BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, April 29, 2010

KISAH SECUPAK BERAS


Ianya suatu kisah yang begitu memberikan suatu kesan yang mendalam kepada diri saya sebagai seorang guru. Mungkin bagi individu lain ia adalah hal yang amat biasa dan rencam, namun bagi saya ia punya erti yang tersendiri. 

Kisahnya bermula di suatu pagi, ketika saya baru sahaja memulakan tugas saya seperti biasa. Baru sahaja saya duduk di meja saya muncul anak murid saya dari kelas tingkatan 2 Khas bernama Era Ak Bigau. Diunjukkannya satu bekas plastik kepada saya sambil tersenyum dan berkata ia adalah untuk saya. Agak terkejut juga dengan tindakannya itu. Mulanya hati ini merasa ragu namun setelah beberapa saat kemudian saya menyambut hulurannya pada saya. Ringkas perkataan keluar dari mulutnya..

              "Ini beras iban...... saya bagi pada cikgu"......

Terkedu saya sebentar.... beras iban yang dimaksudkannya itu ialah beras dari padi huma yang banyak ditanam oleh masyarakat Iban di Kapit ini. Dia menghadiahkan beras kepada saya. Agak bingung saya sebentar. Katanya lagi sudah lama dia ingin memberikan beras tersebut kepada saya. Sukar bagi saya menggambarkan perasaan saya pada ketika itu... bercampur baur dengan suka dan terharu. Bagi seorang guru pendidikan khas di daerah pedalaman seperti ini, penghargaan dari seorang pelajar adalah sesuatu yang benar - benar membuatkan saya berada di puncak dunia. Tambahan pula ian ya dari seorang pelajar pendidikan khas. Keterharuan membelah emosi saya.

Bercerita tentang anak murid saya bernama Era ini sebenarnya adalah sesuatu yang dinamakan kekuatan. Era anak gadis Iban yang senang sekali penghidupannya. Dia menghdapai masalah lembam ( slow learner ). Ibunya sudah bercerai dengan ayahnya. Dia tinggal bersama makcik dan neneknya. Adik-adiknya juga tinggal sekali bersama. Saya tahu dia dari keluarga yang susah. Namun semangatnya terhadap alam persekolahan sangat kuat. Jarang dia ponteng untuk ke sekolah. Dia antara pelajar harapan saya untuk peperiksaan Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) tahun hadapan. Jika datang kesekolah pasti membawa bekal. Lauknya cukup mudah... kadangkala hanya nasi putih dan ulam pucuk paku sahaja. Namun akan dijamahnya dengan berselera sekali bersama teman - teman sekelas. Era adalah kumpulan anak murid saya yang pertama dalam karier saya sebagai seorang guru. Pada tahun lepas dia dan kumpulannya berada di dalam kelas 1 Khas dimana saya adalah guru kelasnya.

Bagi seorang guru yang jauh dari bandar besar seperti saya ini.... secupak beras pemberian pelajar membuatkan saya menjadi lebih kuat dan tabah. Di sini saya disayangi oleh anak - anak murid saya. Mereka menghargai saya dengan cara mereka sendiri. Bukan merasa bangga dengan apa yang didapati tetapi sekadar merasai apa itu namanya ikhlas. Ia pemberian yang kecil... namun memberi kesan yan gh abadi.... 

CIKGU SAYANG KAMU SEMUA !!!!!!

Beras pemberian anak murid ku..


Saturday, April 24, 2010

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang ( APC ) Bahagian Kapit 2009

Saya diarahkan oleh Tuan Pengetua untuk mengetuai kumpulan guru - guru baru SMK Kapit seramai 10 orang ke majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang peringkat Bahagian Kapit 2009 pada 22 April yang lalu. Tujuannya adalah bagi memberi sokongan dan memeriahkan lagi majlis berkenaan. Majlis ini dirasmikan oleh Timbalan Pengarah Pelajaran Sarawak iaitu Yang Berhusaha Tuan Haji Mortadza Bin Haji Alop. Bagi pihak saya, peluang yang diberikan oleh Tuan Pengetua ini merupakan sesuatu yang dinantikan. Masakan tidak, saya dapat melihat dan mendengar sendiri amanah yang disampaikan oleh seorang Timbalan Pengarah Pelajaran negeri tempat saya bertugas ini iaitu Sarawak. Selain itu saya juga berpeluang merasai sendiri suasana majlis anugerah ini. Ia secara tidak langsung menjadikan saya lebih bermotivasi dengan tugas saya sebagai pendidik.

Majlis bermula jam 2 petang. Kebetulan pula teman serumah saya Cikgu Sulaimi bertugas sebagai pengacara pada majlis berkenaan. Seramai hampir 200 penerima anugerah perkhidmatan cemerlang menerima anugerah mereka pada petang berkenaan. Bagi SMK Kapit, seramai 14 orang dicalonkan bagi menerima anugerah ini. Tahniah diucapkan bagi penerima anugerah ini. Semoga bakti anda semua akan kekal sepanjang masa. Timbul juga perasaan inginkan suatu masa nanti mendapat anugerah ini... namun semuanya saya simpan dalam - dalam. Saya cuma seorang guru pendidikan khas.... bergerak hanya di belakang tabir dunia pendidikan. Ia suatu yang tak terjangkau oleh tangan saya.

Barisan guru - guru baru SMK Kapit 

Cikgu Sulaimi dan Cikgu Ana Rantai ( PKTing.6 ) 
sebagai pengacara majlis.

Hafez J.Malim bersama PK1 SMK Kapit, Cikgu Kuiek Bon Siau
salah seorang penerima anugerah

Bersama Kak Anijah dan Cikgu Wajaha

Bersama Penyelaras PPKI SMK Kapit, Cikgu Rosman 
yang turut menerima anugerah

Barisan penerima anugerah APC SMK Kapit bergambar kenangan bersama
Tuan Pengetua Encik Ananthan A/L Subramaniam

Pada majlis ini juga saya bertemu semula dengan teman lama saya sewaktu berada di UPSI dahulu. Beliau ialah Cikgu Ahmad Faiz yang berasal dari Pahang dan kini bertugas di SMK Belaga. Beliau merupakan senior saya namun hubungan kami agak baik. Tahniah diucapkan kepada beliau kerana berjaya mendapat anugerah APC ini. Sukar digambarkan dalam hati ini bila terjumpa dengan teman lama dan masing - masing saling mengingati walaupun hampir 4 tahun tidak berjumpa. 

Teman lama di UPSI, Cikgu Ahmad Faiz ( SMK Belaga )

Sejenak di Kapit ini hati kadang kala diusik - usik nakal oleh fikiran - fikiran yang aneh. Namun ianya membuatkan saya mula merasa sayang pada dunia yang jauh ke dalam hijau ini. Tidak diketahui bila pengakhiran saya di sini... hati sudah mula bercongak - congak namun masih ada yang menghalang membuat hati jatuh melekat di sini. Kapit .... jauh di sini .... AKU MENYAYANGI MU !!!!

Monday, April 19, 2010

Selamat Hari Keputeraan DYMM Sultan Perak ke-82

DAULAT TUANKU

SELAMAT MENYAMBUT HARI KEPUTERAAN
DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK YANG KE 82,

SEMOGA ALLAH MEMBERIKAN RAHMAT ,KESIHATAN,UMUR YANG PANJANG KEBAWAH
DYMM SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH 
IBNI ALMARHUM
SULTAN YUSSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAHU-LAH
 
SULTAN PEMERINTAH NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN DAN SEGALA JAJAHAN TAKLUKNYA.
 
SEMOGA NEGERI PERAK BERTAMBAH MAKMUR DAN BERKAT DI BAWAH PEMERINTAHAN TUANKU.
 
DAULAT TUANKU
 
 
Daripada
 Hafez J.Malim
http://indahrasajmalim.blogspot.com 
 
  

Saturday, April 17, 2010

Pilihanraya Kecil P.94 Hulu Selangor ( Satu Catatan Ringkas )


Gendang perang sudah dipalu. Perang demokrasi di Hulu Selangor baru sahaja bermula walaupun bibit - bibit pertarungan sudah mula kelihatan sejak hari kematian penyandang Ahli Parlimennya iaitu Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac yang lalu. Jika dilihat dari senario politik kini jelas akan berlaku satu pertandingan yang sengit antara keempat-empat calon yang bertanding. Namun tumpuan sebenarnya lebih terarah kepada dua calon pilihan iaitu Encik P.Kamalanatahn dari Barisan Nasional ( BN ) dan Datuk Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat ( PKR ).

Hulu Selangor bukan lah asing kepada diri saya. Ibu dan arwah datuk berasal dari daerah Hulu Selangor ini malahan saya masih punya sanak saudara disini. Selain itu ia adalah bersempadan dengan Tanjong Malim dalam daerah negeri Perak dimana terletaknya Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ), tempat saya menuntut ilmu. Jadi secara tidak langsung saya punya kenangan sentimental dengan daerah ini. Dahulu sewaktu belajar di UPSI sering saya berulang alik ke pekan Hulu Selangor yang cuma dipisahkan oleh Sungai Bernam sahaja dari Tanjong Malim.

Bagi sesiapa yang pernah melalui jalan lama dari Tanjong Malim ke Kuala Lumpur sudah pasti akan melalui daerah Hulu Selangor. Pekan - pekan kecil seperti Rasa, Kerling dan Kuala Kubu Bharu sudah pasti akan membuatkan kita tenang dengan suasananya. Ia tenang dan mendamaikan malahan gaya kolonial masih agak terasa terutamanya ketika berada di Kuala Kubu Bharu. Kedudukannya di kaki banjaran Titiwangsa memberikan suasana yang hijau malahan saya dahulu sering mendambakan untuk ditempatkan mengajar di daerah ini. Malahan saya juga pernah menikmati satu masa yang indah bersama seseorang di bandar Rawang ketika hati ini berputik dengan kasih sayang. Pada saya Hulu Selangor ini terlalu dekat dengan diri saya. 

Semoga penduduk Hulu Selangor dapat membuat pilihan yang sebaiknya bagi kelangsungan pembanggunan kawasan ini. Fikir dan pilih dengan hati yang tenang. Mungkin sukar untuk membuat pilihan namun pilihan hari ini menentukan masa hadapan kita dan generasi seterusnya. Bagi ahli UMNO teruskan menyokong calon yang telah diamanahkan oleh YAB Perdana Menteri. Mungkin sedikit kecewa namun lupakan segalanya demi kemenangan BN. Ambil iktibar dari kekalahan lalu sebagai pendorong untuk terus berusaha.

Saya juga melalui Blog saya Indah Rasa J.Malim menyatakan sokongan sepenuhnya kepada calon Barisan Nasional ( BN ), Encik P.Kamalanatahn bagi PRK P.94 Hulu Selangor ini. Semoga beliau akan beroleh kemenangan dalam pilihanraya kecil ini seterusnya memberikan khidmat bakti kepada penduduk Hulu Selangor.

SELAMAT MENGUNDI

Encik P.Kamalanathan
Calon BN P.094 Hulu Selangor

UNDILAH BARISAN NASIONAL

Saturday, April 10, 2010

KAPIT - SEHARIAN DALAM KEHIDUPAN KU

Di Kapit ini hati mudah menjadi sayu jika tidak tahu membawa diri sendiri. Jarak yang jauh dan kehidupan lama di kampung halaman kadang kala bisa membuat mata ini berair merah. Ditambah pula dengan diri saya sendiri yang masih belum pulih sepenuhnya dari kekecewaan lalu. Namun jika tahu membawa diri dengan aliran penduduk Kapit ini maka satu keseronokan pula yang akan timbul. Pertembungan budaya menjadikan kami bertambah erat dalam kepelbagai kaum dan etnik. Dalam diam saya mula jatuh cinta dengan Sarawak dan penduduknya. Perpaduan terlukis indah di sini.

Hari ini saya menjadi terlalu sibuk dengan aktiviti - aktiviti sekolah dan berlibur dengan teman - teman. Pada pagi tadi telah berlangsung Kejohanan Jogathon SMK Kapit anjuran Lembaga Pengawas SMK Kapit. Saya bertugas sebagai marshal mengiringi pelajar yang berlari. Terdapat beberapa aktiviti sampingan lain yang dijalankan seperti jualan makanan dan minuman, cuci kereta dan motosikal guru serta cabutan bertuah. Secara umumnya program ini telah berjaya mencapai matlamat dan objektifnya iaitu mencari dana tambahan bagi lembaga pengawas SMK Kapit.


Pelajar berkumpul sebelum memulakan larian jogathon

Taklimat keselamatan disampaikan oleh Cikgu Kiu Toh Seng

Peserta dilepaskan oleh Tuan Pengetua SMK Kapit, 
Encik Ananthan A/L Subramaniam.

"Agi Idup Agi Ngelaban"


Salah satu aktiviti sampingan bagi menambahkan dana Lembaga Pengawas,
mencuci kenderaan guru.

Tahniah kepada Lembaga Pengawas SMK Kapit yang telah berjaya menagnjurkan kejohanan ini. Semoga acara seperti ini dapat dianjurkan pada masa yang akan datang. Pada sebelah petangnya pula saya dan rakan - rakan serumah merancang untuk memasak pansuh. Pansuh ialah sejenis masakan yang terkenal bagi orang Iban khasnya di Kapit. Rasanya sedap dan ianya dimasak didalam buluh. Bagi mereka yang pertama kali merasa hidangan pansuh ini sudah pasti akan jatuh cinta dengan keenakannya. Pada petang ini kami memasak pansuh ayam dan iakan jelawat.

Orang yang paling "expert" dalam hal ehwal memasak pansuh ini sudah semestinya Guru Penolong Kanan Pentadbiran SMK Kapit iaitu Cikgu Kuiek Bon Siau. Beliau sendiri yang menyediakan ramuan untuk menghasilkan pansuh ini. Saya sendiri masih belajar sedikit demi sedikit berkaitan ilmu memasak pansuh ini dari beliau. Mungkin boleh dibawa ke semenanjung nanti siapalah yang tahu....

Kaedah memasak pansuh sama dengan cara membakar lemang

Hafez J.Malim sedang menunjukkan "keterroran" beliau.

Memang berselera sekali menjamu selera bersama teman - teman di rumah. Terasa keseronokan bila bersama dengan teman - teman menikmati hari - hari yang indah ini. Di sini kami bersatu dalam kepelbagaian bangsa dan agama. Walaupun letih namun semuanya bagai tidak terasa.

Beginilah hidangan pansuh yang sudah siap dimasak

Bersama teman - teman guru menikmati suatu masa yang indah.

Seharian di Kapit membuatkan hati menjadi tenang. Ia membuatkan diri lupa pada kekecewaan diri tentang percaturan hidup yang tidak menjadi. Sekurang-kurangnya di sini saya punya teman yang sentiasa membuat diri rasa kuat dan bersemangat. Bila jauh dirantauan ini, segala yang bermain di hati boleh menjadi racun.  Setiap harapan yang terbina disini biarlah terus hidup dan subur di jiwa. BIAR HATI JAUH MENGENANG... SAYANG KU MASIH TETAP DI SINI !!!!!

Tuesday, April 6, 2010

Sejenak Di PPKI ..... Satu Cerita Ringkas.


PPKI kebelakangan ini agak tenang. Cuma keadaan saya sahaja yang masih tidak tenang. Mungkin pelbagai masalah dan ditambah dengan bebanan kerja menyebabkan keadaan saya menjadi begitu berserabut. Antara perkara penting yang berlaku di PPKI dalam tempoh 3 minggu ini adalah seperti berikut :
  • Pemprosesan data maklumat keputusan PMR, SPM dan STPM pelajar PPKI bagi tahun 2007,2008 dan 2009 ( Penghantaran ke JPN Sarawak )
  • Puan Veronica melapor diri bertugas sebagai GSTT di PPKI menggantikan Cik Angela yang bertukar ke sesi petang.
  • Peperiksaan pertengahan penggal 1 tahun 2010
  • Peruntukan kewangan PPKI bagi tahun 2010 telah disalurkan oleh JPK.
Beberapa hal pentadbiran dan salah laku disiplin pelajar telah berjaya diselesaikan melalui kerjasama antara pihak pentadbir sekolah dengan guru - guru PPKI. Namun demikian ia tidak membataskan saya dari menghargai kejayaan pelajar - pelajar kelas 1 Khas dalam peperiksaan pertengahan penggal yang lalu. Secara umumnya saya amat berpuas hati dengan prestasi anak - anak murid saya. Walaupun dalam kategori bermasalah pembelajaran namun mereka membuktikan mereka juga mampu bersaing dengan pelajar-pelajar aliran perdana.

Saya juga amat berpuas hati dengan prestasi pelajar saya yang diinklusifkan ke kelas aliran perdana. Ternyata keputusan peperiksaan mereka juga boleh dibanggakan walaupun terpaksa bersaing secara aktif dengan pelajar - pelajar yang secara umumnya tidak menghadapi masalah ketidakupayaan akal.

Hari ini sebelum memulakan kelas sempat saya menyampaikan sedikit penghargaan saya kepada pelajar saya yang memperoleh kedudukan tertinggi di dalam kelas. Semoga dengan penghargaan yang tidak seberapa ini akan membakar mereka untuk terus berusaha mencapai kejayaan yang lebih baik di masa akan datang... mereka jujur....tak salah menghargai setitik kejayaan mereka.... itu lebih baik ..... dari merasa kasih sayang diberi dibuang hina ....DI TEPI LONGKANG !!!!

Mariana Ak Jantum
Tempat pertama Tingkatan 1 Khas

Sandra Sura Ak Lutau
Tempat kedua Tingkatan 1 Khas

Siti Fatimah Bt Bakery
Tempat ketiga Tingkatan 1 Khas