BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Friday, May 20, 2011

Antara Banjaran Titiwangsa dan Laut

Saya lahir di Bidor. Lebih senang lagi di sebuah rumah kampung dua tingkat dalam Kampung Petalin Baru Bidor. Ia suatu tempat yang tenang tanpa sebarang kebisingan hiruk piruk kesibukan bandar. Bidor pekan yang klasik namun meriah dengan masyarakatnya yang berbilang kaum. Bidor terletak berdekatan dengan kaki banjaran Titiwangsa yang menghijau. Sejak lahir lagi saya melihat banjaran Titiwangsa sehingga saya dewasa. Ia bagaikan menyapa saya setiap hari dengan warna hijau dan birunya dari kejauhan.


 Banjaran Titiwangsa

Di kampung kelahiran saya yang tenang itu saya menikmati hari-hari kecil saya dengan rasa yang sempurna. Yang ada di hadapan mata saya ialah halaman rumah yang luas. Dari kejauhan yang berbalam-balam dapat dilihat Banjaran Titiwangsa yang gagah menghijau. Dari banjaran ini mengalir Sungai Gedong yang sejuk dan jernih airnya membelah kampung kami. Di sini saya menjadi mahasiswa alam yang begitu setia. Memancing, menjala, menjaring, menembak ikan, mandi sungai, bakar ikan, berhanyut dengan pelampung tayar, main perang-perang, mencuri buah di kebun Cina dan bermacam-macam hal yang saya dan teman lakukan di universiti alam ini. Tiada sebarang prejudis dengan kehidupan sebegini.


Sesekali kami pergi ke kawasan ulu kampung yang kami gelarkan sebagai Gedang. Di sana kata ayah agak "keras" sikit. Takut ketegur dengan makhluk halus katanya. Tetapi ia tidak menghalang kami ke sana. Di sana aliran Sungai Gedong lebih deras dan jernih. Kami berhanyut beramai-ramai dengan menggunalan pelampung dari tiub tayar. Sepanjang perjalanan, panorama adalah menarik. Namun bila tiba di kawasan kebun-kebih Cina yang menanam jambu air, jambu batu, belimbing dan sebagainya maka kami bagaikan pengganas komunis yang menyusup mencuri buah-buahan itu. hahahahaha


Jambu air ... hasil curian yang terbaik

Kadang kala di waktu-waktu tertentu, ada kumpulan orang asli akan melalui kampung kami untuk ke pekan Bidor. Mereka berjalan kaki namun ada juga yang menaiki basikal beramai-ramai. Sebagai anak kampung, wujud satu interaksi secara tidak langsung antara kami dengan mereka. Saya suka kepada mereka. Mereka ini ramah. Didalam perjalanan mereka sudah pasti akan dibawa lastik bersama. Saya agak kagum dengan keupayaan mereka melastik burung. Bukan sekali dua saya melihat burung - burung tewas dihentam batu lastik mereka malahan banyak kali. Saya juga melastik burung tetapi tidak pernah yang mengena. Mungkin perasaan belas kasihan saya lebih kuat berbanding dengan naluri memburu.... ermmmm


Kehidupan sederhana di pinggir banjaran Titiwangsa membuatkan saya menjadi anak kampung yang setia dengan kebanggan yang tidak berbelah bahagi terhadap pekan Bidor. Memang diakui saya jarang keluar dari pekan Bidor semasa saya bersekolah rendah. Malahan saya seolah-olah menjadi ''katak di bawah tempurung'' pada ketika itu. 



Pada ketika inilah, saya mula merasa ingin melihat laut. Ingin merasa angin laut dan melihat pasir pantainya yang lembut. Namun hasrat hati itu terpaksa terpendam kerana Bidor terlalu jauh dari laut. Sesekali bila ada lawatan ke Teluk Batik barulah saya dapat merasa keunikan laut. Namun ia tidaklah sampai membuatkan saya jatuh cinta dengan laut. Banjaran Titiwangsa tetap menjadi cinta hati saya. Tidak tahu kenapa begitu. Hal ini terbawa-bawa sehingga saya masuk ke UPSI. Selalu saya berdebat dengan teman-teman yang datang dari kawasan pinggir pantai ( terutama dari Kelantan dan Terengganu ) bahawa kehidupan pinggir Banjaran Titiwangsa lebih menyeronokkan dari kehidupan pinggir laut. Bila memikirkan semula saya jadi lucu kembali.


 Laut dan pantai

Namun segala andaian dan pegangan saya sedikit sebanyak mula berubah bila saya melakukan latihan mengajar tahun akhir saya di SMK Sungai Besar Selangor. Bandar Sungai Besar dalam negeri Selangor ini sangat unik. Ianya terletak pinggir laut dan juga mempunyai kawasan sawah padi yang menarik. Saya tidak boleh menipu diri sendiri bahawa saya memang jatuh cinta dengan tempat ini. Buat pertama kalinya saya berinteraksi dengan laut dengan semahunya hati selama hampir 4 bulan. Kehidupan nelayan dan angin tepi laut membuatkan saya menjadi suka dengan laut. Bunyi ombak membuatkan hati bagaikan menjadi tenang. Di waktu petang saya sering meneroka kawasan pinggir-pinggir laut menikmati pemandangan yang indah bersama teman-teman yang praktikal sekali bersama saya.

Apabila tamat sahaja latihan mengajar saya di SMK Sungai Besar, saya kembali semula ke Bidor. Secara tidak langsung hubungan saya dengan laut kembali terputus dan saya kembali menikmati damai Banjaran Titiwangsa. Dan saya kembali menjadi pemuja Banjaran Titiwangsa yang setia. Setiap pagi saya akan memandang banjaran Titiwangsa yang membiru. Ia bagaikan tersenyum melihat saya. Ketika mendapat tahu saya akan mengajar di bumi Kenyalang, hati bagaikan bersedih kerana akan meninggalkan Banjaran Titiwangsa untuk kesekian kalinya. Ingatan terhadap laut pula terus lupus..... lupus yang sukar untuk kembali.


Di Kapit.... saya hanya melihat Sungai Rajang dan bukit-bukitnya sebagai pengganti ingatan terhadap banjaran Titiwangsa. Sesekali saya masih seperti dulu, akan berdebat dengan teman-teman berkenaan dengan laut dan banjaran Titiwangsa. Hinggalah pada suatu hari, seseorang telah menyebabkan saya mula memikirkan tentang laut. Pada mulanya sekadar perbandingan yang ringkas tentang kehidupan pinggir laut dan pinggir Banjaran Titiwangsa. Namun setelah kejadian itu secara diam-diam saya mula kepingin melihat laut. Sukar saya mengertikan hasrat hati itu. Benar.... seseorang membuatkan saya merindui laut !!!!


Dan akhirnya hasrat itu tercapai ketika kunjungan saya ke Bintulu bulan lepas. Ketika itulah saya mula mengerti bahawa laut sebenarnya telah berjaya membeli sayang saya. Saya mula jatuh cinta dan merindui laut, ombak, angin dan pantainya. Sejujurnya .... saya melihat laut kini adalah tempat yang sama dengan banjaran Titiwangsa. Tidak tahu kenapa ketika di tepi laut ini, saya menjadi sebak. Timbul perasaan untuk menyendiri di sini. Ia membuatkan saya khayak dengan dunia saya sendiri. Ketika itulah muncul ingatan-ingatan lama terhadap seseorang yang membuatkan saya menjadi rindu. Juga kepada seseorang yang membuatkan saya jatuh cinta dengan laut ..... ada satu perasaan halus meyelinap masuk di hati saya terhadapnya... sukar dan teramat susah dimengertikan.

Sayup ... saya di pinggir laut





Antara Banjaran Titiwangsa dan laut, keduanya membuatkan saya rindu dan bernostalgia. Saya rindukan kehidupan lama saya juga pada semua insan-insan yang pernah membuatkan saya menjadi manusia seperti hari ini. Banjaran Titiwangsa mengembalikan semua nostalgia zaman remaja dan kanak-kanak saya. Laut pula membuat saya menajdi seorang perindu yang tegar dengan kehidupan baru yang akan mendatang. Katakan lah apa sahaja... keduanya adalah perkara yang terbaik untuk saya.






0 ulasan: