BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, March 8, 2011

Catatan Sebuah Buku : Hari Itu Sudah Berlalu ( Zainuddin Maidin )



Ketika singgah ke sebuah kedai buku di Sibu pada dua minggu yang lepas, saya telah membeli sebuah buku berjudul Hari Itu Sudah Berlalu karya Tan Sri Zainuddin Maidin, bekas wartawan yang akhirnya menjadi menteri penerangan Malaysia. Buku ini menghimpunkan tulisan-tulisan beliau dalam kolum Mingguan Malaysia. Disamping itu dimuatkan juga tulisan-tulisan beliau yang masih belum lagi tersiar.

Apa yang membuatkan saya tertarik dengan buku ini ialah banyak kisah dan peristiwa politik yang diceritakan kembali oleh beliau. Dengan pengalaman selama 30 tahun berkhidmat di syarikat Utusan Melayu  sedikit sebanyak beliau dapat menceritakan kembali kisah-kisah lama negara kita kepada generasi baru dari kaca mata beliau sebagai seorang wartawan. Seperti yang kita ketahui, wartawan adalah saksi sejarah. Mereka merakam segala peristiwa yang berlaku dengan tinta dan dedikasi yang tinggi.

Kita juga dapat menjumpai nama-nama besar yang semakin kita lupakan dimuatkan di dalam buku ini. Almarhum Tunku Abdul Rahman, Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Dr Ismail, Allahyarham SN Usman Awang, Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail dan ramai lagi yang tidak sempat saya nukilkan di sini. Jalan cerita dan kisah yang ditulis oleh Tan Sri Zainuddin Maidin pada saya agak santai dan menarik. Ia seolah - olah satu biografi ringkas namun padat dengan fakta yang benar - benar berguna bagi generasi kini. Ia sebenarnya satu cerita sejarah yang mendalam tentang survival politik negara kita.


Saya menyukai buku ini. Berbaloi rasanya membaca buku ini. Kadang - kadang bila saya membaca buku-buku seperti ini, ia seperti mengembalikan semula diri saya ke masa-masa yang telah berlalu.  Namun seperti judul buku ini, saya sedar semua itu tidak akan terjadi, kerana..... Hari Itu Sudah Berlalu .....

0 ulasan: