Tidak ada kenderaan yang melalui jalan yang sunyi ini. Terasa agak lapang apabila motosikal saya melintasi jalan untuk ke kawasan pemakaman di seberang. Saya memberhentikan motosikal di pintu masuk kawasan makam. Fikiran saya pada ketika ini kosong dan memang niat di hati hanya ingin menjenguk dan melihat sendiri kawasan pemakaman antara keluarga pembesar utama di negeri Perak Darul Ridzuan ini.
Jika dilihat secara sepintas lalu ternyata negeri Perak mewarisi sistem pentadbiran yang sama dengan Kesultanan Melayu Melaka. Hal ini adalah sesuaatu yang tidak dapat disangkal kerana Kesultanan Melayu Perak Darul Ridzuan sememangnya diasaskan oleh Raja Muzaffar Shah iaitu putera kepada Sultan Mahmud Shah, sultan Melaka yang terakhir.
Menerusi sistem pentadbiran tradisi Melaka ini, negeri Perak akan dinaungi oleh seorang Sultan yang bertindak sebagai kepala negeri. Sultan pula akan dibantu oleh jemaah pembesar yang mempunyai tugas dan peranan yang tertentu. Sistem pembesar di negeri Perak ini adalah mengikut hieraki dan kepentingannya yang tersendiri dan dinamakan sebagai sistem pembesar empat lipatan.
Sistem pembesar empat lipatan ini terdiri daripada kumpulan pembesar yang menjadi pegawai tadbir dalam sesebuah kerajaan. Terdapat empat orang pembesar yang menduduki hieraki tertinggi dalam sistem pembesar empat lipatan ini. Lazimnya empat orang pembesar tersebut ialah bendahara, penghulu bendahari, temenggung dan lakasamana. Empat orang pembesar utama ini pula dibantu oleh tiga kumpulan pembesar yang dikenali sebagai pembesar berlapan, pembesar enam belas dan pembesar tiga puluh dua. Setiap dari pembesar-pembesar ini biasanya mempunyai kawasan pegangannya yang tersendiri dan mempunyai peranan tertentu dalam sesebuah kesultanan.
dan Kesultanan Melayu Perak.
Walaupun dilihat mewarisi sistem pembesar yang sama dengan kesultanan Melayu Melaka, terdapat sedikit perbezaan terutama melalui panggilan dan gelaran pembesar di negeri Perak ini. Berkemungkinan hal ini terjadi ekoran dari pertembungan dengan budaya Perak lama serta kemasukan pengaruh-pengaruh luar seperti Acheh, Bugis, Siak dan sebagainya telah membentuk istilah-istilah baru dalam pemberian gelar setiap pembesar.
Dalam penelitian saya, jawatan pembesar berempat di Perak ini walaupun diwarisi dari kesultanan Melayu Melaka, namun ianya tidaklah diberikan terus kepada keluarga pembesar yang berasal dari Melaka. Hal ini agak membingungkan saya kerana sebuah lagi kesultanan dari benih Melaka iaitu kesultanan Johor Lama dilihat lebih mewarisi keluarga pembesar Melaka bermula dari jawatan bendahara sehingga ke lain-lainnya.
Jika ditinjau dari segi sejarahnya, sebelum pengasasan kesultanan Melayu Perak, negeri ini telah ditadbir secara bersendirian oleh beberapa pembesar tempatan seperti Tun Saban Balik, Tok Masoka, Tok Temong dan lain-lainnya. Dikatakan para pembesar-pembesar ini juga asalnya dari Melaka yang berundur membawa diri setelah Melaka jatuh ke tangan Portugis. Tun Saban Balek sebagai contohnya, adalah dikatakan putera kepada Tun Perak yang pernah menjadi bendahara Melaka. Hal ini diperkuatkan lagi dengan peranan yang dimainkan oleh Tun Saban dalam urusan perlantikan Sultan Muzaffar Shah sebagai sultan Perak pertama.
Ini ditambah pula dengan ikatan yang dimeterai antara Sultan Muzaffar Shah dengan Tok Temong yang mensyaratkan bahawa Sultan Muzaffar Shah hanya berkuasa di mudik kanan Sungai Perak sahaja manakala mudik kiri Sungai Perak terus dipegang oleh para pembesar yang telah sedia ada. Ini secara tidak langsung
menjadikan jawatan pembesar di negeri Perak ketika itu diisi oleh pembesar yang telah sedia ada.
Salah satu maklumat penting berkaitan dengan kewujudan sistem pembesar di Perak ialah kedatangan seorang yang bernama Tok Engku Malim dari kerajaan Minangkabau pada masa period Megat Terawis menjadi bendahara. Tok Engku Malim telah datang ke Perak untuk membantu mewujudkan sistem undang-undang Perak dan mewujudkan gelaran orang-orang besar negeri. Namun tidak pula saya mengetahui apakah Tok Engku Malim ini ada juga memegang jawatan penting dalam hieraki pembesar Perak selepas dari itu.
Bagi jawatan bendahara, pada peringkat awalnya seorang benih keturunan Tun Perak yang bernama Tun Mahmud ( penghulu Klang ) telah didatangkan bersama Sultan Muzaffar Shah untuk dijadikan bendahara. Namun Tun Mahmud ini tidak berlama-lama di Perak apabila beliau telah dipanggil oleh Sultan Alauddin Riayat Shah ( sultan Johor yang pertama yang juga merupakan adinda Sultan Muzaffar Shah ) untuk menjadi bendahara di Johor. Menurut YM Raja Kobat Ibni Almarhum Raja Muda Musa, sewaktu Sultan Muzaffar Shah memilih Tanah Abang dalam mukim Lambor sebagai tempat bersemayam, bendahara Tun Mahmud pula memilih sebuah tempat yang dikenali sebagai Pelabuhan Jong di pinggir Sungai Bidor ( salah satu cawangan utama aliran air sungai Perak ) untuk dijadikan kawasan pegangan.
Berkaitan dengan Pelabuhan Jong ini pula, YM Raja Kobat menyatakan ia terletak di kawasan Changkat Jong yang terletak di pinggir Sungai Bidor tidak jauh dari Teluk Intan. Maklumat berkenaan dengan hal ini boleh dilihat di laman web
Namun, mengikut perkiraaan masa, saya lebih meyakini bahawa Pelabuhan Jong bukan terletak di kawasan Changkat Jong ( pinggir Sungai Bidor ) sekarang, sebaliknya ia terletak berhampiran pertemuan kuala Sungai Kinta dengan Sungai Perak. Wallahualambissawab.
Saya agak kurang pasti berkenaan dengan tempoh Tun Mahmud menjadi bendahara Perak yang pertama sebelum beliau dipanggil ke Johor Lama. Namun selepas ketiadaannya, dinyatakan bahawa gelaran bendahara Perak telah dipegang oleh Megat Terawis Daulat Pagar Ruyung, salah seorang tokoh yang turut terlibat dalam perjalanan Sultan Muzaffar Shah menjadi sultan Perak yang pertama. Jawatan bendahara ini terus disandang oleh keturunan keluarga Megat sehinggalah ke awal abad ke-17.
Seterusnya, jawatan bendahara dipangku pula oleh oleh keluarga Jamalulail yang berasal dari garis keturunan Syed Hussain Al-Faradz. Individu dari keluarga Jamalulail yang dilantik sebagai bendahara Perak ialah Syed Abu Bakar iaitu semasa pemerintahan sultan Perak ke-15, Sultan Iskandar Dzulkarnain. Menurut sejarahnya telah berlaku satu perbalahan antara Sultan Iskandar Dzulkarnain dengan Bendahara Megat Abu Kassim akibat dari hal pembinaan istana. Perbalahan itu telah membawa kepada pemulangan jawatan bendahara oleh Megat Abu Kasim kepada Sultan Iskandar Dzulkarnain. Pemulangan gelaran ini menamatkan terus era keluarga Megat dalam memegang jawatan bendahara Perak sehingga ke hari ini.
Keadaan ini seterusnya membawa kepada kekosongan jawatan bendahara buat seketika. Tindakan pantas telah diambil oleh Sultan Iskandar Dzulkarnain dengan meletakkan Syed Abu Bakar yang pada ketika itu memegang jawatan sebagai Orang Kaya Menteri Paduka Tuan ( berada dalam kedudukan ketiga tertinggi dalam hieraki pembesar negeri Perak ) untuk memangku jawatan bendahara Perak.
Namun demikian tidak pula saya mengetahui berapa lamakah masa Menteri Bendahara Syed Abu Bakar memegang jawatan sebagai bendahara kerana beberapa waktu selepas itu jawatan bendahara telah mula dipegang oleh zuriat anak-anak raja menerusi tindakan Sultan Iskandar Dzulkarnain yang telah melantik adindanya yang bernama Raja Alauddin sebagai pemegang jawatan Raja Bendahara pertama Perak Darul Ridzuan.
Sesuatu yang turut membuatkan saya berfikir panjang ialah apabila jawatan bendahara disandang oleh zuriat anak-anak Raja, maka gelar jawatannya juga telah berubah menjadi Raja Bendahara yang turut berada dalam kedudukan ketiga dalam sistem hieraki takhta negeri Perak. Namun adakah jawatan Raja Bendahara ini kekal dalam senarai empat pembesar kanan negeri Perak atau salah seorang pembesar berlapan dinaikkan martabatnya bagi menduduki salah satu senarai dari pembesar berempat ? ... saya masih belum mampu menjawabnya sehingga kini. Mungkin bagi sesiapa yang membaca artikel ini boleh menjawab persoalan ini untuk perkongsian bersama.
Di negeri Perak, jawatan Orang Kaya Besar Maharaja Diraja terletak dalam kedudukan kedua terpenting dalam hieraki pembesar berempat negeri selepas jawatan Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja. Dari segi peranannya, gelaran ini adalah sama dengan jawatan penghulu bendahari di dalam kesultanan Melayu Melaka. Menurut sejarah, jawatan Penghulu Bendahari di Melaka dikenali sebagai Seri Nara Diraja. Namun demikian dalam hieraki sistem pembesar Perak pula, gelaran Seri Nara Diraja sememangnya ada namun ianya bukanlah seorang penghulu bendahari sebaliknya ialah sebagai penjaga rahsia, adat dan kebudayaan istana Perak yang yang begitu unik.
Menurut laman blog
Maharaja Lambor gelaran Orang Kaya Besar Maharaja Diraja mula diasaskan oleh Toh Seri Nara Toha Bangsa Muntah Lembu. Menurut laman blog ini lagi, keturunan muntah lembu ini adalah dari generasi yang telah lama bermukim di dalam negeri Perak ini dan mereka juga turut terlibat dalam urusan membawa Sultan Muzaffar Shah bagi merajai negeri Perak. Secara tidak langsung, teori perlantikan pembesar negeri Perak pada peringkat awal pengasasannya adalah terdiri dari pembesar-pembesar tempatan adalah agak tepat dan bersebab.
Namun demikian, pada dekad-dekad awal kewujudan kesultanan Perak, jawatan ini disandang oleh kaum keluarga Megat yang lebih muda sebelum dilantik ke jawatan bendahara. Ini bermakna, jawatan Orang Kaya Besar Maharaja Diraja ini adalah jawatan
"junior" bagi bakal bendahara Perak dari keluarga Megat. Ia dilihat sebagai satu batu loncatan bagi pemegang jawatan ini sebelum dilantik sebagai bendahara. Masuk sahaja kepada abad ke-17, apabila Sultan Iskandar Dzulkarnain melantik adindanya sebagai Raja Bendahara pertama Perak, jawatan Orang Kaya Besar Maharaja Diraja ini terus disandang oleh individu dari keluarga Megat sebagai gantian kepada pemulangan jawatan bendahara yang dipegang oleh keluarga Megat oleh Bendahara Megat Abu Kassim kepada Sultan Iskandar Dzulkarnain.
Pada masa pemerintahan Sultan Jaafar Muadzam Shah Ibni Raja Kechil Besar Ahmad, telah berlaku satu perubahan yang besar dalam sistem pembesar di negeri Perak. Pada masa pemerintahan baginda, jawatan asal yang dipegang oleh warisan keluarga Syed ini iaitu Orang Kaya Menteri Paduka Tuan telah diberikan kepada Ngah Ibrahim Bin Long Jaafar dari Larut. Sebagai balasannya, jawatan Orang Kaya Besar Maharaja Diraja ini telah dikurniakan untuk disandang secara bergilir-gilir oleh keluarga Syed dan Megat. Justeru itu tidak hairanlah sehingga ke hari ini kedua-dua cabang keluarga ini silih berganti memegang jawatan Orang Kaya Besar Maharaja Diraja ini.
Sebagai perbandingan, sekiranya seorang dari keluarga Syed dilantik menjadi Orang Kaya Besar Maharaja Diraja, maka bagi jawatan Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja Dirajanya pula mestilah dari cabang keturunan keluarga Megat dan begitulah sebaliknya.
Kawasan Pemakaman Keluarga Orang Kaya Besar Maharaja Diraja Syed Abu Bakar
Saya meletakkan motosikal saya di hadapan pintu masuk kawasan pemakaman. Mata saya meliar memerhatikan keadaan sekeliling. Suasananya tetap sama seperti di kawasan makam Raja Bendahara Alang Iskandar .... sunyi dan tenang. Jika tidak salah dalam ingatan, selain dari makam-makam sultan pemerintah Perak, ini adalah makam individu bukan berdarah raja ketiga yang saya ziarahi selepas makam Si Putum dan makam Syed Hussain Yamani. Namun teristimewanya tentang makam ini ialah ia adalah makam pembesar Perak yang pertama saya ziarahi dan ia sekurang-kurangnya membantu diri saya mencungkil cerita dan sejarah para pembesar yang pernah berjasa kepada negeri Perak ini pada suatu ketika dahulu.
Papan tanda makam terlihat dengan jelas. Terdapat juga sebuah papan tanda lain yang sudah terjatuh ke atas tanah. Fikiran ingin tahu membuatkan saya dengan segera mengangkat papan tanda yang terletak ditanah. Baru sahaja diangkat sedikit, seekor lipan bewarna hitam merayap ke lengan saya. Akibat terkejut, lipan tersebut akhirnya terbunuh begitu sahaja apabila rontaan tangan saya menyebabkan lipan tersebut tercampak dan jatuh betul-betul di kaki saya yang tanpa sebarang ihsan terus menginjaknya tanpa sedar. Hal ini membuatkan saya menjadi begitu sesal sepanjang perjalanan pulang.
