BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, August 30, 2010

SELAMAT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-53


Saya Hafez J. Malim mengucapkan selamat menyambut Hari Kemerdekaan Kali ke-53 untuk semua rakyat Malaysia yang singgah berkunjung ke blog ini. 

Semoga kita semua dapat terus mempertahankan kemerdekaan ini untuk diwariskan kepada anak - anak kita nanti. Kuatkan ikatan perpaduan antara kita dan jangan lah kita terus berbalah dalam perkara - perkara yang merugikan.

Al-Fatihah kepada pejuang - pejuang kemerdekaan yang telah berpulang menghadap ilahi. Semoga roh mereka dicucuri rahmad dan ditempatkan di tempat yang terbaik. AMIN

 1 MALAYSIA MENJANA TRANSFORMASI

MERDEKA !!!! 

Sunday, August 22, 2010

SUMPAH MELAYU !!!!!!!!!!!!!

Ya Allah Ya Tuhan ku ..... selamatkan lah bangsa Melayu dan sekalian peribumi yang berada di negara kami ini. Kuatkan lah kami dengan kesatuan dan keteguhan perpaduan antara kami. Jauhkan segala fitnah dan sengketa yang akan membawa kepada kemunduran dan penjajahan baru kepada kami...

Ya Allah yang maha mengetahui akan segala kesusahan leluhur kami yang terdahulu dalam mendapatkan kemerdekaan... tempatkan lah mereka di tempat yang terbaik dan suburkan lah semangt mereka dalam jiwa kami dan keturunan kami nanti. Kami bangsa Melayu dan peribumi bermohon kepada Mu ya Allah semoga pemimpin - pemimpin kami bersatu dan berjuang bersama menegakkan agama Islam dan kekuatan bangsa Melayu. Amin Yarabbal Alamin.


HIDUP MELAYU 

Tuesday, August 17, 2010

Pak Lang Yang Razali Berpulang Ke Rahmatullah

Hari ini seorang lagi bapa saudara saya di Bidor berpulang ke Rahmatullah. Allahyarham Pak Lang Yang Razali merupakan sepupu kepada ayah saya Jahauddin Bin Ismail namun hubungan kami agak erat memandangkan kami tinggal sekampung dan tambahan pula hubungan keluarga kami sememangnya rapat. Arwah semasa hayatnya merupakan pesara Jabatan Pengairan dan Saliran ( JPS ). Secara peribadi saya begitu amat terkesan dengan berita pemergian beliau ke Rahmatullah. Masakan tidak saya sempat berjumpa dan makan bersama dengan beliau di Restoran Kari Kepala Ikan Nordin Bidor. Banyak juga yang kami bualkan dan dari pengamatan saya ketika itu memang Arwah sudah agak uzur. Teringat lagi dalam ingatan betapa susahnya beliau menyuap mee goreng mamak sesudu demi sesudu di hadapan saya. Hati jadi sebak.

Arwah pada saya merupakan seorang lelaki yang sangat baik. Tutur katanya lembut dan perlahan. Seumur hidud saya tak pernah langsung dimarahi oleh beliau. Selain itu arwah juga merupakan seorang tukang rumah yang sangat halus mutu kerjanya bersama seorang lagi arwah bapa saudara saya iaitu arwah andak Li Bin Ismail. Arwah Pak Lang juga sempat menunaikan Haji dan merupakan seorang yang selalu ke "melesah " ( surau ) untuk berjemaah. Sewaktu saya bekerja memproses santan di Pasar Bidor sering kali beliau datang ke tempat saya bekerja untuk membeli kelapa dan berbual mesra dengan saya. Semua nya terikat kemas di ingatan saya.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama dengan orang - orang yang beriman di sana. Semakin lama semakin terhakis jumlah orang - orang tua di kampung saya. Saya sendiri juga tidak tahu bila akan mengikuti jejak mereka... selalu saya beringat bahawa kematian itu sesuatu yang hampir...insyaAllah saya akan menyusul.  AL-FATIHAH





Tuesday, August 10, 2010

Salam Ramadhan Al-Mubarak

Saya Hafez J.Malim  mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam yang singgah bertandang ke blog saya ini. Semoga kita beroleh manfaat dan keberkatan di bulan Ramadhan yang mulia ini.


