BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, July 31, 2011

Selamat Berpuasa Di Bulan Ramadhan Al-Mubarak



Selamat Datang Bulan Ramadhan Yang Penuh Keberkatan

Saya Hafez J.Malim mengucapkan selamat berpuasa
kepada semua pengunjung yang sudi bertandang ke Blog saya ini.

Semoga beroleh keberkatan di bulan yang mulia ini.

Tuesday, July 26, 2011

Di Tepi Lorong Ini

Sebuah puisi karya Sasterawan Mistik Suhaimi Haji Muhammad. Penerima SEA Write Award Tahun 1995 dan calon sasterawan negara yang terpinggir oleh bijak pandai sastera Malaysia. Sajak yang punya maksud mendalam. Harus berfikir berulang kali untuk mengerti bahasanya. Perasaan saya benar-benar ternoda bila pertama kali membaca sajak ini. Sekadar untuk perkongsian dalam alam fikir, marilah kita sama-sama menikmati sajak ini. 

Diambil dari kumpulan puisi "Simfoni Perjalanan" yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ) pada tahun 1999.


Di Tepi Lorong Ini

Pergilah kau ke tengah medan
pergilah membawa pisau dan pedang
kau akan ditabalkan menjadi 
pahlawan

Aku cukup sahaja di pinggiran ini
dalam cemas yang merangkak
bimbang
mencari YA yang dibuang

Apa yang ku kuperoleh
adalah antara duka dan hina
keduanya silih berganti

Aku harus menerima
keduanya perlu ku kendong
sampai aku menemui YA


Suhaimi Haji Muhammad


foto ihsan ( http://www.flickr.com/photos/arikbaik/ )



Friday, July 15, 2011

Kembara Melihat Pekan - Pekan Lama 2 : Pekan Malim Nawar

Catatan berkenaan pekan-pekan lama di negeri Perak saya teruskan menerusi satu perjalanan menghala ke utara daerah Batang Padang menuju ke Daerah Kampar dan Kinta. Senarai utama yang ada di dalam kepala saya ialah pekan Banir, pekan Malim Nawar, pekan Kota Baharu, pekan Kampung Kepayang, pekan Sungai Siput Selatan dan pekan Chenderiang. Agak berat juga hati saya memandangkan saya hanya bermotosikal sahaja meneroka pekan-pekan ini. Dugaan cuaca dan keselamatan sudah pastilah sentiasa bermain di benak hati saya. Namun syukur Alhamdulillah, perjalanan saya selamat dan berjaya.

Saya tidak dapat mengulas berkenaan dengan pekan Banir. Walaupun terdapat beberapa tinggalan lama di sini, pekan Banir sebenarnya lebih sesuai dikatakan sebagai sebuah penempatan Kampung Baru sahaja. Secara tidak langsung ia terkeluar dari senarai awal pekan-pekan lama untuk saya ulas. Namun demikian hasil tinjauan rambang saya di internet mendapati di pekan Banir satu ketika dahulu terdapat sebuah stesen keretapi. Namun kini stesen keretapi berkenaan telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembangunan projek landasan keretapi berkembar dari Rawang ke Ipoh.

Papan tanda stesen keretapi menunjukkan pernah wujud sebuah 
stesen keretapi di pekan Banir. 

Saya meninggalkan pekan Banir dan meneruskan perjalanan ke bandar Kampar. Saya melintasi Sungai Lesong. Sempat juga saya merakamkan gambar-gambar kenangan di sini. Sungai Lesong bolehlah ditakrifkan sebagai sebuah kampung Melayu. Namun kewujudan barisan rumah kedai kayu di tepi jalannya menarik perhatian saya. Ia kelihatan seperti sebuah pekan koboi Melayu yang unik. Sebuah dewan ( dijadikan TABIKA ) dan sebuah masjid menjadi lambang sebuah penempatan Melayu yang tidak berkembang menjadi sebuah pekan kecil. Sebaliknya ia terus kekal dengan sifat tradisinya sebagai sebuah kampung persisiran jalan raya yang klasik.


