BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Monday, October 4, 2010

Perkhemahan Motivasi PPKI SMK Kapit 2010



Agak-agaknya inilah kali pertama Program Pendidikan Khas Integrasi di bahagian Kapit ini menjalankan aktiviti perkhemahan. Bunyinya mungkin pelik bagi guru - guru pendidikan khas di kawasan bandar namun realitinya bagi sebuah program di kawasan luar bandar kami berhadapan dengan masalah " pengabaian ". Namun lupakan seketika tentang lumrah pengabaian itu, kita bercerita sejenak tentang program Perkhemahan Motivasi PPKI SMK Kapit 2010 ini.

Perkhemahan ini berlangsung pada 23 hingga 24 September 2010 yang lalu. Lokasi perkhemahan ini ialah Penempatan Rejimen 510 Rejimen Askar Wataniah Kapit. Mulanya lokasi perkhemahan adalah di kawsan sekolah namun setelah difikirkan sedalamnya saya merubah lokasi perkhemahan ke kawasan kem Askar Wataniah ini. Tuan Pengetua juga agak risau dengan perkhemahan ini namun beliau akhirnya beralah setelah saya menerangkan langkah-langkah keselamatan yang perlu.

Perkhemahan ini agak santai. Seramai 15 orang pelajar, 5 orang guru dan 3 orang pembantu pengurusan murid ( PPM ) menyertai perkhemahan ini. Faktor cuaca, masa, kos dan keselamatan pelajar adalah keutamaan saya. Kami berkumpul di sekolah tepat jam 2.30 petang ( 23 September 2010 ). Setelah semua kelengkapan perkhemahan dikumpul kami bergerak ke tapak perkhemahan dengan van yang disewa khas.


Berkumpul sebelum bertolak ke tapak perkhemahan


Kami sampai ke tapak perkhemahan kira-kira 30 minit kemudian. Tidak berlenggah pelajar dan guru bergotong royong memasang khemah. Rasa keterujaan di kalangan pelajar amat tinggi kerana ada dikalangan mereka tidak pernah langsung berkhemah. Manakala PPM yang diketuai oleh Puan Sylvia pula bertungkus - lumus menyediakan makanan untuk pelajar. 


Cikgu Merum mengawasi anak - anak PPKI memasang khemah


Pelajar - pelajar perempuan juga tidak
terkecuali memasang khemah

Aktiviti petang hari pertama adalah bergotong royong di tapak perkhemahan. Agak pening juga mengawal kerenah anak - anak PPKI namun bantuan dari guru - guru PPKI yang lain berjaya mengawal keadaan. Di dalam fikiran saya cuma runsing berdoa agar hujan tidak turun pada waktu malam. Ini kerana khemah yang disediakan bukan lah dari jenis yang terbaik. Sudah semestinya air hujan akan masuk ke khemah pelajar !!!!


Menu makan malam kami ialah sup ayam, sayur campur dan telur dadar. Selain itu Cikgu Kuiek dan Cikgu Merum pula menyediakan pansuh ayam dan ikan. Hidangan yang amat menyelerakan kami semua. Di sebalik remang malam dapat pula makan beramai - ramai terasa keseronokannya. Saya juga berbesar hati dengan lawatan dari pensyarah Institut Amunuddin Baki ( IAB ) Cawangan Sarawak iaitu Dr Hud ke perkhemahan kami. Walaupun sekadar lawatan biasa namun sudah cukup membuatkan kami dihargai.

Puan Sylvia ( kiri ) dan Puan Entia, 
dua orang PPM yang sibuk memasak


Saya membantu mengisi makan malam pelajar

Jeffery Sang dan Jackson Jelani


Pada sebelah malamnya diadakan sesi ceramah motivasi yang dijlankan oleh Cikgu Azian dari Unit Bimbingan Dan Kaunseling SMK Kapit. Sengaja saya memilih tajuk permasalahan seks dan gender supaya pelajar - pelajar lebih terbuka dalam permasalahan ini. Pelajar - pelajar dilihat agak berminat dengan tajuk ini terutamanya pelajar - pelajar perempuan. Inilah yang ingin saya terapkan supaya mereka lebih menghargai nilai kehidupan remaja mereka walaupun sebagai seorang pelajar istimewa.
Aktiviti ceramah


Sementara para pelajar sibuk mendengar ceramah, saya, Cikgu Rosman, Cikgu Merum dan Cikgu Firdaus bergotong royong membakar kepak ayam dan sosej untuk pelajar. Agak malang bagi kami hujan turun dengan agak lebat. Ini memaksa para pelajar tidur di dalam banggunan kem. Agak sukar bagi saya menerima hakikat ini setelah melihat reaksi pelajar yang kecewa tidak dapat tidur di dalam khemah. Namun keselamatan mereka lebih utama dari segalanya.


Dari kiri, Cikgu Merum, Cikgu Firdaus dan Cikgu Rosman

Kepak ayam bakar 


Keesokan paginya kami memulakan aktiviti dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu negeri Sarawak iaitu Ibu Pertiwiku. Selepas itu aktiviti senaman ringan dilakukan. Pagi ini kami akan menjalankan aktiviti "berjalan pagi". Kami akan berjalan kaki sejauh hampir 5 kilometer ( pergi dan pulang ) sambil menghirup udara pagi serta menikmati pemandangan Kapit. Walaupun kelihatan agak mudah namun sebenarnya perjalanan ini agak mencabar fizikal dan mental. Keadaan muka bumi yang berbukit - bukau sedikit sebanyak menyukarkan pergerakan kami. Namun harus diakui.... stamina pelajar - pelajar saya memang begitu hebat jika dibandingkan dengan tenaga orang berusia seperti saya ini...hehehehehhe


 Senaman pagi


 Pemandangan tapak perkhemahan


 Panorama Kampung Kemarau dari puncak bukit.. indah dan tenang


 Berhenti sebentar melepaskan lelah


Saya bergambar kenangan bersama pelajar - pelajar saya


Menu sarapan pagi kami agak istimewa. Sylvia begitu kreatif dalam hal ehwal memasak ini. Terasa begitu beruntung memiliki Pembantu Pengurusan Murid yang rajin dan dedikasi dalam menjalankan tugas. Nasi Goreng Ayam panggang, biskut, sosej dan roti adalah menu kami pagi ini. Ditambah dengan air teh o panas terasa begitu berselera sekali saya manikmati hidangan pagi kali ini. Namun sesuatu yang pasti, saya mula dapat rasakan ada satu keterikatan antara saya, teman - teman guru pendidikan khas dan pembantu pengurusan murid. Inilah kali pertama sepanjang tempoh saya berkhidmat di PPKI SMK Kapit, saya merasa seperti berada dalam sebuah keluarga. Perasaan saya agak tenteram. 


Program diteruskan dengan caramah motivasi ke dua. Seterusnya selepas itu acara sukaneka pula dijalankan. Cikgu Rosman yang menjadi ketua bagi acara ini. Terasa begitu menghiburkan melihat anak - anak PPKI bermain acara sukaneka. Turut sama pada ketika ini ialah Penolong Kanan Pentadbiran SMK Kapit Cikgu Kuiek Bon Siau yang banyak membantu dalam menjayakan aktiviti perkhemahan ini. Malahan beliau juga turut serta bersama pelajar.



Beberapa gambar ketika aktiviti sukaneka


Walaupun hanya satu perkhemahan mudah dan ringkas namun saya amat berpuas hati. Dapat dirasakan kepuasan setelah melihat keseronokan pelajar terhadap perkhemahan ini. Walaupun penat namun saya gembira dapat menganjurkan perkhemahan ini. Tepat jam 12 tengah hari kami mula bergerak pulang. Saya dan Cikgu Firdaus terpaksa pula menghantar seorang pelajar PPKI pulang ke rumahnya. Dengan menaiki motor saya kami bergerak ke rumahnya yang memakan masa hampir 40 minit masa perjalanan. Dengan laluan balak yang mencabar terdetik di fikiran saya sendiri ..... " adakah cikgu - cikgu pendidikan khas di Semenanjung merasa kesusahan kami di sini ?" ...... hati saya terus menangis!!!!!








0 ulasan: