BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, February 26, 2010

Cikgu Maaruf Mahmud - Satu Penghargaan Ringkas

 
Allahyarham Cikgu Maaruf Mahmud

Beberapa minggu yang lalu ketika Pusat Sumber SMK Kapit melakukan penghapusan stok buku - buku lama, saya mendapat kesempatan untuk mengutip beberapa buah buku yang saya kira mempunyai nilai khazanah ilmu yang amat bernilai. Masakan tidak, ratusan buku yang akan dilupuskan itu ada diantaranya sudah berusia lebih 50 tahun dan amat sukar untuk didapati pada masa kini.

 Novel Anak Din Biola karya Cikgu Maaruf Mahmud

Ketika sibuk mencari di atas timbunan buku - buku tersebut mata saya tertumpu pada sebuah buku yang sudah lama saya cari. Buku berjudul ' ANAK DIN BIOLA' karya pengarang buku kanak - kanak dan remaja yang amat saya minati dan hormati iaitu Cikgu Maaruf Mahmud. Sukar untuk menggambarkan perasaan saya pada ketika itu kerana kali terakhir saya membaca buku ini ialah dalam tahun 1995 iaitu kira-kira 15 tahun yang lalu. Buku yang saya jumpai ini adalah cetakan kali ke tiga pada tahun 1985. Ini bermakna buku itu berusia 25 tahun ketika ini dan saya hanya tua setahun sahaja dari buku berkenaan.

Saya amat berminat dengan karya - karya Cikgu Maaruf Mahmud. Bhasanya mudah dan menyeronokkan untuk dibaca. Cikgu Maaruf Mahmud  merupakan generasi guru - guru sebelum merdeka yang banyak menulis mengenai cerita kanak - kanak dan remaja. Biografi tentang dirinya tertulis di dalam sebuah buku berjudul ' Berenang Di Lautan Cetera" terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Saya sempat membaca bukunya ini.

Disini dilampirkan sedikit riwayat hidup Cikgu Maaruf Bin Mahmud. Apa yang bermakna disini ialah beliau adalah senior saya di Universiti Pendidikan Sultan Idris kerana beliau adalah lulusan daripada Sultan Idris Trainning College ( SITC ) - nama lama bagi UPSI.

Dilahirkan di Hulu Yam Baru pada 4 Disember 1920. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Hulu Yam, kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Bertugas sebagai guru sebelum bertukar ke Dewan Bahasa dan Pustaka sehinggalah bersara pada tahun 1977.

Menceburi bidang penulisan sejak 1955. Antara kejayaan beliau dalam bidang penulisan ialah:-
  • menang hadiah peraduan menulis Cerita Kanak-kanak anjuran Jabatan Pendidikan Negeri dan DBP, serta Kementerian Pendidikan Malaysia;
  • menang hadiah penghargaan dalam peraduan menulis Novel Sejarah Kanak-kanak DBP 1981.
Antara karya beliau yang diterbitkan oleh DBP ialah:-
  • Wira di Bumi Warisan
  • Pelita Yang Menyala
  • Berenang di Lautan Cetera
  • Novel Anak Din Biola memenangi tempat pertama Peraduan Hadiah sastera Remaja ESSO-GAPENA II, 1982.
( maklumat mengenai riwayat hidup Cikgu Maaruf Mahmud ini diambil dari http://azemi09.wordpress.com/ )

Friday, February 19, 2010

Sudah tersuratnya begitu..........


Dunia tak kan mati
Hidup tak kan sepi
Andai dia pergi.....
Tapi sayang tetap hidup
Sampai ketemu Tuhan.....


Monday, February 15, 2010

APA YANG TINGGAL ADALAH....


Dikirim ke esastera pada 16 Februari 2010

Thursday, February 11, 2010

Bercerita Tentang Melukis 2

Terasa hari yang menyeronokkan bagi saya dan anak - anak PPKI hari ini bila kami menjalankan aktiviti Pendidikan Seni Visual ( PSV ). Hari ini saya merancang untuk menghasilkan karya menerusi cara tiupan dengan menggunakan penyedut minuman. Memang kebelakangan ini saya amat meminati lukisan bercorak abstrak. Ini secara tidak langsung saya masukkan sekali di dalam pemikiran anak - anak didik PPKI saya.

Sebelum memulakan pengajaran saya meminta anak - anak didik saya membayangkan apa yang terlintas di fikiran mereka sebelum menghasilkn karya. Saya meminta mereka merahsiakan apa yang terkandung di dalam fikiran mereka dan meminta mereka masukkan di dalam karya mereka nanti. Kemudian baru lah saya mengajar cara dan teknik yang betul dalam menghasilkan karya melalui teknik tiupan ini.

Maka bermulalah perjuangan anak - anak didik saya mengahasilkan karya agung mereka. heheheehehe. Saya dan pembantu Pengurusan Murid ( PPM ) iaitu Puan Sylvia Jingga membantu dengan seadanya. Saya lebih suka anak - anak didik saya berusaha dengan daya kreatif sendiri.

 
Barisan depan dari kiri : Mariana, Victoria dan Sandra Sura
Bahagian belakang dari kiri : PPM Puan Sylvia Jingga dan Jackson Jelani


Sharina tersayang

Jackson dan ilusi autisma... karyanya memang menjadi kegemaran saya

Sesuatu yang menarik mengenai aktiviti ini ialah tumpuan yang diberikan oleh anak didik saya. Mereka memberikan sepenuh tumpuan. Jackson si pencetus masalah juga menjadi anak lelaki yang baik malahan karyanya memang menjadi kegemaran saya selalu.
Setelah bertungkus lumus selama hampir sejam maka siaplah 5 karya dari anak - anak didik PPKI saya. Secara jujurnya saya berpuas hati dengan apa yang mereka hasilkan. Selepas itu saya meminta mereka menerangkan apa yang ingin mereka lukis dan apa yang dibayangkan sewaktu menghasilkan kerja seni tadi. Jawapan nya memang lucu namun apa yang pasti ia memberi makna kepada diri saya.... 


Keterangan Gambar dan Judul Hasil Seni
Atas kiri : "Transformers" - Jackson Jelani
Atas kanan : "Bintang" - Sharina Merom
Tengah Kiri : "Cikgu Hafez" - Sandra Sura
Tengah Kanan : "Rumah Panjang" - Mariana Jantum
Bawah : "Cinta" - Victoria Dubau

Seronok melukis bersama anak - anak didik PPKI ini. Mereka gembira dengan karya mereka. Meraka berbangga dengan kreativiti mereka. Sebagai guru biarlah segala keseronokan ini terbawa bersama kenangan mereka bersama saya sepanjang hayat mereka nanti. Ia juga menenangkan fikiran saya semula. Perjuangan menentang perasaan sayu dan gundah terhadap seseorang masih tetap berjalan walaupun sukar.... IA MEMBUATKAN SAYA MAKIN KUAT DALAM DERITA !!!!!



Tuesday, February 9, 2010

TAHNIAH DS DR. ZAMBRI ABDUL KADIR


Hari ini terlerailah sudah teka - teki mengenai siapakan Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan yang sah setelah Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Putrajaya sebulat suara memutuskan Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir sebagai menteri besar yang sah.

 
YAB Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan


Sebagai seorang rakyat negeri Perak Darul Ridzuan mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana telah memberikan peluang kepada Datuk Seri Zamri Abdul Kadir untuk mentadbir negeri Perak yang tercinta ini. Melalui keputusan ini jelaslah bahawa segala permasalahan dalam hal ehwal politik Perak sudah sampai ke penamatnya. Bagi pihak BN dan UMNO negeri Perak ingatlah ini bukan masa untuk berpesta dengan segembiranya tetapi jadikanlah "kemenangan" ini sebagai peransang untuk bekerja membela rakyat bukan sahaja kepada orang Melayu malahan kepada kaum - kaum lain yang bernaung di bawah payung DYMM Paduka Seri Sultan Perak.



Saya Hafez J.Malim melalui blog saya mengucapkan selamat maju jaya kepada YAB Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak. Besarlah harapan saya supaya beliau terus bejuang bersama - sama rakyat untuk mempertahankan kedaulatan DYMM Paduka  Seri Sultan Perak yang kita sayangi. Semoga negeri Perak bertambah makmur di bawah pentadbiran beliau.  
HIDUP MELAYU !





