BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, August 4, 2016

Rindu Berlabuh Di Pekan Johol



Saya singgah ke pekan ini ketika nuansa hari yang meredup. Namun dalam suasana yang meredup itu masih tetap terasa bahang kepanasan mentari. Rumah-rumah kedai tua yang tersergam sunyi itu kelihatannya berbalam-balam disinari cahaya matahari. Ia tertinggal sunyi dan sepi. Sesekali kenderaan yang lalu lalang dihadapannya menerbangkan debu-debu yang berselerakan. Saya melihatnya dengan jelas... ya saya melihatnya !

Sepanjang kehidupan saya, inilah kali pertama saya berkenalan pekan ini walaupun pernah mendengar namanya sedari zaman persekolahan lagi. Saya sendiri tidak pernah tergamit untuk melihat dan mendengar bahasa pekan tua ini. Namun takdir itu tidak pernah mengutus surat memberitahu bahawa pada hari ini saya akan menziarahi pekan tua yang pikun dan uzur ini. Ia suatu takdir yang aneh .... membuatkan saya berfikir betapa dalam usia sebegini, saya masih berkesempatan bertemu dengan sebuah pekan tua yang seolah-olah memberitahu ... " aku masih hidup " 

Negeri Sembilan Darul Khusus

Ah... sekali lagi saya perlu menulis tentang takdir. Dari takdir yang diberi Tuhan itulah saya hidup seperti yang terlihat hari ini. Dan dari takdir itulah, jodoh pertemuan menjemput saya untuk menyunting bunga dari negeri adat perpatih Negeri Sembilan Darul Khusus. Ia suatu kelansungan hidup yang tidak pernah saya fikirkan. Betapa seorang lelaki yang hidup dengan jiwa gelandangan, merantau hidup dan berjalan kaki ke pedalaman Sarawak, menulis dan menjejak tanah air bersendirian secara total memilih untuk berumah tangga dengan gadis yang dilimpahi oleh adat sukunya. Ia seterusnya merubah sifat diri .... menjadi lebih tersusun dan lurus. Ia membentuk keperibadian baru. Untuk seorang lelaki seperti saya ... ia menyembunyikan sifat asal pada pandangan manusia di persekitaran baru saya.

Di Negeri Sembilan yang mentakdirkan saya menjadi seorang menantu di dalam keluarga besar, saya menjadi lebih berkeyakinan. Tahun demi tahun kelansungan hidup menjadikan saya selesa. Dari jajaran keretapi dan himpunan pekan-pekan lamanya kembali mahu menjadikan saya sebagai seorang pencerita. Benar.. terlalu banyak bahan cerita yang ada di negeri penuh adat ini. Sekurang-kurangnya dalam diari hidup saya, ada rasa sayang yang tumpah buat negeri ini. Saya kini semakin yakin... mampu untuk meneroka lebih banyak cerita dan mungkin takdir di masa depan ... mati di negeri ini !.

Dari Air Mawang ke Johol


Kedudukan pekan Johol dalam daerah Kuala Pilah
Negeri Sembilan ( dalam bulatan merah ).

Jika sesekali ke Rembau dari Gemas, seringkali saya melalui suatu simpang jalan yang boleh membawa kita ke pekan Air Mawang. Ada suatu perasaan yang menarik hati saya untuk singgah berkunjung ke pekan ini suatu hari nanti. Seringkali juga saya bertanya kepada isteri dan ipar duai berkenaan status pekan Air Mawang ini. Jawapannya ... sebuah pekan kecil. Keinginan yang membuak itu tidak pula memberikan saya masa untuk menjelajah pekan ini. Sehinggalah pada suatu hari ketika pulang ke Gemas, takdir yang tidak disangka-sangka itu memberi salam untuk saya ke pekan ini. Dengan anak dan isteri yang begitu gembira dengan suasana kampung, saya menghidupkan enjin kereta dan dengan hati yang senang ... saya memandu ke arah pekan Air Mawang.

Dari Gemas, saya akan melalui pekan Gemencheh yang agak sibuk dengan aktiviti penduduknya. Pernah juga saya terfikir untuk mengulas berkenaan dengan pekan Gemencheh ini dahulu. Namun apabila melihatkan kepesatan pembanggunan yang semakin deras dalam batang tubuh pekan ini, hasrat itu saya batalkan begitu sahaja.

Dari Gemencheh, saya memandu menghala ke arah Tampin. Suasana jalan tidaklah begitu sibuk. Jalan Persekutuan yang dibina sejak dari zaman penjajahan Inggeris ini tidak banyak yang berubah. Ia menjadi saksi kepada banyak peristiwa penting negara dan salah satunya pasti ketika serangan Jepun terhadap Tanah Melayu 70 tahun dahulu. Dengan kebun getah, kelapa sawit dan kampung-kampung tradisi Melayu di kiri kanan jalan, terasa perjalanan begitu menyeronokkan. Jujur untuk saya katakan, bermula dari Rembau hingga ke Gemas, suasana lama masih boleh dirasakan.

Jalanan yang sunyi ke pekan Air Mawang

Sebelum sampai ke Tampin terdapat suatu simpang yang akan membawa saya ke pakan Air Mawang. Terasa agak sunyi melalui jalan ini. Sesekali saya berselisih dengan kenderaan lain namun jumlahnya tidaklah begitu banyak. Jalan-jalan dalam seperti ini walaupun agak lengang namun seringkali menjadi alternatif yang sangat baik kepada pengguna jalan raya persekutuan dari arah Rembau ke Gemas yang terperangkap di dalam kesesakan jalan raya apabila tibanya musim cuti sekolah dan perayaan. Jujur untuk saya katakan... suasana jalan rayanya mengingatkan kita kembali pada suasana jalan raya era 1980an sehingga ke pertengahan tahun 1990an.

Pekan Air Mawang Yang Menghampakan

Tidak lama kemudian saya melalui satu simpang jalan yang membawa saya terus ke pekan Air Mawang. Ada sesuatu yang tidak menyeronokkan bagi hati saya apabila tiba ke pekan kecil ini. Walaupun keadaan pekan ini masih boleh ditakrifkan sebagai sebuah pekan kecil namun keadaannya agak sibuk. Saya pernah terbaca satu artikel di internet yang menyatakan bahawa telah berlaku satu kebakaran yang agak besar hingga meranapkan dua deret rumah kedai kayu yang terdapat di pekan ini. Benarlah agaknya ... ia sekaligus membunuh terus citra klasik yang terdapat di pekan Air Mawang ini. Jujur untuk saya katakan ada rasa hampa yang bersarang di fikiran saya pada ketika ini.

Kebakaran yang memusnahkan deretan kedai kayu
di pekan Air Mawang pada tahun 2014.
( sumber gambar : Google )

Saya hanya singgah sebentar di pinggir jalan sambil memerhatikan suasana pekan ini dari dalam kereta. Terasa begitu tawar hati untuk mengambil gambar keadaan pekan ini. Bukan rezeki saya agaknya kali ini. Saya termenung sendiri, tidak tahu kemanakah arah yang patut untuk saya tujui. Balik semula ke rumah mertua tanpa ada sebarang hasil bagaikan menambahkan lagi perasaan kesal di hati. Saya memandang ke hadapan ... teruskan sahaja memandu. Mungkin ada takdir yang terbaik untuk saya pada hari ini siapalah yang tahu. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan !.

Saya terlihat papan tanda jalan yang saya lalui ini akan membawa saya ke pekan Kuala Pilah. Tidak mengapalah, lebih baik sahaja saya ke Kuala Pilah. Tambahan pula saya sendiri tidak pernah menjejakkan kaki ke pekan berkenaan. Ini didorong juga oleh gamitan kenangan seorang gadis yang pernah suatu ketika dahulu pernah bermain-main di hati saya. Kebetulan asal gadis itu dari Kuala Pilah. Ah... tidak tersangka kenangan itu menusuk semula ke ruang ingatan. Pedulikanlah ... ia bukan jodoh saya dan ianya langsung tidak pernah merosakkan hati serta perasaan saya.

Sebuah Masjid Bewarna Biru

Entah bagaiman ketika memandu saya terpandang sebuah masjid kayu bewarna biru di kiri jalan. Ada sesuatu yang menggamit saya untuk singgah sebentar di masjid ini. Saya jarang untuk singgah berhenti di surau atau masjid sekiranya melakukan perjalanan selain dari untuk menunaikan solat. Sebagai tempat beribadat, saya seboleh-bolehnya cuba untuk tidak mengulas dan menceritakan tentang keunikan sesuatu masjid atau surau yang pernah saya jejaki melainkan hanya mengambil gambar sekilas lalu sahaja. Namun untuk masjid ini bagaikan ada pengecualian. Singgahlah dahulu di luar masjid ini. Ada rasa yang tenang apabila menjejakkan kaki di hadapannya !.

Masjid Tengah Kampung Pasit
Johol, Kuala Pilah Negeri Sembilan.

Masjid yang saya maksudkan itu ialah Masjid Tengah Kampung Pasit, Johol. Keunikan masjid ini terletak pada binaan asasnya yang diperbuat dari kayu. Walaupun terdapat renovasi terkini dengan tambahan struktur simen dan jubin namun keaslian tradisi masjid ini masih boleh dilihat. Satu perkara unik yang menambahkan lagi keunikan masjid ini ialah di hadapan masjid ini terdapat sebuah beduk panjang yang diperbuat dari kayu. Namun saya tidaklah mengambil tahu dari kayu apakah beduk ini diperbuat. Saiz beduk ini agak besar dan panjang. Rasanya inilah kali pertama saya melihat beduk yang besar dan panjang sebegini. Jika dilihat dari keadaaannya, saya tidak pasti sama ada ia masih digunakan lagi atau tidak.

Beduk panjang yang terdapat di
 Masjid Tengah Kampung Pasit
Johol, Kuala Pilah Negeri Sembilan.

