BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, November 28, 2009

Cintaku Mekar Di Bumi Kenyalang ( 1 Pentomin Perasaan )

Saya mengarahkan pementasan pentomin ringkas berjudul "Cintaku Mekar Di Bumi Kenyalang" semasa jamuan akhir tahun staff SMK Kapit 2009 di Dewan Suarah Kapit pada 12 November 2009 yang lalu. Ini pentomin ke dua yang saya arahkan selepas pentomin berjudul "Tipah Tertipu" sewaktu Minggu Orientasi Mahasiswa Baru Ambilan 2004/2008 Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim. Kiranya setelah 5 tahun berlalu barulah saya menguji semula keberanian mengarah pentomin saya.

''Cintaku Mekar Di Bumi Kenyalang'' adalah sebuah pentomin ringkas dan berbajet rendah. Ianya dilakonkan oleh kumpulan guru - guru intake November 2008 SMK Kapit. Sama dengan pementasan pentomin ''Tipah Tertipu" dahulu, konsep yang sama saya terapkan ialah komedi lucu. Berbeza dengan pentomin pertama dahulu saya tidak berlakon sekali, tetapi untuk pentomin ini saya terpaksa mengarah, berlakon dan menjadi suara latar. Ini sudah pasti beban yang sukar. Namun segalanya berjalan lancar dengan bantuan teman - teman setugas yang pada saya sporting dalam melakonkan watak - watak mereka di samping menjadi krew bertugas mengawal muzik dan pergerakan pentomin ini.

Timbul juga perasaan gundah di hati saya bila memikirkan mampukah kami membuat audiens ketawa geli hati dengan lakonan dan skrip saya hasilkan....Pentomin ''Tipah Tertipu'' lima tahun dahulu berjaya mengamatkan seluruh Dewan SITC UPSI. Paling manis pentomin itu berjaya mendapat tempat ke-2 dalam majlis berkenaan.

Alhamdulillah....akhirnya ''Cintaku Mekar Di Bumi Kenyalang'' juga berjaya menggelikan hati audiens dan respon yang diberikan oleh teman - teman setugas dan pengetua adalah di luar jangkaan. Dewan Suarah Kapit gemuruh dengan ketawa atas lakonan kami. Malahan makcik - makcik menghidang makanan pada majlis itu sempat berseloroh dengan saya mohon diadakan lagi pementasan seperti itu.... satu kelapangan berputik di dalam hati.

Kredit kepada teman - teman yang banyak membantu dalam menjayakan pementasan pentomin ini. Lakonan dan bantuan anda semua akan terus kekal sepanjang hayat kita di bumi Kapit bertuah ini. Ianya sebagai tanda sebuah persahabatan yang indah dan abadi !!!!!!!!!!


Hafez J.Malim sebagai Sarip Dol



Dari kiri : Hii Siew Ting ( Mona Fandey ), Hafez J. Malim ( Sarip Dol ), Kumaresan ( MGR ) dan Leyu Zi Yu ( Mary )


satu babak menarik 







Thursday, November 26, 2009

SALAM AIDILADHA 1429 HIJRAH !!!!



Ini tahun kedua berturut - turut saya berhari raya Aldiladha di Kapit Sarawak. Tahun lepas saya tidak dapat pulang berhari raya kerana masalah kewangan akibat dari penempatan guru - guru baru adalah pada hujung tahun.Tahun ini pula saya terpaksa bertugas menjadi pengawas peperiksaan SPM di SMK Selirik dan semestinya ini membantutkan niat untuk pulang berhari raya di Bidor Perak....kampung kelahiran saya.

Agak sedih rasanya di dalam hati ini. Sukar menggambarkan apa yang terkandung di persaan saya ini. Resah hati rindu pada keluarga, teman - teman dan kampung halaman terpaksa saya telan bulat - bulat demi kelansungan perjalanan peperiksaan SPM pelajar - pelajar SMK Selirik. Mungkin ini dinamakan pengorbanan seorang guru tetapi pada saya ia lebih dari itu...... ia ialah lambang kasih dan sayang saya pada bumi Kenyalang tercinta ini. Kata - kata hikmat yang paling sempurna bagi seorang guru ialah " dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung"... setiap yang kita lakukan adalah atas nama 1 Malaysia bukan atas nama semangat kenegerian... dimana negeri pun tercampak kita mengajar disitulah kita menabur budi.

Akhir kalam....mohon jutaan kemaafan dari hati tulus dan ikhlas dari saya Hafez J.Malim... semoga sentosa hidup kalian yang mengenali diri ini luaran dan dalaman......SELAMAT HARI RAYA ALDILADHA !!!!

Friday, November 20, 2009

Surat Dari Seorang Pelajar......

Pelik juga rasa di hati bila ketika sedang sibuk mengemas beg tugasan harian, saya terjumpa dua pucuk surat yang agak misteri sifatnya. Aneh....entah siapa yang meletakkan di dalam beg saya. Mulanya ingin dibuang tetapi hati melarang.....mungkin ada sesuatu rahsia yang ingin disampaikan oleh si pengirim. Semuanya bermain dan berlegar di benak saya.

Apabila surat itu dibuka..hati menjadi riang dan terukir senyuman di bibir saya apabila melihat surat itu datangnya dari anak murid saya sendiri. Seorang murid Program Pendidikan Khas Integrasi yang diinklusifkan dalam aliran perdana. Namanya Doknen@Mendo. Seorang gadis Kenyah yang kehilangan bahasa ibundanya. Orangnya lucu dan periang walaupun kadang - kadang sakit. Akalnya juga tinggi dan banyak helah. Dia kini ditempatkan dalam kelas tingkatan 4 aliran perdana kerana dalam perkiraan kami dia boleh diinklusifkan kerana mampu untuk menulis dan membaca walaupun penglihatannya sebelah kanan mengalami kebutaan total. Selain itu Mendo juga mengalami masalah lembam yang menyebabkan pemikirannnya masih keanak - anakan.

Berbalik semula kepada surat tadi...walaupun ringkas dan mudah ( terselit juga gambar pemandangan )namun bagai seorang guru pendidikan khas, ada sesuatu yang meriangkan didalam hati. Masakan tidak bila ada seorang pelajar yang menghargai dan menyayangi kita bukankah itu suatu yang bermakna sebagai seorang guru. Tambahan pula ia datang dari seorang pelajar yang istimewa dan mereka tidak menipu dengan perasaan mereka. Semuanya membuatkan saya berfikir sendiri....betapa indah nya menjadi seorang guru pendidikan khas. Jauh di Kapit ini saya menemui sesuatu yang penting dalam diri...HARGA SEBUAH KEIKHLASAN. Saya tidak mampu menilai keikhlasan diri. Namun ia membuatkan saya terlalu bermotivasi pada kerjaya ini.

Esok pasti datang dengan cerita yang berbeza. Semalam dilalui dengan segala kenangan. Namun semuanya terakam indah di dalam diri. Kadang kala bila begini saya suka untuk menjadi sunyi namun saya sedar ia permulaan untuk sebuah langkah. Surat dari Mendo walaupun hanya kata - kata ringkas namun itulah luahan hatinya. Tertulis di kertas putih.....SEPUTIH HATINYA MELIHAT SAYANG TUHAN....

Lukisan Pemandangan

Surat 1

Surat 2


Thursday, November 19, 2009

GADIS ITU



Gadis itu 
meninggalkan aku
jauh ditengah lautan
ketika layar yang kudirikan
lolos ditelan angin 
perasaan bencinya pada

KECEWA
             SAKIT
dan.............SEKSA
                                pada sebuah penyatuan
lalu.............dia mohon mudik kehulu
mencari haluan baru

DAN.....
Aku pun menjadi kubur
janji - janjinya jadi nisanku
tertulis kalimah nista
sampai ketemu Tuhan

Gadis itu
telah membunuhku
zarah demi zarah
masa demi masa
kepeduliannya satu------------->BEBAS !!!!!!!!!!!!


Air mataku jadi syaitan
meracun sukma.


dikirim ke e-sastera pada 19 November 2009







 

Saturday, November 14, 2009

2 Minggu di PPKI SMK Kapit


Rasa-rasanya 2 minggu terakhir dalam sesi persekolahan 2009 inilah saya mula merasakan sedikit kesibukan yang teramat seksa. Masakan tidak segala urusan - urusan akhir persekolahan sesi ini perlu diselesaikan dengan pantas dan segera. Di PPKI dalam tempoh 2 minggu ini ada 3 acara besar ( pada zahirnya bersifat kecil ) yang berlangsung. Acara - acara itu ialah :
  1. Sukaneka PPKI SMK Kapit 2009 ( 4 November 2009 )
  2. Perjumpaan Bersama Ibu Bapa Pelajar  dan Penyerahan Buku Laporan Prestasi Pelajar PPKI SMK Kapit ( 6 November 2009 )
  3. Jamuan Akhir Tahun 2009 PPKI SMK Kapit ( 10 November 2009 )
Alhamdulillah semua acara ini berjalan dengan amat lancar. Segala perancangan bersama teman - teman guru PPKI berjaya mengikut apa yang dirancang. Begitu juga dengan beberapa urusan akhir seperti pengembalian buku teks dan urusan pengeluaran biasiswa pelajar dapat diselesaikan dengan mudah.

Saya juga terpaksa menangani beberapa masalah kerja yang perlu diselesaikan dengan secepat mungkin. Hal yang paling utama bagi saya ( juga kepada penyelaras PPKI, Guru kanan dan pengetua ) ialah berkenaan dengan pembukaan kelas tingkatan 4 Khas bagi sesi 2010. Masalah ini adalah berkaiatan dengan matapelajaran yang akan ditawarkan dan pembahagian tugas mengajar kelas berkenaan. Mujurlah pihak JPN Sarawak, pihak sekolah dan PPKI sendiri berjaya mencari jalan alternatif yang paling sesuai dengan kelas berkenaan. Mungkin inilah kali pertama ( pada jangkaan saya sahaja ) sebuah kelas Pendidikan Khas yang bersifat separa inklusif. Walaupun saya agak berat dengan keputusan ini namun ia perlu bagi kelangsungan ilmu pelajar - pelajar pendidikan khas di Kapit.

Kini cuti sudah bermula.....saya sendirian di Kapit. Anak - anak murid saya sudah mulai berpulang ke rumah panjang masing - masing. Segala kesibukan lalu telah berakhir. Saya menantikan fajar baru tahun 2010. Di PPKI SMK Kapit saya tetap setia bersama...... mungkin untuk beberapa tahun lagi disini...

MASAKAN HATI TIDAK MENJADI SAYANG DI SINI.....BILA KASIH DIBERI TERBUANG SEPI DIHUJUNG TANAH IBUNDA !!!!!!!!!



Wednesday, November 4, 2009

Sukaneka PPKI SMK Kapit 2009

Beberapa hari yang lepas, tiba - tiba saya terfikir untuk menganjurkan sukaneka kecil - kecilan buat pelajar - pelajar saya. Saya utarakan apa yang terkandung di dalam fikiran saya kepada penyelaras Program Pendidikan Khas Integrasi ( PPKI ) SMK Kapit iaitu Cikgu Rosman dan dia bersetuju dengan cadangan saya tanpa banyak bicara.

Terfikir juga di benak hati saya bagaimana saya mahu menangani beberapa masalah yang mungkin timbul dari penganjuran acara kecil - kecilan ini. Pertamanya sudah pastilah soal ongkosnya. Walaupun perbelanjaannya kecil namun PPKI ini bukanlah sebuah program yang mewah. Peruntukan kepada kami biasanya tidak lah terlalu banyak dan tabung itu tidak akan terisi lagi sehingga tahun hadapan. Namun masalah itu berjaya diselesaikan melalui tajaan dari Syarikat Andy Emporium Kapit untuk 3 buah hamper hadiah yang comel. Terima kasih atas tajaan tersebut.

Beberapa masalah lain seperti kebenaran ibu bapa penjaga, barang - barang keperluan program semuanya dapat diselesaikan dengan bantuan yang tidak berbelah bahagi dari Cikgu Rosman dan Pembantu Pengurusan Murid PPKI saya itu Puan Sylvia Jingga, Puan Entia Bangau dan Cik Evelyn Umpa. Semuanya memainkan peranan yang penting dan berkesan. Kredit kepada mereka.

Akhirnya dapatlah pelajar - pelajar istimewa saya merasa nikmatnya bersukaneka pada hari ini ( 4 November 2009 ) dengan rasa indah dan nyaman seperti teman - teman aliran perdana yang lain. Namun hati tetap gundah gulana yang teramat bila hujan mula turun di subuh hari. Alhamdulillah segala perasaan gundah itu terhakis lekas bila matahari mula memancar cahaya cintanya pada dunia di kemudiannya.

Padang KDC Kapit menjadi lokasi acara ini. 10 acara disediakan seperti isi air dalam botol, bawak bulu tangkis atas raket dan lain - lain lagi. Selain itu acara permainan dalaman iaitu congkak dan corom juga turut dijalankan. Setiap pelajar dibahgikan kepada 4 kumpulan dan mengandungi 4 orang peserta.

Pelajar - pelajar saya tidak ramai. Kebanyakannya mengalami masalah lembam atau "slow learner" . Masalah ini sering berlaku pada kanak - kanak di seluruh dunia dimana pencapaian akal mereka tidak secepat atau sepantas kanak - kanak normal yang lain. Dalam usia 13 hingga 15 tahun, pelajar - pelajar saya masih berfikiran seperti anak - anak prasekolah malahan masih ada yang belum tahu membaca. Namun demikian ia tidak menghalang mereka untuk menikmati dunia ini. Bukankah Tuhan telah mencipta dunia untuk setiap anak manusia tanpa ada sempadan ruang?....

Segalanya indah pada hari ini... kami menikmati setiap masa dengan rasa indah dan ketawa. Teman - teman guru yang lain juga merasa ingin berkongsi perasaan kami dan setiap mereka melahirkan rasa gembira. InsyaAllah acara seperti ini akan diteruskan pada masa - masa yang mendatang. Ia bukan sekadar sebuah acara yang gembira tetapi lebih kepada acara yang membina.......SEBUAH KASIH SAYANG SEUSIA HIDUP....










 CIKGU SAYANG KAMU SEMUA !!!!!!








Sunday, November 1, 2009

KERINDUAN ( UNTUK HARI KECILKU )


Ada
sesuatu yang hilang
dalam diri.....

Kemudiannya
kita cari dan gali
sampai menemunya
di tepi hutan usia kita.....

Ianya
tersisih jauh
dan menjadi
teramat rindu sifatnya.....

Itulah
rasa indah abadi
di kekecilan detik masa
yang berlalu.....

Akhirnya
ia usang
ditelan anai - anai usia dewasa
pada hari yang membunuh
rasa sayang ini.....

..... ia semakin hampir dan jelas .....




Hafez J. Malim
Kapit Sarawak

( Dikirim ke e-sastera pada hari Ahad ( 1 November 2009 ) )