BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, June 24, 2012

Kembara Melihat Pekan - Pekan Lama 6 : Pekan Chenderiang ( Siri Akhir )



Selepas melepaskan dahaga sebentar di pekan Sungai Siput Selatan saya meneruskan perjalanan bermotosikal melalui jalan yang sangat sunyi menuju ke sebuah lagi pekan yang agak terpencil di negeri Perak iaitu pekan Chenderiang. Laluan sunyi dari pekan Sungai Siput Selatan ini merupakan salah satu dari tiga laluan utama untuk ke pekan Chenderiang. Namun kebiasaannya, jalan utama untuk ke pekan ini adalah dengan memasuki simpang utama dari Jalan Persekutuan arah Temoh menghala ke Tapah. Terdapat juga laluan dari pekan Tapah menuju ke Chenderiang. Namun jalan tersebut agak berbahaya dan berselekoh tajam.

Saya sengaja memilih jalan dari Sungai Siput Selatan ini kerana ingin merasai suasana alam semulajadi yang melatari suasana kiri dan kanan jalan. Selain itu saya juga akan melalui perkampungan orang Asli yang banyak terdapat disepanjang jalan. Namun demikian saya sedar risiko yang perlu saya tanggung sekiranya berlakunya kerosakan pada motosikal saya. Tambahan pula hari semakin petang dan saya perlu bersaing dengan masa. Saya hanya berserah kepada Allah SWT.

Tidak banyak kenderaan yang berselisih dengan saya sepanjang perjalanan. Saya hanya menunggang dengan kelajuan yang sederhana. Udara dingin mula menggigit kulit wajah saya namun ia benar-benar menyegarkan. Suasana hutan dan perkampungan orang Asli memberikan saya satu keseronokan tambahan pula jalan sunyi ini bagaikan mengembalikan semula nostalgia lama. Saya seakan-akan melalui jalan persekutuan dua lorong pada tahun 1980an.

Jika melalui jalan ini, saya akan melalui kawasan air terjun yang sangat terkenal di negeri Perak iaitu Lata Kinjang dahulu sebelum memasuki pekan Chenderiang. Lata Kinjang merupakan antara air terjun tertinggi di Malaysia. Bagi pengguna Lebuh Raya Utara Selatan dari Tapah ke Gopeng pasti akan dapat melihat air terjun yang gagah ini. Ia bagaikan menjadi “trademark” pekan Chenderiang. Tidak keterlaluan dikatakan bahawa Lata Kinjang merupakan denyut nadi utama pekan Chenderiang.

Papan tanda untuk ke Lata Kinjang

Air terjun Lata Kinjang dari jauh

Dahulu sewaktu zaman remaja sering juga saya berkunjung dan mandi - manda di Lata Kinjang. Airnya yang jernih dan sejuk memberikan sejuta keseronokan yang tiada taranya. Dahulu kemudahan awam yang terdapat disini tidaklah selengkap sekarang namun ia tetap mengujakan kami untuk bermandi-manda. Berkelah dan menikmati bihun goreng beramai-ramai memang amat menyelerakan tambahan pula bila perut kosong. Ah…. Ia kenangan lama yang benar-benar menyeronokkan !

Antara kemudahan asas di Lata Kinjang

Lama juga saya di Lata Kinjang mengimbau semula memori zaman remaja sambil menikmati deruan air terjunnya yang mendamaikan. Keluar sahaja dari simpang Lata Kinjang saya meneruskan perjalanan kira-kira 3 kilometer untuk sampai ke pekan Chenderiang. Chenderiang masih sama seperti dahulu malahan tidak ada perubahan langsung dalam struktur pekannya. Ia masih sunyi dan tenang namun hidup dengan segala aktiviti penduduknya. Majoriti penduduk Chenderiang adalah orang Melayu dan juga orang Asli. Komuniti masyarakat Cina banyak tertumpu didalam pekan dan orang India kebanyakannya tinggal die stet-estet berhampiran. Khabarnya dahulu ramai juga kaum kerabat diraja Perak tinggal disini ekoran dari krisis Perang Perak yang menyebabkan ramai kerabat diraja Perak diburu oleh penjajah Inggeris. Kesahihannya saya tidak pasti.

Pekan Chenderiang bukanlah pekan yang besar. Kedudukannya yang jauh dari jalan persekutuan menyebabkan pengguna jalan raya hampir tidak mengetahui tentang kewujudan pekan Chenderiang. Ini adalah tidak menghairankan kerana kedudukannya yang berhampiran dengan pekan Tapah menjadikan peranannya agak kurang penting. Deretan rumah-rumah kedai di pekan ini masih mengekalkan keaslian reka bentuk lama dan kolonial. Saya merasakan kebanyakan bangunan rumah kedai disini dibina sebelum perang dunia kedua lagi. Ia menghasilkan suasana petang yang klasik dan tenang.