Saya tidak memasuki masjid ini. Cukup hanya berlegar-legar sahaja di luarnya. Cantik binaan tangga masjid ini. Apabila terpandang sahaja beduk panjang masjid ini terus sahaja ingatan saya menerpa pada surau tua kampung saya yang kini sudah diruntuhkan bagi membina surau baharu yang lebih moden dan selesa. Dahulu adalah menjadi suatu kebanggan kepada kami andai diberikan peluang untuk mengetuk "kerantung" sebelum azan solat dialunkan. Kerantung juga dibunyikan apabila berlakunya kecemasan atau sebagai tanda terdapat kematian dalam kalangan warga kampung. Namun semua itu kini hanya tinggal kenangan yang abadi. Saya tidak pernah lupa bunyi kerantung yang sayup ketika opah saya menutup mata 23 tahun dahulu. Semuanya membuatkan mata saya mudah untuk berair.

Beduk panjang ini juga mengingatkan saya kepada surau tua bewarna biru yang terletak tidak jauh dari makam Allahyarham datuk saya di Kampung Teluk Penadah, mukim Bandar dalam daerah Kampung Gajah. Kampung yang suatu ketika dahulu meriah kini tertinggal sepi dan surau tua itu semakin uzur. Kerantung besarnya masih tergantung kukuh. Tidak ketahuan bilakah ianya akan tertelan dek zaman. Aduhai ... memang takdir persinggahan saya ke masjid ini benar-benar bersebab. Ia membuatkan saya rindu pada semua kenangan lama saya. Ia juga seolah-olah memberitahu ... saya sudah lama tidak menziarahi makam datuk !

Kerantung lama surau di Kampung Teluk Penadah
mukim Bandar Kampung Gajah.

Saya tidak mahu berlama-lama di masjid ini. Ternyata persinggahan yang sebentar ini telah memberikan kesan yang begitu mendalam kepada diri saya. Alangkah betapa cepatnya masa berlalu dan kini saya semakin berjauhan dengan kampung halaman kelahiran saya. Ada rasa rindu yang halus menusuk ke sukma jiwa saya ketika ini.

Saya mahu segera sampai ke pekan Kuala Pilah. Agak pelik saya langsung tidak terfikir berkenaan dengan pekan Johol. Apa yang ada di dalam kepala saya ialah Johol mungkin nama mukim dan tidak mempunyai pekannya yang tersendiri. Namun demikian, kedudukan Johol dalam daerah Kuala Pilah ini agak unik kerana wilayah ini mempunyai pemerintahnya yang tersendiri yang digelar Undang Luak Johol. Malahan Gemas yang menjadi tempat tinggal keluarga mertua juga merupakan salah satu wilayah dalam pegangan Undang Luak Johol ini. Selain dari Gemas kawasan yang menjadi sebahagian dari kawasan luak Johol ialah Air Kuning Selatan, Gemencheh, Pasir Besar, Palong, Dangi dan Selaru. Maka oleh itu adalah tidak menghairankan jika semasa solat Jumaat di masjid-masjid yang terletak dalam kawasan luak adat Johol, bacaan doa semasa khutbah akan turut dibacakan khusus untuk Undang Luak Johol dan kepada DYMM Yamtuan Besar Negeri Sembilan.

Pekan Johol Yang Sunyi

Tidak lama selepas itu saya mula memasuki pekan Johol. Saya disambut oleh deretan rumah kedai kayu tua di kiri jalan. Kelihatannya deretan rumah kedai kayu berkenaan sudah ditinggalkan sepi. Saya mula merasa teruja dan meneruskan pemanduan lebih jauh ke depan. Nah di hadapan saya terbentang sebuah pekan lama yang tetap kekal dengan suasana yang tenang. Tiada hiruk pikuk dan kesesakan. Semuanya begitu mendamaikan.

Saya mengambil keputusan untuk mencuba bergerak lebih jauh ke hadapan kerana sasaran asal saya ialah mahu ke pekan Kuala Pilah. Namun setelah beberapa kilometer melalui pekan Johol ini, saya terus membatalkan niat saya ke pekan Kuala Pilah sebaliknya berpatah semula ke pekan Johol. Allahuakbar... baru sahaja sebentar tadi saya berasa kecewa ketika berada di pekan Air Mawang. Namun kini segalanya bertukar menjadi satu perasaan yang gembira. Inilah agaknya yang dikatakan takdir. Betapalah dalam mengejar semangat wawasan 2020 tidak lama lagi... saya masih dapat melihat sebuah pekan yang masih terpelihara keaslian kewujudannya !.

Selamat datang ke pekan Johol.

Saya melihat jam di tangan, nampaknya saya sudah kelewatan untuk solat Zohor. Setelah berfikir sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk menunaikan solat Zohor di masjid jamek pekan Johol yang terletak tidak jauh dari pekan ini. Masjid moden bewarna kuning itu seakan-akan menjadi simbol kepada keagungan Islam di pekan ini sejaka kesekian lamanya. Usai bersolat, saya meninjau keadaan dan suasana masjid berkenaan dan ternyata ia sebuah masjid yang agak lengkap dan moden.

 Masjid jamek pekan Johol dari seberang jalan raya.

Menara masjid jamek pekan Johol.

Saya memerhatikan di seberang jalan dari arah masjid. Ternyata jarak masjid ini dengan deretan rumah kedai kayu lama pekan Johol adalah saling bertentangan. Sudahnya, saya mengambil keputusan untuk berjalan kaki sahaja meneroka keunikan pekan tua ini. Alangkah lamanya saya tidak melakukan hal seperti ini. Berjalan kaki sambil mengambil gambar keunikan yang terdapat di sesebuah pekan lama. Terasa muda dan bersemangat kembali walaupun cuaca sedang panas membara.

Rumah Kedai Usang

Saya bergerak ke arah banggunan rumah kedai yang terdapat di seberang jalan. Banggunan rumah kedai yang diperbuat dari batu nampaknya masih dihuni dan terdapat perniagaan yang dijalankan. Sayangnya kebanyakan kedai-kedai berkenaan tutup dan cuma ada sebuah bengkel sahaja yang dibuka. Ketika melalui di hadapan bengkel berkenaan, ternyata terdapat pelanggan di dalamnya. Saya hanya tersenyum memandang mereka.

Rumah kedai dua tingkat batu yang mungkin dibina
sebelum perang dunia ke-2.

Bersebelahan dengan bangunan rumah kedai batu tersebut, wujud pula deretan rumah kedai kayu dua tingkat yang kelihatannya semakin dimamah masa. Seperti halnya dengan rumah kedai batu tadi, tidak ada premis perniagaan yang dibuka. Saya memerhatikan bangunan rumah kedai berkenaan dengan sayu. Atap zink yang memayungi rumah kedai ini banyak yang sudah tercabut. Tingkap-tingkapnya terbuka dan rongak. Betapalah masa telah menjadikan ia begitu tua dan uzur. Tidak dapat dibayangkan suatu ketika dahulu, pasti disinilah tempat keriangan warga desa setiap kali membeli belah. Namun kenapa semuanya kini telah tiada dan ditinggalkan ? ... semuanya terus menyelongkar setiap ruang fikiran saya.

Sunyi dan sepi


Saya melalui kaki lima rumah kedai kayu tua ini. Ada rasa keterasingan disini. Tiang-tiangnya masih kukuh dan ternyata masih ada rumah kedai berkenaan yang masih digunakan. Ini dapat dilihat melalui keadaan kaki lima yang terurus dengan baik. Beberapa kerusi kayu lama menghiasi suasana kaki lima ini. Saya berhenti sebentar duduk di kerusi panjang berkenaan. Sebaik sahaja punggung berlabuh di atasnya terdengar bunyi berkeriut dari kerusi berkenaan, ternyata ia juga semakin dimama masa dan zaman.

Kerusi kayu panjang lama

Saya memerhatikan suasana jalan raya dari arah kaki lima rumah kedai kayu lama ini. Beberapa kenderaan lalu dengan pantas di hadapannya. Tiada kepedulian langsung dengan kewujudannya yang tua berkedut itu. Seekor anjing bewarna putih berlari anak di pinggir jalan. Tidak ketahuan apa pencariannya. Saya tersenyum sendiri. Agak lama saya duduk di sini. Terasa ada satu tenaga halus yang menusuk ke jiwa. Sebelum wujudnya pasaraya besar, sebelum wujudnya istilah supermarket, sebelum adanya Seven Eleven dan sebagainya, inilah syurga membeli belah sebenar masyarakat. Saya pasti ramai yang masih mengingati suasana lama kedai runcit dalam era 1960an membawa ke akhir 1980an.

Dengan deretan balang kaca berisi gula-gula, tin-tin berisi biskut pelbagai rasa, makanan ringan atau keropok tergantung dan paling menyeronokkan jika terdapat permainan tikam-tikam. Ia bagaikan suatu bonus yang sangat mengujakan. Masuk ke dalam guni-guni besar yang berisi beras, tepung dan sebagainya berdiri dengan megah. Sebut sahaja berapa kati yang ingin kita beli, sepantas kilat ia dibungkus kemas di dalam balutan kertas yang diikat kemas dengan tali. Dahulu memang pengguna adalah raja ... dan pekedai akan meladeni kita semahunya hati siap barangan boleh sahaja dihantar ke rumah sebagai satu servis tambahan.

Suasana kedai runcit lama

Koleksi tikam-tikam lama dalam
koleksi penulis.

Di kedai-kedai runcit pekan kecil ini semuanya ada.... dahulu kita boleh sahaja membeli minyak gas@minyak api dengan membawa botol kicap kosong sahaja. Pada masa kecil saya, air lemonid atau istilah kampungnya ayor gas, adalah minuman berkasta tinggi yang hanya dapat diminum sesekali sahaja. Itupun jika bernasib baik andai ayah membelinya sekadar sebotol dua dan dikongsi bersama adik beradik.

Orang Perak memanggilnya ayor geh ( gas ), ayor lemenit 
atau oren bodoh.

Itu belum dikira laici di dalam tin yang dirasakan begitu mewah ketika itu. Terasa begitu sukar untuk keluarga kami menikmati walaupun hanya satu tin. Kini apabila saya membelikan laici dalam tin untuk anak-anak, terasa betapa bersyukurnya diri ini kepada Allah SWT yang memberikan nikmat rezeki dan kehidupan yang sebaiknya untuk saya dan keluarga.

Betapa sukarnya dahulu untuk menikmati 
laici dalam tin.

Membeli tuala wanita adalah satu taboo yang sangat aneh pada ketika itu jika pembelian itu dilakukan oleh kaum lelaki. Lazimnya tuala wanita pada ketika itu dibeli di kedai-kedai ubat cina atau sinsei. Ada juga yang dijual di kedai-kedai runcit. Kotak tuala wanita berjenama Sanita ( rasanya jenama ini sudah pupus di Malaysia ) bewarna hijau kuning itu akan dibalut dengan kertas surat khabar dengan kemasnya. Seolah-olah ia adalah simbol kehormatan yang maha tinggi. Tetapi, bandingkan dengan kehidupan kini. Adakah semuanya sama malahan lelaki yang membeli tuala wanita tidak lagi dianggap taboo dalam masyarakat dan model iklannya silih berganti dari yang tidak bertudung, bertudung, gemuk, kurus, artis, ustazah dan sebagainya. Semuanya membuatkan saya tersenyum sendiri. Ah... betapa manisnya kehidupan masa lalu di pekan kecil yang tenang.

Tuala wanita berjenama Sanita yang popular
pada suatu ketika dahulu.
( sumber : Google )

Terus Berjalan Kaki

Saya seterusnya berjalan kaki menyusur pinggir jalan yang lengang.Secara mudahnya, pekan Johol adalah pekan yang terletak di kiri kanan jalan. Bangunan rumah kedainya adalah contoh kepada ciri-ciri tipikal pekan-pekan lama yang banyak terdapat di negara kita. Cumanya disini, bangunan rumah kedai kayu juga tetap wujud dan diimbangi oleh rumah-rumah kedai batu yang pada dasarnya mungkin dibina pada era sebelum perang dunia kedua. Walaupun demikian wujud juga banggunan dalam kategori moden di pekan kecil ini. Namun tidaklah pula ia mampu menutup terus wajah sebenar pekan Johol yang klasik ini.

Deretan rumah kedai moden yang terdapat di pekan Johol.

Saya melewati deretan rumah kedai batu yang sepi. Kebanyakan pintu kedai-kedainya tertutup. Dilihat secara sepintas lalu sektor perniagaan di pekan ini pasti dikuasai oleh peniaga-peniaga Cina. Bangunan kedai ini dibina pada tahun 1919, Ini adalah berdasarkan ukiran tahun 1919 yang terdapat pada dinding atas salah sebuah rumah kedai ini. Saya juga dapat melihat beberapa kerosakan pada bahagian atas rumah kedai ini. Terdapat juga rumah kedai yang sudah diubahsuai terutama pada bahagian tingkap dimana daun tingkap kayu diganti dengan tingkap kaca yang lebih tahan dan lasak. Tetapi saya masih tetap tersenyum kerana daun-daun tingkap kayu lama yang begitu tinggi ciri estetikanya itu tetap dapat dilihat tertutup kemas dan ada pula yang telah terlopong. Begitulah masa mencuri setiap perkara-perkara yang pernah bermain di mata kita suatu ketika dahulu. Sampai masanya ia akan hilang sendiri tanpa kita sedari. Hingga sampai suatu masa kita akan mengenang masa-masa tersebut .... lalu kita akan merasa rindu. Itu adalah satu nikmat yang tiada taranya !

Tertera angka 1919 di bahagian atas deretan rumah 
kedai ini.

Di hadapan rumah kedai lama ini, atau lebih tepatnya di seberang jalan wujud pula deretan rumah kedai yang kelihatannya lebih moden ciri-cirinya. Saya terlihat sebuah kedai runcit yang masih dibuka. Terasa juga dahaga pada ketika itu dan saya mengambil keputusan untuk singgah di kedai runcit berkenaan untuk membeli air. Kedainya masih kelihatan sibuk dan barang dagangannya juga agak banyak. Agaknya tuan kedai berbangsa Cina itu keanehan melihat saya tersenyum-senyum memandangnya ketika mahu membayar harga minuman yang saya beli.

"Awak dari mana ?" tegurnya bersahaja.

" Oh ... saya dari Gemas, sahaja mahu singgah tengok-tengok ini pekan. Banyak sunyi". Tutur saya membalas tegurannya itu tadi.

"Betullah itu. Memang ini pekan sudah mati. Tapi dulu tak macam ni. Dulu banyak orang dekat sini. Sekarang semua muda punya orang sudah Seremban pergi". Nampaknya ramah juga pekedai ini berbual dengan saya. Telor bahasa pasarnya agak pekat. Tiasa bunyian loghat Negeri Sembilan langsung.

