BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, May 26, 2013

Stesen Keretapi Lama Batu Gajah Yang Masih Tersenyum


Saya amat bernostalgia dengan stesen keretapi tua ini. Bangunan kuning pucatnya yang dimakan masa itu selalu mengingatkan saya tentang kenangan masa kecil yang indah. Ya ... kenangan seorang anak kecil dari kampung tentang saat-saat indah menaiki keretapi, dan stesen keretapi tua ini adalah saksinya. Kini saya   kembali semula ke Batu Gajah bagi membeli semula kenangan lama dari stesen keretapi tua ini. Seperti suatu masa yang telah lama berlalu dahulu, stesen tua ini tetap menyambut saya dengan senyuman yang ikhlas walaupun hakikatnya ia sudah dimakan zaman dan jauh berubah. Masa seolah-olah gagal membunuhnya !

Suatu Ketika Yang Telah Lama Berlalu

Dahulu sekitar lewat 1980an dan awal 90an saya sering ke Batu Gajah bersama keluarga. Untungnya pada ketika itu selain dari menggunakan perkhidmatan bas, kami sekeluarga juga berpeluang menaiki Railbus sebagai salah satu alternatif lain kepada perkhidmatan keretapi yang disediakan oleh pihak KTMB. Jika tidak silap dalam ingatan, saya pernah menaiki Railbus sebanyak dua kali. Itu sahajalah kenangan yang ada dalam diri saya berkaitan dengan  Railbus KTMB ini sebelum perkhidmatannya ditamatkan pada awal tahun 1990an. Maklumat berkenaan dengan perkhidmatan Railbus ini boleh dirujuk di blog Kerambit Assasin's.

Sebuah Railbus KTMB

Railbus hanya tinggal kenangan bagi
yang masih mengingatinya.

Ketika itu, stesen keretapi Batu Gajah ialah antara stesen keretapi yang penting dan sibuk. Tambahan pula perkhidmatan jalan raya masih belum dimodenkan seperti hari ini maka tidak hairanlah ramai yang lebih suka menaiki keretapi untuk kemana-mana destinasi. Jika pertama kali menjejakkan kaki ke Batu Gajah pada ketika itu jelas terasa sekali aura klasik yang dimilikinya. Malah sehingga ke hari ini kita masih boleh menemui bangunan-bangunan lama yang dibina sejak zaman penjajahan yang terus kekal digunakan di Batu Gajah.


Bangunan lama Hospital Batu Gajah antara monemen lama
yang masih kekal di Batu Gajah.

Tetapi itu cerita dahululah. Cerita tentang zaman-zaman lama yang penuh dengan nilai keemasan. Selepas itu, saya tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke stesen keretapi Batu Gajah walaupun selalu berulang-alik ke Batu Gajah. Pernah juga beberapa kali saya melalui di hadapan stesen ini semasa ia masih beroperasi sayangnya hati tidak pernah terdetik untuk singgah.

Sehinggalah pada suatu ketika dimana hayat stesen-stesen lama yang pernah menjadi memori kenangan silam saya mula dirobohkan satu persatu bagi memberi laluan kepada pembinaan landasan berkembar, barulah saya mula terkejar-kejar berlumba dengan masa bagi merakamkan momen-momen indah stesen keretapi lama yang masih tersisa. Untung juga salah satunya yang masih kekal ialah stesen keretapi Batu Gajah. Ya kini saya menjejakinya semula ..... saya yakin saya mampu membeli memori lama saya di stesen tua ini !

Harith Dan Perjalanan Yang Tidak Terjangka

Kunjungan ziarah kepada seorang bapa saudara yang uzur di Batu Gajah kira-kira tiga bulan yang lalu telah membenihkan satu perjalanan ringkas yang sungguh tidak terjangka oleh saya. Ajakan secara berseloroh kepada sepupu saya Harith ternyata berjaya memujuknya untuk bersama-sama saya meneroka stesen keretapi lama Batu Gajah yang kini tidak lagi beroperasi. Ah... ia suatu peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja !.

Semenjak dari pembinaan landasan berkembar sektor Rawang-Ipoh dimulakan, banyak stesen-stesen dan perhentian keretapi lama telah dirobohkan. Namun demikian, terdapat pengecualian bagi stesen keretapi Batu Gajah ini. Jika tidak salah hanya stesen keretapi lama Kuala Kubu Road, Tanjong Malim, Tapah Road dan Batu Gajah sahaja yang masih kekal bagi sektor laluan Ipoh-Rawang. Manakala yang lainnya dirobohkan atau dinaiktaraf.

Stesen keretapi lama Batu Gajah pada waktu tengah hari

Kami bergerak ke stesen ini ketika hari sudah menjengah tengah hari. Walaupun tidak lagi beroperasi, stesen ini masih lagi menjadi perhatian kepada warga Batu Gajah. Ini adalah kerana di bangunan stesen ini masih terdapat sebuah kedai makan dan kedai gunting rambut. Ia secara tidak langsung memberikan warna baru kepada hayat stesen keretapi tua ini. Ini menjadikan masyarakat sekitar akan sentiasa  dekat dengan stesen ini walaupun peranannya tidak lagi seperti yang terlihat dahulu. Sekurang-kurangnya, bagi generasi muda pasti mereka dapat mengenali sebuah stesen keretapi warisan yang amat berjasa kepada proses urbanisasi Batu Gajah sejak dari zaman penjajahan lagi.

Kedai makan warisan dari stesen keretapi lama Batu Gajah

Tinjauan Yang Mengharukan

Papan tanda lama stesen keretapi Batu Gajah
yang diliputi semak samun

Walaupun sudah tidak lagi beroperasi ekoran dari pembinaan sebuah stesen baru, stesen keretapi Batu Gajah ini masih mengekalkan beberapa tinggalan-tinggalan lama yang begitu unik. Salah satunya pasti papan tanda stesen bewarna putih yang menjadi lambang kepada stesen-stesen keretapi lama seluruh Malaysia. Walaupun papan tanda ini sudah uzur dimamah masa dan tulisan di permukaannya sudah semakin pudar namun dari jarak yang dekat saya masih dapat melihat tulisan BATU GAJAH terpamer dengan megahnya. Sayangnya keadaan di sekitar papan tanda stesen ini agak bersemak samun dan tidak terjaga. Namun pada saya itu sudah menjadi lumrah bagi setiap stesen-stesen keretapi lama yang telah ditinggalkan.

Kaunter tiket

Saya memasuki kawasan ruang legar utama stesen ini. Masih terasa suasana lamanya. Kaunter tiket yang sunyi menyambut saya dengan seribu satu kenangan. Ia masih sama seperti dahulu. Saya meninjau-ninjau kawasan platform stesen ini yang kelihatannya masih terpelihara dengan baik. Jika tidak silap saya suatu ketika dahulu jarak antara platform dengan landasan agak berhampiran namun kini ia sudah agak jauh dari landasan utama. Beberapa orang pelanggan restoran di sebelah melihat saya dengan senyuman. Saya membalas senyuman mereka.

Platform stesen keretapi lama Batu Gajah


Ketika berlegar-legar di laluan utama platform ini saya terpandang pintu yang tidak berkunci bagi memasuki bilik utama kaunter tiket. Saya berbelah bahagi sama ada mahu memasukinya atau tidak. Harith secara tiba-tiba muncul dari belakang saya. Saya mengajaknya masuk dan beliau menurut sahaja ajakan saya. Rasanya ruangan kecil ini telah dijadikan oleh individu-individu tertentu untuk aktiviti yang tidak bermoral. Saya bersyukur kerana beberapa tinggalan zaman-zaman keemasan stesen ini masih kekal dan tidak diusik sepenuhnya.

Keadaan di dalam bangunan stesen

Satu lagi bahagian lain di dalam bangunan stesen

Saya tertarik dengan beberapa poster lama KTMB yang masih terlekat di dinding stesen ini. Timbul juga niat di hati untuk mengambilnya. Namun saya sedar itu bukanlah tindakan yang baik kerana ia tetap hak milik KTMB. Saya hanya seorang peminat sejarah keretapi dan bukannya penjarah khazanah sejarah keretapi. Yang mampu saya lakukan hanyalah mengambil gambar poster-poster ini sebagai kenang-kenangan di masa depan. Terdapat juga makluman nombor telefon stesen-stesen keretapi lain yang masih beroperasi ketika itu.  Saya dapat melihat tiada nombor telefon stesen keretapi Bidor di situ. Ini bermakna, stesen keretapi Bidor merupakan antara stesen keretapi terawal yang ditamatkan perkhidmatannya ketika masa-masa awal pembinaan landasan berkembar.

Poster-poster lama KTMB yang masih kekal

Maklumat nombor telefon stesen-stesen keretapi lain

Terdapat sebuah papan kenyataan yang usang di dalam ruangan ini. Walaupun banyak permukaannya usang dimamah masa namun terdapat beberapa keratan pelekat yang masih jelas kelihatan. Antara yang menarik minat saya ialah pelekat tajuk JAJARAN. Jika tidak salah saya, JAJARAN ialah tajuk bagi majalah rasmi KTMB yang kini sudah tidak lagi diterbitkan. Melalui maklumat yang saya dapati dari blog zkeretapi, keluaran akhir majalah JAJARAN ini ialah pada bulan Jun 1997. Selepas itu ia tidak lagi diterbitkan.

Papan tanda usang dengan pelekat majalah JAJARAN dan 
lokomotif kelas 20 tertampal di atasnya.

Majalah JAJARAN milik KTMB

Satu lagi pelekat yang benar-benar menarik dan unik ialah pelekat gambar lokomotif diesel elektrik KTMB dari kelas 20 yang kini tidak lagi digunakan. Lokomotif kelas 20 merupakan antara lokomotif diesel elektrik terawal yang digunakan oleh pihak KTMB. Jasanya terlalu besar kepada rakyat Malaysia dan telah berkhidmat selama 23 tahun iaitu bermula  dari tahun 1957 sebelum ditamatkan perkhidmatannya pada tahun 1980. Lokomotif kelas 20 ini tinggal sebagai satu tinggalan sejarah dan kenangan indah perkhidmatan keretapi di negara kita. Lokomotif kelas 20 ini masih boleh kita lihat sebagai bahan pameran di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam Selangor.

Sebuah gambar lama lokomotif kelas 20

Lokomotif diesel elektrik KTMB kelas 20
yang dipamerkan di muzium Sultan Alam Shah

Terdapat ruangan solat yang agak luas. Saya tidak pasti sama ada ia dikhususkan kepada para penumpang atau kepada kakitangan stesen ini sahaja. Di suatu ruangan pula terdapat satu binaan yang menyerupai bekas berkunci. Pintu besinya kukuh dan berkunci. Mungkin suatu ketika dahulu ia pernah dijadikan tempat menyimpan wang kutipan tiket. Sayu hati saya melihat ia terbiar begitu sahaja. Pada pandangan saya, ruangan kecil ini jika diselenggara dengan baik, pasti boleh dijadikan galeri mini khusus untuk mempamerkan bahan-bahan  bersejarah perkhidmatan keretapi di Batu Gajah. Tetapi itulah ... ia hanya detikan dari hati saya sendiri dan saya pasti ia pasti kekal sebagai satu angan-angan yang tak sudah.

Ruangan solat dan ruangan pejabat bungkusan

Mungkin pernah dijadikan tempat meletak
duit kutipan tiket ?

Ketika keluar dari ruangan dalam stesen ini, barulah mata saya dapat melihat papan tanda arah stesen ini. Walaupun papan tanda ini kelihatan agak moden namun ia tetap satu tinggalan bersejarah stesen tua ini. Ketika memandang papan tanda ini barulah saya mengetahui, ruangan yang saya masuk tadi ialah pejabat bungkusan ( Parcel Office ) yang bersambung dengan ruangan kaunter tiket. Patutlah terdapat satu bekas berkandang di dalamnya yang mungkin digunakan sebagai tempat menyimpan barang dari dicuri. Stesen keretapi tua ini benar-benar telah menjual memorinya kepada saya dan saya tidak boleh menipu, banyak maklumat yang saya perolehi di sini.

Papan tanda arah stesen

Di seberang jalan stesen ini terdapat dua buah rumah kayu lama masih digunakan. Jika dilihat dari bentuk dan gaya binaannya ia adalah sebuah rumah kerajaan ( kuarters ). Kedudukan kedua-dua rumah ini yang berdekatan dengan stesen keretapi lama Batu Gajah ini mungkin memberi petunjuk ia adalah kuarters KTMB. Jika andaian ini salah, mohon para pembaca membetulkannya. Hehehehe.

Dua buah rumah lama berhadapan
dengan stesen keretapi lama Batu Gajah


Saya tidak dapat menjangka berapa lamakah lagi hayat stesen ini. Masa dan kemodenan bagaikan berlari di sini dan stesen tua ini sudah terlalu uzur untuk bersaing dengannya. Zaman keemasan stesen ini mungkin telah berakhir. Nun di kejauhan, sebuah stesen baru yang moden telah menjadi mercu tanda baru bagi bandar Batu Gajah. Jika dahulu ada keretapi yang singgah menghantar dan mengambil penumpang disini namun kini keretapi hanya melaluinya sahaja tanpa berhenti. Benar ... stesen tua ini sudah tamat perkhidmatannya !.

Bergerak Dengan Kenangan

Setelah hampir 40 minit meninjau dan melihat sendiri suasana stesen keretapi lama Batu Gajah ini, saya dan Harith mengambil keputusan untuk bergerak meninggalkannya. Sengaja saya meminta Harith memandu kereta. Ketika mengundurkan kereta secara tiba-tiba di kejauhan saya terpandang sesusuk tubuh anak kecil berlari riang turun dari gerabak keretapi ! Anak kecil itu melambai-lambai kepada saya. Ah .. ilusi yang benar-benar indah .... benar ... saya melihat memori saya dijual kembali oleh stesen ini dengan harga yang mahal ... ya sangat mahal dan saya membelinya tanpa kompromi.

Semakin jauh kami bergerak meninggalkan stesen ini, semakin menghilang bayang kanak-kanak kecil itu. Ia terus menghilang dan mengecil tanpa berbekas .... ia terus hilang dibawa oleh hari -hari tua stesen keretapi lama Batu Gajah !






Wednesday, May 15, 2013

Catatan Sebuah Buku : Kenang -Kenangan Abdullah Munsyi


Munsyi Abdullah atau kadangkala dipanggil Abdullah Munsyi, antara nama yang begitu besar dalam korpus sastera, sejarah dan perkembangan Bahasa Melayu di negara kita. Sumbangan terbesarnya adalah menerusi penghasilan karya hebat seperti Hikayat Abdullah, Siri Kisah Pelayaran Abdullah, Syair Singapura Terbakar serta beberapa karya lain yang telah memberikan warna sebenar terhadap dunia kesusateraan bangsa Melayu pada zamannya. Karya-karya Abdullah Munsyi juga bolehlah dianggap sebagai satu catatan tidak rasmi terhadap sejarah bangsa Melayu itu sendiri. Karya-karyanya adalah cerminan kepada gaya kehidupan orang Melayu pada ketika itu dan ia memberikan kita satu medium yang amat berguna dalam memerhatikan kehidupan orang-orang Melayu di zaman-zaman awal penjajahan Inggeris

Abdullah Munsyi Yang Saya Ketahui


Gambaran wajah Abdullah Munsyi yang terdapat di dalam
buku Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi

Sejujurnya saya tidak pernah langsung membaca karya-karya yang dikarang oleh Abdullah Munsyi. Tidak ketahuan kenapa saya tidak langsung berminat untuk membaca karya-karyanya walaupun telah mula mendengar nama Abdullah Munsyi sejak dari zaman sekolah rendah lagi.

Pada saya cukuplah sekadar mengetahui Abdullah Munsyi ialah seorang pengarang berbangsa Melayu yang menulis cerita dengan bahasa Melayu yang berbelit-belit dan sukar difahami. Saya juga beranggapan pastilah karya-karyanya dipenuhi cerita mitos dan lagenda yang kuat mempengaruhi minda orang Melayu pada zamannya.

Abdullah Munsyi

Itulah kesilapan saya yang terbesar. Setelah membeli buku berjudul Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi karya Datuk Zahari A.Rashid di kedai buku MPH Batu Pahat tahun lepas, barulah saya sedari Abdullah Munsyi yang saya fikirkan selama ini adalah jauh berbeza dan karya-karyanya bukanlah cerita dongengan. Abdullah Munsyi sebenarnya jauh mendahului zamannya malahan bolehlah dikatakan orang-orang Melayu sebenarnya berhutang jasa kepada Abdullah Munsyi melalui karya-karyanya.

Walaupun terdapat pelbagai ulasan, kritikan dan persepsi terhadap Abdullah Munsyi dari pelbagai pihak terutama perkaitannya dengan beberapa orang tokoh penjajahan Inggeris namun bagi saya lupakan sahaja kisah hidupnya yang lepas....saya yakin kita akan ketemu jalan yang lebih indah terhadap sumbangannya apabila membaca buku ini. Dengan membaca buku terbitan IBS Buku SDN BHD ini pasti kita akan menemui sesuatu yang positif di sebalik hubungannya dengan tokoh-tokoh era penjajahan ... dan yang pastinya, saya telah menemui sesuatu yang bernilai di sini !.

Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi Yang Saya Baca

Buku kenang-kenangan Abdullah Munsyi ini adalah lebih terarah kepada ulasan kepada karya Abdullah Munsyi yang berjudul Hikayat Abdullah. Kisah Hikayat Abdullah telah ditangani oleh Abdullah Munsyi setelah beliau berpindah ke Singapura. Hikayat Abdullah adalah satu catatan penulisan sejarah penting yang berkait rapat dengan peristiwa-peristiwa yang dilihat, dialami  semasa beliau tinggal di Melaka dalam tahun-tahun sekitar 1800 - 1840an. Kisah yang terdapat di dalam Hikayat Abdullah ini mencerminkan keadaan sosial masyarakat Melaka pada ketika itu. Secara tidak langsung ia merupakan satu dokumen sejarah penting kepada perkembangan negara kita.

Hikayat Abdullah

Membaca buku ini membolehkan saya mengembara ke suatu masa yang telah lama berlalu. Abdullah Munsyi bukanlah berbangsa Melayu sebaliknya beliau adalah seorang peranakan India Muslim. Inilah yang benar-benar mengejutkan saya kerana selama ini saya beranggapan Abdullah Munsyi ialah seorang yang berbangsa Melayu. Beliau mengarang dalam bahasa Melayu sedangkan beliau amat mahir dan menguasai bahasa Tamil dengan baik. Mungkin proses asimilasi ke dalam bangsa Melayu di Melaka menyebabkan Abdullah lebih selesa menulis di dalam bahasa Melayu.

Penulis buku ini iaitu Datuk Zahari A.Rashid bijak dalam memperincikan setiap bab di dalam buku ini disamping memberi penjelasan dan ulasan yang baik dalam setiap penceritaan Abdullah. Sebagai contohnya berkenaan dengan peristiwa kota Melaka dirobohkan. Ia diterangkan dengan begitu terperinci beserta fakta yang jelas dan konkrit dan kadangkala seperti menyanggah apa yang diperkatakan oleh Abdullah.

Saya sebenarnya agak tertarik dengan beberapa perkara yang terkandung di dalam buku ini terutamanya perkara-perkara yang bersangkut paut dengan kehidupan sosial negeri Melaka sewaktu di bawah pemerintahan Belanda dan Inggeris. Umum mengetahui, selepas kejatuhan institusi Kesultanan Melaka ke tangan penjajah Portugis pada tahun 1511, agak sukar untuk kita mencari fakta dan cerita berkaitan dengan kehidupan orang Melayu di Melaka. Dengan adanya Hikayat Abdullah ini, perincian rasmi terhadap sosio budaya orang Melayu di Melaka dapat diperincikan dengan baik.


Salah satu cerita yang menarik minat saya di dalam buku ini ialah berkenaan dengan penangkapan gajah di Melaka. Disini Abdullah telah menceritakan dengan baik bagaimana cara gajah-gajah liar dari hutan sekitar Melaka ditangkap oleh sekumpulan manusia yang diketuai oleh seorang yang dikatakan mahir manangkap gajah. Dalam kes ini, Abdullah membentangkan fakta mengikut logik akal bagi menyanggah kemampuan si penangkap gajah yang dikatakan mempunyai ilmu ghaib dalam menjinakkan gajah. Namun demikian, hujahan dari Abdullah sebenarnya boleh dikatakan agak logik dan benar.

Saya sering melalui kawasan-kawasan  luar bandar Melaka untuk pulang ke rumah mertua yang terletak di Gemas Negeri Sembilan. Apabila sampai ke kawasan seperti Asahan, seringkali saya terfikir bagaimana suatu masa dahulu masih terdapat gajah-gajah liar yang banyak berkeliaran di bumi Melaka. Namun itu semuanya tinggal kenangan dan saya pasti di Melaka kini, gajah hanya boleh ditemui di zoo Melaka sahaja.

Abdullah juga memberi perincian yang baik berkenaan dengan sifat orang-orang Melayu yang sanggup menjual atau memberikan sahaja minuskrip-minuskrip lama kepada penjajah. Abdullah dengan tegas menyatakan betapa ruginya bangsa Melayu yang sanggup menggadaikan khazanah bangsanya kepada orang lain. Secara tidak langsung dapatlah disimpulkan bahawa ketamadunan bangsa Melayu bukanlah dirompak oleh penjajah tetap kesilapan kita sendirilah yang menyebabkan banyak khazanah kita tersimpan di bumi asing.

Abdullah Munsyi Sebagai Penterjemah

Abdullah menjadi penterjemah Bahasa Melayu dalam dua era penjajahan iaitu semasa penjajahan Belanda di Melaka dan sewaktu pemerintahan Inggeris di Singapura. Pekerjaannya itu telah menjadikan beliau agak rapat hubungannya dengan beberapa tokoh penjajahan seperti Stamford Raffles dan Residen Farquhar. Saya pernah membaca dalam satu artikel di internet sedikit masa yang lalu bahawa Abdullah pernah menjadi penterjemah kepada kitab Injil dan Taurat. Tidak pasti pula kebenarannnya. Didalam buku ini cuma diterangkan Abdullah pernah diberi gelaran dengan nama Abdullah Paderi di atas keterpaksaannya menterjemah buku-buku agama Kristian ( tidak pula disebut kitab Taurat atau Injil ).

Sekilas Pandangan Abdullah Terhadap Kota Melaka

Abdullah sempat menyaksikan Kota Melaka dirobohkan oleh pihak Inggeris. Buku ini menjelaskan dengan begitu baik berkenaan dengan penceritaan Abdullah terhadap peristiwa besar ini. Mujur juga sebahagian dari tinggalan kota ini masih boleh dilihat sehingga kini iaitu pintu kota A-Famosa yang masih kukuh. Tinggallah ia menjadi tinggalan sejarah yang menguatkan hujah Abdullah suatu ketika dahulu.


Gambaran Kota Melaka 
yang terdapat di dalam buku ini.



Selain dari itu Abdullah juga turut menceritakan bagaimana penghinaan bangsa penjajah terhadap makam Almarhum Raja Haji ( Syahid Teluk Ketapang ). Orang-orang Belanda rupa-rupanya telah menanam jasad Raja Haji di sebuah kebun dan letak makamnya di kandang babi. Demikianlah sikap penjajah terhadap patriot bangsa kita. Mujurlah selepas itu muncul anak cucu keturunan Almarhum Raja Haji yang telah berjaya memindahkan jasad almarhum ke Riau. Namun sejarah tidak akan pernah menipu. Almarhum Raja Haji akan tetap dikenang sebagai seorang pejuang bangsa yang tidak akan luput namanya sampai bila-bila.

Ilustrasi wajah Almarhum Raja Haji Fisabilillah
( Syahid Teluk Ketapang )

Penutup

Sejujurnya saya amat berterima kasih kepada pengarang buku Kenang-Kenangan Abdullah Munsyi ini iaitu Datuk Zahari A. Rashid yang telah berjaya mendekatkan diri saya terhadap karya-karya Abdullah Munsyi. Pengarang buku ini jelas telah membuat pengkajian yang begitu mendalam terhadap karya Abdullah. Hal ini secara tidak langsung memudahkan pembaca untuk mendapat lebih info dan penerangan berkenaan dengan penceritaan Abdullah terhadap sesuatu perkara.

Saya tidak mampu untuk memperjelaskan dengan lebih lanjut berkenaan dengan buku ini. Saya hanya mengambil beberapa fakta penting sahaja untuk dikongsikan. Amat berbaloi memiliki buku ini kerana pengisiannya adalah amat berkualiti walaupun ia adalah rumusan terhadap sebuah karya besar.

Carilah buku ini .... saya pasti anda akan berpuas hati. InsyaAllah.









Tuesday, April 30, 2013

SELAMAT MENYAMBUT HARI PEKERJA 2013


Indahrasajmalim Blogspot 
mengucapkan selamat menyambut
HARI PEKERJA
bagi seluruh kelas pekerja
di seluruh Malaysia.

" PEKERJA PEMANGKIN TRANSFORMASI NEGARA "



Wednesday, April 24, 2013

Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu 4


Hafez J.Malim Si Penjual Santan Kelapa



Dalam sejarah kehidupan silam saya, inilah pekerjaan yang paling banyak memberikan saya sejuta satu pengalaman yang amat bernilai. Ia merupakan pekerjaan yang paling lama saya ceburi dan paling banyak memberikan saya pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup alam remaja saya. Sedari usia 18 tahun sehingga ke usia 24 tahun, menjual santan adalah pekerjaan utama saya !

Selepas sahaja tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia ( SPM ) pada tahun 2001 maka bermulalah satu babak baru di dalam kehidupan saya. Ketika teman-teman lain memilih untuk keluar dari pekan Bidor bagi mencari pekerjaan sementara menanti keputusan SPM, saya pula lebih selesa untuk kekal bertahan di Bidor. Saya yakin, pekan Bidor yang sedang berkembang itu pasti mampu memberikan peluang kerja kepada diri saya. Tambahan pula, kewangan diri dan keluarga juga semakin menekan. Saya tidak betah memerap di rumah. Mahu tidak mahu, saya perlu juga mencari kerja.


Pada awalnya, saya sudah mula berkira-kira untuk bekerja di ladang kelapa sawit Bukit Khato yang terletak di Kampung Poh tidak jauh dari pekan Bidor. Is suatu kerja yang berat namun saya berkeyakinan mampu untuk menggalas perkerjaan di ladang sawit berkenaan. Ada juga teman-teman yang melarang saya untuk bekerja di ladang berkenaan namun saya tetap berkeras mahu mencuba. Tambahan pula keluarga bagaikan tidak menghalang niat saya itu. Saya yakin, kejantanan saya masih ada untuk kerja-kerja berat di ladang kelapa sawit.

Malam Yang Merubah Fikiran

Saya masih ingat, pagi itu saya telah dihantar oleh teman baik saya yang bernama Azhar ke rumah seorang teman yang akan membantu saya memohon kerja di ladang kelapa sawit berkenaan. Jarak ladang berkenaan dari rumah saya lebih kurang 7 kilometer. Saya berkira-kira untuk berulang alik sahaja dengan menaiki basikal ke ladang berkenaan sekiranya permohonan kerja saya diterima. Sayangnya teman yang mahu membantu saya itu tidak ada di rumah kerana ada urusan lain. Maka pulanglah saya dengan kehampaan dan berharap masih ada peluang untuk saya pada keesokan harinya.

Pada sebelah malamnya saya seperti biasa bersama teman-teman akan melepak di tepi paip air tidak jauh dari rumah saya. Sememangnya itulah tempat melapak kami saban malam ketika zaman remaja. Bermain gitar, menyanyi dan bersembang kosong sehingga larut malam merupakan penyakit zaman remaja yang sukar saya ubati sehingga kini. Sewaktu sedang enak-enak berbual secara tiba-tiba seorang anak kecil datang berjumpa dan menyuruh saya segera pergi ke rumah Opah Nyor. Opah Nyor berpangkat nenek saudara jauh saya. Beliau merupakan antara peniaga santan dan kelapa yang berjaya di pekan Bidor.

Saya segera bergegas rumahnya. Sesampai sahaja di rumahnya barulah saya ketahui bahawa beliau mahukan saya bekerja di kedainya yang terletak di pasar Bidor. Mulanya saya agak terkejut dan menolak permintaanya atas alasan saya mahu bekerja di ladang kelapa sawit. Namun setelah dipujuk dan didesak akhirnya saya bersetuju dengan ajakannya. Fikiran saya kosong selepas itu. Terasa menyesal menerima pelawaannya. Namun tidak mengapalah, jika tidak cocok dengan jiwa tentu saya boleh berhenti pada bila-bila masa sahaja fikir saya.

Pemandangan pasar awam Bidor

Keesokan paginya saya ke pasar Bidor dengan berbasikal sahaja pada jam 5.30 pagi. Saya tidak tahu bagaimna skop kerja saya. Dengan seluar jeans lusuh dan ketat berserta t-shirt dan topi saya memasuki ke alam pekerjaan baru saya dengan hati yang tidak menentu. Sampai sahaja di pasar, Opah Nyor bersama anaknya yang saya panggil abang Nuar telah menanti saya dengan senyuman. Selain dari mereka, turut bekerja bersama saya ialah seorang wanita separuh usia yang kami panggil Makcik Bakyah.

 Mesin kelapa jenis ini pernah saya gunakan
sewaktu bekerja di pasar Bidor

Tugasan hari pertama saya hanyalah membelah kelapa. Dengan sebilah parang tumpul, saya membelah kelapa tanpa sebarang bantahan. Abang Nuar tidak membenarkan saya memarut kelapa dengan menggunakan mesin kelapa. Agaknya beliau risau tangan saya akan terluka terkena mata mesih kelapa yang tajam itu. Saya sendiri sebenarnya masih ragu-ragu sama ada boleh atau tidak memarut kelapa dengan menggunakan mesin. Sejujurnya, hanya beberapa kali sahaja saya pernah menggunakan mesin kelapa. Terluka akibat terkena mata mesin kelapa juga tidak pernah saya alami!

Sekeping gambar lama ... saya membelah kelapa
di pasar awam Bidor

Suasana di pasar Bidor  amat menyeronokkan tambahan pula kebanyakan pekerja-pekerja di situ adalah teman-teman baik saya. Kebanyakan dari mereka bekerja di tempat penyembelihan dan pemprosesan ayam. Jadi secara tidak langsung, kami bekerja dengan keadaan yang gembira dan saling bergurau senda. Pada awalnya saya merasakan kerja membelah kelapa ini adalah perkara yang mudah. Namun setelah hampir 3 jam melakukannya barulah terasa betapa lenguhnya tangan ini. Purata setiap hari biasa saya akan membelah hampir 500 biji kelapa dan meningkat hampir ke angka 800 biji menjelang hari minggu. Apabila tiba ke musim-musim perayaan seperti hari raya Aidilfitri jumlah kelapa yang dibelah dan diparut oleh kami menjangkau ke angka 1500 biji.

Sedang memarut kelapa

Setelah seminggu barulah saya mula dapat membiasakan diri dengan suasana kerja. Saya juga sudah mula memarut kelapa namun tidaklah sepantas Abang Nuar, Opah Nyor dan Makcik Bakyah. Sesekali timbul juga kerisauan jika jari jemari saya terluka diparut sekali oleh mata mesin kelapa. Namun lama-kelamaan alah bisa tegal biasa. Pada mulanya kesan luka menimbulkan kesakitan yang amat perit. Ngeri juga melihat daging di jari dan tapak tangan bagaikan diparut dan sakitnya hanya Allah sahaja yang tahu. Tetapi ia akhirnya menjadi satu kelaziman yang pada suatu ketikanya tidak mendatangkan kesakitan kepada saya. Kulit tapak tangan juga menjadi tebal dan kasar.

Kehidupan sebagai seorang anak muda yang bekerja di pasar bukanlah seindah yang dijangkakan. Ketika ini saya mula menyimpan rambut panjang terutamanya di bahagian belakang. Berbeza dengan keadaan saya kini yang agak berisi, kondisi tubuh saya ketika itu jauh lebih kurus. Terlalu lama berpanas menyebabkan kulit saya menjadi lebih gelap.

Keadaan diri saya sewaktu bekerja

Keadaan diri saya yang serupa itu rupa-rupanya telah menimbulkan fitnah di kalangan penduduk tempat saya yang menuduh saya seorang penagih dadah. Saya sememangnya kutu embun. Boleh dikatakan saban hari saya akan pulang lewat malam ke rumah. Kebetulan pula pada ketika itu, dewan aktiviti Rukun Tetangga telah dicerobohi oleh individu yang yang tidak bertanggungjawab. Malangnya tuduhan masyarakat terarah kepada saya. Allah sahaja yang mengerti betapa pilunya hati ini mengenang nasib namun saya hadapinya juga tanpa sebarang masalah. Akhirnya tuduhan itu berlalu sepi begitu sahaja.

Gaji yang diterima tidaklah begitu besar namun ia adalah jauh mencukupi bagi memenuhi kehendak saya. Jujurnya saya adalah seorang yang pemboros. Jarang duit gaji saya disimpan sebaliknya duit berkenaan digunakan untuk berlibur sahaja bersama teman-teman. Untungnya, melalui duit gaji itulah saya mengambil lesen memandu motosikal malahan mampu untuk memiliki sebuah telefon bimbit terpakai. Sayangnya telefon bimbit itu jarang berbunyi....saya tidak punya teman istimewa untuk dihubungi. Tambahan pula kos penggunaan telefon bimbit adalah agak tinggi pada ketika itu.

Nokia 3310 terpakai yang dapat saya beli
melalui duit gaji bekerja menjual santan.

Perkara yang paling menyeronokkan saya sewaktu bekerja menjual santan ini ialah saya dapat mengenali ramai orang. Secara tidak langsung saya dikenali oleh ramai orang di pekan Bidor. Hubungan saya dengan pelanggan juga amat baik malahan seringkali juga para pemilik restoran memberikan makanan percuma kepada saya atas balasan khidmat penghantaran santan ke restoran mereka. Walaupun tidak memiliki lesen memandu pada peringkat awal, namun saya tidak pernah di tahan oleh mana-mana polis. Mungkin mereka adalah para pelanggan santan kami maka secara tidak langsung saya tidak diganggu ketika sibuk bermotosikal menghantar santan.

Selepas mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam, saya memutuskan untuk berhenti dari kerja menjual santan ini. Tempat saya digantikan oleh teman baik saya yang bernama Tashar. Namun demikian jika ada kelapangan di hujung-hujung minggu saya akan turut bekerja bersama. Selepas sahaja Tashar mendapat tawaran rayuan ke tingkatan enam, Opah Nyor dan Abang Nuar ada juga mengambil beberapa pekerja baru. Sayangnya mereka tidak kekal lama. Sebagai satu langkah menambahkan belanja sekolah saya maka pada setiap hari Sabtu dan Ahad, saya akan bekerja menjual santan. Memang diakui, saya jarang meminta belanja dari ayah sewaktu di tingkatan enam. Hanya gaji dari kerja hujung minggu ini beserta duit biasiswa sahajalah yang menjadi bekalan buat saya.

Hal ini berlanjutan sehingga saya memasuki asrama putera di SMK Hamid Khan Tapah. Saya mengambil tingkatan enam di SMK Buyong Adil Tapah kerana pada ketika itu masih belum terdapat sekolah yang menawarkan kelas tingkatan enam di Bidor. Oleh kerana jarak untuk berulang alik dari Bidor ke Tapah adalah agak jauh maka saya memutuskan untuk tinggal menumpang di asrama. SMK Buyong Adil tidak menawarkan kemudahan asrama harian kepada pelajar lelaki dan ini menyebabkan saya terpaksa menumpang di arama putera SMK Hamid Khan.

Walaupun sudah tinggal di asrama, saya masih lagi meneruskan pekerjaan menjual santan ini. Boleh dikatakan hampir setiap hujung minggu saya akan memohon kebenaran untuk pulang ke Bidor untuk bekerja. Mujurlah warden sekolah seringkali membenarkan saya pulang dan biasanya wang gaji bekerja selama dua hari cukup untuk menampung belanja saya di asrama selama dua minggu.

Selepas sahaja tamat menduduki peperiksaan STPM saya kembali menjadi penjual santan di pasar. Untungnya kali ini, saya bekerja bersama Tashar setiap hari. Ini menjadikan kerja semakin menyeronokkan kerana saya sudah punya teman sekerja yang setia. Gaji juga sudah dinaikkan pada ketika ini dan yang pastinya kami berdua punya debar yang tersendiri menantikan keputusan STPM diumumkan.

Saya dan Tashar sewaktu bekerja di pasar awam Bidor

Ketika keputusan STPM keluar, saya masih lagi setia bekerja di pasar. Tashar pula mengambil cuti sehari. Menjelang jam 10 pagi beberapa orang teman dari Tapah mula menjemput saya dari pasar. Mereka mahu saya mengambil keputusan peperiksaan bersama mereka. Alhamdulillah walaupun saya sibuk bekerja sewaktu di tingkatan enam, keputusan saya agak baik dan bolehlah dibanggakan. Dengan keputusan itu akhirnya saya diterima untuk melanjutkan pelajaran ke UPSI.



Saya masih ingat waktu keputusan kemasukan ke universiti diumumkan, saya tidak bekerja pada hari tersebut. Tashar bekerja seorang diri di pasar. Selepas mendapat keputusan berkenaan saya terus menunggang basikal ke pasar untuk memaklumkannya kepada teman-teman. Terasa seronok menerima ucapan tahniah dari teman-teman pekerja di pasar. Tashar juga berjaya melanjutkan pelajarannya ke UPSI. Seminggu sebelum pendaftaran ke UPSI pada tahun 2004 saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja menjual santan. Opah Nyor dan Abang Nuar menerima keputusan saya itu dengan senang hati.

Saya menjangkakan tidak akan lagi bekerja di pasar selepas melanjutkan pelajaran ke UPSI. Tambahan pula Opah Nyor dan Abang Nuar telah memiliki pekerja baru di kedai mereka. Ketika cuti semester tahun pertama saya di UPSI, saya terpaksa bekerja di kilang tanah kerana kedai santan tidak memerlukan saya dan mempunyai pekerja baru. Namun, masuk sahaja tahun kedua dan sehingga tamat pengajian saya di UPSI, setiap kali cuti semester adalah medan untuk saya bekerja menjual santan. Saya tidak pernah malu apabila ada individu-individu tertentu yang mencebik dengan pekerjaan saya. Pada saya biarlah mereka dengan pandangan sinis mereka asalkan saya bekerja dan memperoleh pendapatan yang halal.

Tamat pengajian saya di UPSI pada tahun 2007, saya terus sahaja bekerja menjual santan sementara menunggu keputusan penempatan saya sebagai seorang guru. Ketika ini usia saya sudah menjangkau 24 tahun dan saya masih seperti ketika pertama kali saya bekerja di pasar suatu ketika dahulu. Sayangnya setelah hampir 3 bulan bekerja, telah berlaku sedikit salah faham antara saya dan Opah Nyor sehingga membawa kepada krisis yang memaksa saya untuk berhenti kerja. Peristiwa ini amat mempengaruhi diri dan kehidupan saya selepas itu. Ia menjadi titik tolak kepada tamatnya perjalanan selama 6 tahun saya menjadi seorang kuli di pasar Bidor. Ia penamat yang cukup menyakitkan walaupun dilalui dengan penuh gemilang sebelum itu.

Sesekali apabila pulang bercuti ke Bidor, selalu juga saya ke pasarnya bagi melihat semula segala kenangan-kenangan yang pernah dilalui di situ. Kebanyakan teman-teman yang bekerja bersama saya dahulu sebahagiannya masih lagi kekal bekerja di sana. Ada juga yang sudah menbawa haluan baru dalam kehidupan mereka. Abang Nuar dan Opah Nyor juga sudah tidak lagi ada di pasar. Kedai mereka kini diambilalih oleh Yop, anak Opah Nyor yang tertua. Peralatan di kedainya juga sudah semakin baru dan moden. Jauh berbeza dengan suasana kerja saya 5 tahun yang lalu.

Kini apabila melihat gambar-gambar lama saya sewaktu bekerja di pasar dahulu, saya sering tersenyum sendirian. Terlalu banyak kenangan yang tertumpah di pasar awam yang sentiasa sesak itu. Sesekali saya menunjukkan gambar-gambar lama itu kepada anak-anak murid saya. Ramai yang tertawa melihat keadaan saya. Ahh...tidak mengapalah. Mereka anak moden yang tidak pernah merasa susah senangnya hidup. Saya melaluinya dan kini saya mengenangnya dengan rasa yang puas .... benar, kenangan lama yang perit membuatkan kita menjadi lebih dewasa !








Thursday, April 18, 2013


MERAFAK SEMBAH SETINGGI-TINGGI TAHNIAH
KE BAWAH DULI YANG MAHA MULIA
PADUKA SERI SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH
IBNI ALMARHUM SULTAN YUSSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAHU-LAH
SULTAN, YANG DI-PERTUAN DAN RAJA PEMERINTAH NEGERI PERAK DARUL RIDZUAN DAN SEGALA JAJAHAN TAKLUKNYA
SEMPENA HARI KEPUTERAAN BAGINDA KE-85
PADA 19 APRIL 2013 
 DAULAT TUANKU

Ikhlas dari patik Hafez J.Malim
indahrasajmalim.blogspot.com

Friday, March 22, 2013

Ziarah Makam Lama 7 : Siapa Syed Hussain Yamani ?

Nisan Berbalut Kain Bewarna Kuning dan Hijau


Batu nisan dengan balutan kain kuning dan hijau

Aneh ... jika sebelum ini, kunjungan ziarah saya ke makam-makam lama pasti akan melihat batu nisan yang berbalut dengan kain kuning sebagai tanda makam berkenaan adalah milik individu yang berdarah raja. Namun untuk makam yang satu ini terdapat perbezaannya kerana batu nisannya berbalut dengan kain yang bewarna hijau dan kuning. Siapakah yang bersemadi di dalamnya fikir saya .... sejuta satu persoalan mula membengkak di minda saya .

Saya memberhentikan motosikal sebaik sahaja terpandang kepuk makam yang kelihatan masih terjaga. Kedudukannya tidak jauh dari rumah penduduk kampung. Sungai Perak yang mengalir perlahan masih boleh dilihat dari arah makam ini. Bentuk batu nisan makam ini juga agak aneh dan jauh berbeza dengan batu nisan makam sultan-sultan Perak yang pernah saya ziarahi sebelum ini. Saya tidak terus turun dari motosikal sebaliknya memandang dahulu ke arah kepuk makam. Tindakan saya itu kelihatannya tidak disenangi oleh Hidayat. Agaknya dia hairan melihat saya yang termanggu-manggu melihat suasana makam berkenaan. Hidayat pantas turun dari motosikal dan terus melangkah ke kawasan kepuk makam.

Kepuk makam

Saya sebenarnya sengaja berkeadaan sedemikian. Selain mahu melepaskan lelah, saya juga seboleh-bolehnya mahu mengambil masa untuk berfikir mencari makna disebalik makam ini. Namun setelah melihat Hidayat mula melangkah ke arah makam terus sahaja saya mengekorinya. Mujur juga kawasan kepuk makam ini agak terjaga. Sayangnya pagar besinya sudah mula dimakan karat. Terdapat juga beberapa makam lain yang terletak berhampiran dengan makam ini. Ianya terletak dalam sebuah kepuk besar yang sama.

Kawasan di dalam kepuk makam

Setelah memberi salam kepada penghuninya, pandangan saya mula tertumpah pada batu nisan utama makam yang berbalut dengan kain bewarna kuning dan hijau. Bentuk batu nisannya juga agak aneh dan lebih kurus jika dibandingkan dengan batu nisan makam yang pernah saya ziarahi sebelum ini. Teori awal saya pasti seorang kerabat diraja dari negeri lain telah dikebumikan disitu. Jika tidak pun pasti makam ini milik seorang pembesar yang mempunyai titisan darah diraja. Namun fikiran saya berbelah bahagi untuk mengiyakan teori berkenaan.

Usai sahaja menyedekahkan bacaan Al-Fatihah, tiba-tiba Hidayat bersuara bertanya siapakah insan yang dikebumikan di makam ini. Saya diam seribu bahasa. Rugi benar tidak membuat rujukan dahulu sebelum ziarah. Saya memerhatikan balutan kain batu nisan yang sudah usang dimamah masa ... fikir saya kenapa ia perlu bewarna hijau ? ... entah mengapa secara tidak sedar mulut saya terus menyatakan kepada Hidayat bahawa yang dimakamkan disini ialah seorang ulama yang tersohor dan mungkin bertaraf wali. Saya bungkam ... terasa jawapan itu benar-benar membuatkan saya menjadi serba salah.


Hijau melambangkan agama Islam dan seperti yang telah saya ketahui dari penceritaan orang-orang lama bahawa kawasan persisiran Sungai Perak dari mukim bandar membawa ke hulu memang suatu ketika dahulu merupakan tempat lahirnya bijak pandai agama yang hebat. Tambahan pula kawasan di persisiran Sungai Perak sememangnya pernah menjadi lokasi pusat pemerintahan sultan-sultan Perak terdahulu. Jadi adalah tidak mustahil para ulama dan ilmuwan Islam akan bertumpu di sini untuk berdakwah kepada penduduk tempatan. Apabila mereka meninggal dunia, mereka dimakamkan di kawasan ini juga dan pastilah makam mereka dijaga dengan sempurna kerana berkat ilmunya.

Namun itu sekadar telahan saya sahaja. Mahu ditanya pada penduduk tempatan tidak kelihatan pula kelibat mereka walaupun kedudukan makam berkenaan berhampiran dengan rumah penduduk kampung. Papan tanda penerangan mengenai makam juga tiada. Pasti ia akan menyusahkan para peminat sejarah bagi mengetahui akan sumbangan tokoh-tokoh tertentu dalam perkembangan tamadun Melayu Perak Darul Ridzuan yang tercinta ini. Tetapi apabila difikirkan kembali, saya juga perlu bermuhasabah diri ... sewajarnya saya membuat penyelidikan dahulu sebelum melakukan sesuatu perjalanan. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya hal seperti ini akan membuatkan saya lebih bersedia untuk siri-siri perjalanan yang akan datang.

Setelah hampir 15 minit berteka-teki di makam ini, saya dan Hidayat meneruskan semula perjalanan kami untuk ke dua buah makam lama milik sultan Perak yang terletak tidak jauh dari makam ini. Sepanjang menunggang motosikal fikiran saya melayang memikirkan siapakh pemilik makam bernisan kurus dan berbalut kain hijau itu .... mahu sahaja saya berpatah semula ke pekan Kampung Gajah untuk mencari pusat internet bagi membolehkan saya mendapat rahsianya. Saya benar-benar mahu mengetahuinya !!!

Mencari Rahsia Syed Hussain Yamani 

Malam itu saya sibuk mencari misteri pemilik makam berkenaan. Alhamdulillah jawapan kepada masalah saya dapat diselesaikan. Makam berkenaan adalah milik seorang ulama yang bernama Syed Hussain Yamani. Tidak banyak maklumat yang dapat saya perolehi berkenaan dengan tokoh ini. Namun jika dilihat pada hujung namanya jelas beliau mungkin berasal dari Yaman. Tidak pula saya menemui catatan berkenaan tarikh kehadiran tokoh ini ke Perak.

Jika dilihat secara sepintas lalu melalui carian internet sememangnya keluarga Syed amat berpengaruh dalam urusan pentadbiran negeri Perak suatu ketika dahulu. Namun demikian, nasab keturunan Syed di Perak ini bermula dari warisan Syed Hussain Al-Faradz yang seterusnya bersambung sehingga ke cucunda Rasullullah, Saidina Hussein. Saya tidak pasti pula berkenaan Syed Hussain Yamani ini sama ada beliau dari nasab yang sama ataupun tidak. Namun yang pastinya gelaran Syed merupakan suatu gelaran yang mulia kerana mereka semuanya adalah anak cucu kepada Nabi Muhammad SAW.

Salah satu sumbangan terbesar golongan Syed di Perak ialah penciptaan Undang-Undang 99 Perak yang berteraskan hukum syariah. Undang-undang 99 Perak ini telah diilhamkan oleh Syed Hasan ( Raja S'ari )* yang juga merupakan waris langsung dari Syed Hussain Al-Faradz ini. Beberapa jawatan penting dalam hieraki pembesar negeri Perak juga pernah disandang oleh keluarga Syed ini sehinggalah ke hari ini. Syed Hussain Al-Faradz merupakan penyandang jawatan Orang Kaya Menteri Paduka Tuan yang pertama di negeri Perak.

Misteri kepada watak Syed Hussain Yamani ini terus membelenggu diri saya sehingga kini. Semasa artikel ini ditulis, saya masih lagi ragu-ragu dengan beberapa perkara yang agak samar-samar. Namun saya tetap gagahi juga mencari fakta tentang Syed Hussain Yamani  sehinggakan saya terpaksa mengambil keputusan membuat kunjungan ziarah kedua ke makam ini bagi mendapatkan pencerahan.

Sayangnya ketika kunjungan kali kedua saya ke makam ini, kain bewarna hijau yang pernah menjadi kain balutan batu nisannya telah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah kain balutan bewarna kuning tunggal. Apa yang membanggakan saya ketika ini ialah pagar kepuk makam yang sudah bercat baru. Jelas masih ada yang prihatin dengan tinggalan sejarah negeri Perak ini.

Tiada lagi balutan kain bewarna hijau 

Syed Hussain Yamani terus kekal sebagai suatu watak yang misteri di minda saya dan sehingga kini saya terus mencari fakta berkaitan tokoh ini tanpa jemu !

tambahan kepada catatan ini ... saya merasakan Syed Hasan ( Raja S'ari ) yang memperkenalkan Undang-Undang 99 Perak adalah insan yang sama dengan Syed Hussain Yamani.... wallahualambissawab. Tidak ketahuan kenapa hati ini berkata sedemikian ....

Bersambung

Rujukan