BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �

Wednesday, August 14, 2013

Memori Ramadhan ... Murtabak Berharga RM 106



Setiap tahun saya menantikan kehadiran Ramadhan dengan perasaan yang pelbagai. Nuansa Ramadhan saya saya nikmati seringkali berubah rasa. Sesekali saya akan merasa seronok dan gembira menikmati indahnya berpuasa dan ada juga sesekali saya mengeluh sendiri tanpa ketahuan sebabnya atau mungkin kerana letih. Namun itulah lumrahnya Ramadhan. Jutaan cerita boleh kita dengar dari setiap individu yang menikmati kehadiran bulan istimewa bagi umat Islam ini.

Begitulah Ramadhan yang saya lalui dalam setiap tahun yang berbeza. Sebelum ini, saya menikmati alam Ramadhan saya di daerah luar bandar Sarawak yang indah. Hampir lima tahun mengabdikan diri pada dunia yang serba asing pada mulanya namun akhirnya bertukar menjadi dunia yang sangat dirindui dan disayangi. Itulah bumi Kapit yang kini telah semakin jauh menghindar dari kehidupan saya. Banyak kenangan yang sukar dilupakan sewaktu melalui musim Ramadhan di Kapit dan ia tetap kekal sebagai suatu kenangan yang terindah bagi diri saya. 

Kini saya menikmati episod Ramadhan yang baru di Batu Pahat bersama isteri dan anak yang tercinta. Bukan lagi bersama dengan teman-teman guru di Kapit. Terasa perbezaan yang amat nyata namun semakin menuju penghujung Ramadhan ini, saya sudah mula merasakan kesempurnaan kehidupan. Inilah keenakan Ramadhan yang mulia. Ianya seringkali membuatkan saya bernostalgia.

Kapit Yang Indah


Peta kedudukan Kapit dalam negeri Sarawak

Kisah ini berlaku dua tahun yang lalu. Ketika saya masih berada di Kapit dan masih bujang. Seperti yang diketahui, Kapit bukanlah terletak di kawasan bandar. Ianya sebuah pekan yang terletak jauh di pedalaman Sungai Rajang, yang menjadi nadi perhubungan utama bagi penduduk Kapit. Majoriti penduduknya adalah kaum Iban yang kebanyakannya beragama Kristian. Kaum Cina juga agak ramai di Kapit. Kebanyakan dari mereka ini tinggal di pekan Kapit itu sendiri dan membuka perniagaan mereka sendiri. Etnik orang Ulu juga ramai yang terdiri daripada pelbagai sub etnik seperti Kenyah, Beketan, Penan dan lain-lain lagi. Orang Melayu tidak ramai di Kapit ini. Majoriti penduduk berbangsa Melayu tinggal di Kampung Baru dan Kampung Muhibbah Beleteh.

Panorama pekan Kapit dari udara

Itulah uniknya Kapit. Pelbagai kaum hidup dengan rasa muhibbah disini tanpa sebarang permasalahan yang rumit. Jangan terkejut jika melihat ada lelaki Melayu berkopiah sedang enak-enak menikmati hidangan makanan di sebuah restoran Cina kerana disini kebanyakan restoran-restoran milik orang Cina memberikan peluang kepada penduduk Islam membuka kiosnya yang tersendiri di dalam kedai milik mereka. Ia secara tidak langsung memberikan peluang yang luas kepada integrasi kaum melalui perhubungan yang sangat kompleks dan mudah. Dan saya juga begitu dahulu ... menikmati hidangan yang disediakan oleh orang-orang Islam di restoran Cina tanpa sebarang rasa prejudis !.

Seorang gadis manis kaum Iban dengan pakaian
tradisi

Ramadhan di Kapit sebenarnya amat menyeronokkan. Ikatan ukhwah yang tinggi antara kami guru-guru Semenanjung dengan penduduk Islam menambahkan lagi seri Ramadhan di sini. Cumanya, jika di Semenanjung, jika mahukan juadah berbuka yang pelbagai  kita boleh sahaja membelinya di bazar-bazar Ramadhan yang melata tumbuh sewaktu bulan Ramadhan. Namun disini skripnya berbeza. Walaupun terdapat bazar Ramadhan di Kapit namun ianya tidaklah seperti yang terdapat di tempat kita. Ia tetap meriah namun juadahnya agak kurang dan kurang menyengat. Uniknya bazar Ramadhan disini dibuka lebih awal atau sekitar jam 10.00 pagi. Jika pergi ke bazar ini pada jam 4.00 petang saya yakin kita hanya dapat melihat peniaga-peniaga sedang menutup gerai-gerai jualan mereka. Hahahaha

Gian Makan Murtabak

Penjual murtabak

Saya sememangnya  hantu murtabak. Saya mampu menghabiskan dua keping murtabak sekali makan jika kena pada masanya. Anehnya, kesukaan saya terhadap murtabak menjadi-jadi sewaktu di bulan Ramadhan. Jika di hari-hari biasa tidak pula saya menjadi begitu berhantu terhadap murtabak. Ianya hanya muncul setahun sekali iaitu di bulan Ramadhan ini sahaja.

Keadaan ini terbawa-bawa sehingga saya bertugas di Kapit. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, di Kapit memang tidak ada orang menjual murtabak. Saya menjadi bingung. Ingin dibuat sendiri sememangnya diri saya tidak mempunyai kepandaian. Pilihan yang ada cuma satu ... saya harus ke bandar Sibu. Di Sibu nuansanya berbeza. Komuniti Muslim yang terdiri daripada orang Melanau dan Melayu amat ramai disana. Bazar Ramadhannya juga amat besar. Juadah yang dijual juga mirip kepada apa yang terdapat di Semenanjung. Mahu tidak mahu saya perlu melunaskan juga hajat di hati ini. Keinginan terhadap murtabak melebihi segalanya.

Saya merencana satu perjalanan ke Sibu. Saya turut mengajak beberapa orang teman rapat untuk ikut bersama. Sayangnya tiada seorang pun yang mahu mengikuti saya ke Sibu. Tambahan pula pada ketika itu Ramadhan sudah masuk ke minggu terakhirnya. Teman-teman rapat lebih selesa duduk diam di Kapit sementara menanti saat untuk berpulang ke kampung halaman tercinta.

Bot ekspres .. satu-satunya nadi perhubungan masyarakat
Kapit 

Saya menaiki bot ekspres untuk ke Sibu pada jam 12.30 petang. Tiket berharga RM25 telah saya beli lebih awal. Tiket untuk perjalanan pulang juga telah saya beli. Perjalanan menaiki bot ekspres menghilir Sungai Rajang mengambil masa selama hampir 3 jam. Inilah satu-satunya kemudahan pengangkutan awam yang ada bagi penduduk Kapit untuk ke Sibu. Kemudahan jalan raya masih belum ada walaupun projek pembinaan jalan raya ini telah dicanangkan tidak lama dahulu. Biasanya saya lebih suka tidur atau mengelamun di dalam bot ekspres. Filem-filem yang ditayangkan di dalam bot ekspres ini jarang menarik perhatian saya. Panorama di luar bot ekspres juga statik. Hanya hutan dan sesekali rumah panjang yang sunyi. Itu sahaja jamuan mata yang ada untuk saya.

Sampai di Sibu saya terus mencari hotel untuk penginapan saya malam ini. Sayangnya kebanyakan hotel yang biasa saya tempah telah dipenuhi pelanggan. Silap saya juga tidak menempah hotel dahulu sebelum ke Sibu. Hal-hal seperti ketiadaan hotel ini adalah sesuatu yang lumrah bagi kami guru-guru Semenanjung yang ke Sibu pada hujung-hujung minggu. Ini adalah kerana jika kena pada harinya, bandar Sibu akan menjadi penuh dengan manusia yang datang dari pelbagai tempat seperti Kapit, Song, Mukah, Kanowit dan sebagainya. Sibu adalah bandar besar yang paling hampir dengan tempat-tempat saya sebutkan tadi. Kebanyakan pekerja-pekerja kem balak juga menjadikan Sibu sebagai tempat utama mereka berlibur sekiranya mendapat gaji. Oleh itu adalah tidak menghairankan jika hotal-botel bajet yang banyak di Sibu juga masih belum mampu untuk menampung kebanjiran pengunjung yang sesekali ramai itu.

Saya mundar-mandir berjalan kaki mencari hotel bajet yang masih kosong. Ternyata kebanyakan dari hotel-hotel ini telah penuh. Saya sudah terfikir, jika tiada hotel-hotel bajet yang masih tinggal terpaksalah saya bermalam di Hotel Primier Sibu iaitu sebuah hotel mewah. Syukurlah, terdapat sebuah hotel bajet yang masih  mahu menerima kehadiran saya. Itupun hanya tinggal sebuah sahaja bilik yang masih belum ditempah. Tanpa banyak bicara saya menerima sahaja bilik yang masih tinggal itu. Fikir saya tidak mengapalah membayar RM50 bagi sebuah bilik hotel asalkan saya dapat bermalam dengan selesa.

Hotel tempat saya bermalam ini merupakan sebuah hotel yang agak usang. Rasanya mungkin ia antara yang terawal di Sibu. Biliknya agak luas dengan tingkap yang begitu klasik. Pendingin hawanya juga dari jenis model lama dan berbunyi agak kuat apabila suhunya dinaikkan. Katil kayunya juga agak klasik dan mengeluarkan bunyi rengekan apabila saya bergerak ke kiri dan kanan. Tandasnya bersih. Cuma pancuran air panasnya sahaja yang nampak moden. Saya menyukai suasana hotel ini. Ada rasa ketenangan bermain di hati sebaik sahaja memasukinya.

Usai sahaja meletakkan beg di hotel, kaki saya terus melangkah keluar untuk ke bazar Ramadhan Sibu. Tidak sabar rasanya menikmati keenakan sekeping murtabak yang panas. Bazar Ramadhan Sibu terletak tidak jauh dari Kompleks San Yan yang menjadi mercu tanda bandar Sibu. Jarak bazar ini dari hotel penginapan saya agak jauh. Namun ia tidak menghalang semangat saya untuk mencari murtabak yang sangat diidamkan itu.

