BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, September 14, 2010

Cerita Yang Semakin Sunyi .....

Pulang bercuti sempena hari raya baru - baru ini benar - benar merehatkan hati dan perasaan saya. Berhari raya bersama keluarga dan bertemu dengan sanak saudara serta teman - teman lama membuatkan saya terus melupakan kesibukan kerja yang saya tinggalkan sementara di Kapit. Ia suatu motivasi tambahan kepada saya dalam meneruskan kehidupan ini walaupun saya sedar jalannya sentiasa berlorong sempit.

Namun saya sedari juga semakin usia menginjak dewasa ini banyak yang kini sudah berubah. Ia berlaku dengan pantas. Pulang ke kampung halaman sebenarnya membuka semula segala kenangan lama permulaan hidup saya. Namun kini tidak semuanya yang indah di waktu kecil saya yang masih tinggal .... ada yang sudah lama tiada ..... ditelan usia dan masa.

Ketika berjalan melihat kampung kelahiran saya hati mudah menjadi sayu. Masakan tidak ... segala kenangan lama tertinggal di sini. Rumah kelahiran saya masih wujud namun rekabentuknya sudah berubah. Dahulu ia sebuah rumah kayu dua tingkat yang amat comel. Namun kini ia telah diubahsuai sesuai dengan perubahan zaman. Semenjak arawah opah kembali ke rahmatullah kira-kira 17 tahun yang lalu rumah itu tertinggal sepi. Saya yang menjaganya sendirian. Sehinggalah arwah Andak mengambilnya dari ayah dan saya, rumah itu telah diubahsuai menjadi rumah satu tingkat. Saya selalu melawat rumah itu... mengutip semula cerita lama saya di situ. Seolah - olah masih segar di ingatan segala apa yang pernah berlaku di dalam rumah kecil itu.

Rumah kelahiran saya.. dahulunya sebuah rumah kampung kayu
tradisi yang comel.


Bersebelahan rumah kelahiran saya ialah rumah Andak iaitu bapa saudara saya. Rumahnya sangat besar namun kini saya melihatnya semakin sepi dan tidak bermaya sejak Andak berpulang ke rahmatullah. Dahulu rumah itulah tempat saya menonton televisyen jika bermalam di rumah opah. Seringkali juga saya bermalam di rumah itu apabila waktu cuti sekolah. Di siang hari laman rumah itu menjadi tempat kami bermain 'rounders' atau bolasepak. Rumah besar Andak juga kini makin sunyi... hanya sekali sekala sahaja apabila hari raya rumah itu kembali ceria namun ia tak kan dapat menutup segala ruang - ruang sepi penghuninya.


Rumah Andak .. besar dan sunyi


Rumah kelahiran saya ( kiri ) dan rumah Andak ( kanan ). 
Halaman yang luas tempat permainan di masa kecil saya.


Di seberang jalan berhadapan dengan rumah kelahiran saya dan rumah andak ialah sebuah lagi rumah makcik saya iaitu Rumah Ende. Rumah ini kami anggap misteri malahan saya sendiri jarang bermain di situ sejak kecil walaupun jaraknya tidak jauh. Rumah gadang ini bolehlah dianggap terbesar dan tinggi di kampung saya pada ketika itu sesuai dengan status pemiliknya iaitu suami pakcik saya seorang mandur JPS ( Jabatan Pengairan dan Saliran ). Namun kini ia terbiar sepi setelah arwah makcik saya Ende dan suaminya yang saya panggil Uda pulang ke rahmatullah. Anak sulung mereka mengambil keputusan untuk berpindah dari situ setelah berlaku perebutan antara adik - beradiknya mengenai hak terhadap rumah berkenaan. Sesekali bila melalui rumah gadang itu teringat saya akan arawah makcik dan pakcik saya. Semoga mereka aman di alam sana.


Rumah Gadang Arwah Uda ... kini sepi, sunyi dan misteri.


Dahuli semasa saya masih kecil, persekitaran saya dipenuhi dengan pokok - pokok kayu. Berbagai - bagai pokok buah - buahan terdapat di sekeliling halaman dan belakang rumah. Teringat betapa nikmatnya jika tiba musim rambutan dan manggis... sampai muntah kami sekeluarga memakannya walaupun pokok - pokok berkenaan milik arwah Andak. Selain dari itu terdapat juga pokok cempedak, nangka, macang, jambu, pisang dan pokok-pokok kelasi yang tumbuh meliar. Jauh sedikit dari rumah saya terdapat kebun getah kecil yang sudah amat tua milik jiran sekampung. Di sinilah tempat kami bermain perang beramai - ramai sebelum terjun mandi ke sungai Gedong yang menjadi kebanggan kami warga kampung Petalin Baru Bidor. 

Arwah opah dan Wan Andak pula rajin menanam bunga malahan sehingga kini pohon - pohon bunga itu masih lagi wujud. Di hadapan rumah pula terdapat sebatang pokok pinang namun ia telah tumbang beberapa tahun yang lepas. Kini cuma tinggal sebatang sahaja pokok pinang yang masih tinggal iaitu di belakang rumah. Kebanyakan pohon - pohon yang saya sebutkan tadi kebanyakannya sudah mati atau tumbang di makan masa. Pokok pinang sebatang inilah sahaja yang tinggal menjadi saksi bisu  kepada kepada kehidupan saya sehingga kini.


Pokok Pinang sebatang saksi bisu 
melihat segala perubahan


Kini semuanya sudah berakhir. Kampung kelahiran saya semakin tua. Para peneroka awalnya juga sudah ramai yang kembali berpulang menemui Allah SWT. Saya juga perlahan - lahan sudah mula mengorak langkah meninggalkan namun saya sentiasa sedar saya tak kan mampu melupakannya. Di sini saya masih punya ramai saudara - mara dan teman - teman. Hayat usia kanak - kanak  dan remaja saya terlalu banyak tercurah di tanahnya. Bila berjauhan di kampung masih terasa hangatnya kasih sayang opah kepada saya .... apa yang terdaya saya lakukan hanyalah ..... MENANGIS !!!!!!!



0 ulasan: