BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, March 22, 2014

Berbaur Rasa Di Stesen Keretapi Kluang


Prolog Kehidupan

Setelah berpindah dan bertugas di Batu Pahat awal tahun 2013 yang lalu, selalu juga saya berkira-kira untuk ke bandar Kluang. Sering saya mengutarakan hajat tersebut kepada isteri namun agak sukar bagi mendapatkan masa yang benar-benar berkualiti untuk ke Kluang. Saya seperti biasanya sibuk dengan urusan kerja di sekolah yang kadangkala dibawa sekali ke rumah di hari cuti. Sedang si isteri pula sentiasa diburu dengan urusan kes-kes pembedahan di hospital yang tiada hentinya. Maka segala harapan untuk ke Kluang terbiar begitu sahaja sementara menunggu masa yang lebih sesuai.

Saya sebenarnya begitu asing dengan Kluang walaupun memliki sejumlah teman rapat yang berasal dari sini semasa belajar di UPSI dahulu.  Selama kehidupan saya, Johor bukanlah antara negeri yang menjadi pilihan kepada saya untuk mencari rezeki. Alasan yang paling kukuh bagi saya adalah kerana saya tidak punya saudara-mara di negeri Johor ini. Hal ini ditambah pula dengan jaraknya yang agak jauh dari negeri kelahiran saya Perak Darul Ridzuan.

Namun segala-galanya berubah apabila saya ditugaskan di negeri Sarawak yang sememangnya jauh lebih asing kepada saya. Lima tahun di Sarawak rupa-rupanya memberikan saya lebih kekuatan untuk merantau sekali lagi. Dengan kedudukan isteri yang bertugas di Putra Specialist Hospital Batu Pahat, saya tidak punya banyak pilihan dan akhirnya saya terpaksa menelan hakikat .... Johor menanti saya dengan sejuta satu cerita yang berselerakan.

Kini memasuki tahun kedua di Batu Pahat, saya sudah mula dapat membiasakan diri dengan segala denyut nadi penduduknya. Cumanya saya mungkin sedikit alah dengan kesesakan trafiknya. Namun saya pasti, tidak lama lagi saya akan mampu menghadapinya. Alah bisa tegal biasa .... insyaAllah.

Jajaran Selatan Yang Masih Suci

Ada sebab yang sangat kuat membuatkan hati saya begitu teruja untuk ke Kluang. Selain sekadar untuk berlibur di hari minggu, saya begitu kepingin untuk melihat sendiri stesen keretapi Kluang yang begitu tersohor dengan keenakan kedai kopinya. Kluang adalah antara bandar yang masih memiliki stesen keretapi dalam reka bentuk yang lama dan klasik. Tidak seperti landasan pantai barat Semenanjung yang telah hilang nuansa lamanya akibat dari projek landasan berkembar, jajaran keretapi di selatan pula masih lagi suci dan mengekalkan keasliannya.

Namun demikian, berita pengumuman berkenaan dengan projek keretapi laju yang bakal menghubungkan Singapura dengan Kuala Lumpur tidak lama lagi sedikit sebanyak membuatkan saya merasa gentar kerana pasti jajaran landasan selatan Semenanjung ini  berubah wajah ke arah yang lebih moden. Mahu tidak mahu saya perlu mencuri sebanyak mana masa diri untuk meneroka ke lebih banyak stesen keretapi dan khazanahnya yang berada dalam jajaran selatan ini.

Jika sebelum ini, saya telah berjaya untuk melaksanakan perjalanan bersendirian ke stesen keretapi Batu Anam dan stesen keretapi Segamat yang dilakukan sekitar tahun  2012 yang lalu. Catatan berkenaan kedua-dua stesen berkenaan mendapat respon yang sangat baik dari pembaca blog perkongsian ini. Sasaran saya kini adalah untuk ke Kluang .... dan akhirnya perjalanan yang ditunggu-tunggu itu kini bermula. Bezanya kini saya ditemani oleh isteri bersama anak dan bukan lagi bersendirian !.

Ke Kluang Bersama Isteri Dan Anak

Dari Batu Pahat, saya dan keluarga hanya mengambil masa sekitar satu jam sahaja untuk sampai ke Kluang. Jujurnya, aliran trafik Kluang lebih kurang sama sahaja dengan Batu Pahat. Ini kali pertama saya dan isteri ke Kluang. Sepanjang perjalanan, tidak banyak perkara yang dapat saya bualkan bersama isteri kerana mata saya lebih fokus kepada pemanduan.