Deretan bangunan kedai kayu di Kampung Sungai Lesong


Bolehkah Sungai Lesong ditakrifkan sebagai pekan koboi Melayu ?

Selepas selesai mengambil beberapa gambar di Sungai Lesong saya meneruskan perjalanan saya ke Kampar. Sempat juga saya menyusup masuk ke pekan Mambang Di Awan. Pekan ini nampaknya sudah pesat membangun. Saya memasuki bandar Kampar ketika jam sudah menunjukkan angka tiga. Penerokaan pekan-pekan lama dalam daerah Kampar sudah bermula. Inilah buat kali pertamanya saya meneroka pekan-pekan lama di luar dari daerah Batang Padang. Sasaran utama saya ialah pekan Malim Nawar. Rasanya sudah hampir 6 tahun saya tidak ke pekan ini. Ermmm... mesti banyak yang sudah berubah agaknya.

Selamat datang ke Malim Nawar

Kedudukan Malim Nawar agak unik. Ini adalah kerana kedudukannnya yang terpisah dari jalan utama persekutuan dari Kampar menghala ke Gopeng. Namun demikian, Malim Nawar bukan lah pekan yang sembarangan. Ia adalah sebuah pekan lama yang penuh nilai-nilai kenangannya kepada diri saya. Di pekan inilah, cinta monyet pertama saya tercipta. Saya sendiri tidak tahu bagaimana ia terjadi dan bagaimana saya boleh jatuh hati dengan seorang gadis manis dari Malim Nawar. Tapi itu dululah ... cerita tentang zaman-zaman remaja yang nakal. Dengar ceritanya gadis itu sudah berumah tangga. Nama gadis itu bairlah menjadi rahsia kenangan saya. Saya sendiri sudah terputus khabar dengannya. Namun saya akan kenang  beliau sebagai sebuah pengalaman kedewasaan yang terbaik.

Sewaktu dalam usia remaja, agak rajin saya ke Malim Nawar. Jika tidak berjumpa si gadis pujaan, saya mengikuti sepupu saya berniaga kain di pasar lambaknya. Dahulu pekan Malim Nawar agak klasik. Jika memasuki ke pekannya, kita akan melintasi jalan yang merintangi landasan keretapi . Jalan ini akan ditutup  sebentar jika keretapi lalu. Malahan ketika itu stesen keretapi Malim Nawar juga masih wujud memberikan perkhidmatan kepada penduduknya. Tapi sayang... seperti stesen keretapi Banir, stesen keretapi Malim Nawar juga telah ditutup bagi memberi laluan kepada pembangunan projek landasan berkembar. Satu lagi saksi sejarah dibunuh bagi memberi laluan kepada nilai kemodenan baru.

Stesen Keretapi lama pekan Malim Nawar
Saya juga amat berharap agar laluan keretapi yang merintangi jalan utama ke pekan Malim Nawar masih wujud. Begitu juga dengan bangunan kedai-kedai kayu lama yang pernah saya lihat dahulu. Namun ia bertukar menjadi suatu kesan yang amat kecewa bila melihat perubahan-perubahan baru di pekan ini. Pekan Malim Nawar terputus dua akibat dari pembangunan landasan keretapi berkembar. Kewujudan sebuah jejambat baru yang merintangi landasan keretapi berkenaan mengiyakan perkara ini. Rumah-rumah kedai lama banyak yang sudah tiada. Ini membuatkan saya hanya mampu memandang jauh dan mengenang semula masa lalu. Jarak masa dan usia membuatkan saya menjadi terlalu rindu dengan suasana lama yang pernah bermain di mata.
 Antara bangunan kedai kayu lama yang 
masih tersisa di pekan Malim Nawar

Sunyi petang di Malim Nawar

Sebenarnya jika dilihat sepintas lalu, Malim Nawar sebenarnya sudah berkembang menjadi pekan moden. Kemudahan-kemudahan asas seperti pasar basah moden, stesen minyak dan sebagainya menjadikannya sebuah pekan yang lengkap. Kedudukannya yang berhampiran dengan bandar Kampar pula menyebabkan hampir tiada pejabat-pejabat kerajaan di pekan ini. Namun, kewujudan sebuah pejabat pos membantu penduduk-penduduk tempatan menyelesaikan pelbagai urusan bil dan sebagainya. Pejabat Pos Malim Nawar terletak berhampiran dengan jejambat yang merintangi landasan keretapi. Ia sebuah bangunan yang unik dan klasik. Mujur juga bangunan pejabat pos ini tidak dimakan oleh kemodenan.

