BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, December 9, 2015

Sepetang Yang Manis Di Pekan Layang-Layang


Pekan Layang-Layang Suatu Nama Yang Unik

Bagi saya semenjak dari kecil sehinggalah ke dewasa ini bila disebut perkataan Layang-Layang maka apa yang terlintas di fikiran hanyalah sejenis permainan tradisi seakan-akan wau yang sangat terkenal bagi kanak-kanak dalam dekad-dekad yang telah berlalu dahulu. Namun tidaklah pula saya menjangka rupa-rupanya jauh di selatan Semenanjung Malaysia ini wujud sebuah pekan kecil yang menggunakan nama Layang-Layang.

Kedudukan arah pekan Layang-Layang 
di dalam negeri Johor Darul Takzim.

Perkenalan saya dengan pekan Layang-Layang ini agak lewat dimana ianya mula saya dengari ketika saya mula berjinak-jinak dengan aktiviti menjejaki stesen keretapi lama kira-kira enam tahun dahulu. Ketika itu saya hanya berkunjung ke stesen-stesen keretapi lama di sekitar Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan sedikit di negeri Johor sekiranya terdapat kesempatan masa. Namun tidaklah pula saya menjangkakan untuk ke stesen keretapi Layang-Layang. Ini adalah kerana jarak dan masa seakan-akan tidak memberikan saya peluang untuk ke pekan ini. Dan lama-kelamaan ia terus hilang dari ingatan sehinggalah saya kemudiannya berpindah tempat kerja dari Kapit Sarawak ke Batu Pahat, Johor Darul Takzim.

Di Batu Pahat, kehidupan saya disesakkan dengan beban kerja dan kerenah hidup berkeluarga yang begitu rencam. Namun jika ada kesempatan dapat juga saya melakukan beberapa perjalanan kecil ke pekan-pekan lama di negeri Johor yang pada perkiraan saya mempunyai nilai-nilai estetika dan klasik. Fokus sasaran saya ialah pekan-pekan lama yang terletak dalam jajaran landasan keretapi selatan Semenanjung Malaysia. Hal ini adalah kerana pekan-pekan yang terdapat di jajaran landasan keretapi Semenanjung ini masih bersifat unik dan kekal dalam bentuk asalnya. Saya pernah meneroka ke pekan Batu Anam, pekan Buloh Kasap dan pekan Renggam, ternyata ianya mempunyai keunikan yang tersendiri dan mempunyai aura kolonial yang agak kuat berbeza dengan pekan-pekan lain di Johor yang terletak jauh dari landasan keretapi.

Pekan Renggam

Pekan Batu Anam

Hasil dari perjalanan saya ke pekan Renggam tidak lama dahulu, saya telah menetapkan sasaran untuk ke pekan Layang-Layang pula. Semasa perjalanan ke Renggam dahulu, saya tidak dapat meneruskan perjalanan ke Layang-Layang akibat dari masalah cuaca dan masa yang tidak mengizinkan. Ini telah menyebabkan perasaan ingin tahu saya kepada keadaan pekan Layang-Layang menjadi semakin mebuak-buak dan akhirnya pada suatu petang saya mengambil keputusan untuk melakukan perjalanan bersendirian ke pekan Layang-Layang ini dengan menaiki motosikal kapcai baru saya. Dalam diri hanya berdoa agar segalanya dipermudahkan dan cuaca akan membantu saya dalam perjalanan kecil ini... insyaAllah.

Panorama Indah Sepanjang Jalan

Dari Batu Pahat saya menunggang motosikal saya ke bandar Kluang. Alhamdulillah sejak tiga tahun kebelakangan ini saya seringkali juga ke bandar Kluang ini untuk menikmati keenakan kopi dan roti bakar di stesen keretapinya yang terkenal itu. Begitulah juga untuk perjalanan kali ini, saya tetap juga singgah ke stesen keretapi Kluang dan menikmati keenakan kopi dan roti bakarnya.

Roti bakar yang enak di stesen keretapi Kluang

Sebenarnya terasa begitu lama saya tidak melakukan perjalanan bersendirian menaiki motosikal seperti ini. Timbul rasa kerinduan pada zaman-zaman bujang dahulu dimana saya akan bermotosikal ke mana sahaja mengikut kemahuan hati. Tetapi itulah ... ini bukan lagi masa lalu yang dirasa begitu berharga itu. Segalanya sudah berubah dan saya perlu menerimanya sebagai satu pusingan roda kehidupan yang sentiasa berputar hinggalah penamat nyawa saya.

Saya memerhatikan landasan tua di luar stesen keretapi Kluang ini. Khabarnya nanti projek landasan berkembar akan mula dilaksanakan di jajaran landasan selatan Semenanjung ini. Sayu hati ini apabila mengenangkan nasib yang bakal menimpa stesen keretapi tua ini. Adakah ia akan dikekalkan sebagai warisan keramat bandar Kluang atau bakal menerima nasib dirobohkan seperti stesen-stesen tua yang lain di jajaran pantai barat Semenanjung ? Semuanya bagai menusuk-nusuk ke jiwa saya. Adakah suasana klasik seperti ini dapat saya lihat lagi nanti ? Ah .... saya bagaikan mahu mati apabila mengenangkan semua itu !

Mencari Stesen Keretapi Mengkibol

Stesen keretapi Mengkibol

Usai menikmati secawan kopi dan dan sepotong roti di stesen keretapi Kluang, saya meneruskan perjalanan ke pekan Layang-Layang. Alhamdulillah, cuaca begitu baik pada hari ini. Tidaklah terlalu panas. Seperti perjalanan ke Renggam dahulu, saya berusaha sekali lagi untuk menjejaki stesen keretapi Mengkibol. Sayangnya, simpang untuk ke stesen keretapi berkenaan masih tidak dapat saya temukan. Sewaktu melakukan perjalanan menaiki keretapi dari Kluang ke Johor Bharu tidak lama dahulu, saya dapat melihat stesen keretapi ini dari dalam keretapi yang bergerak perlahan. Ia sebuah stesen kecil yang penuh dengan sifat klasik. Inilah yang membingungkan saya. Puas saya memasuki beberapa simpang namun tidak berjumpa dengan stesen keretapi Mengkibol. Tetapi itulah bodohnya saya ... ego tidak mahu bertanya kepada masyarakat tempatan. Kesudahannya ... saya yang melepas. Sesuatu yang perlu saya kikis dari jiwa saya selepas ini !.

