BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �

Saturday, September 8, 2012

Aidilfitri dan Almas Nafisa ..... Tangisan Yang Penuh Kesyukuran !

Permata hati ayah dan ibu .. Almas Nafisa Binti Abdul Hafez

Ah... ia suatu detik yang paling mencabar bagi diri saya sebenarnya. Tarikh 24 Ogos 2012 bersamaan dengan hari Jumaat akan sentiasa kekal dalam ingatan saya sampai bila-bila. Ia adalah tarikh bersejarah dalam kehidupan saya apabila isteri saya Masazura Bt Maslim selamat melahirkan anak sulung kami yang diberi nama Almas Nafisa Binti Abdul Hafez. Hanya Allah SWT sahaja yang mengerti perasaan saya pada ketika itu. Tangisan kesyukuran dan kegembiraan mengiringi kehadiran puteri sulung saya ini. Syukur ke hadrat Allah SWT juga kerana isteri dan anak saya selamat tanpa sebarang masalah.

Pemula Cerita

Saya memang tidak menjangkakan, Almas Nafisa akan dilahirkan dengan lebih awal dari tarikh jangkaan kelahirannya iaitu pada 3 September 2012. Namun takdir dan ketentuan Allah SWT memberikan saya peluang untuk melihat tangisan pertamanya di dunia. Sebelum ini, memang saya berniat dan berdoa agar saya diberikan kesempatan bersama-sama Azura untuk menyambut kelahiran Almas Nafisa. Syukurlah hasrat saya dimakbulkan oleh Allah SWT dan impian saya untuk melaungkan azan di telinga zuriat saya sendiri telah termakbul .... Alhamdulillah !

Hari Raya Yang Aneh

Tahun ini saya tidak berhari raya di Bidor. Keadaan isteri yang sarat mengandung menyebabkan saya lebih selesa berhari raya di Gemas ( kampung isteri ). Selain itu saya juga ingin menunaikan hasrat ibu mertua saya yang mahu membuat kenduri kecil-kecilan untuk upacara melenggang perut isteri saya pada hari raya ketiga.

Sesuatu yang agak malang bagi saya dan isteri untuk hari raya kali ini ialah kami ketinggalan baju raya di Batu Pahat. Ini menyebabkan isteri saya menangis teresak-esak sehingga saya juga gagal mengawal emosinya. Isteri saya bimbang saya tidak berbaju Melayu di pagi raya nanti. Mujur juga abang ipar saya meminjamkan baju raya beliau kepada saya. Barulah kurang esak tangis Azura. Sebenarnya, saya tidak kisah berbaju raya atau tidak. Asalkan isteri saya ada disisi saya dipagi hari raya itu sudah mencukupi bagi melengkapkan suasana hari raya saya. Benar ... hidup saya terasa bererti dengan kehadiran Azura !

Jujurnya saya agak canggung kali pertama berhari raya di rumah mertua. Namun segalanya berjalan dengan baik dan menyeronokkan. Adik beradik ipar duai hampir semuanya berhari raya di rumah keluarga mertua masing-masing. Jadi suasana pagi raya di rumah mertua saya agak suam-suam sahaja. Namun masuk sahaja petang raya dan keesokan harinya segalanya berubah apabila semuanya sudah mula pulang ke Gemas. Barulah suasana menjadi meriah dan menyeronokkan. Anak-anak buah yang ramai menjadikan suasana sentiasa gamat dengan keletah mereka dan saya mula merasa seronok !

Azura memohon keampunan dari ibu dan ayah






Hari pertama Aidilfitri agak tenang bagi saya. Ketika bermaafan dengan isteri jatuh juga air mata saya. Ini syawal pertama saya sebagai seorang suami. Walaupun tanpa baju raya baru namun isteri saya tetap kelihatan menawan pagi ini.

Hari Raya Kedua dan Hari Seterusnya

Oh.... hari ini semakin ramai yang pulang. Rumah mertua juga semakin penuh. Keriuhan anak-anak buah semakin terasa. Hari ini ayah mertua saya mahu membakar lemang. Awal-awal pagi lagi saya membantu memarut kelapa. Terkenang kenangan lama saya sewaktu bekerja sebagai pemarut kelapa di pasar Bidor ketika zaman remaja dahulu. Terasa begitu cepat masa berlalu. Kini segalanya berubah sekelip mata dan saya bukan lagi yang terlihat seperti dahulu.

Pada hari ketiga pula kami sekeluarga mula sibuk dengan persiapan kenduri doa selamat serta melenggang perut isteri saya yang akan diadakan pada waktu malam. Semua dilakukan secara gotong-royong adik beradik. Ianya menjadi mudah dan cepat. Terasa begitu seronok berada didalam suasana kekeluargaan yang erat. Walaupun saya masih baru didalam keluarga ini, namun ternyata penerimaan yang sempurna dari adik beradik dan ipar duai menjadikan saya merasa selesa.




Pada sebelah malamnya diadakan pula kenduri doa selamat dan upacara melanggang perut isteri saya yang dijalankan oleh seorang bidan yang dipanggil Maksu. Saya mula terasa tidak selesa apabila isteri saya menyatakan saya perlu dimandikan oleh bidan bersama isteri saya sewaktu upacara melengang perut itu. Namun syukur juga, sehingga habis upacara itu tidak pula saya dipanggil untuk mandi bersama. Hahahaha

Pada hari raya keempat kami mula sibuk mengacau dodol. Agak lama juga saya tidak mengacau dodol. Hahahaha. Umumnya cara membuat dodol di Negeri Sembilan dan Perak tidak banyak jauh bezanya. Seperti biasa diawal pagi tugas saya hanyalah membantu memarut kelapa bersama abang Amir. Mujur juga jari saya tidak terluka pagi ini diparut sekali mesin kelapa. 

Namun perkara yang paling menggembirakan saya pada hari ini ialah Kak Long yang berasal dari Kelantan sudi menyediakan nasi kerabu. Memang sejak duduk di Sarawak beberapa tahun kebelakangan ini saya agak mengidam mahu manikmati nasi kerabu. Sejak dari Kak Long dan suaminya sampai di Gemas, saya memang tidak henti-henti meminta beliau membuatkan nasi kerabu. Tidak disangka-sangka pula beliau menunaikan hajat saya itu.. hehehehe Alhamdulillah.

Nasi Kerabu yang enak

Makan nasi kerabu beramai-ramai diluar rumah diketuai oleh 
Pak Tam ( Abang Amir ) 

Sebenarnya jika mengikut perancangan awal, saya dan isteri akan bergerak pulang ke Batu Pahat petang ini kerana Azura masih perlu bekerja lagi selama dua hari. Namun demikian setelah melihat dodol yang dikacau masih lagi belum siap, saya dan Azura membatalkan hasrat untuk pulang sebaliknya menukar rancangan untuk pulang pada keesokan harinya. Lagipun saya benar-benar seronok di Gemas ini. Tidak sampai hati pula membawa isteri pulang ketika beliau masih gembira bersama keluarga yang tersayang.

Aksi mengacau dodol dari Abang Amir

Giliran Hafez J.Malim


Along

Dodol siap dimasak sepenuhnya ketika jam menunjukkan angka enam petang. Terasa penat juga mengacau dodol ini. Suasana hari raya masih terasa meriahnya. Dengan bunyi meriam tin yang dimainkan oleh anak-anak buah sepanjang masa dan ketika dan riuh rendah kami mengacau dodol membuatkan masa tidak terasa sunyi. Memang diakui anak-anak buah saya begitu seronok apabila berkumpul bersama. Ada sahaja idea-idea baru untuk bermain tanpa penat. Walau dilarang berkali-kali mereka tetap tidak pernah akur. Inilah dunia kanak-kanak yang indah. Semuanya ingin dicuba tanpa gentar !

Sebahagian dari anak-anak buah saya


Cerita Di Batu Pahat

Keesokannya saya dan isteri bergerak pulang ke Batu Pahat agak awal pagi kerana Azura perlu masuk kerja pada jam dua petang ini. Saya tidaklah begitu berat hati meningglkan Gemas kerana selang dua hari selepas ini kami akan kembali semula ke Gemas kerana Azura sudah mula mengambil cuti tanpa gaji. Alhamdulillah kami selamat sepanjang perjalanan dan tiba di Batu Pahat pada jam 10 pagi.

Ketika bersiap untuk ke tempat kerja, Azura mengadu kepada saya terdapat lelehan cecair di yang mengalir di kakinya. Saya mula kaget kerana menyangkakan air ketuban beliau sudah keluar. Namun Azura tenang orangnya. Ketawa besar dia melihat saya berlari kesana-sini dengan muka yang pucat kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Namun segalanya berubah apabila lelehan itu berhenti mengalir dan tidak ada apa-apa yang berlaku selepas itu. Hati saya berbunga riang kembali dan Azura ke tempat kerjanya tanpa ada sebarang masalah.

Petang itu saya mengambil Azura seperti biasa dari tempat kerja. Kami seterusnya menghadiri rumah terbuka yang diadakan oleh rakan sekerja Azura. Agak berselera juga saya makan disini. Terasa menyesal pula hati ini tidak mengisi nasi dengan sepenuhnya. Azura juga makan dengan berselera sekali dan yang menjadi kegemarannya ialah kari kambing. Saya memang menjauhi daging kambing kerana baunya sahaja sudah membuatkan saya pening. Sempat juga teman-teman sekerja Azura bergurau bahawa jika makan kambing banyak-banyak sudah pasti anak dalm kandungan akan cepat-cepat keluar. Ketawa besar saya mendengarnya. Manalah ada kaitan kari kambing dengan kelahiran anak. Hahahaha

Malam itu saya dan Azura hanya mengalas perut dengan memakan burger. Burger memang makanan kegemaran saya. Kini Azura juga sudah mula mengikut sama kegemaran saya itu. Jarang sekali dia tidak menghabiskan burger yang dibeli. Rasanya dalam hal burger ini kami memang sudah menjadi pasangan yang serasi. Malahan Azura seringkali memberitahu saya kedai-kedai burger yang dirasakannya enak di Batu Pahat.