Bazar Ramadhan Sibu

Setelah berjalan kaki selama hampir 15 minit akhirnya saya sampai juga ke bazar Ramadhan Sibu. Melihat kepada ramainya pengunjung dan peniaga yang menjual aneka juadah membuatkan saya menjadi begitu teruja. Ternyata bazar Ramadhan Sibu tidak menghampakan saya. Ramai juga orang berniaga murtabak. Saya membeli dua keping murtabak dari seorang penjual yang berkopiah. Harganya juga tidaklah semahal yang disangkakan. RM6 untuk dua keping murtabak tidak membebankan saya yang bekerja sebagai seorang guru ini. Selain dari itu, saya juga membeli juadah lain seperti nasi goreng ayam dan air. Cukup semua pembelian dengan pantas saya pulang ke hotel. Tidak sabar rasanya menikmati hidangan berbuka puasa yang amat dinantikan ini !.

Bertuahnya berbuka puasa di Sarawak ialah waktu berbuka puasanya yang jatuh lebih awal dari Semenanjung. Lazimnya waktu berbuka puasa disini ialah dalam sekitar jam 6.40 minit petang. Namun jika bersendirian di hotel sebegini saya lebih selesa melewatkan waktu berbuka saya lebih seminit dari waktu yang tertera pada jam tangan saya. Ia sebagai satu cara saya mengelakkan dari berbuka awal dari waktu yang sebenarnya.

Saya akui, saya telah tewas dengan nafsu makan saya pada ketika berbuka puasa hari itu. Saya menghabiskan dua keping murtabak, sebungkus nasi goreng ayam dan beberap keping kuih dalam jangka masa 15 minit sahaja. Namun terasa kepuasan apabila dapat melunaskan keinginan saya terhadap murtabak walaupun rasa murtabak berkenaan tidaklah sesedap yang saya jangkakan. Hahahahaha

Kekenyangan yang menggila

Malam itu saya keluar sekali lagi meneroka suasana malam bandar Sibu. Di Sibu terdapat pasar malam yang dibuka setiap hari. Saya suka mengunjungi pasar malam ini pada setiap kali saya ke Sibu. Kadangkala tidak ada apa pun yang saya beli di pasar malam ini melainkan hanya untuk mencuci mata sendiri sahaja. Namun untuk malam ini, ada sesuatu yang ingin saya cari di pasar malam ini. 

Selain dari menjual beraneka barangan, pasar malam Sibu ini juga menempatkan peniaga-peniaga yang menjual makanan. Hasrat di hati saya mahu membeli kepak ayam panggang dan nasi lemak untuk dibuat bersahur. Sejak tinggal di Sarawak, saya menjadi seorang penagih kepak ayam panggang yang tegar. Jika terlihat kepak ayam panggang, mudah sahaja air liur saya menjadi kecur. Hal ini terbawa-bawa sehinggalah saya berpindah ke Batu Pahat ini.

Pulang dari pasar malam untuk ke hotel, saya melalui sebuah gerai menjual burger. Kesudahannya dua biji burger dibungkus untuk dibawa pulang ke hotel. Saya sendiri tidak pasti sama ada saya mampu untuk menghabiskan makanan-makanan yang telah saya beli ini dan perut rasanya masih lagi penuh. Malam itu saya hanya duduk sendirian sambil menonton televisyen. Keseorangan dan bersendirian membuatkan saya menjadi lebih tenang. Walaupun saya sememangnya seorang yang periang dan banyak cakap namun sesekali saya lebih selesa bersendirian. Ia memberikan lebih priavasi kepada diri saya. Ia membuang sebentar segala masalah kerja dan peribadi yang sering membelenggu kehidupan saya.

Masuk sahaja jam 9.30 malam saya mula terasa lapar. Tangan saya pantas menyuap sedikit demi sedikit nasi lemak dan kepak ayam panggang yang dibeli di pasar malam tadi. Habis nasi lemak dan sayap panggang, saya terasa masih belum kenyang. Lantas sebiji burger masuk ke dalam perut. Barulah terasa kenyang yang amat sangat. Perut juga semakin membuncit akibat makan dengan terlalu banyak. Betul-betul saya melunaskan dendam makan di Sibu ini. Pada fikiran saya tidak mengapalah. Bukan selalu saya berkeadaan seperti ini. Hahahahaha.

Tepat jam 12.00 malam saya tidur dan jam 3.30 pagi saya bangun untuk bersahur. Mujur juga ada sebiji lagi burger yang masih belum saya nikmati malam tadi. Habis juga burger berkenaan saya makan walaupun dalam keadaan mata yang mengantuk. Saya memerhatikan dari tingkap hotel ke arah jalan raya di hadapan hotel. Lengang sahaja jalan raya berkenaan. Ia jauh berbeza dengan suasana siangnya yang sibuk dan berserabut.

Burger untuk bersahur

Esoknya saya mengambil kesempatan untuk membeli belah sedikit untuk keperluan hari raya saya. Ketika mahu meningalkan hotel berkenaan, penjaga kaunter itu hanya tersenyum memandang saya. Risau juga hati saya dipandang sedemikian rupa. Saya memberikan kunci kepadanya. Tiba-tiba dia berkata kepada saya bagaimana tidur saya malam tadi adakah lena atau tidak. Saya hanya menjawab lena dengan mimpi yang indah-indah sahaja. Beliau akur dan menambah ... sudah 2 bulan tidak ada orang yang mahu tidur di bilik itu kerana katanya berhantu. Saya tersenyum dan berkata semula kepadanya bahawa di bulan puasa seperti ini hantu-hantu semuanya kena ikat. Beliau mengangguk setuju dan saya terus melangkah keluar dengan seribu satu persoalan yang aneh.

Tepat jam 12.30 tengah hari, bot ekspres saya membelah keheningan Sungai Rajang untuk kembali semula ke Kapit. Dan seperti perjalanan ke Sibu semalam, begitulah keadaan saya hari ini. Tepat jam 3.30 petang saya sampai semula ke Kapit. Cikgu Kumaresan sudah sedia menanti saya di terminal bot ekpres Kapit dengan senyuman sumbingnya.

Di rumah saya mengira-ngira kos yang saya keluarkan hanya untuk dua keping murtabak. Tiket bot ekspres pergi dan balik RM50 dicampur dengan harga bilik hotel berhantu RM50 sudah menjadi RM100. Harga dua keping mutabak pula ialah RM6. Campur keduanya menjadi RM106. Tersenyum saya sendiri betapa mahalnya harga yang perlu saya bayar untuk menikmati dua keping murtabak. Sehingga hari ini saya masih tersenyum apabila teringatkan hal murtabak ini. Ia akan kekal sebagai memori Ramadhan saya yang terindah samapai bila-bila.

RM106 dan murtabak membuatkan Ramadhan saya sentiasa indah !


Sunday, July 21, 2013

Ziarah Makam Lama 9 : Menziarahi Makam Sultan Yang Tertua

Makam Almarhum Sultan Muzaffar Shah I 
Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah
( Sultan Yang Dipertuan Negeri Perak yang pertama )

Akhirnya apa yang saya impikan setelah sekian lama berakhir juga setelah menjejakkan kaki ke makam bersejarah ini. Saya sendiri tidak menyangka, suatu perjalanan ringkas menggunakan motosikal uzur bersama adik bongsu saya telah membawa saya ke makam yang suatu ketika dahulu hanya menjadi khayalan dan imaginasi saya sahaja. Inilah kisah perjalanan saya ke makam Almarhum Sultan Muzaffar Shah I ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah ( Sultan Yang Dipertuan Negeri Perak Darul Ridzuan yang pertama.

Pemula Bicara

Sekongkong tanah Minangkabau
Selilit pulau perca
Di lengkong Ular Saktimuna
Perpisahan beta di Selat Melaka
Jika sah beta raja berdaulat
Lepaskan sekalian malapetaka.

Bagi pengkaji sejarah dan pencinta kisah kesultanan Melayu Perak pasti pernah mendengar bait-bait seruan di atas. Itulah seruan keramat yang dilafazkan oleh Sultan Muzaffar Shah I ketika kapal yang dinaiki baginda bersama rombongannya tersangkut di Beting Beras Basah atau dengan lebih tepatnya di kuala Sungai Perak. Bermula dari peristiwa inilah bakal-bakal sultan Perak harus menjejakkan kaki di Beting Beras Basah ini sebagai salah satu ritual istiadat pertabalan yang dipusakai sejak turun temurun lagi. Tambahan pula ia sebagai memperingati pertabalan Sultan Muzaffar Shah I ini di Beting Beras Basah itu juga.

Beting Beras Basah muara Sungai Perak di Bagan Datoh 

Kisah berkenaan peristiwa baginda di Beting Beras Basah ini sememangnya begitu terkenal dan banyak diceritakan di dunia siber dan buku-buku sejarah. Tidak perlulah saya bercerita tentangnya lagi. Namun peristiwa di Beting Beras Basah ini sebenarnya membawa kepada begitu banyak pengertian yang seterusnya terus dibawa dari zaman ke zaman sehingga kini.

Antaranya ialah keunikan jawatan dan gelaran Raja Muda ( khabarnya gelaran sebenar ialah Raja Mahkota ) yang terlahir daripada peristiwa Sultan Muzaffar Shah I membuang mahkota di kepalanya atas permintaan jin yang menghalang baginda dan rombongannya sehingga kapalnya tersangkut di Beting Beras Basah. Dengan tiadanya mahkota itu menyebabkan sultan-sultan Perak terus bertanjak sehingga kini dan tidak menggunakan mahkota di kepala.

Kesultanan Melayu Perak Darul Ridzuan



Negeri Perak Darul Ridzuan ini sememangnya bertuah kerana mewarisi sejarah dan kegemilangan dua buah empayar Melayu yang terkenal iaitu empayar Sriwijaya dan empayar Kesultanan Melayu Melaka. Umum mengetahui bahawa Parameswara yang menjadi pengasas empayar Melaka adalah berasal dari Palembang dan berketurunan dari pengasas empayar Sriwijaya.



Sejarah mencatatkan bahawa empayar Melayu Melaka berkubur sebaik sahaja Portugis berjaya menakluki Melaka pada tahun 1511. Namun demikian saya lebih selesa menyatakan bahawa empayar Kesultanan Melayu Melaka hanya berkubur selepas kemangkatan sultan terakhirnya berketurunan Sriwijaya iaitu Sultan Mahmud Shah di Kampar Sumatera pada tahun 1528 atau kira-kira 17 tahun selepas peristiwa serangan Portugis ke atas Melaka.

Gambaran artis serangan Portugis ke atas Melaka

Peristiwa kejatuhan Melaka inilah secara tidak langsung membenihkan kewujudan sebuah kesultanan Melayu yang baru iaitu Kesultanan Melayu Perak yang diasaskan oleh putera Sultan Mahmud Shah Melaka itu sendiri iaitu Raja Muzaffar Shah.