Kawasan pemakaman ini menempatkan sejumlah makam yang terdiri dari ahli keluarga Orang Kaya Besar Maharaja Diraja Syed Jaafar. Agak sukar bagi saya menentukan keberadaan nama tokoh ini dalam sejarah negeri Perak yang panjang. Namun sesuatu yang pasti beliau adalah berasal dari garis keturunan Syed Hussain Al-Faradz. Beliau adalah generasi ke-12 dari warisan Syed Hussain Al-Faradz dan pernah menjadi Penghulu Teja. Bapanya yang bernama Syed Yunus juga merupakan Penghulu Teja. Rujukan berkaitan dengan salasilah keluarga Syed Jaafar ini boleh dirujuk di laman
sjaznan yang menjadi rujukan utama saya dalam penulisan ini.
Dari penelitian awal saya, terdapat empat orang dari kaum keluarga Jamalulail yang pernah menjawat jawatan sebagai Orang Kaya Besar Maharaja Diraja sejak jawatan ini mula diperuntukkan kepada keluarga ini dan keluarga Megat pada masa pemerintahan Sultan Jaafar Muadzam Shah. Syed Jaafar adalah individu yang ketiga dalam keluarga Jamalulail yang dilantik ke jawatan ini. Selepas itu, cucunya yang bernama Syed Abdul Hamid turut dilantik ke jawatan yang sama. Kini bagi jawatan Toh Muda Orang Kaya Besar Maharaja Diraja Perak, ianya dipegang oleh salah seorang keturunan Syed Jaafar ini. Ianya sebagai penerus tradisi pembesar negeri Perak yang sangat unik dan tiada tolok bandingnya.
Kawasan pemakaman ini agak terjaga. Saya memerhatikan jenisan batu nisan yang ada di dalam kawasan pemakaman ini. Beberapa jenis batu nisan yang ada memperlihatkan ia adalah dari jenis batu granit yang mungkin telah mula digunakan sekitar lebih dari 100 tahun yang lalu. Jadi tidak mustahil kawasan pemakaman ini telah berusia lebih dari 100 tahun.
Sebuah kepuk makam yang berbumbung adalah antara makam yang paling terserlah di sini. Saya menjangkakan itulah makam Orang Kaya Besar Maharaja Syed Jaafar. Anehnya, tidak pula saya meninjau-ninjau di dalam kawasan pemakaman. Sebaliknya hanya bertumpu di kawasan kepuk makam ini sahaja. Terdapat juga makam-makam yang lain disekitar kepuk makam namun ia tidak menarik perhatian saya.
Saya duduk berteleku di kepuk makam yang agak meninggi dan menyedekahkan bacaan Al-Fatihah kepada roh-roh mereka yang dikebumikan di kawasan makam ini. Menurut sejarahnya, golongan Syed ( keluarga Jamalulail ) telah begitu lama bermukim di negeri Perak ini. Mereka memainkan peranan yang sangat besar dalam pembangunan dan pentadbiran negeri.
Salah satu sumbangan yang paling besar keluarga Jamalulail di Perak ini ialah pengenalan undang-undang berteraskan Islam yang dipanggil Undang-Undang 99 Perak. Mengikut sejarahnya, undang-undang berteraskan Islam ini telah dibawa oleh Syed Hassan dari Hadramaut semasa pemerintahan sultan Perak ketiga, Sultan Ahmad Tajuddin Shah Ibni Sultan Mansur Shah ( 1577-1584 ). Undang-Undang 99 Perak ini terus digunakan sehinggalah semasa pemerintahan sultan Perak ke-31, Sultan Abdul Aziz Al-Mutassim Billah Shah Ibni Raja Muda Musa ( 1938 - 1948 ) apabila ia digantikan dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
Meneruskan Perjalanan
Usai menziarahi kawasan pemakaman Orang Kaya Besar Maharaja Diraja Syed Jaafar dan keluarganya, saya kembali meneruskan perjalanan melalui jalan Kota Bharu ke Malim Nawar. Petang yang semakin menyondong dan ditambah dengan suasana jalan yang lengang membuatkan saya menjadi semakin tidak keruan. Saya perlu segera ke Malim Nawar untuk bersolat Asar.
Sepanjang perjalanan fikiran saya melayang jauh memikirkan tentang hari esok. Benar esok saya bukan lagi lelaki bujang seperti hari ini. Esok saya akan menjadi seorang lelaki dengan gelar suami. Gundah gulana dibuatnya apabila memikirkan mampukah saya untuk menjadi lelaki yang terbaik untuk seorang wanita ? ... Selain itu, saya juga bimbang masih adakah masa untuk saya melakukan perjalanan ziarah seperti ini lagi ?... Ah ...segalanya bagaikan berkongsi rasa dengan suasana perjalanan yang sepi ini.
Saya tidak pula memandu dengan laju sebaliknya lebih kepada menikmati suasana perjalanan yang bungkam. Dengan tidak semena-mena pemanduan terganggu apabila terpandang sebuah papan tanda kecil di pinggir jalan. Pada mulanya saya tidak mahu mengambil peduli akan tulisan yang terpampang pada papan tanda kecil itu. Namun apabila teringat akan nama yang tertera pada papan tanda kecil itu bukan calang-calang orangnya, membuatkan saya berpatah semula.
Saya bagaikan tidak percaya apabila papan tanda kecil itu adalah penunjuk arah ke makam Syed Hussain Al-Faradz Jamalulail. Selama ini, saya tidak pula mengetahui makam tokoh ini juga turut terletak di kawasan mukim Teja ini. Hal ini ditambah dengan beberapa pendapat yang menyatakan bahawa makam Syed Husaain Al-Faradz mungkin terletak bersama dengan makam Sultan Muzaffar Shah I di mukim Lambor dalam daerah Perak Tengah.
Siapa Syed Hussain Al-Faradz ?
Secara tepatnya sukar untuk mengandaikan bilakah masa keberadaan Syed Hussain Al-Faradz di bumi Perak yang tercinta ini. Sejarah rasmi hanya menyebutkan beliau adalah penasihat agama Islam kepada Sultan Muzaffar Shah I, sultan Perak yang pertama.
Ada andaian yang menyatakan beliau sememangnya telah bermukim di Perak ini untuk menyebarkan agama Islam sebelum pengasasan kesultanan Perak itu sendiri dan ada pula yang menyatakan beliau tiba ke Perak setelah kesultanan Perak diasaskan pada tahun 1528. Namun demikian dengan adanya kewujudan tokoh ini dalam sejarah Perak telah memberikan batu asas yang kukuh bahawa agama Islam memang telah dianuti oleh sebahagian masyarakat Melayu Perak pada masa itu.
Dari Syed Hussain Al-Faradz inilah menurunkan warisan keturunan Syed di negeri Perak ini atau lebih dikenali sebagai kaum keluarga Jamalulail Perak. Orang Kaya Besar Maharaja Diraja Syed Jaafar yang makamnya telah saya ziarahi sebentar tadi adalah generasi ke dari Syed Hussain Al-Faradz.
Jalan Sunyi Ke Makam
Laluan ke arah tempat makam agak sunyi. Saya melalui jalan berpasir di kawasan bekas lombong bijeh timah. Sepanjang perjalanan fikiran saya sibuk memikirkan bagaiman makam Syed Hussain Al-Faradz boleh berada di kawasan yang sunyi seperti ini. Hal ini ditambah pula dengan status kawasan berkenaan sebagai bekas lombong bijih timah. Beberapa kali juga saya hampir terbabas ke tepi jalan akibat dari keadaan jalan yang berpasir lembut. Mujur juga saya dapat mengimbangi pemanduan saya dengan sebaiknya.
Jalan ke makam Syed Hussain Al-Faradz
Saya melintasi sebuah rumah kayu yang kelihatan seperti sebuah kongsi lombong lama. Beberapa ekor anjing berkeliaran di jalan dan berhampiran rumah berkenaan. Saya dapat mengesan ada mata-mata liar yang memandang dari rumah berkenaan. Bimbang juga hati ini bersendirian di kawasan yang sangat asing pada diri ini. Dengan suasana petang yang semakin tua, saya menjadi semakin tidak keruan di sini.
Tidak jauh di hadapan saya dikejutkan dengan gerombolan lembu yang menghadang jalan. Saya membunyikan hon motosikal berkali-kali bagi menghalau gerombolan lembu berkenaan agar menjauh dari laluan saya. Alhamdulillah, selepas beberapa ketika lembu-lembu berkenaan mula menghindar dari laluan saya dan ia memberikan kelegaan yang sebentar kepada diri saya. Hal ini tidak berpanjangan kerana saya mula merasakan jarak perjalanan sudah terlalu jauh dan bayangan kawasan pemakaman tidak pula dapat saya kesan. Saya mula merasa tidak tenteram lalu memberhentikan motosikal di pinggir jalan. Matahari petang yang semakin menyuram menyesakkan pandangan mata saya.
Saya berfikir panjang sama ada mahu meneruskan perjalanan atau tidak. Ia suatu pilihan yang sangat menyakitkan. Jika saya meneruskan perjalanan bermakna saya perlu berhadapan dengan risiko pulang lewat dan pastinya ia akan menimbulkan kemarahan mak dan ayah ( esok saya akan berkahwin ). Berpatah balik pula seakannya bukan perkara yang saya sukai kerana ia seolah-olah memberi petanda bahawa saya seorang yang gagal. Akhirnya saya membuat keputusan untuk meneruskan perjalanan. Saya yakin makam berkenaan pasti tidak jauh di hadapan !
Sebuah Makam Di Pinggir Tasik.
Akhirnya saya sampai ke satu laluan yang agak bersemak. Saya menunggang motosikal saya dengan berhati-hati. Kelahatan sebuah tasik yang agak luas berhampiran dengan laluan berkenaan. Saya sememangnya sudah arif benar dengan kawasan bekas lombong bijih timah pasti memiliki tasik atau lombong. Biasanya tasik atau lombong ini agak dalam dan sering memakan nyawa manusia.
Saya terpandang seperdu buluh yang agak merimbun. Keadaannya juga agak gelap. Dari celahan buluh berkenaan dapat dilihat satu binaan berpagar bewarna hijau dan agak terjaga. Saya tersenyum sendirian, pasti makam Syed Hussain Al-Faradz telah saya temui. Saya memberhentikan motosikal dan meletakkan ia agak jauh dari kawasan perdu buluh berkenaan. Saya berjalan kaki ke arah makam yang pastinya sudah berusia lebih kurang 500 tahun ini.
Sesekali saya melihat ke arah tasik yang agak gelap airnya itu. Ah ... terasa seriau melihat airnya. Namun panoramanya begitu indah. Dengan banjaran gunung yang kelihatan biru di kejauhan dan suasana petang yang meredup terasa suasana disini begitu tenang dan indah. Saya berhenti seketika merakamkan panorama ini. Ia bagaikan mahu memberhentikan saya dari meneruskan perjalanan ke arah makam. Beberapa minit di pinggir tasik ini hampir-hampir sahaja membuatkan saya terleka. Mujur juga saya cepat tersedar dan meneruskan semula perjalanan ke arah makam.
Tasik yang indah
Dari rimbunan buluh yang agak menebal, saya dapat melihat binaan makam yang sederhana sifatnya. Pagar makam ini bercat hijau seolah-olah memberi gambaran bahawa penghuni makam adalah seorang yang luas ilmu agamanya. Ia seterusnya mengembalikan ingatan saya kepada makam Syed Hussein Yamani yang membuatkan saya berfikir panjang berkenaan dengan makna disebalik kain balutan makam bewarna hijau. Di sini pula, warna hijau menjadi warna latar makam dan sejujurnya warna hijau adalah warna kegemaran saya.
Pintu pagar makam ini tidak berkunci. Terasa agak nyaman berada di kawasan makam ini. Batu nisan makam hanyalah dari batuan sungai dan tidak dibaluti oleh kain-kain bewarna. Uniknya makam ini tidak berkepuk. Saya mahu memasuki ke dalam kawasan berpagar namun membatalkan hasrat tersebut apabila memikirkan keadaannya yang agak sempit.
Dari luar pagar saya membaca surah Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada roh Syed Hussain Al-Faradz. Saya memandang makamnya yang sunyi. 500 tahun yang lalu beliau datang ke negeri Perak untuk menyebarkan agama Islam. Betapa besarnya sumbangan beliau terhadap syiar Islam di bumi Perak ini. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa masyarakat Perak sudah beragama Islam sewaktu pengasasan Kesultanan Perak. Ia juga membuktikan teori bahawa wujudnya asimilasi antara masyarakat Melayu dengan bangsa Arab sejak dari dahulu lagi.
Makam Syed Hussain Al-Faradz
Saya sebenarnya lebih kuat untuk memegang teori bahawa Syed Hussain Al-Faradz sememangnya telah lama bermukim di negeri Perak ini sebelum pengasasan kesultanan Perak itu sendiri. Hal ini mungkin menjadi sebab utama Sultan Muzaffar Shah 1 mengangkat beliau sebagai penasihat agama Islam kepada baginda. Ini ditambah pula dengan nasab keturunan Syed Hussain Al-Faradz yang sampai kepada baginda Rasulullah SAW dan ketinggian ilmunya, pasti Sultan Muzaffar Shah 1 tidak salah memilihnya. Selain itu, dari beberapa pendapat teman-teman berkenaan dengan Sultan Muzaffar Shah 1 ini ialah baginda dikatakan seorang yang agak kuat dalam amalan beragama. Dengan adanya Syed Hussain Al-Faradz sebagai penasihat agama, maka baginda lebih mudah untuk mempelajari selok belok agama Islam... wallahualambissawab.
Namun begitu sejarah berkenaan peranan Syed Hussain Al-Faradz sebagai penasihat agama kepada Sultan Muzaffar Shah 1 agak kurang diceritakan oleh sejarah. Ini membuatkan susuk yang bernama Syed Hussain Al-Faradz ini menjadi agak tenggelam dalam perhatian penduduk negeri Perak ini. Saya melihat senario ini sebagai sesuatu yang menakutkan kerana jasa dan sumbangan Syed Hussain Al-Faradz sebagai pengembang agama Islam di negeri Perak sejak awal lagi adalah begitu besar. Dilihat dari keadaan makam, saya berharap agar pihak-pihak berwajib mengazet makam ini sebagai salah satu bahan sejarah sama seperti makam-makakm lain yang pernah saya ziarahi. Papan tanda penerangan berkenaan Syed Hussain Al-Faradz juga wajar diletak supaya para penziarah dapat mengetahui selok-belok perihal beliau dan perjuangannya.
Misteri Mukim Teja Menjelma Lagi
Seperti yang telah saya ceritakan sewaktu mengunjungi makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar yang lalu, mukim Teja ini bagaikan mempunyai misterinya yang tersendiri. Terasa agak aneh melihat kawasan yang jauh dari Sungai Perak ini menjadi tempat pegangan penting kepada pembesar-pembesar Perak dahulu kala. Paling menjadi misteri ialah bagaimana makam Syed Hussain Al-Faradz boleh terletak disini dan bukannya berhampiran dengan kedudukan Sultan Muzaffar Shah I, sedangkan beliau adalah penasihat agama kepada baginda. Hal ini benar-benar membuatkan saya berfikir panjang.
Suatu masa dahulu, saya pernah terdengar cerita berkenaan dengan makam Syed Hussain Al-Faradz yang dikatakan terletak sekepuk dengan makam Sultan Muzaffar Shah I di mukim Lambor dalam daerah Perak Tengah. Sewaktu kunjungan saya ke makam Sultan Muzaffar Shah I tidak lama dahulu memang kelihatan beberapa makam lain berbatu nisan Acheh di dalam kepuk makam. Namun saya lebih menerimanya sebagai makam-makam kaum keluarga Sultan Muzaffar Shah I dan tidak pula terfikir Syed Hussain Al-Faradz dikebumikan disitu. Pada pandangan saya, mungkin makam Syed Hussain Al-Faradz terletak mungkin dalam kawasan lain namun dalam daerah Perak Tengah ini juga. Namun andaian itu akhirnya meleset terus pada hari ini.
Jika dilihat kepada beberapa perkara, mungkin ada kebenaranya makam Syed Hussain Al-Faradz wajar berada di mukim Teja ini. Keturunan beliau atau lebih dikenali sebagai Keluarga Jamalulail Perak memang banyak terdapat di sekitar kawasan ini. Hal ini diperkuatkan dengan kewujudan makam keturunan beliau di sekitar kawasan ini seperti makam Orang Kaya Besar Maharaja Diraja Syed Jaafar.
Aneh apabila memikirkan Mukim Teja ini akhirnya menjadi tempat persemadian terakhir bagi Syed Hussain Al-Faradz. Dengan kedudukannya yang jauh dari aliran Sungai Perak, pasti mukim Teja ini bukan tempat yang sembarangan. Menghitung kembali sela masa kehidupan Syed Hussain Al-Faradz pada 500 tahun yang terdahulu adalah sesuatu yang sangt sukar. Ditambah pula maklumat berkenaan sejarah beliau agak samar-samar maka rahsia mukim Teja ini bagaikan sukar diramal.
Namun saya meyakini bahawa aliran Sungai Kinta yang melalui mukim ini sebenarnya adalah nadi sejarah yang sangat berguna dalam menentukan rahsia sebenar mukim Teja ini. Saya yakin bahawa suatu ketika dahulu mukim Teja ini adalah kawasan yang sangat penting dan berpenduduk ramai. Kewujudan penempatan yang agak maju ini mungkin didasari oleh kegiatan melombong bijih timah secara tradisi oleh orang-orang Melayu pada ketika itu. Hal ini mungkin ada kebenarannya kerana negeri Perak sebelum era penjajahan British, tetap juga dianggap negeri pengeluar bijih timah yang utama walaupun konteks perlombongan ketika itu masih bersifat tradisi.
Aliran Sungai Kinta yang melalui Mukim Teja yang terletak di lembah Kinta membawa sekali kandungan bijih timah didalamnya. Maka tidak mustahil dahulu mukim Teja adalah tempat perlombongan bijih timah tradisi yang agak besar bagi negeri Perak. Hasil bijih timah berkenaan dibawa menghilir Sungai Kinta dan dijual kepada para pedagang. Dari maklumat yang dipungut melalui Datuk Dr.Haji Dzulkarnain Bin Haji Abdul Rahman ( Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Perak ), memang pernah wujud sebuah pelabuhan ( pusat perdagangan ) yang agak penting suatu ketika dahulu atau sekitar dalam abad ke17 dan 18. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa pasti lebih awal dari itu memang sudah wujud penempatan penduduk di mukim Teja ini sebelum ia berkembang menjadi sebuah pusat perdagangan.
Mukim Teja terus berkembang semasa penjajahan Inggeris dan pastinya pengeluaran bijih timah dari sini semakin berlipat kali ganda. Ada pendapat yang menyatakan pihak Inggeris pernah berhasrat menjadikan kawasan ini sebagai pusat pentadbiran kepada daerah Kinta namun saya masih kabur berkenaan kesahihannya.
Bergerak Pulang
Saya sememangnya tidak mahu berlama-lama di makam ini. Selepas beberapa ketika saya memutuskan untuk bergerak pulang. Saya memerhatikan makam yang teduh itu. Alangkah besar jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh seorang ahlul bait seperti Syed Hussain Al-Faradz ini dalam menyebarkan Islam ke alam Melayu ini. Meninggalkan kampung halaman tercinta di tanah para nabi, merantau, berdagang, berdakwah dan akhirnya menemui Ilahi di tanah yang penih rahsia ini. Semuanya bagaikan tertulis bahawa disinilah zuriatnya akan berkembang biak.
Bertuahnya bumi Melayu ini .... tidak terkira jumlah ahlul bait yang bergerak menyampaikan risalah Islam untuk warganya dan kini nikmat Islam itu telah dapat dinikmati bersama. Inilah uniknya sebuah bangsa bernama Melayu .... menerima Islam tanpa adanya pergeseran. Pasti ada rahsia yang tersirat kenapa dan mengapa anak cucu Rasulullah SAW begitu mudah berasimilasi di bumi Melayu tercinta ini. Wallahualambissawab.
Saya kembali mendapatkan motosikal saya namun alangkah terkejutnya apabila mendapati seekor lembu betul-betul berada di sisi motosikal saya. Mata lembu berkenaan memandang saya dan saya sendiri membalas pandangan matanya itu. Ah ... apa pula halangan yang menyusul kali ini. Saya sendiri agak gusar. Masa sudah semakin suntuk dan saya perlu mengejar waktu Asar yang sudah hampir ke penghujungnya.
Mahu sahaja saya mencapai batu atau kayu yang ada disekitar untuk dibaling ke arah lembu berkenaan. Namun hati saya menyebut jangan. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk bertepuk tangan dan cuba menghalau lembu berkenaan dengan cara menyergah sahaja. Mulanya lembu itu seakan mahu berundur tetapi ia tetap kembali ke tempat itu semula. Habis sudah ikhtiar saya. Mahu tidak mahu saya perlu juga pulang dan langkah terakhirnya ialah dengan pandangan saya pun cuba bercakap dengan lembu berkenaan bahawa saya hanya datang berziarah ke makam ini dan sedang mengejar waktu Asar jadi saya mahukan ia ( lembu ) supaya jangan menghalang perjalanan saya. Aneh .... lembu itu terus menghindar dari situ dan bergerak ke arah lain.
Itu suatu kesempatan yang sangat tepat. Sepantas kilat saya menghidupkan motosikal dan mula meninggalkan kawasan makam dengan perasaan yang takjub. Rupa-rupanya haiwan jauh lebih memahami naluri manusia. Saya melalui jalan-jalan yang telah saya tempuhi ketika awal tadi dan terasa seoalah-olah perjalanan kini lebih mudah tanpa halangan untuk jatuh seperti semasa perjalanan pergi tadi. Sampai ke jalan besar saya membelok ke kanan mengikut jalan dalam untuk ke pekan Malim Nawar.
Penamat Sebuah Perjalanan Ziarah
Saya berhenti solat Asar di Malim Nawar. Selepas bersolat saya meronda sebentar di pekan Malim Nawar yang pernah menjadi tempat saya pertama kali mengenal erti cinta. Seolah-olah ia bagaikan memberi jawapan kepada apa yang akan saya lalui esok. Di Malim Nawar saya menemui cinta pertama saya dan disinilah juga saya menghabiskan sisa-sisa masa bujang saya. Alangkah hebatnya kuasa Allah SWT mencaturkan perjalanan kehidupan saya. Saya akhirnya kembali kesini .... walaupun sekadar suatu persinggahan namun ianya lebih dari itu. Ia membeli semula jejak-jejak kenangan kehidupan masa muda yang penuh dengan gelak dan ketawa. Dan esok .... saya akan menjadi lelaki yang bergelar suami. Ia suatu peralihan yang sangat mendebarkan hati.
Saya meneruskan perjalanan pulang ke Bidor. Hari sudah mula gelap dan senja mula mengawali suasana. Ini mungkin perjalanan ziarah terakhir saya ke makam-makam bersejarah di sekitar negeri Perak. Selepas ini pasti sukar lagi untuk melakukan perjalanan ziarah bersendirian seperti ini lagi. Terasa kebebasan hidup muda telah hilang kini dan saya perlu menempuhinya dengan segala kekuatan yang ada.
Saya tiba di rumah dan disambut oleh leteran emak yang sangat menyesakkan telinga. Saudara-mara juga dilihat sudah mula ramai berkampung di rumah. Di tengah malam yang remang, saya keluar dan duduk di halaman rumah memerhatikan suasana yang sepi. Terasa ingin menangis memikirkan peralihan zaman bujang ke alam rumah tangga. Kelak pasti saya akan berkelana lagi .... mungkin ke tempat yang jauh berbeza selepas berkahwin nanti. Ianya bagaikan merosakkan perasaan saya kerana jauh disudut hati saya amat menyayangi kampung halaman ini ... yang telah membesarkan saya dengan sejuta memori.
Jika ini penamat kepada perjalanan ziarah saya ke makam-makam lama saya redha .... namun saya pasti esok dan lusa jika rezekinya tiba pasti saya akan melakukan perjalanan ziarah lagi. Saya kembali tersenyum dan esok menanti saya dengan sejuta cabaran !
Catatan
Perjalanan ziarah ini dilakukan oleh penulis pada tahun 2011 dan segala gambar dan pengalaman penulis adalah berdasarkan keadaan pada tahun berkenaan. Sekiranya terdapat kesalahan fakta, penulis mengharapkan ianya ditegur dan diberitahu kepada penulis melalui ruangan komen ataupun menghubungi penulis di laman FB penulis yang terletak di tepi ruangan blog ini. Terima kasih.
ibdadilantik m