Pejabat Pos Malim Nawar .... klasik !!!!

Hasil tinjauan di internet pula, saya mendapati pekan Malim Nawar masih menyimpan beberapa tinggalan sejak dari zaman penjajahan lagi.  Namun demikian, akibat dari masa yang semakin suntuk sukar untuk saya menjejaki tainggalan-tinggalan tersebut. Antaranya ialahsebuah serombong  kilang ''Carbide'' yang dibina oleh pihak Jepun semasa Perang Dunia Kedua yang lalu. Tidak saya tahu dimana lokasinya. Namun demikian rujukan gambar-gambar berkenaan dengan tinggalan perang ini boleh dirujuk di  http://www.panoramio.com.


 Serombong kilang peluru yang dibina oleh pihak Jepun
pada zaman perang dunia kedua di Malim Nawar
( foto ihsan : http://www.panoramio.com )

Saya bergerak meninggalkan pekan Malim Nawar ketika waktu sudah hampir menjejaki jam empat. Sempat juga saya singgah sebentar di stesen minyak untuk mengisi minyak. Ia sebuah stesen minya yang baru. Ketika  saya melalui Kampung Pulai Bergading secara tiba-tiba ingatan lama terhadap gadis manis yang pernah mengisi ruang-ruang hati zaman remaja saya berenang-renang di fikiran. Agaknya apa khabar beliau sekarang .... hehehehe... entahlah ... ada rasa rindu yang halus menyelinap di hati. Biarkan lah ia berlalu .... kini masing-masing punya cerita hidup yang berlainan.

Saya terus menunggang motosikal saya ke bandar Gopeng. Sasaran saya seterusnya ialah pekan Kota Baharu. Apa agaknya yang ada di pekan kelahiran kartunis terkenal Malaysia iaitu Dato Lat itu .... erm... jumpa lagi di catatan perjalanan yang akan datang. Malim Nawar saya tinggalkan sambil mengenang sebuah cerita cinta monyet yang abadi di jiwa !!!!!






Saturday, July 9, 2011

Keretapi Oh Keretapi ....


Tidak tahulah kenapa saya begitu berminat dengan kenderaan ini ketika orang lain mencemuhnya sebagai sesuatu yang tertinggal dek zaman. Saya menganggapnya sebagai satu tinggalan sejarah yang masih terus berbakti tanpa kompromi dengan alasan kemodenan. Keretapi ialah sesuatu yang unik dan penuh dengan nilai-nilai nostalgia kepada pencintanya. Pernah seseorang berkata kepada saya bahawa jika kamu ingin melihat panorama negara yang sebenar-benarnya, maka naiklah keretapi. Sampai sekarang saya masih mengenang kata-katanya sebagai sesuatu yang amat-amat bermakna.

Cuti sekolah baru-baru ini saya ke Gemas sekali lagi bagi meneroka sepenuhnya kawasan stesen keretapi Gemas yang klasik. Ini kunjungan yang kedua dan sudah pastinya saya berharap dapat melihat sendiri keretapi berhenti. Mujur juga ada Azura dan keluarganya di Gemas. Boleh juga saya menumpang bermalam di rumahnya. 

Gemas terletak di Negeri Sembilan dan bersempadan dengan negeri Johor.

Ketika melalui pekan Gemas untuk ke stesen keratapinya, saya dapat melihat betapa pentingnya Gemas dalam lipatan sejarah perkembangan keretapi di negara kita. Pertemuan landasan keretapi antara pantai barat dan pantai timur semenanjung Malaysia berada di sini. Tidak hairanlah jika kita boleh melihat kuarters-kuarters lama pekerja KTMB serta depoh-depoh lama KTMB masih kekal utuh di sini. Walaupun sudah uzur namun saya tahu ia adalah satu catatan sejarah penting yang tidak terbeli oleh wang ringgit.

Jalan masuk ke stesen keretapi Gemas

Secara umumnya, Gemas masih mengekalkan ciri-ciri lamanya. Bangunan kedainya juga masih ada yang kekal lama. Namun begitu Gemas juga agak sibuk dengan aktiviti penduduknya yang berbilang kaum dan keturunan. Banyak peneroka FELDA di sini dan tidak hairanlah jika sepanjang perjalanan ke Gemas kita akan menyaksikan banyak pokok getah dan kelapa sawit menghiasi penglihatan kita. 

Saya ditemani oleh Azura dan dua orang anak buahnya yang lincah ketika kunjungan kali ini.  Anak buahnya yang bernama Tuah masih seperti kunjungan pertama agak lucu dan aktif. Begitu juga dengan Jiha tetap sama seperti dulu senyap dan baik. Namun saya suka akan kedua mereka ini. Sentiasa membuatkan hati saya menjadi senang dan gembira dengan telatah mereka.

Adik Tuah mengejar saya di stesen keretapi Gemas


 Seronok melayan kerenah anak-anak buah

Banyak yang sudah berubah ketika kunjungan saya kali ini. Nun di hadapan stesen keretapi lama ini, projek stesen komuter baru kelihatan semakin hampir untuk disiapkan. Tidak pula saya tahu apa nasibnya stesen lama ini sekiranya stesen baru itu siap kelak. Alhamdulillah, hajat saya dimakbulkan Allah SWT. Ketika sampai ke stesen ini, rupa-rupanya ada keretapi yang berhenti. Hairan Azura melihat saya terlompat-lompat keseronokan melihat keretapi di hadapan mata. Kedua-dua anak buahnya juga turut serta melompat-lompat bersama saya. Hahahahaha.

Platform utama stesen keretapi Gemas

 Pemandangan sekitar platform

Apa yang menarik perhatian saya di stesen ini ialah kewujudan jejambat besi yang masih utuh. Saya yakin sudah pasti ia dibina sejak zaman kolonial lagi. Ketika mula-mula menjejakkan kaki menaikinya, saya agak gementar. Ditambah pula ketika itu keretapi sedang lalu dibawahnya. Terasa bergegar juga. Adik Tuah yang sibuk berlari tadi juga menjadi takut. Lucu juga melihatnya memeluk erat tangan saya.

Jejambat lama merentasi landasan di stesen keretapi Gemas

Duduk dahulu di atas jejambat.
Adik Tuah takut dengan gegaran keretapi lalu di bawahnya.

Memang bertuah betul saya kali ini. Ketika sedang menangkap gambar-gambar keretapi berhenti, saya dipelawa oleh pemandu keretapi itu untuk naik ke atas kepala keretapi tersebut. Ini sudah dikira seperti orang mengantuk disorongkan bantal !!!! saya tidak melepaskan peluang tersebut. Jika diamati lebih dekat, banyak besi pada bahagian keretapi ini sudah uzur atas faktor masa dan zaman. Namun saya tidak dapat nafikan, ianya sebuah jentera yang amat berkuasa. 

Pemandu keretapi yang amat baik

Sempat juga saya berbual-bual sebentar dengan pemandu keretapi ini berkenaan dengan penutupan stesen keretapi Tanjong Pagar di bumi Melayu Temasik pada akhir Jun 2011. Ada nada sebak di sebalik kata-katanya. Saya sendiri juga sebak dengan penutupan stesen keretapi berkenaan. Masakan tidak ia adalah lambang kekuasaan akhir Malaysia di bumi Melayu Temasik. Selama berpuluh-puluh tahun KTMB membelah tanah bumi Melayu Temasik dengan gagahnya tanpa diusik kini ia terpaksa mengalah atas tuntutan zaman dan kehendak pemerintah. 