Puas berpusing-pusing akhirnya saya mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke pekan Layang-Layang. Tidak mengapalah, mungkin suatu masa nanti saya akan berkesempatan untuk ke stesen keretapi tua Mengkibol ini. Dari Kluang saya melalui pekan Renggam yang catatan berkenaan pekan ini pernah menghiasi blog ini tidak lama dahulu. Alhamdulillah, respon pembaca terhadap catatan berkenaan pekan Renggam agak memberansangkan. Pekan Renggam menjadi satu batu asas kepada saya untuk mencungkil keunikan pekan-pekan lama yang terdapat di negeri Johor ini. Secara tidak langsung ia memberikan tambahan cerita untuk dikongsikan di dalam blog ini.

Selepas sahaja melewati lintasan rata landasan keretapi di pekan Renggam maka bermulalah perjalanan yang mengasyikkan saya ke pekan Layang-Layang. Melalui jalan yang agak lengang dengan panorama di kiri dan kanan jalan hanyalah ladang kelapa sawit yang menghijau. Sesekali saya dapat melihat rumah-rumah ladang yang mempunyai ciri-ciri binaan yang dibina sejaka zaman kolonial lagi. Masa seakan-akan berhenti disini. Dunia yang terlihat bagaikan menghadiahkan saya dengan pemandangan klasik yang pernah kita rasai dalam tahun 1970an sehingga penghujung tahun 1980an. Tidak keterlaluan untuk saya nyatakan ada rasa ketenangan meresap ke dalam diri ketika ini. Terasa seolah-olah mahu berlama-lama disini. Merasai suatu detik yang sukar dinyatakan oleh bahasa. Saya amat merindui suasana lama seperti ini !

Lintasan rata landasan keretapi di pekan Renggam

Saya lebih selesa menunggang motosikal dalam kelajuan yang perlahan. Cuaca yang meredup dan keadaan jalan yang baik membuatkan saya merasa lebih segar dalam perjalanan. Sesekali saya berselisih dengan beberapa kenderaan lain yang datang dari arah pekan Layang-Layang. Dahulu ketika masih kecil, saya masih teringat suasana jalan lama persekutuan yang begitu mengasyikkan.

Jika mahu ke Kuala Lumpur, perjalanan akan memakan masa yang agak lama. Dari pekan kelahiran saya iaitu Bidor, saya akan melalui pekan-pekan kecil yang mendamaikan seperti Sungkai, Slim River, Pekan Trolak, Tanjong Malim, Hulu Selangor, Rasa dan sebagainya. Di kiri dan kanan jalan hanyalah deretan pokok kelapa sawit dan getah yang menghijau. Sesekali bertemu dengan kampung-kampung tradisi dan hutan-hutan yang merimbun.... namun kini masihkan kita mampu menikmati pemandangan seperti itu ? Masa sebenarnya telah membunuh segala musim kenangan yang pernah kita lalui itu. Tertinggallah kita untuk terus mengenang saat-saat indah itu walaupun ia semakin terhakis dari ingatan.

Selamat Datang Ke Pekan Layang -Layang

Papan tanda pekan Layang-Layang

Setelah hampir 30 minit menunggang motosikal akhirnya saya mula memasuki kawasan pekan Layang-Layang. Saya disambut oleh papan tanda pekan Layang-Layang yang sudah semakin diselimuti oleh dedaun liar. Saya berhenti sebentar di tepi papan tanda ini. Rasanya tidak jauh ke depan saya pasti akan berjumpa dengan pekan Layang-Layang.

Usai mengambil gambar papan tanda tersebut saya meneruskan perjalanan ke hadapan menuju ke pakan Layang-Layang. Terasa tekak begitu dahaga. Kepekatan kopi yang diteguk di stesen keretapi Kluang tadi seolah-olah masih melekat di tekak dan ia menambahkan lagi rasa dahaga. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk singgah dahulu ke sederetan rumah kedai yang terletak di pinggir jalan. Mungkin terdapat kedai runcit disitu.

Telahan saya tepat kerana terdapat sebuah kedai runcit disitu. Saya membeli sebotol air mineral kecil. Pekedai runcit India itu tersenyum melihat saya meneguk air itu dengan segera di hadapannya. Dengan tidak semena-mena pekedai runcit itu menegur saya dan menyuruh saya membaca doa dahulu. Aduh ..... malu sendiri saya dibuatnya. Sesekali di dalam perjalanan seperti ini banyak pengajaran dan ilmu yang boleh kita perolehi secara tidak langsung. Hal-hal seperti inilah yang memberikan aroma kemanisan bagi setiap perjalanan yang saya lalui.

Deretan rumah kedai yang sunyi

Saya tidak pula terus bergerak sebaliknya saya berdiri dahulu di hadapan kedai runcit berkenaan. Saya memerhatikan sekeliling. Di seberang jalan raya dapat dilihat rumah-rumah penduduk. Saya melihat di sepanjang rumah kedai sederetan itu. Ternyata kebanyakan kedai-kedai disitu tidak beroperasi. Hanya ada beberapa buah sahaja kedai yang beroperasi termasuk kedai runcit yang saya singgahi ini. Suasana terasa benar-benar sepi. Tidak lama kemudian muncul beberapa orang pelajar sekolah perempuan yang menaiki motosikal singgah di kedai runcit berkenaan. Nampaknya mereka juga sama seperti saya membeli air untuk melepaskan dahaga.

