BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, December 8, 2014

Catatan Perjalanan : Hati Terpaut Di Pekan Renggam



Jika ditanya pada kebanyakan rakyat Malaysia berkenaan dengan pekan Renggam pasti dengan segera terlintas di fikiran masing-masing ianya pasti bandar Simpang Renggam. Saya sendiri pada awalnya berpandangan sedemikian memandangkan saya adalah orang luar dan hanya baru dua tahun bermastautin di negeri Johor ini. Maka apabila melihat papan tanda jalan yang menunjukkan arah ke ke Renggam, maka dengan segera saya berfikir bahawa saya akan ke Simpang Renggam. Hal ini berkemungkinan berlaku akibat dari populariti Simpang Renggam yang terletak dalam jajaran Projek Lebuh Raya Utara Selatan ( PLUS ), maka kita secara tidak langsung agak terdedah dengan nama Simpang Renggam. 

Namun bagaimana pula dengan pekan Renggam ? .... Inilah yang akhirnya membuatkan saya perlu menulis berkenaan dengan pekan ini. Ada sesuatu yang unik dan sukar digambarkan dengan perasaan berkenaan dengan pekan Renggam ini. Jujurnya hati saya telah terpaut dengan kedamaian dan ketenangan pekan ini. Ia adalah satu perjalanan yang tidak disangka-sangka oleh diri dan pada akhirnya membenihkan niat untuk kembali semula ke pekan Renggam ini pada suatu masa nanti. Marilah kita meneroka ke pekan Renggam .... manalah tahu ada yang akan menjadi seperti saya ... Hati terpaut di pekan Renggam.

Perjalanan Bermotosikal

Saya perlu ke Kluang hari ini bagi mencari arah laluan ke rumah bakal tunangan seorang sepupu saya. Hal ini perlu kerana keluarga sepupu saya dari Perak itu amat mengharapkan saya dapat membawa mereka ke rumah bakal tunangannya tanpa sesat. Tambahan pula saya berkedudukan di Batu Pahat dan tidak jauh dari Kluang maka bantuan dari saya adalah amat diperlukan.

Masalahnya, saya tidaklah mengetahui selok belok jalan di sekitar Kluang walaupun ada beberapa kali ke sana atas urusan kerja. Mahu tidak mahu saya perlu segera ke Kluang untuk menjejak laluan. Sekurang-kurangnya dapat juga melepas gian di hati ini untuk bermotosikal dalam jarak yang agak jauh sama seperti yang pernah saya lakukan pada masa-masa bujang dahulu.

Selain dari itu, saya juga berhajat untuk menjejaki beberapa makam lama di sekitar Bukit Inas, dalam mukim Parit Sulong Batu Pahat. Hajat yang sudah lama dipendamkan dalam hati sejak dua tahun yang lalu itu masih belum tertunai sehingga ke hari ini. Seorang teman baru dari Tangkak berhajat juga ingin bersama saya menjejaki makam berkenaan dalam tempoh cuti persekolahan hujung tahun ini, maka perlu juga saya mencari jalan ke arah makam. Akhirnya saya memutuskan untuk merencanakan perjalanan ini dalam dua pencarian yang berbeza. Sekurang-kurangnya kini saya sudah mula belajar untuk merancang perjalanan saya dengan sebaiknya walaupun di akhirnya saya sendiri yang merosakkan perancangan saya itu !

Jarak antara Batu Pahat ke Kluang tidaklah terlalu jauh. Tambahan pula akses jalan raya yang baik secara tidak langsung membantu mempercepatkan jarak dan masa perjalanan antara dua bandar ini. Saya memulakan perjalanan dari Batu Pahat dalam keadaan cuaca yang mendung. Timbul juga kegusaran dalam hati jika ditimpa hujan dalam perjalanan nanti namun perasaan itu saya buang jauh-jauh dari hati. Namun sepanjang perjalanan hujan mula turun renyai-renyai dan yang paling menyeksakan diri ialah saya tidak pula membawa baju hujan. Mahu tidak mahu perjalanan tetap saya teruskan dan menjelang sampai ke pekan Parit Raja, hujan mula berhenti.

Singgah Ke Pasar Lambak Parit Raja

Saya sampai ke persimpangan lampu isyarat utama pekan Parit Raja. Dari simpang lampu isyarat berkenaan saya dapat melihat kesibukan pasar lambak Parit Raja yang agak besar. Tanpa banyak bicara saya terus membelok ke kiri dan singgah dahulu sebentar untuk merasai sendiri kemeriahan pasar lambak Parit Raja ini. Inilah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pasar lambak pekan Parit Raja ini dan suasananya memang meriah dan sibuk. Saya hanya berjalan-jalan sahaja di pasar lambak ini tanpa membeli apa-apa. Cuaca mula berubah dan hujan mula turun memaksa saya untuk meninggalkan pasar lambak ini dan meneruskan perjalanan.

Hujan turun renyai-renyai sepanjang perjalanan dari arah pekan Parit Raja ke pekan Air Hitam. Namun demikian saya tetap meneruskan perjalanan bermotosikal. Sampai sahaja di pekan Air Hitam, saya berhenti di sebuah restoran untuk menikmati sarapan pagi. Dapat juga mengeringkan baju sejuk ( sweater ) yang sudah lenjun dibasahi hujan. Dengan segelas teh tarik dan dua keping roti canai ia sudah cukup memadai untuk mengenyangkan saya. Hujan kembali turun dengan lebatnya dan saya tertahan hampir 45 minit di restoran ini. Apabila sahaja hujan mulai reda saya meneruskan perjalanan ke Kluang.

Sampai Ke Kluang

Alhamdulillah masuk sahaja ke daerah Kluang hujan mula berhenti dan perjalanan saya dapat diteruskan dengan lancar. Dari Kluang saya mengikuti arah ke Kota Tinggi dan akhirnya menemukan lokasi rumah bakal tunangan sepupu saya. Agak lega juga hati saya kerana berjaya melaksanakan perjalanan ini tanpa sebarang masalah dan tidak pula sesat. 

Saya berhenti berehat di tepi jalan raya dan melihat kereta yang sesekali lalu-lalang. Beberapa kereta membunyikan hon kepada saya. Agaknya mereka pelik melihat saya termanggu-manggu di pinggir jalan. Waktu pada ketika itu baru menunjukkan angka 11. Mahu bergerak pulang terasa rugi pula kerana bukan senang untuk saya bermotosikal ke Kluang ini. 

Saya pernah mencatatkan cerita berkenaan dengan Stesen Keretapi Kluang di blog ini tidak lama dahulu. Terfikir juga saya untuk ke stesen keretapi Kluang sekali lagi, sekurang-kurangnya dapat juga menikmati secawan kopi di stesen keretapi Kluang yang terkenal itu. Namun tiba-tiba muncul satu fikiran lain yang lebih ekstrem. Dari saya ke Kluang adalah lebih baik saya menjejaki stesen-stesen keretapi kecil yang terletak dalam landasan jajaran selatan Semenanjung. Ini secara tidak langsung dapat juga menambahkan koleksi bahan penceritaan saya di blog ini. 

Dengan segera saya menghidupkan enjin motosikal dan memulakan perjalanan mengikut arah jalan berdasarkan nama-nama stesen keretapi yang pernah saya lihat di internet. Yang menjadi keutamaan saya kini ialah stesen keretapi Mengkibol, stesen keretapi Renggam dan stesen keretapi Layang-Layang. Dari maklumat yang pernah saya baca, ketiga-tiga stesen ini masih mengekalkan bangunan lama asal stesen. Jadi secara tidak langsung, warisan sejarah KTMB masih boleh dilihat dengan jelas di ketiga-tiga stesen ini.

Stesen Keretapi Mengkibol

Stesen keretapi Mengkibol
( kredit : http://zkeretapi.blogspot.com/ )

Itulah bodohnya saya.... setiap perjalanan dilakukan secara segera tanpa dirancang dengan teliti. Kesudahannya saya tidak menjumpai langsung stesen keretapi Mengkibol ini. Saya sendiri tidak pasti sama ada stesen ini telah ditutup atau tidak. Akhirnya saya memutuskan untuk  meneruskan sahaja perjalanan sambil di dalam kepala memikirkan adakah stesen keretapi Mengkibol telah ditutup atau dirobohkan. Rugi benar saya tidak membuat rujukan di internet berkenaan dengan stesen keretapi tua ini.

Papan tanda lama Stesen Keretapi Mengkibol
( kredit : http://zkeretapi.blogspot.com/ )

Saya seterusnya bergerak untuk ke Renggam. Di sana masih terdapat sebuah stesen keretapi lama yang pada kiraan saya masih lagi digunakan. Uniknya sepanjang perjalanan hanya panorama ladang-ladang kelapa sawit yang menghiasi latar pemandangannya. Jika dilihat dari sejarahnya, memang benar kawasan Kluang suatu ketika dahulu adalah pusat kegiatan pertanian sejak dari zaman penjajahan lagi. Oleh itu adalah tidak menghairankan jajaran keretapi selatan melalui kawasan-kawasan ini bagi tujuan mengangkut hasil-hasil pertanian bagi keuntungan pihak penjajah. 

Di kiri jalan dapat dilihat landasan jajaran selatan semenanjung walaupun sesekali ia dilindungi oleh pepohon kelapa sawit dan rimbunan semak. Ketika melalui sayu selekoh saya terpandangkan sebuah pondok kecil yang kelihatan agak usang dan ditinggalkam. Saya berpatah semula ke kawasan pondok berkenaan dan cuba melihatnya dari jauh. Kedudukan pondok berkenaan adalah tidak jauh dari landasan keretapi. Fikiran saya menyatakan mungkin pondok berkenaaan adalah perhentian keretapi bagi yang digunakan oleh penduduk setempat pada suatu ketika dahulu.

Mungkinkah ia sebuah perhentian ?

Perhentian keretapi bukanlah sebuah stesen keretapi. Ia adalah satu tempat seumpama perhentian bas di mana keretapi akan berhenti untuk mengambil atau menurunkan penumpang disitu. Lazimnya, perhentian keretapi ini terdapat di kawasan-kawasan yang kurang penting seperti kampung atau ladang yang dilalui oleh keretapi. Namun pada masa ini, sudah tidak banyak lagi perhentian keretapi yang masih berfungsi. Kita hanya mungkin dapat melihat perhentian-perhantian keretapi kecil ini di landasan jajaran pantai Timur sahaja. Di jajaran Pantai Barat Semenanjung kebanyakan perhentian keretapi ini ditutup dan dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan projek landasan berkembar. Ada juga perhentian yang dinaiktaraf dan diberikan nafas baru terutamanya bagi kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi seperti Perhentian Seputeh dan Perhentian Nilai.

Perhentian Batang Ridan adalah salah satu contoh
perhentian keretapi kecil dalam jajaran landasan selatan 
Semenanjung yang kini sudah tidak digunakan lagi.
( kredit : http://zkeretapi.blogspot.com/ )

Begitu juga dengan jajaran selatan ini, kebanyakan perhentian telah ditutup dan keretapi tidak lagi mengambil penumpang di perhentian-perhentian kecil ini. Maka tertinggallah satu lagi kenangan lama perkhidmatan keretapi di negara kita ini. Berakhirnya era perhentian-perhentian keretapi kecil ini memberikan makna yang jelas bahawa sistem perhubungan di negara kita sudah dimodenkan dengan baik. Masyarakat setempat juga sudah boleh mengakses ke pekan-pekan berhampiran dengan menggunakan jalan raya. Namun jasa perhentian-perhentian keretapi kecil ini akan tetap dikenang dalam memberikan khidmat dan bakti kepada masyarakat sedari dahulu lagi.

Saya sempat mengambil beberapa gambar pondok usang ini. Mujur juga ada membawa telefon bimbit dapat juga menggantikan kamera yang tidak dibawa sekali dalam perjalanan kali ini. Sepanjang perjalanan mata saya melilau ke kiri jalan mencari jika ada terdapat perhentian-perhentian kecil keretapi. Namun tidak pula saya menjumpainya. Cuma di sepanjang jalan dapat dilihat beberapa lintasan rata yang dibina bagi memudahkan pengguna jalan raya menyeberang landasan dengan selamat. Saya juga dapat melihat beberapa lintasa rata yang mungkin dibina secara haram oleh penduduk setempat. Keadaan ini amatlah merbahaya kepada nyawa orang awam.

Ke Pekan Renggam

Saya sampai ke satu simpang tiga yang membawa ke arah pekan Renggam jika melalui arah kiri. Jika ke arah kanan pula kita boleh mengakses ke pekan  Simpang Renggam. Di hadapan simpang ini terdapat papan tanda huruf rumi yang menunjukkan saya telah sampai ke pekan Renggam, Tersenyum saya sendiri memikirkan dalam keadaan yang tidak disangka-sangka ini saya boleh sampai ke pekan ini tanpa dirancang.

Selamat datang ke pekan Renggam

Usai mengambil gambar dengan papan tanda yang menjadi mercu tanda pekan Renggam ini saya terus menunggang motosikal saya ke arah kiri jalan simpang tiga berkenaan. Ketika itu hujan baru sahaja berhenti dan jalan agak licin. Entah kenapa saya mula terasa sesuatu aliran tenaga yang tenang memasuki tubuh dan fikiran ketika ini. Nuansa di sepanjang perjalanan ini begitu indah dan kemas. Cuaca yang mendung selepas hujan seolah-olah memberikan saya suasana yang klasik. 

Saya singgah di sebuah stesen minyak Caltex yang terletak tidak jauh dari pekan Renggam bagi mengisi minyak motosikal yang kelihatannya sudah hampir kering. Saya bertanyakan kepada atendan pam minyak di stesen minyak berkenaan tentang stesen keretapi pekan Renggam. Jawapan yang diterima sungguh positif dan letak stesen keretapi berkenaan betul-betul dalam pekan Renggam. Pada fikiran saya ketika itu keadaaan pekan Renggam pastinya sibuk dan padat dengan aktiviti masyarakatnya. 

Saya melalui jalan yang tenang dan diteduhi oleh pepohon yang merimbun membentuk seolah-olah bumbung semulajadi kepada jalan raya ini. Keadaan jalan yang agak berbukit dan terus terang saya katakan bahawa pada ketika ini saya sudah mula merasa terpesona dengan nuansanya. Nun jauh di hadapan pekan Renggam menanti saya dengan senyumannya yang mesra !

Pepohon memayungi jalan ke pekan Renggam

Hati Terpaut Di Sini !

Ah .... bagaikan tidak percaya apabila melihat pekan Renggam di hadapan mata kepala saya ini ialah pekan lama yang begitu klasik sifatnya. Dengan rumah-rumah kedainya yang pasti dibina pada zaman penjajahan, Renggam adalah penyimpan keunikan sebenar pekan-pekan lama di negeri Johor ini. Jika selama ini saya selalu beranggapan bandar atau pekan di negeri Johor ini tidak lagi mempunyai nilai klasiknya ( terutama yang melibatkan penjajahan British ). Ini adalah kerana saya berpandangan sebagai sebuah negeri yang terakhir menerima pengaruh British, Johor banyak memodenkan kawasannya berdasarkan acuan mereka sendiri. Ini dapat dilihat melalui usaha pemerintah Johor dalam pembentukan bandar-bandar baru seperti Batu Pahat ( Penggaram ), Muar ( Maharani ) dan Johor Bharu.


Namun, di Renggam ini agak berlainan. Terasa gaya kolonial British banyak mempengaruhi struktur pekan kecil ini. Saya berhenti di sebuah jambatan kecil bagi merakam sedikit suasana pekan kecil ini. Terasa agak takut-takut juga merakamkan gambar di sini. Sebagai orang luar mungkin sesekali langkahan kita akan disalah ertikan oleh penduduk setempat. Usai sahaja mengambil gambar, saya terus ke stesen keretapi Renggam yang terletak dalam kawasan yang agak tinggi dari arah pekan ini.

Tenang Di Stesen Keretapi Renggam

Stesen keretapi Renggam dari arah stesen bas

Bagi penduduk tempatan, mungkin tiada apa yang boleh dibanggakan dengan stesen keretapi tua ini. Namun bagi diri saya inilah tinggalan berharga yang masih tinggal bagi mengenang kembali suatu ketika yang sangat bernilai dalam memori warga emasnya. Saya meletakkan motosikal di luar kawasan stesen. Nampaknya suasananya agak sepi dan lengang. Seorang lelaki India dilihat duduk santai di kerusi stesen. Dari kawasan ruang legar saya dapat melihat ketua stesen dan pembantunya membuat kerja-kerja rutin.

Stesen keretapi Renggam pada tahun 2007
( sumber dan kredit : http://zkeretapi.blogspot.com/ )

Stesen tua ini kelihatan kemas dan bersih. Sayangnya terdapat papan tanda di stesen ini yang melarang segala urusan fotografi dijalankan di sekitar kawasan stesen. Terasa hampa yang teramat sangat dalam diri apabila melihat papan tanda larangan berkenaan. Timbul juga niat di hati untuk meminta kebenaran dari kakitangan stesen untuk mengambil gambar namun sebagai rakyat yang menghormati undang-undang, saya simpan sedalamnya hasrat berkenaan. 

Nuansa stesen keretapi Renggam
( sumber Google )

Sebagai seorang pencinta khazanah keretapi negara, saya merasa terpanggil untuk merakam dan menceritakan setiap keunikan stesen keretapi di blog ini dan sekurang-kurangnya ia mungkin mampu menarik minat pelancong untuk ke stesen-stesen kecil seperti ini. Ia juga sedikit-sebanyak membantu kempen pelancongan melalui keretapi yang sering diwar-warkan selama ini. Larangan mengambil gambar ini sebenarnya merencatkan sedikit perancangan asal saya. Namun secara tersiratnya perkara ini secara tidak langsungnya menjadikan saya lebih patuh kepada setiap peraturan yang dikuat kuasakan.

Saya memberanikan diri bertanyakan pada kakitangan stesen berkenaan dengan urusan pembelian tiket keretapi. Ternyata pertanyaan saya dijawab dengan ramah oleh kakitngan berkenaan. Dari pernyataannya jelas masih ada keretapi yang singgah untuk mengambil penumpang di stesen berkenaan namun jumlahnya tidak seramai seperti suatu masa dahulu. Saya meminta kebenaran untuk duduk sebentar di kerusi ruang legar stesen dan ternyata permintaan saya dibenarkan. 

Terasa tenang duduk-duduk bersendirian melihat landasan sepi di hadapan stesen ini. Ia seolah-olah mengembalikan saya ke masa-masa kecil yang indah dulu. Ketika semua stesen-stesen keretapi lama masih berfungsi mengambil dan menurunkan penumpang. Tetapi kini segala momen-momen indah itu kini sudah tiada. Tinggallah beberapa kerat stesen keretapi tua yang masih tersisa ini yang teguh memberikan khidmat sehingga masa tamatnya tiba kelak. Saya melihat platform stesen ini, betapalah dahulu ramainya manusia yang turun naik keretapi di sini membawa segala nuansa hati dan perasaan. Betapalah seronoknya menghantar atau mengambil kaum keluarga dari keretapi yang tidak pernah ponteng dalam tugasannya. Ah .... perasaan itu benar-benar menusuk ke jiwa.

Dapatkah kita melihat suasana itu kini ? ... segala-galanya bagaikan meruntun jiwa saya. Jikalah boleh mahu sahaja saya kembali ke zaman-zaman itu menyelongkar segala ingatan yang hampir mati itu. Saya memandang jauh kehujung landasan.... jika benar nanti landasan keretapi laju dari Singapura ke Kuala Lumpur akan dibina masih adakah harapan untuk stesen tua ini terus hidup ? Adakah landasan berkenaan akan melalui pekan Renggam ini atau ianya akan ditinggalkan sama seperti sahabat-sahabat di jajaran pantai barat ? semuanya bagaikan menunggu jawapan yang tidak pasti.

Lama juga saya mengelamun di stesen ini. Lelaki India yang tadinya duduk bersama dengan saya juga sudah bergerak pulang. Akhirnya saya melangkah keluar juga dari stesen keretapi tua ini. Cuaca yang mendung bagaikan memahami perasaan saya ketika itu. Tidak mengapalah, esok lusa mungkin saya akan kembali semula ke sini membeli segala ketenangan yang ada padanya. Di stesen keretapi Renggam.... saya menjadi seorang lelaki yang kecewa !

Meneroka Pekan Renggam

Dari stesen keretapi Renggam, saya bergerak meneroka keasyikan pekan Renggam. Saya memutuskan untuk tidak ke stesen keretapi Layang-Layang tidak jauh dari pekan Renggam ini. Selain dari masa, saya juga bimbang dengan faktor cuaca yang mendung. Jika dilihat dari keadaan geografi pekan ini, saya dapat merasakan salah satu faktor kewujudan pekan ini adalah akibat dari perkembangan sektor pertanian dan perladangan. Ini dapat dibuktikan melalui kewujudan ladang-ladang kelapa sawit ( mungkin suatu ketika dahulu ladang getah ) di sekitar pinggir pekan ini.

Oleh itu adalah tidak menghairankan jika landasan keretapi jajaran selatan Semenanjung dibina melalui kawasan pekan ini bagi membolehkan segala hasil perladangan dapat dibawa dan dipunggah keluar dari sini dengan mudah.

Terdapat sedikit kekeliruan berkenaan dengan ejaan sebenar pekan ini. Ada yang mengejanya dengan ejaan RENGGAM dan ada yang mengejanya dengan ejaan RENGAM. Saya sendiri tidak pasti manakah satunya yang betul-betul digunakan dalam menjelaskan nama pekan tua ini. Saya memilih untuk menggunakan nama Renggam sesuai dengan binaan papan tanda abjad di simpang tiga jalan yang saya temui pada awal perjalanan ke pekan ini tadi.

Stesen keretapi yang saya singgah tadi tidak menggunakan nama Renggam sebaliknya menggunakan nama Rengam. Tidak jauh dari stesen keretapi ini terdapat sebuah lintasan rata berpagar yang merintangi landasan. Terdapat sebuah pondok pengawal yang mengawal kelancaran trafik ketika keretapi melalui landasan pekan ini.

Lintasan rata di pekan Renggam



Keadaan ini seolah-olah mengembalikan semula ingatan kepada lintasan rata keretapi di Tanjong Malim yang kini telah tiada lagi. Bagi warga Tanjong Malim dan bekas-bekas penuntut SITC, MPSI, IPSI dan UPSI ( sebelum tahun 2005 ) pasti masih mengingati saat-saat indah ketika keretapi melalui kawasan jalan utama yang menghubungkan pekan Tanjong Malim dengan kawasan maktab. Ketika pintu pagar landasan ditutup maka para pengguna jalan raya terpaksa berhenti bagi memberi laluan kepada keretapi untuk lalu. Ah ... terasa seolah-olah masih terdengar bunyi loceng penggera yang berbunyi bagi memberi arahan kepada pengguna untuk berhenti. 

Tetapi itu dahululah ... usai sahaja pembinaan projek landasan berkembar, segala kenangan lintasan rata Tanjong Malim tersebut terus mati. Ya ... mati dibawa oleh kemodenan yang menggila !

Apa yang menarik pada pandangan saya terhadap pekan Renggam ini ialah kewujudan begitu banyak bangunan atau rumah yang telah ditinggalkan. Binaan-binaan ini jika dilihat dengan lebih mendalam berkemungkinan adalah kuarters-kuarters kerajaan yang dibina semasa era kolonial lagi. Beberapa bangunan kayu lama yang ditinggalkan memberikan suasana klasik yang sungguh mendalam.

Antara bangunan lama yang 
bernuansa klasik di pekan Renggam

Tertinggal dalam kenangan yang menggila

Bangunan lama yang diperbuat dari kayu
 dan masih utuh digunakan

Jalan-jalan di pekan ini tidaklah begitu sibuk. Penduduknya menjalankan aktiviti harian tanpa ada sebarang halangan. Sebuah stesen bas kecil tidak berbumbung menjadi nadi pergerakan harian penduduk. Saya sempat duduk dan menikmati suasana di stesen bas ini. Seorang gadis manis memberikan senyuman kepada saya. Sempat juga saya membalas senyumannya tanpa sedar. Terasa diri menjadi muda kembali ! ..... perkhidmatan bas disini dikendalikan oleh syarikat bas Renggam Bus Co SDN BHD. Bas yang digunakan juga masih dalam jenisan yang lama. Saya amat menyukai bas yang semacam ini. Jujurnya saya adalah generasi yang membesar dengan menaiki bas-bas lama. Terasa mahu sahaja saya menaiki bas dari sini menuju ke mana-mana destinasi !.

