BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, May 26, 2013

Stesen Keretapi Lama Batu Gajah Yang Masih Tersenyum


Saya amat bernostalgia dengan stesen keretapi tua ini. Bangunan kuning pucatnya yang dimakan masa itu selalu mengingatkan saya tentang kenangan masa kecil yang indah. Ya ... kenangan seorang anak kecil dari kampung tentang saat-saat indah menaiki keretapi, dan stesen keretapi tua ini adalah saksinya. Kini saya   kembali semula ke Batu Gajah bagi membeli semula kenangan lama dari stesen keretapi tua ini. Seperti suatu masa yang telah lama berlalu dahulu, stesen tua ini tetap menyambut saya dengan senyuman yang ikhlas walaupun hakikatnya ia sudah dimakan zaman dan jauh berubah. Masa seolah-olah gagal membunuhnya !

Suatu Ketika Yang Telah Lama Berlalu

Dahulu sekitar lewat 1980an dan awal 90an saya sering ke Batu Gajah bersama keluarga. Untungnya pada ketika itu selain dari menggunakan perkhidmatan bas, kami sekeluarga juga berpeluang menaiki Railbus sebagai salah satu alternatif lain kepada perkhidmatan keretapi yang disediakan oleh pihak KTMB. Jika tidak silap dalam ingatan, saya pernah menaiki Railbus sebanyak dua kali. Itu sahajalah kenangan yang ada dalam diri saya berkaitan dengan  Railbus KTMB ini sebelum perkhidmatannya ditamatkan pada awal tahun 1990an. Maklumat berkenaan dengan perkhidmatan Railbus ini boleh dirujuk di blog Kerambit Assasin's.

Sebuah Railbus KTMB

Railbus hanya tinggal kenangan bagi
yang masih mengingatinya.

Ketika itu, stesen keretapi Batu Gajah ialah antara stesen keretapi yang penting dan sibuk. Tambahan pula perkhidmatan jalan raya masih belum dimodenkan seperti hari ini maka tidak hairanlah ramai yang lebih suka menaiki keretapi untuk kemana-mana destinasi. Jika pertama kali menjejakkan kaki ke Batu Gajah pada ketika itu jelas terasa sekali aura klasik yang dimilikinya. Malah sehingga ke hari ini kita masih boleh menemui bangunan-bangunan lama yang dibina sejak zaman penjajahan yang terus kekal digunakan di Batu Gajah.


Bangunan lama Hospital Batu Gajah antara monemen lama
yang masih kekal di Batu Gajah.

Tetapi itu cerita dahululah. Cerita tentang zaman-zaman lama yang penuh dengan nilai keemasan. Selepas itu, saya tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke stesen keretapi Batu Gajah walaupun selalu berulang-alik ke Batu Gajah. Pernah juga beberapa kali saya melalui di hadapan stesen ini semasa ia masih beroperasi sayangnya hati tidak pernah terdetik untuk singgah.

Sehinggalah pada suatu ketika dimana hayat stesen-stesen lama yang pernah menjadi memori kenangan silam saya mula dirobohkan satu persatu bagi memberi laluan kepada pembinaan landasan berkembar, barulah saya mula terkejar-kejar berlumba dengan masa bagi merakamkan momen-momen indah stesen keretapi lama yang masih tersisa. Untung juga salah satunya yang masih kekal ialah stesen keretapi Batu Gajah. Ya kini saya menjejakinya semula ..... saya yakin saya mampu membeli memori lama saya di stesen tua ini !

Harith Dan Perjalanan Yang Tidak Terjangka

Kunjungan ziarah kepada seorang bapa saudara yang uzur di Batu Gajah kira-kira tiga bulan yang lalu telah membenihkan satu perjalanan ringkas yang sungguh tidak terjangka oleh saya. Ajakan secara berseloroh kepada sepupu saya Harith ternyata berjaya memujuknya untuk bersama-sama saya meneroka stesen keretapi lama Batu Gajah yang kini tidak lagi beroperasi. Ah... ia suatu peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja !.