Malam Getir

Kami tidur awal malam ini. Badan saya juga terasa lesu dan letih tambahan pula Azura perlu bekerja awal pagi esok dan pada sebelah petangnya kami perlu kembali segera ke Gemas. Jadi kami tidak punya masa rehat yang mencukupi. Letak sahaja kepala di bantal .... saya dan Azura meneroka dunia mimpi kami tanpa batasan.

Tiba-tiba mimpi saya diganggu oleh kejutan Azura pada jam dua pagi. Dalam keadaan yang mamai-mamai saya mendengar Azura berkata bahawa air ketubannya telah keluar. Dengar sahaja kata-kata Azura itu, saya terus melompat dan mula bersiap menghantarnya ke hospital. Saya mula terasa kaget dan risau tambahan pula hujan mula turun dengan lebatnya. Namun Azura tetap tenang dan bibirnya sentiasa terukir dengan senyuman dan beliau menenangkan saya dengan kata-katanya yang lembut. Saya pula mula terketar-ketar menahan sejuk dan kerisauan.

Saya hampir terlajak dari simpang hospital kerana kerisauan yang teruk. Terketar-ketar diri saya dibuatnya. Pelik...tidak pernah saya berkeadaan seperti ini. Inilah pengalaman pertama saya menghadapi keadaan seperti ini. Saya membawa isteri ke wad kecemasan Hospital Pakar Putra Batu Pahat. Mujur juga kakitangan hospital ini mengenali isteri saya kerana beliau juga salah seorang kakitangan hospital ini. Isteri saya dimasukkan didalam bilik bersalin. Namun kondisinya ketika ini masih lagi belum tiba saat melahirkan. Maka duduklah saya menemani isteri di teapi katilnya. Risau saya memikirkan keadaan isteri. Namun beliau tetap juga tersenyum. Saya tidak mengerti hatinya ketika ini.

Azura masih tersenyum

Sehingga ke awal pagi Azura masih tertahan di atas katil bersalin. Sudah mula ada kerutan kesakitan di wajahnya namun dia masih mampu untuk berbual dan tersenyum. Air ketuban sudah banyak yang keluar namun bukaan rahimnya masih belum luas untuk proses kelahiran. Hati saya mula berbunga risau tambahan pula apabila doktor menyatakan isteri saya juga berisiko untuk dibedah. Selepas bersolat Subuh, saya memanjangkan doa kepada Allah SWT agar semuanya dipermudahkan untuk Azura. Tidak tertahan pilu dihati melihat isteri kesayangan berkeadaan sedemikian. Terus terang saya katakan bahawa air mata saya menjadi sesuatu yang murah disini.

Sudah mula sakit-sakit

Selepas dimasukkan ubat, Azura sudah mula menampakkan reaksi positif untuk melahirkan anak sulung kami. Bukaan rahimnya juga semakin luas. Lebih kurang jam 10.30 pagi, jururawat dan doktor sudah memenuhi bilik kelahiran. Rasanya hampir 6 orang jururawat bahagian wad bersalin beserta ketua jururawatnya berada di bilik itu bagi membantu proses kelahiran. Saya juga turut bersama mereka. Benar .... saya bersama-sama menyaksikan kelahiran anak saya ! Berdebar juga hati ini namun saya kuatkan hati bagi menemani isteri tercinta disaat segenting ini. Air mata saya pula sudah tidak tertahan-tahan. Hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui perasaan saya ketika itu.Segalanya bercampur aduk !

Detik perjuangan seorang ibu dan isteri

Sesuatu yang agak merunsingkan saya ialah kesukaran bagi proses kelahiran. Anak kami sukar untuk keluar sehingga memaksa doktor menggunakan " vacum". Sebagai seorang guru yang terlatih dalam bidang pendidikan khas saya mengetahui risiko yang dihadapi oleh bayi sewaktu proses kelahiran. Benar-benar saya bertarung dengan perasaan ketika ini. Syukurlah setelah hampir 40 minit bertarung dengan kesakitan, isteri saya selamat melahirkan anak sulung kami. Hanya air mata sahaja yang mengiringi kelahiran Almas Nafisa. Terdengar sahaja tangisan pertamanya, hilang segala kesusahan hati. Dunia bagaikan bersama saya ketika ini.

Ketika melaungkan azan di telinga anak kecil saya ini, tangisannya tiba-tiba berhenti. Matanya terbuka. Alangkah indah saat itu.... saya tidak dapat menceritakannya dengan kata-kata. Walaupun masih lagi belum dibersihkan, saya tetap mengucup anak saya ini. Air mata saya turun dengan lebatnya tanpa ragu-ragu. Ia tangisan kesyukuran yang menggunung. Terima kasih Ya Allah atas anugerah yang tidak terhingga ini.

Almas Nafisa beberapa jam selepas kelahiran

Banyak perkara yang membuatkan saya mudah menitiskan air mata semasa kelahiran Almas Nafisa. Pertamanya ialah apabila mengenangkan keadaan saya dan Azura yang "piatu" di Batu Pahat ini. Hanya saya sahaja yang menemani Azura ketika saat kelahiran tanpa keluarga disisi. Saya terasa benar-benar keseorangan ketika itu. Malahan ada juga staf jururawat yang turut menitiskan airmata melihat saya menangis. Hahahaha


Selepas beberapa jam dilahirkan saya sempat memberi Almas Nafisa merasa kurma sebagai makanan pertamanya di dunia. Ia adalah sunnah Rasulullah SAW yang saya niatkan sebelum kelahirannya lagi. Setelah diletakkan di lelangitnya, Almas Nafisa memberikan reaksi yang sungguh menakjubkan. Lidahnya terkeluar seolah-olah mahu meminta lagi kurma yang menjadi makanan kegemaran Rasullullah SAW itu. Dan seperti biasalah .... sekali lagi air mata saya menitis ! Huhuhuhuhu


Pertama kali membuka mata di hadapan kamera

Selepas Almas Nafisa Melihat Dunia

Beberapa ketika selepas Almas Nafisa dilahirkan, keluarga mertua saya dari Gemas sampai ke hospital. Barulah hati saya menjadi tenang apabila melihat wajah ibu mertua saya. Turut serta ialah abang dan kakak ipar saya iaitu Abang Yun dan Alang beserta dua orang anak-anak buah yang comel. Azura juga telah dipindahkan di wad yang agak selesa. Saya memang berharap ibu mertua saya datang ke Batu Pahat. Saya mahukan Azura lebih bersemangat apabila melihat wajah ibunya disamping membantunya mengurangkan kesakitan yang dialami akibat bersalin tadi.

Keluarga dari Gemas telah tiba

Azura juga turut dikunjungi oleh teman-teman sekerjanya yang bertugas di hospital berkenaan. Nampaknya tidak menang tangan melayan kunjungan mereka dan Almas Nafisa memang menjadi tarika yang utama. Ketika pertama kali membuka mata setelah lena yang panjang sempat saya menangkap wajahnya. Ah...saling tidak tumpah seperti ibunya.

Serbuan teman-teman sekerja Azura

Keluarga mertua saya pulang ketika hari sudah lewat petang. Tinggallah saya bersama Azura. Malam ini saya perlu tidur menemaninya di hospital. Ketika pulang sebentar ke rumah untuk mandi, saya terlelap hampir sejam di dalam kereta. Barulah saya terasa penatnya menyambut kelahiran anak pertama ini. Urat dan sendi badan ini bagaikan mahu tecabut. Benar-benar saya menjadi lesu tambahan pula saya tidak menjamah makanan di awal pagi. Hanya sebelah petangnya barulah saya makan sedikit.

Katil pesakit yang selesa

Almas Nafisa diletakkan di bilik ini ketika malam pertama 
kelahirannya

Azura hanya semalaman sahaja di hospital. Kesokan harinya doktor sudah membenarkannya keluar. Saya dan Azura telah menetapkan untuk terus bergerak pulang ke Gemas. Gementar juga hati untuk membawa isteri dan anak menempuh perjalanan jauh selama hampir 3 jam ke Gemas. Namun saya hanya menyerahkan kepada takdir. Sebelum keluar dari hospital, sempat juga saya membelanja kakitangan wad bersalin Putra Specialist Hospital Batu Pahat dengan ayam KFC. Hanya itu yang dapat saya beri sebagai ucapan terima kasih atas segala sumbangan mereka yang tidak ternilai sepanjang tempoh kelahiran Almas Nafisa. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas budi kalian. Layana dan bantuan di hospital ini adalah yang terbaik dan insyaAllah jika ada hari nanti mungkin akan berjumpa kembali.

Terima kasih



Alhamdulillah kami sekeluarga selamat tiba di Gemas menjelang petang. Segala kebimbangan yang bersarang di hati mula gugur satu persatu. Kini saya dan Azura telah menjadi ayah dan ibu. Tanggungjawab semakin bertambah. Dengan jarak tempat kerja yang jauh memisahkan saya dengan kehidupan berkeluarga membuatkan saya merasa begitu tertekan menghadapi kehidupan seharian. Namun saya sedar segalanya perlu dilalui dengan tabah dan yakin.

Ketika bergerak pulang meninggalkan isteri dan anak di Gemas, air mata saya dan isteri tumpah dengan derasnya. Terasa berat hati hendak meninggalkan separuh dari nyawa saya jauh dari pandangan mata. Namun itulah realitinya yang terpaksa saya terima dengan pasrah. InsyaAllah saya akan pulang juga nanti menemui mereka yang tercinta ini ... tunggu sahaja masa dan ketika. Hati saya tidak pernah melupakan mereka disana.

Aldilfitri dan Almas Nafisa ... ada tangisan tertumpah di balik sejuta perasaan !

Azura dan Almas Nafisa ... buah hati pengarang jantung
hati saya

Anak ayah !










Saturday, August 11, 2012

Ziarah Makam Lama 4 - Sunyi Petang Di Makam Sultan Mahmud Shah

Gementar juga hati saya ketika sampai ke kawasan makam ini. Terasa dunia bagaikan terhenti disini. Suasana sunyi dan saya tidak boleh menipu diri saya sendiri ... memang ada perasaan takut yang menyelinap dihati. Namun saya tetap meneruskan langkah dengan debaran. Kedudukan bangunan kepuk makam yang agak terselindung disebalik rimbunan pohon - pohon menjadikan ia agak misteri.