Di persada dunia... hehehehe

Sedia untuk berlepas

Ia menuju ke selatan membelah bumi Melayu Temasik

sebuah kenderaan yang gagah

Kebetulan sekali pada masa yang sama sebuah lagi keretapi menuju ke utara berselisih dan berhenti di stesen keretapi Gemas. Jadi sudah ada dua keretapi yang dapat saya lihat. Ia sebuah pengalaman yang begitu mengujakan. Pada masa inilah saya dapat melihat bagaimana pekerja-pekerja KTMB bertungkus lumus memastikan keretapi berkenaan dalam keadaan yang stabil dan selamat untuk ke destinasi seterusnya. Dapat dilihat kepakaran mereka mengendalikan setiap kerja. 

 Sebuah lagi keretapi menuju ke utara.

Di stesen keretapi Gemas juga kita masih boleh melihat beberapa tinggalan sejarah yang berkaitan dengan perkembangan jaringan landasan keretapi di negara kita. Selain stesen dan jejambatnya yang klasik terdapat juga beberapa perkara yang agak unik di sini. Antaranya ialah sebuah gerabak bewarna putih berbelang merah. Saya sendiri tidak tahu akan kegunaannya dan ia terletak di atas landasan yang terpisah dari landasan utama. Terdapat juga peralatan seakan-akan replika meriam di sebelahnya. Tidak tahu sama ada untuk dipamerkan atau ia suatu tinggalan dari zaman lampau. Namun pada saya ia suatu koleksi yang amat menarik dan unik.

Unik 

Papan tanda stesen keretapi Gemas juga agak menarik. Berwarna putih dengan tulisan berwarna hitam, ia seakan-akan mengembalikan kita semua ke hari-hari lama yang telah berlalu. Jika ditinjau ke stesen-stesen keretapi moden, papan tanda seperti ini sudah berganti dengan papan tanda yang jauh lebih canggih dan berwarna - warni. Papan tanda seperti ini hanya terdapat di stesen-stesen lama seperti di Gemas dan Taiping. Tidak mustahil ia akan dicabut dan digantikan dengan yang baru suatu hari nanti.

Azura dan anak-anak buahnya bergambar kenangan di papan tanda
stesen keretapi Gemas

Seronok ... itulah perkataan yang saya luahkan kepada Azura ketika kami bergerak pulang ke rumahnya. Saya tidak dapat menipu diri sendiri bahawa ini ialah pengalaman yang amat bermakna. Esok dan lusa kemodenan semakin kuat menghimpit negara kita. Sisa-sisa kenangan zaman lampau semakin terhakis. Generasi hari ini juga semakin lupa dengan sejarah lama tanah air. Ketika melihat keretapi petang menuju ke utara saya menjadi sayu sendiri. Ia bergerak perlahan-lahan dengan penuh setia. Memberi bakti kepada seluruh rakyat Malaysia dan Singapura tanpa ada perasaan jemu. Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB ), satu-satunya entiti yang terus mengekalkan tradisi nama asal negara Melayu pada namanya. Timbul juga di fikiran saya kenapa kerajaan tidak mencadangkan supaya KTMB dianugerahkan gelaran DIRAJA pada namanya ? ... apa salahnya, kerana Keretapi Tanah Melayu Berhad ( KTMB ) adalah pencerita sebenar suka duka sejarah sistem perhubungan di Tanah Melayu.

sayup sebuah keretapi yang berjasa






Sunday, July 3, 2011

Perkhemahan Gabungan Unit Beruniform SMK Kapit 2011

Mukadimah

Pada 24 hingga 26 Jun yang lalu Gabungan Unit Beruniform SMK Kapit dengan kerjasama Jabatan Belia Dan Sukan telah menganjurkan satu perkhemahan. Perkhemahan ini telah dijalankan di Simpang Simon, Pelajau Kapit. Seramai 90 orang pelajar dari 6 buah Unit Beruniform SMK Kapit telah menyertai perkhemahan ini. Saya juga turut serta dalam perkhemahan ini setelah dilantik sebagai penolong kem komandan. Seronok juga berkhemah dengan pelajar-pelajar yang riang - riang semuanya. Hehehehehe.

Penyediaan Tapak Perkhemahan

Sebenarnya sebelum bermulanya perkhemahan lagi, kami para AJK pelaksana perkhemahan telah pun menjalankan kerja-kerja penyediaan tapak perkhemahan. Ianya diketuai oleh Cikgu Kuiek Bon Siau ( PK 1 SMK Kapit ). Bila menjalankan kerja-kerja menebas seperti ini, ia mengingatkan kenangan saya semasa remaja sewaktu bekerja sebagai "penebas hutan". Pada hari pertama kami melakukan kerja penyediaan tapak perkhemahan, kami menyediakan sedikit hidangan pansuh sebagai pengalas perut.

 Menerang hutan ( istilah orang Perak ) mengingatkan
saya kepada kerja lama di zaman remaja. 
( foto koleksi Cikgu Kuiek Bon Siau )

Cikgu Taqiuddin Ahmad dan Cikgu Kong Kah Sui
( foto koleksi Cikgu Kuiek Bon Siau )

 Tarik jangan tak tarik ye Cikgu Halim dan Cikgu Hisyam
( foto koleksi Cikgu Kuiek Bon Siau )

( foto koleksi Cikgu Kuiek Bon Siau )

Mari makan pansuh
( foto koleksi Cikgu Kuiek Bon Siau )

Kerja-kerja penyediaan tapak perkhemahan dijalankan selama seminggu dengan kami AJK pelaksana perkhemahan bergilir-gilir melakukan kerja-kerja awal seperti membina pentas, tempat masakan, pagar, tangga dan sebagainya. Pada waktu pagi, kerja-kerja penyediaan tapak perkhemahan diketuai oleh kem komandan perkhemahan itu sendiri iaitu Cikgu Hafis Mohd Dom manakala bagi sebelah petangnya, ia diketuai oleh Cikgu Micheal Stephen ( penyelaras Unit Beruniform ) dan Cikgu Taqiuddin sambil dibantu oleh guru-guru yang lain.

24 Jun 2011 ( Jumaat )

Hari pertama perkhemahan. Para peserta perkhemahan bergerak dari sekolah dengan menggunakan van. Lori juga digunakan bagi mengangkut segala peralatan perkhemahan. Sebahagian dari AJK perkhemahan dan urusetia telah pun bermalam  lebih awal di tapak perkhemahan manakala saya pula bergerak pada hari Jumaat bagi menguruskan beberapa hal yang lain.

Berkumpul mendengar taklimat perkhemahan 
sebelum bertolak ke tapak perkhemahan
( foto koleksi Cikgu Kuiek Bon Siau )

Bacaan doa dari Ustaz Naim sebelum memulakan perjalanan
( foto ihsan Badan Beruniform SMK Kapit )

Keadaan menjadi agak kelam kabut sedikit ketika peserta mula-mula menjejakkan kaki ke tapak perkhemahan. AJK perkhemahan dan urusetia dilihat menjalankan tugas dengan begitu dedikasi. Masalah mula timbul apabila periuk nasi lupa untuk dibawa. Syukur juga masalah ini dapat diatasi apabila pihak pengetua SMK Kapit membenarkan kami untuk meminjam periuk nasi dari bilik ERT. Agak malang juga bagi saya apabila tapak tangan saya disengat oleh labah-labah. Seharian tangan saya menjadi kebas-kebas. Huhuhuhuhu.

Peserta perkhemahan bertungkus lumus mendirikan khemah serta membina gajet-gajet bagi kemudahan mereka. Begitu juga dengan guru-guru pengiring. Saya juga menjadi agak sibuk menyediakan khemah bagi kegunaan saya dan kem komandan mengawasi peserta. Lucu juga melihat tapak khemah saya yang senget serta khemah yang rosak. Mahu tidak mahu saya terpaksa gunakan khemah berkenaan. Tidak ada rotan, akar pun berguna juga.

 Tapak perkhemahan

Bersama Cikgu Kuiek Bon Siau di depan khemah
kem komandan dan timbalan kem komandan.


Ada cerita lucu berkaitan dengan khemah saya ini. Selama dua malam perkhemahan khemah rosak ini telah menyelamatkan banyak nyamwa dari kebasahan hujan. Khemah ini tidak besar sebenarnya. Cukup hanya 6 orang sahaja di dalamnya. Tetapi itulah realitinya... khemah itu rupa-rupanya terpaksa memuatkan 8 orang manusia. Berhimpit-himpitlah kami di dalam khemah itu. Namun bila sudah letih semua itu bagaikan tiada masalah. Nyenyak sahaja kami tidur sampai pagi. hahahaha

Hari pertama ini ialah hari penyesuaian. Perkara yang paling menyeronokkan kami ialah bila dapat mandi-manda di sungai. Sempat juga membawa pelajar berendam di sungai. Saya sendiri mengambil kesempatan untuk mandi-manda dengan sepuasnya. Rasanya sudah lama saya tidak mandi sungai. Tidak seperti di zaman kanak-kanak dan remaja saya ... sungai adalah segalanya bagi saya.

Merendam peserta perkhemahan
( foto koleksi Cikgu Kuiek Bon Siau )

Mandi sungai bersama teman-teman guru 

25 Jun 2011 ( Sabtu )

Saya pulang ke rumah seawal jam 4 pagi kerana mahu menyiapkan diri untuk solat Subuh. Bangun seorang diri di waktu pagi yang sunyi membuatkan saya menjadi agak kaku dan seram. Yang hanya terdengar ialah bunyi unggas hutan dan sesekali dengkuran pelajar memecah hening pagi. Saya pula terlupa membawa lampu. Keadaan pula gelap gelita. Mujur juga ada cahaya dari telefon bimbit menerangi perjalanan saya ke tempat meletak motosikal. Ketika menyeberangi sungai untuk ke sebarang, terasa sejuk dan nyaman pada kaki saya. Ini lah nikmat yang diberi Tuhan pada kita manusia. Meraduk air sungai pada waktu pagi memang mengujakan.

Peserta perkhemahan ini diberikan nasi yang dimasak oleh pihak urusetia yang diketuai oleh Cikgu Nor Hashida. Bagi lauk pauknya pula, peserta perlu memasak sendiri. Kami di pihak AJK Pelaksana agak beruntung kerana hidangan makanan kami disediakan oleh pihak urusetia. Rasanya AJK Penyediaan Makanan untuk perkhemahan ini telah menunjukkan komitmen yang tinggi. Mereka berjaya membuatkan kami semua tidak merasa lapar selama hampir 3 hari 2 malam di perkhemahan ini.

Cikgu Shida dan Cikgu Nadia... ketua tukang masak. hehehe

Banyak aktiviti menarik dijalankan pada hari ini. Antaranya ialah jalan lasak dan belajar ikatan. Ia sebenarnya suatu aktiviti yang menyeronokkan. Saya juga berpeluang menambahkan kemahiran ikatan saya yang sememangnya agak lemah. Maka belajarlah saya dengan kem komandan perkhemahan ( Cikgu Hafis Mat Dom ) tantang beberapa ikatan yang sudah kelupaan bagi saya. Lucu juga bila memikirkan betapa ceteknya pengalaman saya ini.
Peserta perkhemahan belajar cara ikatan

Penolong kem komandan ( kanan ) menuntut ilmu dari kem komandan ( kiri )...
satu kolaborasi yang menarik

Peserta juga didedahkan dengan aktiviti masakan rimba. Mereka perlu menyediakan hidangan ala-ala rimba seperti roti gulung dan telur yang dimasak dengan dibaluti tanah lumpur. Yang menjadi juri dalam aktiviti ini ialah saya dengan kem komandan Hafis Mat Dom. Agaknya itulah disebabkan jiwa saya ini terlalu menyayangi KRS, maka saya secara tidak langsung menjadi tenaga pengajar kepada pasukan KRS yang kelihatan "blur"  untuk menjalankan aktiviti ini. Menjadi juga resepi saya, roti gulung berperisa milo. hehehehe. Walaupun kelihatan tidak adil tetapi perut saya menjadi kenyang. Itu yang paling penting sebenarnya. Hahahahaha.

