BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, February 28, 2011

Hujan....Ia Membeli Sebuah Kenangan ....



Di Kapit....hujannya sukar diramal. Hujan boleh turun tanpa diduga dan cuaca seakan mudah berubah sikap dengan kita. Boleh dikatakan dalam seminggu mesti ada hari-hari dimana saya akan dibasahi hujan. Kadang-kadang takut juga akan demam. Namun setakat ini....antibodi tubuh saya masih lagi kuat...hehehehee.


Malam tadi juga saya ditimpa hujan. Habis basah lenjun saya dibuatnya. Namun secara tiba-tiba ingatan saya terus melayang jauh .... teringatkan zaman kanak - kanak saya. Zaman dimana hujan menjadi sahabat yang terlalu akrab dalam kehidupan saya. Rasanya pertama kali saya melihat hujan adalah di suatu petang yang gelap... dari sebuah jendela rumah kampung kayu beratap zink saya melihat hujan jatuh menitik dari cucuran atap. Jatuh ke tanah dan membentuk kolam kecil. Dari jauh saya melihat pokok - pokok bunga yang ditanam oleh Wan Andak ( ibu saudara ) tunduk sepi. Bagaikan bersyukur dengan hujan yang diberi Tuhan.




Bunyi cucuran hujan di atap zink memang memeritkan. Namun alunan itu bagaikan hilang bila sudah selalu mendengarnya dan menjadi satu muzik yang indah di halwa telinga saya. Pada ketika itu rumah juga menjadi sunyi ... opah, emak dan adik-adik lebih suka tidur. Saya pula bukan jenis yang suka tidur siang sewaktu kecil ( tetapi bila dewasa menjadi kaki tidur siang ) akan keluar untuk mandi hujan !!!!! Itulah kenikmatan yang tiada terhingga. Bila titik-titik hujan itu menyimbah muka terasa segar yang mendingin. Berlari-lari bersama teman di dalam hujan benar-benar  menyeronokkan. Tidak pernah timbul perasaan takut akan demam atau selsema.... semuanya berlaku dengan riang !!!!!



Namun demikian, hujan memberikan satu perasaan yang lain kepada saya pabila tidak keluar bermain hujan. Suasana biasanya jadi muram. Biasanya kami di kampung tidak dibenarkan oleh ayah dan emak untuk memasang apa jua alatan elektrik kerana takut disambar kilat... sampai sekarang saya masih memegang kata-kata itu !!!


Biasanya selepas hujan kami akan keluar dari rumah. Suasana yang lembab memberi suatu perasaan yang tebal lagi untuk bermain. Padang bola pula menjadi sasaran kami bermain air takungan hujan. Tidak pernah memikirkan soal kotor walaupun tahu emak akan membebel apabila pulang ke rumah.... ia bagai satu rutin yang berulang dan terangkum dalam jadual kehidupan. Pernah juga saya dibalun bertalu-talu oleh ayah dengan buluh hanyut kerana mengikut sepupu-sepupu saya pergi memancing di sungai sewaktu hujan lebat. Sakit dan malu di depan teman-teman memang tidak terkira nilainya namun apa yang pasti saya tidak menangis....


Kadang-kadang opah dan emak membuat air kopi 'o' panas dan pisang goreng atau cokodok di waktu petang semasa hujan turun. Seronok menikmati hidangan bersama keluarga walaupun hidup dalam kedaifan namun itulah yang membuat saya mudah jatuh sebak mengenang saat-saat itu. Bila masuk waktu senja, hujan mulai berhenti... bunyi katak dan kodok silih berganti memenuhi ruang pendengaran. Ia mendendangkan satu lagu yang indah .... lagu tentang suatu musim yang gembira.