Kewujudan kesultanan Perak ini begitu unik kerana orang-orang Perak sendiri yang datang memohon dari Sultan Mahmud Shah Melaka ( ketika itu berkerajaan di Kampar ) agar dihantar seorang putera baginda untuk dirajakan di Perak. Permintaan orang-orang Perak yang diketuai oleh seorang pembesar dari Hulu Perak yang bernama Tun Saban dan Nakhoda Kassim itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah Melaka. Baginda menitahkan anakandanya yang bernama Raja Muzaffar untuk berangkat ke Perak dan menjadi sultan Perak yang pertama. Turut dibawa bersama dalam keberangkatan ke Perak ini ialah alat-alat kebesaran warisan  kesultanan Melayu Melaka. Oleh itu adalah tidak menghairankan jika Perak Darul Ridzuan sememangnya adalah warisan sebenar dari kesultanan Melayu Melaka.

Siapa Sultan Muzaffar Shah I ?

Sultan Muzaffar Shah I adalah putera kedua Sultan Mahmud Shah menerusi isterinya yang bernama Puteri Onang Kening yang berasal dari Kelantan. Baginda ikut serta melihat kejatuhan kesultanan Melayu Melaka ke tangan Portugis dan akhirnya bersama dengan Sultan Mahmud Shah berundur ke Kampar. Ketika di Kampar inilah baginda telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah untuk berangkat menjadi sultan Perak yang pertama.

Pertabalan baginda di Beting Beras Basah pada tahun 1528 menandakan bermulanya legasi pemerintahan beraja di Perak Darul Ridzuan. Zaman berganti dan sehingga kini warisan baginda tidak kira dari sebelah pihak lelaki atau perempuan masih utuh memerintah negeri Perak ini. Sehingga catatan ini ditulis, negeri Perak telah diperintah oleh seramai 34 orang sultan yang warisan darah dan catatan sejarahnya pasti mempunyai kaitan dengan Sultan Muzzaffar Shah I ini.

Dari maklumat yang saya dapati dari beberapa laman web, baginda dikatakan beristeri sebanyak dua kali dan mendapat 16 orang anak. Salah seorang anakandanya telah dilantik menjadi sultan Perak kedua dengan gelar Sultan Mansur Shah I Ibni Sultan Muzaffar Shah I.

Sultan Muzaffar Shah I memerintah selama 21 tahun bermula dari tahun 1528 sehinggalah ke tahun 1549. Baginda mangkat di Tanah Abang atau kini di Kampung Air Mati Teluk Bakong, Lambor Kanan.

Gambar lama makam Sultan Muzaffar Shah I 
Ibni Sultan Mahmud Shah Melaka.

Pencarian Makam Sultan Muzaffar Yang Memenatkan

Saya sendiri sebenarnya tidak menjangka akan menjejakkan kaki ke makam sultan yang tertua ini. Usai sahaja ziarah di dua buah makam di Kampung Pulau Tiga, perjalanan saya dan Hidayat diteruskan ke arah utara daerah Perak Tengah. Melalui jalan yang dihiasi panorama kampung tradisi Melayu benar-benar menyeronokkan mata. Deretan rumah-rumah kayu lama dan sawah padi membuatkan saya merasa senang. Lantaran itu motosikal buruk saya semakin diperlahankan kelajuan demi menikmati perjalanan yang menyeronokkan.

Hal ini telah menyebabkan Hidayat yang membonceng di belakang merasa hairan melihat saya semakin memperlahankan motosikal buruk kami. Beliau risau motosikal tua ini rosak dipertengahan jalan. Motosikal tua kami terus membelah jalan tanpa sebarang kerenah. Keyakinan terhadap motosikal berjenama Suzuki dari model RC80 ini benar-benar semakin utuh. Inilah kenderaan yang banyak berjasa kepada saya dan keluarga. Ianya tidak pernah menghampakan diri saya.

Model Suzuki RC 80 yang menjadi kebanggaan saya

Kami mula memasuki kawasan mukim Lambor. Mata saya dan Hidayat semakin melilau di kiri dan kanan jalan mencari papan-papan tanda yang menunjukkan arah ke makam-makam lama dan bersejarah. Namun tidak pula kami tersua dengan papan tanda makam. Hati saya kuat menyatakan bahawa pasti ada satu makam penting di kawasan ini. Jiwa saya seolah-olah memberitahu supaya jangan meninggalkkan kawasan mukim Lambor tanpa berziarah di makam ini. Persoalannya makam siapa ? ... saya sendiri tertanya-tanya tanpa kepastian.

Hidayat di belakang sudah mengeluh. Hari sudah beransur petang. Jika boleh kami perlu ke singgah di Teluk Intan semula sebelum hari malam bagi menyelesaikan beberapa perkara dalam perjalanan balik nanti. Masa benar-benar telah membuatkan saya menjadi serba salah. Kami terus bergerak ke arah utara mukim Lambor. Semakin ke utara semakin hati saya menjadi rawan. Tidak ketahuan kenapa saya berfikir sedemikian rupa. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk berpatah semula.

Kedudukan Lambor dalam daerah Perak Tengah.

Tindakan saya itu mengejutkan Hidayat di belakang. Beliau hairan dengan tindakan saya. Saya memberitahunya bahawa pasti ada sebuah makam penting di kawasan ini. Saya bertekad mahu mencari juga makam berkenaan untuk terakhir kalinya hari ini. Selepas itu saya tidak akan bergerak ke utara daerah Perak Tengah lagi. Perjalanan hari ini telah saya tetapkan diakhiri di mukim Lambor !.

Saya memberhentikan motosikal di sebuah gerai milik seorang penduduk setempat yang menjual hasil-hasil kampung ( tidak salah dalam ingatan beliau sedang menjual cendawan ) untuk bertanya sekiranya terdapat makam-makam lama di sekitar kawasan mukim Lambor ini. Mujur juga loghat Perak saya masih pekat dan pertanyaan saya dijawab dengan mesra oleh penduduk berkenaan. Dari kata beliau jelaslah bahawa rasa hati saya sebelum tepat sekali bahawa di mukim Lambor ini terdapat sebuah makam yang sangat penting dan istimewa bagi kesultanan Melayu Perak iaitu makam sultan pertamanya, Sultan Muzaffar Shah I.

Singgah bertanya kepada seorang penduduk kampung
yang menjual cendawan di tepi jalan.

Saya bertanya di kawasan atau simpang manakah letaknya makam berkenaan. Lelaki itu hanya tersenyum dan terus meminta saya melihat di tepi jalan sebelah kiri dari arah Lambor menghala ke Bota pasti terjumpa papan tanda arah makam yang diletakkan di atas tanah. Saya sendiri merasa aneh kenapa pula papan tanda makam terletak di atas tanah. Saya segera bertanya tentang hal papan tanda di atas tanah tersebut kepadanya. Jawapannya mudah ... dahulu memang papan tanda itu terpasang dengan kemas pada tempatnya. Namun hakikat masa telah merosakkannya. Mungkin ada penduduk kampung yang perihatin telah meletakkan papan tanda itu di atas tanah supaya jika ada yang berziarah dapat melihat arah makam.

Errrrm.... mengomel saya sendirian dihati. Satu lagi warisan sejarah penting kesultanan Perak tidak diberikan perhatian yang sewajarnya oleh pihak-pihak berwajib. Setelah mengucapkan salam dan berterima kasih saya dan Hidayat terus bergerak menuju ke arah makam. Sempat juga kami berdua membeli air minuman membasahkan tekak di sebuah gerai di tepi jalan.

Akhirnya Sampai Ke Makam Yang Sepi

Perjalanan kali ini dibuat dengan berhati-hati. Saya mengarahkan Hidayat memerhatikan papan tanda seperti yang disebut oleh lelaki tadi. Semakin lama bergerak semakin hati saya tidak keruan. Saya bimbang kami telah terlepas simpang jalan untuk ke makam berkenaan. Tiba-tiba Hidayat di belakang menjerit memberitahu saya beliau ternampak sebuah papan tanda kecil di atas tanah. Hampir-hampir sahaja motosikal kami terlajak dari simpang berkenaan. Syukur Alhamdulillah, pencarian kami berakhir setelah melihat tulisan yang tertera di atas papan tanda berkenaan jelas menunjukkan lorong berkenaan akan membawa kami ke makam Sultan Muzaffar Shah I.... sultan pemerintah negeri Perak Darul Ridzuan yang pertama !

Kami memasuki lorong atau jalan kampung yang cantik. Sepanjang jalan mulut saya tidak habis-habis bercerita tentang kisah Sultan Muzaffar Shah kepada Hidayat. Beliau tidak berkata apa-apa. Di penghujung jalan kelihatan sebuah kebun kelapa sawit. Hati saya mula risau memikirkan tentang letak kepuk makam yang kelihatannya agak ceruk. Namun kerisauan itu segera berakhir apabila terlihat bangunan kepuk makam yang masih terjaga dan cantik di pinggir kebun kelapa sawit berkenaan. Hati saya melonjak girang. Impian yang dipendam selama ini telah berakhir dan kini makam Sultan Muzaffar Shah I berada di depan mata.

Saya meletakkan motosikal tidak jauh dari kawsan kepuk makam. Saya memerhatikan kawasan makam yang agak terjaga. Sayangnya terdapat beberapa perkara yang mencemarkan pemandangan di kawasan makam. Tindakan melatakkan tilam lama pada pagar makam seolah-olah memberikan imej yang tidak baik kepada warisan sejarah yang tidak ternilai ini. Terdapat juga timbunan guni tempurung kelapa dan sabut kelapa di persekitaran kawasan makam. Perkara-perkara ini benar-benar menyakitkan mata saya !.

Sungguh menyakitkan mata dan perasaan !

Berdebar juga hati sewaktu memasuki ke kawasan kepuk makam yang sudah berusia hampir 500 tahun ini. Deretan batu nisan Acheh yang indah membuatkan hati saya semakin tidak keruan. Setelah memberi salam dan membuka pintu pagar makam, saya tidak segera naik ke atas kepuk makam. Sebaliknya saya berlegar-legar dahulu di sekeliling kawasan kepuk makam ini. Hidayat pula mengikut langkah saya dengan tanda tanya. Sengaja saya berbuat demikian bagi mencari waktu yang sesuai naik ke atas kepuk makam.

Suasana di makam Sultan Muzaffar Shah I

Setelah saya benar-benar yakin barulah saya naik ke atas kepuk makam. Kebiasaannya saya akan terus meluru dan menyentuh batu nisan makam-makam yang saya ziarahi. Namun untuk makam ini saya lebih selesa untuk memandangnya sahaja terlebih dahulu. Saya meminta Hidayat bersama-sama membaca surah Al-Fatihah untuk disedekahkan kepada roh almarhum dan ahli keluarganya. Selepas berdoa dan bersedekah surah Al-Fatihah barulah saya menaiki tangga kepuk makam. Teruja saya sendiri melihat deretan makam lama dan bersejarah tersusun kemas di hadapan saya. Beberapa pasang batu nisan Acheh yang indah membuatkan saya begitu kagum dengan seninya. Namun demikian saya tetap berhati-hati dengan setiap langkah saya. Rasa kebimbangan sentiasa bermain di hati.

Empat buah makam dalam satu kepuk yang sama.

Suasana petang semakin menipis di makam ini. Cahaya matahari juga kelihatan sudah kurang taringnya. Balutan kain kuning pada batu nisan di makam-makam ini kelihatannya masih utuh dan baharu. Pasti masih ramai yang berkunjung ke makam ini atas tujuan berziarah. Dari pengamatan saya terhadap makam ini, ianya masih terjaga dan bersih. Papan tanda makam yang dibina oleh pihak muzium juga masih kukuh. Cumanya tulisannya sahaja yang sudah mula pudar. Namun sekurang-kurangnya jika dilihat dari dekat ia masih juga boleh dibaca dengan agak bersusah payah sedikit.

Papan tanda makam masih utuh cuma
tulisannya sudah agak pudar.

Sebenarnya terdapat empat buah makam dalam kepuk makam ini. Tiga buah makam ditandai dengan batu nisan Acheh daru jenis yang berbeza antara satu sama lain. Cuma makam Sultan Muzaffar Shah I sahaja yang ditandai dengan batu nisan dari jenis yang sama dengan makam-makam sultan Perak yang pernah saya ziarahi sebelum ini. Terasa agak janggal pula melihat makam sebuah ini yang tidak berbatu nisan Acheh sedangkan makam-makam yang lainya megah dengan batu nisan Acheh yang indah dan berseni. Namun saya pasti suatu ketika dahulu pasti makam Sultan Muzaffar Shah I juga ditandai dengan batu nisan Acheh. Cumanya ia mungkin dicabut dan digantikan dengan batu nisan yang baru sebagai satu keseragaman bagi semua makam-makam sultan Pemerintah negeri Perak... wallahualambissawab.

Batu nisan makam Sultan Muzaffar Shah I

Pandangan makam dari sisi

Saya duduk dan memegang batu nisan makam Sultan Muzaffar Shah I ini. Fikiran saya menerawang mengingat kisah indah perjalanan almarhum baginda untuk menjadi pemerintah pertama kesultanan Perak. Agak unik apabila memikirkan seorang sultan yang pernah melihat keagungan pelabuhan Melaka memilih untuk bertapak dan berkerajaan di kawasan hulu sungai ( Sungai Perak ). Namun saya pasti faktor ancaman Portugis menjadi sebab yang sangat baik untuk baginda memilih berkerajaan di Tanah Abang. Tambahan pula perjanjian baginda dengan Tok Temong juga menyebabkan baginda hanya mempunyai kuasa pemerintahan di kawasan  tebing mudik kanan sungai Perak sahaja. Manakala tebing mudik kiri terus kekal di bawah kuasa dan pegangan pembesar setempat.


Tiga buah makam berbatu nisan Acheh juga turut saya pegang. Pasti ia milik isteri dan kaum kerabat baginda. Ada juga pendapat yang menyatakan penasihat agama baginda iaitu Syed Hussain Al-Faradz juga dikebumikan bersama baginda. Namun makam Syed Hussain Al-Faradz letaknya di mukim Kota Bharu Gopeng ( insyaAllah cerita makamnya akan saya ulas dalam siri akan datang ). Jika dilihat dari usia makam, saya yakin batu-batu nisan Acheh disini bolehlah dikategorikan sebagai antara yang tertua di Malaysia. Usianya sudah menjangkau 500 tahun namun ia masih kukuh dan utuh mendepani cabaran masa dan cuaca.

Batu nisan Acheh yang paling menyerlah
di kepuk makam Sultan Muzaffar Shah I

Jenisan Batu nisan Acheh yang lebih kecil

Batu nisan Acheh tidak berkepak

Saya melihat dari kepuk makam ke arah sungai Perak yang menjauh. Sejarah kesultanan Perak banyak dipengaruhi oleh sungai yang kedua terpanjang di tanah Semenanjung ini. Inilah nadi perhubungan utama penduduk Perak sejak dari dahulu lagi. Kota-kota pemerintahan kesultanan Perak sejak dari dulu lagi sentiasa bertukar-tukar di sepanjang mudik kanan sungai ini. Itulah sebabnya makam-makam sultan Perak bertaburan di sepanjang mudik kanan sungai ini dari daerah Hilir Perak sehingga ke Kuala Kangsar. Perjanjian Sultan Muzaffar Shah I dengan Tok Temong menyebabkan sultan-sultan Perak terus berkerajaan di mudik kanan sungai Perak sebelum Almarhum Sultan Idris Shah Ibni Raja Bendahara Alang Iskandar memecah tradisi perjanjian ini dengan menjadikan Bukit Chandan yang terletak di tebing kiri sungai Perak menjadi pusat pemerintahan baginda. Sultan Yusof Sharifuddin Mudzaffar Shah ( Sultan Perak ke-27 ) menjadi sultan Perak terakhir yang dimakamkan di tebing kanan sungai Perak iaitu di Sayong.

Sultan Yusof Sharifuddin Mudzaffar Shah
( Sultan Perak ke-27 )
Sultan Perak terakhir dikebumikan di tebing kanan
Sungai Perak.
( kredit : sembangkuala.wordpress.com )

Kemana Menghilang Warisan Melaka ?

Seperti yang telah diceritakan oleh sejarah, selepas sahaja sultan Perak ke-9 iaitu Sultan Sallehuddin Shah mangkat di Kampar, Sumatera maka terputuslah keturunan zuriat warisan Melaka dari menjadi sultan Perak. Ini juga bermakna, tiada lagi zuriat keturunan Sultan Muzaffar Shah I dari sebelah pihak lelaki atau perempuan yang menjadi pemerintah Perak.

Sultan Acheh telah menghantar seorang putera Raja Siak yang mempunyai darah keturunan Melaka dari sebelah pihak perempuan untuk di jadikan Sultan Perak yang ke-10 dengan gelar Sultan Muzaffar Shah II. Saya merasa hairan, kemanakan warisan lain dari putera-putera Sultan Muzaffar Shah I ini sedangkan rujukan saya pada laman RoyalArk menunjukkan bahawa baginda mempunyai lebih dari seorang putera.

Catatan sejarah hanya menyatakan cuma seorang sahaja putera baginda yang dilantik menjadi sultan Perak iaitu Sultan Mansur Shah I ( sultan Perak ke-2 ). Selepas itu, bermula dari sultan ke-3 sehingga ke sultan ke-9, jawatan sultan Perak diisi oleh warisan Sultan Mansur Shah I ini tidak kira dari sebelah pihak lelaki atau dari sebelah pihak perempuan. Saya begitu pasti dan yakin mustahil tiada langsung zuriat lelaki dari putera-putera Sultan Muzaffar Shah I yang lain yang layak untuk dijadikan sultan selepas kemangkatan sultan ke-9. Selisih masa antara period pemerintahan Sultan Muzaffar Shah I ( sultan pertama ) dan Sultan Sallehuddin Shah ( Sultan ke-9 ) hanyalah sekitar 105 tahun sahaja. Mustahil dalam tempoh itu tiada zuriat lelaki lain yang dilahirkan menerusi warisan putera-putera baginda yang lain.

Hal ini kemudian saya tanyakan kepada beberapa orang tua dan teman-teman yang sangat berminat dengan bidang sejarah. Antara teori mereka yang dapat saya terima setakat ini ialah pengaruh Acheh. Kesultanan Acheh telah mula menguasai kesultanan Perak sejak dari pemerintahan Sultan Mansur Shah I lagi. Banyak kaum kerabat diraja Perak berhijrah ataupun dibawa mengungsi ke Acheh selepas itu. Jadi adalah tidak mustahil kebanyakan keluarga diraja Perak telah berhijrah ke Acheh yang pada ketika itu menjadi sebuah kerajaan yang makmur dan kuat.

Teori kedua juga mungkin agak relevan dimana keturunan Sultan Mansur Shah I menjadi lebih dominan dari keturunan putera Sultan Muzaffar Shah I yang lain sehingga mereka hilang terus dari hieraki jawatan penting diraja. Lama-kelamaan warisan yang lain ini terus hilang dan tidak dapat ditemui lagi.

Teori ketiga pula dimana menurut mereka kebanyakan zuriat lelaki lain telah dibunuh sewaktu peperangan menentang Acheh dan yang terselamat terus membuang gelar keDirajaan mereka. Namun saya agak tidak dapat menerima teori yang ketiga ini kerana jika dilihat dari fakta sejarah, kesultanan Acheh sebenarnya membantu melindungi zuriat warisan Melaka. Hal ini terbukti apabila seorang putera Sultan Mansur Shah I atau dengan lebih tepatnya cucunda Sultan Muzaffar Shah I telah dilantik menjadi sultan Acheh ke-8 dengan gelar Sultan Alauddin Mansur Shah. Selain itu banyak kaum kerabat diraja Acheh yang berkahwin dengan kerabat kesultanan Perak. Hal ini terbukti apabila beberapa orang sultan Perak juga mempunyai campuran darah kesultanan Perak dan Acheh.

Selain itu, selepas mangkatnya sultan Perak ke-9, sultan Acheh dengan segera menghantar Raja Sulong iaitu seorang putera raja Siak lama untuk menjadi sultan Perak ke-10 dengan gelar Sultan Muzaffar Shah II. Saya meyakini perkara ini pasti ada muslihatnya yang tersendiri kerana Sultan Muzaffar Shah II berkahwin dengan Raja Fatimah Puteh Binti Raja Muda Abdullah ( putera Pahang dari dinasti Melaka ). Raja Fatimah Puteh ini pula berbondakan Puteri Perak Ibni Sultan Mansur Shah I ( sultan Perak ke-2 ) atau dengan lebih tepatnya cucunda Sultan Muzaffar Shah I. Jadi secara teknikalnya, warisan Sultan Muzaffar Shah I akan tetap berada dalam diri sultan-sultan Perak seterusnya walaupun dari sebelah pihak perempuan sehinggalah ke suatu ketika yang tidak dapat diceritakan !...