Kawasan makam Sultan Perak ke-16 Sultan Mahmud Shah

Saya memberikan salam sebelum memasuki kawasan makam. Usai sahaja memberi salam ... secara tiba-tiba pendengaran saya diganggu oleh suara seekor burung yang begitu galak berbunyi. Saya tidak pasti burung dari jenis apa namun bunyinya agak nyaring dan menyeramkan. Saya terus teringat pesan orang-orang lama yang menyatakan supaya jangan diteruskan langkah sekiranya terdengar bunyi burung yang nyaring disesebuah kawasan kerana berkemungkinan burung tersebut terlihat sesuatu yang ghaib berhampiran dengan kita. Saya memberhentikan langkah. Hati saya mula kecut. Tambahan pula saya bersendirian disebuah makam seorang sultan yang berdaulat. Saya membaca beberapa ayat-ayat suci Al-Quran yang selalu saya amalkan bagi menguatkan semangat saya. Alhamdulillah usaha saya dipermudahkan. Suara burung itu terus senyap dan keyakinan saya mula timbul.

Saya terus sahaja ke kawasan kepuk makam. Ah... sedihnya hati melihat kawasan makam yang tidak berjaga. Semak samun menghiasi hampir keseluruhan kawasan makam. Jauh berbeza keadaan makam ini jika hendak dibandingkan dengan makam Raja Ahmad yang baru sahaja saya ziarahi. Batu nisan makam ini juga berlumut dan tanahnya agak becak. Balutan kain kuning pada batu nisannya juga sudah hampir tidak kelihatan. Cuma kelihatan lilitan kain kuning yang kecil sahaja yang tinggal bagi menunjukkan pemilik makam ini ialah seorang Sultan yang berdaulat.

Banggunan kepuk makam

Makam ini ialah makam milik Almarhum Sultan Mahmud Shah ibni Almarhum Sultan Muhammad Shah. Baginda ialah Sultan pemerintah Perak ke -16 dan memerintah dari tahun 1765 hingga tahun 1773. Nama asal baginda ialah Raja Kimas dan baginda merupakan adinda kepada Sultan Perak ke-15 iaitu Sultan Iskandar Zurkarnain. Pada ketika pemerintahan bagindalah lahirnya kesultanan Selangor. Putera Bugis yang bernama Raja Lumu telah ditabalkan sebagai sultan Selangor yang pertama oleh baginda dengan gelar Sultan Sallehuddin Shah. Ada pendapat menyatakan Sultan Mahmud Shah ini mempunyai darah keturunan Bugis. Kesahihannya saya hanya mampu menyatakan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui.



Sultan Mahmud Shah hanya memerintah negeri perak selama lapan tahun. Baginda mangkat di Pasir Pulai Indera Mulia dan dimakamkan di Pulau Besar dengan gelar Marhum Muda. Terdapat juga beberapa makam lain berhampiran dengan kepuk makam baginda. Saya meninjau-ninjau juga disekitar makam ini sekiranya terdapat batu nisan Acheh. Nampaknya tiada batu nisan Acheh disini. Ada sesuatu yang menarik minat saya di makam ini iaitu kewujudan sebatang tiang bendera yang masih kukuh walaupun berkarat. Apa kegunaan dan bila tiang bendara ini digunakan memang saya tidak tahu.

Saya sebenarnya merasa agak terkilan dengan keadaan makam ini yang kelihatan tidak dijaga dengan baik. Saya meninjau carian internet bagi mencari warisan keturunan baginda yang menjadi Sultan Perak. Jawapannya ringkas memang tidak ada warisan baginda yang menduduki takhta kesultanan Perak selepas baginda. Kemana agaknya menghilang waris-waris baginda .... saya dapat merasakan pasti ada cerita tersembunyi disebalik semua ini. Ketika menyentuh batu nisan makam ini yang dingin fikiran saya menjadi kosong. Hilang segala ketakutan yang menerpa diri saya sewaktu mula-mula menjejakkan kaki ke makam ini. 

Saya sempat juga membersihkan sedikit semak-semak liar yang menjejaskan pemandangan makam. Saya berharap akan ada nanti pihak-pihak yang akan membersihkan makam ini. Menyesal juga dihati ini kerana tidak membawa kain kuning untuk dibalut pada batu nisannya. Saya berharap suatu ketika nanti saya akan kembali semula ke makam ini bagi mencari semula cerita warisnya yang hilang !

Hampir 20 minit saya dimakam ini, saya mula melangkah untuk pulang. Sebelum menghidupkan motosikal, saya memandang makam ini dengan tajam. Terasa seolah - olah ada mata-mata asing sedang memerhatikan saya. Saya membaca Al-Fatihah dan menyedekahkannya buat kali kedua kepada roh almarhum Sultan Mahmud Shah... insyaAllah suatu masa nanti saya akan kembali disini. Itu janji saya.