Namun......kini semuanya telah tiada. Keluarga saya sudah berpindah ke taman perumahan tidak jauh dari kampung. Rumah papan comel dua tingkat beratap zink opah sudah menjadi rumah sewa setingkat milik arwah andak, opah pula sudah lama berpulang menemui Tuhan, andak dan ende juga sudah dipanggil Tuhan, bunyi nyanyian katak juga sudah semakin menghindar.....yang tinggal cuma pokok-pokok bunga wan andak yang terus subur ditimpa hujan. Anak - anak kecil sudah tidak lagi keluar rumah bermain hujan ..... mereka akan dimarahi ibu dan ayah yang lebih suka melihat anaknya duduk di rumah bermain Facabook dan PS2 .....


Sesekali bila pulang ke kampung .... bila hujan turun, saya tanpa segan silu turun ke laman rumah bermain hujan  Bukan kebudak-budakan, tetapi membeli semula kenangan-kenangan di masa kecil saya. Setiap kali rintik-rintik hujan itu jatuh ke wajah .... terbayang saat indah itu dan mereka - mereka yang telah pergi jauh meninggalkan saya .......saya menjadi seorang yang penyedih !!!! Hujan membuatkan saya terkenang.

Al-Fatihah untuk mereka yang telah berpulang ..... saya akan menyusul kalian ....







Tuesday, February 22, 2011

Sekadar Catatan ....



Luka yang membeli sebuah cerita lama
adalah cendawan - cendawan racun
yang menyelinap ke dalam 
usus-usus sayang mu kepadaku ...

Ia menjalar dengan santun
membuat aku jadi sayu
jadi hiba sesak dan hingar
INGIN MEMILIKI MU !





Monday, February 14, 2011

SALAM MAULIDUR RASUL


Ya Allah wahai Tuhan kami ... 
kurniakanlah kepada kami keinginan yang bersungguh-sungguh untuk mengikuti jejak langkah junjungan kami Nabi Muhammmad S.A.W dari awalnya, akhirnya, lahirnya, batinnya, perkataannya, perbuatannya, ibadatnya dan amal baktinya... 
SALAM
MAULIDUL RASUL 
1432 HIJRAH .... 
1 MALAYSIA 1 UMMAH !!!!
 
 

Saturday, February 12, 2011

Kembara Pekan Terpencil 4 : Pekan Temoh

Daerah Batang Padang dalam negeri Perak Darul Ridzuan sebenarnya masih menyimpan pelbagai tinggalan pekan-pekan kecil yang mungkin wujud sejak zaman penjajahan British di Tanah Melayu. Pekan - pekan ini walaupun kelihatan tua dan usang tetapi sebenarnya menyimpan banyak kisahnya yang tersendiri. Bangunan-bangunan lama yang masih teguh berdiri di pekan-pekan ini seolah-oleh memanggil-manggil diri saya untuk meneroka khazanah lama yang entah bila akan musnah di makan oleh binatang yang bernama kemodenan.




Saya meneroka ke kawasan utara daerah Batang Padang bagi melawat pekan -pekan lama yang masih tersisa. Pekan yang saya lawati kali ini ialah pekan Temoh. Bagi pengguna jalan persekutuan dari Tapah menghala ke Kampar sudah pasti akan melalui  pekan Temoh yang sunyi dan kusam. Dengan bangunan kedai tua di kiri dan kanan jalan sudah pasti ia bukan pilihan bagi pemandu-pemandu untuk berhenti rehat kecuali jika ingin mengisi petrol.

Temoh mungkin wujud dari ledakan kegiatan perlombongan bijeh timah di Tanah Melayu pada suatu ketika dahulu. Majoriti penduduknya adalah orang Melayu dari suku Rawa, Mendailing, Jawa, Perak dan lain - lain lagi. Saya sampai di pekan ini ketika waktu sudah hampir menunjukkan jam 3 petang. Suasananya tidak banyak yang berubah dan tetap sama seperti dahulu. Walaupun terletak di jalan persekutuan namun peranan  dan kepentingan pekan Temoh dibatasi oleh pekan Tapah dan bandar Kampar. Ini menyebabkan rumah-rumah kedai di sini lebih banyak yang kosong dan sepi.

