KERDIPAN BINTANG
SULTAN IDRIS TRAINING COLLEGE FOR MALAY TEACHERS ( SITC )
" KITA YANG MELUPAKAN MEREKA "
Abdul Hafez Bin Jahauddin ( Hafez J.Malim )
Batu Pahat, Johor
Ketika kali pertama menjejakkan kaki menjadi mahasiswa di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim kira-kira 12 tahun yang lalu, perkara pertama yang mengujakan hati saya ialah keindahan senibina banggunan Suluh Budiman yang menjadi warisan abadi SITC kepada UPSI. Kekaguman itu bukan semberono tetapi lahir dari pandangan yang ikhlas. Sebagai seorang lelaki yang agak berminat dengan ilmu pertukangan, saya agak terpegun dengan dinding bangunan ini yang menggerutu. Pelbagai persoalan lahir di kepala pada ketika itu, bagaimana pekerja-pekerja yang membina bangunan Suluh Budiman ini, menghasilkan tampalan "plaster" dinding dalam bentuk bergerutu itu. Semuanya itu terus kekal dalam kenangan dan ingatan saya hingga kini.
Bangunan Suluh Budiman yang dindingnya
bergerutu.
Agaknya apa yang saya fikirkan berkenaan dengan dinding bangunan Suluh Budiman yang bergerutu itu mungkin telah lama difikirkan oleh anak-anak kandung sejak dari zaman SITC lagi. Hal ini saya temukan dalam buku tulisan Allahyarham Tan Sri Awang Had Salleh berjudul Warna-Warna Pengalaman Seorang Guru yang menyatakan kekagumannya juga terhadap dinding bangunan Suluh Budiman yang bergerutu itu. Nampaknya saya tidak berseorangan dalam hal ini.
Duduk dan tinggal belajar di UPSI menjadikan saya begitu kemaruk dengan sejarahnya yang panjang. Saya mencari dan membaca buku-buku yang punya perkaitan dengan sejarah kewujudan SITC, MPSI, IPSI dan UPSI. Senarai nama anak-anak kandung yang terkenal juga dicari hingga akhirnya saya menyimpan hasrat pada suatu masa nanti mahu menghasilkan satu penulisan khusus bagi mengenang jasa dan sumbangan institusi ini suatu ketika dahulu. Namun hingga ke saat ini, citra penulisan berkenaan masih lagi tidak tertunai oleh diri. Ternyata saya belum punya ikhtiar dan ilmu untuk penulisan seumpama itu. Saya amat menyesali dengan sikap dan kelemahan saya itu.
Entah mengapa hari ini saya cuba untuk menulis tentang SITC yang rasanya sudah banyak kali dibicarakan oleh ramai ilmuwan serta masyarakat di luar sana. Ia cuma penulisan picisan yang sekadarnya dari seorang anak kandung Suluh Budiman yang menyanjung tinggi ibu kandungan. Saya mencuba seadanya ... dari fikiran yang berbeza. Seperti mana yang pernah saya cuba perjuangkan satu ketika dahulu !
HARI - HARI SELEPAS MERDEKA - PENGETUA MELAYU PERTAMA MPSI
Ketika salah sebuah kolej kediaman yang disewakan UPSI di Hulu Bernam untuk para pelajarnya dijenamakan dengan nama Kolej Ungku Omar, saya mendengus panjang. Ya ... siapalah saya yang ketika itu mahasiswa kecil penentang golongan feudal aspirasi kampus untuk didengari pendapat dan suaranya. Saya lebih selesa andai nama bangunan atau kolej kediaman di UPSI pada ketika itu dijenamakan dengan nama tokoh-tokoh penting keluaran SITC seperti Tun Ghaffar Baba, Cikgu Buyong Adil atau sesiapa sahaja yang punya karektor dan sumbangan hebat pada zamannya.
Agak janggal apabila tiga kolej kediaman besar UPSI dijenamakan dengan nama tiga tokoh besar yang punya kaitan dengan SITC iaitu Allahyarham Tan Sri Pendita Zainal Abidin Bin Ahmad ( Za'ba ), Allahyarham Cikgu Harun Bin Mohd Amin ( Harun Aminurashid ) dan Allahyarham Aminuddin Baki namun yang satu ini pula dijenamakan pula dengan nama tokoh besar yang bukan dari SITC, MPSI, IPSI dan UPSI itu sendiri.
Hal yang sama juga berlaku apabila empat asrama kediaman warisan IPSI di hilangkan jejak asal namanya. Bagi bekas pelajar IPSI mungkin masih mengingati asrama Ibu Zain, asrama OT Dussek ( Pengetua SITC pertama ) dan asrama Datuk Zainal ( Pengetua Melayu pertama MPSI selepas merdeka 1958-1960 ) yang kini telah tinggal kenangan sahaja. Kesemuanya hilang dan disatukan dengan Kolej Kediaman Harun Aminurashid ketika saya menuntut di UPSI. Saya mungkin boleh menerima kehilangan nama OT Dussek dan Ibu Zain yang pada pandangan saya nama-nama mereka sering dikumandangkan oleh sejarah. Soalnya bagaimana dengan nama Datuk Zainal Abidin Bin Ali yang mencatat sejarah menjadi pengetua Melayu pertama MPSI ?... adakah generasi pada hari ini dapat mengenal jasa dan sumbangannya?
Datuk Zainal Abidin Bin Ali
Guru SITC - 1924- 1932,
Penolong pengetua Melayu SITC - 1950-1952,
Pengetua MPSI -1958 - 1960
( Anak Melayu pertama yang menjadi pengetua di MPSI )
Kini generasi baru UPSI, adakah kita kenal dengan tokoh-tokoh hebat kelahiran SITC ataupun MPSI ?. Ya benar hari-hari mereka telah lama berlalu. Sejarah mereka mungkin terlalu kecil bagi pensejarahan negara kita. Namun ada sisi lain yang perlu kita ketahui ... mereka adalah penyumbang terawal kepada kemerdekaan yang dilaung dengan penuh semangat di Stadium Merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957 yang bersejarah itu
Orang Melayu pada zaman penjajahan dilingkungi oleh semangat kenegerian yang menebal. Hal ini menjejaskan sama sekali penyatuan orang-orang Melayu dalam kelahiran semangat kebangsaan yang bersatu. Ini disesakkan lagi dengan kewujudan istilah orang Melayu asal, orang Melayu bangsa dagang, orang Melayu darah keturunan Arab dan orang Melayu darah keturunan India yang sekaligus seolah-olah membezakan antara ras rumpun Melayu itu. Perpecahan itu amat ketara dan persatuan-persatuan Melayu yang ditubuhkan dalam tahun-tahun 1920an hingga 1930an lebih bersifat kenegerian. Golongan bangsawan Melayu pula amat sedikit yang berupaya untuk membela nasib orang-orang Melayu. Itulah nasib Melayu ketika itu. Melukut di negerinya sendiri.
Keadaan ini mula hilang satu persatu apabila wujudnya sebuah institusi pendidikan yang khusus bagi melatih guru-guru sekolah Melayu pada tahun 1922 iaitu Sultan Idris Training College di Tanjong Malim Perak. Di sini, bakal-bakal guru dari seluruh semenanjung Tanah Melayu, Singapura, Sarawak, Boneo Utara dan Brunei disatukan di bawah satu bumbung. Pergaulan bakal-bakal guru yang dari pelbagai negeri inilah yang mula mewujudkan satu ikatan kebangsaan Melayu terawal yang mungkin tidak dapat dilihat secara mata kasarnya pada ketika itu. Memetik karangan dari Adi Mas yang saya kutip dari majalah Chenderamata MPSI bilangan 65 tahun 1973, beliau menyatakan :
" Dalam tahun 1929, lahirlah secara haram dua buah badan politik dalam maktab perguruan itu, ia lahir di tengah-tengah semangat nasionalisma yang berapi-api. Dua badan politik haram itu diberi nama Ikatan Semenanjung Borneo dan Ikatan Pemuda Pelajar. Dua badan tersebut lahirnya bekerja dan bercakap mengenai kebajikan dan pelajaran tetapi pada batinnya bergerak mengembangkan sayapnya keluar maktab meniupkan semangat nasional anti kolonial Inggeris".
Jadi adalah jelas, sebelum orang-orang Melayu bersatu menentang Malayan Union pada tahun 1946, sudah wujud gerakan yang lebih awal dalam penghujung tahun 1920an. Secara tidak langsung tembok semangat kenegerian yang menebal di kalangan bangsa Melayu pada ketika itu sudah mula dirobohkan sedikit demi sedikit bermula di SITC ini.
Siapakah manusia yang berperanan besar dalam menggerakkan dua pertubuhan haram di dalam batang tubuh SITC ini ? Mereka ini ialah manusia yang berjiwa besar yang mencuba untuk menanamkan semangat kebangsaan dalam diri bangsa Melayu itu. Dicatatkan disini oleh Adi Mas yang meninggal dunia pada tahun 1973 :
"Ibrahim Haji Yaakob yang ketika itu sebagai penuntut 1929 merupakan tokoh utama di samping kawan-kawannya seperti Hasan Bin Haji Manan, Abdul Karim Rashid sebagai tenaga pendorong menggerakkan dua badan politik haram dalam maktab tersebut".
Dan ketika kita di bulan Ogos yang menjadi lambang kepada kemerdekaan negara kita yang mulia ini, pernahkah kita mengenang nama-nama yang tertulis di atas ?. Mereka pelopor kepada permulaan semangat nasionalis yang bersifat kebangsaan. Hasil yang disuburkan oleh mereka ini kelak melahirkan satu golongan pemuda Melayu yang lebih berani dalam menyatakan perjuangan menentang penjajahan. Sayangnya adakah kita pernah mengenang wira-wira ini dalam kita merayakan momen kemerdekaan saban tahun ?
Ibrahim Haji Yaakob disifatkan oleh sesetengah sejarawan sebagai seorang yang oppurtunis, pengecut dan pro-Indonesia. Ia seolah-olah menyebabkan jasa dan sumbangannya bagaikan hilang begitu sahaja terkubur sepi di makamnya di Indonesia. Beliau menggerakkan sebuah persatuan yang lebih besar dan bersifat kebangsaan bernama Kesatuan Melayu Muda ( KMM ) pada tahun 1940 bersama dengan beberapa orang tokoh besar lagi seperti Mustapha Hussein dan Ishak Haji Muhammad ( Pak Sako ).
Peranan yang dimainkan oleh KMM ini amat besar sekali sepanjang lipatan sejarah negara kita. Secara teknikalnya, KMM ini adalah lubuk asas kepada penubuhan parti-parti politik Melayu selepas itu seperti Partai Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM-PEKEMAM ), Angkatan Pemuda Insaf ( API ) dan Pertubuhan Kebangsaaan Melayu Bersatu ( PEKEMBAR ) atau UMNO. Di dalam batang tubuh ketiga-tiga parti besar orang-orang Melayu ini sebenarnya mengalir darah KMM. Hal ini tidaklah berlebihan kerana ahli-ahli kedua parti terbesar Melayu ( API sebahagian dari PKMM ) sebelum merdeka ini adalah patriot-patriot yang memulakan langkah politik mereka dari KMM lagi. Untuk lebih realistik lagi kebanyakan penggerak-penggerak awal politik kebangsaan peringkat akar umbi ini adalah dari kalangan guru-guru Melayu lepasan SITC.
Patai Kebangsaan Melayu Malaya
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ( PEKEMBAR )
Sewaktu serangan Jepun ke atas Tanah Melayu, KMM bekerjasama dengan Jepun dalam menyingkirkan Inggeris. Ramai berpendapat, KMM lah punca segala kerosakan yang berlaku kepada negara kita semasa pendudukan Jepun. Soalnya disini, pernahkah kita berfikir apakah reaksi Jepun terhadap orang-orang Melayu sekiranya tidak ada KMM yang menjadi "pemudahcara" Jepun menyerang dan menakluki Tanah Melayu ?
Menurut Ibrahim Haji Yakoob dalam penulisannya sempena Perayaan Jubli Emas SITC dan MPSI ( tercatat dalam Majalah Chenderamata bil 65 tahun 1973 ), beliau mencatatkan yang beliau telah menjalankan tugasan yang sangat sukar bagi keselamatan orang-orang Melayu. Disini saya coretkan tanpa merubah sedikit pun penulisan beliau.
Peta kempen serangan Jepun ke atas Tanah Melayu
Menurut Ibrahim Haji Yakoob dalam penulisannya sempena Perayaan Jubli Emas SITC dan MPSI ( tercatat dalam Majalah Chenderamata bil 65 tahun 1973 ), beliau mencatatkan yang beliau telah menjalankan tugasan yang sangat sukar bagi keselamatan orang-orang Melayu. Disini saya coretkan tanpa merubah sedikit pun penulisan beliau.
"Perjalanan berkeliling Malaya itu sambil mengembangkan K.M.M., pertengahan tahun 1941 saya balik ke Singapura lalu menjadi Ketua Pengarang dan Managing Director s.k ( surat khabar ) Warta Malaya. Pada waktu inilah saya melakukan satu pekerjaan yang sangat sukar antara hidup dan mati, iaitu sebagai orang politik yang terpaksa melakukan satu pekerjaan yang perkerjaan double agent antara C.I.D Inggeris, Jepun dan Komunis, agar sebagai Ketua Agung K.M.M yang berkewajipan berusaha menyelamatkan bangsa Melayu, pentinglah dapat ikut mempunyai kedudukan "bargaining position" antara perebutan kekusasaan yang sedang ada pada waktu itu, sedangkan Inggeris dan Komunis sesudah pecah Perang Dunia di Eropah, telah berbaik-baik bertukar information menentang facist".
Hal inilah juga pada pandangan saya yang menyebabkan Ibrahim Haji Yaakob mengambil jalan pintas bersekutu dengan Jepun tanpa pengetahuan ahli-ahli KMM. Beliau sudah mengetahui nasib orang Melayu berada di hujung tanduk. " Perhubungannya dengan Jepun dibuat bagi menyelamatkan orang Melayu dari bahaya China dan Thai yang mahu menjajah Malaya " ( Ibrahim Yaakob. Chenderamata 1973 ). Beliau punya pelbagai rahsia baik dari pihak Inggeris, Jepun dan juga komunis.
Perlakuan KMM inilah yang menjadikan Jepun lebih bersikap lunak dengan orang-orang Melayu. Banyak orang-orang besar Melayu yang menjadi tawanan Jepun dapat dibebaskan oleh KMM. Malahan tokoh-tokoh bangsawan terutama dari kerabat diraja juga diselamatkan oleh K.M.M sewaktu Jepun berjaya menawan Malaya. Dilihat dari pebagai sudut Ibrahim dan K.M.M jelas gagal apabila kesatuan ini juga diharamkan kelak oleh Jepun namun untuk peranan awalnya, ia tetap berjaya menyelamatkan status tuan tanah bangsa Melayu ke atas negerinya sendiri.
Orang-orang Melayu juga diberikan lebih peranan mentadbir jauh dari apa yang pernah diberikan oleh British. Memang benar zaman Jepun itu amat mencabar namun ia memberikan banyak rahmad yang tidak terhingga kepada semangat nasionalisma bangsa Melayu khasnya.
Orang-orang Melayu juga diberikan lebih peranan mentadbir jauh dari apa yang pernah diberikan oleh British. Memang benar zaman Jepun itu amat mencabar namun ia memberikan banyak rahmad yang tidak terhingga kepada semangat nasionalisma bangsa Melayu khasnya.
Namun pernahkah jasa Ibrahim Haji Yaakob ini dikenang oleh kita sebagai rakyat Malaysia ?. Banyak sekali ahli sejarah Malaysia melabelkan beliau sebagai seorang yang radikal dan berhaluan kiri. Kebiasaannya pelabelan ini menyebabkan mereka terhindar jauh dari cerita sejarah besar kemerdekaan negara kita. Terima kasih Universiti Kebangsaan Malaysia kerana manamakan salah sebuah kolej kediaman yang terdapat di universiti tersebut dengan nama Kolej Kediaman Ibrahim Yaakob. Namun di manakah kubur tempat tokoh ini menghembuskan nafasnya yang terakhir ?
Nun di pulau Jawa Indonesia tempat terakhir tokoh besar SITC ini di dunia. Usai sahaja Jepun menyerah kalah, beliau melarikan diri ke Indonesia dan meneruskan perjuangan politiknya di sana. Kalangan ahli politik dan sejarawan menganggap beliau pengecut dan penakut. Meninggalkan ribuan teman-teman yang kosong tanpa pembelaan dalam vakum dua minggu yang mencabar antara komunis dan kebangsaaan Melayu.
Tetapi bagi saya sesiapa juga akan melakukan seperti beliau mencari perlindungan yang lebih selamat. Harus diingat, beliau menjadi mata dan telinga Inggeris, Komunis dan Jepun sebelum perang dunia kedua berlaku dan akhirnya beliau memilih menyebelahi Jepun. Apakah Inggeris dan komunis akan membiarkan bapa nasionalis KMM ini akan terus hidup selepas itu ? jalan yang terbaik teruskan perjuangan di bumi yang mampu melindunginya.... Indonesia.
Di sana beliau dikenang sebagai pahlawan nasional. Makamnya dipelihara dan kekal disana. Sebutir bintang SITC tertinggal jauh dari tanah kelahirannya. Terima kasih Ibrahim Haji Yaakob ... sejarahmu tetap akan dikenang sebagai pelopor nasionalisma Melayu terawal. Turut bersamanya di Indonesia ialah seorang lagi bekas pelajar SITC iaitu Cikgu Abdul Karim Rashid. Beliau turut membawa diri ke Indonesia pada tahun 1945 setelah bebas dari tahanan Inggeris.
ANAK KANDUNG TERAGUNG SITC - TUN GHAFFAR BABA
Bagi sesiapa yang pernah membaca novel berjudul Maktab Ibu Kandung karya Shaari Isa pasti akan terkesan dengan apa yang diceritakan oleh penulisnya dalam novel berkenaan. Pada muka hadapannya tertulis dedikasi penulis buku berkenaan kepada ANAK KANDUNG TERAGUNG yang lahir dari perut SITC itu sendiri. Satu susuk besar dalam perjuangan politik Melayu sebelum dan selepas merdeka siapa lagi kalau bukan Allahyarham Tun Ghafar Baba mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia ( 1987-1993 ).
Abdul Karim Rashid ( SITC 1929-1932 )
Turut mengikuti Ibrahim Yaakob ke Indonesia
Batu nisan pusara Ibrahim Haji Yaakob yang terletak di
Indonesia. Di sana beliau lebih dikenali sebagai
Drs Iskandar Kamel. Perhatikan ringkasan nama IBHY
terut diletakkan sekali pada tulisan batu nisan pusara.
Al-Fatihah buat bapa nasionalisma Malaya sebenar !
Soalnya ... kenapa kita tidak selesa meletakkan namanya sebagai hero sebenar negara kita ? Pulang dan bawa jasadnya kemari. Ini tanah tumpah darahnya juga ....... habis.
ANAK KANDUNG TERAGUNG SITC - TUN GHAFFAR BABA
Novel Maktab Ibu Kandung karya
Shaari Isa.
Soalnya kenapa beliau dianggap yang teragung ? Jawapannya mudah ... dalam ribuan jasad yang pernah mengutip ilmu di SITC, MPSI, IPSI dan UPSI, cuma beliau sahaja yang pernah mencapai tahap kedua tertinggi dalam hieraki pentadbiran negara kita iaitu sebagai Timbalan Perdana Menteri. Bagi guru-guru Melayu ... itulah pencapaian paling besar seorang guru dan memang hanya Tun Ghaffar sahaja guru Melayu yang pernah menjawat jawatan itu. Yang lain tidak pernah dan bukan terdiri dari kaum guru.
Sebelum mencapai ke tahap itu, sejarah Tun Ghaffar Baba amat panjang. Novel Maktab Ibu Kandung itu sendiri adalah satu catatan sebenar tentang perjuangan Tun Ghaffar Baba yang bukan calang-calang orangnya. Tun Ghaffar mendaki dari bawah ke atas bagi menduduki hieraki tertinggi dalam politik kepartian. Namun sejarah masa silamnya amat hebat. Beliau pemimpin pelajar terawal yang mencabar keegoan penjajah British apabila secara terhormat melakukan demonstrasi pelajar di SITC pada tahun 1949. Walaupun demontrasi dibuat secara aman ia sebenarnya telah mencetuskan semangat nasionalisma yang lebih besar pada tahun yang berikutnya.
Mengikut buku Wira Negara Tun Abdul Ghafar Baba terbitan Arkib Negara Malaysia tahun 2008, dicatatkan Tun Ghafar mengetuai mogok secara aman terhadap pihak pentadbiran SITC ekoran dari tuntutan kenaikan sara hidup pelajar SITC dinaikkan dari $3.00 kepada $30.00 tidak dilayan oleh pengetua SITC yang bernama L.D Whitfield. Menariknya di dalam buku tersebut disertakan juga salinan surat yang dikirim oleh Tun Ghafar kepada tuan pengetua SITC berkenaan yang menuntut kenaikan elaun kepada pelajar SITC. Tuntutan berkenaan tidak dilayan, maka mogok secara aman tercetus di SITC pada tahun 1948.
Surat kiriman Tun Ghafar kepada
pengetua SITC memohon
pertambahan elaun pelajar di SITC
Ketika mogok dijalankan, para pelajar SITC tidak bercukur, memakai pakaian lama yang koyak-rabak dan memakai terompah kayu ke kelas. Mereka juga bersepakat jika ditanya dengan alasan bahawa pembayaran elaun yang dibuat tidak mencukupi ( Wira Negara Tun Abdul Ghafar Baba terbitan Arkib Negara Malaysia, 2008).
Akhirnya, pihak pentadbiran akur dengan tuntutan pelajar dengan menaikkan elaun sara hidup daripada $3.00 kepada $15.00. Walaupun gagal mendapat jumlah penuh iaitu $30.00, namun secara tidak langsung mogok ini telah mengharumkan nama Tun Ghafar di kalangan pelajar SITC dan tidak hairanlah beliau dipilih menjadi Ketua Pelajar SITC apabila beliau berada di tahun ketiga pengajian ( Wira Negara Tun Abdul Ghafar Baba terbitan Arkib Negara Malaysia 2008 ).
Rasanya inilah kali pertama dalam sejarah dunia pendidikan moden di Malaya pada ketika itu berlakunya demonstrasi dari golongan pelajar dan yang lebih manisnya berlaku di SITC .... lubuk penghasilan utama gerakan nasionalisma Melayu !.
Apa yang menjadikan gerakan demonstrasi ini begitu menarik ialah kemampuan pelatih guru-guru muda Melayu dari pelbagai negeri bersatu dalam satu pasukan menggempur kerajaan penjajah Inggeris.
Berikutan dengan mogok kali pertama yang diketuai oleh Tun Ghafar itu, ia seterusnya mencetuskan satu lagi mogok yang lebih besar selepas itu iaitu pada tarikh 20 Disember 1949 ( Tun Ghafar sudah menamatkan pengajiannya di SITC pada ketika mogok kedua ini berlaku ).
Menurut Allahyarham Shaharom Husain dalam memoirnya Selingkar Kenangan Abadi terbitan Penerbit UKM tahun 1996, demonstrasi ini pada awalnya lebih bertujuan mendesak kerajaan Inggeris menyediakan sebuah khutub khannah ( perpustakaan ) bagi kegunaan para pelajar maktab. Lebih menarik lagi sebelum peristiwa mogok besar ini berlaku, Tun Ghafar terlebih dahulu berperanan mengadakan sendiri perpustakaan mini di setiap rumah penuntut yang buku-bukunya dibeli dari pungutan wang dari setiap seorang penuntut ( Shaharom Husain, Selingkar Kenangan Abadi, Penerbit UKM 1996 ). Jadi adalah jelas, pengaruh Tun Ghafar walaupun sudah tiada lagi belajar di SITC namun berbekas di hati pelajar juniornya.