Jujurnya saya amat jarang berkesempatan untuk berbual atau menemuramah penduduk tempatan secara formal apabila singgah ke mana-mana pekan kecil. Saya lebih selesa mengambil pendekatan berbual secara tidak langsung seperti ini. Ia sekaligus dapat memberikan lebih penjelasan yang bersifat jujur tanpa ada tapisan.

"Itulah, tadi saya lalu ini pekan terus mahu berhenti mahu tengok-tengok. Mana tahu boleh cari barang-barang lama. Mahu simpan buat collection". Saya mula memancing cerita.

"Aiya semua barang lama sudah jual ma... itu hari sudah ada orang Kuala Lumpur sudah datang angkat signboard lama sama itu botol oren lama. Saya sudah jual murah-murah".

Saya tersenyum sendiri. Memang pekan-pekan kecil seperti ini menjadi tumpuan kepada pemburu barang-barang retro dan antik. Papan-papan tanda lama, botol-botol soda lama dan pelbagai barang vintaj mempunyai harga yang begitu tinggi di pasaran. Maka tidak hairanlah, ada yang sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk mendapatkan barang-barang lama ini. Saya juga sedikit sebanyak terpengaruh dengan hobi ini. Namun tidaklah pula menghabiskan masa dan wang bagi memburu sesetengah barangan yang sememangnya begitu rare. Cukuplah jika barang tersebut mempunyai kenangan dan nilai sentimental kepada diri saya. Ia sudah cukup membuatkan saya berbahagia .... walaupun ia sekadar sebuah kotak rokok !

Saya meminta diri untuk terus berjalan meneroka keunikan pekan Johol. Sebelum saya melangkah keluar, tuan kedai itu memanggil saya. Saya berpatah semula ke arahnya. Dia memberi saya sekeping button patches Coca Cola sempena Kejohanan Piala Dunia Remaja tahun 1997 di Malaysia. Saya masih di tingkatan 1 pada tahun berkenaan dan pasti nama besar yang masih saya ingati dalam skuad Malaysia di kejohanan tersebut ialah Akmal Rizal Ahmad Rakhli dan Khalid Jamlus. Tersenyum saya sendiri. Tidak tersangka kunjungan dan perbualan ringkas bersamanya membolehkan saya mendapat cenderahati yang agak unik ini. Usai mengucapkan terima kasih saya bergerak menyeberangi jalan di hadapan kedainya.

Satu pemberian yang tidak disangka-sangka.

Apam Balik Pekan Johol

Di seberang jalan di hadapan rumah kedai yang sunyi terdapat seorang penjaja yang menjual kuih apam balik. Saya bergerak menghampirinya dan membeli sekeping apam balik yang berharga RM2. Sempat juga berbual pendek dengannya. Dia sendiri dapat meneka saya adalah orang luar di pekan itu. Saya hanya mampu mengangguk setuju.

Penjaja apam balik di pekan Johol

Saya memerhatikan lelaki tua penjual apam balik tersebut menyediakan apam baliknya. Terlihat suatu kecekapan yang terlahir dari kebiasaan dan pengalamannya yang tidak surut padam itu. Dari perbualan ringkas saya dengannya ternyata beliau juga mengakui kelesuan yang ada di pekan Johol ini. Menurutnya lagi suatu ketika dahulu pekan ini agak sibuk namun kini semuanya itu hanya tinggal sebagai kenangan. Saya bertanya kepadanya bagaimana kondisi perniagaan apam baliknya kebelakangan ini. Jawapannya mudah .... rezekinya tetap ada !

Radio buruk menemaninya sepanjang hari

Lagu Dunia Hatiku nyanyian Allahyarham Datuk Ahmad Jais berkumandang dari radio kecil yang terletak dari atas rak kaca. Pasti ia dari siaran radio Klasik Nasional. Beberapa buah kereta melewati jalan raya di hadapan kedainya. Tidak ada yang singgah membeli apam baliknya. Kedainya mudah dan ringkas dan hanya diteduhi oleh payung besar yang uzur. Cukup melindungi dari panas dan hujan. Usai siap membungkuskan apam balik yang dipesan beliau terus sahaja menyiapkan apam balik lain dengan tekun. Saya tidak mahu mengganggu kerjanya. Semoga beliau terus kuat dalam usianya. Pasti saya tidak dapat melupakan kedai apam baliknya yang menjadi penyeri klasik pekan Johol ini.


Satu pemandangan yang klasik !

