BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

.

Photobucket

Tuesday, June 28, 2011

Catatan Bodoh Untuk Sasterawan

Cakap Melayu kamu pun tunggang langgang
berbelit-belit seperti janggut kamu
sedang usia nyanyuk kamu
bercakap merepek-repek
tentang perjuangan bahasa datuk nenekmu
ketika teman kamu
dibakar hasil tangan nya
kamu diam seribu bahasa
macam orang bodoh

Jadilah sasterawan dengan janggut putih
yang mengingati mati
dari menyebabkan bangsanya mati
 
Bahasa kamu
semakin kurang ajar
ia membina anak bangsa
yang berpekerti binatang
melolong di sana sini
membunuh adab.

Sunday, June 26, 2011

Saya Anti BERSIH


INDAHRASAJMALIM.BLOGSPOT.COM
MEMBANTAH DENGAN SEKERAS-KERASNYA 
PERHIMPUNAN BERSIH 
YANG HANYA AKAN MERUGIKAN
BANGSA MELAYU, AGAMA ISLAM DAN NEGARA.




MALAYSIA TANAH AIR KU

Saturday, June 18, 2011

Kembara Melihat Pekan - Pekan Lama 1 : Pekan Sungkai


Ada yang bertanya kepada saya kenapa saya tidak mengulas dengan lebih lanjut tentang pekan yang berjiran dengan pekan kelahiran saya Bidor iaitu pekan Sungkai ? .... saya sendiri sebenarnya sukar untuk menjawab soalan berkenaan kerana awal-awal lagi saya sudah menolak nama pekan Sungkai sebagai pekan terpencil untuk diulas, kerana Sungkai kini sudah jauh berubah. Pembangunan di Sungkai berlaku dengan amat pesat sekali dan ini secara tidak langsung membuat hati saya tawar untuk bercerita tentang pekan Sungkai.

Namun demikian akhirnya saya mengalah. Itupun setelah emak meminta saya bercerita tentang Sungkai di blog saya ini. Katanya sebagai simbolik tempat asal usul keturunan sebelah ibunya ( nenek saya ) yang khabarnya terlibat dalam pembukaan penempatan awal Sungkai ( benar atau tidak Wallahualam ). Sebagai catatan tambahan moyang saya yang bernama Tok Syeikh Ahmad ( Allahyarham ) adalah orang tua yang agak dikenali satu ketika dahulu terutama di Kampung Changkat Sulaiman Sungkai kerana beliau sering mengajar rebana dan marhaban di sekitar Sungkai.

Dahulu semasa saya kecil, emak sering membawa saya ke Sungkai mengunjungi sanak saudara di sini. Malahan sampai sekarang pun kami sering ke Sungkai sama ada untuk berjumpa sanak saudara atau sekadar membeli belah di pasar lambaknya yang meriah. Jika anda pertama kali sampai ke Sungkai maka sudah pastilah stesen bas nya yang akan menarik perhatian anda. Stesen bas ini adalah sebuah stesen bas terbuka di mana bas dari syarikat Hup Yik dan syarikat Star Coach ( dahulunya Mogah Omnibus ) perlu mengundur  ( gostan ) untuk meletak bas. Ianya sungguh unik. Rasanya tidak ada stesen bas di Malaysia yang serupa dengan stesen bas Sungkai.

Stesen Bas Sungkai ... 
untuk meletakkan bas di stesen bas ini, 
pemandu bas perlu mengundurkan bas 

Stesen bas Sungkai ... 
bagi generasi lama sudah pasti mengingati 
bas lagenda syarikat Mogah yang kini sudah berganti baru.

Bahagian belakang stesen bas Sungkai

Di sebelah stesen bas Sungkai kita akan menjumpai sebuah banggunan lama yang tidak berjaga. Dari cerita-cerita setempat mengatakan bahawa itu ialah bangunan Balai Polis Sungkai yang lama. Suatu ketika dahulu, penduduk Sungkai jika ingin mengunakan perkhidmatan telefon mesti akan ke balai polis tersebut. Rasanya bangunan ini dibina semasa zaman penjajahan British jika dilihat dari cara binaannya. Rasa sedih pula melihat bangunan unik lagi bersejarah seperti ini terbiar sahaja tanpa dipulihara. Ketika saya kecil, seringkali saya melihat bangunan balai polis ini sebagai satu tempat yang menakutkan setiap kali ke Sungkai. 

Bangunan balai polis lama Sungkai

Kelihatan sebahagian dari bangunan balai polis lama Sungkai.

Pekan Sungkai yang ada pada hari ini dilihat lebih meriah dengan pelbagai aktiviti penduduknya. Namun bila tiba hari petang pekan ini agak sunyi dan sepi. Kita boleh menjumpai bangunan rumah-rumah kedai yang klasik di sini. Walaupun pembangunan di Sungkai dilihat agak pantas, saya boleh melihat aura klasik yang masih ada pada Sungkai. Lensa kamera saya sempat merakamkan beberapa gambar berkenaan dengan panorama pekan Sungkai.

Deretan bangunan kedai lama yang masih boleh dilihat


Klasik !!!


Sederetan rumah kedai kayu lama beratap zink masih boleh dilihat di Sungkai

Sunyi petang di pekan Sungkai

Kelihatan dua buah bangunan lama yang masih digunakan

Bangunan Pejabat Pos Sungkai

Setelah pasar baru Sungkai dibina dan beroperasi berhampiran dengan stesen keretapi Sungkai, pasar yang lama tidak ditinggalkan terus. Ianya telah diubahsuai dan dijadikan bazar bagi peniaga-peniaga kecil. Dahulu semasa saya kecil sering juga saya ke pasar lama ini. Walaupun agak kecil tetapi teramat mariah dengan aktiviti perniagaannya. Apa yang menarik perhatian saya ialah papan tanda lama pasar ini  bertulis "Pasar Majlis Tempatan Sungkai " masih dikekalkan di tempatnya.  Betul juga kata emak, Sungkai adalah entiti klasik yang masih kekal dengan sifat lamanya. 

 Pasar lama Sungkai. Perhatikan papan tanda lamanya yang masih dikekalkan.

Ketika leka menangkap gambar di kawasan ini, saya ditegur oleh seseorang yang saya masih ingat sebagai saudara-mara saya namun saya lupa namanya. Peliknya, dia masih mengingati nama saya. Ketawa besar dia melihat saya menangkap gambar-gambar di pekan Sungkai. Tambahnya lagi saya ini sudah buang tabiat. Saya hanya tersenyum sahaja. Pada saya katakanlah apa sahaja. Saya tidak ambil hati.

Saya pernah menjalankan Rancangan Orientasi Sekolah ( ROS ) bertempat di Kelas Khas Bermasalah Pembelajaran ( PKBP ) SK Sungkai semasa di semester 4 Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ). Sesekali apabila lalu di hadapan sekolah ini teringat kenangan manis saya selama dua minggu menjalankan ROS di sini. Awal-awal pagi lagi saya sudah menaiki bas dari Bidor ke Sungkai. Apabila sampai sahaja ke stesen bas Sungkai, saya berjalan kaki menuju ke sekolah. Ia membuatkan saya tersenyum sendirian. Di sekolah ini jugalah, saya menerima berita kematian bapa saudara saya di Bidor. Sehingga kini saya masih menyimpan kenangan manis di SK Sungkai sebagai catatan kehidupan yang menarik.

SK Sungkai

Masyarakat Sungkai adalah terdiri dari berbilang bangsa. Di pekan Sungkai, orang Cina menjadi peniaga yang dominan. Namun demikian bila kita bergerak sedikit ke pinggir pekan ini, maka kita akan melihat kampung-kampung Melayu dengan banyaknya. Antara perkampungan Melayu utama di Sungkai ialah Kampung Changkat Sulaiman, Kampung Haji dan Kampung Menderang. Kewujudan ladang-ladang dan estet juga menyebabkan Sungkai didiami oleh masyarakat India. Namun demikian, apabila sahaja beberapa tanah rancangan FELDA seperti Besout, Trolak dan Sungai Klah dibuka, Sungkai mula didiami oleh orang-orang Melayu yang bukan berasal dari Sungkai sebaliknya berasal dari selutuh negara Malaysia.