Diriwayatkan daripada Abu Sa'id Al-Khudri Radhiallahu 'anhu berkata, aku mendengar Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: Maksudnya: "Barangsiapa yang berpuasa sehari pada jalan Allah nescaya Allah akan menjauhkan mukanya dari api neraka (sejauh perjalanan)
70 tahun." 
 
(Hadith riwayat Bukhari)

Friday, August 6, 2010

Mengingat Teman - Teman Dan Mereka Yang Sudah Berpulang

Perkampungan Barzakh


Ramai teman - teman saya sejak kecil dan mereka - mereka yang pernah ada dalam kehidupan saya sudah berpulang menemui Tuhan. Kelmarin saya bermimpi berjumpa dengan seseorang yang sudah lama berpulang. Tiba - tiba muncul rindu yang halus kepadanya. Segala kenangan lama muncul kembali di ingatan. Bangun sahaja dari tidur terus saya membilang dan menghitung .... baru tersedar sudah ramai yang pergi dahulu sebelum saya. Erti kematian itu membuatkan saya sedar bahawa kematian itu terlalu dekat dengan kita.

Sejak berada di Sarawak ini ramai orang - orang yang pernah bersama saya berpulang dahulu. Ini menyebabkan saya mula terasa sebak yang mendalam. Di kalangan hali keluarga besar saya juga sudah ramai yang pergi. Orang - orang tua di kampung kelahiran saya ramai yang sudah tiada. Makin berkurang dan semakin menipis jumlah generasi - generasi lama.  Teman - teman juga ramai yang bertambah namun sesekali terdengar juga khabar pemergian mereka. Di pagi yang hening ini saya sedekahkan Al-Fatihah kepada  roh mereka - mereka yang telah berpulang dahulu. 

Moga aman dan sentosa selalu di sana. Tunggu saya di sana. Saya akan menyusul kalian bila tiba masanya. InsyaAllah ...




Sunday, August 1, 2010

PERGI BERKURSUS

Catatan perjalanan Hafez J.Malim sepanjang Kursus Orientasi Jurulatih Utama Kurikulum Standart Sekolah Rendah ( KSSR ) Pendidikan Khas Tahun 1 2010  bertempat di Hotel Grand Continental Kuching Sarawak dari 26 Julai hingga 29 Julai 2010.

Saya menggantikan penyelaras PPKI saya untuk pergi berkursus di Kuching bermula dari 26 sehingga 29 Julai 2010. Agak berat juga hati ini untuk pergi memandangkan beban kewangan yang akan ditanggung oleh saya nanti sepanjang perjalanan. Namun perasaan ini membentak menyuruh saya supaya pergi ..... sekurang - kurangnya dapat berjalan ke tempat orang. Selain itu saya juga ingin mencari pengalaman baru. Kesukaan saya terhadap perjalanan berseorangan membuatkan saya menjadi tekad untuk pergi ke kursus ini. Mujur juga ada jaminan dari teman lama di Kuching yang akan membantu sepanjang saya berada di Kuching... terima kasih untuk sahabat saya Muhammad Faizal Bin Keliwon.

Ahad ( 25 Julai 2010 )

Saya bergerak ke Sibu pada hari Ahad ( 25 Julai 2010 ) dan bermalam di Hotel Perdana Inn semalaman. Kredit untuk Cikgu Kuek Bon Siau dan Cikgu Tang atas bantuan mendapatkan tiket bot ekspress saya ke Kuching. 
 Isnin ( 26 Julai 2010 )

Saya memulakan perjalanan saya ke Kuching dengan menaiki bot ekpress Bahagia dari Terminal Penumpang Sibu tepat jam 11.30 pagi. Ini merupakan pengalaman pertama saya menaiki bot ekpress ke Kuching. Perjalanan mengambil masa 5 jam dan melalui sungai dan laut. Seronok menaiki bot ekspress kerana para penumpang boleh bergerak ke dek bot untuk menikmati pamandangan sepanjang perjalanan.

Saya bergambar ketika bot ekpress berhenti di Jeti Tanjung Manis ( atas ). 
Manakala gamabar bawah panorama yang dapat dilihat sewaktu perjalanan

Bot ekspress saya melalui beberapa bandar dan pekan di sepanjang sungai. Antara bandar yang dilalui adalah Bintanggor, Sarikei dan Tanjung Manis. Ia suatu pengalaman yang cukup mengujakan hati saya. Tepat jam 5 petang bot ekpress yang saya naiki memasuki perairan Kuching dan berlabuh di Jeti Pending. Saya mendapatkan teksi yang terus membawa saya ke tempat penginapan dan berkursus iaitu di Hotel Grand Continental Kuching.

Hotel Grand Continental Kuching Sarawak

Saya tinggal sebilik dengan Cikgu Casidy Bosco dari Kanowit. Beliau begitu ramah dan merupakan sahabat yang begitu baik kepada saya sepanjang kami berkursus. Sebagai catatan elok lah saya coretkan di sini bahawa saya merupakan perserta termuda dalam kursus ini. Tidak ada perkara menarik di hari pertama cuma pada malamnya saya di bawa ke pasar malam Satok oleh Cikgu Casidy. Pertama kalinya saya menikmati mee kolok yang sangat terkenal di Kuching dan rasanya boleh tahan. Sayangnya saya terlupa untuk mengambil gambar suasana pasar malam Satok dan mee kolok ini!!!!!!!

Selasa ( 27 Julai 2010 )

Hari pertama saya berkursus dan didedahkan dengan perkara - perkara baru tentang pendidikan khas. Saya juga berkesempatan berkenalan dengan ramai teman - teman guru baru dari Sabah dan Sarawak. Terjalin satu ikatan yang erat antara kami. Kemampuan saya bertutur dalam Bahasa Iban sedikit membantu saya untuk lebih rapat dengan guru - guru Sarawak. Ternyata mereka dapat menerima kehadiran saya dengan baik walaupun sebelum itu saya amat risau memikirkan penerimaan mereka terhadap saya terutamanya bagi guru - guru yang senior.

Kursus ini dikendalikan sepenuhnya oleh Sektor Pendidikan Khas Bahagian Pengurusan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia. Agak terkejut juga saya apabila diberitahu peserta - peserta kursus ini seterusnya akan dilantik menjadi Jurulatih Utama ( JU ). Hal ini terasa begitu berat memandangkan saya baru 2 tahun dalam bidang perguruan ini.

Pada waktu petang pula saya dibawa oleh Cikgu Casidy ke kedai mamak.... inilah kali pertama saya ke kedai mamak sejak menjejakkan kaki ke bumi kenyalang ini. Terlihat sahaja menu yang ditawarkan tertera juadah murtabak ayam sudah terliur saya dibuatnya.. tidak sampai 5 minit murtabak ayam sudah berada di dalam perut saya... hahahahahaha

Menikmati murtabak ayam pertama di bumi kenyalang

Rabu ( 28 Julai 2010 )

Hari ke tiga dalam kursus. Saya sudah mula mempunyai teman - teman di sini. Selain Cikgu Casidy saya juga agak rapat dengan Cikgu Awang Kesuma dan Cikgu Henry. Melalui pembentukan kumpulan saya berkenalan dengan cikgu - cikgu pendidikan khas yang jauh lebih senior dan berpengelaman seperti  Cikgu Aman, Cikgu Railan, Cikgu Hasinah, Cikgu Railan dan Cikgu Haifa. Mereka begitu baik dengan saya walaupun saya agak kurang berbual namun saya lah yang selalu menajdi bahan usikan mereka sehingga kadang kala kami ketawa terbahak - bahak terutama apabila berlaku hal - hal yang melibatkan masalah bahasa.

Hafez J.Malim bersama teman - teman sekursus.

Saya juga berkesempatan menimba ilmu daripada beberapa orang pensyarah di Institut Pendidikan Guru Malaysia ( IPGM ) antaranya ialah Encik Yusuf dari IPGM kampus Batu Lintang Sarawak dan Tuan Haji Rahim dari IPGM kampus IPDA Kedah. Segala jasa dan ilmu yang diperturunkan akan saya hargai sampai akhir hayat.

