Selepas melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun 2011 memang diakui saya agak liat untuk melakukan sebarang perjalanan ke tempat-tempat menarik di dalam negeri Sarawak ini. Jika sebelum ini andai ada sahaja masa cuti yang terluang maka sudah pasti saya dan sahabat saya Cikgu Kumaresan akan mengambil peluang untuk meneroka ke kawasan yang belum pernah kami singgahi. Namun untuk tahun 2012 ini, segala-galanya berubah dan saya lebih selesa pulang ke semenanjung bertemu isteri pada musim cuti sekolah hingga impian lama untuk meneroka ke setiap inci bumi Sarawak tercinta ini bagaikan terkubur tanpa batu nisannya.
Rupa-rupanya tarikan kepada keseronokan perjalanan dan pengembaraan ini sebenarnya sukar untuk ditahan oleh diri. Beberapa cadangan yang dikemukan oleh Cikgu Kumaresan untuk perjalanan ke beberapa bahagian di dalam negeri Sarawak ini membekas juga di fikiran saya. Akhirnya tidak kuasa lagi saya menahan diri untuk bersetuju dengan cadangannya bersama Cikgu Shukri supaya kami bertiga melakukan perjalanan ke pekan Daro yang terletak di bahagian Mukah. Uniknya perjalanan kali ini diadakan pada ketika sambutan Hari Raya Aidiladha dan kami bertiga akan menyambutnya di Daro. Setelah 4 tahun berturut-turut kami menyambut Aidiladaha di Kapit, kini kami mengubah selera kami ke Daro pula. Sudah pasti sambutan Aidiladha kali ini punya kelainan dan ceritanya sendiri.
Ah... terlalu banyak pula saya bermukadimah. Ayuh kita berkongsi cerita perjalanan saya mencari Aidiladha di Daro ini. Walaupun hanya perjalanan ringkas namun banyak memberikan erti kepada diri saya. Ayuh kita ke Daro ....
Tiga Sahabat Ke Daro
Cikgu Shukri yang tinggal serumah dengan saya memang selalu ke Daro. Isterinya bertugas di Matu yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan darat ke Daro. Memang hampir setiap minggu beliau berulang alik dari Kapit ke sana atas urusan menjenguk isteri. Selalu juga beliau mempelawa saya dan Cikgu Kumaresan berkunjung ke sana namun hasrat itu seringkali tidak kesampaiaan. Namun demikian, akhirnya saya menerima juga pelawaannya. Apa yang mengujakan saya ialah janji Cikgu Shukri untuk membawa saya merasai pengalaman menyeberangi Sungai Igan dengan menggunakan feri. Ah... ini peluang baik. Sekurang-kurangnya dapat juga saya merasai pengalaman baru.
Tiga Sahabat Ke Daro
Cikgu Shukri yang tinggal serumah dengan saya memang selalu ke Daro. Isterinya bertugas di Matu yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan darat ke Daro. Memang hampir setiap minggu beliau berulang alik dari Kapit ke sana atas urusan menjenguk isteri. Selalu juga beliau mempelawa saya dan Cikgu Kumaresan berkunjung ke sana namun hasrat itu seringkali tidak kesampaiaan. Namun demikian, akhirnya saya menerima juga pelawaannya. Apa yang mengujakan saya ialah janji Cikgu Shukri untuk membawa saya merasai pengalaman menyeberangi Sungai Igan dengan menggunakan feri. Ah... ini peluang baik. Sekurang-kurangnya dapat juga saya merasai pengalaman baru.
Kami bergerak meninggalkan Kapit sehari sebelum Aidiladha. Tidak dapat saya bayangkan bagaimana rasanya menyambut Aidiladha di tempat yang kami sendiri tidak punya kenalan dan saudara mara. Namun itulah kemanisan perjalanan ini. Kami tiba di terminal penumpang Sibu tepat jam 10.00 pagi. Kedaan di terminal penumpang Sibu pada hari ini agak sibuk Hal ini adalah sesuatu yang lumrah disini. Bot ekspres merupakan satu-satunya penghubung bagi masyarakat Kapit untuk ke Sibu.
Sesak di terminal penumpang Sibu
Kami seterusanya berjalan kaki menuju ke sebuah lagi terminal penumpang lama yang menjadi tempat penumpang-penumpang yang ingin menuju ke Daro. Kedududkannya hanya 300 meter dari terminal penumpang utama ke Kapit. Dari cerita-cerita yang saya dengari dahulu disinilah jeti asal terminal penumpang menuju ke Kapit. Setelah siapnya terminal penumpang yang baru, jeti ini terus beroperasi bagi perjalanan bot ekspres menuju ke Daro, Matu, Igan dan sebagainya. Menariknya, papan tanda lama jeti ini masih dikekalkan walaupun ia tidak lagi mengoperasikan bot ekspres yang menuju ke Kapit.
Kapit Wharf yang membawa anda ke tempat lain
Usai sahaja membeli tiket kami bergerak pula menikmati minum pagi. Tiga jam perjalanan dari Kapit ke Sibu benar-benar membuatkan kami lapar dan dahaga. Tambahan pula bot ekspres kami hanya akan mula bergerak pada jam 11.30 pagi dan kami mempunyai lebihan masa untuk minum pagi. Masalah mula timbul apabila kebanyakan kedai makan di Sibu menutup operasi pada hari ini. Kedai makan yang ada pula dipenuhi dengan pelanggan. Mahu tidak mahu kami terpaksa bersarapan di KFC. Tidak mengapalah, asalkan perut tidak lapar sepanjang perjalanan nanti.
Cikgu Kumaresan dengan menu KFC
Selesai sahaja menikmati hidangan, kami bergegas ke terminal penumpang untuk menaiki bot ekspres menuju ke Daro. Keadaan agak sesak disini dengan para penumpang yang kebanyakannya dari etnik Melanau berpusu-pusu untuk pulang berhari raya di kampung halaman. Majoriti penduduk di pekan Daro adalah terdiri dari etnik Melanau yang beragama Islam. Saya dapat merasakan sudah pasti ada keunikan yang akan kami temui di Daro. Saya sendiri sudah tidak sabar merasai saat Aidiladaha di Daro.
Bot ekspres lama yang terdapat di terminal penumpang
menuju ke Daro
Ada durian di atas bumbung bot ekspres kami
Harga tiket bot ekspres bagi perjalanan sehala ke Daro ialah RM17. Masalah mula timbul apabila tempat duduk yang sepatutnya milik kami diisi oleh seorang wanita dengan tiga orang anaknya yang masih kecil. Wanita itu pula hanya membeli tiket bagi sebuah kerusi sahaja sedangkan anak-anaknya telah menduduki kerusi bersebelahan. Mujur jugalah perasaan simpati antara kami agak kuat. Cikgu Kumaresan dengan rela hatinya menukar kerusi ke bahagian depan dan perlu pula menambah bayaran. Saya pula merasa kasihan melihat anak kecil wanita itu yang baru berusia tiga bulan dipangku oleh abangnya yang berusia 5 tahun. Apabila terpandang sahaja bayinya itu terus sahaja saya teringat kepada anak saya yang berada jauh di semenanjung. Akhirnya saya duduk membantu memangku bayi wanita itu. Seronok hati saya melihat bayi itu lelap dalam pangkuan saya.
Ia terlelap dalam pangkuan saya
Uniknya, Daro bukan terletak di persisiran Sungai Rajang. Sebaliknya bot ekspres yang kami naiki perlu masuk ke sebatang sungai yang menjadi cawangan kepada sungai Rajang. Kuala sungai berkenaan sempit namun agak dalam. Bot ekspres yang kami naiki tidak menghadapi masalah untuk melaluinya.
Bot ekspres kami melalui sebatang sungai yang sempit
sebelum sampai ke Daro.
Kami tiba ke Daro ketika jam sudah menunjukkan angka 2 petang. Jeti penumpang Daro agak kecil. Namun ia adalah sangat penting kepada penduduk setempat untuk berulang alik ke Sibu. Walaupun Daro sudah mempunyai jalan darat yang membolehkan ia dihubungkan dengan bandar-bandar utama di negeri Sarawak, pengangkutan air ( bot ekspres ) masih lagi penting kepada para penduduk Daro.
Jati penumpang Daro
Pengangkutan air sememangnya sangat penting
kepada penduduk pekan Daro.
Kami tidak terus meninjau pekan Daro sebaliknya kami mencari dahulu hotel penginapan kami. Rupa-rupanya isteri Cikgu Shukri telah meninggalkan keretanya untuk digunakan oleh kami. Ini benar-benar menyeronokkan kami kerana bukan sahaja pekan Daro dapat kami terokai malahan pekan-pekan berhampiran seperti Matu, Igan dan Oya juga boleh kami lawati. Kami menginap di sebuah hotel yang terletak berdekatan dengan jeti penumpang dan pasar awam pekan Daro. Cas yang dikenakan oleh hotel berkenaan juga amat berpatutan. Cuma yang tidak sedapnya, hanya kami yang menginap di hotel berkenaan pada hari berkenaan. Ia menjadikan suasana hotel berkenaan agak sunyi. Yang menarik berkenaan hotel ini ialah lukisan dindingnya yang bermotifkan lukisan cina. Walaupun kelihatan ringkas namun ianya begitu cantik dan berseni.
Hotel penginapan kami untuk dua malam
Lukisan yang menarik di hotel penginapan kami
Selepas mendaftar masuk ke hotel, perut kami mula mengalunkan lagu-lagu indah mohon diisi. Risau juga hati ini takut jika tiada lagi kedai makan yang masih dibuka pada waktu sebegini. Selepas berlegar-legar di pekan Daro beberapa ketika, Cikgu Shukri membawa kami ke sebuah restoran yang menjadi tempat biasa beliau menjamu selera jika mengunjungi isterinya. Agak banyak juga lauk pauk di restoran ini sayangnya nasi putihnya telah habis. Terasa juga hampa di hati kami namun pemilik restoran berkenaan menyatakan jika kami mahukan nasi goreng ia masih ada dijual. Walaupun terasa aneh juga dengan kata-katanya, kami menerima juga cadangannya dan rasa nasi gorengnya boleh tahan sahaja.
Nasi goreng sebagai makan tengah hari di Daro
Selepas menikmati makanan tengah hari ( saya tidak menghabiskan hidangan saya ), kami mula meneroka pekan Daro. Secara umumnya pekan Daro merupakan pekan yang maju dan membangun. Banyak bangunan baru dibina namun bangunan lamanya masih kekal hingga kini. Saya masih belum bernafsu untuk mengambil gambar suasana pekan Daro pada hari ini. Saya lebih selesa hanya melihat sahaja pemandangan dan mendiamkan diri di belakang kereta. Daro didiami oleh majoriti etnik Melanau dan kebanyakan mereka beragama Islam. Seronok hati saya melihat suasana kampung Melanau yang keadaan persekitarannya sama dengan kampung-kampung orang Melayu di semenanjung. Surau - surau kerta masjid boleh kelihatan di mana-mana sahaja. Ah... terasa rindu pula dengan kampung halaman di semenanjung.
Pulang sahaja ke hotel mata mula menjadi berat. Agaknya mungkin pengaruh bahan perisa yang banyak digunakan didalm nasi goreng kami tadi. Keletihan perjalanan juga membuatkan kami mudah untuk melelapkan mata. Sedar-sedar sahaja hari sudah mula beransur senja. Keadaan di pekan Daro mula sunyi. Hanya beberapa kedai sahaja yang masih menjalankan operasi. Ketika inilah hati saya mula terasa sebak. Saya rindukan takbir raya. Saya rindukan ibu dan ayah di Bidor dan saya rindukan anak dan isteri saya. Ini malam Aidiladha yang sungguh sepi. Cepat-cepat saya membuka televisyen untuk mendengar takbir raya. Barulah perasaan ini kembali ceria.
Malam itu kami bertiga menikmati hidangan makam malam di medan selera malam Daro ( open air ) yang meriah. Walaupun ini ialah malam hari raya Aidiladha, namun masih ramai yang berniaga. Saya tidak pula berselera untuk makan nasi pada malam ini. Cikgu Kumaresan dan Cikgu Shukri menikmati nasi putih beserta sup tulang manakala saya pula lebih selesa menikmati roti john. Enak juga roti john di Daro dan harganya agak berpatutan. Kami juga mencuba sate ayam dan daging dan rasanya juga agak boleh tahan. Sebelum bergerak meninggalkan medan selera malam ini, sempat juga saya dan Cikgu Kumaresan memesan burger. Sememangnya kami gemar menilai keenakan burger dalam setiap perjalanan yang kami tempuhan dan keputusanya .... burger di Daro agak menghampakan.
Suasana medan selera malam di Daro
Roti john yang enak
Cikgu Syukri kemuadiannya membawa kami meronda melihat pekan Matu yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan darat dari Daro. Kereta kami melalui jalan yang sunyi dan tidak berlampu. Boleh dikira kenderaan yang berselisih dengan kami. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana perasaan saya jika bermotosikal seorang diri di jalan ini pada lewat malam. Sudah pasti fikiran akan terbayang makhluk yang hidup di alam lain. Sesekali kami melintasi kawasan perkampungan yang terletak di kiri dan kanan jalan. Dari jendela kereta dapat saya lihat suasana kesibukan masyarakatnya sebelum menyambut Aidiladha keesokan hari.
Memandu malam ke pekan Matu
Pekan Matu pada waktu malam sangat sunyi. Dari samar-samar lampu jalannya saya dapat melihat rumah kedai lamanya yang masih utuh. Kami tidak pula singgah meninjau keadaan pekan itu sebaliknya hanya melalui dan melihat suasana pekannya. Terasa seolah-olah saya kembali ke suatu masa yang lampau. Benar ... saya benar-benar teruja disini. Sayangnya tidak pula saya mengambil gambar pekan ini pada waktu malam sebaliknya hati dan fikiran saya leka khayal menikmati suasana pekan ini. Tidak mengapalah kerana Cikgu Shukri telah berjanji kepada saya untuk singgah semula ke pekan Matu ini pada keesokan hari. Jadi tidaklah saya merasa sesal yang berpanjangan.
Kami seterusnya bergerak terus pulang ke hotel. Saya mengeluarkan baju Melayu yang memang saya bawa dari Kapit dan mengantungkannya di dinding bilik penginapan kami. Terasa mood Aidiladha begitu dekat dengan diri saya. Tidak sabar rasanya menunggu esok hari. Sempat juga saya menghubungi isteri saya di Gemas memohon sejuta keampunan darinya. Benar saya tidak mampu menahan diri saya untuk menangis ketika ini ....
Hari Raya Aidiladha Yang Perit
Saya bangun awal pagi hari ini. Dari jauh sudah terdengar sayup takbir Aidiladha. Saya menjenguk ke luar jendela hotel kelihatannya sudah ramai manusia yang lengkap dengan persalinan hari raya berpusu-pusu menuju ke masjid. Saya dan Cikgu Shukri menuju ke masjid dengan berkereta. Bimbang juga jika kawasan parkir kereta masjid berkenaan telah penuh. Mujurlah ketika kami sampai tepat parkir kereta masih kosong dan jemaah masih kurang.
Baru sahaja sampai ke masjid
Kami bersolat sunat Aidiladha di masjid Tunku Abdul Rahman Daerah Daro. Masjid moden ini agak besar dan lengkap. Sejak saya berkhidmat di Sarawak sememangnya nama Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu YAM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj amat dihormati dan disanjungi disini. Banyak juga nama-nama bangunan dan jalan dinamakan sempena dengan nama beliau dan inilah kali pertama saya menemui masjid yang dinamakan sempena nama beliau. Sesungguhnya saya menginsafi kata-kata orang tua bahawa harimau mati meninggalkan taring manakala manusia mati meninggalkan jasa. Begitulah Tunku Abdul Rahman ... bapa kemerdekaan Malaysia juga bapa kepada pembentukan persekutuan Malaysia. Semoga Allah SWT menempatkan roh beliau dikalangan mereka yang beriman.
Pintu masuk masjid Tunku Abdul Rahman Daerah Daro
Sempat juga saya meninjau-ninjau keadaan sekeling masjid sebelum memasukinya. Saya agak tertarik dengan kewujudan sebuah makam yang terletak betul-betul dihadapan masjid ini. Anehnya, kawasan berkuburan utama terletak agak jauh dari kawasan masjid. Cuma makam ini sahaja yang tunggal dan terserlah di hadapan masjid. Saya merasakan sudah pasti ada tokoh penting dan besar yang dikebumikan disini. Namun tidak pula saya bertanyakan kepada para jemaah tentang siapakah yang dimakamkan disitu.
Sebuah makam di hadapan masjid
Terasa nyaman ketika pertama kali saya melangkah masuk ke dalam masjid ini. Bunyi takbir yang bersemangat membuatkan saya juga turut bersemangat untuk bertakbir. Terasa benar-benar meriah melihat jemaah yang berbaju Melayu pelbagai warna. Sesuatu yang unik disini ialah mengenai cara kutipan derma tabung masjid dari jemaah yang dilakukan oleh sekumpulan lelaki ( jika tidak silap saya 6 orang ) yang mengikat kain di pinggang dan memegang bucu kain tersebut bagi membentuk ruang untuk diisi dengan wang yang diderma oleh para jemaah.. Kumpulan lelaki ini akan melalui saf-saf jemaah sambil bersalaman. Jemaah yang ingin menderma akan memasukkan duit didalam kain yang terikat di pinggang lelaki-lelaki ini. Menariknya, hampir kesemua jemaah akan memasukkan duit ke dalam karung pinggang lelaki-lelaki ini. Jika enam orang yang melalui bermakna enam kalilah mereka menderma. Mujur juga saya ada membawa duit kecil dalam jumlah yang banyak. Dapat juga saya merasai keunikan menderma dan bersedekah seperti ini.