Semenjak dari pembinaan landasan berkembar sektor Rawang-Ipoh dimulakan, banyak stesen-stesen dan perhentian keretapi lama telah dirobohkan. Namun demikian, terdapat pengecualian bagi stesen keretapi Batu Gajah ini. Jika tidak salah hanya stesen keretapi lama Kuala Kubu Road, Tanjong Malim, Tapah Road dan Batu Gajah sahaja yang masih kekal bagi sektor laluan Ipoh-Rawang. Manakala yang lainnya dirobohkan atau dinaiktaraf.

Stesen keretapi lama Batu Gajah pada waktu tengah hari

Kami bergerak ke stesen ini ketika hari sudah menjengah tengah hari. Walaupun tidak lagi beroperasi, stesen ini masih lagi menjadi perhatian kepada warga Batu Gajah. Ini adalah kerana di bangunan stesen ini masih terdapat sebuah kedai makan dan kedai gunting rambut. Ia secara tidak langsung memberikan warna baru kepada hayat stesen keretapi tua ini. Ini menjadikan masyarakat sekitar akan sentiasa  dekat dengan stesen ini walaupun peranannya tidak lagi seperti yang terlihat dahulu. Sekurang-kurangnya, bagi generasi muda pasti mereka dapat mengenali sebuah stesen keretapi warisan yang amat berjasa kepada proses urbanisasi Batu Gajah sejak dari zaman penjajahan lagi.

Kedai makan warisan dari stesen keretapi lama Batu Gajah

Tinjauan Yang Mengharukan

Papan tanda lama stesen keretapi Batu Gajah
yang diliputi semak samun

Walaupun sudah tidak lagi beroperasi ekoran dari pembinaan sebuah stesen baru, stesen keretapi Batu Gajah ini masih mengekalkan beberapa tinggalan-tinggalan lama yang begitu unik. Salah satunya pasti papan tanda stesen bewarna putih yang menjadi lambang kepada stesen-stesen keretapi lama seluruh Malaysia. Walaupun papan tanda ini sudah uzur dimamah masa dan tulisan di permukaannya sudah semakin pudar namun dari jarak yang dekat saya masih dapat melihat tulisan BATU GAJAH terpamer dengan megahnya. Sayangnya keadaan di sekitar papan tanda stesen ini agak bersemak samun dan tidak terjaga. Namun pada saya itu sudah menjadi lumrah bagi setiap stesen-stesen keretapi lama yang telah ditinggalkan.

Kaunter tiket

Saya memasuki kawasan ruang legar utama stesen ini. Masih terasa suasana lamanya. Kaunter tiket yang sunyi menyambut saya dengan seribu satu kenangan. Ia masih sama seperti dahulu. Saya meninjau-ninjau kawasan platform stesen ini yang kelihatannya masih terpelihara dengan baik. Jika tidak silap saya suatu ketika dahulu jarak antara platform dengan landasan agak berhampiran namun kini ia sudah agak jauh dari landasan utama. Beberapa orang pelanggan restoran di sebelah melihat saya dengan senyuman. Saya membalas senyuman mereka.

Platform stesen keretapi lama Batu Gajah


Ketika berlegar-legar di laluan utama platform ini saya terpandang pintu yang tidak berkunci bagi memasuki bilik utama kaunter tiket. Saya berbelah bahagi sama ada mahu memasukinya atau tidak. Harith secara tiba-tiba muncul dari belakang saya. Saya mengajaknya masuk dan beliau menurut sahaja ajakan saya. Rasanya ruangan kecil ini telah dijadikan oleh individu-individu tertentu untuk aktiviti yang tidak bermoral. Saya bersyukur kerana beberapa tinggalan zaman-zaman keemasan stesen ini masih kekal dan tidak diusik sepenuhnya.

Keadaan di dalam bangunan stesen

Satu lagi bahagian lain di dalam bangunan stesen

Saya tertarik dengan beberapa poster lama KTMB yang masih terlekat di dinding stesen ini. Timbul juga niat di hati untuk mengambilnya. Namun saya sedar itu bukanlah tindakan yang baik kerana ia tetap hak milik KTMB. Saya hanya seorang peminat sejarah keretapi dan bukannya penjarah khazanah sejarah keretapi. Yang mampu saya lakukan hanyalah mengambil gambar poster-poster ini sebagai kenang-kenangan di masa depan. Terdapat juga makluman nombor telefon stesen-stesen keretapi lain yang masih beroperasi ketika itu.  Saya dapat melihat tiada nombor telefon stesen keretapi Bidor di situ. Ini bermakna, stesen keretapi Bidor merupakan antara stesen keretapi terawal yang ditamatkan perkhidmatannya ketika masa-masa awal pembinaan landasan berkembar.