Ini seterusnya disusuli oleh gerakan "Kami Bukan Tukang Kad" tidak lama selepas itu yang benar-benar menggemparkan Tanah Melayu. Tindakan kerajaan Inggeris melalui pengetua Inggeris SITC yang mengusir keluar semua 145 penuntut tahun dua telah mencetuskan reaksi segera apabila hampir kesemua pelatih guru-guru Melayu tahun pertama dan ketiga bertindak meninggalkan SITC. dan pulang ke kampung.
Kegemparan besar telah berlaku di seluruh Malaya akibat dari peristiwa demontrasi dan tindakan meninggalkan maktab oleh kumpulan pelatih guru-guru Melayu berkenaan. Sekali lagi selepas era Ibrahim Haji Yaakob, seorang lagi anak kandung "nakal" telah dilahirkan oleh Ibu Kandung Suluh Budiman. Dan tokoh besar penvetus api awal gerakan itu tidak lain ialah Ghaffar Baba yang kelak bakal memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan bangsa Melayu selepas merdeka. Allahyarham Tun Ghaffar Baba disifatkan pentadbir maktab sebagai penuntut yang agresif selalu menentang pegawai-pegawai di maktab.
Memetik penulisan bekas pengetua Melayu MPSI yang pertama iaitu Allahyarham Datuk Zainal Abidin Bin Ali bertarikh 6 Julai 1973, di dalam majalah Chenderamata keluaran 65 ( 1973 ) menyatakan peristiwa demonstrasi dan mogok di SITC berkenaan mempunyai hikmahnya yang tersendiri, kerana ia menjadi titik tolak kepada perubahan dasar pendidikan penjajah Inggeris di SITC dan ke seluruh negara amnya.
Paling manis kesemua penuntut SITC yang "mengangkat kaki" dari SITC diterima semula untuk memasuki maktab. Satu kejayaan manis yang kedua bagi orang-orang Melayu selepas menundukkan Malayan Union 4 tahun sebelum itu.
Satu catatan tambahan, moleklah saya mengenang peranan Allahyarham Dato Onn Jaafar ketika berlakunya siasatan terhadap peristiwa mogok pelajar di SITC. Shaharom Husain melalui memoirnya menjelaskan bagaimana usaha Dato Onn yang membela dan menjawab serta mencelah setiap soalan yang diberikan oleh penyiasat terhadap guru-guru yang mengajar di SITC. Beliau tidak mahu guru-guru Melayu di SITC dipersalahkan ekoran dari mogok tersebut dan berusaha membela mereka. Semoga Allah SWT merahmati roh Allahyarham Dato Onn Jaafar.
Selepas dari itu, Allahyarham Tun Ghaffar terus cergas dalam organisasi politik dan menyertai Partai Kebangsaan Melayu Malaya ( PKMM ) yang akhirnya diharamkan oleh penjajah British selepas sahaja darurat diishtiharkan di Tanah Melayu. Beliau menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ( PEKEMBAR/UMNO ) dan dilantik menjadi Ketua Menteri Melaka, menteri kabinet persekutuan dan akhirnya menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia ke-6 ketika di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri. Paling menarik beliau kekal untuk tidak menerima gelar dan pingat persekutuan atau negeri dan hanya menggunakan gelar Encik pada pangkal namanya walaupun sudah bergelar orang nombor dua kerajaan. Beliau kekal dengan sifat sederhana dan merendah diri.
Sewaktu rombongan rundingan kemerdekaan yang dipimpin oleh Tunku Abdul Rahman pulang dari London, Tunku Abdul Rahman memilih untuk mengumumkan tarikh kemerdekaan Tanah Melayu di padang Bandar Hilir Melaka sebagai satu simbolik disitu kali pertama bumi Melayu dijajah dan disitulah kali pertama tarikh merdeka diishtiharkan. Pada ketika inilah susuk Tun Ghaffar mula mencuri perhatian apabila beliau menjadi pengerusi pengelola kepada upacara pengunguman tarikh kemerdekaan negara kita yang jatuh pada tanggal 31 Ogos 1957. Gambar kenangan peristiwa di Bandar Hilir itu tidak akan pernah hilang dalam lipatan sejarah negara kita. Ia tetap akan dikenang sampai bila-bila. InsyaAllah.
