BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, March 27, 2010

Sampul Surat Hari Pertama - Hobi Yang Mengujakan

 Sampul Surat Hari Pertama 
keluaran 10 Mac 2010 bertemakan Paku Pakis

Bagi peminat setem dan filateli hobi mengumpul setem, lembaran mini, sampul surat hari pertama dan juga folder setem adalah sesuatu yang begitu mengujakan. Hobi ini begitu unik dan memiliki pengikutnya yang tersendiri. Suatu ketika dahulu sudah pasti ramai diantara kita yang begitu berminat mengumpul setem dan meletakkannya di dalam album setem. Kita berlumba-lumba bersama teman untuk mencari koleksi setem lama, baru, dalam negara dan dari luar negara. 



Saya juga tidak terkecuali. Ibu saya sememangnya seorang pengumpul setem namun apabila sudah berkahwin dengan ayah, hobinya itu terus ditinggalkan. Saya amat bernasib baik kerana album setem koleksi ibu masih dijaganya dengan baik. Ini secara tidak langsung mencambahkan minat saya untuk mengumpul setem. Maka pada zaman sekolah rendah saya penuhlah album setem saya dengan koleksi-koleksi setem yang saya kumpul, beli dan tukar bersama teman - teman. Sayangnya ketika menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah hobi itu terus pudar dan hanyut bersama dengan gerak hati remaja saya yang liar.

Namun demikian saya mula tertarik semula kepada setem apabila saya menjalankan kursus praktikum latihan mengajar saya di SMK Sungai Besar Selangor. Ianya adalah secara tidak sengaja apabila saya mendapat teman serumah yang berminat mengumpul poskad dan setem dari teman - temannya dari luar negara.  Pada mulanya saya tidak mengendahkan sangat hobinya itu dan pernah mengatakan kepadanya hobi mengumpul setem adalah hobi budak sekolah rendah. Sehinggalah pada suatu hari saya ditunjukkan nya dengan sejumlah poskad dan setem dari luar negara yang begitu cantik maka perasaan hati mula memujuk untuk mengumpul setem semula.  Saya kemudiannya bertemu dengan seorang guru yang mengajar di sekolah yang sama ( sudah lupa nama guru tersebut ) yang memperkenalkan saya dengan hobi mengumpul sapul surat hari pertama dan setem. Inilah faktor penyumbang terbesar kepada permulaan hobi saya mengumpul setem dan sampul surat hari pertama ini.

Sebahagian dari koleksi Sampul Surat Hari Pertama saya

Namun demikian ketika di Semenanjung saya amat sukar untuk mendapatkan Sampul Surat Hari Pertama ini kerana jumlah peminatnya adalah terlalu ramai dan cetakannya adalah terhad. Ini membuatkan semangat saya mengumpulnya jatuh dengan mendadak. Setelah jatuh cinta dengan hobi ini barulah saya sedar bahawa hobi ini punya peminat yang ramai malahan mereka - mereka di kalangan pentadbir dan yang berjawatan tinggi dalam kerajaan. Saya amat berminat dengan koleksi setem yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia. Lazimnya setem yang dikeluarkan mempunyai tema - tema tertentu malahan ia dikeluarkan sempena memeperingati sesuatu peristiwa atau ulang tahun pemerintahan Sultan di sesebuah negeri.

Sampul Surat Hari Pertama sempena pertabalan 
DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

Katika sampai di Kapit hujung tahun 2008 secara tiba-tiba hobi ini berkembang terus dalam diri saya. Masakan tidak, di Kapit ini jumlah peminat hobi ini adalah sedikit malahan kita akan mudah membelinya tanpa berebut-rebut. Inilah yang dikatakan tuah. Melalui hobi ini juga hubungan saya dengan kakitangan pejabat Pos Malaysia cawangan Kapit menjadi erat. Malahan jika ada keluaran terbaru mereka akan menelefon saya memberitahu supaya datang ke Pejabat Pos Kapit. Sehingga kini saya sudah memiliki sejumlah hampir 30 Sampul Surat Hari Pertama, 3 buah Folder setem dan 5 helai lembaran mini yang sangat istimewa.

Ada koleksi dalam simpanan saya ini amat saya sayangi terutamanya Sampul Surat Kenangan bertemakan Ulang tahun Hubungan Malaysia - China yang ke-35 ( jumlahnya cuma ada 100000 sahaja di dunia ) dan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Azlan Shah yang ke-25 ( Sultan pemerintah negeri Perak dan jajahan takluknya : DAULAT TUANKU ). Ianya sebagai kenangan - kenangan saya terhadap sesuatu peristiwa. 

Selagi berada di Kapit ini insyaAllah hobi ini akan tetap saya teruskan. Ianya satu hobi yang istimewa dan tidak membebankan dari segi masa dan kewangan. Jika tiada aral melintang dan diizinkan Allah mungkin saya akan berusaha membuat pameran koleksi Sampul Surat Hari Pertama saya khusus untuk pelajar - pelajar sekolah tempat saya berbakti ini. Mungkin ia secara tidak langsung berupaya menanamkan minat mereka terhadap hobi yang unik ini dari mereka terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat. 

IA MEMBUATKAN SAYA TERUJA !!!!

Paku -Pakis keluaran 10 Mac 2010

Matawang Malaysia sempena
Ulangtahun ke -54 Bank Negara Malaysia
keluaran 18 Januari 2010

Gagasan 1 Malaysia
keluaran  31 Ogos 2009


Tuesday, March 16, 2010

SEPASANG KASUT JOHN BERT


Sudah lama saya memendam hasrat ingin memiliki kasut John Bert ini... rasanya sejak zaman persekolahan lagi. Dahulunya hati ini meronta-ronta ingin memilikinya tatkala abang - abang sepupu saya menyarung kasut ini di kaki mereka. Saya belum mampu memikinya ketika itu ditambah dengan faktor keluarga dari golongan yang berpendapatan rendah....keinginan itu saya simpan dalam-dalam. Ada rezeki nanti di masa hadapan tak mustahil sepasang kasut John Bert tersarung di kaki saya juga.

Satu lagi jenama yang menjadi kegilaan saya ialah kasut berjenama Johnson. Kalau mengikut panggilan biasa masyarakat ialah "Kasut Johnson". Namun demikian saya sudah merasa memakai kasut ini ketika belajar di UPSI kira-kira 4 tahun yang lalu. Kini kasut itu dipakai oleh ayah. Cuma kasut John Bert ini sahajalah lagi idaman saya hingga kini.

Akhirnya impian saya termakbul sudah kira-kira 3 minggu yang lalu. Saya membeli kasut John Bert ini melalui laman web Mudah.My dengan harga RM130. Ia kasut terpakai namun kelihatan masih baru. Bila melihat kasut ini teringat zaman - zaman sukar tatkala remaja saya dahulu. Terasa satu kejayaan yang indah dalam hidup ini walaupun hanya memiliki sepasang kasut terpakai.

Saya memakai kasut ini buat pertama kalinya ketika menyertai kontijen SMK Kapit dalam perarakan sambutan maulidur rasul peringkat bahagian Kapit yang lalu. Sudah menjadi tuah agaknya kasut baru ini apabila kontijen SMK Kapit mendapat tempat pertama dalam perbarisan dan sepanduk yang kami hasilkan mendapat tempat ke-3 dalam perarakan berkenaan... sekurang-kurangnya ada kenangan yang baik dengan kasut ini.

Hafez J.Malim berdiri 6 dari kanan dalam kontijen SMK Kapit sempena perarakan Maulidur Rasul peringkat bahagian Kapit 2010. Kasut John Bert tersarung kemas di kaki saya.

Biarlah kasut ini saya gunakan selama yang mungkin. Ia lambang sebuah impian seorang anak muda yang hari silamnya penuh getir perjuangan. Kini mentari indah mula menerangi hidupnya.. dicapai setiap harapan yang pernah diidamkannya walaupun tidak semua kesampaian.... DIA MASIH DISITU MENANTI HARAPAN HATINYA.....



Wednesday, March 10, 2010

Jiwa Tenang Di PPKI SMK Kapit


PPKI SMK Kapit beberapa minggu kebelakangan ini agak tenang dan aktiviti yang dirancang berjalan seperti biasa dengan lancarnya. Antara aktiviti yang dijalankan dalam minggu ini ialah :
  • Peperiksaan Pertengahan Penggal 1 2010
  • Pengeluaran wang bantuan pendidikan khas pelajar kali ke-2 tahun 2010
  • Aktiviti membuat roti bakar untuk makan pagi
  • Rancangan menghasilkan baju korporat untuk guru dan Pembantu Pengurusan Murid ( PPM ) PPKI
Pihak pentadbiran juga bersetuju untuk menaik taraf dan membaiki sistem pendawaian elektrik PPKI SMK Kapit. Sebuah kipas syiling baru dan tambahan 5 buah soket elektrik juga telah berjaya dipasang. Selain itu sebuah sinki untuk kegunaan pelajar juga dalam proses pembinaan ( terima kasih kepada Tuan Pengetua ). Berita lain yang menggembirakan ialah tambahan seorang guru GSTT khusus untuk mengajar matapelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Sivik ( menggantikan Cikgu Supian Abdullah yang berpindah ke Kelantan ).

Walaupun berdepan dengan keadaan serba kekurangan namun kami di sini berusaha dengan sebaiknya untuk terus menambah aset khusus untuk pelajar PPKI. Pelajar pendidikan khas di sini sebenarnya berdepan dengan cabaran yang getir kerana mereka dipersiapkan untuk menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah ( PMR ). Ia secara tidak langsung memberikan kami cabaran tambahan dalam memberi keyakinan dalam diri mereka untuk bersaing dengan pelajar - pelajar aliran perdana.

Sedetik masa yang berlalu di PPKI SMK Kapit ini adalah masa - masa yang menggembirakan jiwa saya. Biarlah jauh menumpang kasih di sini namun bumi Sarawak ini menjanjikan seribu satu kenangan manis yang tak bisa dijumpai di tanah - tanah yang lain. Pesan ibu... buatlah jasa walau di manapun berada... ia akan terus melekat di hati hingga ke mati... MULUT MENGELUH NAMUN HATI MEMUJUK

 Kesibukan bukan halangan !!!!

Monday, March 1, 2010

SEPETANG DI SMK KAPIT

Petang ini hingar bingar berlaku di SMK Kapit. Masakan tidak, saya bersama Cikgu Sahiful dan Cikgu Aliff Stanley menjalankan aktiviti keceriaan sekolah. Hari ini kami bertiga mendapat arahan dari Tuan Pengetua untuk memotong daun pokok-pokok renek di sekitar sekolah dengan menggunakan mesin pemotong daun.

Pada mulanya agak takut juga di hati saya untuk menggunakan mesin ini buat kesekian kalinya. Namun hasil tunjuk ajar dari Cikgu Aliff Stanley segala kegusaran itu terbuang jauh-jauh. Maka menjeritlah mesin pemotong daun itu di sekeliling sekolah. Panas matahari tidak menghalang kerja kami yang dibantu oleh dua orang pelajar kelas intervensi ( kredit kepada mereka).

Mesin ini agak berat, malah ketika artikel ini ditulis tangan kiri dan kanan saya masih lagi terasa kekejangan. Hendak menaip pun serasa tidak terdaya akibat gegaran dari mesin itu. Namun ia satu pengalaman yang berharga juga bagi saya. Kadang kala terfikir juga di benak ini.... betapa uniknya menjadi guru di kawasan luar bandar ini. Di sini kita menjadi segalanya yang tak pernah terfikirkan oleh akal kita. Saya mula dapat merasai betapa bergunanya pengalaman sementelaah masih berada di Kapit ini. Dalam diam-diam saya mula dapat  menilai sesuatu tindakan dan tugasan yang diberikan oleh pentadbiran. Secara tidak langsung rasa kekaguman saya kepada Tuan Pengetua makin bertambah. Mungkin tugasan ini agak berat namun pada saya ia mengajar saya untuk menjadi lebih yakin kepada diri dan paling utama sekali ialah pengalaman.

Sepetang di SMK Kapit menguruskan kerja -kerja keceriaan sekolah banyak mengajar saya tentang kepatuhan dan keyakinan kita terhadap tugas yang diberikan. Ikhlas itu adalah yang sebaiknya. Ia membuatkan saya rasa sayang kepada sekolah ini walaupun saya sedar saya hanya penumpang sebentar di tanah buminya...... IA PERASAAN YANG TAK TERNILAI !!!!


  

  

  

  

  

Hafez J.Malim sedang bertugas