BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, November 20, 2009

Surat Dari Seorang Pelajar......

Pelik juga rasa di hati bila ketika sedang sibuk mengemas beg tugasan harian, saya terjumpa dua pucuk surat yang agak misteri sifatnya. Aneh....entah siapa yang meletakkan di dalam beg saya. Mulanya ingin dibuang tetapi hati melarang.....mungkin ada sesuatu rahsia yang ingin disampaikan oleh si pengirim. Semuanya bermain dan berlegar di benak saya.

Apabila surat itu dibuka..hati menjadi riang dan terukir senyuman di bibir saya apabila melihat surat itu datangnya dari anak murid saya sendiri. Seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi yang diinklusifkan dalam aliran perdana. Namanya Doknen@Mendo. Seorang gadis Kenyah yang kehilangan bahasa ibundanya. Orangnya lucu dan periang walaupun kadang - kadang sakit. Akalnya juga tinggi dan banyak helah. Dia kini ditempatkan dalam kelas tingkatan 4 aliran perdana kerana dalam perkiraan kami dia boleh diinklusifkan kerana mampu untuk menulis dan membaca walaupun penglihatannya sebelah kanan mengalami kebutaan total. Selain itu Mendo juga mengalami masalah lembam yang menyebabkan pemikirannnya masih keanak - anakan.

Berbalik semula kepada surat tadi...walaupun ringkas dan mudah ( terselit juga gambar pemandangan )namun bagai seorang guru pendidikan khas, ada sesuatu yang meriangkan didalam hati. Masakan tidak bila ada seorang pelajar yang menghargai dan menyayangi kita bukankah itu suatu yang bermakna sebagai seorang guru. Tambahan pula ia datang dari seorang pelajar yang istimewa dan mereka tidak menipu dengan perasaan mereka. Semuanya membuatkan saya berfikir sendiri....betapa indah nya menjadi seorang guru pendidikan khas. Jauh di Kapit ini saya menemui sesuatu yang penting dalam diri...HARGA SEBUAH KEIKHLASAN. Saya tidak mampu menilai keikhlasan diri. Namun ia membuatkan saya terlalu bermotivasi pada kerjaya ini.

Esok pasti datang dengan cerita yang berbeza. Semalam dilalui dengan segala kenangan. Namun semuanya terakam indah di dalam diri. Kadang kala bila begini saya suka untuk menjadi sunyi namun saya sedar ia permulaan untuk sebuah langkah. Surat dari Mendo walaupun hanya kata - kata ringkas namun itulah luahan hatinya. Tertulis di kertas putih.....SEPUTIH HATINYA MELIHAT SAYANG TUHAN....

Lukisan Pemandangan

Surat 1

Surat 2


0 ulasan: