BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, December 15, 2009

Kenangan Di SMK Selirik

Akhirnya semalam saya menamatkan tugas saya sebagai penyawas peperiksaan SPM 2009 di SMK Selirik Kapit. Ia pengalaman yang penuh dengan warna - warna yang sukar dilupakan. Teman - teman pengawas yang lain semoga kita berjumpa lagi di suatu masa yang lain. Buat pelajar jagaan saya semoga peroleh keputusan yang membina untuk sebuah masa depan yang akan datang.

Sebulan lebih bersendirian di Kapit ini banyak mengajar saya untuk merasa sayang pada sebuah tugas seorang guru. Ia mematangkan saya untuk sebuah sayang yang hilang di telan hijau daerah pedalaman ini.


Ketua pengawas pusat SP007 SMK Selirik ( A ) Encik Jawi Kulleh ( kiri ) dan pembantunya Encik Charles


Dari kiri Puan Darfrina, Encik Charles, Hafez J.Malim dan Encik Jawi Kulleh


Kertas akhir yang diawasi.. tulisan hodoh...hehehe


dalam debar sebuah perjuangan - semoga berjaya



Monday, December 14, 2009

Melepas Rasa

Kebelakangan ini fikiran, minda, akal, budi dan perasaan saya agak terlalu tertekan. Sukar bagi saya mengambarkan kejadian diri saya begini. Rasa penyesalan pada diri terlalu menekan sehingga saya sukar menerima kehilangan sesuatu yang paling berharga dalam hidup saya.

Ianya membuatkan saya mula mentafsir setiap kesalahan dan kekhilafan saya terhadap dia. Kini persoalan hatinya sudah terjawab...dia memerlukan masa dan saya sudah terlalu merasa kehilangannya walaupun sebentar. Dia gadis yang membuatkan saya berfikir untuk berubah....benar saya perlu berubah demi cintanya.

Akhirnya fikiran saya sukar ditenangkan dengan mudah. Mungkin mengambil masa yang lama namun harapan saya masih menggunung padanya. Setiap kenangan yang terbina di kejauhan masa yang lalu saya simpan kukuh di dalam kotak hati ini... InsyaAllah di suatu hari yang jauh nanti saya akan membuka kotak kenangan ini bersamanya....bersama dia yang saya cintai... gadis itu.

Bila petang - petang kuning di daerah pedalaman ini sering saya mencari tenang di tepi terminal penumpang Kapit. Saya mengenang kembali rasa sayang dia kepada saya dan benar dia gadis terbaik dalam hidup saya. Semoga dia kembali di suatu hari yang tenang nanti.... DIA TERLALU INDAH DI HARI SILAM SAYA.


Terminal Penumpang Kapit tempat saya mencari tenang


Barisan bot ekpres di Sungai Rajang


Terminal Penumpang Kapit dari arah belakang


SELAMAT DATANG KE KAPIT


Hati tenang di sini

Friday, December 4, 2009

KESEDARAN

( Untuk Mata Hatiku Yang Hampir Mati )

Dalam duka kasih
harus rasa kita tersenyum
kerana Tuhan memilih kita
untuk kuat dalam derita
yang zalim pedih memekat
di hati yang merah sakit....

Hidup ini untuk dinikmati sifatnya
bukannya untuk ditangis hiba
merenyuk jiwa pada kolam perasaan
hingga kita terlupa
kasih Tuhan
terlalu luas sifatnya
dan kasih sayang Tuhan
memberikan kita hidup....TANPA SYARAT !

Benarlah kata pujangga
hidup ini terlalu indah
untuk disia - siakan....


AKU KEMBALI MENJADI MANUSIA !!!




Dikirim ke esastera pada 4 Disember 2009

Saturday, November 28, 2009

Cintaku Mekar Di Bumi Kenyalang ( 1 Pentomin Perasaan )

Saya mengarahkan pementasan pentomin ringkas berjudul "Cintaku Mekar Di Bumi Kenyalang" semasa jamuan akhir tahun staff SMK Kapit 2009 di Dewan Suarah Kapit pada 12 November 2009 yang lalu. Ini pentomin ke dua yang saya arahkan selepas pentomin berjudul "Tipah Tertipu" sewaktu Minggu Orientasi Mahasiswa Baru Ambilan 2004/2008 Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim. Kiranya setelah 5 tahun berlalu barulah saya menguji semula keberanian mengarah pentomin saya.

''Cintaku Mekar Di Bumi Kenyalang'' adalah sebuah pentomin ringkas dan berbajet rendah. Ianya dilakonkan oleh kumpulan guru - guru intake November 2008 SMK Kapit. Sama dengan pementasan pentomin ''Tipah Tertipu" dahulu, konsep yang sama saya terapkan ialah komedi lucu. Berbeza dengan pentomin pertama dahulu saya tidak berlakon sekali, tetapi untuk pentomin ini saya terpaksa mengarah, berlakon dan menjadi suara latar. Ini sudah pasti beban yang sukar. Namun segalanya berjalan lancar dengan bantuan teman - teman setugas yang pada saya sporting dalam melakonkan watak - watak mereka di samping menjadi krew bertugas mengawal muzik dan pergerakan pentomin ini.

Timbul juga perasaan gundah di hati saya bila memikirkan mampukah kami membuat audiens ketawa geli hati dengan lakonan dan skrip saya hasilkan....Pentomin ''Tipah Tertipu'' lima tahun dahulu berjaya mengamatkan seluruh Dewan SITC UPSI. Paling manis pentomin itu berjaya mendapat tempat ke-2 dalam majlis berkenaan.

Alhamdulillah....akhirnya ''Cintaku Mekar Di Bumi Kenyalang'' juga berjaya menggelikan hati audiens dan respon yang diberikan oleh teman - teman setugas dan pengetua adalah di luar jangkaan. Dewan Suarah Kapit gemuruh dengan ketawa atas lakonan kami. Malahan makcik - makcik menghidang makanan pada majlis itu sempat berseloroh dengan saya mohon diadakan lagi pementasan seperti itu.... satu kelapangan berputik di dalam hati.

Kredit kepada teman - teman yang banyak membantu dalam menjayakan pementasan pentomin ini. Lakonan dan bantuan anda semua akan terus kekal sepanjang hayat kita di bumi Kapit bertuah ini. Ianya sebagai tanda sebuah persahabatan yang indah dan abadi !!!!!!!!!!


Hafez J.Malim sebagai Sarip Dol



Dari kiri : Hii Siew Ting ( Mona Fandey ), Hafez J. Malim ( Sarip Dol ), Kumaresan ( MGR ) dan Leyu Zi Yu ( Mary )


satu babak menarik 







Thursday, November 26, 2009

SALAM AIDILADHA 1429 HIJRAH !!!!



Ini tahun kedua berturut - turut saya berhari raya Aldiladha di Kapit Sarawak. Tahun lepas saya tidak dapat pulang berhari raya kerana masalah kewangan akibat dari penempatan guru - guru baru adalah pada hujung tahun.Tahun ini pula saya terpaksa bertugas menjadi pengawas peperiksaan SPM di SMK Selirik dan semestinya ini membantutkan niat untuk pulang berhari raya di Bidor Perak....kampung kelahiran saya.

Agak sedih rasanya di dalam hati ini. Sukar menggambarkan apa yang terkandung di persaan saya ini. Resah hati rindu pada keluarga, teman - teman dan kampung halaman terpaksa saya telan bulat - bulat demi kelansungan perjalanan peperiksaan SPM pelajar - pelajar SMK Selirik. Mungkin ini dinamakan pengorbanan seorang guru tetapi pada saya ia lebih dari itu...... ia ialah lambang kasih dan sayang saya pada bumi Kenyalang tercinta ini. Kata - kata hikmat yang paling sempurna bagi seorang guru ialah " dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung"... setiap yang kita lakukan adalah atas nama 1 Malaysia bukan atas nama semangat kenegerian... dimana negeri pun tercampak kita mengajar disitulah kita menabur budi.

Akhir kalam....mohon jutaan kemaafan dari hati tulus dan ikhlas dari saya Hafez J.Malim... semoga sentosa hidup kalian yang mengenali diri ini luaran dan dalaman......SELAMAT HARI RAYA ALDILADHA !!!!

Friday, November 20, 2009

Surat Dari Seorang Pelajar......

Pelik juga rasa di hati bila ketika sedang sibuk mengemas beg tugasan harian, saya terjumpa dua pucuk surat yang agak misteri sifatnya. Aneh....entah siapa yang meletakkan di dalam beg saya. Mulanya ingin dibuang tetapi hati melarang.....mungkin ada sesuatu rahsia yang ingin disampaikan oleh si pengirim. Semuanya bermain dan berlegar di benak saya.

Apabila surat itu dibuka..hati menjadi riang dan terukir senyuman di bibir saya apabila melihat surat itu datangnya dari anak murid saya sendiri. Seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi yang diinklusifkan dalam aliran perdana. Namanya Doknen@Mendo. Seorang gadis Kenyah yang kehilangan bahasa ibundanya. Orangnya lucu dan periang walaupun kadang - kadang sakit. Akalnya juga tinggi dan banyak helah. Dia kini ditempatkan dalam kelas tingkatan 4 aliran perdana kerana dalam perkiraan kami dia boleh diinklusifkan kerana mampu untuk menulis dan membaca walaupun penglihatannya sebelah kanan mengalami kebutaan total. Selain itu Mendo juga mengalami masalah lembam yang menyebabkan pemikirannnya masih keanak - anakan.

Berbalik semula kepada surat tadi...walaupun ringkas dan mudah ( terselit juga gambar pemandangan )namun bagai seorang guru pendidikan khas, ada sesuatu yang meriangkan didalam hati. Masakan tidak bila ada seorang pelajar yang menghargai dan menyayangi kita bukankah itu suatu yang bermakna sebagai seorang guru. Tambahan pula ia datang dari seorang pelajar yang istimewa dan mereka tidak menipu dengan perasaan mereka. Semuanya membuatkan saya berfikir sendiri....betapa indah nya menjadi seorang guru pendidikan khas. Jauh di Kapit ini saya menemui sesuatu yang penting dalam diri...HARGA SEBUAH KEIKHLASAN. Saya tidak mampu menilai keikhlasan diri. Namun ia membuatkan saya terlalu bermotivasi pada kerjaya ini.

Esok pasti datang dengan cerita yang berbeza. Semalam dilalui dengan segala kenangan. Namun semuanya terakam indah di dalam diri. Kadang kala bila begini saya suka untuk menjadi sunyi namun saya sedar ia permulaan untuk sebuah langkah. Surat dari Mendo walaupun hanya kata - kata ringkas namun itulah luahan hatinya. Tertulis di kertas putih.....SEPUTIH HATINYA MELIHAT SAYANG TUHAN....

Lukisan Pemandangan

Surat 1

Surat 2


Thursday, November 19, 2009

GADIS ITU



Gadis itu 
meninggalkan aku
jauh ditengah lautan
ketika layar yang kudirikan
lolos ditelan angin 
perasaan bencinya pada

KECEWA
             SAKIT
dan.............SEKSA
                                pada sebuah penyatuan
lalu.............dia mohon mudik kehulu
mencari haluan baru

DAN.....
Aku pun menjadi kubur
janji - janjinya jadi nisanku
tertulis kalimah nista
sampai ketemu Tuhan

Gadis itu
telah membunuhku
zarah demi zarah
masa demi masa
kepeduliannya satu------------->BEBAS !!!!!!!!!!!!


Air mataku jadi syaitan
meracun sukma.


dikirim ke e-sastera pada 19 November 2009







 

Saturday, November 14, 2009

2 Minggu di PPKI SMK Kapit


Rasa-rasanya 2 minggu terakhir dalam sesi persekolahan 2009 inilah saya mula merasakan sedikit kesibukan yang teramat seksa. Masakan tidak segala urusan - urusan akhir persekolahan sesi ini perlu diselesaikan dengan pantas dan segera. Di PPKI dalam tempoh 2 minggu ini ada 3 acara besar ( pada zahirnya bersifat kecil ) yang berlangsung. Acara - acara itu ialah :
  1. Sukaneka PPKI SMK Kapit 2009 ( 4 November 2009 )
  2. Perjumpaan Bersama Ibu Bapa Pelajar  dan Penyerahan Buku Laporan Prestasi Pelajar PPKI SMK Kapit ( 6 November 2009 )
  3. Jamuan Akhir Tahun 2009 PPKI SMK Kapit ( 10 November 2009 )
Alhamdulillah semua acara ini berjalan dengan amat lancar. Segala perancangan bersama teman - teman guru PPKI berjaya mengikut apa yang dirancang. Begitu juga dengan beberapa urusan akhir seperti pengembalian buku teks dan urusan pengeluaran biasiswa pelajar dapat diselesaikan dengan mudah.

Saya juga terpaksa menangani beberapa masalah kerja yang perlu diselesaikan dengan secepat mungkin. Hal yang paling utama bagi saya ( juga kepada penyelaras PPKI, Guru kanan dan pengetua ) ialah berkenaan dengan pembukaan kelas tingkatan 4 Khas bagi sesi 2010. Masalah ini adalah berkaiatan dengan matapelajaran yang akan ditawarkan dan pembahagian tugas mengajar kelas berkenaan. Mujurlah pihak JPN Sarawak, pihak sekolah dan PPKI sendiri berjaya mencari jalan alternatif yang paling sesuai dengan kelas berkenaan. Mungkin inilah kali pertama ( pada jangkaan saya sahaja ) sebuah kelas Pendidikan Khas yang bersifat separa inklusif. Walaupun saya agak berat dengan keputusan ini namun ia perlu bagi kelangsungan ilmu pelajar - pelajar pendidikan khas di Kapit.

Kini cuti sudah bermula.....saya sendirian di Kapit. Anak - anak murid saya sudah mulai berpulang ke rumah panjang masing - masing. Segala kesibukan lalu telah berakhir. Saya menantikan fajar baru tahun 2010. Di PPKI SMK Kapit saya tetap setia bersama...... mungkin untuk beberapa tahun lagi disini...

MASAKAN HATI TIDAK MENJADI SAYANG DI SINI.....BILA KASIH DIBERI TERBUANG SEPI DIHUJUNG TANAH IBUNDA !!!!!!!!!



Wednesday, November 4, 2009

Sukaneka PPKI SMK Kapit 2009

Beberapa hari yang lepas, tiba - tiba saya terfikir untuk menganjurkan sukaneka kecil - kecilan buat pelajar - pelajar saya. Saya utarakan apa yang terkandung di dalam fikiran saya kepada penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi ( PPKI ) SMK Kapit iaitu Cikgu Rosman dan dia bersetuju dengan cadangan saya tanpa banyak bicara.

Terfikir juga di benak hati saya bagaimana saya mahu menangani beberapa masalah yang mungkin timbul dari penganjuran acara kecil - kecilan ini. Pertamanya sudah pastilah soal ongkosnya. Walaupun perbelanjaannya kecil namun PPKI ini bukanlah sebuah program yang mewah. Peruntukan kepada kami biasanya tidak lah terlalu banyak dan tabung itu tidak akan terisi lagi sehingga tahun hadapan. Namun masalah itu berjaya diselesaikan melalui tajaan dari Syarikat Andy Emporium Kapit untuk 3 buah hamper hadiah yang comel. Terima kasih atas tajaan tersebut.

Beberapa masalah lain seperti kebenaran ibu bapa penjaga, barang - barang keperluan program semuanya dapat diselesaikan dengan bantuan yang tidak berbelah bahagi dari Cikgu Rosman dan Pembantu Pengurusan Murid PPKI saya itu Puan Sylvia Jingga, Puan Entia Bangau dan Cik Evelyn Umpa. Semuanya memainkan peranan yang penting dan berkesan. Kredit kepada mereka.

Akhirnya dapatlah pelajar - pelajar istimewa saya merasa nikmatnya bersukaneka pada hari ini ( 4 November 2009 ) dengan rasa indah dan nyaman seperti teman - teman aliran perdana yang lain. Namun hati tetap gundah gulana yang teramat bila hujan mula turun di subuh hari. Alhamdulillah segala perasaan gundah itu terhakis lekas bila matahari mula memancar cahaya cintanya pada dunia di kemudiannya.

Padang KDC Kapit menjadi lokasi acara ini. 10 acara disediakan seperti isi air dalam botol, bawak bulu tangkis atas raket dan lain - lain lagi. Selain itu acara permainan dalaman iaitu congkak dan corom juga turut dijalankan. Setiap pelajar dibahgikan kepada 4 kumpulan dan mengandungi 4 orang peserta.

Pelajar - pelajar saya tidak ramai. Kebanyakannya mengalami masalah lembam atau "slow learner" . Masalah ini sering berlaku pada kanak - kanak di seluruh dunia dimana pencapaian akal mereka tidak secepat atau sepantas kanak - kanak normal yang lain. Dalam usia 13 hingga 15 tahun, pelajar - pelajar saya masih berfikiran seperti anak - anak prasekolah malahan masih ada yang belum tahu membaca. Namun demikian ia tidak menghalang mereka untuk menikmati dunia ini. Bukankah Tuhan telah mencipta dunia untuk setiap anak manusia tanpa ada sempadan ruang?....

Segalanya indah pada hari ini... kami menikmati setiap masa dengan rasa indah dan ketawa. Teman - teman guru yang lain juga merasa ingin berkongsi perasaan kami dan setiap mereka melahirkan rasa gembira. InsyaAllah acara seperti ini akan diteruskan pada masa - masa yang mendatang. Ia bukan sekadar sebuah acara yang gembira tetapi lebih kepada acara yang membina.......SEBUAH KASIH SAYANG SEUSIA HIDUP....










 CIKGU SAYANG KAMU SEMUA !!!!!!








Sunday, November 1, 2009

KERINDUAN ( UNTUK HARI KECILKU )


Ada
sesuatu yang hilang
dalam diri.....

Kemudiannya
kita cari dan gali
sampai menemunya
di tepi hutan usia kita.....

Ianya
tersisih jauh
dan menjadi
teramat rindu sifatnya.....

Itulah
rasa indah abadi
di kekecilan detik masa
yang berlalu.....

Akhirnya
ia usang
ditelan anai - anai usia dewasa
pada hari yang membunuh
rasa sayang ini.....

..... ia semakin hampir dan jelas .....




Hafez J. Malim
Kapit Sarawak

( Dikirim ke e-sastera pada hari Ahad ( 1 November 2009 ) )

Friday, October 30, 2009

Cerita Sebuah Lagu

Ada satu keasyikan bagi seorang anak manusia bila terdengar lagu yang mereka gemari. Setiap insan ada lagu yang memberi rasa indah atau sedih di hati mereka. Saban hari ribuan lagu tercipta dan dimainkan di seluruh pelusuk dunia. Pelbagai genre lagu yang rancak, sedih, riang, perlahan dan beraneka lagi menghiasi pendengaran kita setiap masa dan ketika.