Stesen Pam Minyak Kecil

Saya meneruskan perjalanan berjalan kaki merentasi pekan Johol dalam suasana panas tengah hari yang mula membahang. Peluh sudah mula membasahi tubuh saya tanpa sedar. Dengan bungkusan apam balik dijinjing bersama kamera, terasa perjalanan berjalan kaki ini begitu payah sekali. Masa benar-benar telah mencuri segala kudrat masa muda saya dahulu. Alangkah lelahnya reaksi tubuh ini menerima tugasan berjalan kaki seperti ini. Usia kini sudah mula menarik setiap kekuatan diri yang suatu ketika dahulu pernah saya megah-megahkan. Bukan mahu mendabik dada, saya memang lelaki pejalan kaki yang teruji benar suatu ketika dahulu. Saya pernah mudik ke hulu Sungai Rajang, bermalam di hutan Balleh, meneroka keunikan Long Busang dan pelbagai perjalanan yang pernah saya lalui dulu tanpa kompromi. Namun kini semua itu hanyalah satu kenang-kenangan indah sahaja. Kini saya bukan lagi lelaki yang terlihat seperti itu......

Secara tiba-tiba pandangan saya tertumpu ke seberang jalan. Bagaikan tidak percaya, di hadapan saya kini wujud sebuah stesen pam minyak kecil yang benar-benar unik. Sebuah bangunan kecil dengan dua pam minyak bewarna kuning ( warna rasmi syarikat minyak berkenaan ) dan diapit pula oleh banggunan rumah kedai kayu yang uzur. Jujurnya, inilah kali pertama saya menemui stesen pam minyak sekecil ini di semenanjung Malaysia. Ketika berada di Sarawak dahulu pernah juga saya menjumpai stesen pam minyak seperti ini jika tidak silap saya di Bintanggor dan Daro. 

Stesen pam minyak kecil di pekan Johol

Jika diperhatikan sepintas lalu saiznya seakan-akan sama sahaja dengan pondok perhentian bas. Pada pandangan saya, bangunan stesen pam minyak kecil ini punya keunikannya yang tersendiri. Diperbuat dari binaan simen manakala atapnya dari susunan genting. Terdapat bentuk ukiran kayu tajam di bahagian bumbungnya yang seakan-akan memberitahu wujud pengharuh senibina Melayu. Paling saya gemari ialah keadaan tingkapnya yang jelas begitu klasik dengan jenis daun tingkap kayu lama. Buat pertama kalinya saya jatuh cinta dengan sebuah stesen pam minyak. Sungguh saya benar-benar teruja di sini. Masa seolah-olah terhenti memberikan saya ribuan angan dan kenangan yang tidak terhingga !.

Tidak ada kereta atau motosikal yang singgah untuk mengisi minyak. Semuanya terasa sunyi dan bungkam. Terasa agak gementar juga untuk mengambil gambar stesen minyak ini. Risau ada yang berpandangan negatif tentang perbuatan saya itu. Ah... pedulikan lah tanggapan sesiapa jua pun tentang saya. Saya bukan melakukan kejahatan. Saya cuma membantu mengimbau memori lama... khusus untuk mereka yang mahu mengenangkannya. Mungkin catatan kecil ini mampu membuatkan ada diri yang tersenyum sendiri. Itu dunia yang sangat saya idam-idamkan.

Hampir 10 minit saya berdiri memandang stesen minyak kecil ini. Terasa begitu seronok melihat sebuah stesen minyak kecil di sebuah pekan yang sepi. Cukuplah stesen minyak kecil ini bagi memenuhi keperluan penduduk pekan Johol. Namun jauh disudut hati saya, biarlah stesen minyak ini kekal unik untuk selama-lamanya di pekan kecil ini. Ia suatu perlambangan yang cukup jelas .... melangkapkan sebuah panorama indah sebuah pekan yang tidak dimamah zaman.

Saya singgah sebentar duduk melepaskan lelah di sebuah perhentian bas tidak jauh dari pejabat pos pekan Johol. Sambil meneguk minuman, mata saya meliar memerhatikan suasana di persekitaran saya. Masih ada bas yang singgah mengambil dan menurunkan penumpang di pekan ini. Rasanya stesen bas mungkin tidak wujud disini lantaran kedudukannya yang tidak jauh dengan bandar Kuala Pilah.

Secara tiba-tiba pandangan mata saya tertumpah pada sebuah tong sampah bewarna kuning yang terletak di penjuru kiri perhentian bas berkenaan. Saya tersenyum sendiri apabila melihat tong sampah berkenaan. Mungkin bagi kebanyakan orang, tiada apa yang istimewa dengan tong sampah berkenaan namun bagi saya ia adalah begitu unik.Tong sampah bewarna kuning dan merah ini adalah contoh ciri-ciri tipikal tong sampah yang sering digunakan oleh pihak berkuasa tempatan pada akhir tahun 1980an hingga ke akhir tahun 1990an. Sukar lagi untuk melihat tong sampah dari jenisan seperti ini kerana kebanyakan tong sampah yang digunakan kini lebih terarah kepada konsep kitar semula.

Saya masih ingat lagi ketika masih di sekolah menengah, saya dan teman-teman sering mengopek pelekat berlogokan pembuangan sampah di hadapan tong sampah ini hanya untuk dilekatkan kembali pada pintu kereta guru-guru sekolah yang dirasakan agak buas kepada kami. Itulah .... terasa seronok mengenangkan semua yang telah berlaku itu. Masih terasa bisa rotan yang dilibas dipunggung akibat tertangkap oleh guru disiplin akibat dari perbuatan itu tadi. Hahahahaha.