Keadaan di dalam masjid Tunku Abdul Rahman Daro
Setelah tamat solat sunat dan khutbah Aidiladha, saya dan Cikgu Shukri mengambil kesempatan bersalaman dengan jemaah-jemaah yang lain. Ada yang bertanya dari mana kami datang. Seorang lelaki menjemput kami ke rumahnya. Namun terpaksa saya tolak kerana merasa tidak adil pula meninggalkan Cikgu Kumaresan di hotel berseorangan. Sesuatu yang menarik perhatian saya ialah selesai sahaja khutbah dibaca dan jemaah mula keluar, seorang lelaki tua menuju ke arah beduk besar yang terletak di anjung masjid dan memalunya. Agaknya ia adalah suatu adat dan kelaziman disini. Itulah perbezaan dan keunikan apabila berhari raya di tempat orang. Segala pengalaman ini akan memberikan kita sejuta satu pengalaman yang tidak ternilai harganya.
Memalu beduk besar selepas khutbah Aidiladha
Hafez J.Malim bergambar kenangan di dalam
masjid Tunku Abdul Rahman Daro
Saya ternanti-nanti juga jika upacara kurban terus dilakukan selepas itu. Namun hampa setelah dinyatakan bahawa acara korban hanya akan dilakukan pada keesokan hari. Saya memerhatikan sekeliling memang ada seekor lembu bewarna coklat terang tertambat diluar perkarangan masjid. Tidak mengapalah, sekurang-kurangnya saya telah merasakan betapa nikmatnya bersolat di masjid ini. Itu sudah memadai buat saya. Ketika menuju ke kereta, dapat saya lihat suasana menyambut Aidiladha yang meriah dengan penduduk kampung yang kunjug-mengunjungi rumah jiran tetanga. Saya dan Cikgu Shukri hanya tersenyum dan memandang antara satu sama lain. Di fikiran saya ketika ini hanya satu ... apa yang hendak kami makan hari ini ?.
Lembu korban
Bergambar kenangan di hadapan
masjid Tunku Abdul Rahman Daro
Ketika sampai di hotel, perut saya sudah mula terasa lapar. Terbayang keenakan juadah raya di kampung halaman sendiri. Ketika inilah baru saya terasa begitu sunyi dan terasing. Sempat juga saya masuk kedalam sebuah kedai runcit yang terletak tidak jauh dari hotel untuk mencari sesuatu yang boleh dimakan. Saya mencapai sebungkus roti dan biskut. Nampaknya inilah hidangan Aidiladha saya tahun ini. Tidak mengapalah ... saya bersyukur juga sekurang-kurangnya saya tidak akan menderita kelaparan !
Hidangan Aidiladha saya di Daro
Kami hanya melepak-lepak sahaja di hotel selepas itu. Menjelang jam 10 pagi, kami mula merasa risau akan mengalami masalah kelaparan. Tahu-tahu sahajalah pada hari raya begini sudah pastilah kebanyakan kedai makan akan menutup operasinya. Setelah berbincang sedalamnya kami bertiga mengambil keputusan untuk bergerak ke Mukah. Di Mukah terdapat restoran makanan segera seperti KFC dan Sugar Bun. Itulah sahaja pilihan yang kami ada. Mahu tidak mahu kami perlu juga ke Mukah. Dan yang pastinya saya akan lebih tesenyum lebar kerana didalam perjalanan ke Mukah itu, kami akan melalui pekan Matu, Igan dan Oya. Inilah tempat-tempat yang sememangnya saya begitu teruja untuk dikunjungi. Tambahan pula kami akan merasai pengalaman menyeberangi sungai dengan menggunakan feri. Ah... benar-benar kelaparan ini membawa tuah kepada saya.
Perjalanan Bermula
Sepanjang perjalanan, kami berbual-bual kosong sahaja. Sesekali kami akan ketawa jika ada perkara-perkara lucu yang dibualkan. Ini menjadikan perjalanan kami tidaklah begitu membosankan. Kiri dan kanan jalan hanyalah kawasan semak samun dan belukar. Sesekali kami akan melintasi kawasan perkampungan dan ladang yang menjadi tempat penduduk setempat mencari rezeki. Yang melucukan hati saya ialah pantang sahaja kami terjumpa kedai-kedai makan pasti ada cadangan untuk singgah. Namun perasaan was-was membuatkan kami membatalkan hasrat itu. Memang pada masa pengembaraan seperti ini soal halal dan haram merupakan perkara yang perlu kami sentiasa patuhi.
Melalui jalan yang sunyi.
Panorama sepanjang perjalanan
Sebelum sampai ke pekan Matu, kami singgah dahulu ke Kampung Sok. Uniknya kampung ini adalah kerana disinilah terletaknya satu-satunya rumah panjang etnik Melanau di dunia ini. Banyak juga cerita yang pernah saya dengari berkenaan rumah panjang ini namun baru kali ini saya dapat menjejakinya. Rumah panjang tradisional ini berusia lebih dari 100 tahun dan mula dibina ketika masayrakat Melanau masih belum menganut beragama Islam. Terdapat sebuah papan tanda yang menerangkan berkenaan keunikan rumah panjang ini. Dari keterangan papan tanda tersebut dinyatakan hanya individu yang lahir di rumah panjang ini sahaja yang boleh melakukan ubah suai kepada rumah panjang ini. Jika dilakukan oleh individu luar akan berlaku musibah kepada individu berkenaan. Benar atau tidak hanya Allah SWT sahaja yang mengetahuinya.
Pintu gerbang menyambut kami ke Kampung Sok
Panorama di sekitar rumah panjang Melanau di Kampung Sok
Bergambar kenangan di rumah panjang etnik Melanau
satu-satunya di dunia ini !
Pandangan dari sisi
Kami tidak berlama-lama di Kampung Sok. Selepas mengambil gambar kenangan, kami meneruskan perjalanan kami menuju ke pekan Matu yang telah kami singgahi pada malam tadi. Tidak sabar rasanya menikmati aroma klasik di pekan ini. Masuk sahaja ke pekan ini, kami disambut oleh sebuah bangunan moden dengan bentuk yang unik. Pada pandangan saya inilah mercu tanda utama bagi pekan Matu. Bangunan ini menempatkan sebuah perpustakaan awam serta beberapa kemudahan lain.
Bangunan dengan bentuk yang unik
menyambut kehadiran kami di Matu
Singgah Di Matu
Kami berhenti dan meletakkan kereta berhadapan dengan deretan rumah kedai kayu tua yang menjadi nadi utama pekan Matu. Deretan kedai kayu ini terletak di persisir sebatang sungai yang gelap airnya. Matu kelihatan sunyi.Kedai- kedai yang terdapat disini kelihatan lengang. Hanya sesekali ada beberapa motosikal melewati kami. Saya sendiri tidak dapat membayangkan bagaimana keadaan diri saya jika ditempatkan mengajar disini.Sudah pasti hanya kesunyian yang bermain dihati.
Deretan kedai kayu di Matu
Salah sebuah kedai yang masih beroperasi
Unik
Walaupun pekan Matu agak kecil namun saya yakin ia adalah begitu lengkap bagi memenuhi keperluan penduduknya. Di pekan ini juga terdapat dua buah stesyen minyak yang agak klasik. Kemudahan asas lain seperti jalan raya dan elektrik juga baik namun masih ada juga penduduk yang masih menggunakan sungai sebagai pengangkutan utama. Ketika kami sedang enak-enak menenangkan fikiran di tebingan sungainya yang sepi kami dikejutkan dengan deruan enjin perahu penduduk yang mencari keperluan hariannya di pekan Matu ini.Terdapat sebuah jeti kecil yang menjadi tempat perahu untuk berlabuh.
Berehat di pinggir sungai yang tenang
Suasana di tebingan sungai
Jeti kecil untuk perahu di pekan Matu
Saya berjalan kaki sendirian melewati deretan kedai kayu tua pekan ini. Beberapa papan tanda lama benar-benar menarik minat saya.Sukar lagi rasanya menjumpai papan tanda lama jenama SINGER di tanah semenanjung. Tetapi disini ia masih lagi digunakan. Terasa aura klasik masih kuat dan tebal di Matu. Sebuah dewan lama juga menarik minat saya. Namun saya merasa agak takut-takut juga untuk mengambil gambar. Lumrahlah bagi orang musafir seperti saya ini. Kadangkala kehadiran kita akan menimbulkan pandangan negatif bagi penduduk setempat.
Klasik !
Salah satu dari dua buah stesen minyak
yang terdapat di pekan Matu
Sebuah dewan lama yang klasik
Papan tanda SINGER yang klasik !
Hampir setengah jam kami melepak di pekan Matu. Memang hati saya merasa tenang disini. Ketika melewati jalan utama pekan ini dapat saya rasakan deru pembangunan semakin deras melanda Matu. Pembangunan adalah sesuatu yang tidak dapat kita tolak. Lama-kelamaan sudah pasti nilai klasik pekan Matu seperti yang terlihat pada hari ini akan lenyap dengan sendirinya dan sudah pasti penduduk Matu akan sentiasa merinduinya.
Cikgu Shukri seterusnya membawa kami melihat kawasan sekolah tempat isterinya mengajar. Kami melalui sebuah kampung yang sangat indah.Kampung ini dinamakan kampung Jamoreng. Lanskap kampung itu yang berpaya menjadikannya unik kerana seolah-olah rumah penduduknya dibina di atas sebuah tasik. Binaan rumah penduduknya juga besar dan cantik. Dapat saya lihat ada kesepakatan antara penduduknya dalam menjayakan projek mengindahkan kampung ini.
Kampung Jemoreng yang indah
Usai sahaja melewati Kampung Jemoreng yang indah, kami meneruskan perjalanan kami ke Mukah. Seperti tadi mata kami dijamu dengan pemandangan yang hampir serupa. Apa yang menarik perhatian saya sepanjang perjalanan ini ialah kewujudan kawasan bulatan jalan raya yang agak banyak walaupun untuk persimpangan yang kecil dan kurang sesak. Namun saya sentiasa positif dengan perkara ini. Pada saya bulatan jalan raya ini memainkan peranan penting bagi mengelakkan kemalangan jalan raya.Ia juga memudahkan pengguna jalan raya memilih simpang yang ingin dimasuki.
Naik Feri Menyeberangi Batang Igan
Hampir sahaja kami ke pekan Igan saya sudah mula merasa seronok. Beberapa kilometer di hadapan, kami akan menyeberangi Batang Igan dengan menggunakn feri. Inilah yang saya idamkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Rasa bagaikan tidak lengkap kehidupan saya di Sarawak ini jika tidak dapat merasai pengalaman menggunakan feri menyeberangi sungai Igan ini.
Kami berhenti sebentar di tepi sungai sementara menunggu feri sampai. Apabila feri sampai, kereta yang kami naiki bergerak menaiki feri melalui laluan yang disediakan. Bayaran yang dikenakan bagi perkhidmatan menyeberangi Batang Igan ini ialah RM 1 bagi perjalanan sehala. Apabila kereta sudah diparkir, saya terus meluru keluar dan bebas bergerak melihat keadaaan feri.
Bergerak memasuki feri
Sungai Igan
Satu perkara yang melegakan hati saya ialah diatas feri ini terdapat jualan makanan ringan yang dihasilkan oleh penduduk setempat. Kami tidak melepaskan peluang membeli makanan ringan seperti kerepek dan keropok bagi mengisi perut. Saya pula membedal dua bungkus nasi lemak yang berharga RM1 sebungkus. Pada mulanya terasa was-was juga untuk memakannya. Namun setelah dijelaskan oleh seorang lelaki yang kebetulan bersama saya bahawa yang membuat nasi lemak itu ialah saudara maranya maka segala keraguan itu terus hilang dan berganti dengan rasa kenyang.