Bila menyentuh tentang lagu ini saya juga tidak terkecuali. Memang saya mengakui saya adalah peminat muzik yang rancak sifatnya seperti metal dan rock. Di masa yang lalu malah sehingga kini saya masih lagi terikat dengan gaya hidup remaja saya yang bebas dengan muzik. Pada masa saya bersekolah menengah dahulu demam metal melanda saya dan teman- teman. Mungkin anak - anak didik saya sendiri tidak akan percaya bahawa saya pernah mempunyai sebuah band bernama CETERIS PORIBUS yang memainkan lagu black metal!!!!!!!. Bila mengenang semula semua itu saya jadi tersenyum sendirian masakan tidak kami berlatih bermain gitar hampir sepanjang malam dan di hujung minggu menghabiskan duit di dalam studio jamming... RM25 sejam!!!!! Dan bergambar dengan gaya yang aneh... muka di cat dan memakai baju hitam. Bagi yang ingin lebih rebel badan disimbah cat merah untuk nampak lebih ganas. Tapi kami tidak pernah meminum darah kambing atau menyembah syaitan seperti yang didakwa oleh beberapa tabloid pada ketika itu. Pada masa itu penggunaan CD belum begitu meluas dan penggunaan kaset adalah yang paling dominan. Kaset - kaset dalam simpanan saya selalunya tidak akan dapat bertahan lama kerana ia akan hilang dipinjam oleh teman seorang demi seorang.

Namun begitu walaupun telinga ini terlalu banyak disogok dengan lagu - lagu keras ia tidak mengahalang saya dari meminati lagu - lagu keroncong dan malar segar ( lagu - lagu lama ). Ini mungkin berpunca dari ibu saya yang sering memutarkan lagu - lagu ini di radio cabuk keluarga kami. Malah sehingga ke hari ini selain lagu - lagu keras, lagu - lagu keroncong dan lama lah yang bisa membuatkan saya jadi tenang dan gembira. Malahan teman - teman pernah menggelarkan saya mat keroncong kerana kegemaran saya ini.

Ada sebuah lagu lama yang begitu berkesan di jiwa saya. Ia sebuah lagu nyanyian dari penyanyi negara seberang Ernie Djohan berjudul Teluk Bayur. Liriknya mudah dan berkesan untuk menyiulkannya selalu. Bila berada jauh di rantauan sekarang ini memang bisa mengalirkan air mata tatkala mendengar lagu ini. Ia seolah menceritakan tentang hidup saya sebenarnya.


Teluk Bayur
Selamat tinggal Teluk Bayur permai
daku pergi jauh ke negeri seberang
ku kan mencari ilmu di negeri orang
bekal hidup kelak di hari tua

Selamat tinggal kasih ku yang tercinta
doakan agar ku cepat kembali
ku harapkan suratmu setiap minggu
kan ku jadikan pembuluh rindu

Lambaian tangan mu kurasa pilu di dada
kasih sayang ku bertambah padamu
air mata berlinang
tak terasakan olehku
nantikan lah aku di Teluk Bayur

Nantikan lah aku di Teluk Bayur

Lagu ini dicipta oleh Zeanal Ariffin dan amat popular di Malaysia dalam tahun - tahun 60an. Ada juga sesekali ibu menyanyi lagi ini di depan saya dan saya akan menyanyikan sekali bersama ibu. Hati menjadi tenang dan nyaman bila menyanyi bersama ibu. Lagu ini juga terkesan di hati saya kerana ia mengingatkan saya pada seseorang yang jauh sudah ditinggalkan dan mungkin tidak akan bisa kembali lagi.... Benar juga kata ibu jangan menyanyi lagu yang sedih nanti tak terubat sakit di hati. Namun hati saya tidak boleh menipu.. lagu ini benar - benar membuatkan saya bernostalgia. IA PERANGSANG NAMUN PENGHIRIS YANG TAK TERLIHAT!!!!!






Tuesday, October 27, 2009

Rambut....


Ekor Rambut Yang Panjang..... sebagai suatu kenangan..

Adalah beberapa orang teman bertanya kepada saya tentang keadaan rambut saya yang agak panjang ( istilah mudahnya berekor ) sedangkan saya seorang guru. Saya sendiri sukar untuk menerangkan kenapa saya suka menyimpan ekor rambut yang panjang ini dan saya sebenarnya selesa dengan keadaan rambut saya ini.

Namun saya lebih suka menjawab bahawa cuma rambut sebegini adalah sebagai tanda kenang - kenangan saya terhadap zaman remaja saya yang jauh telah berlalu. Jawapan itu mungkin sedikit lucu dan aneh tetapi memang benar.....rambut ini banyak mengingatkan saya pada zaman remaja saya dahulu!!!!!!! Ia sebahagian dari cara hidup saya dan sememangnya saya terlalu bernostalgia dengan nya.

Zaman remaja saya tidaklah terlalu indah dan baik sifatnya. Seperti biasa pergolakan dalam diri sentiasa ada. Hidup dalam keluarga yang berpendapatan rendah dan sederhana banyak mempengaruhi diri saya hingga ke hari ini. Pada masa itu saya lebih selesa menggunakan khidmat teman untuk bergunting rambut. Memang tidak kemas tetapi amat berbaloi membantu ayah menjimatkan perbelanjaan. Itu cerita dari tahun 1995 sehingga 2006. Boleh dikira dengan jari kehadiran saya ke kedai gunting rambut kerana kepala saya ini lebih selesa disentuh oleh teman - teman

Selepas SPM, saya menyimpan ekor rambut belakang ini sehinggalah sekarang. Pengaruh muzik rock, underground, ROTTW dan teman - teman sedikit sebanyak mempengaruhi saya untuk berbuat demikian. Keluarga juga tidak melarang dan ketika itu tiada gadis di hati ini untuk menegur saya. Semuanya liar dan menyeronokkan... HIDUP TERASA BEBAS!

Namun kini semua telah berakhir. Dengan diri ini yang sudah suku abad usianya hanya kenangan yang mampu saya kenang kembali. Ia mengingatkan saya pada puisi karya sasterawan Suhaimi Haji Muhammad berjudul Kepulangan dalam antologi puisinya Mengayam Bulan.

KEPULANGAN
Di tengah daun - daun berguguran
ku dengar suaramu
zaman remaja
burung - burung bersiulan di hutan
di bawah pepohon
suara dia yang menyanyi
masih meninggalkan derap laluan
pagar - pagar baru didirikan
memisahkan kota kecilku
nyanyianku
tinggal disitu
di tepi jeram.


Puisi tadi jelas mempengaruhi pemikiran saya terhadap masa remaja saya. Bila duduk sendiri di tepi jendela pada waktu petang sering saya membelai ekor rambut saya....sambil hati menerawang mengenang hari silam yang sudah menjauh....Bila begini hati mudah menjadi sebak.

Thursday, October 22, 2009

SEBAGAI SUATU CATATAN



Sekadar ingin berkata - kata sahaja. Kadang - kadang perjalanan hidup membekalkan kita sejuta satu pengalaman yang terkadang kita pun terlupa setiap pengalaman itu punya nilai. Aku sendiri tidak punya kuasa untuk lari dari kenyataan ini. Sedari hijau hingga ke hari ini sudah jutaan pengalaman yang tidak terhitung banyaknya menempel dalam memori.

Ramai teman dan taulan silih berganti masuk dan keluar dalam hidup ini. Perasaan duka, gembira, sedih, riang dan beraneka rasa silih berganti mewarna setiap lukisan hidup ini. Juga pada kekasih yang memberi aku peluang untuk disayang dan menyayangi. Keluarga yang mendorong aku untuk hidup sebagai lelaki yang punya nilai membela itu sentiasa aku kenang selalu.

Namun, bila aku bersendirian di daerah pedalaman ini baru aku sedar....semuanya telah mendewasakan aku. Setiap nilai yang aku miliki di pengalaman lalu itu terlalu berguna rupanya untuk aku. Daerah ini terlalu mengusangkan aku sehingga aku jadi batu dan kayu yang mati sifatnya. Namun ia daerah ketenangan yang memberi aku rasa berbakti untuk anak - anaknya. Dan pengalaman lalulah yang membeli semula keusangan ku menjadi baharu kembali dalam kehidupan...

Ini sekadar catatan dalam hidup seusia aku.... Tercurah dalam ruang maya besar dan luas. Aku bukan pencoret yang taat juga bukan sasterawan yang ranum dalam berbahasa. Aku cuma anak manusia yang ingin berkongsi setiap rasa sayang Tuhan pada manusia....

hafez j malim
kapit sarawak