Dengan tong sampah pun boleh dicari
setiap kenangan !

Seperti biasa jika singgah ke pekan-pekan kecil saya suka mencari dan singgah di pejabat posnya. Lazimnya di pekan-pekan kecil seperti Johol ini, binaan bangunan pejabat posnya agak unik dan sesekali punyai ciri-ciri klasik. Bagi pejabat pos pekan Johol ini, ia adalah sebuah bangunan moden yang diapit oleh deretan rumah kedai kayu di kiri dan kanan kawasanya. Jika dilihat secara sepintas lalu, bangunan pejabat pos ini sebenarnya agak berbeza. Ia cuma  dibina setingkat sahaja dan tidak dibina dua tingkat seperti mana pejabat-pejabat pos yang pernah saya jejaki terutamanya di negeri Perak. Ruang parkir di hadapan pejabat pos ini agak luas. Pasti inilah sahaja tempat sehenti bagi warga Johol dalam mendapatkan akses pembayaran bil-bil setempat juga urusan-urusan lain seperti pembaharuan cukai jalan dan lesen memandu. 



Saya kemudiannya menurkan perjalanan jauh ke hadapan. Tidak ada apa lagi yang menarik perhatian saya selepas itu. Peluh yang menitik membasahkan baju saya. Setelah berfikir sedalamnya, saya mengambil keputusan untuk berpatah semula ke arah kereta saya diparkir di hdapan masjid tadi. Tersenyum saya sendiri melihat jarak yang perlu saya tempuhi untuk sampai ke masjid jamek pekan Johol. 

Sempat juga saya merakamkan beberapa gambar panorama pekan Johol ketika berpatah semula ini. Saya melangkah perlahan menyusuri jalannya yang sunyi itu. Sisa-sia kudrat masa muda saya rupanya masih berkekalan rupanya dalam diri. Saya melihat rumah-rumah kedai tua di kiri dan kanan jalan bagaikan sedang tersenyum dengan diri saya. Mereka seolah-olah ingin menjemput saya untuk singgah sekali lagi pada suatu masa yang lain. Saya melihat lorong-lorong kecil yang melalui sisi rumah-rumah kedai berkenaan bagaikan mengucapkan selamat jalan yang mesra kepada diri saya. Alangkah indahnya pekan tua ini... alangkah tenangnya disini.


Sunyi


Setelah hampir 15 minit berjalan kaki akhirnya saya sampai ke kereta saya. Dengan segera saya menghidupkan enjin dan pendingin hawa kereta. Terasa segar sedikit tubuh badan saya apabila tersentuh dengan hawa yang dingin. Jam sudah menunjukkan angka 3.30 minit petang. Nampaknya saat perpisahan saya dengan pekan Johol sudah sampai ke kemuncaknya.

Saya membawa haluan kereta saya ke arah pekan Johol semula. Terasa begitu berat hati untuk meninggalkan pekan tua ini. Saya mahu melihatnya sekali lagi walaupun dari dalam kereta. Melewati semula rumah-rumah kedainya yang sunyi membuatkan saya mahu menangis. Agaknya berapakah lama lagi hayat bagi sebuah pekan kecil yang usang dan kusam seperti ini ? Saya sedar, pekan Johol tidak selamanya akan kekal dalam nuansa seperti ini untuk hari-hari depan. Mustahil baginya mengelak aura-aura kemodenan yang begitu kuat mengikis sifat-sifat klasiknya selama ini.

Ketika melewati pakcik tua penjual apam balik tadi, kelihatannya beliau sedang duduk berteleku sendiri. Apakah yang sedang difikirkannya. Dia lelaki tua yang tabah mencari rezeki di dalam sebuah pekan tua yang tidak punya apa-apa lagi. Keduanya-duanya sama ... berjuang untuk terus hidup.

Selamat Tinggal Pekan Johol.

Sayup-sayup kereta saya mula meninggalkan pekan Johol menghala ke arah Kuala Pilah. Dari cermin sisi saya melihat pekan Johol semakin jauh mengecil tertinggal jauh di belakang. Saya memandangnya berkali-kali tanpa ada rasa jemu. Saya melihat ia melambai tangannya kepada saya. Mengucapkan rasa hiba yang tidak dimengertikan. Saya hanya mampu menahan hiba. Saya akan kembali lagi kesini selagi ia terus kekal dengan rasa yang romantik ini.

Di pekan Johol, saya melabuhkan sejuta rindu pada rumah-rumah kedainya yang tua berkedut itu. Nuansa kenangan bagaikan berputar dengan semahunya hati disini. Ia tidak pernah menipu untuk menyatakan masa usangnya itu akan mampu membunuhnya. Ia tetap melawan bagi memberikan sejuta satu kenangan kepada anak-anaknya. Pekan Johol.....benar untuk saya nyatakan ... saya benar-benar rindu !.