Kami menuju ke seberang sana
Perjalanan menggunakan feri menyeberangi Batang Igan mengambil masa lebih kurang 15 minit. Seronok saya mendengar bunyi enjin feri yang gagah ini. Sampai sahaja ke seberang, kami singgah sebentar di tandas awam yang memang disediakan di tepi jalan bagi melepaskan hajat yang tertunda.
Perjalanan diteruskan menuju ke pekan Igan namun kami tidak pula singgah untuk mengambil gambar disini. Kami menetapkan untuk terus menuju ke Mukah bagi mengisi perut dahulu. Sewaktu perjalanan pulang nanti barulah kami akan singgah di Igan dan Oya.Selepas melepasi Igan pemandangan mata kami mula berubah. Di kiri dan kanan jalan kelihatan rumah penduduk - penduduk kampung yang cantik dan tersusun. Tidak ada lagi pemandangan hutan, paya dan ladang. Sesekali kami berselisih dengan gadis-gadis Melanau yang manis. Ada juga senyuman yang dilempar ... ah .. mujur juga saya berkaca mata hitam. hehehehe
50 KM lagi ke Mukah
Kami sampai ke Mukah ketika jam sudah menunjukkan angka 3. Saya sudah dua kali sampai ke Mukah dan banyak dari jalan-jalan di bandar Mukah ini telah saya hafal. Kami menikmati makan tengah hari di restoran Sugar Bun. Hairan juga pekerja restoran berkenaan melihat kami menikmati hidangan makanan segera di hari raya Aidiladha ini. Ah... pedulikan lah dengan pandangan mereka, yang penting perut kami perlu diisi dahulu. Hahahaha
Di Restoran Sugar Bun Mukah
Kami bertiga tidak berlama-lama di Mukah. Sempat juga kami membungkus makanan untuk makan malam kami. Memandangkan hari hampir lewat petang, kami memutuskan untuk bergerak pulang lebih awal. Tambahan pula kami perlu singgah ke Igan dan Oya nanti untuk mengambil gambar.Saya mencadangkan kepada Cikgu Shukri untuk singgah di mana-mana masjid di tepi jalan nanti untuk bersolat jamak. Cadangan saya ini diterima dengan sebaiknya.
Masjid Yang Mendamaikan Jiwa
Kami singgah bersolat di Masjid At-Taqwa Oya. Masjid moden ini sangat mendamaikan saya. Hati terasa tenang bersolat disini. Suasana masjid ini amat nyaman. Saya dapat bersolat dengan kusyuk disini. Tidak tahu pula kenapa saya berperasaan demikian. Mungkin suasana petang yang sepi membuatkan saya merasa tenteram di masjid ini. Saya tertarik dengan kawasan perkuburan yang terdapat di hadapan masjid ini. Kebanyakan dari batu nisan perkuburan ini agak condong. Tertanya-tanya saya sendiri kenapa hal ini terjadi namun segalanya saya pendamkan di dalam hati. Tidak jauh dari masjid kelihatan beberapa individu sedang bergotong royong melapah daging lembu korban. Tersenyum mereka dari jauh apabila melihat saya mengambil gambar mereka dari jauh dan saya membalas senyuman mereka dengan satu senyuman yang ikhlas.
Pintu masuk ke masjid At-Taqwa Oya
Ruang solat yang mendamaikan saya
Papan tanda keterangan pembinaan masjid
Mimbar masjid At-Taqwa Oya
Kawasan perkuburan dihadapan
masjid At-Taqwa Oya yang unik
dimana kebanyakan
batu nisan nya condong
Bergotong royong melapah daging korban
Sebuah rumah kedai lama yang masih utuh
Melihat Klasiknya Pekan Oya
Perjalanan diteruskan ke pekan Oya. Pekan Oya merupakan sebuah pekan yang tua namun ia begitu sibuk dengan aktiviti penduduknya yang pelbagai. Katika kami singgah ke pekan Oya ini hari sudah mula beransur petang. Sambutan Aidiladha yang dirayakan pada hari ini bagaikan tidak terasa apabila melihat suasana sibuk pekan ini. Dengan deretan bangunan kedai kayu tua yang mendominasi suasana menjadikan keadaan petang ini amat klasik. Cikgu Shukri dan Cikgu Kumaresan tidak turut serta bersama saya melilau mengambil gambar suasana pekan Oya ini. Faktor keletihan menjadikan mereka berdua lebih selesa memerap sahaja di dalam kereta. Saya pula seperti biasalah bersama kamera kesayangan meneroka indahnya petang di pekan Oya.
Bersedia untuk masuk ke pekan Oya
Pekan Oya sibuk dengan aktiviti penduduknya
Rumah kedai kayu lama yang klasik
Saya meronda bersendirian di pekan Oya ini. Saya melalui deretan kedai kayu tua yang begitu klasik namun masih utuh. Pekan Oya hanyalah merupakan sebuah pekan yang kecil namun ianya adalah begitu lengkap bagi memenuhi keperluan penduduknya. Di pasar terbukanya, kelihatan begitu ramai peniaga yang menjual makanan. Ada peniga yang menegur saya supaya singgah membeli makanan jualan mereka sayangnya ketika itu perut saya masih kenyang. Ketawa besar mereka apabila saya memberitahu mereka bahawa saya sukakan suasana petang di pekan Oya. Tidak mengapalah kerana saya memang tidak berbohong untuk menyatakan apa yang terlintas di fikiran dan hati saya.
Ramai penjaja makanan di pasar terbuka Oya
Tidak jauh dari pasar terbuka Oya terdapat sebuah terminal penumpang kecil. Saya tidak pasti sama ada terminal atau jeti ini masih digunakan atau tidak kerana kemudahan jalan darat yang baik telah dapat menghubungkan pekan Oya dengan bandar-bandar besar yang lain seperti Mukah dan Sibu.Ini secara tidak langsung mengurangkan penggantungan penduduk Oya dengan perkhidamtan pengangkutan air. Namun kawasan tebingan sungai berdekatan dengan jeti ini telah diperindahkan bagi kemudahan rekreasi penduduk Oya. Secara tidak langsung ia memberikan satu kemudahan awam yang berguna kepada penduduk Oya untuk beriadah.
