BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, June 19, 2013

Menunggu Hari Matinya Sebuah Pekan Bernama Siputeh



Salam Cerita Dari Pekan Siputeh

Sukar untuk diucapkan dengan kata-kata apabila kedua-dua kaki saya menjejakkan kaki ke pekan Siputeh ini. Dunia terasa diterbalikkan 360 darjah disini. Nuansa lama yang telah lama mati dari hiruk pikuk kemodenan bagaikan hidup semula disini walaupun dalam keadaan yang nazak. Benar ... ia mungkin antara beberapa pekan tua yang masih hidup dengan sejuta satu kenangan di negeri Perak Darul Ridzuan ini. Ketika beberapa teman lamanya ada yang mati diratah oleh kemodenan, pekan Siputeh terus dengan nilai lamanya yang utuh dan klasik. Ya ... di pekan Siputeh yang tenat ini saya menemui sebuah cerita ... cerita sebuah pekan yang sedang menunggu hari matinya !

Pekan Tua Di Pinggir Jalan

Perjalanan ke pekan Papan yang ceritanya telah saya ulas tidak lama dahulu rupa-rupanya telah membenihkan satu lagi kunjungan yang tidak dijangkakan oleh diri saya. Usai sahaja keluar dari pekan Papan, saya telah mengajak sepupu saya Harith untuk terus ke pekan Tronoh yang terletak tidak jauh dari pekan Papan. 

Peta lama jajaran landasan keretapi
cawangan Ipoh ke Tronoh yang kini telah tiada.

Cadangan awalnya, saya mahu mencari jejak warisan landasan keretapi lama cawangan Ipoh ke Tronoh yang kini telah tiada sambil melihat kembali pekan Tronoh yang pernah saya kunjungi beberapa tahun yang lepas. Sekurang-kurangnya pasti ada bahan cerita yang boleh saya kongsikan di pekan Tronoh ini. Sayangnya, sebaik sahaja kereta yang kami naiki memasuki simpang ke pekan Tronoh ini, saya mula tawar hati untuk turun mengambil gambar atau mencari warisan sejarah landasan keretapi atau pekannya. Tidak ketahuan kenapa hati saya bagaikan terasa berat. Kesudahannya kami keluar sahaja dari pekan Tronoh tanpa ada sebarang usaha. Harith sendiri hairan dengan sikap saya.

Saya memutuskan untuk terus pulang sahaja ke rumah Harith di Batu Gajah. Sepanjang perjalanan kami sibuk bercerita tentang pelbagai tajuk. Maklum sahajalah, sudah lama tidak bertemu. Namun begitu walaupun sibuk berbual, mata saya tetap meliar memandang kiri dan kanan jalan. Sehinggalah sampai di suatu kawasan mata saya terpandang deretan rumah kedai lama yang terletak agak jauh dari jalan utama arah Batu Gajah ke Ipoh. Bagaikan dikejutkan dari lamunan yang panjang, saya lantas mengajak Harith ke pekan yang unik itu. Harith tidak menolak dan dengan pantas beliau menyatakan saya akan melihat pekan Siputeh yang sangat tua !

Pekan Siputeh Yang Saya Ketahui

Jika tidak silapnya dalam ingatan, saya mula mendengar nama pekan Siputeh ini sejak saya dalam tingkatan satu, atau dalam tahun 1997. Asalnya melalui perpindahan seorang rakan persekolahan ke Ipoh. Apabila beliau pulang sekali sekala ke Bidor, sering juga beliau datang melawat saya di rumah. Dari perbualan bersama teman sekolah inilah saya mengetahui yang beliau tinggal di pekan Siputeh yang letaknya tidak jauh dari bandaraya Ipoh.

Lumrahlah, sebagai anak kampung yang hidupnya amat jarang berenggang tanah kelahiran, fikiran saya pada ketika itu hanya dapat menangkap dan membayangkan bahawa pekan Siputeh pasti sebuah pekan yang sibuk dan berkembang kerana ia terletak tidak jauh dari Ipoh. Dan fikiran-fikiran semacam itu bagaikan terlekat di otak sehinggalah saya menjejakkan kaki ke pekan ini dengan sebenar-benarnya. Barulah saya sedar, pekan Siputeh yang pernah saya bayangkan dahulu bukanlah seperti yang saya jangkakan. Pekan Siputeh yang berada di hadapan mata saya ini ialah sebuah pekan tua yang usang dan uzur. Ia membuatkan saya terkelu sejuta bahasa. Inilah lumrah perjalanan ... ia sentiasa memberikan ceritera dan pengalaman baru kepada saya dan saya menikmatinya dengan rasa syukur. Sekurang-kurangnya ia menambahkan lagi khazanah dan koleksi arkib penceritaan pekan-pekan lama di blog saya ini.

Marilah ... saya akan membawa anda melihat sebuah pekan lama yang masih hidup dengan kepayahan. Tanggalkan sebentar ego kemodenan anda dan nikmati gerak tari lama di pekan Siputeh ini. Ia pekan tua yang menanti kunjungan anak muda dengan sejuta rasa kenangan yang tak terluah !

Hati Tersentuh 

Tidak banyak maklumat yang dapat saya pungut dari Harith berkenaan dengan pekan Siputeh ini. Beliau sendiri agak asing dengan kewujudan pekan ini walaupun sering melihatnya dari pinggir jalan menuju ke Ipoh.  Berbanding dengan pekan Tronoh dan pekan Papan, pekan Siputeh memang agak asing bagi pencinta khazanah lama pekan-pekan tua. 

Saya beranggapan, populariti pekan Papan sedikit sebanyak telah menenggelamkan nama pekan Siputeh sebagai sebuah lagi pekan lama yang masih wujud di negeri Perak. Hal ini ada juga kebenarannya kerana dari perbincangan saya dengan komuniti peminat sejarah di internet ternyata kebanyakan dari mereka lebih mengenali pekan Papan dan Tronoh daripada pekan Siputeh malahan ada yang  tidak tahu langsung kewujudannya. Mahu tidak mahu saya perlu segera merakamkan saat-saat pekan ini sementara ia masih bernyawa. Sekurang-kurangnya apabila hayatnya dibunuh oleh komedenan, catatan mengenainya masih ada untuk kita kongsikan bersama.. insyaAllah.

Kami melalui sebatang jalan yang agak sunyi sebelum sampai ke pekan Siputeh ini. Saya bagaikan tidak percaya sebaik sahaja melunasi jalan tersebut kereta kami disambut oleh sebuah pekan yang sunyi dan seolah-olah ditinggalkan. Walaupun ketika itu ialah saat sambutan perayaan Tahun Baru Cina namun suasana kemeriahannya seolah-olah tidak terasa disini. Nuansanya begitu tenang dan sayu. Kami seolah-olah kembali semula ke suatu zaman yang telah menghilang !

Selamat datang ke pekan Siputeh !

Jalan di pekan ini lengang. Deretan rumah kedai di kiri dan kanan jalan kebanyakannya ditutup. Ada juga yang telah ditinggalkan uzur. Sesetengah dari rumah kedai di pekan ini masih berpenghuni tetapi keadaannya begitu lusuh. 

Harith meletakkan kereta di hadapan sebuah rumah kedai yang masih berpenghuni. Seorang lelaki tua berbangsa Tiong Hua tersenyum memandang kami. Saya mengucapkan selamat tahun baru Cina dalam keadaan yang tidak ikhlas kepadanya. Lelaki tua itu tersenyum dan menunjukkan isyarat bagus kepada kami. berdua. Pada penglihatan saya hanya di sekitar kawasan rumah kedainya sahaja yang terasa adanya sambutan Tahun Baru Cina manakala yang lainnya begitu suram.

Saya mula berjalan kaki meneroka pekan Siputeh ini manakala Harith lebih selesa duduk di dalam kereta mendengar radio. Saya merasakan bangunan rumah kedai yang terdapat di pekan ini dibina sejak dari sebelum perang dunia pertama lagi. Ianya sama dengan binaan rumah-rumah kedai lama yang banyak terdapat di pekan-pekan lama sekitar negeri Perak ini. Saya cuba merakamkan dengan sebaik mungkin gambar-gambar suasana pekan ini. Aura klasik terasa begitu kuat disini. Beberapa penunggang motosikal tersenyum memandang saya yang sibuk mengambil gambar di pekan tua ini.

Sunyi yang mencangkam

Rumah kedai sudah direnovasi

Beberapa rumah kedai kelihatannya seperti pernah direnovasi namun ia juga seolah-olah sunyi dan ditinggalkan.Kaki lima rumah-rumah kedai ini kelihatnnya terjaga. Ia menunjukkan bahawa pekan ini masih berfungsi sebagai tempat penduduk setempat mencari barangan keperluan. Namun demikian terdapat juga kaki lima rumah kedai yang terbiar. Namun ia tidaklah seteruk rumah-rumah kedai yang terdapat di pekan Papan.

Tidak pasti pula sama ada kedai-kedai di pekan ini
masih berfungsi atau tidak.

Kaki lima rumah kedai yang sempat saya rakamkan

Seperti sebelum-sebelum ini, saya sememangnya berminat dengan kaki lima rumah kedai di pekan-pekan lama. Perasaan saya bagaikan mudah terbuai apabila duduk atau melalui lorong kaki lima rumah-rumah kedai tua ini. Ia seolah-olah mengembalikan ingatan saya pada suatu ketika yang telah lama berlalu. Saya pasti ramai yang masih mengingati ketika era kita sebagai pengguna menjadi raja. Pergi sahaja ke kedai-kedai runcit tradisional milik orang-orang Cina dan minta sahaja apa kemahuan kita. Pasti taukeh-taukeh kedai runcit berkenaan akan mengambil, menimbang dan membungkuskan barangan tersebut untuk kita. Saya masih ingat lagi bungkusan tepung yang diperbuat dari surat khabar dan diikat kemas dengan tali rafia yang unik. Saya pasti kita tidak akan berjumpa dengan jenisan bungkusan seperti itu lagi pada hari ini.

Saya melalui sebuah rumah kedai yang terbiar. Semak samun dan tumbuhan hijau meliar menutupinya. Fikiran saya sibuk memikirkan kemanakah pemilik dan waris kepada rumah kedai berkenaan. Terasa rugi melihat bangunan kedai klasik seperti ini dibiarkan tanpa terbela. Mahu sahaja saya memililki rumah kedai seperti ini namun saya sedar ianya pasti takkan berlaku.


Ia terbiar tanpa pembelaan

Pohon-pohon hijau yang meliar mula meliputinya

Tidak ketahuan apa nasibnya kelak.

Saya singgah sebentar di sebuah bangunan rumah kedai yang agak terpisah dari rumah kedai utama pekan ini. Terdapat dua buah rumah kedai dua tingkat di bangunan ini. Sayangnya hanya sebuah sahaja rumah kedai yang masih berfungsi sebagai kediaman. Terdapat perbezaan yang nyata antara kedua-dua rumah kedai ini. Sebuah masih tetap utuh dan kemas manakala yang sebuah lagi sudah usang dimamah masa malahan boleh dikatakan hanya menunggu masa sahaja untuk jatuh menyembah bumi. Teringat saya dengan kata-kata orang lama yang menyatakan bahawa rumah yang tidak bertuan akan mudah untuk menjadi usang. Dan saya mengakui kata-kata itu dengan benarnya !

Perhatikan perbezaan di antara dua rumah kedai ini

Menunggu saat runtuh menyembah bumi

Terdapat sebuah restoran India Muslim ( jika tidak salah saya ) yang masih beroperasi di pekan ini. Ketika kunjungan saya ianya masih dibuka dan masih terdapat pelanggan di dalamnya. Sekurang-kurangnya ia masih memberi warna kepada kewujudan pekan ini. Sayangnya tidak pula terdetik untuk saya mengambil gambar. Saya hanya melintas di hadapan restoran ini dan seperti biasanya ada mata-mata yang memandang dengan senyuman sinis.

Seperti beberapa pekan lain yang wujud di daerah Kinta, Kampar dan Batang Padanag, saya meyakini kewujudan pekan Siputeh juga saling berhubung kait dengan perkembangan aktiviti perlombongan bijih timah yang sememangnya menjadi hasil utama negeri Perak suatu ketika dahulu. Sayangnya selepas sahaja perusahaan bijih timah mula merosot maka beberapa pekan yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan manusia mula hilang seri dan peranannya. Pekan Siputeh juga tidak terkecuali. Kedudukannya juga agak hampir dengan bandar-bandar besar seperti Ipoh dan Batu Gajah, maka secara tidak langsung peranannya sebagai tempat sehenti penduduk setempat semakin terhakis.

Tiada kemudahan pejabat kerajaan disini. Kemudahan pejabat pos juga tidak kelihatan. Besar kemungkinan penduduk setempat lebih selesa berurusan di bandar Batu Gajah yang terletak tidak jauh dari pekan ini. Kemudahan stesen minyak juga tiada. Inilah nasib sebuah pekan tua yang semakin dilupakan oleh arus kemodenan. Generasi muda mungkin menganggapnya sebagai sebuah pekan yang tidak mempunyai nilai dan peluang untuk legasi kehidupan. Bijih timah yang suatu ketika dahulu merupakan tarikan yang bernilai kini hanyalah satu tinggalan sejarah yang telah berlalu. Manusia-manusia yang pernah menikmati saat gemilang di pekan Siputeh juga semakin menyusut jumlahnya. Hiruk pikuk sebuah pekan yang berjasa itu semakin menghilang dan sunyi dan saya pasti esok atau lusa ia terus hilang dalam lipatan sejarah.

Selemat tinggal pekan Siputeh

Saya memandang matahari petang yang redup. Terasa begitu sepi di pekan ini. Angin yang bertiup sesekali membawa sampah-sampah kering di jalanannya yang kosong. Di hujung jalan Harith mula menghidupkan enjin kereta untuk mengambil saya setelah melihat saya mula bergerak ke arahnya. Saya sedari saat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pekan Siputeh semakin hampir. 

Kereta kelabu yang membawa saya dan Harith mula bergerak meninggalkan pekan tua ini. Saya memandang sayu ke arah pekan Siputeh yang kini semakin menjauh dari pandangan mata. Dunia kemodenan tidak memungkinkan ia akan terus wujud dalam keadaan seperti ini lagi. Esok atau lusa pasti urat-urat kemodenan akan datang menghambat masa silamnya yang gemilang. Mungkin pekan Siputeh akan berubah wajah atau mungkin juga ia akan ditinggalkan sama seperti pekan Kampung Kepayang. 

Pekan Siputeh kini semakin tua, uzur dan dimamah masa. Teman-teman lamanya sudah banyak yang berubah wajah atau dibunuh oleh masa dan zaman namun pekan Siputeh terus hidup tanpa banyak berbicara tentang hari silamnya yang gemilang. Ia seperti seorang lelaki tua yang menyendiri di hari akhirnya. Benar ... ia sedang menyendiri sementara menanti masa membunuhnya dengan kejam ! 

Dan saya melihatnya dengan simpati !

Selemat berjumpa lagi pekan Siputeh







Wednesday, June 12, 2013

Ziarah Makam Lama 8 : Makam Dua Sultan Perak Berlainan Warisan

Tidak jauh dari  makam Syed Hussain Yamani ), terdapat sebuah lagi kepuk makam lama milik dua orang sultan pemerintah Perak. Kedudukan makam ini juga berhampiran dengan rumah penduduk kampung. Setelah melihat bangunan kepuk makam, saya tidak terus singgah sebaliknya terus menunggang motosikal saya ke depan. Sungai Perak yang mengalir perlahan di sebelah kiri jalan berserta rumah-rumah kayu tradisi yang masih utuh di kampung Pulau Tiga ini benar-benar membuatkan saya merasa teruja. Terasa tenang disini. Udara petang membuatkan perjalanan menjadi mudah dan lancar.

Melalui jalan kampung di pesisir sungai Perak
benar-benar mengujakan !

Hidayat di belakang diam dan bungkam. Mungkin pelik dengan sikap saya. Di tepi jalan kelihatan sebuah rumah kayu lama yang begitu unik. Saya berkeyakinan rumah tua ini sudah melebihi 100 tahun usianya. Dilihat dari keadaannya saya yakin ia sudah tidak lagi diduduki. Binaannya masih kukuh dan utuh melawan cuaca. Jika dilihat dari bentuknya, rumah tua ini kelihatannya seperti rumah Kutai yang menjadi rumah tradisi Perak.

Rumah kayu lama yang menarik perhatian

Hasil maklumat dari blog Kampong Pulau Tiga, rumah ini adalah milik seorang pembesar negeri Perak yang dikenal sebagai Tok Paduka Raja. Sesuatu yang pasti terdapat beberapa ciri yang berbeza antara rumah tradisi ini dengan rumah kutai Perak. Antaranya ialah tiadanya motif hiasan kepala cicak di bucu atapnya. Dikatakan asal usul rumah Kutai di Perak mempunyai kaitan yang amat erat dengan kemasukan budaya Acheh dan Bugis yang sekian lama berakar dalam struktur masyarakat tradisional Perak. Hal ini juga dapat dilihat melalui beberapa kesamaan antara rumah Kutai dan rumah adat Acheh dan Bugis.