Sunday, February 7, 2010

Melihat Kenangan Lama

Beberapa minggu yang lalu seorang teman tiba - tiba sahaja meng "upload" beberapa keping gambar tentang zaman persekolahan kami dahulu di SMK Syeikh Abdul Ghani Bidor dalam profile Facebook beliau. Bila melihat gambar - gambar itu hati mula terasa sebak yang halus.... masakan tidak hati menjadi begitu, gambar itu penuh dengan memori dan punya cerita yang tersendiri.

Dua keping gambar itu adalah gambar sewaktu saya dalam tingkatan 4 dan tingkatan 5. Ia diambil pada tahun 2000 dan 2001 untuk dimasukkan di dalam majalah sekolah. Saya menjadi ketua kelas dalam tingkatan berkenaan. Pada masa tingkatan 4 saya juga seorang pustakawan. Hingga ke hari ini saya masih terfikir bagaimana saya boleh menjadi seorang pustakawan sedangkan saya boleh lah dianggap salah seorang dari kutu - kutu penyangak sekolah. Semasa di tingkatan 5, saya dilucutkan dari jawatan pustakawan dan sampai sekarang saya masih terfikir kenapa jawatan saya itu dilucutkan tanpa sebab. 

Tingkatan 4 Kreatif SMK Kapit ( 2000 ). Hafez J.Malim sebagai ketua kelas ditengah-tengah berkepala botak.

Ramai teman - teman lama dalam tingkatan berkenaan sudah berjaya dalam hidup masing - masing. Ramai juga yang sudah berumah tangga dan memiliki beberapa anak yang comel. Di masa remaja kami dahulu sering kami berbual tentang alam rumah tangga... kebanyakannya akan mengatakan mahu kahwin lambat ( termasuklah saya ). Namun realitinya kini cuma tinggal saya sahaja yang masih belum berkahwin sehingga dikatakan bujang terlajak !!!!!! Lucu dengan tingkah teman - teman pada saya.

 
Tingkatan 5 Kreatif ( 2001 ). Hafez J.Malim duduk 4 dari kanan sebagai ketua kelas

Jika dilihat pengaruh pakaian pada masa itu sememangnya jauh berbeza dengan masa kini. Kaki seluar sekolah semestinya besar ( paling koman 21 inci ). Rambut mesti ada ekor yang disimpan. Untuk menampakkan ranggi lagi zip pada seluar digantikan dengan butang ala - ala seluar jeans ( seksa bila nak buang air kecil ) dan kasut semestinya kasut kanvas berjenama Converse ( kalau All America pun kira ok la ).

Berada di sebuah pekan kecil bernama Bidor memuhibahkan kami. SMK Syeikh Abdul Ghani merupakan sekolah majmuk. Jumlah pelajar Melayu diimbangi oleh pelajar berketurunan India. Ada juga pelajar Cina, Sikh dan orang Asli. Ini menjadikan kami agak hormat - menghormati antara satu dengan yang lain. Ada juga sesekali terjadi pergaduhan di antara pelajar Melayu dan India namun kenyataannya selepas sekolah pelajar - pelajar berlainan bangsa ini masih boleh tegur menegur antara mereka. Saya juga tidak terkecuali. Ketika belajar sifat perkauman saya sangat tebal sehingga sekarang namun pada masa yang sama saya masih boleh bergaul mesra dengan teman - teman bukan sebangsa dengan saya.

Pada guru - guru yang pernah berjasa mendidik saya hingga kini, cuma rasa terima kasih sejuta bahasa yang dapat saya beri. Ada antara guru dan teman saya sudah berpulang dahulu menemui Tuhan. Semoga roh mereka dicucuri rahmad. Teman - teman saya dahulu juga ramai yang sudah keluar mencari rezeki jauh dari bumi Bidor tersayang. Begitu juga saya. Bila pulang sekali - sekala ke tanah antara dua sungai ini saya selalunya bersendirian. Teman - teman sudah makin sedikit yang tinggal. Namun bila sesekali sudah berkumpul maka saya orang yang paling banyak mulut untuk berlawa jenaka.