Saya meninggalkan makam Sultan Mahmud Shah ini dengan hati yang rawan. Ini kali pertama saya merasa takut ketika berkunjung ke kawasan makam. Jarang saya merasa sedemikian .... apakah pemilik makam tidak menyukai kehadiran saya atau adakah ada rahsia besar yang tersimpan kukuh bersembunyi disebalik kepuk makam usang berkenaan... hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui dan saya terus bergerak pulang dengan sejuta satu persoalan yang tidak terungkai !

Friday, August 3, 2012

Menjejak Keretapi di Selatan


Agak lama saya tidak menulis di blog perkongsian ini. Keadaan diri yang semakin sibuk tidak memungkinkan diri saya mempunyai masa yang banyak untuk menulis. Tambahan pula bahan cerita juga semakin berkurang dan idea-idea baru sukar pula untuk menyusul tiba. Fikiran juga sesekali menjadi buntu dan seringkali juga cerita-cerita yang ingin dikongsikan terbengkalai malah ada juga yang dibakul sampahkan sahaja oleh diri. Saya menjadi semakin celaru.

Namun segalanya berubah apabila saya mengambil cuti rehat untuk pulang ke Semenanjung baru-baru ini. Menikmati cuti dan berpuasa bersama isteri menjadikan hati dan fikiran saya tenteram semula. Maka mulalah ilham-ilham baru muncul di fikiran saya untuk merangka satu perjalanan ringkas. Sekurang-kurangnya boleh juga saya jadikan cerita untuk kita kongsikan bersama. Akhirnya saya membuat pilihan untuk melihat sendiri landasan keretapi di selatan. Khabarnya masih banyak tinggalan-tinggalan lama dan klasik di sana. Ermm... 

Tidak seperti jajaran landasan keretapi pantai Barat semenanjung yang sudah dimodenkan,jajaran landasan bagi pantai Timur dan Selatan semenanjung masih lagi mengekalkan keasliannya sejak dari awal kewujudannya. Inilah perkara yang membuatkan saya begitu teruja untuk meninjau landasan keretapi di selatan ini. Tumpuan utama saya ialah landasan bermula dari stesen keretapi Gemas menuju ke Segamat. Kali ini saya ingin melihat binaan-binaan klasik yang masih kekal sehingga kini. Mungkin kita akan bernostalgia dengannnya .... siapalah yang tahu.

Perjalanan Bermula

Saya memulakan perjalanan dari Gemas seorang diri. Memandu kereta seorang diri tanpa mempunyai apa-apa panduan benar-benar menguji diri saya. Sejujurnya, saya tidak pernah menjejakkan kaki ke Segamat. Bagaimana keadaan dan jaraknya dari Gemas juga saya tidak tahu. Cuma apa yang bermain di fikiran saya ialah saya mesti menjejakkan kaki ke stesen keretapi Segamat walau apa pun yang terjadi. Saya tidak memberitahu isteri bahawa saya akan ke Segamat. Cuma saya katakan kepadanya, saya ingin pergi mengambil gambar. Isteri saya hanya tersenyum. Saya mengerti, dia memang mengetahui yang saya akan ke Segamat. Hahahahaha

Selepas sahaja melepasi sempadan Negeri Sembilan dan Johor, saya melalui sebuah pekan kecil yang sangat klasik. Rumah-rumah kedainya masih lagi mengekalkan bentuk lama. Pekan yang saya maksudkan itu ialah pekan Gemas Baru. Uniknya, pekan ini betul-betul terletak di pinggir landasan keretapi dan jalan utama.

Bangunan rumah kedai lama yang terdapat di pekan Gemas Baru


Sebuah kedai runcit lama

Memandangkan kedudukan pekan Gemas Baru yang terletak tidak jauh dari landasan keretapi, maka tidak hairanlah pekan ini mempunyai beberapa perkara yang sangat unik. Antaranya ialah sebuah jambatan lama landasan keretapi yang masih digunakan sehingga kini. Saya amat tertarik dengan kualiti binaan jambatan-jambatan keretapi lama. Jurutera-jurutera pada ketika dahulu ( berkemungkinan semasa penjajahan Inggeris ) amat teliti terutama dalam membina sesuatu binaan. Hal ini boleh kita lihat menerusi penyusunan batu - bata yang menjadi tiang utama kekukuhan sesebuah jambatan. Ini menjadikan binaan yang dibina tahan lebih lama dan berkualiti dalam menempuh masa.

Sebuah jambatan besi landasan keretapi di pekan Gemas Baru.
Perhatikan binaan batu bata yang menjadi tapak sokongan jambatan ini.
Kukuh dan kemas !

Terdapat juga sebuah lintasan rata di pekan ini. Nampaknya jalan yang merintangi landasan ini agak sibuk. Namun saya terlupa ia menuju kemana. Sebuah pondok pengawal landasan yang agak usang masih boleh dilihat. Pemandangan yang serupa ini rasanya sudah semakin sukar ditemui di landasan cawangan pantai Barat.

Lintasan rata di pekan Gemas Baru dari jarak jauh.

Saya tidak berlama-lama di pekan ini. Saya meneruskan perjalanan melalui jalan yang asing bagi saya. Saya mengharapkan agar berjumpa dengan hentian-hentian kecil keretapi di sepanjang perjalanan. Terasa rugi juga di hati ini kerana tidak sempat membuat rujukan di internet sebelum memulakan perjalanan. Namun saya merasa hampa kerana tidak menemui sebarang perhentian kecil keretapi pun sepanjang perjalanan. 