Deretan rumah kedai lama di pekan Chenderiang

Antara jalan utama 

Lengang



Antara rumah kedai yang tidak lagi dijadikan kedai


Sebuah rumah kedai yang agak terasing di pekan Chenderiang

Kemudahan asas adalah lengkap di pekan ini. Sebuah pejabat pos tua menjadi pusat sehenti bagi para penduduk menyelesaikan bil-bil utiliti serta menghantar surat. Sebuah balai polis moden juga turut dibina bagi menjaga keselamatan setempat. Terdapat juga sebuah pasar basah yang kecil. Rasanya tidak ramai yang berniaga di pasar ini. Tidak ada kemudahan stesen pam minyak disini. 


Pejabat Pos pekan Chenderiang yang klasik

Balai Polis 

Pasar awam 

Bagi penduduk tempatan yang ingin ke pekan Tapah, terdapat perkhidmatan bas berhenti-henti yang disediakan oleh syarikat bas Hup Soon. Saya tidak tahu kekerapan perjalanannya. Jika tidak silap saya, dahulu perkhidmatan bas dari pekan Tapah ke pekan Chenderiang dikendalikan oleh syarikat bas Kamta atau syarikat bas Regal. Namun kini ia telah berubah. Namun demikian tiada kemudahan stesen bas di pekan ini. Sebaliknya bas hanya berhenti di pinggir jalan pekan ini sementara menunggu penumpang.

Bas syarikat Hup Soon menanti penumpang

Dahulu, sewaktu di tingkatan enam sering juga saya mengikuti penyelia asrama mengerjakan solat Jumaat di masjid Chenderiang. Malahan saya juga masih mempunyai beberapa orang kenalan lama disini. Masjid Jamek Chenderiang masih kekal seperti dahulu. Ketika singgah di masjid ini, saya merasa seolah-olah kembali ke masa 10 tahun yang lalu. Kini saya kembali semula mengenang masa-masa yang telah berlalu itu. Dan sudah pasti ada rindu yang tertumpah disini!

Masjid Jamek Chenderiang

Berhadapan dengan masjid ini, terdapat sebuah kawasan perkuburan Islam yang agak besar. Khabarnya disini bersemadi beberapa tokoh penting yang namanya agak pudar dari lipatan sejarah. Jika tidak silap saya, terdapat satu salasilah lain Kesultanan Melayu Perak yang dikatakan berkerabat dengan golongan Syed yang mendiami Chenderiang. Namun saya kurang arif tentang kesahihannya. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. Tetapi dari pengamatan saya terhadap batu-batu nisan serta kepuk makam yang terdapat di perkuburan ini saya pasti ada orang-orang penting dan dimuliakan dikebumikan disini.

Kawasan perkuburan di hadapan 
masjid jamek Chenderiang

Tidak jauh dari balai polis pekan Chenderiang ini terdapat sebuah pintu gerbang lama yang agak misteri. Pintu gerbang batu beratap genting ini agak unik walaupun sudah diliputi oleh semak samun dan tumbuhan menjalar kerana terdapat kalimah Allah SWT dalam tulisan jawi. Saya tidak pasti pintu gerbang ini dibina untuk apa. Mungkin sebagai pintu utama bagi sebuah institusi agama yang pernah wujud di pekan Chenderiang. Hanya penduduk Chenderiang sahaja yang boleh merungkaikan misteri pintu gerbang kalimah Allah SWT ini.

Pintu gerbang lama

Saya berpusing-pusing di pekan ini. Singgah sebentar di sebuah gerai menjual air bagi membasahkan tekak. Terasa kelegaan dapat menghirup air limau ais yang enak. Suasana petang di pekan Chenderiang tetap tenang. Beberapa gadis orang Asli memandang saya sambil tersenyum sambil tangan mereka sibuk menekan butang telefon bimbit yang pelbagai. Nampaknya mereka jauh lebih canggih dari saya yang hanya menggunakan telefon murah. Namun sesuatu yang pasti dari iras wajah mereka jelas sudah ada asimilasi dengan penduduk Melayu yang menjadi majoriti pekan Chenderiang.

Agak lama juga saya di pekan Chenderiang ini memerhatikan denyut nadi kehidupan masyarakatnya. Hari sudah beransur senja dan saya memutuskan untuk bergerak pulang mengikut jalan belakang yang berselekoh tajam untuk tiba ke pekan Tapah. Saya memutuskan, pekan Chenderiang ialah penamat kepada catatan kembara saya ke pekan – pekan terpencil di dalam negeri Perak terutamanya dalam daerah Batang Padang. Sepanjang perjalanan saya berfikir panjang adakah apa yang saya perbuat ini berbaloi atau satu kerja yang sia-sia dan “syok” sendiri ? ………….. saya sendiri tidak pasti.

Menjelang jam 7.30 malam saya selamat tiba di Bidor. Melangkah sahaja kaki ke rumah saya tersenyum memandang motosikal saya di luar …. Dengan lapang dada saya berbisik sendirian … perjalanan telah tamat !

Refleksi

Alhamdulillah, saya melimpahkan syukur yang tidak terhingga kerana diberikan kekuatan untuk menyelenggarakan satu siri catatan ringkas berkaitan dengan pekan-pekan kecil dan terpencil di  daerah Batang Padang dan Kampar dalam negeri Perak Darul Ridzuan. Catatan yang dibahagikan kepada dua siri ini timbul dari kerinduan saya terhadap suasana pekan-pekan lama era 1980an hingga awal 1990an yang kini semakin sukar ditemui lagi akibat dari arus kemodenan yang menghimpit.

Saya menginsafi bahawa rebakan bandar secara tidak langsung akan membunuh pekan-pekan kecil ini suatu masa nanti. Pekan kecil klasik yang pernah menjadi tempat permainan dan keseronokan masa kecil kita dahulu secara tidak langsung beransur-ansur berubah sifatnya menjadi bandar dan diulit kesibukan yang serius. Ia seterusnya membunuh nilai-nilai nostalgia kita terhadapnya. Atas segala apa yang terlintas difikiran ini lah yang menyebabkan saya menulis dan berkongsi setiap apa yang saya rasakan terhadap pekan-pekan ini. Jika suatu hari nanti pekan-pekan ini hanya tinggal nama atau sudah menjadi sejarah, biarlah catatan-catatan ringkas ini mengimbau semula memori bagi yang masih mengingati hidup zaman kecilnya.

Sesekali ada pembaca yang singgah membaca beberapa catatan pekan – pekan ini terus memberi komen atau menghantar pesanan kepada saya di Facebook menyatakan betapa seronoknya melihat kembali pekan lama yang menjadi saksi kehidupan awal mereka. Ada yang begitu bernostalgia malahan ada yang terus pulang melawat semula pekan lama ini setelah hampir berpuluh-puluh tahun meninggalkannya. Malahan ada juga pihak akhbar yang menyunting artikel – artikel berkenaan pekan lama di blog ini untuk diulas di akhbar mereka. Saya relakan asalkan kita boleh berkongsi. Itulah nikmat yang saya mahu kongsikan dan Alhamdulillah saya berjaya melaksanakannya.

Catatan berkaitan pekan-pekan lama ini saya tamatkan disini. Semoga ada yang beroleh manfaat dari setiap apa yang saya kongsikan. InsyaAllah saya akan tetap akan menulis dan saya tidak akan berhenti menulis… terima kasih kerana sudi membaca.




Catatan Tambahan


Artikel berkenaan Catatan Perjalanan ke Pekan-Pekan Terpencil dan Kecil di dalam negeri Perak Darul Ridzuan ini dibahagikan kepada dua siri berbeza iaitu :
  1. Kembara Ke Pekan-Pekan Terpencil di Negeri Perak Darul Ridzuan yang menampilkan ulasan ringkas berkenaan pekan Trolak, pekan Slim Village, pekan Behrang Stesen, pekan Temoh, pekan Temoh Stesen dan pekan Tapah Road.
  2. Kembara Melihat Pekan-Pekan Lama di negeri Perak Darul Ridzuan yang menampilkan ulasan ringkas berkenaan pekan Sungkai, pekan Malim Nawar, pekan Kota Bharu, pekan Kampung Kepayang, pekan Sungai Siput Selatan dan pekan Chenderiang.

Friday, June 22, 2012

ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG 2011



Bagaikan tidak percaya, tahun 2011 yang lalu menerbitkan beberapa kenangan yang sukar dilupakan. Selain dari mengakhiri zaman bujang saya, tahun 2011 juga memberikan saya hadiah yang berganda apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ( APC ) yang majlisnya diadakan di Dewan Suarah Kapit pada hari Rabu, 20 Jun 2012  yang lalu. Majlis penyampaian anugerah ini telah dirasmikan oleh Tuan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak iaitu Yang Berbahagia  Encik Abdillah Bin Adam.

Selama hampir 4 tahun berkhidmat di SMK Kapit, saya tidak pernah bermimpi untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini. Semasa kali pertama melapor diri di sekolah, perkara pertama yang terlintas di kepala saya adalah untuk bekerja seadanya kudrat tanpa memikirkan apa-apa imbuhan. Namun syukurlah kepada Allah SWT yang memberikan saya peluang untuk menikmati hasil usaha saya ini. 

Majlis anugerah ini bermula tepat jam 2.30 petang. Saya sendiri agak berdebar-debar menantikan saat mulanya majlis. Rasa keterujaan begitu tinggi untuk melihat sendiri Pengarah Pelajaran Sarawak yang julung-julung kalinya menghadiri majlis seumpama ini di bahagian Kapit.

Keadaan Dewan Suarah Kapit beberapa 
ketika sebelum acaar berlangsung

Tempat duduk mula diisi oleh tetamu dan penerima APC

Saya mengenakan baju kemeja putih, seluar hitam, kasut hitam dan tali leher hitam yang menjadi barang hantaran perkahwinan saya. Sengaja saya memakai persalinan berkenaan bagi memastikan saya merasa seolah-olah isteri saya hadir bersama menyaksikan saya menerima anugerah berkenaan. Sememangnya isteri saya adalah tulang belakang kepada kejayaan saya ini selain dari ibu bapa, adik beradik dan teman-teman seperjuangan. Azura sentiasa berdiri teguh dibelakang saya walaupun kami tinggal berjauhan. Beliau banyak berkorban untuk hubungan kami ini. Jadi tidaklah menghairankan jika saya agak emosional ketika menerima anugerah ini

Saya mengenakan persalinan hantaran perkahwinan saya
dahulu sebagai tanda menghargai isteri saya Masazura Bt Maslim.

Turut hadir pada majlis ini ialah Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Kapit iaitu Encik Lanyun Lupak serta Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Song dan Belaga iaitu Encik Langgie Ujang dan Encik George Bidoi. Penerima APC tahun 2011 dari seluruh bahagian Kapit adalah seramai 233 orang yang merangkumi anggota perkhidmatan pelajaran dari pelbagai sekolah dan unit. Kami menerima sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak RM1000.00.

Dimana nama saya ?

Ucapan dari Tuan Pengarah Pelajaran Sarawak amat berbekas di hati saya. Beberapa petikan ucapannya benar-benar menunjukkan betapa pengalaman adalah sesuatu yang sangat bernilai. Beliau menasihatkan kami agar tidak terleka dengan penganugerahan ini sebaliknya terus berusaha mempertingkatkan potensi diri bagi menghadapi cabaran dunia pendidikan yang mudah berubah mengikut arus masa.

Ucapan perasmian dari Pengarah Pelajaran Sarawak
Encik Abdillah Bin Adam

Sewaktu menerima sijil penghargaan dari Tuan Pengarah Pelajaran Sarawak, sempat juga beliau berbual mesra dengan saya. Beliau bertanya tentang negeri asal saya dan sudah berapa lama saya bertugas di bahagian Kapit. Beliau seorang yang ramah dan mesra. Dari raut wajahnya jelas kelihatan pengalaman dan kredibiliti beliau sebagai seorang pemimpin dan guru yang disegani. Sempat juga beliau bergurau dengan saya dengan bertanya sama ada saya akan berkahwin dengan orang Kapit seterusnya menjadi warga Kapit. Ketawa besar saya sambil menjawab tidak ... nun di Johor sana, ada yang menanti dengan harapan agar saya berpindah dengan segera.

Hafez J.Malim menerima sijil APC dari 
Pengarah Pelajaran Sarawak

Majlis berlangsung dengan baik. Pengerusi majlis begitu bijak mengawal majlis. Selain itu  sebagai memeriahkan majlis, hadirin dipersembahkan dengan persembahan tarian kebudayaan dari kumpulan tarian pelajar SMK Kapit No.2. Dua buah tarian yang dipersembahkan oleh kumpulan ini benar-benar menghiburkan kami.

Cikgu Ana dan Cikgu Hafiezh yang menjadi pengacara majlis 

Persembahan tarian

Satu kejutan berlaku diakhir majlis apabila pihak Majlis Guru Besar Bahagian Kapit telah menghadiahkan Tuan Pengarah dengan baju tradisi masyarakat Iban yang begitu eksklusif. Sempat juga saya bertanya kepada teman guru yang duduk disebelah saya berapa nilai harga baju berkenaan ... mungkin hampir RM 1000.00 jawabnya ringkas. Namun sesuatu yang pasti, terlihat semangat perpaduan yang jitu disini. Pelbagai kaum bersama-sama meraikan anugerah ini tanpa ada sebarang sengketa. Jelas di Sarawak ini semangat 1 Malaysia adalah kukuh dan saya berharap supaya ia kekal bersemarak selama-lamanya.

Pengarah Pelajaran Sarawak menerima cenderahati
dari pihak Majlis Guru Besar bahagian Kapit

Barisan kepimpinan pelajaran Bahagian Kapit 
bergambar kenangan bersama Pengarah Pelajaran Sarawak

Tamat sahaja majlis, saya dan beberapa teman mengambil kesempatan untuk bergambar kenang-kenangan. Seronok juga bergambar dalam majlis-majlis sebegini. Terasa kembali semula ke waktu konvokesyen UPSI pada tahun 2008 yang lalu. Namun saya sedar, cabaran selepas ini jauh lebih besar dan saya perlu tabah menghadapinya tanpa terleka dengan anugerah yang sebentar ini.

Hafez J.Malim

Sijil APC milik saya

Penerima APC dari SMK Kapit

Bersama Cikgu Ana Rantai dan Cikgu Balqies Abdul Latif

Teman senior dari Perak Cikgu Shahril

Ketika sampai di rumah selepas majlis tamat, saya termenung sendirian. Tahun 2012 ini saya agak pasif dan tidak bergerak aktif di sekolah. Sindrom "malas" sudah mula muncul dalam jiwa saya. Namun setakat ini, saya masih tetap mengajar dengan baik dan memberi komitmen tanpa kompromi. Cuma perasaan ini sahaja yang kini sudah tidak lekat lagi di Kapit. Ia perubahan mendadak yang perlu saya hadapi selepas berkahwin. Namun saya insaf .... Allah SWT punya perancangan-Nya yang tersendiri untuk saya dan saya perlu menerimanya dengan kuat dan tabah.

Sarawak .... negeri asing yang menjadi tanah tumpah darah kedua saya. Benar.. saya amat mencintai Sarawak walaupun saya bukan anak kandungnya. Sarawak dan anak watannya menerima saya dengan hati terbuka tanpa prejudis. Disini, rezeki saya berlimpah ruah sehingga membawa ke jinjang pelamin. Disini saya menerima penghargaan yang teristimewa dan disinilah mengenal erti tolak ansur. Budimu Sarawak tetap akan saya kenang sampai bila-bila walaupun takdirnya nanti saya tidak lagi menumpang sayang disini.

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ini adalah selangkah dalam hidup saya dalam institusi pendidikan. Saya akui, saya ialah guru Pendidikan Khas yang terpinggir dari sistem pendidikan negara. Kami hanya dipandang sebelah mata. Namun bagi seorang guru pedalaman saya tahu kami tidak perlu melukut di tepi gantang mengharap ihsan. Saya tidak perlu bermuka-muka didepan manusia lain. Saya tahu saya manusia yang bermaruah tanpa kabel dan orang besar... insyaAllah !


Catatan Tambahan :

Laporan penuh berkenaan dengan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ( APC ) peringkat bahagian Kapit telah disiarkan dalam akhbar tempatan Sarawak iaitu The Borneo Post bertarikh 22 Jun 2012 ( Jumaat ). Gambar saya juga turut kelihatan. Alhamdulillah.

Keratan akbar The Borneo Post bertarikh 22 Jun 2012 ( Jumaat )

Gambar saya dalam bulatan merah.. hahaha




Monday, June 18, 2012

Cuba - Cuba Naik Komuter

Komuter

Ini perjalanan yang agak gila, letih dan mencabar. Namun saya akui ia agak menyeronokkan walaupun saya perlu bersusah payah sedikit. Idea untuk menaiki komuter ini dirancang secara tidak sengaja. Ini merupakan kali pertama saya menaiki komuter. Cadangan awalnya ingin menaiki keretapi namun memandangkan saya perlu mengejar masa, saya memilih menaiki komuter. 

Saya memilih menaiki komuter bermula dari Seremban menuju ke Tanjong Malim. Untuk ke Seremban, saya menaiki bas ekspres selama hampir 2 jam dari Batu Pahat. Cuti persekolahan selama 2 minggu membuatkan saya terasa benar-benar seronok. Masakan tidak, saya dapat meluangkan masa yang benar-benar berkualiti bagi menemani isteri saya setelah hampir 3 bulan tinggal berjauhan. Menjelang sahaja kepada penamat cuti persekolahan, isteri saya sudah mula menunjukkan wajah sedihnya. Beliau tahu kami perlu duduk berjauhan semula. Saya sendiri begitu sedih. Meninggalkan isteri yang berbadan dua dan tinggal berjauhan adalah perkara yang sangat menyakitkan. Namun itulah realiti yang perlu saya telan dan kami perlu menerimanya dengan hati yang terbuka.

Seawal pagi lagi saya sudah keluar dari rumah bersama-sama dengan isteri saya untuk bersarapan. Wajahnya sudah kelihatan sugul. Azura menghantar saya ke stesen bas. Sepanjang perjalanan kami lebih banyak senyap dari bercakap. Dalam diam saya memanjatkan doa supaya kehidupan kami dipermudahkan oleh Allah SWT.

Sugul si isteri

Perjalanan menaiki bas dari Batu Pahat menuju ke Seremban mengambil masa hampir 2 jam. Sudah lama saya tidak ke Seremban. Rasanya hampir 3 tahun. Suatu ketika dahulu, Seremban adalah tempat saya dan Azura berjumpa setelah sekian kali tidak bertemu. Setelah berkahwin, saya tidak lagi ke Seremban. Sememangnya kunjungan ke Seremban kali ini akan membuatkan saya lebih bernostalgia. Melawat ke sesuatu tempat yang memberikan sejuta satu cerita kepada diri akan membuatkan saya terkenang semula segala kenangan lama. Sejujurnya ... ia mengembalikan momen indah yang pernah saya dan Azura kecapi semasa alam bujang kami. Hahahahaha

Singgah sebentar di hentian bas Muar

Saya sampai ke Seremban ketika jam menunjukkan angka 12 tengah hari. Tidak banyak perubahan yang terlihat. Namun kesibukannya tetap seperti dulu dan tidak berubah. Saya berlegar-legar dahulu di sekitar terminal bas utama Seremban ( Terminal 3 ). Dahulu, Azura akan menunggu saya di sini dengan senyuman. Terasa seolah-olah dia masih disini menunggu saya walaupun kami kini sudah mendirikan rumah tangga. 

Saya sebenarnya tidak mengetahui lokasi stesen keretapi Seremban. Setelah bertanya dengan seorang pakcik tua yang baik, barulah saya tahu kedudukan sebenar stesen keretapi tersebut. Namun saya perlu berjalan kaki sedikit. Stesen keretapi Seremban sebenarnya masih mengekalkan binaan lamanya. Namun demikian, seiring dengan perkembangan masa, stesen ini diubahsuai sesuai dengan statusnya sebagai antara stesen keretapi utama di negara kita. Sepanjang saya berjalan kaki menuju ke stesen ini, saya dapat melihat bangunan-bangunan lama KTMB yang masih kekal. Ia masih mengekalkan, gaya klasik dan kolonial. Ini yang membuatkan saya begitu teruja !

Laluan menuju ke stesen KTMB Seremban

Kuarters lama yang masih boleh dilihat

Klasik !

Stesen keretapi Seremban

Keadaan di stesen KTMB Seremban

Saya terlihat kaunter tiket ETS ( Electric Train Set ), teringin juga dihati saya untuk menaikinya. Namun demikian petugas kaunter tersebut menyatakan bahawa perkhidmatan ETS tidak ke Tanjong Malim. Tidak mengapalah, saya boleh menaiki komuter dan merasai gegaran landasan. Itu lebih mengujakan saya. Saya bertolak dari Seremban pada jam 1 tengah hari. Tidak ramai penumpang disini. Seorang lelaki India tua berbual-bual ringan dengan saya. Beliau ramah dan baik. Sekurang-kurangnya saya tidak sunyi sepanjang perjalanan.

Pemandangan di stesen keretapi Seremban. 

Perjalanan agak tenang. Beberapa pekerja KTMB juga turut serta dalam gerabak kami. Sempat juga saya berbual dengan salah seorang dari mereka berkenaan dengan dunia keretapi di Malaysia. Nampaknya beliau memang arif dan banyak memberikan saya maklumat-maklumat baru berkenaan dengan keretapi terutamanya tentang lokomotif. Pakcik India tua yang duduk disebelah saya juga sesekali berbual dengan saya. Sampai sahaja di Nilai beliau turun dan mengucapkan selamat jalan yang mesra. Penumpang mula ramai menaiki komuter. Tempat duduk mula penuh dan ramai yang berdiri.

Keadaan di dalam gerabak ( koc )

Pemandangan sepanjang perjalanan agak biasa-biasa. Sukar lagi menjumpai kebun-kebun getah dan ladang seperti pada zaman-zaman awal 1960an hingga lewat 1990an dulu. Yang ada hanyalah kawasan perumahan dan tanah-tanah kosong yang menunggu masa untuk dimajukan. Rebakan bandar menjadikan pekan-pekan kecil yang dahulunya tenang dan aman menjadi semakin sesak dan berpendudukan tinggi. Namun demikian, saya masih lagi boleh melihat kampung-kampung tradisi Melayu di sepanjang landasan. Sekurang-kurangnya ia mengubat rasa rindu saya pada zaman-zaman yang telah berlalu.

Sebuah surau kayu lama


Semakin menghampiri negeri Selangor semakin ramai penumpang menaiki komuter. Tempat duduk hampir semuanya dipenuhi dan ramai penumpang mula berdiri. Ini menjadikan saya merasa agak kurang selesa dan rimas. Penumpang-penumpang warga asing juga ramai yang menaiki komuter pada masa ini. Seorang lelaki kulit hitam yang memakai baju tanpa lengan berdiri dihadapan saya. Badannya agak berbau dan membuatkan saya loya. Mujur juga sebaik sahaja sampai ke stesen Bandar Tasik Selatan, beliau turun. Barulah saya merasa lega.

Terminal bas Bandar Tasik Selatan

Komuter yang saya naiki singgah beberapa minit di beberapa stesen penting. Kebanyakan stesen komuter merupakan stesen-stesen moden. Sesekali kami berselisih dengan komuter lain atau dengan keretapi diesel yang menuju ke selatan. Terasa juga sedikit gegaran. Namun ia memberi keseronokan kepada saya. Masuk sahaja ke Kuala Lumpur, penumpang mula berkurang kerana ramai yang turun menuju ke destinasi masing-masing. Antara stesen utama yang disinggahi ialah KL Sentral, stesen keretapi lama Kuala Lumpur dan Bank Negara Malaysia.



Stesen keretapi lama Kuala Lumpur

Saya sebenarnya agak gusar ketika ini. Saya mengejar masa untuk sampai ke Bidor. Namun syukurlah selepas sahaja melepasi Kuala Lumpur menuju ke Rawang, komuter bergerak pantas. Ketika ini pemandangan di luar cermin sudah mula berubah. Ladang-ladang kelapa sawit pula yang menguasai pandangan saya. Seorang pakcik Melayu tua duduk disebelah saya. Menjeling tajam beliau kepada saya apabila melihat saya sibuk mengambil gambar. Hahahahaha.

Saya mengambil gambar syarikat pembuat koc komuter ini. Kebetulan logonya terletak dibawah bumbung. Usia komuter ini dalam lingkungan 16 tahun berdasarkan tahun pengeluaran 1996 seperti yang tercatat di logo berkenaan. Usai sahaja saya mengambil gambar berkenaan, tiba-tiba pakcik tua itu bersuara bertanya kenapa saya mengambil gambar berkenaan. Saya hanya menjawab ringkas bahawa saya meminati keretapi. Gusar juga hati saya jika beliau menyangkakan saya berbohong. Beliau ketawa dan mengeluarkan sekeping kad dari dompetnya dan menunjukkannya kepada saya. Saya mengamati kad berkenaan. Rupa-rupanya pakcik berkenaan adalah seorang pesara KTMB !.

Komuter buatan Hyundai Korea tahun 1996

Banyak juga yang kami bualkan. Pakcik itu tidak lokek menceritakan pengalaman beliau kepada saya. Sampai sahaja di Rawang kami berpisah. Saya perlu menukar komuter untuk ke Tanjong Malim. Stesen keretapi Rawang merupakan antara stesen keretapi utama di negara kita. Kedudukannya yang terletak ditengah-tengah antara perjalanan antara Tanjong Malim ke Kuala Lumpur menjadikan ia sebagai stesen yang agak sibuk dengan penumpang. Saya sampai di Rawang dalam jam 3 petang. Perjalanan dari Seremban ke Rawang hanya mengambil masa selama 2 jam. 

Stesen keretapi Rawang

Electric Train Set ( ETS ) baru yang terdapat di 
stesen keretapi Rawang

Dari Rawang saya menaiki sebuah lagi komuter menuju ke Tanjong Malim. Saya menyukai laluan ini kerana saya akan melalui beberapa stesen pekan-pekan lama di dalam daerah Hulu Selangor. Dahulu ketika belajar di UPSI saya sangat gemar melawat pekan-pekan kecil seperti Kerling dan Rasa. Pekan-pekan ini masih mengekalkan suasana lama yang klasik. Namun saya tidak pasti sama ada keadaannya masih kekal seperti dahulu atau kini sudah berubah akibat dari perubahan masa dan teknologi.

Stesen keretapi pekan Rasa

Perjalanan kali ini lebih menyeronokkan saya. Penumpang agak kurang dan banyak lagi ruangan penumpang yang kosong. Pemandangan di luar juga lebih menarik dan klasik. Ditinjau dari internet satu ketika dahulu dalam daerah Hulu Selangor terdapat begitu banyak stesen keretapi dan hentian kecil keretapi. Namun kini kebanyakannya sudah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan landasan berkembar. Saya masih lagi mengingati stesen keretapi Kuala Kubu Road yang begitu klasik dan indah. Namun kini saya pasti, stesen tersebut telah tiada lagi.

Stesen keretapi lama Kuala Kubu Road

Pemandangan perjalanan dari Rawang ke Tanjong Malim



Akhirnya setelah menempuhi perjalanan di atas landasan selama 3 jam, saya sampai ke Tanjong Malim pada jam 4 petang. Stesen keretapi Tanjong Malim agak sunyi dan tenang. Ini merupakan hentian terakhir bagi komuter yang bergerak dari Rawang. Saya turun dengan hati yang puas. Walaupun hanya satu perjalanan yang ringkas namun saya begitu teruja dan puas hati. Saya berjalan kaki sahaja untuk ke stesen bas Tanjong Malim. Ketika ini perut saya sudah mula berkeroncong minta diisi. Niat saya pada ketika itu ialah untuk menikmati cendol dan rojak Tanjong Malim yang begitu lama tidak saya nikmati.... dan langkah saya semakin dipercepatkan. hehehehe.

Stesen keretapi Tanjong Malim

Saya melalui jalan yang agak sunyi menuju ke pekan Tanjong Malim. Dahulu sewaktu dalam tahun-tahun awal saya di UPSI jalan ini masih agak sibuk dan ramai penduduk berniaga makanan di sini. Namun setelah jalan utama Tanjong Malim "terpotong" akibat dari pembinaan landasan berkembar, jalan ini menjadi kurang penting. Dua buah jejambat baru dibina merintangi landasan keretapi bagi memudahkan penduduk Tanjong Malim ( khasnya kawasan Ketoyong ) untuk ke Tanjong Malim.

Dahulu laluan ini agak sibuk di Tanjong Malim

Jejambat pejalan kaki Tanjong Malim

Syukur setelah berjalan kaki ditengah terik mentari, saya sampai ke kedai menjual cendol dan rojak yang sangt saya sukai di Tanjong Malim. Ianya terletak disebelah KFC Tanjong Malim dan tidak jauh dari jejambat motosikal landasan keretapi Tanjong Malim. Saya memesan semangkuk cendol pulut dan sepinggan rojak. Berselera saya makan petang ini. Dahulu disinilah tempat saya melepak bersama teman-teman sekuliah selepas penat seharian berkuliah. Harganya juga sangat murah. Sesuai jugalah dengan bajet mahasiswa seperti kami yang sering keputusan kewangan. hehehehe.

Kedai menjual cendol dan rojak tidak jauh dari jejambat
utama Tanjong Malim

Cendol dan rojak yang menyelerakan

Saya tidak berlama-lama disini. Selepas membayar harga cendol dan rojak tersebut saya terus menuju ke stesen bas Tanjong Malim untuk menaiki bas ke Sungkai. Saya melintasi sederet kedai yang menjadi tempat jualan VCD cetak rompak yang sangat terkenal bagi kami suatu ketika dahulu. Nampaknya ia semakin sunyi. Tidak sepertu dahulu... kaunternya sentiasa penuh dengan pembeli ( sudah pasti saya salah seorang daripadanya ). Ah...segala kenangan itu bagaikan menari-menari di ingatan saya pada waktu ini. Tiba-tiba saya menjadi seorang lelaki yang bernostalgia.

Dahulu disini meriah dengan pelanggan 
yang mencari VCD cetak rompak

Stesen bas Tanjong Malim masih tidak berubah. Ia tetap sama seperti dahulu. Sukar untuk melupakan segala kenangan yang tersimpul disini. Sebelum menggunakan motosikal di UPSI, saya perlu menaiki bas untuk pulang ke Bidor. Perkhidmatan bas yang sering saya gunakan pada ketika itu ialah Syarikat Bas Mogah atau syarikat bas ekspres Seri Maju ( Azra ). Namun saya lebih gemar menaiki bas Mogah kerana kondisi bas nya yang buruk dan klasik. Tanyalah pada masyarakat Tanjong Malim, Slim River dan Sungkai ... mereka pasti mengingati bas Mogah sebagai sebuah entiti lagenda dan bersejarah. 

Stesen bas Tanjong Malim

Namun demikian, kini bas Mogah sudah tiada lagi. Khabarnya ia kini dimiliki oleh syarikat lain. Bas-bas uzurnya kini sudah berganti dengan bas baru dan berhawa dingin. Bas saya bergerak ke Sungkai pada jam 5 petang. Agak lewat. Fikiran saya berserabut bimbang akan terlepas bas terakhir dari Sungkai ke Bidor. Saya menghubungi ayah supaya bersedia menagmbil saya di Sungkai sekiranya saya ketinggalan bas. Sewaktu di UPSI, perkara yang paling menyeronokkan saya apabila menaiki bas ialah peluang untuk melihat gadis-gadis manis yang turut serta menaiki bas. Hahahahahaha ....tapi itu dululah.. zaman-zaman bujang yang ceria. Kini saya sudah berumah tangga.  Mata tidak lagi tergoda kepada semua itu.. insyaAllah.

Bas syarikat Star Coach yang membawa saya ke Sungkai

Perjalanan mengambil masa 1 jam. Penumpang juga tidak ramai. Saya tiba di Sungkai jam 6 petang. Syukur masih ada bas untuk ke Bidor. Bas yang terakhir. Stesen bas mengundur Sungkai pernah saya ulas satu ketika dahulu dalam blog ini. Suasana petang di Sungkai agak sibuk. Dahulu pekan ini sunyi. Namun kini ia sudah agak sibuk akibat pertambahan penduduk. Dari tingkap bas, saya memandang ke luar. Sederet rumah kedai kayu bersebelahan stesen bas Sungkai kini sudah tiada lagi. Saya masih ingat lagu dahulu emak sering menempah baju kurung pada seorang tukang jahit wanita Cina yang membuka kedainya disitu. Tidak saya tahu dimana lokasi kedai jahit itu kini.

Pemandangan waktu petang sebahagian pekan Sungkai
dari arah stesen bas mengundur


Bas Syarikat Hup Yik di stesen bas mengundur Sungkai

Dahulu ada sederet kedai kayu berhampiran dengan 
stesen bas Sungkai ini. Namun kini ia sudah tiada lagi.

Bas bergerak meninggalkan pekan Sungkai sekitar jam 6.30 petang. Tidak ramai penumpang bersama saya. Rasanya sudah hampir 5 tahun saya tidak menaiki bas dari Sungkai ke Bidor. Tambangnya juga semakin meningkat. Syarikat bas Hup Yik yang beroperasi sejak dari sebelum merdeka masih lagi gagah memberikan perkhidmatan bas berhenti-henti untuk laluan Tapah-Bidor-Sungkai walaupun khabarnya perkhidmatannya tidaklah sekerap dahulu. Kini sudah ramai yang memiliki kenderaan sendiri. Pengangkutan awam seperti bas berhenti-henti semakin terpinggir dari arus masa. Sudah banyak syarikat bas yang gulung tikar dan saya tidak tahu lagi bilakah penamat hayat syarikat ini. Esok atau lusa itu saya tidak pasti namun suatu hari nanti sudah pasti kita akan mengenang kembali betapa manisnya kenangan susah senang menaiki bas tua yang uzur dan memang saya telah menikmatinya !!!!!

Sampai sahaja di Bidor, ayah telah menanti saya dengan motosikalnya. Sejak dahulu hingga kini, ayah sentiasa  cepat dan tepat dari saya. Saya akui saya tidak akan mampu dalam menandingi ayah dalam ketetapan janji dan masa. Perjalanan yang agak mencabar namun memberi makna kepada saya... tidak mustahil saya akan menikmati perjalanan seperti ini di masa-masa yang mendatang. Cuba-cuba menaiki komuter rupa-rupanya memberi sejuta satu kenangan yang sukar dimengerti !