Sebaik sahaja kereta kami mula memasuki kawasan bandar Kluang, kesibukan sudah mula terasa. Kedudukan Kluang adalah terletak ditengah-tengah negeri Johor. Ia juga merupakan bandar yang ketiga terbesar dalam negeri Johor selepas Johor Bharu dan Batu Pahat. Diasaskan pada tahun 1910, Kluang terus berkembang dengan pesatnya seiring dengan kemajuan semasa.

Kedudukan daerah Kluang di tengah-tengah negeri Johor

Saya sebenarnya terlupa untuk membuat tinjauan di internet berkenaan dengan lokasi stesen keretapi Kluang ini. Masuk sahaja ke kawasan bandar Kluang, hati saya sudah mula tertanya-tanya sendiri kemana jalannya yang harus saya masuk untuk ke stesen keretapi Kluang. Isteri yang duduk membisu memegang anak di sebelah sudah mula menjeling kepada saya. Namun jauh di lubuk hati saya yakin saya sedang melalui jalan yang betul dan tepat.

Kereta kami melalui satu lintasan rata landasan keretapi yang merentangi jalan. Saya tersenyum sendiri, pasti stesen keretapi Kluang terletak tidak jauh dari lintasan berkenaan. Secara tiba-tiba isteri saya memaklumkan bahawa beliau ternampak papan tanda arah ke stesen keretapi Kluang. Dengan berpandukan papan tanda berkenaan kami akhirnya berjaya sampai ke stesen keretapi Kluang. Saya bagaikan tidak percaya di sebalik kesibukan dan hiruk -piruk bandar Kluang, ternyata stesen keretapinya masih mengekalkan aroma klasik dan kekal dengan gaya lama. Inilah tinggalan sejarah Kluang yang paling hebat pada pandangan saya !.

Stesen keretapi Kluang

Saya meletakkan kereta di hadapan stesen keretapi berkenaan. Kedudukan stesen keretapi Kluang agak meninggi. Sayangnya pada ketika itu isteri pula tidak dapat mengikuti saya masuk kedalam kawasan stesen kerana anak sedang tertidur dengan lenanya. Mahu tidak mahu saya terpaksa bersendirian meneroka keunikan stesen berkenaan.

Masih kekal dengan gaya lama

Saya memerhatikan sekitar kawasan stesen jika terdapat pekerja-pekerja KTMB yang bertugas.  Jika perlu, saya mahu mendapatkan kebenaran lisan bagi mengambil foto-foto di sekitar kawasan stesen.  Sayangnya saya tidak pula bertemu dengan mana-mana pekerja. Tambahan pula ketika saya sampai ke stesen berkenaan, jam telah melewati waktu rehat tengah hari. Tidak mengapalah ngomel saya sendirian. Saya bukan melakukan jenayah di stesen tua ini.

Sebuah Stesen Keretapi Yang Berbicara

Saya menandang dari kereta ke arah stesen keretapi Kluang. Terasa seolah-olah ia memanggil saya dengan lunak untuk berbicara dengan seenaknya. Binaan stesen ini diperbuat dari kayu dan batu ini adalah binaan tipikal stesen-stesen lama yang terdapat di Semenanjung Malaysia. Jika tidak salah saya, banggunan stesen ini adalah lebih kurang sama dengan bangunan stesen keretapi Segamat.

Saya melangkah beberapa anak tangga dan masuk ke kawasan ruang legar stesen ini. Ramai juga penumpang yang sedang menantikan keretapi tiba. Saya disambut oleh papan kenyataan yang memaparkan beberapa maklumat berkenaan dengan pelancongan keretapi.  Lantai stesen keretapi ini bersih dan kelihatan persekitaran kawasan stesen ini begitu terjaga. Stesen bercat kuning ini kelihatannya masih utuh dan gagah.

Melalui anak-anak tangga kecil stesen


Di bahagian kanan stesen terdapat kaunter jualan tiket. Walaupun stesen ini sudah melalui beberapa pengubahsuaian sesuai dengan peredaran masa, namun saya dapat melihat beberapa tinggalan klasik yang masih dikekalkan. Antaranya ialah papan-papan tanda lama yang masih utuh dan tidak dimamah masa. Di sebelah kiri stesen ini pula terletak kedai kopi yang begitu menjadi sebutan ramai iaitu Kluang Rail Coffee.


Kaunter tiket

Ketika kunjungan saya, kedai kopi ini ditutup bagi waktu rehat. Namun secara jujurnya, saya tidak langsung teransang dengan status gah kedai kopi berkenaan sebaliknya lebih teruja dengan suasana stesen keretapi Kluang. Saya melalui kawasan platform stesen. Kerusi-kerusi bagi penumpang menunggu keretapi banyak yang masih lengang. Saya meninjau-ninjau jika masih terdapat kerusi kayu lama sayangnya tiada dan yang ada hanyalah kerusi-kerusi moden yang menjemukan pandangan.

Restoran Kluang Rail Coffee yang sangat terkenal.

Ruangan menunggu tidak jauh dari platform utama stesen ini.

Ketika  melangkah ke stesen ini, perkara yang pertama bermain di fikiran saya ialah masih wujudkah papan tanda lama stesen keretapi Kluang ini. Papan tanda bewarna putih dan bertulisan hitam itu sering menjadi tumpuan bagi saya jika ke stesen-stesen keretapi lama. Binaan papan tanda lama ini begitu kukuh malah mampu bertahan sehingga berpuluh-puluh tahun lamanya. Sukar bagi peminat - peminat keretapi untuk melihat kembali papan tanda lama ini di stesen-stesen keretapi dalam jajaran landasan pantai barat Semenanjung kerana kebanyakannya telah dicabut, digantikan dengan yang baharu atau dibiarkan usang begitu sahaja.

Papan tanda lama stesen keretapi Kluang
yang terus kekal sebagai bukti sejarah 

Papan tanda baru stesen keretapi Kluang

Tetapi di stesen keretapi Kluang ini ada kelainannya. Papan tanda lama bewarna putih itu masih tetap kukuh berdiri dan dijaga dengan baik. Tambah berseri ialah apabila papan tanda baru stesen bewarna biru juga turut didirikan bersebelahan dengan papan tanda lama. Ia sekaligus memberikan satu gambaran tentang dua zaman yang berbeza namun saling berkaitan. Tahniah kepada pihak KTMB kerana masih mengekalkan papan tanda lama berkenaan sebagai suatu kenang-kenangan sebuah sejarah yang panjang.

Antara dua zaman yang saling berkaitan

Tidak jauh dari platform utama, terdapat sebuah jejantas yang membolehkan penumpang ke seberang landasan ( platform kedua ). Ini bermakna, stesen ini membenarkan perselisihan tren dilakukan. Jejantas bewarna putih ini mengingatkan saya kepada jejantas yang terdapat di stesen keretapi Gemas dan Tapah Road yang kini hanya tinggal kenangan. Masih terasa gegaran jejantas landasan di stesen keretapi Gemas apabila keretapi melalui dibawahnya. Ah...alangkah bertuahnya jika keretapi melalui stesen keretapi Kluang ini sekarang. Namun jauh disudut hati, saya sedar masa hanya sedang menunggu peluang merentap segala kenangan tersebut di stesen keretapi Kluang ini.

Sebuah jejantas yang menimbulkan nostalgia lama

Saya meniti tangga jejantas itu satu persatu menuju ke platform kedua yang terletak di seberang landasan. Tidak seperti platform utama stesen, platform kedua ini jauh lebih pendek dan hanya diteduhi oleh sebuah pondok kecil. Rasanya ia sebuah binaan baru namun nuansanya masih kelihatan klasik. Persekitaran kawasan ini diserikan lagi dengan taman kecil yang dibina oleh pihak KTMB. Beberapa aset KTMB yang digunakan untuk penyelenggaraan landasan masih boleh dilihat disini bersama dengan gerabak-gerabak barang yang saya kurang pasti sama ada masih digunakan atau tidak.

Plaform di seberang landasan

Dekorasi dan hiasan di stesen keretapi Kluang.

Gerabak barangan 

Aset-aset KTMB yang terdapat di stesen ini.

Saya kembali semula ke kawasan stesen dan berlegar-legar mencari nilai klasiknya. Melihat kepada papan-papan tanda lama di stesen ini membuatkan hati saya menjadi tenang. Tambah menarik ialah daun-daun tingkap stesen tua ini masih mengekalkan gaya lama. Ia menjadikan status stesen keretapi tua ini bertambah gah.