Lebih kurang 15 minit memandu secara perlahan dari pekan Gemas Baru akhirnya saya sampai ke pekan Batu Anam. Ia sebuah pekan yang sangat klasik. Sebelum memasuki pekan ini, saya singgah dahulu meninjau keadaan stesen keretapinya. Rasanya bangunan keretapi ini merupakan binaan baru. Namun ada sesuatu yang menarik minat saya di stesen ini, tidak lain dan tidak bukan ialah papan tanda stesen yang masih mengekalkan gaya lama. Sememangnya amat sukar lagi menjumpai papan tanda lama seperti ini kerana pihak KTMB telah menggunapakai papan tanda baru yang berwarna biru di hampir kesemua stesen keretapi di Semenanjung. Ia benar-benar mengujakan saya !.

Stesen keretapi pekan Batu Anam

Pemandangan sekitar stesen keretapi pekan Batu Anam

Nampaknya stesen keretapi Batu Anam agak sunyi. Tidak pula saya ketahui sama ada ia masih berfungsi untuk mengambil atau menurunkan penumpang. Saya seterusnya singgah meninjau keadaan pekan Batu Anam. Kelihatan sebuah jejambat  baru merintangi pekan kecil ini. Landasan keretapi juga turut melalui pekan ini. Saya sempat mengambil gambar lintasan rata jalan utama ke pekan ini dengan landasan keretapinya. Sedang saya sibuk mengambil gambar, saya disapa oleh pengawal landasan. Seronok juga berbual-bual dengan beliau. 

Jejambat baru merintangi landasan keretapi pekan Batu Anam


Saya agak terkejut ketika mula memasuki pekan Batu Anam. Masakan tidak, ia masih mengekalkan rekabentuk pekan-pekan lama. Gaya kolonial masih kuat dan ia merupakan pekan yang tenang. Rumah-rumah kedainya mungkin dibina sejak zaman kolonial lagi. Ahh....seronok saya disini. Tidak sia-sia perjalanan ini, kerana saya dapat mengimbau semula nostalgia pekan-pekan lama yang sudah mati di negeri kelahiran saya Perak Darul Ridzuan. Jauh berjalan rupanya di Johor bertemu kenangan.

Pekan Batu Anam


Rumah kedai lama di pekan Batu Anam

Selepas mengambil gambar di pekan Batu Anam, saya meneruskan perjalanan menuju ke Segamat. Berdebar juga hati ini bila memikirkan saya tidak mengetahui bagaimana keadaan bandar Segamat. Terlintas juga hati ini  untuk mencari makam-makam lama milik keluarga Temenggong yang dikatakan pernah memerintah kawasan Muar ( suatu ketika dahulu Segamat terletak didalam wilayah Muar ). Namun lokasinya tidak pula saya ketahui. Tidak mengapalah, mungkin suatu masa nanti saya akan mencarinya semula.

Rupa-rupanya sebelum sampai ke Segamat saya akan melalui sebuah lagi pekan lama iaitu pekan Buloh Kasap. Ada sesuatu yang amat menarik dan bersejarah di sini iaitu sebuah jambatan yang terputus dua. Jambatan ini diletupkan oleh pihak tentera British bagi menghalang kemaraan tentera Jepun semasa perang dunia kedua. Uniknya, jambatan ini terus dikekalkan sebagai tinggalan bersejarah bagi tatapan generasi kini.

Jambatan Putus Buluh Kasap dari jauh

Tiang utama jambatan putus yang masih kekal

Pemandangan di atas jambatan

Saya agak tertarik dengan corak dinding jambatan ini. Coraknya seperti bendera Union Jack milik Britain. Ahh... itu memang sudah semestinya kerana ia dibina oleh penjajah Inggeris. Kini sekitar kawasan jambatan telah dijadikan kawasan rekreasi bagi pengunjung dan penduduk setempat.

Corak bendera Union Jack pada dinding jambatan putus Buluh Kasap

Pintu masuk ke kawasan rekreasi jambatan putus
Buluh Kasap

Agak lama juga saya di jambatan ini. Namun tidak pula terbuka hati saya untuk mengambil gambar pekan Buluh Kasap. Kelihatannya agak klasik juga pekan ini namun itulah... ia bukan rezeki saya agaknya. Sempat juga saya berbual dengan seorang penduduk tempatan tentang jambatan ini. Agak ramah juga beliau cuma saya agak kurang memahami percakapannya yang terlalu laju. Hahahahaha

Saya meneruskan pemanduan saya menuju ke Segamat. Semakin hampir sampai ke Segamat keadaan lalu lintas mulai sibuk. Saya mulai gusar kerana jalan yang saya lalui ini adalah begitu asing. Mata saya melilau mencari stesen keretapi Segamat yang menjadi hajat utama saya. Akhirnya sayup dari jauh saya dapat melihat  stesen keretapi Segamat, namun simpang jalan untuk ke stesen ini tidak pula saya jumpa. Saya mengambil keputusan untuk memasuki satu simpang yang saya rasakan boleh membawa saya menuju ke stesen keretapi berkenaan. Alhamdulillah... pilihan saya tepat. 