Sebuah jeti kecil di pekan Oya
Saya terus merayau melihat suasana petang pekan Oya. Tidak tahu lagi bila saya akan menjejakkan kaki ke sini semula. Bila memandang ke bangunan kedai lamanya, dapat saya rasakan masa seakan-akan begitu cemburu untuk membunuhnya. Kemodenan adalah suatu perkara yang tidak ditolak. Lambat laun pasti deretan rumah kedai lama ini akan tinggal kenangan sahaja bagi generasi yang pernah melihatnya.
Sebahagian dari pekan Oya
Setelah puas merayap di pekan Oya, kami meneruskan perjalanan ke Igan. Sempat juga saya mengambil gambar beberapa kemudahan asas yang terdapat di pekan Oya dari dalam kereta. Ketika di Igan, kami tidak pula berhenti sebaliknya hanya meninjau-ninjau sahaja suasananya dari dalam kereta. Saya sendiri agak kurang berminat untuk mengambil gambar pekan ini. Tambahan pula bateri kamera saya sudah mula tinggal sedikit. Saya mahu menjimatkan kuasa bateri kamera saya untuk mengambil gambar di atas feri menyeberangi Batang Igan nanti. Itulah keutamaan saya......
Pejabat Daerah Kecil Oya
Balai Polis Oya
Sebuah masjid dengan bentuk yang unik.
Lagi Sekali Menaiki Feri
Kami sekali lagi menaiki feri menyeberangi Batang Igan. Kali ini ia terasa begitu asyik dan menyeronokkan. Pancaran mentari petang membuatkan suasana menjadi begitu indah. Tidak dapat saya gambarkan bagaimana perasaan saya ketika itu. Inilah indahnya Sarawak bumi Kenyalang. Empat tahun perkhidmatan saya disini benar-benar membuatkan saya menjadi manusia yang tahu erti bersyukur. Kekuatan dan perpaduan penduduk Sarawak dalam mendepani setiap cabaran itulah yang menjadikan Sarawak unik dan terus kekal sebagai sebuah negeri di dalam Persekutuan Malaysia. Sesungguhnya saya sangat berbangga menjadi pendidik di Bumi Kenyalang ini dan sememangnya Sarawak adalah negeri kedua saya dan saya sangat menyayangi negeri ini!
Bersama Cikgu Kumaresan
Berselisih dengan feri dari arah bertentangan
Indahnya petang di Bantang Igan
Kami tiba di Daro pada jam lapan malam. Suasana di pekan Daro sudah mulai sunyi. Saya sendiri sudah keletihan. Setelah membersihkan diri sempat juga kami keluar minum malam di medan selera malam Daro. Mujur juga ada yang berniaga pada malam ini. Pulang sahaja ke hotel mata saya sudah mula mohon untuk berehat. Tidak sedar jam berapa saya terlelap. Namun yang pastinya saya tidur berdengkur malam itu. Hahahahaha.
Meneroka Pekan Daro
Hari ini merupakan hari terakhir kami di pekan Daro. Saya bangun agak awal pagi ini. Tidak sabar rasanya hati untuk turun dari hotel bagi meneroka keunikan pekan Daro. Mujur juga saya sempat mengecas bateri kamera malam tadi. Jika tidak mahu menangis saya dibuatnya jika gagal mengambil gambar suasana pekan Daro ini.
Kami mengambil keputusan untuk bersarapan dahulu sebelum bersiar-siar. Kami lebih selesa berjalan kaki. Mujur juga sudah banyak kedai makan yang dibuka hari ini. Kami menyelusuri kaki lima deretan kedai kayu tua dan masuk ke sebuah restoran yang kelihatan begitu ramai pelanggan.Saya dan Cikgu Shukri memesan mee goreng dan Cikgu Kumaresan memesan mee jawa. Apa yang dapat saya katakan ialah memang mee goreng di restoran ini amat enak. Belum sempat kami menghabiskan makanan datang seorang lelaki meletakkan beberapa bungkus nasi lemak diatas meja makan kami. Saya dan Cikgu Kumaresan berpandangan sendiri. Tidak lama selepas itu, dua bungkus nasi lemak masuk ke perut kami.
Ketika mahu membayar harga makanan, kami dikejutkan dengan kenyataan pekerja restoran berkenaan yang menyatakan bahawa hidangan kami tadi telah dibayar. Terkejut kami sendiri mendengar kenyataanya itu. Kami bertanya juga kepada beliau siapakah hamba Allah yang begitu mulia itu dan jawapan dari pekerja kedai itu begitu menghampakan kami kerana beliau tidak mengenali individu tersebut. Saya menggelengkan kepala dan berdoa didalam hati semoga hamba Allah yang baik hati itu mendapat keberkatan di dunia dan akhirat.
Menyelusi kaki lima kedai kayu tua
untuk bersarapan pagi
Enak menikmati juadah sarapan pagi
Berniaga rambutan di kaki lima kedai kayu tua
Selepas bersarapan kami meneruskan sesi rondaan di pekan Daro. Uniknya pekan Daro ialah ia dilatari oleh bangunan lama dan bangunan baru. Ini menjadikan pekan Daro kelihatan moden namun masih mengekalkan suasana lama. Kemudahan asas di pekan ini juga agak lengkap. Beberapa buah stsyen minyak lama masih beroperasi disini. Walaupun tidak mempunyai kemudahan balai bomba, namun pekan Daro masih boleh berbangga kerana mempunyai unit bomba sukarelanya yang tersendiri. Sebuah pasar awam yang besar juga menjadi akses penting kepada penduduk Daro untuk mendapatkan barangan makanan harian. Saya tertarik dengan kewujudan sebuah klinik swasta yang kecil di pekan ini. Menurut Cikgu Shukri, klinik berkenaan hanya dibuka beberapa hari sahaja seminggu. Benar atau tidak kenyataanya tidak pula saya ketahui. Namun memang saya tidak menjumpai klinik swasta lain disini melainkan hanya klinik itu sahaja.
Bangunan kedai baru di Daro
Bangunan kedai kayu lama Daro
Sebuah kedai yang klasik
Bangunan pasukan bomba sukarela Daro
Pekan Daro juga turut dilengkapi dengan
kemudahan perbankan
Stesyen minyak Petronas yang klasik
di pekan Daro
Pasar rakyat Daro
Klinik swasta di pekan Daro
Ketika melalui kawasan terminal penumpang Daro, kami tertarik dengan sebuah tugu berbentuk ikan yang menjadi mercu tanda pekan Daro. Tidak pula saya ketahui jenis ikan yang menjadi ilham kepada tugu ini. Namun pada saya ia begitu unik dan berseni.
Cikgu Shukri dan Cikgu Kumaresan
bergambar kenangan di mercu tanda ikan pekan Daro
Sempat juga kami meninjau-ninjau suasana pasar rakyat Daro selepas itu. Namun masih kurang yang berniaga hari ini. Pasar basah dua tingkat itu menempatkan beberapa buah kedai makan dan kedai barangan am di ruang atasnya. Ramai juga peniaga bumiputra yang mencuba nasib berniaga di pasar ini. Di luar pasar terdapat beberapa raga yang diisi dengan ayam hidup. Rasanya ayam-ayam itu untuk dijual namun Cikgu Shukri menyatakan ayam-ayam tersebut dibela dan bukannya untuk dijual. Lucu saya sendiri mendengar kata-katanya.
Suasana di Pasar Rakyat Daro
Untuk dijual atau diternak?
Kami terus bergerak ke hotel penginapan kami selepas itu. Tepat jam 10 pagi kami bergerak menuju ke terminal penumpang Daro untuk menaiki bot ekspres ke Sibu. Tiada kesesakan di terminal ini dan jumlah penumpang juga agak kurang. Kami bebas memilih tempat duduk di dalam bot ekspres. Tempat duduk didalam bot ekspres ini juga agak selesa dan tidak dibahagikan mengikut kelas.
Bergerak meinggalkan Daro
Bot ekspres yang membawa kami pulang ke Sibu
Harga tiket ialah RM 17 bagi perjalanan sehala. Sepanjang jalan saya hanya mengelamun sahaja. Sesekali saya menonton tayangan filem yang disediakan oleh pengusaha bot ekspres. Namun hati saya bagaikan tidak terhibur. Bagaikan ada sesuatu yang menggangu hati dan fikiran saya sepanjang perjalanan. Saya terfikir adakah saya akan menikmati lagi perjalanan di bumi Sarawak ini pada masa hadapan ? ... menjelang ke penghujung tahun 2012 ini saya mula dihimpit perasaan cemas dan berbelah bahagi. Keseronokan hidup di Sarawak dicabar oleh kewajipan saya sebagai ketua keluarga di Semenanjung. Saya bagaikan dapat merasakan inilah perjalanan kembara terakhir saya di Sarawak ini. Mahu sahaja saya menangis ketika ini.
Tiket bot ekspres dari Daro ke Sibu
Akhirnya saya terlelap sendiri didalam bot ekspres. Menjelang jam 2 petang bot ekspres kami semakin menghampiri terminal penumpang lama Kapit di Sibu. Ketika menjejakkan kaki ke jeti Sibu saya mengerti inilah pengakhiran kembara saya di bumi Kenyalang dan saya akan sentiasa merinduinya. TAMAT
Sibu
Satu Catatan Tambahan
Saya menulis artikel ini dengan perasaan yang sebak. Benar tekaan hati saya ketika itu bahawa inilah kembara terakhir saya di Bumi Kenyalang tercinta ini. Permohonan pertukaran saya ke Johor telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran pada 3 November 2012 yang lalu. Ini bermakna jodoh perkhidmatan saya di SMK Kapit telah tamat dengan sendirinya pada tarikh berkenaan.
Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua individu yang pernah membantu sepanjang perkhidmatan saya di Sarawak ini. Saya juga memohon sejuta keampunan andai ada salah dan silap saya sepanjang berada di Sarawak ini.
Saya akan sentiasa mengenang Sarawak sebagai negeri yang berbudi kepada diri saya. Penduduknya menerima kehadiran saya dengan hati yang terbuka malahan membantu saya menjadi lebih dekat dengan istilah perpaduan. Di Sarawak saya menjadi cikgu yang luas makna dan ertinya. Inilah uniknya Sarawak. InsyaAllah disuatu hari dan masa yang mendatang pasti saya akan ke Sarawak semula bagi membeli budi dan kasih yang pernah diberikan Sarawak kepada diri saya.
Tanggal 7 November 2012 saya bergerak meninggalkan Sarawak. Jumpa lagi Sarawak !
Terima kasih Sarawak .... saya akan sentiasa mencintaimu Ibu Pertiwiku !
6 ulasan:
selamat kembali bertugas di semenanjung... bertukar di johor kat mana tu?
salam Tuan Anak Beringin
Alhamdulillah, hamba dapat bertukar ke SMK Munshi Sulaiman Batu Pahat Johor.
assalamualaikum cikgu, nak tanye pasal Eng Soon Lee Inn yang cikgu pernah bermalam di Daro dulu, berapa harga semalaman?...hotel ini berdekatan dgn pekan Daro atau kena ambil cab untuk melawat pekan?..
wasalam... jika tidak salah saya harga yang dikenakan oleh hotel berkenaan ialah rm40 hingga ke rm70. bergantung kepada jenis bilik. hotel ini mmg terletak di pekan daro. untuk meronda di sekitar pekan cukup sahaja dengan berjalan kaki. namun jika mahu meneroka keseluruhan daro termasuk kampung2 nya mmg memerlukan kenderaan.
terima kasih cikgu...info yang sgt membantu...
Salam cikgu..nk tny...di kwsn hotel bdekatan ade pkhidmatan sewa motor atay kereta tk?
Post a Comment