Sejarah tidak akan pernah melupakan
gambar ini.
gambar ini.
Tun Ghafar memberikan ucapan sewaktu sambutan rombongan
merdeka di bandar Hilir Melaka.
merdeka di bandar Hilir Melaka.
Tun Ghafar sebagai pengerusi penganjur
sambutan rombongan kemerdekaan di padang
Bandar Hilir, Melaka.
Sebagai satu catatan tambahan, Tunku Abdul Rahman telah memberi penghormatan kepada Tun Ghafar untuk membaca Watikah Kemerdekaan Melaka di dalam Persekutuan Tanah Melayu dan mereka bentuk bendera negeri Melaka ( walaupun terdapat sedikit perbezaan ) yang digunapakai hingga ke hari ini.
Pada tarikh 23 April 2006, Tun Ghafar dipanggil pulang menghadap ilahi. seorang patriot bangsa yang tidak pernah bercuti dalam perjuangannya sehingga ke akhir hayat. Memetik sebuah sajak yang didendangkan oleh tokoh budayawan dan bekas anak kandung SITC, Allahyarham Tan Sri Aziz Tapa yang berbunyi :
Telok Mas Pantai Ketapang,
Anak ketam berjari-jari,
Hilang emas boleh ku tukang,
Hilang Tun Ghafar mana nak cari.
Allahyarham Tun Ghafar Baba bukan sembarangan manusia... beliau contoh manusia yang tidak berahi dan gelojoh kepada kuasa dan kehormatan tetapi kuasa dan kehormatan itulah yang berahi dan gelojoh kepada beliau. Dan beliau memilih menjadi satu susuk yang bersederhana dengan kuasa dan kehormatan itu.
Al-Fatihah buat anak kandung suluh budiman teragung .... Allahyarham Tun Ghafar Baba.
Makam Allahyarham Y.A.B Tun Ghafar Baba di
Makam Pahlawan, Masjid Negara Kuala Lumpur.
Penutup.
Menyorot kegemilangan SITC bererti kita membuka semula cerita-cerita agung manusiawi yang pernah wujud bersamanya. Institusi tua ini bukan melahirkan seorang dua tokoh hebat malahan ribuan manusia unggul pernah dilahirkan olehnya. Cuma sejarahnya mungkin ada yang mekar dan mungkin juga begitu banyak sekali yang dipendam zaman
Bukalah buku sejarah carilah nama guru-guru tua keluaran SITC yang bersemangat waja dalam menanamkan semangat anti penjajahan di dalam dada bakal-bakal guru serta anak-anak Melayu. Jika selama ini kita banyak mendengar nama Cikgu Harun Mohamad Amin, Cikgu Za'ba, Cikgu Buyong Adil dan Cikgu Kapten Yazid, maka carilah pula nama-nama lain yang sejarahnya pasti ada dalam setiap kisah pembinaan negara yang tercinta ini.
Alhamdulillah, singkapan terhadap beberapa tokoh ini mungkin masih belum mencukupi untuk memperihalkan keagungan tokoh-tokoh besar keluaran SITC yang berjuntaian. Namun cukuplah sekadar usaha awal dalam melengkapkan satu koleksi penulisan saya dalam mengenang ketokohan mereka. InsyaAllah penulisan seperti ini tidak akan berhenti dan akan sentiasa ada di dalam blog perkongsian ini.
Alhamdulillah, singkapan terhadap beberapa tokoh ini mungkin masih belum mencukupi untuk memperihalkan keagungan tokoh-tokoh besar keluaran SITC yang berjuntaian. Namun cukuplah sekadar usaha awal dalam melengkapkan satu koleksi penulisan saya dalam mengenang ketokohan mereka. InsyaAllah penulisan seperti ini tidak akan berhenti dan akan sentiasa ada di dalam blog perkongsian ini.
Al-Fatihah untuk mereka yang berpulang terlebih dahulu.
InsyaAllah kita akan menyusul mereka.
"PENGETAHUAN SULUH BUDIMAN"