Panorama pekan Temoh
 

Bangunan kedai ... lebih banyak yang kosong dan sunyi
di pekan Temoh.

Sebahagian dari panorama pekan Temoh

Apa yang menarik perhatian saya di pekan ini ialah kewujudan beberapa buah bangunan yang pada saya agak unik dan klasik. Salah satunya ialah sebuah Dewan Orang Ramai yang turut menjadi pejabat Majlis Daerah Tapah cawangan Temoh. Bentuk binaanya agak klasik. Namun keadaannya agak uzur. Saya yakin bangunan dewan ini banyak berjasa kepada penduduk Temoh. Saya kurang pasti sama ada dewan ini masih digunakan atau tidak. Namun jika dilihat suasana kiri dan kanan dewan ini yang kusam .... sukar bagi saya menjangkakan hayatnya untuk beberapa tahun akan datang.

Dewan Orang Ramai pekan Temoh...
usang dimamah masa

Dahulu ayah saya selalu juga ke pekan Temoh untuk bergunting rambut. Kata ayah, di Temoh cara guntingannya amat memuaskan hatinya kerana ia masih lagi dilakukan secara lama seperti di masa-masa mudanya. Menurut ayah lagi, dia amat suka menikmati waktu bergunting rambut dalam masa yang agak lama berbanding tukang gunting rambut moden yang dilihat mengunting rambut pelangganya dengan pantas. Saya tercari - cari kedai gunting rambut yang ayah maksudkan. Risau hati saya jika kedai gunting rambut tua itu sudah habis ditelan zaman. Syukur .... dari seberang jalan saya dapat melihat sebuah kedai gunting rambut lama di dalam sebuah kedai yang usang. Dapat dilihat dua orang pelanggan menunggu giliran untuk bergunting rambut. Ia membuatkan saya berfikir sejenak ..... berapa lama lagi kedai runting rambut ini mampu bertahan mendepani cabaran kemodenan.... sukar saya memberi jawapan.
 

Sebuah kedai gunting rambut tua ....
Klasik yang tidak terbeli dengan Ringgit Malaysia !!!!

Sebuah lagi bangunan yang menarik lensa kamera saya ialah sebuah rumah kedai yang agak terpisah jauh dari bangunan kedai utama pekan Temoh. Ianya terletak di pinggir jalan menghala ke pekan Temoh Stesen. Bangunan ini menempatkan dua buah rumah kedai. Salah satunya ialah kedai pemborong getah dan bijih timah. Memandangkan kini Bijih Timah sudah tidak dilombong secara aktif di negeri Perak, saya pasti kedai ini sudah tidak beroperasi lagi. Namun dari tingkapnya yang terbuka, dapat dilihat gambar-gambar lama ( hitam putih ) tergantung di dindingnya .... ia sebuah bangunan yang seolah - olah ingin bercerita sejarah lamanya kepada saya.. ia sunyi dan sepi.

Sebuah bangunan kedai tua yang sunyi dan sepi


Sebuah pejabat pos lama juga terdapat di pekan ini. Ia sebuah bangunan kayu yang cantik. Saya memang suka meninjau keadaan pejabat pos apabila sampai ke sesuatu kawasan. Pejabat pos Temoh agak unik. Mungkin inilah satu-satunya nadi perkhidmatan bagi penduduk Temoh melunaskan bayaran bil-bil elektrik dan air.

Pejabat Pos pekan Temoh

Hampir setengah jam saya mundar mandir di pekan Temoh. Suasana petang yang redup membuatkan saya merasa sayu. Banyak perkara yang bermain di fikiran saya tentang pekan Temoh. Bila memikirkan tentang keadaan rumah kedai lama yang kosong dan kemungkinan dirobohkan bagi perluasan jalan persekutuan, saya bimbang pekan Temoh akan menjadi sebuah tempat yang bernama namun pekannya tiada. Temoh bukan pekan yang besar dan secara beransur-ansur saya melihat Kampar dan Tapah sudah mula berjaya membunuh kepentingan pekan ini dari penduduk-penduduknya sendiri.