Poster-poster lama KTMB yang masih kekal

Maklumat nombor telefon stesen-stesen keretapi lain

Terdapat sebuah papan kenyataan yang usang di dalam ruangan ini. Walaupun banyak permukaannya usang dimamah masa namun terdapat beberapa keratan pelekat yang masih jelas kelihatan. Antara yang menarik minat saya ialah pelekat tajuk JAJARAN. Jika tidak salah saya, JAJARAN ialah tajuk bagi majalah rasmi KTMB yang kini sudah tidak lagi diterbitkan. Melalui maklumat yang saya dapati dari blog zkeretapi, keluaran akhir majalah JAJARAN ini ialah pada bulan Jun 1997. Selepas itu ia tidak lagi diterbitkan.

Papan tanda usang dengan pelekat majalah JAJARAN dan 
lokomotif kelas 20 tertampal di atasnya.

Majalah JAJARAN milik KTMB

Satu lagi pelekat yang benar-benar menarik dan unik ialah pelekat gambar lokomotif diesel elektrik KTMB dari kelas 20 yang kini tidak lagi digunakan. Lokomotif kelas 20 merupakan antara lokomotif diesel elektrik terawal yang digunakan oleh pihak KTMB. Jasanya terlalu besar kepada rakyat Malaysia dan telah berkhidmat selama 23 tahun iaitu bermula  dari tahun 1957 sebelum ditamatkan perkhidmatannya pada tahun 1980. Lokomotif kelas 20 ini tinggal sebagai satu tinggalan sejarah dan kenangan indah perkhidmatan keretapi di negara kita. Lokomotif kelas 20 ini masih boleh kita lihat sebagai bahan pameran di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam Selangor.

Sebuah gambar lama lokomotif kelas 20

Lokomotif diesel elektrik KTMB kelas 20
yang dipamerkan di muzium Sultan Alam Shah

Terdapat ruangan solat yang agak luas. Saya tidak pasti sama ada ia dikhususkan kepada para penumpang atau kepada kakitangan stesen ini sahaja. Di suatu ruangan pula terdapat satu binaan yang menyerupai bekas berkunci. Pintu besinya kukuh dan berkunci. Mungkin suatu ketika dahulu ia pernah dijadikan tempat menyimpan wang kutipan tiket. Sayu hati saya melihat ia terbiar begitu sahaja. Pada pandangan saya, ruangan kecil ini jika diselenggara dengan baik, pasti boleh dijadikan galeri mini khusus untuk mempamerkan bahan-bahan  bersejarah perkhidmatan keretapi di Batu Gajah. Tetapi itulah ... ia hanya detikan dari hati saya sendiri dan saya pasti ia pasti kekal sebagai satu angan-angan yang tak sudah.

Ruangan solat dan ruangan pejabat bungkusan

Mungkin pernah dijadikan tempat meletak
duit kutipan tiket ?

Ketika keluar dari ruangan dalam stesen ini, barulah mata saya dapat melihat papan tanda arah stesen ini. Walaupun papan tanda ini kelihatan agak moden namun ia tetap satu tinggalan bersejarah stesen tua ini. Ketika memandang papan tanda ini barulah saya mengetahui, ruangan yang saya masuk tadi ialah pejabat bungkusan ( Parcel Office ) yang bersambung dengan ruangan kaunter tiket. Patutlah terdapat satu bekas berkandang di dalamnya yang mungkin digunakan sebagai tempat menyimpan barang dari dicuri. Stesen keretapi tua ini benar-benar telah menjual memorinya kepada saya dan saya tidak boleh menipu, banyak maklumat yang saya perolehi di sini.

Papan tanda arah stesen

Di seberang jalan stesen ini terdapat dua buah rumah kayu lama masih digunakan. Jika dilihat dari bentuk dan gaya binaannya ia adalah sebuah rumah kerajaan ( kuarters ). Kedudukan kedua-dua rumah ini yang berdekatan dengan stesen keretapi lama Batu Gajah ini mungkin memberi petunjuk ia adalah kuarters KTMB. Jika andaian ini salah, mohon para pembaca membetulkannya. Hehehehe.

Dua buah rumah lama berhadapan
dengan stesen keretapi lama Batu Gajah


Saya tidak dapat menjangka berapa lamakah lagi hayat stesen ini. Masa dan kemodenan bagaikan berlari di sini dan stesen tua ini sudah terlalu uzur untuk bersaing dengannya. Zaman keemasan stesen ini mungkin telah berakhir. Nun di kejauhan, sebuah stesen baru yang moden telah menjadi mercu tanda baru bagi bandar Batu Gajah. Jika dahulu ada keretapi yang singgah menghantar dan mengambil penumpang disini namun kini keretapi hanya melaluinya sahaja tanpa berhenti. Benar ... stesen tua ini sudah tamat perkhidmatannya !.

Bergerak Dengan Kenangan

Setelah hampir 40 minit meninjau dan melihat sendiri suasana stesen keretapi lama Batu Gajah ini, saya dan Harith mengambil keputusan untuk bergerak meninggalkannya. Sengaja saya meminta Harith memandu kereta. Ketika mengundurkan kereta secara tiba-tiba di kejauhan saya terpandang sesusuk tubuh anak kecil berlari riang turun dari gerabak keretapi ! Anak kecil itu melambai-lambai kepada saya. Ah .. ilusi yang benar-benar indah .... benar ... saya melihat memori saya dijual kembali oleh stesen ini dengan harga yang mahal ... ya sangat mahal dan saya membelinya tanpa kompromi.

Semakin jauh kami bergerak meninggalkan stesen ini, semakin menghilang bayang kanak-kanak kecil itu. Ia terus menghilang dan mengecil tanpa berbekas .... ia terus hilang dibawa oleh hari -hari tua stesen keretapi lama Batu Gajah !






Wednesday, May 15, 2013

Catatan Sebuah Buku : Kenang -Kenangan Abdullah Munsyi


Munsyi Abdullah atau kadangkala dipanggil Abdullah Munsyi, antara nama yang begitu besar dalam korpus sastera, sejarah dan perkembangan Bahasa Melayu di negara kita. Sumbangan terbesarnya adalah menerusi penghasilan karya hebat seperti Hikayat Abdullah, Siri Kisah Pelayaran Abdullah, Syair Singapura Terbakar serta beberapa karya lain yang telah memberikan warna sebenar terhadap dunia kesusateraan bangsa Melayu pada zamannya. Karya-karya Abdullah Munsyi juga bolehlah dianggap sebagai satu catatan tidak rasmi terhadap sejarah bangsa Melayu itu sendiri. Karya-karyanya adalah cerminan kepada gaya kehidupan orang Melayu pada ketika itu dan ia memberikan kita satu medium yang amat berguna dalam memerhatikan kehidupan orang-orang Melayu di zaman-zaman awal penjajahan Inggeris

Abdullah Munsyi Yang Saya Ketahui


Gambaran wajah Abdullah Munsyi yang terdapat di dalam
buku Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi

Sejujurnya saya tidak pernah langsung membaca karya-karya yang dikarang oleh Abdullah Munsyi. Tidak ketahuan kenapa saya tidak langsung berminat untuk membaca karya-karyanya walaupun telah mula mendengar nama Abdullah Munsyi sejak dari zaman sekolah rendah lagi.

Pada saya cukuplah sekadar mengetahui Abdullah Munsyi ialah seorang pengarang berbangsa Melayu yang menulis cerita dengan bahasa Melayu yang berbelit-belit dan sukar difahami. Saya juga beranggapan pastilah karya-karyanya dipenuhi cerita mitos dan lagenda yang kuat mempengaruhi minda orang Melayu pada zamannya.

Abdullah Munsyi

Itulah kesilapan saya yang terbesar. Setelah membeli buku berjudul Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi karya Datuk Zahari A.Rashid di kedai buku MPH Batu Pahat tahun lepas, barulah saya sedari Abdullah Munsyi yang saya fikirkan selama ini adalah jauh berbeza dan karya-karyanya bukanlah cerita dongengan. Abdullah Munsyi sebenarnya jauh mendahului zamannya malahan bolehlah dikatakan orang-orang Melayu sebenarnya berhutang jasa kepada Abdullah Munsyi melalui karya-karyanya.

Walaupun terdapat pelbagai ulasan, kritikan dan persepsi terhadap Abdullah Munsyi dari pelbagai pihak terutama perkaitannya dengan beberapa orang tokoh penjajahan Inggeris namun bagi saya lupakan sahaja kisah hidupnya yang lepas....saya yakin kita akan ketemu jalan yang lebih indah terhadap sumbangannya apabila membaca buku ini. Dengan membaca buku terbitan IBS Buku SDN BHD ini pasti kita akan menemui sesuatu yang positif di sebalik hubungannya dengan tokoh-tokoh era penjajahan ... dan yang pastinya, saya telah menemui sesuatu yang bernilai di sini !.

Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi Yang Saya Baca

Buku kenang-kenangan Abdullah Munsyi ini adalah lebih terarah kepada ulasan kepada karya Abdullah Munsyi yang berjudul Hikayat Abdullah. Kisah Hikayat Abdullah telah ditangani oleh Abdullah Munsyi setelah beliau berpindah ke Singapura. Hikayat Abdullah adalah satu catatan penulisan sejarah penting yang berkait rapat dengan peristiwa-peristiwa yang dilihat, dialami  semasa beliau tinggal di Melaka dalam tahun-tahun sekitar 1800 - 1840an. Kisah yang terdapat di dalam Hikayat Abdullah ini mencerminkan keadaan sosial masyarakat Melaka pada ketika itu. Secara tidak langsung ia merupakan satu dokumen sejarah penting kepada perkembangan negara kita.

Hikayat Abdullah

Membaca buku ini membolehkan saya mengembara ke suatu masa yang telah lama berlalu. Abdullah Munsyi bukanlah berbangsa Melayu sebaliknya beliau adalah seorang peranakan India Muslim. Inilah yang benar-benar mengejutkan saya kerana selama ini saya beranggapan Abdullah Munsyi ialah seorang yang berbangsa Melayu. Beliau mengarang dalam bahasa Melayu sedangkan beliau amat mahir dan menguasai bahasa Tamil dengan baik. Mungkin proses asimilasi ke dalam bangsa Melayu di Melaka menyebabkan Abdullah lebih selesa menulis di dalam bahasa Melayu.

Penulis buku ini iaitu Datuk Zahari A.Rashid bijak dalam memperincikan setiap bab di dalam buku ini disamping memberi penjelasan dan ulasan yang baik dalam setiap penceritaan Abdullah. Sebagai contohnya berkenaan dengan peristiwa kota Melaka dirobohkan. Ia diterangkan dengan begitu terperinci beserta fakta yang jelas dan konkrit dan kadangkala seperti menyanggah apa yang diperkatakan oleh Abdullah.

Saya sebenarnya agak tertarik dengan beberapa perkara yang terkandung di dalam buku ini terutamanya perkara-perkara yang bersangkut paut dengan kehidupan sosial negeri Melaka sewaktu di bawah pemerintahan Belanda dan Inggeris. Umum mengetahui, selepas kejatuhan institusi Kesultanan Melaka ke tangan penjajah Portugis pada tahun 1511, agak sukar untuk kita mencari fakta dan cerita berkaitan dengan kehidupan orang Melayu di Melaka. Dengan adanya Hikayat Abdullah ini, perincian rasmi terhadap sosio budaya orang Melayu di Melaka dapat diperincikan dengan baik.


Salah satu cerita yang menarik minat saya di dalam buku ini ialah berkenaan dengan penangkapan gajah di Melaka. Disini Abdullah telah menceritakan dengan baik bagaimana cara gajah-gajah liar dari hutan sekitar Melaka ditangkap oleh sekumpulan manusia yang diketuai oleh seorang yang dikatakan mahir manangkap gajah. Dalam kes ini, Abdullah membentangkan fakta mengikut logik akal bagi menyanggah kemampuan si penangkap gajah yang dikatakan mempunyai ilmu ghaib dalam menjinakkan gajah. Namun demikian, hujahan dari Abdullah sebenarnya boleh dikatakan agak logik dan benar.