Juri yang menjadi tukang ajar cara-cara membuat roti gulung
( foto koleksi Badan Beruniform SMK Kapit )

Saya dan Cikgu Hafis Mat Dom sedang merasa hasil masakan peserta

Pada sebelah malamnya pula, diadakan acara malam kebudayaan. Setiap unit beruniform dikehendaki mempersembahkan satu persembahan. Seronok melihat persembahan peserta perkhemahan. Ini ditambah pula dengan komen-komen juri yang dilantik begitu "membinasakan" moral peserta. hahahaha namun itulah matlamat kami supaya akan ada ketahanan dalam diri peserta dan bersedia untuk dikritik.

Terlupa pula saya hendak menceritakan tentang harta yang perlu dijaga oleh kumpulan peserta. Kami di pihak AJK pelaksana sengaja memberi seekor ayam hidup kepada setiap unit beruniform sebagi barang amanah yang perlu dijaga dengan sebaik mungkin.Ketawa saya sendiri melihat resksi peserta apabila melihat ayam pencen yang hampir gondol bulunya perlu dijaga sebaik mungkin. hahahahahaha... namun itulah yang perlu dihadapi. Kemana sahaja mereka pergi ayam itu akan dibawa bersama hatta mahu ke tandas. hehehehe.

Barang amanah ... lucu tetapi penuh falsafahnya.

Lewat malam selepas aktiviti malam kebudayaan diadakan pula aktiviti berjalan malam. Ini yang paling menyeronokkan walaupun sebelum itu dikhabarkan ada peserta yang diganggu oleh suara-suara makhlus halus. Berdebar juga jantung saya mendengar cerita mereka. Tetapi syukurlah, tiada apa perkara buruk yang berlaku semasa berlangsungnya aktiviti ini. Hujan turun dengan agak lebatnya malam ini. Mujurlah khemah buruk saya berupaya menampung jumlah penghuni seramai 6 orang pada malam ini. 

26 Jun 2011 ( Ahad )

Menjelang jam 5.30 pagi saya dan beberapa orang guru bergerak pulang mempersiapkan diri untuk acara penutup. Seronok pula bergerak awal pagi ini. Agaknya sebab bergerak bersama bunga-bunga yang kembang meliar kot. hahahahahaha

Tetapi agak malang bagi saya kerana tidak dapat menyertai acara penutup kerana terbabas tidur. Tetapi tidak mengapalah. Saya bukan orang penting utnuk perkhemahan ini. Namun saya punya tugasan pembersihan tapak perkhemahan. Berat sungguh hati ini untuk pergi. Alahamdulillah saya dapat meyelesaikan tugasan itu dengan agak baik.


Tetamu jemputan dari pihak Jabatan Belia Dan Sukan

Berdoa sebelum upacara penutupan rasmi perkhemahan

 Penyampaian hadiah kepada wakil unit beruniform

 Bergambar kenangan bersama kem komandan

 Kontijen Kadet Remaja Sekolah ( KRS ) di bawah pimpinan
Ustaz Naim dan Cikgu Firdaus


Sekadar Catatan Ringan

Perkhemahan bukan lagi menjadi satu keseronokan pada diri saya. Mencecah tahun ketiga saya di Kapit, minat untuk aktiviti-aktiviti luar semakin merosot dalam diri. Pemikiran sudah mula menerawang mencari jalan lain untuk berseronok. Dalam usia 27 tahun ini jalan baru perlu saya cari bagi memeriahkan semula kehidupan. Teman-teman bukan lagi perkara utama dalam hidup ( buat masa ini ). Apa yang terfikir ialah soal jodoh dan urusan kebahagiaan. Saya tidak mengharap untuk sesuatu yang sempurna. Cukup sekadar yang mampu membuatkan saya selalu merasa tidak keseorangan dalam hidup....