Sebuah kelab Cina di Sungkai menunjukkan kewujudan masyarakat majmuk di sini

Sejarah pekan Sungkai juga tidak dapat dipisahkan dengan Kampung Pekan Lama. Menurut penduduk setempat disitulah lokasi pekan Sungkai yang asal. Emak saya sendiri mengakuinya kerana beliau dibesarkan di Sungkai. Saya sering malalui kawasan pekan lama ini. Saya suka berhenti di jambatan yang merentangi Sungai Sungkai. Sengaja saya melihat panorama di sungai Sungkai ini yang penuh dengan lagendanya. Dengar ceritanya, zuriat Sultan Perak yang memerintah tidak boleh menjejakkan kaki mereka ke tanah kawasan Sungkai jika tidak dilapik dengan tujuh lapis kain berwarna kuning. Selain itu, Sultan juga tidak boleh meminum air dari kawasan Sungkai. Itulah yang saya dengar dari cerita orang-orang lama seperti opah saya Zabedah Bt Ahmad ( 73 tahun ).

Sungai Sungkai yang penuh dengan lagenda. 
Jambatan di seberang sana ialah jambatan bagi landasan keretapi.

 Apa yang menarik di kawasan pekan lama Sungkai ni ialah kewujudan rumah-rumah kayu lama yang masih tersisa. Ada juga rumah-rumah yang sudah ditinggalkan kesepian menanti masa untuk rebah ke bumi. Ada simbol kesunyian dapat dilihat bila saya melihat rumah-rumah kayu tinggal ini. Kata emak, satu ketika dahulu kawasan ini agak sibuk dengan pelbagai aktiviti. Masjid lama Sungkai juga masih wujud di kawasan ini. Ia sebuah bangunan lama yang begitu indah. Setelah masjid baru bagi kariah Sungkai dibina di tepi jalan persekutuan, masjid lama ini tidak ditinggalkan begitu sahaja. Khabarnya kini ia dijadikan pusat bagi para hafiz-hafiz menghafal Al-Quran.

Rumah lama di pekan lama Sungkai


Masjid lama Sungkai

Jika kita masuk ke pekan Sungkai dari jalan utama persekutuan, kita akan melalui sebuah taman perumahan lama yang dikenali sebagai ''Taman Syarikat Melayu''. Tidak diketahui kenapa ia dinamakan sedemikian. Saya amat berbangga dengan namanya. Namun ada sesuatu yang lebih bernilai tinggi di Taman Syarikat Melayu ini. Ianya tentang sebuah rumah kecil di tepi jalan. Itulah rumah onyang saya yang bernama Hajah Mariam. Di rumah itulah ayah dan ibu saya disatukan sebagai suami isteri yang sah pada tahun 1984. Onyang saya masih mendiami rumah berkenaan. Beliau adalah seorang aktivis wanita UMNO yang paling dohormati di Sungkai sejak dari zaman Allahyarham Tunku Abdul Rahman lagi. 

Papan tanda Taman Syarikat Melayu yang sudah uzur.
Boleh dilihat tulisan jawi juga menghiasi papan tanda ini.

Rumah tempat ayah dan emak melangsungkan perkahwinan pada tahun 1984

Sungkai tetap memberikan seribu satu kenangan kepada diri saya. Saya tidak boleh menipu diri saya bahawa saya memang mempunyai kaitan yang sungguh erat dengan Sungkai. Suku sakat nenek sebelah emak memang berasal dari Sungkai. Walaupun Sungkai sudah jauh berubah dengan kemajuan yang membadai namun ada sesuatu yang masih kekal di sini ...ketenangan. Datanglah ke Sungkai di waktu petang yang redup. Singgah-singgahlah ke gerai cendol dan ais kacang berhampiran dengan stesen bas .... duduk dan nikmati hidangan anda dan pandanglah sekeliling. Ada sesuatu yang mengalir perlahan akan anda rasa .... sesuatu yang bergerak perlahan. Ya itulah ... kesunyian sebuah pekan kecil menentang arus kemodenan dengan gagah.. Sungkai tidak pernah berhenti melawan ....

Gerai ais kacang dan cendol bersebelahan stesen bas. 
Tempat persinggahan utama saya sejak dari zaman belajar di UPSI



Wednesday, June 15, 2011

REBANA PERAK

Rasanya sudah hampir 6 tahun saya tidak bermain Rebana. Kerinduan terhadap permainan ini sentiasa tebal dalam diri malahan sudah mendarah dan mendaging dalam jiwa saya. Cinta saya terhadap permainan ini tidak pernah pudar walaupun kini berjauhan dengan negeri kelahiran saya .... Perak Darul Ridzuan. 

Rebana Perak ( http://omrebana.blogspot.com/ )

Rebana Perak merupakan satu permainan yang sangat terkenal di negeri Perak Darul Ridzuan khususnya di persisiran Sungai Perak. Permainan tradisi ini seakan-akan sama dengan permainan kompang namun Rebana Perak ini jauh berbeza dengan kompang. Ia seakan - akan menjadi ''trademark'' bagi negeri Perak. 

Beza utama antara rebana Perak dan kompang ialah saiznya. Rebana Perak agak kecil mukanya namun bagi balung ( kayu ) agak lebar. Selain itu Rebana Perak menggunakan kulit kerbau atau lembu dan berbeza dari kompang yang menggunakan kulit kambing. Rebana Perak agak berat malahan ada yang mampu mencapai sehingga 4 kg bagi sebuah rebana. Namun bunyinya amat merdu. Sekali tepuk atau dipalu bunyinya akan pergi jauh. Bagi pemain yang ''hardcore'', pantang sahaja terdengar bunyi Rebana dimainkan maka sudah pasti mata akan menjenguk dan tapak tangan mula terasa gatal ingin bermain bersama.


 Sebuah kumpulan Rebana Perak sedang mengarak

Saya mula belajar bermain Rebana sejak berumur 11 tahun kira-kira dalam tahun 1995. Di tanah kelahiran saya Kampung Petalin Baru Bidor, saya tekun belajar setiap cara tepukan, nyanyian lagu-lagu Rebana ( dalam bahasa Arab dan Melayu ) serta membaca kitab berzanji. Itu ialah satu ketika yang indah. Zaman anak - anak muda tanpa telefon bimbit, tanpa internet, tanpa PSP dan tanpa Facebook. Rebana Perak lah tempat kami mencari hiburan dan menikmati alam persahabatan. Setiap minggu ada sahaja jemputan terhadap kumpulan kami bermain Rebana sama ada di majlis-majlis perkahwinan, majlis berkhatan ataupun meraikan tetamu-tetamu penting. Lazimnya dahulu bayaranya cuma RM50 sehingga RM100. Cukup murah bagi kami anak- anak muda kampung yang serba serbi hidup dalam kekurangan.

Kumpulan kami diketuai oleh seorang ketua yang dipanggil penengkah. Lazimnya orang yang menjadi penengkah ini ialah orang-orang lama ( abang yang tua ), yang telah menguasai pelbagai teknik, lagu dan nahu dalam permainan rebana ini. Dan dalam kumpulan kami, saya lah penengkah yang terakhir. Selepas orang-orang lama berhijrah ke destinasi baru, sayalah yang mengambil tugasan sebagai penengkah bersama dengan teman-teman yang masih bertahan di kampung.


Seorang penengkah dibantu oleh seorang atau lebih penyelang. 
Teman sekumpulan menjadi penalu.
Jika ada lebih seorang yang boleh penengkah, 
kebiasaannya seorang lagi akan menjadi pengincat atau pengacau / pengocah.

Tetapi itu dululah... cerita tentang zaman-zaman yang telah berlalu. Kini di Bidor, kumpulan rebana sudah mati. Malahan kumpulan saya juga sudah tamat riwayatnya sejak saya berhijrah ke Tapah menjadi pelajar tingkatan enam. Sejak itu saya tidak lagi aktif bermain rebana ditambah pula apabila saya melanjutkan pelajaran ke UPSI Tanjong Malim maka rebana Perak terus hilang dari diari hidup saya. Selepas itu saya ditugaskan mengajar di Sarawak... jelas sekali jodoh saya dengan permainan ini semakin berakhir. Sesekali pulang ke Bidor menghadiri majlis perkahwinan teman-teman, hati saya menjadi sayu bila melihat pengantin diarak oleh pasukan kompang. Sesuatu yang bukan menjadi tradisi bagi orang-orang Perak.

Jika sesekali saya merindui akan rebana Perak, di internet lah tempat saya melepas rindu. Melihat rakaman-rakaman permainan rebana di Youtube dapatlah mengurangkan resah hati namun ianya belum mampu mengubat kegatalan tangan saya yang terketar-ketar menahan gian bermain rebana.

Agaknya mungkin rezeki saya, pulang bercuti baru-baru ini memberi peluang kepada saya untuk kembali beraksi bermain rebana Perak. Seorang teman lama meminta kami bermain rebana untuk perkahwinan adiknya. Kebetulan juga teman-teman lama juga pulang bercuti jadi dapatlah dikumpulkan semula geng-geng lama. Alhamdulillah... syukur segala kerinduan terhadap rebana Perak dapat saya lunaskan. Lucu juga mengumpulkan semula rebana Perak yang kebanyakannya sudah berhabuk dimakan hari. Saya sendiri juga banyak yang sudah kelupaan. Mujur juga bacaan kitab berzanji saya masih seperti dahulu. Lancar dan tepat.