Saya bergerak meninggalkan pekan Temoh menuju ke satu lagi pekan tua yang sedang menanti saat matinya iaitu pekan Temoh Stesen. Ia akan saya catatkan dalam koleksi akan datang ....  Di Temoh .. saya menjumpai sesuatu yang bernilai .... cerita ayah tentang bergunting rambut dan balada sebuah rumah kedai yang sepi. Ianya tersimpan rapi dalam lubuk hati dan pemikiran saya. Bila bersendirian begini .... melihat gambar pekan-pekan tua ini ... saya mudah menjadi sayu mengenang satu zaman yang tidak pernah saya lalui !!!!!





Friday, February 4, 2011

Sekuntum Bunga Putih

Sudah lama saya tidak berpuisi. Namun sesekali bila bersendirian, muncul juga idea-idea untuk berpuisi. Ia sebenarnya bermula dari satu perasaan yang sukar untuk dijangka. Namun bila sudah ada pen dan kertas, segalanya terkeluar dengan mudah dan berterus terang. Puisi ini adalah untuk seorang gadis .... namun saya tidak tahu untuk gadis yang mana. Saya tidak punya seorang gadis manis untuk diberikan puisi ini ....ianya hanya sebuah ilusi dan fantasi saya .... Itu yang termaklum di benak dan hati ini.


Sekuntum bunga putih
sepi yang beralun lembut
di kelopaknya
adalah sayu hati yang rindu
pada kumbang perantau ....

Sekuntum bunga putih
lambang kasih sementara
dihisap madu
ditinggal tenang
menunggu layu ....

Sekuntum bunga putih
ada rasa kasih tertinggal
di bawa kumbang
terbang tinggi
membunuh kenangan ....


Thursday, February 3, 2011

Kembara Pekan Terpencil 3 : Pekan Behrang Stesen

Saya meninggalkan Tanjong Malim ketika hari sudah lewat petang namun masih cerah. Dalam perjalanan pulang ke Bidor ini saya akan singgah ke sebuah lagi pekan klasik dalam negeri Perak iaitu pekan Behrang Stesen. Pekan Behrang stesen terletak di pinggir jalan persekutuan dari Slim River menghala ke Tanjong Malim. Pekan ini juga merupakan pekan yang terletak tida jauh dari sempadan antara negeri Perak ( daerah Batang Padang ) dan negeri Selangor ( Daerah Hulu Selangor ).

Bagi pengguna yang sering melalui jalan Tanjong Malim ke Sungai Besar sudah pasti sentiasa akan melalui pekan ini. Namun bagi pengguna Projek Lebuh Raya Utara Selatan ( PLUS ) dan jalan persekutuan, kewujudan pekan ini mungkin menjadi tanda tanya kerana kedudukannya yang memerlukan kita masuk ke persimpangan sebelum menemui pekan ini. Behrang Stesen sebenarnya bukanlah sebuah pekan yang terpencil. Namun kedudukannya berhampiran dengan Tanjong Malim dan Slim River menyebabkan peranannya menjadi agak kurang penting.

Saya meyakini bahawa Behrang Stesen mungkin menjadi satu-satunya pekan dengan bangunan kayu yang masih utuh di Malaysia. Deretan rumah kedainya adalah diperbuat dari kayu. Suasanya begitu klasik malahan semasa berada di pekan ini terasa ia membawa saya ke zaman awal-awal tahun 1970an. Namun suasana pekan ini tetap hidup dengan aktiviti seharian penduduknya. 

