitarannya bersih. Kari ayam di dalam botol kaca Nescafe itu akan digoncang-goncang terlebih dahulu dengan cermat sebelum dituang ke atas nasi. Saya hanya memandangnya dengan senyuman yang meleret.

Jika tidak menumpang Arul Kumar, saya juga sesekali menumpang Maniam ini untuk ke tempat kerja. Saya memanggilnya "Ayya". Sudah lama tidak bertemu dengannya. Dalam usianya yang mencecah angka 50 tahun ketika itu saya pasti kini beliau sudah berhenti kerja dari kilang berkenaan.

Seorang lagi teman ialah Arokianathan. Suaranya kecil tidak padan dengan tubuhnya yang besar. Beliau membawa jentolak dan gajinya juga agak besar. Seorang lelaki India yang pemurah dan tidak kedekut. Seringkali beliau membelanja kami dengan hidangan ayam KFC jika mempunyai duit lebih ataupun terkena nombor. Saya memanggilnya sebagai "Anney" sahaja. Katanya ia bermaksud abang dalam bahasa Tamil.

Berhenti Kerja

Saya hanya bekerja di kilang ini hanya selama tiga bulan sahaja. Banyak yang saya pelajari selama berada di kilang ini. Betapa bertuahnya bagi mereka yang bekerja dengan kerajaan jika dibandingkan dengan bekerja di kilang ini.Dengan gaji yang kecil kami membeli kehidupan pada harga yang sangat mahal.

Kenangan sebagai seorang buruh kasar

Saya menghantar surat berhenti kerja seminggu sebelum berhenti. Ketika memberikan surat itu kepada Mr. Yean beliau hanya tersenyum dan berkata jangan lagi datang ke kilang itu. Saya tahu beliau bukan bermaksud untuk memarahu saya sebaliknya beliau mahu saya menumpukan perhatian kepada pembelajaran di UPSI dan membela nasib keluarga.

Maniam pula biasa-biasa sahaja namun beliau ada juga menyatakan pasti nanti suasana malam di plan kami akan sunyi tanpa air kopi "o" saya. Beberapa orang teman sekerja juga menyatakan hasrat mahu turut berhenti kerja atas alasan mahu mencari pengalaman baru. Saya hanya mampu menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju dengan hasratnya.

Gaji terakhir yang saya terima ialah sejumlah RM586.30. Slip gaji berkenaan masih saya simpan sehingga kini. Dengan duit gaji terakhir itulah saya berjimat cermat di universiti memandangkan pada semester ketiga duit pinjaman dipotong bagi membayar duit pendahuluan semasa masuk ke universiti dahulu.

Penutup

Walaupun hanya menjadi buruh kasar selama tiga bulan namun ia adalah satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sepanjang usia saya. Disini saya belajar betapa manisnya persahabatan. Disini juga saya belajar menjadi manusia yang berani untuk berterus terang pada seorang yang dicintai.

Tidak perlu berpakaian cantik dan kemas disini. Cukup sahaja dengan topi terbalik, berbaju dan seluar lusuh serta bersepatu kulit. Tangan-tangan kasar disini jauh lebih mulia dari tangan - tangan halus di atas sana yang sibuk dengan politik mereka. Nasib mereka perlu dibela dan bukannya menjadikan mereka sebagai habuan nafsu politik yang tidak berkesudahan.

Sesekali saya menunjukkan gambar-gambar kenangan saya sewaktu bekerja di kilang ini kepada anak-anak murid saya. Kebanyakan dari mereka mentertawakan saya terbahak-bahak. Katanya geli geleman bekerja kotor seperti itu. Saya hanya memandang jauh ke luar. Anak-anak muda kini hanya mahukan kerja yang mudah dan senang tanpa mengira kelayakan sebenar diri mereka. Itulah sebabnya pengangguran semakin menekan di kalangan generasi muda hanya kerana mereka memilih bidang kerja.

Kesudahannya, kebanyakan sektor pekerjaan seperti ini dikuasai oleh orang asing dan kita hanya menghabiskan masa meronggeng menaiki motosikal kesana kemari. Pada saya biarlah pekerjaaan itu kotor dan memeritkan tetapi hasilnya halal dan bererti.

Saya tidak pernah malu untuk menyatakan dahulu saya ialah seorang buruh kasar yang kotor dan comot !