Sepupu saya Faiz sedang menyedak Rebana
( memasukkan rotan ke balung )

Banyak juga rotan-rotan sedak yang mereput. Kulit Rebana juga banyak yang berkulat. Namun kami masih lagi bermain dengan baik walaupun kadang kala masih ada kesilapan. Ada juga budak-budak baru yang mengikut kami bermain. Bagus juga sekurang-kurangnya mungkin dapat menyemai minat mereka pada permainan tradisi orang Melayu Perak ini. Suatu ketika dahulu, kumpulan rebana Perak kampung kami memang digeruni dan dihormati. Arwah andak saya masih dikenang sebagai penengkah yang terhebat disini.

Saya sedang bermain rebana dengan rakan-rakan


Kami juga berkesempatan bermain di rumah sepupu saya yang melangsungkan perkahwinannya pada 5 Jun yang lalu. Kami bermain pada waktu malam kerana pakcik saya sudah pun menempah kumpulan rebana dari Tapah untuk mengarak pengantin keesokan harinya.



Permainan rebana kumpulan dari Tapah

Kaum wanita juga turut serta


Satu keseronokan bermain rebana ialah jika bermain pada waktu malm kami akan dihidangkan dengan pelbagai jenis makanan. Selain minuman teh o panas dan kopi kadangkala jika kena pada masanya rokok percuna juga akan diberi. Bagi orang yang merokok itu ialah satu kenikmatan. Bagi orang yang tidak merokok seperti saya ini, keseronokannya ialah dapat ''mengusyar'' anak - anak dara di rumah pengantin berkenaan. Inilah masa mencari awek kata teman-teman. Hahahahaha... tetapi itulah .... selama saya bermain rebana tidak pernah pun ada anak -anak dara yang terpikat kepada saya. 

Kadangkala kita juga boleh berjumpa dengan kuih - muih tradisi yang semakin sukar dijumpai ketika dihidangkan makanan oleh tuan rumah. Itulah yang terjadi ketika kami saya bermain rebana di rumah teman, kami dihidangkan dengan sejenis kuih yang dipanggil ''Halwa Muskat''. Rasanya manis-manis dan mempunyai kismis. Ia kuih yang sudah lama tidak dijumpai. Saya sendiri terkedu melihatnya.

Kuih tradisi yang semakin dilupakan ... Halwa Muskat

Walaupun hanya sebentar sahaja dapat bermain rebana, namun saya tetap puas. Seronok rasanya berkumpul bersama teman-teman lama bercerita hal-hal lama yang makin pupus dari kenangan. Walaupun sakit juga tapak tangan saya menepuk rebana namun ia tidak membunuh langsung minat saya terhadap seni warisan ini. Lega juga hati mekliahat ada usaha dari pihak-pihak tertentu di kampung kelahiran saya mengajar kembali permainan ini kepada generasi baru. Namun itulah .... seperti yang saya katakan tadi, ini bukan zaman kami lagi. Anak-anak zaman milenium ini lebih terarah ke bentuk hiburan yang lebih menyeronokkan. Facebook, snooker, Play Station dan aneka hiburan yang saya sendiri tidak tahu mula membelit ke leher anak-anak Melayu.

Rebana Perak adalah satu kenangan tentang zaman remaja saya yang jauh sudah berlalu. Padanya tersimpan tenyang kasih sayang, persahabatan, penghormatan, keseronokan dan kesusahan. Tidak tahu berapa lama lagi riwayat rebana Perak di Bidor. Sesekali melintas melihat pengantin berarak...yang terdengar cuma bunyi kompang atau rakaman di pemain VCD...... saya melangkah lesu sambil terfikir saatnya saya ke jinjang pelamin nanti adakah sifatnya begitu juga setelah seusia hidup bermain rebana untuk orang lain ? ... Hanya Allah SWT yang menentukan .....


Al-Fatihah untuk arwah guru rebana saya Allahyarham Pak Bedoi 
dan untuk arwah teman-teman yang pernah bermain rebana 
bersama saya di suatu ketika yang telah berlalu.