Papan tanda lama dan daun pintu klasik masih kekal
di stesen keretapi tua ini.


Satu Ingatan-Ingatan Lama

Saya duduk berehat sebentar di sebuah kerusi stesen berkenaan. Saya memerhatikan suasana dan keadaan sekeliling. Hiruk-pikuk bandar Kluang bagaikan tidak terasakan disini. Ada rasa ketenangan mengalir ke jiwa. Hati saya mula tersentuh... ingatan-ingatan lama dalam kehidupan mula terimbau satu demi satu. Alangkah indahnya jika stesen keretapi lama Bidor masih beroperasi dan alangkah bahagianya jika saya dapat kembali semula ke suatu zaman di mana saya boleh merakamkan semula kenangan di semua stesen-stesen keretapi yang terdapat di Semenanjung ini. Namun saya sedar, itu adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku dan ianya akan kekal sabagai satu angan-angan yang tak sudah.


Saya melihat syiling stesen tua ini. Hayatnya yang panjang telah memberikan sejuta warna pada penduduk Kluang. Mungkin bagi generasi baru Kluang, stesen keretapi tua ini tidak lebih sebagai sebuah banggunan buruk yang menunggu masa untuk digantikan. Namun saya yakin bagi warna emasnya, stesen tua ini lebih dari itu dan ia adalah sebahagian dari jutaan kenangan kehidupan mereka.

Dalam diam saya dapat merasakan seolah-olah stesen keretapi Kluang sedang tersenyum memandang saya dengan manisnya. Ia berbicara bahawa tenaga tuanya akan sampai ke akhirnya nanti. Ya ... nanti disuatu ketika yang sangat memedihkan rasa. Ketika itu stesen tua ini tidak akan menangis ... ia akan tersenyum panjang kerana masa tamat untuk lelahnya telah tiba. Ia sudah terlalu penat dan lelah memberikan khdmat bakti kepada jutaan manusia yang pernah singgah di perutnya.

Begitulah lumrahnya .... stesen ini suatu ketika nanti pasti mengikut teman-temannya yang lain di pantai barat. Dibunuh atau ditinggalkan usang menanti rebah. Pastinya saat itu akan tiba juga dan ia menantikan takdir itu dengan senyuman.

Satu Penamat

Saya melihat ke kereta. Kelihatan anak saya tersenyum di cermin kereta. Nampaknya si kecil itu sudah tersedar dari lenanya. Anak kecil yang manis itu memandang saya dengan senyuman kecil yang memulihkan semula perasaan saya. Saya dapat merasakan saat perpisahan saya dengan stesen tua ini sudah tiba. Bangun sahaja dari kerusi saya kembali semula ke platform utama stesen ini dan memandang suasana stesen ini kesekian kalinya. Saya yakin dan berjanji ini bukan kunjungan akhir saya ke sini dan biarlah di masa lain ... saya akan sentiasa disini mengimbau kenangan.

Sewaktu memasuki kereta, isteri hanya tersenyum melihat saya. Hanya beliau yang mengerti hati dan perasaan saya apabila ke sesebuah stesen keretapi lama. Dengan bersahaja beliau bertanya dalam nada yang bergurau ...

" Pelik ... kenapa pula abang lama abang termenung tadi ?"

Saya hanya tersenyum dan memandang wajahnya yang lembut. Saya tahu beliau sengaja menduga perasaan saya ketika itu. Namun saya sedar, beliau memang memahami hati dan jiwa saya yang sebenarnya. Dari dalam kereta saya memerhatikan stesen tua itu. Ia seolah melambai-lambaikan tangan kepada saya mengucapkan selamat jalan yang hangat. Dan saya membalas lambaiannya itu dengan senyuman yang tawar.

Saya memandu kereta perlahan-lahan meninggalkan stesen tua ini. Ia akhirnya hilang terus dari pandangan mata saya. Dalam dunia yang semakin deras ini ia terus disitu berbakti kepada manusia. Ia sudah tua dan pikun. Ribuan keretapi singgah membawa segala cerita suka dan derita setiap penumpang ... dan ia tetap menerimanya tanpa rasa sangsi. Di stesen keretapi Kluang .... saya menemui setiap rasa. Rasa yang membeli setiap waktu yang bakal membunuhnya tanpa sedar !

Stesen keretapi Kluang tetap disitu ............................