Kesimpulannya, bermula sahaja period pemerintahan Sultan Muzaffar Shah II maka bermulalah warisan Siak dalam kesultanan Melayu Perak. Manakala warisan Melaka atau dengan lebih tepatnya warisan Sultan Muzaffar Shah I adalah pada belah pihak perempuan. Jadi dengan itu secara jelasnya kesultanan Perak tetap dianggap sebagai warisan Melaka yang sah. Kisah Sultan Muzaffar Shah II yang menjadi penyelamat kepada warisan Melaka dan Sultan Muzaffar Shah I ini akan saya ulas dalam siri yang akan datang.

Kesal Hari Muda

Saya dan Hidayat membersihkan sedikit kawasan kepuk makam. Daun-daun kering serta rumput-rumput yang meninggi kami cabut semampu yang boleh. Saya mengoyang-goyangkan tiang bendera di pintu masuk makam, ternyata ia masih kukuh. Saya masih tertanya-tanya apakah fungsi sebenar tiang bendera berkenaan dan bilakah waktunya ia digunakan. Pokok-pokok renek seperti pokok bunga puding kelihatan hidup dengan suburnya serta terjaga dengan bersih. Jalan untuk ke makam ini juga baik dan persekitarannya luas cukup untuk memarkir beberapa buah kereta.

Bayang-bayang pokok kelapa sawit semakin menunduk menadakan petang semakin tua. Saya masih lagi duduk berteleku di makam. Hidayat pula sudah mula merayap-rayap di sekitar kawasan makam. Sengaja saya membiarkan beliau merayap. Biar dia melihat betapa indahnya ciptaan Tuhan.  Saya mencuba merakamkan beberapa gambar di makam ini sebaik yang mungkin. Memikirkan yang diri yang semakin jauh dari negeri Perak Darul Ridzuan ini membuatkan saya terfikir adakah saya mampu untuk ke makam ini suatu ketika nanti ? ... ini membuatkan saya terus termenung panjang. Terasa sesalnya memikirkan usia muda saya yang terlepas dahulu. Alangkah indahnya jika saya dari dahulu lagi menziarahi makam ini. Namun itulah... saya sedar semuanya adalah ketentuan yang maha kuasa.

Ke Makam Anak Bentara

Kepuk makam Anak Bentara

Lamunan saya tiba-tiba dikejutkan dengan jeritan Hidayat memanggil saya. Saya terkejut dan mula terasa risau. Hidayat tidak pula terlihat di sekitar pemandangan saya. Saya membalas laungannya dari arah kepuk makam. Tidak lama kemudian Hidayat datang berjalan ke arah saya dengan senyuman. Hilang segera kegusaran di hati. Hidayat memberiyahu saya bahawa terdapat sebuah lagi kepuk makam tidak jauh dari kepuk makam Sultan Muzaffar Shah I ini. Saya segera berdiri dan memandang ke arah tempat yang Hidayat tunjukkan. Ternyata dari jauh dapat dilihat sebuah kepuk makam berpagar. Hati saya tertanya-tanya makam siapalah pula yang dikebumikan berdekatan makam Sultan Muzaffar Shah I ini ? ...

Saya keluar dari kepuk makam dan berjalan menuju ke arah sebuah kepuk makam yang agak terselindung. Hanya sebuah makam sahaja yang terdapat di dalam kepuk makam ini. Namun dari binaan pagar istana jelas menunjukkan insan yang dikebumikan di makam ini juga bukan calang-calang orangnya. Batu nisan makam ini juga berbalut dengan kain kuning yang masih utuh. Namun saya tidak pasti pula batu nisannya dari jenis Acheh atau tidak kerana terlindung oleh balutan kain kuning itu.

Sepasang batu nisan makam Anak Bentara

Hidayat bertanya kepada saya tentang pemilik makam tersebut. Saya menggelengkan kepala sahaja sebagai respon bahawa saya tidak mengetahui jawapannya. Lama saya termenung memikirkan berkenaan makam ini. Saya pasti makam ini pasti mempunyai kaitan yang sangat erat dengan sejarah kesultanan Perak Darul Ridzuan.

Hidayat di perkarangan kepuk makam Anak Bentara

Hasil rujukan di internet dan beberapa orang teman, mereka menyatakan ia adalah makam Anak Bentara yang mati akibat terjatuh dari gajah yang ditungganginya. Kononnya seorang anak kepada seorang Datuk Bentara semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah I telah jatuh terguling lalu mati dari atas gajah yang ditungganginya semasa cuba mendaki kubu Tanah Abang yang disediakan bagi menghadapi ancaman Siam. Ceritanya juga agak kelam dan hanya beberapa blog sahaja yang membuat artikel berkenaan dengan makam ini. Namun sesungguhnya saya amat berterima kasih kepada blog SUMPAHAN TOK KADUK dan  INDERA KENCANA  yang membantu saya menyelesaikan misteri berkenaan dengan pemilik makam ini.

Kembali Ke Makam Sultan Muzaffar Shah I

Kami berdua tidak berlama-lama di makam Anak Bentara ini. Saya bergerak semula ke makam Sultan Muzaffar Shah I dan Hidayat mengekori dari belakang. Saya masuk semula ke kawasan makam dan berdiri memandangnya. Lima minit kemudian barulah saya melangkah keluar. Pintu pagar makam telah Hidayat tutupkan kembali rapat-rapat. Angin petang bertiup perlahan. Terasa segar apabila wajah diusap oleh angin sebegitu.

Hidayat menutup pintu pagar makam sebelum pulang

Masa untuk meninggalkan makam ini sudah semakin hampir. Saya melihat jam di tangan. Alangkah terkejutnya apabila rupa-rupanya saya sudah menghabiskan masa hampir sejam di kawasan makam ini. Saya dan Hidayat perlu mengejar masa kali ini bagi mengelakkan sampai pada waktu malam di rumah. Tambahan pula kami perlu singgah dahulu di Teluk Intan bagi menguruskan beberapa hal.

Saya menghidupkan enjin motosikal buruk saya. Dengan sekali tendangan enjinya terus mengaum kencang. Hidayat terus duduk membonceng di belakang tanpa dipinta. Motosikal buruk kami mula bergerak meninggalkan makam. Baru sahaja bergerak tiba-tiba perasaan saya semakin tidak keruan. Saya memberhentikan motosikal. Hidayat di belakang terkejut dan bertanya mengapa saya berhenti. Saya diam dan memandang arah makam. Dalam diam-diam hati saya berbisik dan berniat ... insyaAllah suatu masa  nanti pasti saya akan berziarah lagi ke makam ini. Dan hati saya terus menjadi tenang.

Sekongkong tanah Minangkabau
Selilit pulau perca
Di lengkong Ular Saktimuna
Perpisahan beta di Selat Melaka
Jika sah beta raja berdaulat
Lepaskan sekalian malapetaka.

DAULAT TUANKU
DAULAT TUANKU
DAULAT TUANKU



Perjalanan hari ini ditamatkan  ......
























Wednesday, June 19, 2013

Menunggu Hari Matinya Sebuah Pekan Bernama Siputeh



Salam Cerita Dari Pekan Siputeh

Sukar untuk diucapkan dengan kata-kata apabila kedua-dua kaki saya menjejakkan kaki ke pekan Siputeh ini. Dunia terasa diterbalikkan 360 darjah disini. Nuansa lama yang telah lama mati dari hiruk pikuk kemodenan bagaikan hidup semula disini walaupun dalam keadaan yang nazak. Benar ... ia mungkin antara beberapa pekan tua yang masih hidup dengan sejuta satu kenangan di negeri Perak Darul Ridzuan ini. Ketika beberapa teman lamanya ada yang mati diratah oleh kemodenan, pekan Siputeh terus dengan nilai lamanya yang utuh dan klasik. Ya ... di pekan Siputeh yang tenat ini saya menemui sebuah cerita ... cerita sebuah pekan yang sedang menunggu hari matinya !

Pekan Tua Di Pinggir Jalan

Perjalanan ke pekan Papan yang ceritanya telah saya ulas tidak lama dahulu rupa-rupanya telah membenihkan satu lagi kunjungan yang tidak dijangkakan oleh diri saya. Usai sahaja keluar dari pekan Papan, saya telah mengajak sepupu saya Harith untuk terus ke pekan Tronoh yang terletak tidak jauh dari pekan Papan. 

Peta lama jajaran landasan keretapi
cawangan Ipoh ke Tronoh yang kini telah tiada.

Cadangan awalnya, saya mahu mencari jejak warisan landasan keretapi lama cawangan Ipoh ke Tronoh yang kini telah tiada sambil melihat kembali pekan Tronoh yang pernah saya kunjungi beberapa tahun yang lepas. Sekurang-kurangnya pasti ada bahan cerita yang boleh saya kongsikan di pekan Tronoh ini. Sayangnya, sebaik sahaja kereta yang kami naiki memasuki simpang ke pekan Tronoh ini, saya mula tawar hati untuk turun mengambil gambar atau mencari warisan sejarah landasan keretapi atau pekannya. Tidak ketahuan kenapa hati saya bagaikan terasa berat. Kesudahannya kami keluar sahaja dari pekan Tronoh tanpa ada sebarang usaha. Harith sendiri hairan dengan sikap saya.

Saya memutuskan untuk terus pulang sahaja ke rumah Harith di Batu Gajah. Sepanjang perjalanan kami sibuk bercerita tentang pelbagai tajuk. Maklum sahajalah, sudah lama tidak bertemu. Namun begitu walaupun sibuk berbual, mata saya tetap meliar memandang kiri dan kanan jalan. Sehinggalah sampai di suatu kawasan mata saya terpandang deretan rumah kedai lama yang terletak agak jauh dari jalan utama arah Batu Gajah ke Ipoh. Bagaikan dikejutkan dari lamunan yang panjang, saya lantas mengajak Harith ke pekan yang unik itu. Harith tidak menolak dan dengan pantas beliau menyatakan saya akan melihat pekan Siputeh yang sangat tua !

Pekan Siputeh Yang Saya Ketahui

Jika tidak silapnya dalam ingatan, saya mula mendengar nama pekan Siputeh ini sejak saya dalam tingkatan satu, atau dalam tahun 1997. Asalnya melalui perpindahan seorang rakan persekolahan ke Ipoh. Apabila beliau pulang sekali sekala ke Bidor, sering juga beliau datang melawat saya di rumah. Dari perbualan bersama teman sekolah inilah saya mengetahui yang beliau tinggal di pekan Siputeh yang letaknya tidak jauh dari bandaraya Ipoh.

Lumrahlah, sebagai anak kampung yang hidupnya amat jarang berenggang tanah kelahiran, fikiran saya pada ketika itu hanya dapat menangkap dan membayangkan bahawa pekan Siputeh pasti sebuah pekan yang sibuk dan berkembang kerana ia terletak tidak jauh dari Ipoh. Dan fikiran-fikiran semacam itu bagaikan terlekat di otak sehinggalah saya menjejakkan kaki ke pekan ini dengan sebenar-benarnya. Barulah saya sedar, pekan Siputeh yang pernah saya bayangkan dahulu bukanlah seperti yang saya jangkakan. Pekan Siputeh yang berada di hadapan mata saya ini ialah sebuah pekan tua yang usang dan uzur. Ia membuatkan saya terkelu sejuta bahasa. Inilah lumrah perjalanan ... ia sentiasa memberikan ceritera dan pengalaman baru kepada saya dan saya menikmatinya dengan rasa syukur. Sekurang-kurangnya ia menambahkan lagi khazanah dan koleksi arkib penceritaan pekan-pekan lama di blog saya ini.

Marilah ... saya akan membawa anda melihat sebuah pekan lama yang masih hidup dengan kepayahan. Tanggalkan sebentar ego kemodenan anda dan nikmati gerak tari lama di pekan Siputeh ini. Ia pekan tua yang menanti kunjungan anak muda dengan sejuta rasa kenangan yang tak terluah !

Hati Tersentuh 

Tidak banyak maklumat yang dapat saya pungut dari Harith berkenaan dengan pekan Siputeh ini. Beliau sendiri agak asing dengan kewujudan pekan ini walaupun sering melihatnya dari pinggir jalan menuju ke Ipoh.  Berbanding dengan pekan Tronoh dan pekan Papan, pekan Siputeh memang agak asing bagi pencinta khazanah lama pekan-pekan tua. 

Saya beranggapan, populariti pekan Papan sedikit sebanyak telah menenggelamkan nama pekan Siputeh sebagai sebuah lagi pekan lama yang masih wujud di negeri Perak. Hal ini ada juga kebenarannya kerana dari perbincangan saya dengan komuniti peminat sejarah di internet ternyata kebanyakan dari mereka lebih mengenali pekan Papan dan Tronoh daripada pekan Siputeh malahan ada yang  tidak tahu langsung kewujudannya. Mahu tidak mahu saya perlu segera merakamkan saat-saat pekan ini sementara ia masih bernyawa. Sekurang-kurangnya apabila hayatnya dibunuh oleh komedenan, catatan mengenainya masih ada untuk kita kongsikan bersama.. insyaAllah.

Kami melalui sebatang jalan yang agak sunyi sebelum sampai ke pekan Siputeh ini. Saya bagaikan tidak percaya sebaik sahaja melunasi jalan tersebut kereta kami disambut oleh sebuah pekan yang sunyi dan seolah-olah ditinggalkan. Walaupun ketika itu ialah saat sambutan perayaan Tahun Baru Cina namun suasana kemeriahannya seolah-olah tidak terasa disini. Nuansanya begitu tenang dan sayu. Kami seolah-olah kembali semula ke suatu zaman yang telah menghilang !

Selamat datang ke pekan Siputeh !

Jalan di pekan ini lengang. Deretan rumah kedai di kiri dan kanan jalan kebanyakannya ditutup. Ada juga yang telah ditinggalkan uzur. Sesetengah dari rumah kedai di pekan ini masih berpenghuni tetapi keadaannya begitu lusuh. 

Harith meletakkan kereta di hadapan sebuah rumah kedai yang masih berpenghuni. Seorang lelaki tua berbangsa Tiong Hua tersenyum memandang kami. Saya mengucapkan selamat tahun baru Cina dalam keadaan yang tidak ikhlas kepadanya. Lelaki tua itu tersenyum dan menunjukkan isyarat bagus kepada kami. berdua. Pada penglihatan saya hanya di sekitar kawasan rumah kedainya sahaja yang terasa adanya sambutan Tahun Baru Cina manakala yang lainnya begitu suram.

Saya mula berjalan kaki meneroka pekan Siputeh ini manakala Harith lebih selesa duduk di dalam kereta mendengar radio. Saya merasakan bangunan rumah kedai yang terdapat di pekan ini dibina sejak dari sebelum perang dunia pertama lagi. Ianya sama dengan binaan rumah-rumah kedai lama yang banyak terdapat di pekan-pekan lama sekitar negeri Perak ini. Saya cuba merakamkan dengan sebaik mungkin gambar-gambar suasana pekan ini. Aura klasik terasa begitu kuat disini. Beberapa penunggang motosikal tersenyum memandang saya yang sibuk mengambil gambar di pekan tua ini.

Sunyi yang mencangkam

Rumah kedai sudah direnovasi

Beberapa rumah kedai kelihatannya seperti pernah direnovasi namun ia juga seolah-olah sunyi dan ditinggalkan.Kaki lima rumah-rumah kedai ini kelihatnnya terjaga. Ia menunjukkan bahawa pekan ini masih berfungsi sebagai tempat penduduk setempat mencari barangan keperluan. Namun demikian terdapat juga kaki lima rumah kedai yang terbiar. Namun ia tidaklah seteruk rumah-rumah kedai yang terdapat di pekan Papan.

Tidak pasti pula sama ada kedai-kedai di pekan ini
masih berfungsi atau tidak.

Kaki lima rumah kedai yang sempat saya rakamkan

Seperti sebelum-sebelum ini, saya sememangnya berminat dengan kaki lima rumah kedai di pekan-pekan lama. Perasaan saya bagaikan mudah terbuai apabila duduk atau melalui lorong kaki lima rumah-rumah kedai tua ini. Ia seolah-olah mengembalikan ingatan saya pada suatu ketika yang telah lama berlalu. Saya pasti ramai yang masih mengingati ketika era kita sebagai pengguna menjadi raja. Pergi sahaja ke kedai-kedai runcit tradisional milik orang-orang Cina dan minta sahaja apa kemahuan kita. Pasti taukeh-taukeh kedai runcit berkenaan akan mengambil, menimbang dan membungkuskan barangan tersebut untuk kita. Saya masih ingat lagi bungkusan tepung yang diperbuat dari surat khabar dan diikat kemas dengan tali rafia yang unik. Saya pasti kita tidak akan berjumpa dengan jenisan bungkusan seperti itu lagi pada hari ini.

Saya melalui sebuah rumah kedai yang terbiar. Semak samun dan tumbuhan hijau meliar menutupinya. Fikiran saya sibuk memikirkan kemanakah pemilik dan waris kepada rumah kedai berkenaan. Terasa rugi melihat bangunan kedai klasik seperti ini dibiarkan tanpa terbela. Mahu sahaja saya memililki rumah kedai seperti ini namun saya sedar ianya pasti takkan berlaku.


Ia terbiar tanpa pembelaan

Pohon-pohon hijau yang meliar mula meliputinya

Tidak ketahuan apa nasibnya kelak.

Saya singgah sebentar di sebuah bangunan rumah kedai yang agak terpisah dari rumah kedai utama pekan ini. Terdapat dua buah rumah kedai dua tingkat di bangunan ini. Sayangnya hanya sebuah sahaja rumah kedai yang masih berfungsi sebagai kediaman. Terdapat perbezaan yang nyata antara kedua-dua rumah kedai ini. Sebuah masih tetap utuh dan kemas manakala yang sebuah lagi sudah usang dimamah masa malahan boleh dikatakan hanya menunggu masa sahaja untuk jatuh menyembah bumi. Teringat saya dengan kata-kata orang lama yang menyatakan bahawa rumah yang tidak bertuan akan mudah untuk menjadi usang. Dan saya mengakui kata-kata itu dengan benarnya !

Perhatikan perbezaan di antara dua rumah kedai ini

Menunggu saat runtuh menyembah bumi

Terdapat sebuah restoran India Muslim ( jika tidak salah saya ) yang masih beroperasi di pekan ini. Ketika kunjungan saya ianya masih dibuka dan masih terdapat pelanggan di dalamnya. Sekurang-kurangnya ia masih memberi warna kepada kewujudan pekan ini. Sayangnya tidak pula terdetik untuk saya mengambil gambar. Saya hanya melintas di hadapan restoran ini dan seperti biasanya ada mata-mata yang memandang dengan senyuman sinis.

Seperti beberapa pekan lain yang wujud di daerah Kinta, Kampar dan Batang Padanag, saya meyakini kewujudan pekan Siputeh juga saling berhubung kait dengan perkembangan aktiviti perlombongan bijih timah yang sememangnya menjadi hasil utama negeri Perak suatu ketika dahulu. Sayangnya selepas sahaja perusahaan bijih timah mula merosot maka beberapa pekan yang suatu ketika dahulu menjadi tumpuan manusia mula hilang seri dan peranannya. Pekan Siputeh juga tidak terkecuali. Kedudukannya juga agak hampir dengan bandar-bandar besar seperti Ipoh dan Batu Gajah, maka secara tidak langsung peranannya sebagai tempat sehenti penduduk setempat semakin terhakis.

Tiada kemudahan pejabat kerajaan disini. Kemudahan pejabat pos juga tidak kelihatan. Besar kemungkinan penduduk setempat lebih selesa berurusan di bandar Batu Gajah yang terletak tidak jauh dari pekan ini. Kemudahan stesen minyak juga tiada. Inilah nasib sebuah pekan tua yang semakin dilupakan oleh arus kemodenan. Generasi muda mungkin menganggapnya sebagai sebuah pekan yang tidak mempunyai nilai dan peluang untuk legasi kehidupan. Bijih timah yang suatu ketika dahulu merupakan tarikan yang bernilai kini hanyalah satu tinggalan sejarah yang telah berlalu. Manusia-manusia yang pernah menikmati saat gemilang di pekan Siputeh juga semakin menyusut jumlahnya. Hiruk pikuk sebuah pekan yang berjasa itu semakin menghilang dan sunyi dan saya pasti esok atau lusa ia terus hilang dalam lipatan sejarah.

Selemat tinggal pekan Siputeh

Saya memandang matahari petang yang redup. Terasa begitu sepi di pekan ini. Angin yang bertiup sesekali membawa sampah-sampah kering di jalanannya yang kosong. Di hujung jalan Harith mula menghidupkan enjin kereta untuk mengambil saya setelah melihat saya mula bergerak ke arahnya. Saya sedari saat untuk mengucapkan selamat tinggal kepada pekan Siputeh semakin hampir. 