Bas yang terdapat di stesen bas Renggam

Saya seterusnya berjalan kaki meneroka keunikan pekan Renggam. Dari kaca mata saya, pekan Renggam ini ada sedikit persamaan dengan pekan Kuala Kubu Bharu di Selangor. Kedudukannya juga agak berbukit dan suasananya lebih kearah pekan perkampungan. Majoriti pekedai disini berbangsa Cina.  Sebuah pasar basah juga wujud namun kedudukannya agak jauh dan tersorok.


Saya mencari-cari pejabat pos yang menjadi pusat sehenti bagi penduduk tempatan bagi melunasi segala bil-bil keperluan seharian. Ianya terletak tidak jauh dari stesen keretapi. Paling menggembirakan saya ialah pejabat pos ini terletak pada sebuah bangunan batu kecil yang unik. Pasti tiada kesibukan yang ketara di pejabat pos kecil ini. Ia sebuah pejabat pos yang masih kekal dengan gaya lama dan bernuansa klasik. Warna putihnya membuatkannya menjadi lebih berseri.

Bangunan pejabat pos pekan Renggam

Walaupun masih mengekalkan banyak bangunan lama, dapat juga saya melihat beberapa buah bangunan baru di pekan ini. Namun ia tidaklah mencemar nilai-nilai lama yang terdapat di pekan ini. Sempat juga saya singgah membeli air minuman di sebuah kedai runcit. Dari kata-kata yang terkeluar dari mulut pekedai berkenaan jelas tidak banyak perubahan yang berlaku di pekan tersebut dan beliau amat menyukai nuansa pekan ini.

Kemudahan asas adalah mencukupi di pekan ini dengan sebuah balai polis dan beberapa buah sekolah. Jika dilihat daripada kedudukannya, saya yakin penduduk setempat masih menganggap pekan ini penting dalam denyut nadi kehidupan harian mereka. Bandar yang terhampir adalah Kluang dan Simpang Renggam. Saya yakin hanya apabila timbul keperluan yang mendesak barulah penduduk pekan ini akan ke bandar berkenaan.

Antara bangunan baru yang terdapat di pekan ini

Rumah kedai lama


Selamat Tinggal Pekan Renggam

Cuaca semakin mendung dan gerimis kecil mula mencurah dari langit. Saya mengambil keputusan untuk bergerak meinggalkan pekan Renggam. Tambahan pula saya masih mempunyai beberapa hal lain yang perlu diselesaikan terutamanya dalam menjejaki makam berbatu nisan Aceh di Bukit Inas, Batu Pahat. Sebelum pulang sempat juga saya singgah melihat masjid jamek pekan Renggam yang terletak tidak jauh dari pekan. 


Usai sahaja ke masjid ini saya meneruskan perjalanan mengikut jalan ke Simpang Renggam. Hujan mula turun mencurah-curah pada ketika ini dan saya pula menderita kebasahan. 

Sejenak di pekan Renggam bagaikan membeli semula jejak-jejak kenangan lama yang pernah melingkari kehidupan saya. Berkunjung dan melihat kembali sebuah stesen keretapi yang sunyi seakan-akan memberitahu esok dan lusa bukanlah seperti apa yang saya jangkakan. Pekan Renggam dan nuansa antiknya membuatkan hati saya mudah terpaut.

Ia mungkin hanya sebuah pekan kecil yang tidak pernah bertanya berapa hayatnya lagi. Esok atau lusa mungkin jejaknya akan mati ditelan zaman yang berubah. Di sini aku bertemu dengan rasa yang membuatkan aku berfikir ... betapa indahnya zaman-zaman yang terlah berlalu itu. Betapa ia menggamit aku untuk terus menjadi seorang lelaki yang tertinggal dek zaman ... dan aku tidak pernah menyesal. Benar untuk aku menyatakan .... hatiku terpaut di pekan Renggam !