Saya memandang kepada salah seorang daripada mereka. Ah.... manis wajahnya yang bertudung itu. Usia mereka dalam lingkungan 17 tahun atau dalam tingkatan lima. Agaknya mungkin menyedari saya melihatnya, gadis berkenaan melemparkan senyuman yang aneh kepada saya. Senyuman mengejek atau senyuman yang ikhlas ? ... tidaklah dapat saya mengagaknya. Namun sempat juga beliau melambaikan tangannya kepada saya sewaktu meninggalkan kedai runcit berkenaan bersama teman-temannya. Saya melambai membalasnya tanpa sedar. Ah ..... saya sudah terlalu tua untuk hal-hal seperti itu. Tetapi lumrahlah .... saya memang seorang lelaki !

Dari kedai runcit berkenaan saya meneruskan perjalanan menuju ke pekan Layang-Layang. Tidak lama kemudian saya disambut oleh sebuah pekan kecil yang tenang. Pekan Layang-Layang sebenarnya jauh dari apa yang pernah saya bayangkan. Pekan ini lebih kecil dari pekan Renggam. Saya melalui pekan ini perlahan-lahan dan melihat rumah-rumah kedai kayunya yang klasik. Dari pengamatan saya, kewujudan pekan ini adalah didasari oleh pembukaan ladang-ladang getah dan kelapa sawit yang bermula sejak dari zaman penjajahan lagi. Selain itu, faktor perkampungan  baru Cina juga menjadi sebab utama kewujudan pekan ini dan hal ini dapat dilihat melalui penguasaan yang jelas dalam bidang perniagaan di pekan ini yang dikuasai oleh etnik Cina.

Suasana di pekan Layang-Layang

Rumah kedai lama

Kebanyakan dari rumah-rumah kedai di pekan ini ditutup. Keadaannya tenang dan sepi. Beberapa orang warga emas duduk bersidai di kaki lima kedai. Walaupun hanya merupakan sebuah pekan yang kecil namun ia adalah sebuah pekan yang agak lengkap. Sebuah pejabat pos kecil dengan binaan gaya lama berdiri kukuh di pinggir pekan ini. Sekurang-kurangnya ia dapat memenuhi keperluan panduduk untuk menyelesaikan bayaran bil-bil utiliti serta mendapatkan perkhidmatan dari kerajaan khususnya seperti pembaharuan cukai jalan kenderaan dan lesen memandu.

Bangunan pejabat pos pekan Layang-Layang

Tidak jauh dari pejabat pos pekan Layang-Layang terdapat sederetan rumah kedai yang menempatkan beberapa buah kedai yang dimiliki oleh orang Melayu. Sayangnya kebanyakan dari kedai-kedai ini menutup operasi. Hairan saya sendiri kenapa kebanyakan kedai di pekan ini menutup operasinya agak awal. Satu perkara yang menarik disini ialah kewujudan sebuah taman kecil yang mungkin menjadi tempat penduduk setempat untuk berekreasi. Walaupun kecil ia memberikan suatu nilai tambah kepada keunikan pekan Layang-Layang.

Sederetan kedai-kedai yang dimiliki oleh orang Melayu

Sebuah taman kecil di dalam 
sebuah pekan kecil yang tenang

Sebuah balai polis bagi menjaga ketenteraman awam di pekan ini juga telah dibina oleh kerajaan. Pekan ini juga dilengkapi dengan sebuah klinik kesihatan bagi memberikan akses penjagaan kesihatan kepada masyarakat. Saya yakin kedai-kedai yang terdapat di pekan ini adalah mencukupi bagi memenuhi keperluan harian masyarakat setempat. Bandar besar yang terhampir dengan pekan ini adalah Kluang dan Simpang Renggam.

Balai polis pekan Layang-Layang

Klinik kesihatan di pekan Layang-Layang

Stesen Keretapi Pekan Layang-Layang

Dari pekan Layang-Layang saya membelok ke kiri menuju ke stesen keretapi pekan Layang-Layang. Ianya terletak kira-kira 400 meter dari pekan Layang-Layang. Saya disambut oleh suasana yang sunyi ketika berada di stesen keretapi pekan Layang-Layang ini. Saya meletakkan motosikal saya di kawasan stesen. Di sebelah stesen keretapi ini terdapat kedai menjual makanan. Terdapat sebuah keluarga yang sedang enak menikmati makanan di situ.

Saya mengambil keputusan untuk singgah dahulu di kedai makan berkenaan. Mungkin saya boleh mendapatkan sesuatu di situ. Sebenarnya kedai makan berkenaan terletak dalam sebuah banggunan yang terasing dari stesen keratapi. Namun jika dilihat dari bentuknya, jelas ia adalah banggunan yang dibina untuk kegunaan KTMB. Cuma mungkin fungsinya berubah dan dijadikan kedai makan. Saya duduk tidak jauh dari meja sekeluarga yang sedang menjamu selera itu. Seorang perempuan separuh umur menghampiri saya untuk mengambil pesanan.

Kedai makan di stesen keretapi Layang-Layang

Popia goreng di kedai ini menyelerakan saya !

Pada mulanya, saya tidak mahu menikmati makanan di sini namun apabila melihat anak-anak keluarga di meja depan yang begitu berselera menjamah makanan membuatkan nafsu makan saya membuak-buak. Kesudahannya, saya menempah sepinggan nasi goreng ayam setelah melihat bibir berminyak anak perempuan keluarga berkenaan yang bersusah payah menjilat pinggan hidangannya hingga licin. Di kepala saya cuma satu .... agaknya terlalu sedap.

Saya memerhatikan suasana di kedai makan berkenaan. Terdapat iklan yang menyatakan tentang keenakan popia goreng yang dihasilkannya. Terasa menyesal pula tidak memesan popia goreng yang dikatakan enak itu. Beberapa orang lelaki Cina masuk ke kedai dan memesan popia berkenaan. Ada yang membeli bungkus dan ada yang makan disitu. Dari cara mereka menikmati popia berkenaan betullah agaknya popia berkenaan sedap dan enak. Kecur pula air liur saya. Namun apa lagi yang boleh saya lakukan ... nasi goreng ayam telahpun sampai ke meja saya.

Saya tidak mampu menghabiskan
 juadah nasi goreng ayam ini 

Itulah kata orang ... nafsu apabila tidak dikawal oleh iman maka jadilah kita seperti daun-daun kering yang ditiup angin. Sudah saya sebutkan tadi, saya sudah menikmati hidangan roti bakar di stesen keretapi Kluang dan pastinya perut saya masih kenyang. Maka makanlah sekadar yang termampu malahan bolehlah dikatakan hanya suku sahaja nasi berkenaan yang dapat saya habiskan. Terasa begitu membazir. Sewaktu mahu membayar harga makanan, hairan makcik yang mengambil pesanan saya tadi. Lantas beliau bertanya adakah rasa nasi goreng ayam itu tidak enak ? .... saya hanya mampu tersenyum dan menjawab mulut saya terkena penyakit ulser yang tidak membolehkan saya makan makanan yang pedas. Saya berbohong .............

Saya berjalan kaki ke stesen keretapi pekan Layang-Layang selepas membayar harga makanan. Saya memerhatikan topi keledar saya yang tidak dikunci di bawah tempat duduk motosikal. Risau juga hati topi keledar itu dicuri orang. Terasa begitu sayang dengan topi keledar merah yang digilap seminggu sekali itu sehinggakan isteri saya sering kali memerli saya supaya tidur sahaja dengan topi keledar itu setiap malam. Keyakinan saya tinggi bahawa topi keledar berkenaan tidak akan dicuri orang.

Sebahagian dari pemandangan 
di stesen keretapi Layang-Layang

Saya memerhatikan susasana stesen keretapi kecil ini. Suasananya tenang dan sunyi. Inilah keunikan jajaran landasan keretapi bagi kawasan selatan Semenanjung Malaysia ini. Ia masih mengekalkan identiti asal dan tidak banyak yang berubah. Stesen keretapi kecil ini sebenarnya adalah cerminan dan identiti bagi pekan-pekan kecil seperti pekan Layang-Layang ini. Saya yakin suatu masa dahulu stesen keretapi ini begitu penting kepada para penduduk setempat untuk bergerak ke bandar Kluang atau ke Johor Bharu.

Platform utama stesen keretapi pekan Layang-Layang

Bangunan utama stesen ini diperbuat dari batu dan simen. Pada pandangan saya stesen ini lebih kecil sedikit daripada stesen keretapi pekan Renggam. Sewaktu melakukan perjalanan menaiki keretapi ke Johor Bharu tidak lama dahulu, keretapi yang saya naiki telah berhenti dengan agak lama di stesen ini bagi tujuan perselisihan keretapi yang datang dari arah Johor Bharu. Ini membuktikan bahawa kedudukan dan peranan stesen kecil ini tetap juga penting terutama bagi tujuan perselisihan antara keretapi.

Sewaktu melakukan perjalanan menaiki keretapi
ke Johor Bharu, keretapi yang saya naiki berhenti sebentar
di stesen keretapi Layang-Layang bagi tujuan
perselisihan antara keretapi.

Saya meniti kawasan platform utama stesen ini. Terasa begitu asyik disini. Kawasan persekitaran stesen keretapi ini dijaga dengan begitu baik dan ditanam dengan pepohon bunga bagi menambahkan serinya. Saya memerhatikan ke sebarang landasan terdapat beberapa pohon kelapa dan pisang. Teringat saya kepada suasana di stesen keretapi Segamat yang pernah saya jejaki dahulu. Masihkah ada lagi pohon kelapa yang menghiasi latar belakang suasana stesen keretapi Segamat itu ? ... saya berdoa semoga ia masih ada.

Terasa tenang berada disini

Ketika memerhatikan suasana stesen keretapi berkenaan saya ditegur oleh salah seorang kakitangan stesen yang begitu ramah. Kesempatan ini saya gunakan untuk meminta kebenaran mengambil gambar persekitaran stesen berkenaan. Kebelakangan ini saya agak risau untuk mengambil gambar di kawasan stesen keretapi. Terdapat larangan untuk merakamkan gambar di kawasan stesen keretapi. Namun tidak pula saya dapat memastikan kenapa larangan seperti itu dikuatkuasakan.

Seperti biasa perkara pertama yang menjadi keutamaan saya apabila berada di stesen keretapi ialah untuk mengambil gambar papan tanda stesen. Alhamdulillah, disini saya masih berkesempatan untuk melihat papan tanda lama bewarna putih itu. Papan tanda ini walaupun agak lama namun masih teguh dalam menghadapi cabaran cuaca yang tidak menentu. Inilah keunikan sebenar papan tanda lama seperti ini.

Papan tanda lama stesen keretapi Layang-Layang

Saya menuju ke kawasan utama bangunan stesen keretapi ini. Kerusi-kerusi bagi penumpang menunggu kosong sahaja. Nampak seperti kerusi dari era tahun 90an. Padanan yang begitu sesuai bagi sebuah stesen kecil yang bernuasa klasik seperti ini. Dari pembacaan saya pada jadual perjalanan keretapi di papan kenyataan stesen, adalah jelas masih terdapat keretapi yang berhenti dan mengambil dan menurunkan penumpang disini. Namun kekerapannya cuma dua kali sehari iaitu pada jam 8.56 malam untuk perjalanan  ke utara dan pada jam 6.11 pagi untuk perjalanan ke selatan.

Kerusi-kerusi lama buat penumpang
menunggu keretapi

Masih ramaikah penumpang naik dan turun keretapi
dari stesen tua ini?

Jadual perjalanan keretapi yang singgah ke stesen ini

Saya duduk melihat landasan keretapi di hadapan. Ini petang yang sangat menenangkan. Saya bungkam sendirian mengenangkan nasib yang bakal berlaku kepada stesen ini tahun hadapan apabila projek landasan berkembar elektrik akan mula dilaksanakan pada jajaran landasan kawasan selatan. Adakah stesen ini akan dikekalkan atau ia bakal dirobohkan ?.... Ah... saya sebenarnya masih terkesan dengan kehilangan stesen-stesen keretapi di jajaran pantai barat terutamanya di negeri Perak. Ia membuatkan saya begitu beremosi di stesen keretapi pekan Layang-Layang ini. Namun sebagai seorang yang waras sejujurnya saya sudah mula dapat menerima setiap pembaharuan dan tidak semestinya perkara yang baharu itu akan merosakkan segalanya yang bersifat lama itu.

Terasa enak duduk disini sehingga saya terlupa hari semakin petang dan saya perlu bergerak pulang ke Batu Pahat. Seronok mengelamun memikirkan tentang kenangan-kenangan lalu yang begitu indah dan tentu lebih indah jika isteri saya juga turut bersama ketika ini. Ketika mahu melangkah pulang, saya ditegur lagi oleh kakitangan stesen tadi. Sempat juga kami berbual sebentar. Menurutnya tidak lama dahulu pernah berlaku satu kebakaran besar yang melibatkan banyak rumah penduduk di kawasan berhampiran stesen ini. Semenjak kebakaran itu kawasan berkenaan ditumbuhi semak samun.

Pekan Layang-Layang dari arah stesen keretapo

Saya melihat motosikal saya dan bersyukur kerana topi keledar saya masih di tempatnya. Sebelum bergerak, sempat juga saya melambaikan tangan kepada kakitangan stesen keretapi yang begitu ramah itu tadi. Saya meneruskan perjalanan jauh ke hadapan mencari masjid untuk bersolat Asar. Tidak lama selepas itu saya singgah di masjid jamek pekan Layang-Layang untuk bersolat. Usai bersolat saya bergerak ke hadapan lagi dan dari kejauhan dapat dilihat binaan rumah-rumah kedai baru di kiri jalan. Nampaknya pekan Layang-Layang akan berwajah baru dan saya yakin inilah permulaan era baru untuk pekan Layang-Layang. Rumah-rumah kedai disini lengkap dengan segala kemudahan termasuk dengan perkhidmatan perbankan. Secara tidak langsung peranan pekan lama Layang-Layang pasti sedikit demi sedikit akan terhakis dan mati tanpa sedar.

Masjid jamek pekan Layang-Layang

Saya mengambil keputusan untuk berpatah semula untuk bergerak pulang. Saya masuk semula ke simpang pekan Layang-Layang yang tenang itu. Melaluinya mungkin untuk yang terakhir kalinya. Denyutan nadi pekan ini masih utuh seperti masa mudanya. Namun esok dan lusa adalah tidak pasti denyutannya akan terus berjalan .... saya melihatnya dengan harapan bahawa semuanya akan tetap akan ada sama seperti hari ini ... insyaAllah.

Jambatan Keretapi Yang Istimewa

Panorama indah sebuah jambatan besi 
landasan keretapi

Dalam perjalanan pulang saya singgah dahulu untuk melihat keunikan sebuah jambatan keretapi yang begitu istimewa ciri-ciri binaannya. Besar kemungkinan jambatan ini telah dibina sejak dari zaman penjajahan British lagi di Malaysia. Jika kita perhatikan dengan secara lebih teliti, kebanyakan jambatan landasan keretapi yang terdapat disemenanjung Malaysia ini diperbuat dari bahan keluli. Hanya bahagian tapaknya sahaja yang diperbuat dari batu batan yang disusun cantik.

Terdapat sebatang jalan melalui di bawah 
jambatan besi tersebut.


Bayangkan bagaimana suasana ketika
keretapi melalui di atas jambatan ini.

Bagaimanapun binaan dan susunan batu bata yang menjadi tapak kepada jambatan keluli adalah begitu mengagumkan. Ianya disusun dengan teliti dan kemas sehingga ia menjadi begitu kukuh dan tahan sehingga kini. Adalah tidak menghairankan berat keretapi yang menjangkau beribu-ribu tan itu dapat ditampung oleh jambatan keretapi seperti ini. Ia sebenarnya adalah satu teknologi kejuruteraan yang begitu hebat bagi zaman itu malahan pada perkiraan saya sehingga ke hari ini.


Perhatikan susunan batu bata yang menjadi
tapak kepada jambatan keluli... ia disusun kemas dan
kukuh !

Namun ... mampukah jambatan ini untuk kekal ketika landasan keretapi berkembar sudah mula mengeluarkan ngaumannya ? ... saya berharap jambatan ini terus kekal sebagai saksi kepada peri pentingnya perkhidmatan keretapi di Malaysia dari dahulu sehingga kini.

Sebuah hasil kejuruteraan yang hebat pada
abad yang lalu

Saya tidak mahu berlama-lama di jambatan ini. Saya tidak mahu memikirkan tentang nasibnya di tahun 2016 nanti. Biarlah catatan ini nanti mungkin menjadi catatan terakhir tantang kewujudan sebuah jambatan keluli dan sebuah stesen keretapi kecil di sebuah pekan yang semakin sepi dan usang. Mungkin nanti akan ada yang bernostalgia dengan kesemua ini ketika ia sudah tiada ditelan zaman yang berubah. Ia tetap akan meninggalkan kita.

Saya bergerak pulang dan berharap dapat kesini semula nanti. Bukan sekadar untuk membeli semula kenangan tetapi untuk berdakapan kembali dengan sebuah pekan yang masih berdenyut nadinya walaupun ke penghujung.

Penutup

Begitu sukar untuk menulis catatan berkenaan dengan pekan Layang-Layang ini. Semuanya bagaikan bersatu dalam keadaan yang bungkam. Masa semakin mencemburui kehidupan pekan Layang-Layang dan stesen keretapinya yang pikun itu. Nun di tahun 2016, terdengar dengan jelas gelak ketawa kemodenan yang semakin galak. Mampukah kita menolak semua itu ?

Ini adalah perjalanan yang begitu membekas di jiwa saya. Ia membeli semula saat-saat manis pada suatu masa yang telah lama berlalu. Mungkin bagi mereka di luar sana, tidak ada apa-apa yang boleh diberikan oleh sebuah pekan kecil bernama Layang-Layang ini. Namun bagi yang merindui nostalgia petang yang damai di sebuah pekan kecil yang tenang ... maka di sinilah tempatnya.

Ia sebuah pekan dengan sebuah stesen keretapi tua yang berjalan dengan senyuman yang tidak pernah pudar dek zaman. Saya mengerti ... ia sedang membilang detik-detik penamatnya ketika jantung hatinya sebuah stesen keretapi tua yang pikun dibunuh dengan kejam oleh kemodenan.... ia mengerti jasanya akan berakhir. Pekan Layang-Layang .... saya menikmati petang yang manis di dadamu !

Thursday, October 8, 2015

SEKINCHAN



Dan pada jiwa yang telah lama
meninggalkan aku termanggu
ia telah membina suatu benteng batu
pada pohon-pohon hati
hingga ia menjadi layu
dibunuh dengan kejam.

Dengan air mata yang merosak
segala bait-bait bahasa
aku coretkan
tempat ini telah melelahkan jiwa
bila kulihat bayangmu
menari-nari di jalanan
sambil melemparkan senyum
di sebalik rimbun padi yang menguning.

Tetapi aku tanpa sedar
terus menerpa bayangmu yang menipis
lalu aku jatuh bergelimpangan
ia bukan suatu masa yang dahulu
ketika diriku yang celaka meneroka
setiap ruang-ruang cinta
yang kau jual dengan janji yang menggoda
sedang ia sekadar ilusi yang ghairah
dan aku tewas akhirnya
menunggu mati.

Esok, lusa dan nanti
aku mungkin kesini lagi
sekadar mengenang
aku pernah diludah disini !

Monday, August 31, 2015

KENANG-KENANGAN MERDEKA ( HORMAT UNTUK MEREKA YANG MENGHILANG ) 1

Prolog 

Berapa banyak nyawa yang mati dalam keadaan bergelimpangan dalam memerdekakan negara kita yang tercinta ini ?. Kenapa perlu ada  rasa kebanggaan apabila menyebutkan kemerdekaan yang ada pada hari ini direbut hanya dengan menggunakan kuasa diplomasi dan kuasa sebatang pena ?.

Fikiran-fikiran seperti ini seringkali mengganggu gugat hati dan perasaan saya. Apakah sejarah yang saya baca sehari-hari itu benar atau ia ditulis bagi mengenang mereka-mereka yang tertentu sahaja ?. Atau ia ditulis sebagai satu tanda bahawa apa yang berlaku pada hari silam adalah milik sekelompok tertentu sahaja ?.

Ada rasa kemuyskilan bermain di fikiran apabila terfikir tentang semua hal yang terkait dengan frasa MERDEKA ini. Ia satu frasa yang begitu bertenaga. Diucap dengan pekikan dan intonasi yang berani. Namun sejauh mana kita sebagai generasi baru berusaha mengenang mereka-mereka yang sebenarnya jauh lebih kehadapan dalam mencari kata-kata dan makna merdeka itu?. Atau kita lebih selesa menerima segala fakta-fakta sejarah yang tertulis sama sejak dulu itu dengan seenaknya ?. 

Mungkin penulisan ini tidak punya apa-apa yang menarik untuk dikongsikan. Saya cuba melihat sesuatu yang berbeza dalam pensejarahan kemerdekaan. Ia mungkin dalam bentuk kenang-kenangan yang berbeza tetapi mungkin lebih adil buat semua yang bernostalgia dengan takrifan merdeka. Ia sebagai tanda hormat bagi memperingati para leluhur kita yang terdahulu. Juga sebagai tanda ... mereka tetap dalam ingatan sejarah kebangsaan.

Sengaja saya memilih lima tajuk penulisan ( lima siri ) yang sebenarnya punya cerita besar dalam perjuangan kemerdekaan negara kita ini. Mereka yang tertulis dalam penulisan ini punya jiwa besar namun jasa dan sumbangan mereka bagaikan hilang begitu sahaja dalam lipatan sejarah. Penulisan ringkas ini mungkin tidak mencukupi bagi mengenang dan mengangkat ketokohan mereka. Namun ia adalah sebagai satu usaha kecil dalam memberikan satu sisi cerita sejarah yang agak berbeza tentang perjuangan kemerdekaan yang tidak kunjung padam sehinggalah detik 31 Ogos itu tercapai dengan megahnya.

Cikgu Haji Buyong Bin Adil - Bapa Pensejarahan Malaysia


Haji Buyong Bin Adil


Nama Haji Buyong Adil begitu menonjol dalam kajian berkenaan dengan pensejarahan Malaysia. Adalah begitu mustahil bagi setiap pengkaji sejarah untuk tidak mengambil rujukan dari buku-buku karangan beliau, sebelum menghasilkan sesuatu kajian sejarah. Hal ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana susuk yang bernama Haji Buyong Bin Adil ini adalah individu awal selain dari Allahyarham Cikgu Abdul Hadi Bin Haji Hassan ( 1906-1937 ) yang menghasilkan buku-buku kajian sejarah berkaitan dengan negeri-negeri di seluruh Malaysia sejak dari zaman sebelum merdeka lagi.

Haji Buyong Adil adalah salah satu contoh guru-guru Melayu terawal yang memberikan seluruh jiwa dan raganya demi pembanggunan pendidikan anak Melayu. Dilahirkan di Telok Anson, Perak pada tahun 1907. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Bandar Teluk Anson sebelum beliau lulus Darjah V ( darjah tertinggi di sekolah Melayu pada ketika itu ). Pada tahun 1924 beliau menjadi penuntut Sultan Idris Training College ( SITC ) Tanjong Malim dan menamatkan pengajiannya pada tahun 1926.

SITC Tanjong Malim

Pada tahun 1927, beliau kembali ke semula ke Tanjong Malim bagi menjadi seorang tenaga pengajar di SITC. Perkhidmatannya di SITC berjalan dengan begitu lama iaitu hampir selama 15 tahun. Oleh itu adalah tidak menghairankan jika dalam tempoh itu hampir ribuan guru-guru Melayu yang menuntut ilmu keguruan di SITC mendapat tunjuk ajar dari beliau terutama dalam hal pensejarahan negara. Namun sesuatu yang pasti dalam setiap ajarannya terselit juga nilai-nilai yang berteraskan semangat nasionalis. Maka adalah tidak menghairankan jika bekas-bekas pelajar SITC seringkali meletakkan nama Haji Buyong Adil sebaris dengan dua lagi tokoh unggul SITC iaitu Allahyarham Tan Sri Pendeta Za'ba dan Allayarham Cikgu Harun Mohamad Amin ( Harun Aminurashid ).

Allahyarham Cikgu Harun Mohamad Amin
( Harun Aminurashid )

Allahyarham Tan Sri Zainal Abidin Bin Ahmad
( Tuan Pendeta Za'ba )

Menurut Shaharom Husain dalam buku memoirnya Selingkar Kenangan Abadi ( 1996 ), Cikgu Buyong Adil mengajar matapelajaran sejarah dan senaman. Selain itu beliau juga menjadi penyunting majalah Chendera Mata ( majalah rasmi tahunan SITC ) serta menjadi guru pengawas kutubkhanah maktab.

Majalah Chendera Mata iaitu majalah
rasmi tahunan SITC
( sumber gambar : eisantique2.blogspot.com


Sebagai seorang lulusan Sultan Idris Training College ( SITC ) beliau adalah salah seorang yang mempunyai semangat nasionalis yang tinggi. Dalam setiap pengajarannya diselitkan sekali dengan unsur-unsur nasihat berunsurkan kesedaran kepada bakal-bakal guru betapa peri pentingnya kemajuan bangsa Melayu yang sekian lama terjajah. Hal ini selanjutnya dinyatakan oleh Shaharom Hussin lagi " Buyong Adil, sebagaimana gurunya Abdul Hadi Hassan, menggunakan pelajaran sejarah dan karangannya dalam Chendera Mata sebagai alat menanamkan semangat kebangsaan kepada penuntut. Masa mengajar, beliau selalu menggambarkan kebesaran dan kewibawaan bangsa Melayu sebelum kedatangan penjajah barat. Di samping itu, beliau memberikan pendapat dan ulasan terhadap kelemahan dan kesilapan bangsa Melayu sendiri hingga menyebabkan kuasa barat dan bangsa asing dapat menguasai politik, ekonomi dan sosial. Di samping menanamkan rasa kebanggaan terhadap pahlawan dan tokoh pejuang kebangsaan, beliau mengharapkan akan muncul beberapa tokoh di kalangan bangsa Melayu untuk memimpin memajukan bangsa Melayu.



Allahyarham Cikgu Shaharom Husain
yang pernah menjadi anak murid kepada 
Cikgu Buyong Adil semasa di SITC. 

Apa yang diimpikan oleh Cikgu Buyong Adil itu benar-benar menjadi kenyataan. Hasil didikannya di SITC telah melahirkan begitu ramai tokoh pejuang politik Melayu yang unggul. Antara bekas penuntut SITC yang pernah menjadi pelajar kepada beliau ialah Ibrahim Haji Yaakub ( Pengasas Kesatuan Melayu Muda - KMM ), Shaharom Husain ( sasterawan dan budayawan sejarah Johor ), Tan Sri Datuk Senu Abdul Rahman ( ketua pemuda UMNO ke-4 ), Tan Sri Abdul Rahman Talib ( menteri pelajaran Persekutuan Tanah Melayu 1960 ), Syed Nasir Ismail ( pejuang bahasa Melayu dan pengarah Dewan Bahasa Pustaka), Pengeran Md.Yusuf Haji Abdul Rahim dan lain-lainnya yang tidak dapat disebutkan namanya. Kesemua tokoh-tokoh ini telah memberikan sumbangan yang begitu besar dalam pergerakan kemerdekaan dan kemajuan persekutuan Tanah Melayu malahan melewati Singapura dan Brunei.

Ibrahim Yaacob
( Pengasas Kesatuan Melayu Muda )

Tan Sri Datuk Senu Bin Abdul Rahman

Tan Sri Abdul Rahman Bin Talib
( Pada tahun 1960 dilantik sebagai Menteri Pelajaran
Persekutuan Tanah Melayu )

Tun Syed Nasir Bin Syed Ismail



Ketika riwayat sejarah negara kita banyak dijalankan oleh penulis serta pengkaji Inggeris, Cikgu Buyong Adil dan gurunya Abdul Hadi Bin Haji Hassan tampil kehadapan bagi menghasilkan buku Sejarah Alam Melayu I, II, III, IV dan V ( Cikgu Buyong Adil memantapkan edisi Sejarah Alam Melayu IV dan V dengan memfokuskan sejarah Negeri-negeri Selat dan Sejarah Negeri-Negeri Melayu Bersekutu ) yang menjadi rujukan maklumat utama bagi guru-guru Melayu di SITC ( malahan ke seluruh Malaya ) pada dekad-dekad sebelum merdeka. Walaupun buku ini banyak bersumberkan dari penulis-penulis Inggeris namun inilah bakti awal yang diusahakan oleh seorang anak Melayu bernama Buyong Adil untuk pensejarahan bangsanya. Bakti yang akan dikenang sampai bila-bila ... insyaAllah.

