Menjadi
Kedi Di Kelab Golf Batang Padang
Logo Kelab Golf Batang Padang
Rumah saya di Bidor terletak tidak jauh
dari Kelab Golf Batang Padang ( KGBP ). Sedari kecil lagi saya sudah terbiasa
melihat abang-abang sepupu dan rakan-rakan mereka pergi ke padang golf
berkenaan untuk menjadi kedi. Ketika itu bekerja sebagai kedi hanya dilakukan
pada sebelah petang dan pada hujung minggu. Bagi anak-anak muda sekitar Bidor
dalam lingkungan usia 12 hingga 20 tahun, menjadi kedi merupakan satu kerja
yang sangat lumayan. Jika kena pada masanya, seorang kedi boleh mendapat
bayaran sehingga RM25 sehari. Ketika itu jumlah berkenaan sudah cukup lumayan
bagi kami.
seorang kedi dan pemain golf
Mulanya saya memang tidak mahu menjadi
kedi. Namun saya selalu juga ke padang golf berkenaan untuk bermain-main. Jika
tidak pun sekadar berjalan-jalan bersama teman di waktu petang. Tidak terlintas
dihati ini untuk menjadi kedi. Tambahan pula cerita-cerita pembulian yang
sering dilakukan oleh kedi senior kepada kedi junior memang menakutkan diri
saya. Maklumlah ketika itu saya masih bersekolah rendah.
Hinggalah pada suatu petang, saya
dipelawa oleh seorang teman untuk mengikutinya mengambil upah mengutip bola
golf di padang latihan kelab golf berkenaan. Anehnya, saya menerima pelawaannya
itu tanpa sebarang bantahan. Itulah kali pertama saya merasakan seronoknya
mendapat upah. Masih saya ingat lagi upah pertama yang saya terima ialah
RM2.50. Seronok rasanya mendapat duit. Namun saya tidak menceritakan hal saya
mengutip bola golf ini kepada emak dan ayah. Perasaan bimbang dimarahi begitu
bersarang di hati.
Esoknya saya ke padang golf semula dan
seperti semalam saya pulang dengan RM2.50 juga. Lama kelamaan saya mula merasa
seronok mengambil upah mengutip bola golf ini. Namun kadangkala saya juga
pulang hampa kerana tiada pemain golf yang mahukan khidmat mengutip bola dari
saya dan teman-teman. Selain itu, persaingan juga agak sengit antara kami.
Masing-masing berebut-rebut menawarkan khidmat mengutip bola. Seingat saya,
jumlah upah paling tinggi yang pernah saya terima ialah sebanyak RM5.
Berbunga-bunga perasaan hati ini apabila melihat not bewarna hijau diserahkan
kepada saya. Terasa begitu lumayan nilai RM5 pada diri saya ketika itu.
Membuli
Saya terus mengambil upah mengutip bola
golf sehingga ke darjah enam. Ayah dan emak juga lama-kelamaan tidak begitu
kisah dengan kegiatan saya itu. Cuma mereka berharap agar saya tidak leka dalam
pelajaran. Saya juga tidak takut dibuli kerana padang latihan di padang golf
berkenaan terletak agak jauh dari rumah kedi. Tambahan pula, kedi-kedi senior
kurang berminat untuk mengambil upah mengutip bola golf kerana upahnya begitu
kecil dan tidak setimpal dengan kudrat yang tercurah.
Rasanya pada pertengahan tahun 1996,
sepupu saya yang dipanggil Awie mengajak saya untuk menjadi kedi. Beliau sudah
setahun menjadi kedi sedangkan usianya pada ketika itu baru menginjak 11 tahun.
Agaknya beliau kasihan melihat saya hanya mendapat upah yang kecil sewaktu
mengutip bola golf. Mulanya agak gentar juga hati saya namun setelah dipujuk
beberapa kali akhirnya saya mengalah walaupun hakikatnya saya harus bersedia
untuk dibuli !