Namun sebelum sampai ke stesen keretapinya, saya singgah dahulu meninjau sebuah jambatan keretapi yang begitu hebat. Ianya terletak tidak jauh dari stesen keretapi Segamat. Inilah jambatan yang pernah saya lihat beberapa kali di internet dimana ada jalan kecil yang melalui dibawahnya dengan ketinggian sekadar lebih kurang dalam 3 meter sahaja. Teruja saya melihat binaannya yang kukuh. Batu bata yang menjadi tiang penahannya disusun kemas menjadikannya sebuah jambatan keretapi yang gagah dan hebat !

Jambatan keretapi di Segamat


Ada jalan yang melalui bawah jambatan ini.


Terdapat juga lintasan rata berdekatan dengan jambatan ini. Jika diikutkan hati mahu sahaja saya berjalan kaki bersendirian di atas jambatan ini. Namun rasa kewaspadaan menghalang diri saya. Saya tidak dapat membayangkan bagaimanakah keadaan serta bunyi yang akan kedengaran dari jambatan ini sekiranya keretapi diesel melalui diatasnya. Ahhh.... pasti bunyinya begitu mengujakan !


Setelah hampir 15 minit meninjau-ninjau keadaan sekitar jambatan ini, saya meneruskan perjalanan ke stesen keretapi Segamat. Sepanjang jalan menuju ke stesen keretapi berkenaan saya dapat melihat kuarters-kuarters lama KTMB yang masih diduduki dan ditinggalkan. Yang paling terkesan dihati saya ialah rumah-rumah kerajaan lama yang diperbuat dari kayu masih utuh disini. Terasa seolah-olah kembali ke zaman sebelum merdeka pula. Hehehehehe.

 Kuarters kerajaan lama

Rasanya sudah tidak berpenghuni

Stesen keretapi Segamat boleh lah dikatakan masih mengekalkan keaslian binaannya. Sekali imbas ia kelihatan seperti stesen keretapi Gemas. Perbezaan yang ketara antara dua buah stesen keretapi ini ialah ia hanya mempunyai satu platform sahaja. Saya tidak pasti sama ada perselisihan antara keretapi boleh dilakukan disini atau tidak. Walaupun terletak ditengah bandar, saya dapat merasakan ada suasana kekampungan dan aroma klasik di sini. Dengan pepohon kelapa yang tinggi dan gah di hadapan stesen ini, ia seolah-olah mengembalikan suasana lama. Carilah stesen keretapi yang masih mempunyai pohon kelapa di sekelilingnya di Malaysia ini.... rasanya jawapan yang kita jumpa ialah .... susah hendak berjumpa lagi ! hahahahaha.

Bangunan utama stesen keretapi Segamat

Keadaan di stesen keretapi Segamat agak tenang. Penumpang juga agak kurang. Saya meninjau-ninjau keadaan stesen ini. Nun di hadapan stesen kelihatan papan tanda stesen bewarna putih. Papan tanda lama juga masih boleh ditemui disini. Uniknya dibelakang papan tanda itu berdiri sebatang pohon kelapa. Ia menimbulkan satu pemandangan yang unik. Saya menggemari mood seperti ini.

Klasik !

Keadaan di dalam stesen keretapi

Ruangan mrenunggu

Kaunter tiket

Platform utama



Saya juga dapat melihat rumah-rumah lama yang masih digunakan oleh pihak KTMB di seberang landasan stesen ini. Rumah-rumah lama ini masih kukuh dalam mendepani cabaran masa. Ia secara tidak langsung mengekalkan stesen keretapi Segamat sebagai salah sebuah stesen lama yang masih kekal dengan suasana lama.



Lama juga saya di stesen ini. Menikmati suasananya yang tenang dan klasik. Beberapa orang penumpang melihat saya dengan perasaan yang hairan. Saya hanya tersenyum dengan mereka. Tidak perlu berkata apa-apa kerana ia memang minat dan hobi saya. Niat dihati mahu saja saya menanti keretapi yang akan tiba melewati stesen ini. Tetapi memandangkan masa yang agak suntuk membuatkan saya perlu beredar dengan segera. Lama juga saya memandang stesen ini... terdetik juga dihati saya jika suatu hari nanti projek landasan berkembar akan sampai ke sini apakah suasana lama seperti ini akan kekal lagi untuk saya ... bermacam andaian mula timbul di hati. Sedaya upaya saya memujuk hati dengan berkata mungkin sekurang-kurangnya catatan kecil ini dapat membeli semula kenangan bagi mereka-mereka yang pernah mempunyai nilai nostalgia disini. 

Saya bergerak meninggalkan bandar Segamat dengan hati yang rawan. Entah bila entah kan tidak lagi saya akan kesini. Melihat suasana lama dan tenang memberikan saya sejuta satu kenikmatan. Ia menenangkan dan membeli semula kerinduan saya terhadap sesuatu yang lama telah mati .... suasana kekampungan !

Dari Gemas ke Segamat .... saya menemui rindu yang meniti disebalik landasan lamanya !