Pada petangnya kami diberi pelepasan oleh jawatankuasa kursus untuk melakukan aktiviti bebas. Saya menagmbil kesempatan ini untuk berjalan - jalan dan menemui sahabat lama saya di UPSI iaitu Cikgu Faizal yang kini mengajar di SSN Tabuan Jaya. Sudah hampir dua tahun kami tidak bertemu. Inilah pertemuan pertama kami sejak mula mengajar di Sarawak ini. Sesuatu yang menarik ialah dia semakin kurus dan saya pulak semakin gemuk. 

Simbol dan kebanggaan bandaraya Kuching

Khamis ( 29 Julai 2010 )

Hari terakhir untuk kursus ini... hati sudah mula terasa sebak namun semuanya dilalui dengan tenang. Pertemuan itu sudah pastinya akan ada perpisahan. Itu sesuatu yang lumrah. Perasaan saya bercampur baur hari ini. Kerinduan kepada seseorang yang amat saya sayangi menyusul dengan tiba-tiba sebaik sahaja berita beliau akan bertunang terlegar di ruang maya. Namun saya buang jauh-jauh perasaan itu dengan segera. 

Majlis penutup berjalan dengan sederhana namun cukup bererti bagi saya sebagai seorang guru muda. Dilantik sebagai Jurulatih Utama ( JU ) melalui watikah perlantikan yang terhulur membuatkan saya akur dengan tugasan yang akan saya tempuh terutamanya di daerah pedalaman Kapit. Sejuta penghargaan kepada Encik Mustamam, Puan Sazlina Cheah, Puan Shahida dan kakitangan Bahagian Pembangunan Kurikulum KPM yang bertungkus lumus memberikan yang terbaik sepanjang kursusu ini berlangsung.

Buat teman-teman guru pendidikan khas dari seluruh Sabah dan Sarawak yang jauh datang ke Kuching demi kursus ini kalian adalah pejuang tanpa nama yang akan terus meningkatkan taraf pendidikan anak bangsa khususnya di Borneo ini. 

Kenangan di akhir kursus

Dari kiri : Cikgu Aman Bujang, Cikgu Casidy Bosco, 
Cikgu Awang Kesuma, Cikgu Henry dan Hafez J.Malim

Guru - guru Pendidikan Khas dari Sabah bergambar
kenangan dengan Kakitangan BPK


Tepat jam 12 tengah hari secara beransur kami mula meninggalkan tempat berkursus. Saya tertinggal sendirian lagi menunggu teman datang mengambil. Waktu yang terluang saya habisi dengan berbual bersama teman - teman guru yang masih tinggal. Pada ketika itu terasa hati begitu sayu dan ingatan lama pada seseorang kembali bermain di hati. Mujur juga air mata ini tidak mengalir. 

Jam 2.30 petang teman saya Cikgu Faizal datang menjemput saya di hotel. Saya bermalam di rumahnya malam ini. Rumahnya agak selesa dan luas. Teman lama di UPSI dahulu iaitu Cikgu Alias juga tinggal bersama dengannya. Syukur dan bangga melihat perkembangan teman - teman di Kuching. Miliki kereta besar dan tinggal di bandaraya begitu menyeronokkan. Bila melihat diri sendiri..... saya sedar saya serba serba kekurangan. 

Pada malamnya Faizal membawa saya makan di tepi tebingan sungai Sarawak ( water front ). Ia sebuah kedai makan yang unik kerana dibuat berasaskan sebuah rumah. Mengikut kata teman - teman nama tempat itu Barok. Makanan yang dihidangkan agak enak dan saya amat berselera makan nasi ayam penyek !!!! Sesuatu yang menyeronokkan ialah kawasan berkenaan kegiatan ekonominya adalah dikuasai oleh orang Bumiputra. Seronok melihat sebuah perkampungan moden Melayu yang lengkap. Saya sempat membeli kek lapis sebagai oleh - oleh kepada kawan - kawan dan anak - anak murid saya di Kapit.

Berjalan di tebingan Kuching bersamaTeman lama di UPSI  
Cikgu Faizal ( kiri ) dan Cikgu Alias ( kanan )

Menikmati makan malam yang enak di
Restoran Barok bersama teman - teman

Memilih kek lapis Sarawak

Jumaat ( 30 Julai 2010 )


Ini hari terakhir saya di Kuching. Saya akan bergerak ke Sibu pada jam 11.30 pagi dengan menaiki bas. Perjalanan akan mengambil masa 8 jam lebih bergantung kepada kelajuan bas. Saya bangun tidur agak lewat dengan teman - teman sudah pun bergerak mengajar. Tinggal lah saya sendirian di rumah mereka. Jam 10.30 pagi Faizal pulang untuk menghantar saya ke terminal bas Kuching.

Berat hati ini bila mengenangkan faktor jarak perjalanan ini namun digagahkan juga hati ini demi sebuah pengalaman. Berpisah saya dan Faizal di terminal ini. Masih terngiang lagi kata - kata Faizal saat ketika sebelum bergerak pulang.......

" Jangan serik untuk datang ke Kuching lagi Fez "

Saya tersenyum pahit. Jarak dan waktu membatas dan mencacatkan pergerakan saya di sini. Perjalanan 8 jam saya tempuh dengan hati yang basah. Sepanjang perjalanan hati saya menangis mengenang seseorang yang kini telah tiada.... namun ia sedikit sebanyak terubat bila melihat pemandangan sepanjang perjalanan.

Bas yang membawa saya ke Sibu selama 8 jam !!!!

Saya sampai ke Sibu tepat jam 7 malam. Perjalanan yang memenatkan seluruh tubuh saya. Sesampainya di Terminal Bas Sibu, pemandu teksi saya Uncle William sudah menunggu dengan tersenyum. Ketawa beliau melihat saya yang kepenatan. Tidak habis - habis dia membebel pada saya marahkan saya menaiki bas balik ke Sibu. Saya hanya tersenyum.... ada juga yang sayangkan saya di sini..hehehehehe. Saya bermalam di Victoria Inn. Berehat sebentar sebelum perjalanan pulang ke Kapit esok hari.

Sabtu ( 31 Julai 2010 )

Bangun awal pagi bersolat subuh dan terus ke terminal penumpang Sibu untuk mendaptkan tiket bot ekspress. Syukur alhamdulillah masih ada tiket untuk saya. Saya mengambil kesempatan dahulu untuk membeli belah di Sibu. Beberapa perkara tempahan teman - teman dari Kapit saya unruskan dengan kadar yang segera. Tiba - tiba hati saya melonjak - lonjak untuk mencari jaket hitam. Tak kuasa melayan lagi kehendak hati maka saya membeli jaket hitam serta menempah tanda nama dan logo KPM pada jaket berkenaan sebagai tanda kenang - kenangan saya. Melayang juga RM100... namun pada saya agak berbaloi.

Jaket hitam

Bot ekspress saya bergerak dari Sibu jam 12.30 tengah hari dan sampai di Kapit jam 3.30 petang. Cikgu Syukri sudah menanti di terminal penumpang Kapit. Seronok dapat berkumpul dengan rakan - rakan semula. Segala kenangan semasa perjalanan akan sentiasa terpahat di hati ini sampai bila - bila ke akhir usia insyaAllah.

Penghargaan kepada :

1.  Cikgu Kuiek Bon Siau dan Cikgu Tang untuk tiket bot ekspress ke Kuching
2.  Cikgu Hatisham untuk ingatan dan bantuan sepanjang di Kuching
3.  Cikgu Nicklas untuk perhatian sepanjang kursus
4.  Cikgu Casidy, Cikgu Awang Kesuma dan Cikgu Henry 
5.  Kakitangan BPK KPM Putrajaya
6.  Uncle William Teksi atas leteran
7.  Peje Keliwon, Alias dan Hafiz atas segala bantuan semasa saya di Kuching.
8.  Ayah dan emak atas doa keselamatan anak mu
9.  Sape - sape je la termasuk orang yang aku sayang yang kini tiada lagi atas mesej - mesej ingatan

SEMUA TERANGKUM DALAM KENANGAN