Namun untuk rumah ini saya lebih kuat menyatakan ia juga agak terpengaruh dengan senibina rumah tradisi yang banyak terdapat di kepulauan Riau termasuk Kampar. Riau juga dihuni oleh orang-orang Bugis dan tidak mustahil apabila mereka merantau ke Perak, corak binaan rumah tradisi  Riau ini telah dibawa bersama dan disesuaikan dengan gaya setempat dan gaya Acheh / Bugis. Itu hanyalah telahan saya sahaja berdasarkan pandangan awal. Mungkin ia jauh menyimpang dan hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui.

Setelah mengambil gambar rumah tua ini barulah saya bergerak menuju ke kawasan kepuk makam yang menempatkan makam dua orang sultan pemerintah negeri Perak. Matahari petang yang menyinar bagaikan tidak terasa disini kerana makam ini terletak di bawah teduhan pohon-pohon yang merendang. Terasa agak dingin apabila semakin menghampiri kawasan kepuk makan. Kepuk makam terletak berhampiran dengan rumah penduduk kampung dan tidak jauh juga dari aliran sungai Perak.

Bangunan kepuk makam dua orang sultan berlainan warisan

Kepuk makam ini menempatkan makam sultan Perak ke-8 iaitu Almarhum Sultan Mahmud Shah Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1627 hingga 1630 dan makam sultan Perak ke-14 iaitu Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Yang Dipertuan Muda Raja Mansor yang memerintah dari tahun 1744 sehingga 1750. Selang masa pemerintahan antara kedua-dua orang sultan Perak ini ialah 114 tahun.

Walaupun kedua-kedua sultan ini berjaya menaiki takhta kerajaan negeri Perak namun terdapat perbezaan benih warisan yang jelas dalam diri baginda berdua. Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Mansur Shah adalah dari benih warisan kesultanan Melayu Melaka yang tulen dari belah pihak lelaki menerusi Sultan Perak yang pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah I. Manakala Sultan Muhammad Shah Ibni Raja Mansor pula adalah merupakan benih warisan dari kesultanan Siak lama  menerusi sultan Perak ke-10 iaitu Sultan Muzaffar Shah II. Namun demikian, Sultan Muhammad Shah ini masih dianggap sebagai waris Melaka dari belah pihak perempuan.

Kepuk Makam Yang Redup

Tiada makam lain yang terdapat di dalam kepuk ini melainkan makam kedua-dua orang sultan ini sahaja. Batu nisan kedua-dua buah makam ini sama sahaja dengan batu nisan makam-makam sultan Perak yang pernah saya ziarahi sebelum ini. Saya merasa bangga kerana penduduk kampung Pulau Tiga ini menjaga dengan baik makam kedua-dua orang sultan ini. Papan tanda penerangan berkaitan dengan almarhum berdua kelihatannya masih kukuh dan jelas untuk dibaca walaupun dimamah masa.

Hidayat di hadapan kawasan makam

Setelah berada di dalam kepuk makam, saya mengarahkan Hidayat untuk membersihkan sedikit kawasan makam dari daun-daun kering. Suasana makam yang redup benar-benar mendamaikan. Dari atas kepuk makam, saya dapat melihat arus sungai Perak yang tenang itu. Saya memegang batu nisan di kedua-dua makam ini dengan berhati-hati. Balutan kain kuning di makam ini agak berbeza dari makam-makam yang pernah saya ziarahi. Biasanya kain kuning pada batu nisan makam sultan-sultan Perak hanya diikat pada hujung kepala batu nisan dengan menggunakan tali atau kain dari tiga warna asas bendera negeri Perak. Namun batu nisan di kedua-dua makam ini dibalut kemas dengan kain kuning pada keseluruhannya. Pasti masih ada waris keturunan baginda berdua yang masih menjaga makam ini.

Balutan kain kuning yang unik pada kedua-dua pasang 
batu nisan makam

Saya sebenarnya sudah mengetahui bahawa terdapat begitu banyak cabang warisan di dalam sejarah kesultanan Perak. Penaklukan kuasa-kuasa luar seperti Acheh ke atas Perak sebenarnya memberi kesan yang besar di dalam pelantikan sultan-sultan di negeri Perak. Sebab itulah apabila sahaja saya sampai ke kepuk makam ini saya dapat merasakan bagaikan ada suatu perkaitan yang sangat jelas antara baginda berdua walaupun selang masa pemerintahannya mengambil masa satu abad lebih. Namun demikian, saya tidak dapat merungkaikan persamaan itu di makam ini. Puas saya cuba mencari persamaan itu sewaktu ziarah ini namun ia tidak dapat diselesaikan. Hanya selepas melakukan kunjungan ziarah kali kedua barulah saya mula dapat mencari persamaannya iaitu tidak lain dan tidak bukan .... ACHEH dan MUZAFFAR!.

Pengaruh Acheh dan Keturunan Dua Muzaffar

Umum mengetahui bahawa kuasa kesultanan Acheh keatas kesultanan Perak sangatlah kuat sedari pemerintahan sultan kedua Perak iaitu Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Muzaffar Shah I lagi. Namun demikian, uniknya walaupun sudah menguasai kesultanan Perak, Acheh sebenarnya sangat menjaga benih warisan Melaka yang menjadi sultan-sultan pemerintah Perak. Hal ini jelas kelihatan menerusi perlantikan sultan-sultan pemerintah Perak bermula dari sultan ketiga sehinggalah sultan ke-10 pasti berkait rapat dengan kuasa Acheh.

Sultan Mahmud Shah  ialah cicit kepada sultan Perak pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah I. Nama asal baginda ialah Raja Yusuf atau Raja Bongsu. Baginda telah dilarikan ke Acheh sewaktu Acheh mengalahkan Perak semasa pemerintahan Sultan Mukaddam Shah ( sultan Perak ke-6 ). Jika dilihat kepada hieraki warisan Melaka di dalam kesultanan Perak pada ketika itu jelas hanya baginda sahaja yang masih ada bagi menyambung legasi Melaka ( laman Royal Ark * menyatakan baginda adalah warisan Melaka dari sebelah pihak perempuan ). Namun nama yang tertera pada papan tanda makam ialah menunjukkan baginda adalah anakanda kepada sultan Perak kedua ( benih Melaka dari pihak lelaki ) ataupun baginda ialah cucunda kepada Sultan Muzaffar Shah I. Hal ini amat-amat mengelirukan dan saya lebih selesa memilih baginda adalah dari benih keturunan Melaka dari pihak lelaki.

Justeru itu, selepas kemangkatan sultan Perak ke-7 iaitu Sultan Mansur Shah II ( ada juga versi lain yang menyatakan baginda diturunkan dari takhta ) di Acheh, pihak Acheh telah menghantar baginda ( Raja Yusuf / Raja Bongsu ) bersama dengan beberapa orang pembesar Acheh bagi menjadi sultan Perak ke-8 dengan gelar Sultan Mahmud Shah. Saya juga agak tertarik dengan gelaran yang digunakan oleh baginda. Agak hairan juga kenapa baginda tidak sahaja menggunakan nama baginda yang sebenar iaitu Yusuf sebagai gelar sultan ? ... setelah saya fikirkan secara mendalam barulah saya sedari, baginda ialah merupakan generasi pewaris kepada Sultan Mahmud Shah iaitu sultan Melaka yang terakhir. Tidak mustahil baginda menggunakan gelar nama Mahmud itu bagi menunjukkan bahawa  baginda adalah benih keturunan warisan Melaka yang sah. Wallahualambisawab.

Baginda hanya memerintah selama tiga tahun sahaja iaitu dari tahun 1627 sehingga 1670. Baginda mangkat di suatu tempat yang dikenali sebagai Geronggong ( juga menjadi tempat baginda bersemayam ). Baginda dimakamkan di suatu tempat bernama Kampung Tok Melor sebelum makamnya dipindahkan ke kawasan pemakaman Sultan Muhammad Shah di Kampung Pulau Tiga ini. Baginda digelar Marhum Pulau Tiga.

Sungai Perak dari arah makam

Selepas kemangkatan baginda, puteranya yang bernama Raja Kobat telah dilantik menjadi sultan Perak ke-9 dengan gelar Sultan Sallehuddin  Shah. Saya tidak pula menjumpai data yang menyatakan baginda ditabalkan oleh Acheh ataupun oleh pembesar-pembesar Perak sendiri. Namun sesuatu yang pasti, Sultan Sallehuddin Shah inilah yang dikatakan sultan Perak terakhir yang memiliki titisan darah warisan dari kesultanan Melayu Melaka dari belah pihak lelaki. Tidak ada catatan sejarah yang menceritakan warisan keturunan Sultan Sallehuddin Shah ini. Baginda mangkat di Acheh ( ada juga yang menyatakan mangkat di Kampar ) dan sultan Perak selepas baginda adalah dari benih Melaka sebelah pihak perempuan.

Selepas kemangkatan Sultan Sallehuddin Shah di Acheh ini, negeri Perak tidak bersultan. Maka pembesar-pembesar Perak telah ke Acheh bagi memohon seorang anak raja dijadikan sultan di Perak. Seperti di dalam kes Sultan Muzaffar Shah I ( sultan Perak pertama ) dan Sultan Ahmad Tajuddin Shah ( sultan Perak ketiga ), saya pasti pembesar-pembesar Perak mahukan seorang raja berketurunan Melaka dirajakan di Perak. Sayangnya pada ketika itu satu-satunya raja berketurunan Melaka yang masih berkuasa ialah sultan Acheh sendiri iaitu Sultan Iskandar Thani ( anak sultan Pahang dinasti Melaka ). Baginda sendiri tidak berputera.

Penyelesaian kepada masalah rumit ini ialah baginda menghantar sepupu baginda sendiri yang bernama Raja Sulong untuk menjadi sultan Perak ke-10 dengan gelar Sultan Muzaffar Shah II. Sultan Muzaffar Shah II adalah seorang putera raja dari kesultanan Siak lama. Namun demikian baginda mempunyai begitu banyak susur galur keturunan kesultanan Melayu Melaka dari belah pihak perempuan. Oleh yang demikian saya yakin pembesar-pembesar Perak dapat menerima baginda tanpa kompromi. Cerita berkaitan dengan Sultan Muzaffar Shah II ini insyaAllah akan saya ulas dalam siri yang akan datang.

Dari keturunan Sultan Muzaffar Shah II inilah muncullah pula Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Yang Dipertuan Muda Raja Mansor ( sultan Perak ke-14 ) yang dimakamkan sekepuk dengan Sultan Mahmud Shah ini. Makam kedua-dua sultan terletak sebelah menyebelah. Sultan Muhammad Shah ini ialah ayahanda kepada Sultan Mahmud Shah II ( Sultan Perak ke-16 ) yang makamnya telah saya ulas dalam siri ziarah yang lepas. Saya membandingkan kronologi sejarah yang berlaku antara period masa pemerintahan Sultan Muhammad Shah ini dengan anakanda baginda iaitu Sultan Mahmud Shah II, terasa bagaikan ada satu jalan cerita yang menarik dan sukar dimengertikan.

Sultan Muhammad Shah ini pernah dikatakan berselisih faham dan berperang dengan kekanda baginda iaitu Sultan Muzaffar Shah III ( Sultan Perak ke-13 ) yang memerintah dari tahun 1728 hingga 1752. Sewaktu perselisihan ini berlaku, negeri Perak telah terbahagi kepada dua bahagian iaitu satu dibawah penguasaan Sultan Muhammad Shah dan sebahagian lagi dikuasai oleh Sultan Muzaffar Shah III. Perselisihan  inilah kelak seterusnya telah menimbulkan sistem penggiliran takhta yang diamalkan oleh kesultanan Perak sehingga kini.

Apa yang menarik perhatian saya ialah pada ketika inilah bermulanya campur tangan orang-orang Bugis di negeri Perak. Sultan Muhammad Shah telah dibantu oleh Daeng Chelak ( Yan Tuan Riau ) dan telah bersemayam di Pulau Tiga. Manakala Sultan Muzaffar Shah III terpaksa berundur dan bersemayam di Sayong. Namun demikian, tidak lama selepas itu baginda berdua berbaik semula dan Sultan Muzaffar Shah III kembali menerajui takhta sebagai sultan Perak dan adindanya iaitu Sultan Muhammad Shah dilantik menjadi Raja Muda. Sultan Muhammad Shah mangkat terlebih dahulu dari kekandanya. Uniknya nama baginda tetap dianggap sebagai sultan Perak yang sah walaupun period pemerintahannya bertindih dengan period pemerintahan kekandanya Sultan Muzaffar Shah III.


Saya melihat satu perkara yang sangat unik disini melalui keterlibatan orang-orang Bugis di Perak dan pengasasan kesultanan Melayu Selangor. Sejarah membuktikan bahawa Sultan Mahmud Shah II ( sultan Perak ke-16 ) yang merupakan anakanda kepada Sultan Muhammad Shah inilah yang telah menabalkan Raja Lumu Ibni Daeng Chelak sebagai sultan Selangor yang pertama. Manakala Daeng Chelak pula bertanggungjawab membantu menaikkan Sultan Muhammad Shah sebagai sultan Perak ketika Sultan Muzaffar Shah III masih bertakhta. Semuanya bagai ada perkaitan yang tersirat dan sukar untuk diterjemahkan dengan bahasa yang terbuka. Hal ini kelak seterusnya membawa kepada beberapa krisis dan hilangnya beberapa cabang warisan dalam pewarisan takhta negeri Perak pada dekad-dekad seterusnya dan hal ini tidak akan saya bincangkan disini.

Sultan Muhammad Shah hanya berkerajaan selama 8 tahun sahaja iaitu dari tahun 1742 hingga 1750. Namun demikian empat orang putera baginda berjaya menempatkan diri dalam senarai sultan pemerintah Perak bermula dari Sultan Iskandar Zurkarnain ( Sultan ke-15 ), Sultan Mahmud Shah II ( Sultan ke-16 ), Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda ( Sultan ke-17 ) dan Sultan Ahmaddin Shah ( Sultan ke-18 ). Sultan-sultan pemerintah Perak sehingga ke hari ini jika dilihat dari segi nasab keturunannya bolehlah dikatakan berketurunan dari Sultan Muhammad Shah ini menerusi warisan Sultan Ahmaddin Shah tidak kiralah dari sebelah pihak lelaki ataupun perempuan. Wallahualambissawab.

Saya memegang batu nisan kaku kedua-dua Almarhum sultan ini dengan perasaan yang berbelah bahagi. Entah kenapa perasaan saya begitu kelam dan gelap apabila cuba merungkai kisah kedua-dua almarhum sultan ini. Inilah uniknya negeri Perak Darul Ridzuan yang bersejarah ini. Warisan Melaka yang kuat menyelubungi kesultanannya menjadikan ia sebagai sebuah negeri tua yang mengagumkan. Melaka, Acheh, Siak, dan Bugis silih berganti mempengaruhi perjalanan sejarahnya yang panjang.

Saya duduk sebentar di kepuk makam dan memerhatikan Hidayat yang sudah bergerak ke pinggir sungai Perak. Jika tadi di makam Syed Hussain Yamani, saya bagaikan berteka teki dengan riwayat hidupnya namun kini di makam dua orang sultan berlainan warisan ini pula fikiran saya bagaikan dipalu-palu dengan fakta, cerita dan dogengan yang terlalu penuh. Rasanya mahu sahaja saya bertanya kepada sungai Perak yang sudah terlalu tua itu segala cerita yang selama ini dipendam di dasarnya yang keruh itu. Biar segala cerita-cerita yang lama itu disuratkan kembali bagi mencari benar atau tidaknya.

Mentari petang yang semakin meredup masih mampu membuatkan suasana membahang dan peluh sudah mula membasahi kepala saya. Saya tahu masa untuk bergerak sudah hampir tiba. Saya menjerit memanggil Hidayat yang masih leka di pinggir sungai. Dia berlari menuju ke tempat meletakkan motosikal buruk kami. Sewaktu bergerak mahu keluar dari kawasan banggunan kepuk makam saya keluar secara berundur. Terasa lucu pula melakukan sedemikian. Hidayat ketawa terbahak-bahak melihat kelakuan saya. Tidak ketahuan kenapa saya menjadi sedemikian rupa... saya sendiri tersenyum sambil menepuk-nepuk dahi !

Kami keluar ke jalan besar dan mula meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan fikiran saya bungkam tetapi berlainan pula dengan Hidayat. Mulutnya tidak berhenti-henti menyanyi lagu yang saya sendiri tidak ketahuan benar atau tidak liriknya. Saya mengambil keputusan untuk ke makam dua orang sultan ini  pada waktu yang lain. Ia keputusan yang baik sebelum mendapat ilham menulis !

Dua makam sultan pemerintah Perak yang dimakamkan sekepuk telah saya tinggalkan. Apa yang pasti zuriat warisan dua Muzaffar yang berbeza ini benar-benar membuatkan saya mengetahui bahawa warisan Seguntang sememangnya kukuh berakar di Perak Darul Ridzuan !

Bersambung