Satu set golf dan troli
Pada mulanya agak kekok juga menjadi
kedi. Dengan usia yang masih muda dan bentuk badan yang kecil saya hanya mampu
menarik troli beg golf yang sangat berat. Pada ketika itu saya terdaftar
sebagai kedi gred C di kelab golf berkenaan. Penyelia kedi pada ketika itu
ialah seorang tua yang dipanggil Pak Ali. Agaknya memang nasib menyebelahi diri
saya, Pak Ali ini walaupun garang namun agak baik dengan saya. Dengan
sendirinya saya dipanggil dengan gelaran “anak angkat” Pak Ali. Berbekalkan
gelaran itulah saya selamat dari menjadi mangsa buli. Hehehehe. Namun sesuatu
yang pasti ialah saya selamat kerana saya dilindungi oleh abang-abang sepupu
saya yang sememangnya tidak akan membiarkan saya diusik sewenang-wenangnya.
Menjadi kedi merupakan pekerjaan yang nampak
seperti mudah namun memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Lumrahlah jika dimarah,
dimaki dan dihina oleh si pemain golf dengan kata-kata yang tidak sedap
didengar. Namun sepanjang kehidupan saya sebagai seorang kedi, hanya bangsa
kita sendiri yang kerap mengherdik dan memaki anak bangsa sendiri dengan
semahunya hati. Agaknya mereka merasakan diri mereka terlalu hebat dan besar
apabila bemain golf ini. Kami budak-budak kedi tidak pernah ambil pusing hal
caci maki ini walaupun hati bagai bernanah diperlakukan sedemikian rupa. Memang
kami sedar taraf kami dan mereka bagai langit dan bumi.
Saya pernah mengalami satu kejadian
dimana sewaktu menjadi kedi kepada Encik A, sarung tangan yang baru dibeli oleh
beliau untuk bermain golf telah tercicir. Hal ini tidak disedari sehinggalah
keesokan harinya barulah beliau tersedar yang sarung tangan barunya telah tiada
lagi. Kebetulan pula sepupu saya telah menjumpai sarung tangan berkenaan dan
memaklumkan kepada saya untuk memulangkannya kepada Encik A itu tadi.
Sayangnya, Encik A telah bertindak lebih
awal dengan menyatakan saya telah mencuri sarung tangannya. Sampai suatu ketika
beliau telah menampar muka saya dengan begitu marah malah melemparkan kata-kata
cacian yang menghina keluarga saya. Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana
perasaan saya ketika itu. Saya terus pulang
ke rumah tanpa menceritakan kejadian itu kepada keluarga. Akhirnya sarung
tangan itu dipulangkan oleh sepupu saya 2 jam selepas kejadian saya ditampar
dan menceritakan kepada Encik A hal yang sebenar. Perkara ini menimbulkan rasa kesal pada Encik A. Beliau
ada berjumpa saya untuk meminta maaf dan bagi seorang anak kampung yang punya
maruah diri, saya hanya tersenyum tanpa berkata sepatah kepadanya. Hal itu saya
diamkan sahaja dan tinggal sebagai sebuah kenangan yang pahit.
Rupanya kisah ini masih belum berakhir,
beberapa tahun yang lepas saya terserempak dengan Encik A di sebuah pasar
minggu bersama isterinya. Beliau sudah agak berumur dan berjalan menggunakan
tongkat. Saya memandangnya dari jauh dan pandangan kami bertemu. Saya
menegurnya dan memperkenalkan diri sebagai kedi yang pernah ditamparnya dahulu.
Terkejut isterinya melihat air mata Encik A mengalir deras dari pipi selepas
bertemu dengan saya. Benar, selepas melihat keadaanya saya terus memaafkan
segala perbuatannya kepada diri saya dahulu. Namun sebelum berlalu sempat saya
titipkan kepada sebagai akhir segala krisis yang pernah berlaku dahulu.
“Saya boleh sahaja menampar muka pakcik
sampai mati sekarang ini juga jika mengenang apa yang pernah pakcik
lakukankepada saya tetapi saya tidak mahu. Biarlah Allah menjawab untuk saya
diakhirat nanti apa yang terkandung dihati saya untuk pakcik”
Beliau termanggu dan air matanya mengalir
deras. Saya terus berlalu tanpa memandangnya. Benar dunia ini ibarat roda,
sebentar diatas dan sebentar kita dibawah.
Namun tidak semua pemain golf suka memaki
kedinya. Ada yang muncul sebagai individu yang sangat dihormati oleh kedi-kedi
di kelab berkenaan. Individu-individu seperti ini lazimnya mendapat perhatian
yang sangat hebat dari para kedi. Biasanya kami akan berebut-rebut menawarkan
khidmat kedi kepada mereka. Upah menjadi kedi ini sangat lumayan. Satu pusingan
9 lubang kami akan mendapat upah sekitar RM5 sehingga RM15. Pernah saya
mendapat upah RM35 bagi dua pusingan 18 lubang. Nilai purata pendapatan seorang
kedi pada ketika itu ialah RM 90 seminggu. Bagi seorang anak remaja seperti
saya, jumlah itu amatlah besar dan bernilai !
Menjadi kedi menjadikan saya seorang yang
cekap dengan persekitaran. Selain dari tumpuan pada arah perginya bola golf,
saya juga dapat melatih diri mengesan arah angin dan jarak sesuatu lubang dari
tempat pukulan. Kemahiran-kemahiran seperti mengesan bola golf di semak juga
dipraktiskan disini. Paling penting struktur tubuh juga menjadi sihat akibat
bebanan kerja yang berat.
Saya terus menjadi kedi sehingga berhenti
rehat dalam tingkatan tiga kerana menumpukan sepenuh perhatian pada peperiksaan
Penilaiaan Menengah Rendah pada tahun 1999. Pada ketika itu saya sudah menjadi
kedi gred B. Rupa-rupanya, rehat saya sebagai kedi berlanjutan sehingga ke
tingkatan 4. Saya tidak lagi menjejakkan kaki ke padang golf selepas itu. Tidak
tahu kenapa, namun yang pastinya saya lebih selesa membuat aktiviti yang lain
seperti bermain bola sepak dan berlibur malam bersama teman-teman. Tambahan
pula, teman-teman lama kebanyakannya sudah ramai yang berhenti dari menjadi
kedi.
Menjelang pertengahan tahun saya di
tingkatan 4, ketika ramai teman-teman lama sudah lama berhenti menjadi kedi,
saya pula mengambil keputusan untuk menjadi kedi untuk kali yang keduanya.
Namun kini segalanya berubah. Pak Ali sudah tidak lagi bekerja di kelab golf
berkenaan. Ramai teman-teman sudah tidak lagi menjadi kedi. Yang anehnya kini
yang ramai menjadi kedi ialah anak-anak masyarakat orang Asli yang banyak
mendiami kawasan kem Pasukan Gerakan Am ( PGA ) yang terletak tidak jauh dari
padang golf berkenaan. Ini secara tidak langsung menimbulkan masalah baru
kepada kedi-kedi lama kerana pemain-pemain golf lebih berminat mendapatkan
khidmat kedi orang Asli yang penawaran upahnya jauh lebih rendah dari kami.
Saya dinaikkan taraf sebagai kedi gred A
pada ketika ini. Namun sejujurnya kemahiran saya sebagai kedi tidaklah setaraf
dengan gred A saya itu kerana saya sudah lama meninggalkan alam kedi ini.
Tempat berkumpulnya kedi yang suatu ketika dahulu meriah dengan gelak ketawa
kami bermain judi daun terup juga sudah semakin sunyi. Benar ketika tahun 2000
hingga 2001 jumlah kedi Melayu di kelab golf berkenaan semakin menyusut.
Akhirnya menjelang tahun 2001 ketika saya
di tingkatan 5, saya juga turut angkat kaki sebagai seorang kedi. Selain dari
memikirkan soal peperiksaan SPM yang akan menjelang tiba, saya juga dihantui
dengan beban perasaan kejadian kes saya dengan Encik A yang seterusnya
mematikan niat saya untuk terus menjadi kedi. Selepas itu saya memang tidak
ambil peduli lagi dengan padang golf berkenaan. Tinggallah beberapa orang rakan
yang terus tabah bertahan menjadi kedi disitu.
Beberapa tahun selepas itu, saya
terdengar cerita yang kelab golf berkenaan telah menggunapakai kenderaan
automatik bagi kegunaan pemain-pemain golf mudah untuk bergerak dan membawa
peralatan golf mereka. Teman-teman yang masih bertahan sebagai kedi memanggil
kenderaan itu sebagai “babi’ . Tidak tahulah kenapa ia
digelarkan sedemikian rupa. Beberapa orang teman yang tertahan itu juga akhirnya
terpaksa mengalah dan meninggalkan terus pekerjaan sebagai kedi tidak lama
selepas itu. Saya mengira faktor usia juga memainkan peranan. Kebanyakan dari
kami pada ketika itu sudah mencapai usia hampir malah melebihi 20 tahun.
Tarikan kepada perkara-perkara lain lebih memikat hati kami dalam usia
sedemikian.
Walaupun saya sudah lama meninggalkan pekerjaan ini namun kerinduaan saya terhadapnya kadangkala muncul secara mendadak. Kadangkala ketika menonton perlawanan atau kejohanan golf di televisyen, ada juga teman-teman yang merasa hairan melihat saya dapat menghuraikan maksud beberapa perkataan yang dikaitkan dengan permainan golf seperti par, bogey, handicap, jenis –jenis kayu dan bermacam-macam lagi seolah-olah saya pernah bermain golf. Saya hanya tersenyum dan berkata, inilah hasil dari apa yang pernah saya lakukan semasa alam remaja saya. Saya tidak pernah malu dan segan untuk menyatakan saya dahulu adalah seorang kedi. Ya benar … seorang kedi yang pernah ditampar dan dikeji oleh Encik A …..
Melawat
Semula Tempat Mencari Rezeki
Ada juga sesekali saya melawat semula
padang golf yang pernah menjadi lubuk rezeki kami anak-anak kelas bawahan di
Bidor . Keadaannya sudah jauh berubah malah boleh dikatakan agak suram. Masih
ada juga pemain-pemain golf yang beraksi disini namun ia tidaklah semeriah
dahulu.
Rumah kedi yang tertinggal
sepi
Rumah Kedi yang menjadi tempat kami
berkumpul mendaftarkan diri sebelum bertugas juga terbiar tanpa pembelaan.
Seolah-olah menantikan saat untuk roboh. Disitulah dahulu berkumpulnya
anak-anak muda yang datang dari pelbagai jenis keluarga yang punya ribuan
cerita susah dan senang.
Di rumah kecil itu tersimpan cerita
tentang rokok, ganja, judi, buli, persahabatan dan krisis. Seolah-olah masih
terlihat pada pandangan mata saya susunan basikal yang sederet di tempat
meletak basikal di koridor rumah berkenaan. Masih terbayang seolah-olah Pak Ali
sedang menyapu habuk rokok dan sampah yang bertaburan di lantainya sambil
mulutnya memaki-maki kami sedangkan dihatinya Allah sahaja yang tahu betapa
baiknya beliau kepada kami. Betapa riuh dan meriahnya ketika itu.
Kawasan saya mengambil upah mengutip
bola golf
Kini saya sendiri sudah hampir ke usia
30an. Malah ada kedi-kedi senior saya dulu sudah mencapai usia 40an.
Masing-masing sudah meninggalkan alam kedi. Rasanya mungkin saya antara
generasi terakhir kedi Melayu di Bidor. Tidak pula saya mengetahui sama ada
masih ada yang menjadi kedi namun jika dilihat dari situasi semasa ramai
anak-anak Bidor kini langsung tidak
berminat menjadi kedi.
Tempat meletak kenderaan
Dahulunya dihujung atas kiri
gambar
merupakan tempat kami melepak
Kelab Golf Batang Padang
tempat saya mencari rezeki
Saya berhenti sejenak dipinggir kawasan
lapangan golf yang hijau itu pada suatu petang yang kering. Mata saya tertumpu
pada sekumpulan pemain golf yang berjalan perlahan. Hati saya tiba-tiba menjadi
sebak …. Dan air mata saya tumpah …. Dahulu saya seorang kedi… benar saya
seorang kedi !