Deretan rumah kedai yang diperbuat dari papan masih teguh
di Behrang Stesen

Sebahagian dari panorama Behrang Stesen

Suasana petang di Behrang Stesen

Klasik

Saya menghabiskan masa hampir setengah jam di Behrang Stesen memerhatikan denyut nadi kehidupan di sini. Emak saya, Hasnah Bt Narih lahir di Kampung Mesjid dalam daerah Hulu Selangor berdekatan dengan pekan ini. Malahan masih ada lagi kaum kerabat datuk sebelah emak yang masih lagi mendiami kawasan ini. Cuma saya sahaja yang tidak tahu bersoreh dengan mereka....mungkin atas faktor jarak masa yang memisahkan kami. Saya mendapati kemudahan asas di pekan ini adalah lengkap. Sebuah balai polis, pejabat pos, pasar awam dan stesen keretapi yang moden terdapat di sini. Cuma yang saya tidak nampak ialah stesen pam minyak.

 Pejabat Pos Behrang Stesen

Pekan Behrang stesen walaupun kelihatan tua, namun masih berdenyut dengan aktiviti perniagaan. Lensa kamera saya sempat merakamkan saudagar senja yang masih teguh mencari rezeki di pekan ini. Saya terlihat seorang tua berjaja sate di pekan ini. Namun dari pemerhatian saya,perniagaannya mendapat sambutan. Disamping itu seorang tukang jahit tua, masih terus menjalankan perniaaannya dalam sebuah kedai yang usang dan kusam. Ia menjadi bukti pekan Behrang Stesen sudah mula menjumpai zaman tuanya. Dengan kewujudan bandar Behrang 2020 tidak jauh dari pekan ini tidak mustahil pekan ini akan ditinggalkan menjadi seperti pekan Trolak yang semakin sepi dan terus sepi.

Penjual sate usia emas

Tukang jahit tua teguh dimamah masa

Saya bergerak pulang meninggalkan pekan Behrang Stesen dikala waktu sudah menunjukkan jam 7 malam. Hajat di hati ingin berlama-lama di sini menikmati suasana malamnya namun bila difikir tentang faktor cuaca dan jarak saya memutuskan untuk bergerak pulang. Behrang Stesen... pekan yang penuh gaya klasik. Perjalanan ke sini membuatkan saya merasa sayang dengan khazanah pekan-pekan terpencil yang terdapat di negeri Perak. Gaya klasik dan kehidupan yang bergerak perlahan membuatkan saya jatuh cinta dan membenci kehidupan sibuk di bandar.

Untuk siri perjalanan ke pekan-pekan kecil akan datang pula saya bergerak ke arah utara daerah Batang Padang. Tiga pekan yang menjadi sasaran saya ialah pekan Temoh, pekan Temoh Stesen dan Pekan Banir. Ia akan diceritakan dalam koleksi perjalanan akan datang...  Sejarah mengajar kita menjadi dewasa ... dewasa pula membuatkan kita menjadi matang .... salam








Tuesday, February 1, 2011

Duit Syiling ....

Masuk tahun ke tiga di Kapit baru saya sedari himpunan duit syiling saya semakin membukit. Entah kenapa kelmarin saya tergerak hati hendak mengira jumlah keseluruhan duit syiling yang tersimpan di dalam bekas plastik tepi tilam tidur saya. Dua tahun saya mencampakkan sebarang duit syiling yang ada di kicek saya ke bekas itu tanpa pernah menyentuhinya. Lalu duduk lah saya mengadap dan mengira jumlah duit syiling saya satu persatu. Hairan teman - teman serumah melihat perlakuan saya. 

Namun hasilnya berbaloi..... sebanyak RM228 berjaya kumpulkan melalui jumlah kesemua duit - duit syiling berkenaan. Niat di hati biarlah ia semakin menimbun. Nanti bila saya meninggalkan Kapit ia akan menjadi bukti betapa saya adalah seorang lelaki yang tidak suka membawa duit syiling di kocek !!!!!







IANYA BERJUMLAH RM 228.00 !!!!!