Perkhidmatan Cikgu Buyong Adil di SITC tamat pada tahun 1942 ketika hampir dengan pendudukan Jepun di Tanah Melayu. Ada cerita yang menarik berkaitan dengan hal penamatan kerjayanya di SITC. Menurut Shaharom Husain menjelang pendudukan Jepun,  Cikgu Buyong Adil yang berpangkat Leftenan Muda dalam Pasukan Tentera Sukarela Jalan Kaki Melayu ( MVI ) telah dituduh oleh R.P.S Walker ( Pengetua SITC ), bersubahat dengan Ibrahim Yaakub ( Yang Dipertua Kesatuan Melayu Muda - KMM ) yang sangat antikan British. 

Hal ini berlaku ekoran dari kunjungan hormat Ibrahim Yaakub sebagai bekas murid ke rumah Cikgu Buyong Adil. Kunjungan itu tidaklah lebih dari kunjungan hormat serta perbincangan ringkas namun ia disalah ertikan oleh R.P.S Walker yang menganggap Cikgu Buyong Adil sebagai salah seorang yang boleh disangsikan kesetiaannya. Ini mungkin atas andaian pada ketika itu KMM dikatakan bekerjasama dengan penjajah Jepun dalam menentang Inggeris. Ekoran dari itu, Cikgu Buyong Adil dilucutkan pakaian seragam Leftenan Mudanya dan tidak ikut bersama pegawai, guru, dan penuntut MVI berjuang mempertahankan Tanah Melayu dari serangan Jepun.

Cikgu Buyong Adil seterusnya ditukarkan menjadi guru besar di Sekolah Melayu Tanjong Malim dan sejak itu tidak ada lagi nama Buyong Adil di SITC. Hilang sudah ajaran-ajaran yang penuh dengan semangat kebangsaan untuk guru-guru Melayu yang bersemangat kebangsaaan.

Ketika zaman pendudukan Jepun, Cikgu Buyong Adil telah mengikuti kursus perguruan Jepun di Tokyo Shihan Gakko di Kajang Selangor. Dari tahun 1946 hingga 1950, beliau menjadi guru besar di Sekolah Melayu Jalan Pasir  Puteh, Ipoh. Pada ketika inilah beliau mula terlibat dengan aktif dalam hal-hal politik apabila menyertai Perikatan Melayu Perak ( PKP ) yang ditubuhkan oleh orang-orang Melayu Perak bagi menentang Malayan Union pada 22 Februari 1948. Namun demikian, apabila UMNO mula melebarkan sayapnya ke Perak, Perikatan Melayu Perak dibubarkan dan bergabung sekali dalam tubuh badan UMNO yang bersifat kebangsaan itu. Pada mesyuarat UMNO Perak yang pertama di Madrasah Paloh Ipoh, Cikgu Buyong Adil telah dilantik menjadi pegawai penerangan UMNO Perak yang pertama.

Sifat penentangannya terhadap Inggeris dan kedudukannya dalam UMNO telah menyebabkan pihak British bertindak menukarkannya ke Singapura bagi menjawat jawatan sebagai Ketua Siaran Radio Sekolah-Sekolah Melayu. Namun di Singapura, beliau terus aktif dalam kegiatan politik apabila menyertai Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura ( KGMS ) yang bersifat anti penjajahan. Beliau bersara dari perkhidmatan kerajaan pada tahun 1962. Namun demikian pada tahun 1964, kerajaan Singapura telah melantik beliau sebagai salah seorang ahli dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura. Pada ketika inilah beliau kembali semula menjadi seorang sejarawan apabila menyusun semula buku Sejarah Johor, Sejarah Selangor, Sejarah Perak dan Sejarah Pahang.

Buku sejarah Pahang karya Haji Buyong Adil

Beliau bertugas dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura sehingga tahun 1969. Setelah kembali semula ke Malaysia beliau dipelawa oleh Tun Haji Abdul Razak untuk menyumbang bakti sebagai Penyelidik Sejarah di Dewan Bahasa dan Pustaka ( DBP ). Di DBP beliau terus giat menghasilkan siri buku kajian sejarah negeri-negeri Melayu seperti Sejarah Sarawak, Sejarah Perlis, Sejarah Negeri Sembilan, Sejarah Melaka, Sejarah Kedah, Sejarah Terengganu, Sejarah Kelantan dan beberapa buku yang lain. Apa yang menarik disini ialah walaupun muncul buku-buku sejarah lain yang ditulis oleh mereka-mereka yang jauh lebih hebat dan bergelar profesor sekalipun, hasil karya sejarah Cikgu Buyong Adil tetap akan dianggap sebagai rujukan paling penting dan utama sampai bila-bila.

Kenangan Cikgu Buyong Adil
semasa berkhidmat DBP.
( sumber gambar : harith sidek.blogspot.com )

Tokoh sejarah negara ini akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 1976 dalam usia 69 tahun. Sasterawan Negara Abdullah Hussain mengenang Cikgu Buyong Adil sebagai " buku rujukan" yang paling terbaik sebarang masalah sejarah malah beliau sempat menulis sebuah artikel khusus untuk mengenang jasa dan sumbangan Cikgu Buyong Adil di dalam majalah Sarina keluaran Oktober 1976.

Bagi mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham Cikgu Buyong Adil, sebuah sekolah di pekan Tapah telah dinamakan dengan namanya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Buyong Adil. Saya turut menumpang bangga kerana pernah menuntut di SMK Buyong Adil ini pada tahun 2002 hingga 2003. 

Logo SMK Buyong Adil Tapah
Saya pernah bersekolah disini pada 
tahun 2002 dan 2003

Menjejaki tahun 2015 ini bermakna sudah 39 tahun Allahyarham Cikgu Buyong Adil meninggalkan kita. Namun hasil penulisannya tetap kekal abadi dalam pensejarahan negara kita yang tercinta ini. Beliau mungkin bukan pejuang yang terkehadapan dalam kemerdekaan namun ditangannya telah lahir beribu pejuang-pejuang kemerdekaan yang masuk ke ceruk-ceruk pelusuk negara kita mendidik dan menanamkan semangat kebangsaan dalam jiwa anak bangsa Melayu. Terima kasih Cikgu Buyong Adil .... bapa pensejarahan Malaysia !