Saya sering melalui kawasan-kawasan  luar bandar Melaka untuk pulang ke rumah mertua yang terletak di Gemas Negeri Sembilan. Apabila sampai ke kawasan seperti Asahan, seringkali saya terfikir bagaimana suatu masa dahulu masih terdapat gajah-gajah liar yang banyak berkeliaran di bumi Melaka. Namun itu semuanya tinggal kenangan dan saya pasti di Melaka kini, gajah hanya boleh ditemui di zoo Melaka sahaja.

Abdullah juga memberi perincian yang baik berkenaan dengan sifat orang-orang Melayu yang sanggup menjual atau memberikan sahaja minuskrip-minuskrip lama kepada penjajah. Abdullah dengan tegas menyatakan betapa ruginya bangsa Melayu yang sanggup menggadaikan khazanah bangsanya kepada orang lain. Secara tidak langsung dapatlah disimpulkan bahawa ketamadunan bangsa Melayu bukanlah dirompak oleh penjajah tetap kesilapan kita sendirilah yang menyebabkan banyak khazanah kita tersimpan di bumi asing.

Abdullah Munsyi Sebagai Penterjemah

Abdullah menjadi penterjemah Bahasa Melayu dalam dua era penjajahan iaitu semasa penjajahan Belanda di Melaka dan sewaktu pemerintahan Inggeris di Singapura. Pekerjaannya itu telah menjadikan beliau agak rapat hubungannya dengan beberapa tokoh penjajahan seperti Stamford Raffles dan Residen Farquhar. Saya pernah membaca dalam satu artikel di internet sedikit masa yang lalu bahawa Abdullah pernah menjadi penterjemah kepada kitab Injil dan Taurat. Tidak pasti pula kebenarannnya. Didalam buku ini cuma diterangkan Abdullah pernah diberi gelaran dengan nama Abdullah Paderi di atas keterpaksaannya menterjemah buku-buku agama Kristian ( tidak pula disebut kitab Taurat atau Injil ).

Sekilas Pandangan Abdullah Terhadap Kota Melaka

Abdullah sempat menyaksikan Kota Melaka dirobohkan oleh pihak Inggeris. Buku ini menjelaskan dengan begitu baik berkenaan dengan penceritaan Abdullah terhadap peristiwa besar ini. Mujur juga sebahagian dari tinggalan kota ini masih boleh dilihat sehingga kini iaitu pintu kota A-Famosa yang masih kukuh. Tinggallah ia menjadi tinggalan sejarah yang menguatkan hujah Abdullah suatu ketika dahulu.


Gambaran Kota Melaka 
yang terdapat di dalam buku ini.



Selain dari itu Abdullah juga turut menceritakan bagaimana penghinaan bangsa penjajah terhadap makam Almarhum Raja Haji ( Syahid Teluk Ketapang ). Orang-orang Belanda rupa-rupanya telah menanam jasad Raja Haji di sebuah kebun dan letak makamnya di kandang babi. Demikianlah sikap penjajah terhadap patriot bangsa kita. Mujurlah selepas itu muncul anak cucu keturunan Almarhum Raja Haji yang telah berjaya memindahkan jasad almarhum ke Riau. Namun sejarah tidak akan pernah menipu. Almarhum Raja Haji akan tetap dikenang sebagai seorang pejuang bangsa yang tidak akan luput namanya sampai bila-bila.

Ilustrasi wajah Almarhum Raja Haji Fisabilillah
( Syahid Teluk Ketapang )

Penutup

Sejujurnya saya amat berterima kasih kepada pengarang buku Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi ini iaitu Datuk Zahari A. Rashid yang telah berjaya mendekatkan diri saya terhadap karya-karya Abdullah Munsyi. Pengarang buku ini jelas telah membuat pengkajian yang begitu mendalam terhadap karya Abdullah. Hal ini secara tidak langsung memudahkan pembaca untuk mendapat lebih info dan penerangan berkenaan dengan penceritaan Abdullah terhadap sesuatu perkara.

Saya tidak mampu untuk memperjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan dengan buku ini. Saya hanya mengambil beberapa fakta penting sahaja untuk dikongsikan. Amat berbaloi memiliki buku ini kerana pengisiannya adalah amat berkualiti walaupun ia adalah rumusan terhadap sebuah karya besar.

Carilah buku ini .... saya pasti anda akan berpuas hati. InsyaAllah.