Gambar kenangan zaman sekolah banyak membuatkan saya menjadi rindu. Ini zaman yang tiada telefon bimbit, tiada motorsikal sebaliknya kami ke sekolah menaiki basikal, tiada cd ( masih guna kaset dan walkman ), zaman internet masih menjadi sesuatu yang baru, siapa yang memiliki Play Station dianggap anak orang kaya, belanja ke sekolah RM1 dan yang paling penting baru belajar nak bercinta.

Saya suka mengenang masa yang lalu kerana saya seorang yang bernostalgia. Ini memang diri saya. Saya sukar melupakan sesuatu kenangan. Setiap memori yang terlekat di ingtaan sudah pasti akan diulang - ulang semula hingga hati menjadi rindu..... RINDU ITU PUNYA SAYANG, SAYANG ITU PUNYA KENANGAN YANG TERSENDIRI...

Thursday, February 4, 2010

Bercerita Tentang Melukis

Yang sebenarnya....saya memang suka melukis tetapi saya langsung tidak pandai melukis. Bunyinya aneh tetapi itu realitinya. Melukis adalah keseronokan pada saya namun hasilnya selalu tidak mampu untuk dibanggakan. Sekadar melepas gian di masa lapang.

 
Resis : Cecorak Lain ( 29 Januari 2010 )

Untung juga sejak berada di PPKI SMK Kapit ini ,saya diberikan tugas menjadi guru matapelajaran Pendidikan Seni Visual ( PSV ) jadi secara tidak langsung minat itu terus subur dengan jayanya walaupun saya tahu saya bukan guru PSV yang baik. Malahan saya sendiri pada tahun pertama menjadi guru PSV terkial - kial mencari idea yang sesuai untuk pengajaran saya..... dan ditambah pula dengan saya sendiri yang tidak pandai melukis jadi semuanya tergaul mesra membuat fikiran bertambah  runsing.

Namun itu tidak menjadi halangan. Kadang - kadang jari - jari ini begitu teringin untuk melukis. Malahan saya sering melukis bersama - sama anak - anak didik saya. Sukar sebenarnya mengajar anak - anak istimewa ini melukis. Ada sesetengah mereka minat melukis namun tidak tahu mewarna. Ada juga diantara mereka masih terkial - kial menggunakan pelbagai alat tulis malahan terpaksa dibantu secara menyeluruh.

 
Bunga Kubur Nenek

Pelajar - pelajar saya suka dengan matapelajaran PSV ini. Bila bersama saya mereka lebih gemar meminta saya melukis gambar kartun dan mereka menitunya bulat - bulat. Malahan kartun - katun ajaran saya itu memang boleh kelihatan di buku - buku latihan mereka.....sesuatu yang boleh dibanggakan oleh saya...hahahahah walaupun di pihak cikgu - cikgu PPKI yang lain agak kurang senang....

Subjek yang selalu menjadi pilihan saya bersama pelajar untuk melukis ialah gambar binatang. Entah mengapa saya suka melukis gambar ayam ( dalam bahasa Iban nya Manok ). Kadang - kadang kami membuat corak bersama. Lazimnya lukisan yang saya hasilkan itulah yang akan menjadi tiruan mereka untuk melukis. Namun ada juga yang kreatif dan bisa menghasilkan lukisan berdasarkan imaginasi mereka sendiri... itu lebih baik.

Manok ( 2009 )

Sebagai guru yang paling penting adalah kepuasan melihat hasil pelajar jagaan saya menarik dan boleh diertikan dengan sebuah pujian. Melukis itu satu kenikmatan yang diberi Tuhan kepada manusia. Murid saya mungkin kekurangan dari segi pencapaian mental dan fizikal. Saya tidak tahu menilai keikhlasan saya dalam mendidik. Namun setiap kali mereka melukis setiap gambar yang diminta sudah pasti mereka akan melihat pada diri saya sendiri.... mereka seolah - olah melukis pada dasar hati mereka untuk merasa suka hingga diri rasa dihargai.....

SELALU SAYA BERPESAN PADA MEREKA..... BIARLAH KITA TIDAK PANDAI MELUKIS ASAL KITA TAHU MELUKIS HATI KITA DENGAN RASA SAYANG YANG IKHLAS.....

MOGA MEREKA INGAT SELALU !