Kereta kelabu yang membawa saya dan Harith mula bergerak meninggalkan pekan tua ini. Saya memandang sayu ke arah pekan Siputeh yang kini semakin menjauh dari pandangan mata. Dunia kemodenan tidak memungkinkan ia akan terus wujud dalam keadaan seperti ini lagi. Esok atau lusa pasti urat-urat kemodenan akan datang menghambat masa silamnya yang gemilang. Mungkin pekan Siputeh akan berubah wajah atau mungkin juga ia akan ditinggalkan sama seperti pekan Kampung Kepayang. 

Pekan Siputeh kini semakin tua, uzur dan dimamah masa. Teman-teman lamanya sudah banyak yang berubah wajah atau dibunuh oleh masa dan zaman namun pekan Siputeh terus hidup tanpa banyak berbicara tentang hari silamnya yang gemilang. Ia seperti seorang lelaki tua yang menyendiri di hari akhirnya. Benar ... ia sedang menyendiri sementara menanti masa membunuhnya dengan kejam ! 

Dan saya melihatnya dengan simpati !

Selemat berjumpa lagi pekan Siputeh







Wednesday, June 12, 2013

Ziarah Makam Lama 8 : Makam Dua Sultan Perak Berlainan Warisan

Tidak jauh dari  makam Syed Hussain Yamani ), terdapat sebuah lagi kepuk makam lama milik dua orang sultan pemerintah Perak. Kedudukan makam ini juga berhampiran dengan rumah penduduk kampung. Setelah melihat bangunan kepuk makam, saya tidak terus singgah sebaliknya terus menunggang motosikal saya ke depan. Sungai Perak yang mengalir perlahan di sebelah kiri jalan berserta rumah-rumah kayu tradisi yang masih utuh di kampung Pulau Tiga ini benar-benar membuatkan saya merasa teruja. Terasa tenang disini. Udara petang membuatkan perjalanan menjadi mudah dan lancar.

Melalui jalan kampung di pesisir sungai Perak
benar-benar mengujakan !

Hidayat di belakang diam dan bungkam. Mungkin pelik dengan sikap saya. Di tepi jalan kelihatan sebuah rumah kayu lama yang begitu unik. Saya berkeyakinan rumah tua ini sudah melebihi 100 tahun usianya. Dilihat dari keadaannya saya yakin ia sudah tidak lagi diduduki. Binaannya masih kukuh dan utuh melawan cuaca. Jika dilihat dari bentuknya, rumah tua ini kelihatannya seperti rumah Kutai yang menjadi rumah tradisi Perak.

Rumah kayu lama yang menarik perhatian

Hasil maklumat dari blog Kampong Pulau Tiga, rumah ini adalah milik seorang pembesar negeri Perak yang dikenal sebagai Tok Paduka Raja. Sesuatu yang pasti terdapat beberapa ciri yang berbeza antara rumah tradisi ini dengan rumah kutai Perak. Antaranya ialah tiadanya motif hiasan kepala cicak di bucu atapnya. Dikatakan asal usul rumah Kutai di Perak mempunyai kaitan yang amat erat dengan kemasukan budaya Acheh dan Bugis yang sekian lama berakar dalam struktur masyarakat tradisional Perak. Hal ini juga dapat dilihat melalui beberapa kesamaan antara rumah Kutai dan rumah adat Acheh dan Bugis.

Namun untuk rumah ini saya lebih kuat menyatakan ia juga agak terpengaruh dengan senibina rumah tradisi yang banyak terdapat di kepulauan Riau termasuk Kampar. Riau juga dihuni oleh orang-orang Bugis dan tidak mustahil apabila mereka merantau ke Perak, corak binaan rumah tradisi  Riau ini telah dibawa bersama dan disesuaikan dengan gaya setempat dan gaya Acheh / Bugis. Itu hanyalah telahan saya sahaja berdasarkan pandangan awal. Mungkin ia jauh menyimpang dan hanya Allah SWT sahaja yang maha mengetahui.

Setelah mengambil gambar rumah tua ini barulah saya bergerak menuju ke kawasan kepuk makam yang menempatkan makam dua orang sultan pemerintah negeri Perak. Matahari petang yang menyinar bagaikan tidak terasa disini kerana makam ini terletak di bawah teduhan pohon-pohon yang merendang. Terasa agak dingin apabila semakin menghampiri kawasan kepuk makan. Kepuk makam terletak berhampiran dengan rumah penduduk kampung dan tidak jauh juga dari aliran sungai Perak.

Bangunan kepuk makam dua orang sultan berlainan warisan

Kepuk makam ini menempatkan makam sultan Perak ke-8 iaitu Almarhum Sultan Mahmud Shah Ibni Almarhum Sultan Mansur Shah yang memerintah dari tahun 1627 hingga 1630 dan makam sultan Perak ke-14 iaitu Almarhum Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Yang Dipertuan Muda Raja Mansor yang memerintah dari tahun 1744 sehingga 1750. Selang masa pemerintahan antara kedua-dua orang sultan Perak ini ialah 114 tahun.

Walaupun kedua-kedua sultan ini berjaya menaiki takhta kerajaan negeri Perak namun terdapat perbezaan benih warisan yang jelas dalam diri baginda berdua. Sultan Mahmud Shah Ibni Sultan Mansur Shah adalah dari benih warisan kesultanan Melayu Melaka yang tulen dari belah pihak lelaki menerusi Sultan Perak yang pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah I. Manakala Sultan Muhammad Shah Ibni Raja Mansor pula adalah merupakan benih warisan dari kesultanan Siak lama  menerusi sultan Perak ke-10 iaitu Sultan Muzaffar Shah II. Namun demikian, Sultan Muhammad Shah ini masih dianggap sebagai waris Melaka dari belah pihak perempuan.

Kepuk Makam Yang Redup

Tiada makam lain yang terdapat di dalam kepuk ini melainkan makam kedua-dua orang sultan ini sahaja. Batu nisan kedua-dua buah makam ini sama sahaja dengan batu nisan makam-makam sultan Perak yang pernah saya ziarahi sebelum ini. Saya merasa bangga kerana penduduk kampung Pulau Tiga ini menjaga dengan baik makam kedua-dua orang sultan ini. Papan tanda penerangan berkaitan dengan almarhum berdua kelihatannya masih kukuh dan jelas untuk dibaca walaupun dimamah masa.

Hidayat di hadapan kawasan makam

Setelah berada di dalam kepuk makam, saya mengarahkan Hidayat untuk membersihkan sedikit kawasan makam dari daun-daun kering. Suasana makam yang redup benar-benar mendamaikan. Dari atas kepuk makam, saya dapat melihat arus sungai Perak yang tenang itu. Saya memegang batu nisan di kedua-dua makam ini dengan berhati-hati. Balutan kain kuning di makam ini agak berbeza dari makam-makam yang pernah saya ziarahi. Biasanya kain kuning pada batu nisan makam sultan-sultan Perak hanya diikat pada hujung kepala batu nisan dengan menggunakan tali atau kain dari tiga warna asas bendera negeri Perak. Namun batu nisan di kedua-dua makam ini dibalut kemas dengan kain kuning pada keseluruhannya. Pasti masih ada waris keturunan baginda berdua yang masih menjaga makam ini.

Balutan kain kuning yang unik pada kedua-dua pasang 
batu nisan makam

Saya sebenarnya sudah mengetahui bahawa terdapat begitu banyak cabang warisan di dalam sejarah kesultanan Perak. Penaklukan kuasa-kuasa luar seperti Acheh ke atas Perak sebenarnya memberi kesan yang besar di dalam pelantikan sultan-sultan di negeri Perak. Sebab itulah apabila sahaja saya sampai ke kepuk makam ini saya dapat merasakan bagaikan ada suatu perkaitan yang sangat jelas antara baginda berdua walaupun selang masa pemerintahannya mengambil masa satu abad lebih. Namun demikian, saya tidak dapat merungkaikan persamaan itu di makam ini. Puas saya cuba mencari persamaan itu sewaktu ziarah ini namun ia tidak dapat diselesaikan. Hanya selepas melakukan kunjungan ziarah kali kedua barulah saya mula dapat mencari persamaannya iaitu tidak lain dan tidak bukan .... ACHEH dan MUZAFFAR!.

Pengaruh Acheh dan Keturunan Dua Muzaffar

Umum mengetahui bahawa kuasa kesultanan Acheh keatas kesultanan Perak sangatlah kuat sedari pemerintahan sultan kedua Perak iaitu Sultan Mansur Shah Ibni Sultan Muzaffar Shah I lagi. Namun demikian, uniknya walaupun sudah menguasai kesultanan Perak, Acheh sebenarnya sangat menjaga benih warisan Melaka yang menjadi sultan-sultan pemerintah Perak. Hal ini jelas kelihatan menerusi perlantikan sultan-sultan pemerintah Perak bermula dari sultan ketiga sehinggalah sultan ke-10 pasti berkait rapat dengan kuasa Acheh.

Sultan Mahmud Shah  ialah cicit kepada sultan Perak pertama iaitu Sultan Muzaffar Shah I. Nama asal baginda ialah Raja Yusuf atau Raja Bongsu. Baginda telah dilarikan ke Acheh sewaktu Acheh mengalahkan Perak semasa pemerintahan Sultan Mukaddam Shah ( sultan Perak ke-6 ). Jika dilihat kepada hieraki warisan Melaka di dalam kesultanan Perak pada ketika itu jelas hanya baginda sahaja yang masih ada bagi menyambung legasi Melaka ( laman Royal Ark * menyatakan baginda adalah warisan Melaka dari sebelah pihak perempuan ). Namun nama yang tertera pada papan tanda makam ialah menunjukkan baginda adalah anakanda kepada sultan Perak kedua ( benih Melaka dari pihak lelaki ) ataupun baginda ialah cucunda kepada Sultan Muzaffar Shah I. Hal ini amat-amat mengelirukan dan saya lebih selesa memilih baginda adalah dari benih keturunan Melaka dari pihak lelaki.

Justeru itu, selepas kemangkatan sultan Perak ke-7 iaitu Sultan Mansur Shah II ( ada juga versi lain yang menyatakan baginda diturunkan dari takhta ) di Acheh, pihak Acheh telah menghantar baginda ( Raja Yusuf / Raja Bongsu ) bersama dengan beberapa orang pembesar Acheh bagi menjadi sultan Perak ke-8 dengan gelar Sultan Mahmud Shah. Saya juga agak tertarik dengan gelaran yang digunakan oleh baginda. Agak hairan juga kenapa baginda tidak sahaja menggunakan nama baginda yang sebenar iaitu Yusuf sebagai gelar sultan ? ... setelah saya fikirkan secara mendalam barulah saya sedari, baginda ialah merupakan generasi pewaris kepada Sultan Mahmud Shah iaitu sultan Melaka yang terakhir. Tidak mustahil baginda menggunakan gelar nama Mahmud itu bagi menunjukkan bahawa  baginda adalah benih keturunan warisan Melaka yang sah. Wallahualambisawab.

Baginda hanya memerintah selama tiga tahun sahaja iaitu dari tahun 1627 sehingga 1670. Baginda mangkat di suatu tempat yang dikenali sebagai Geronggong ( juga menjadi tempat baginda bersemayam ). Baginda dimakamkan di suatu tempat bernama Kampung Tok Melor sebelum makamnya dipindahkan ke kawasan pemakaman Sultan Muhammad Shah di Kampung Pulau Tiga ini. Baginda digelar Marhum Pulau Tiga.

Sungai Perak dari arah makam

Selepas kemangkatan baginda, puteranya yang bernama Raja Kobat telah dilantik menjadi sultan Perak ke-9 dengan gelar Sultan Sallehuddin  Shah. Saya tidak pula menjumpai data yang menyatakan baginda ditabalkan oleh Acheh ataupun oleh pembesar-pembesar Perak sendiri. Namun sesuatu yang pasti, Sultan Sallehuddin Shah inilah yang dikatakan sultan Perak terakhir yang memiliki titisan darah warisan dari kesultanan Melayu Melaka dari belah pihak lelaki. Tidak ada catatan sejarah yang menceritakan warisan keturunan Sultan Sallehuddin Shah ini. Baginda mangkat di Acheh ( ada juga yang menyatakan mangkat di Kampar ) dan sultan Perak selepas baginda adalah dari benih Melaka sebelah pihak perempuan.

Selepas kemangkatan Sultan Sallehuddin Shah di Acheh ini, negeri Perak tidak bersultan. Maka pembesar-pembesar Perak telah ke Acheh bagi memohon seorang anak raja dijadikan sultan di Perak. Seperti di dalam kes Sultan Muzaffar Shah I ( sultan Perak pertama ) dan Sultan Ahmad Tajuddin Shah ( sultan Perak ketiga ), saya pasti pembesar-pembesar Perak mahukan seorang raja berketurunan Melaka dirajakan di Perak. Sayangnya pada ketika itu satu-satunya raja berketurunan Melaka yang masih berkuasa ialah sultan Acheh sendiri iaitu Sultan Iskandar Thani ( anak sultan Pahang dinasti Melaka ). Baginda sendiri tidak berputera.

Penyelesaian kepada masalah rumit ini ialah baginda menghantar sepupu baginda sendiri yang bernama Raja Sulong untuk menjadi sultan Perak ke-10 dengan gelar Sultan Muzaffar Shah II. Sultan Muzaffar Shah II adalah seorang putera raja dari kesultanan Siak lama. Namun demikian baginda mempunyai begitu banyak susur galur keturunan kesultanan Melayu Melaka dari belah pihak perempuan. Oleh yang demikian saya yakin pembesar-pembesar Perak dapat menerima baginda tanpa kompromi. Cerita berkaitan dengan Sultan Muzaffar Shah II ini insyaAllah akan saya ulas dalam siri yang akan datang.

Dari keturunan Sultan Muzaffar Shah II inilah muncullah pula Sultan Muhammad Shah Ibni Almarhum Yang Dipertuan Muda Raja Mansor ( sultan Perak ke-14 ) yang dimakamkan sekepuk dengan Sultan Mahmud Shah ini. Makam kedua-dua sultan terletak sebelah menyebelah. Sultan Muhammad Shah ini ialah ayahanda kepada Sultan Mahmud Shah II ( Sultan Perak ke-16 ) yang makamnya telah saya ulas dalam siri ziarah yang lepas. Saya membandingkan kronologi sejarah yang berlaku antara period masa pemerintahan Sultan Muhammad Shah ini dengan anakanda baginda iaitu Sultan Mahmud Shah II, terasa bagaikan ada satu jalan cerita yang menarik dan sukar dimengertikan.

Sultan Muhammad Shah ini pernah dikatakan berselisih faham dan berperang dengan kekanda baginda iaitu Sultan Muzaffar Shah III ( Sultan Perak ke-13 ) yang memerintah dari tahun 1728 hingga 1752. Sewaktu perselisihan ini berlaku, negeri Perak telah terbahagi kepada dua bahagian iaitu satu dibawah penguasaan Sultan Muhammad Shah dan sebahagian lagi dikuasai oleh Sultan Muzaffar Shah III. Perselisihan  inilah kelak seterusnya telah menimbulkan sistem penggiliran takhta yang diamalkan oleh kesultanan Perak sehingga kini.

Apa yang menarik perhatian saya ialah pada ketika inilah bermulanya campur tangan orang-orang Bugis di negeri Perak. Sultan Muhammad Shah telah dibantu oleh Daeng Chelak ( Yan Tuan Riau ) dan telah bersemayam di Pulau Tiga. Manakala Sultan Muzaffar Shah III terpaksa berundur dan bersemayam di Sayong. Namun demikian, tidak lama selepas itu baginda berdua berbaik semula dan Sultan Muzaffar Shah III kembali menerajui takhta sebagai sultan Perak dan adindanya iaitu Sultan Muhammad Shah dilantik menjadi Raja Muda. Sultan Muhammad Shah mangkat terlebih dahulu dari kekandanya. Uniknya nama baginda tetap dianggap sebagai sultan Perak yang sah walaupun period pemerintahannya bertindih dengan period pemerintahan kekandanya Sultan Muzaffar Shah III.


Saya melihat satu perkara yang sangat unik disini melalui keterlibatan orang-orang Bugis di Perak dan pengasasan kesultanan Melayu Selangor. Sejarah membuktikan bahawa Sultan Mahmud Shah II ( sultan Perak ke-16 ) yang merupakan anakanda kepada Sultan Muhammad Shah inilah yang telah menabalkan Raja Lumu Ibni Daeng Chelak sebagai sultan Selangor yang pertama. Manakala Daeng Chelak pula bertanggungjawab membantu menaikkan Sultan Muhammad Shah sebagai sultan Perak ketika Sultan Muzaffar Shah III masih bertakhta. Semuanya bagai ada perkaitan yang tersirat dan sukar untuk diterjemahkan dengan bahasa yang terbuka. Hal ini kelak seterusnya membawa kepada beberapa krisis dan hilangnya beberapa cabang warisan dalam pewarisan takhta negeri Perak pada dekad-dekad seterusnya dan hal ini tidak akan saya bincangkan disini.

Sultan Muhammad Shah hanya berkerajaan selama 8 tahun sahaja iaitu dari tahun 1742 hingga 1750. Namun demikian empat orang putera baginda berjaya menempatkan diri dalam senarai sultan pemerintah Perak bermula dari Sultan Iskandar Zurkarnain ( Sultan ke-15 ), Sultan Mahmud Shah II ( Sultan ke-16 ), Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda ( Sultan ke-17 ) dan Sultan Ahmaddin Shah ( Sultan ke-18 ). Sultan-sultan pemerintah Perak sehingga ke hari ini jika dilihat dari segi nasab keturunannya bolehlah dikatakan berketurunan dari Sultan Muhammad Shah ini menerusi warisan Sultan Ahmaddin Shah tidak kiralah dari sebelah pihak lelaki ataupun perempuan. Wallahualambissawab.

Saya memegang batu nisan kaku kedua-dua Almarhum sultan ini dengan perasaan yang berbelah bahagi. Entah kenapa perasaan saya begitu kelam dan gelap apabila cuba merungkai kisah kedua-dua almarhum sultan ini. Inilah uniknya negeri Perak Darul Ridzuan yang bersejarah ini. Warisan Melaka yang kuat menyelubungi kesultanannya menjadikan ia sebagai sebuah negeri tua yang mengagumkan. Melaka, Acheh, Siak, dan Bugis silih berganti mempengaruhi perjalanan sejarahnya yang panjang.

Saya duduk sebentar di kepuk makam dan memerhatikan Hidayat yang sudah bergerak ke pinggir sungai Perak. Jika tadi di makam Syed Hussain Yamani, saya bagaikan berteka teki dengan riwayat hidupnya namun kini di makam dua orang sultan berlainan warisan ini pula fikiran saya bagaikan dipalu-palu dengan fakta, cerita dan dogengan yang terlalu penuh. Rasanya mahu sahaja saya bertanya kepada sungai Perak yang sudah terlalu tua itu segala cerita yang selama ini dipendam di dasarnya yang keruh itu. Biar segala cerita-cerita yang lama itu disuratkan kembali bagi mencari benar atau tidaknya.

Mentari petang yang semakin meredup masih mampu membuatkan suasana membahang dan peluh sudah mula membasahi kepala saya. Saya tahu masa untuk bergerak sudah hampir tiba. Saya menjerit memanggil Hidayat yang masih leka di pinggir sungai. Dia berlari menuju ke tempat meletakkan motosikal buruk kami. Sewaktu bergerak mahu keluar dari kawasan banggunan kepuk makam saya keluar secara berundur. Terasa lucu pula melakukan sedemikian. Hidayat ketawa terbahak-bahak melihat kelakuan saya. Tidak ketahuan kenapa saya menjadi sedemikian rupa... saya sendiri tersenyum sambil menepuk-nepuk dahi !

Kami keluar ke jalan besar dan mula meneruskan perjalanan. Sepanjang perjalanan fikiran saya bungkam tetapi berlainan pula dengan Hidayat. Mulutnya tidak berhenti-henti menyanyi lagu yang saya sendiri tidak ketahuan benar atau tidak liriknya. Saya mengambil keputusan untuk ke makam dua orang sultan ini  pada waktu yang lain. Ia keputusan yang baik sebelum mendapat ilham menulis !

Dua makam sultan pemerintah Perak yang dimakamkan sekepuk telah saya tinggalkan. Apa yang pasti zuriat warisan dua Muzaffar yang berbeza ini benar-benar membuatkan saya mengetahui bahawa warisan Seguntang sememangnya kukuh berakar di Perak Darul Ridzuan !

Bersambung