Sungai Gedong dari arah jambatan Jalan Persekutuan
tidak jauh dari Kampung Padang, Bidor.
Ah ... perasaan itu kembali lagi merobek segala ingatan-ingatan lama yang makin menghilang. Betapakah waktu sebenarnya begitu kejam membunuh segala titip-titip kehidupan lalu yang telah membesarkan saya dengan sejuta satu rencah hidup. Mahu sahaja saya melarikan diri dari segala kenangan-kenangan lama yang begitu indah itu namun saya sedar .... saya tidak mampu menolaknya. Betapa peritnya saya meminggirkan diri dari ingatan-ingatan lama itu, semakin pula ia memberikan saya rasa keenakan yang tiada perinya. Kini perasaan kerinduan itu mula membenamkan saya dalam alam kenangan ..... dan saya mula lemas merindui semua yang telah berlalu itu. Ia menyesakkan dada saya dengan sebak linangan air mata !
Mereka Semua Telah Berpulang
Kembali ke tanah kelahiran saya yang kini makin suram. Pada sebuah kampung kecil yang dihimpit dengan arus pemodenan, saya mengerti masa telah merubah segalanya yang indah disini. Wajah-wajah gagah yang saya lihat semasa kecil kini semakin berkedut sejuta dan lebih ramai yang kini tidak dapat lagi saya lihat .... semuanya telah berpulang dahulu menemui Tuhan dengan jalannya masing-masing.
Tinggallah beberapa kerat wajah-wajah berkedut itu ... yang tidak lama lagi pasti pulang juga dengan ceritanya yang tersendiri. Semuanya dahulu pernah saya kenali dengan panggilan-panggilan yang kadangkala melucukan namun mereka adalah salah satu dari cerita-cerita sejarah hidup saya ... pastinya tidak dapat saya hitung satu persatu namanya. Namun cukuplah dapat saya mengingati wajah-wajah mereka sehingga kini.
Hingga sampai suatu masa nanti, pasti wajah-wajah ini tidak akan wujud di dunia lagi. Maka ketika itu saya sendiri akan menjadi tua seperti mereka atau saya sendiri tidak berkesempatan menemui hari tua saya itu. Ketika itu masih wujudkan kampung kecil yang indah ini ? Atau ia bertukar menjadi kota metropolitan yang besar ? Atau kiamat lebih dahulu menyusul kepada kita ? .... saya buntu memikirkannya. Namun dalam diam-diam, saya bermohon dan berdoa kepada Allah SWT agar berkesempatan melihat kampung kecil ini di hari-hari tua saya. Saya mahu melihatnya dan mahu mati di kampung ini. Namun adakah ia akan kekal untuk saya pada masa itu. Saya sedar urbanisasi pasti akan merobek rantai-rantai tradisi yang ada padanya. Masa begitu kejam .... saya sendiri tidak mampu mengahalanginya.
Namun ada sesuatu yang mungkin dapat membeli semula segala kenangan kampung kecil ini andai suatu masa nanti kampung ini sudah tidak wujud lagi. Ya benar .... saya dapat melihatnya dan pasti tetap akan dapat melihatnya pada masa depan yang sukar itu. Pasti segala resah kenangan itu akan terlerai apabila menatap aliran sebatang sungai yang mengalir lesu .... sebatang sungai yang menyimpan segala kenangan warga penduduk kampung ratusan tahun lamanya ..... sebatang sungai bernama Sungai Gedong.
Sungai Gedong Yang Menderita
Ia sebatang sungai yang punya jalan cerita yang tersendiri. Saya mengenalinya sebagai sebatang sungai yang begitu baik kepada anak-anak kampung kecil itu. Sungai Gedong itulah tempat bermandi - manda yang sangat menyeronokkan bagi anak-anak kampung yang tidak punya sebarang hiburan lain melainkan sungai sebatang itu.
Di sungai yang jernih itu, saya belajar menembak, menjaring dan menjala ikan walaupun hakikatnya sehingga kini saya masih belum menguasai kemahiran berkenaan. Sesekali saya dan rakan-rakan mencuba memancing ikan di pinggir sungainya yang bersemak itu. Ketika itulah, Masih juga ada ikan yang sudi memakan umpan-umpan kami walaupun sesekali yang didapati ialah ikan Tilan yang sungguh mengelikan itu. Sudahnya pasti tali pancing diputuskan dan ikan itu akan dicampak jauh-jauh ke tengah sungai. Jika dibawa pulang sekalipun pasti ikan itu tidak bersiang .... kata emak terlalu susah menyiang ikan Tilan. Ah ... masih adakah ikan Tilan di Sungai Gedong hari ini ? Masa seolah-seolah telah membunuhnya tanpa sedar.
Sesekali sekala bila tiba musimnya atau dalam musim cuti persekolahan, sungai ini begitu meriah dengan pelbagai aktiviti. Bermain perang-perang di sungai adalah suatu yang tidak dapat dielakkan. Lumpur-lupur pasir halus di tepi-tepi sungai menjadi senjata yang paling canggih. Jarang berlaku sesuatu pihak memperolehi kemenangan. Ianya bukan medan mencari kemenangan tetapi medan bergelak ketawa melihat teman-teman yang gagal mengelak dari dilontar dengan lumpur-lumpur dari pihak lawan. Tidak pernah berlaku pergaduhan cumanya sesekali pasti ada yang mengalir air mata apabila teruk diejek terkena lumpur. Pulang kerumah dengan tekad tidak mahu lagi bermain perang-perang lumpur berkenaan. Namun esoknya watak yang bertekad tidak mahu bermain itu tetap ada di sungai berkenaan dan skrip yang sama akan berulang pada yang lain pula.
Arwah andak bekerja sebagai kakitangan Jabatan Parit dan Saliran ( JPS ). Memang ramai pekerja JPS yang tinggal di kampung ini terutama di sebelah hulu sejak dari awal tahun 1960an. Kebanyakan dari mereka ini datang dari daerah Perak Tengah seperti Kampung Gajah dan saling mempunyai ikatan persaudaraan. Apabila beberapa orang adik-beradiknya pindah ke Bidor, ayah dan opah turut menjejaki mereka. Sebuah rumah kecil dibina diatas tanah milik Andak untuk ayah dan opah. Di rumah kecil itulah juga saya dilahirkan.
Kayu Jojoi
Semasa saya bersekolah rendah, Andak masih lagi bekerja dengan JPS. Dahulu di tebing Sungai Gedong seringkali dibina petak-petak kayu kecil yang saya sendiri tidak ketahui apakah sebabnya. Binaan petak-petak kayu itu adalah terdiri dari kayu-kayu bakau yang sangat kuat dan kukuh. Apabila melihat lori-lori JPS masuk ke kampung dan meletakkan kayu-kayu berkenaan di tepi sungai, itu bermakna petak-petak kayu kecil itu akan dibina di sungai Gedong kesayangan kami ini. Kami menggelarkan kayu-kayu berkenaan sebagai Kayu Jojoi.
Kerja pemasangan kayu jojoi ini akan dilaksanakan oleh Andak dan teman-teman sekerjanya. Kerjanya agak sukar dan saya masih ingat untuk mencacakkan sebatang kayu jojoi, tenaga empat orang manusia diperlukan. Dengan sebuah besi berat yang mempunyai empat pemegang, mereka berempat akan mengangkat besi berkenaan tinggi-tinggi dan menghentakkan ke atas kayu jojoi berkenaan hingga terbenam ke dasar sungai. Kayu-kayu jojoi berkenaan akan dibenamkan sebaris panjang dan palang kayu jojoi juga akan dipasang pada deretan kayu-kayu joji berkenaan bagi tujuan menguatkannya.
Selepas sahaja siap binaan tapak kayu-kayu jojoi berkenaan, maka tibalah giliran kami mengerjakannya. Palang-palang kayu jojoi itu akan menjadi tempat kami bertenggek sebelum melakukan lompatan ke dalam sungai. Lebih manis lagi ia adalah tempat yang memudahkan kami untuk membuang air besar. Bertenggek sahaja di atas kayu jojoi berkenaan dan buanglah hajat semahunya hati di hadapan teman-teman. Langsung tiada perasaan malu.
Ada dua kemungkinan yang bakal berlaku semasa membuang air besar berkenaan. Pertamanya perbuatan membuang air besar itu pasti meransang teman-teman lain untuk turut serta membuang air besar. Maka penuhlah palang-palang kayu jojoi itu dengan punggung-punggung kami. Malah ada yang bertanding najis siapa yang paling banyak.
Kemungkinan yang kedua pula ialah kita akan diganggu oleh teman-teman dengan pelbagai cara. Cara yang paling tidak digemari ialah dibaling dengan lumpur. Hal ini biasanya pasti akan berakhir dengan pergaduhan dan perasaan untuk membalas dendam. Pernah terjadi sekali apabila seorang teman yang membuang air besar di atas kayu jojoi telah diganggu oleh sekumpulan teman-teman yang lain. Hal ini telah menimbulkan kemarahan yang sangat mendalam kepada dirinya. Kesudahannya begitu tragis apabila sehelai baju teman yang diletakkan di tebing sungai ditemui mempunyai najis manusia di atasnya. Siapa punya angkara mungkin sudah diagak pelakunya ... hahahahahaha
Pelampung Tiub
Sesekali sekala pula tibalah musim pelampung tiub. Ini bermakna setiap anak-anak kampung tidak kira dari sekolah rendah sehinggalah yang di sekolah menengah pasti mahu memiliki sebuah pelambung tiub. Biasanya pelampung-pelampung tiub ini diambil atau dibeli dari kedai-kedai tayar di pekan Bidor. Kedai-kedai tayar ini biasanya menyimpan tiub-tiub tayar terpakai yang masih boleh digunakan. Jika ada kebocoran kecil, ianya akan ditampal sediri dengan menggunakan penampal tayar basikal yang boleh dibeli pada harga RM0.30 sen sahaja pada ketika itu.
Bagi yang bertuah atau yang agak berduit mungkin sahaja boleh memiliki sebuah pelampung tiub tayar lori yang besar. Adalah satu kebanggaan jika memiliki pelampung tiub dalam saiz berkenaan. Bagi saya pula rasanya hanya pernah memiliki sebuah pelampung tiub tayar kereta sahaja. Itupun penuh dengan tampalan bagi menampung kebocorannya yang sudah mencapai tahap kronik. Taukeh-taukeh kedai basikal di pekan Bidor sangat anti kepada kami andai mahu mengepam pelampung-pelampung berkenaan di kedai basikal milik mereka. Namun demikian kami masih sahaja boleh mengepam pelampung-pelampung tiub berkenaan di stesen minyak atau guna sahaja sedikit tenaga yang ada mengepam secara manual menggunakan pam tangan.
Satu kesusahan yang mungkin timbul apabila mahu mengepam pelampung tiub ini ialah soal mengangkutnya ke stesen minyak. Walaupun jarak stesen minyak Petronas Bidor dari kampung saya ialah tidak terlalu jauh namun ia masih dikira agak jauh tambahan pula ia bukanlah zaman dimana semua anak muda memiliki motosikal. Yang ada hanyalah basikal. Namun ianya bagaikan tidak mempunyai kesan apa-apa kepada kami.
Bagi yang memiliki pelampung tiub besar, urusan mengepam ini memerlukan dua orang apabila menaiki basikal. Orang yang pertama akan menunggang basikal. Orang yang kedua mempunyai peranan yang cukup besar sebagai pembonceng basikal berkenaan kerana perlu memegang pelampung yang besar di belakang. Cara membawa pelampung tiub ini adalah sangat unik dengan pelampung itu akan disangkutkan pada kepala pembonceng basikal tersebut. Jadi pelampung tersebut walaupun agak besar namun akan sentiasa tergantung dibelakang dan tidak menyentuh permukaan jalan.
Beranyut
Inilah kenikmatan yang sangat indah apabila memiliki pelampung dimana aktiviti beranyut ( sebutan kami anak-anak kampung ) boleh dilakukan. Biasanya aktiviti beranyut ini akan dirancang dengan teliti masa dan harinya. Ia bukan satu aktiviti yang mudah dan amat jarang dilakukan dalam setiap tahun. Beranyut tidak akan dilakukan bersendirian. Ianya akan dilakukan secara berkumpulan dan akan mengambil masa sehari suntuk.
Saya jarang memiliki peluang untuk beranyut kerana sukar untuk memiliki pelampung tiub sendiri. Namun demikian sesekali sekala ada juga teman-teman mengajak sekali menumpang pelampung tiub mereka untuk beranyut. Jadi dapatlah saya menikmati aktiviti beranyut ini walaupun menumpang pelampung kawan.
Lazimnya aktiviti beranyut ini bermula awal pagi. Terdapat juga pembahagian tugasan antara teman-teman. Seorang teman akan ditugaskan membawa periuk kecil. Biasanya abang sepupu saya akan membawa periuk ini lengkap dengan senduknya sekali. Tujuan periuk ini adalah untuk digunakan bagi memasak mee segera yang akan menjadi makanan tengah hari sewaktu aktiviti beranyut itu nanti. Mee segera ini pula sama ada dibawa sendiri atau dibeli melalui pungutan wang antara teman-teman. Mangkuk dan sudu dibawa sendiri.
Masalah akan timbul apabila akan ada yang mahukan mee segera berperisa kari dan yang lainnya pula akan mahukan mee segera perisa sup ataupun asam laksa. Kata pemutus biasanya dipegang oleh sang ketua dan andai ada mee segera berlainan perisa dibawa sekali ianya akan dicampurkan sahaja di dalam periuk berkenaan apabila dimasak. Memang di dalam hal ini sesekali sekala unsur-unsur autokratik perlu diamalkan untuk mengelakkan perpecahan.
Sungai Gedong yang bermula dari Banjaran Titiwangsa adalah sebatang sungai yang masih belum tercemar ( pada ketika itu ). Alirannya tidaklah deras namun agak berliku-liku. Sungai Gedong juga tidaklah terlalu dalam airnya, namun pada tempat-tempat tertentu ada juga lubuk-lubuk yang agak menakutkan. Untuk aktiviti beranyut, ia memerlukan kami berjalan kaki ke hulu Sungai Gedong yang terletak kira-kira 5km dari kampung.
Kami memanggil kawasan hulu kampung ini dengan panggilan Gedang. Saya sendiri tidak pasti kenapa dipanggil sedemikian rupa. Namun jika tidak salah dalam ingatan pernah diceritakan bahawa dahulu pernah wujud sebuah kampung Melayu lama di kawasan hulu sungai ini yang dinamakan Kampung Gedang. Kampung berkenaan telah ditinggalkan dan agaknya disebabkan nama kampung berkenaanlah orang-orang kampung saya memanggil hulu kampung mereka sebagai Gedang. Menurut ayah dalam tahun 1970an masih ada keluarga yang mendiami kampung Gedang berkenaan dan saya sempat mengenali beberapa individu terakhir yang meninggalkan kampung Gedang berkenaan. Wallahualambissawab.
Berjalan kaki untuk ke hulu sungai Gedong ini walupun jauh namun tidaklah begitu memenatkan. Selain dari berjalan beramai-ramai, aktiviti lain juga turut diselitkan walaupun tidak dirancang. Biasanya aktiviti yang sering dilakukan dalam perjalanan itu ialah mencuri buah-buahan penduduk kampung yang ditemui sepanjang jalan. Andai ketika itu musim rambutan, maka penuhlah mulut-mulut kami dengan rambutan. Andai pada ketika itu musim langsat atau rambai maka bersepahlah kulit-kulit rambai dan langsat di sepanjang jalan. Andai tiada musim buah-buahan, maka habislah pokok-pokok ubi kayu yang kami jumpai dicabut dan diambil ubinya. Nanti boleh dibakar dan dimakan sekali bersama mee segera.
Perjalanan berjalan kaki lazimnya mengambil masa hampir dua jam atau lebih bergantung kepada kekerapan berhenti melakukan aktiviti lain. Biasanya kami akan berhenti dan memulakan aktiviti beranyut di sebuah jambatan kayu gantung atau berjalan kaki lebih sedikit ke kawasan di mana Sungai Gedong melalui di bawah jambatan konkrit Projek Lebuh Raya Utara Selatan yang dibina pada tahun 1992-1993. Dibawahnya kami boleh berkumpul dahulu dan mandi manda sebentar. Jika hari hujan, kami akan membatalkan aktiviti beranyut itu dan berjalan kaki pulang semula ke rumah. Kecut hati beranyut di sungai dalam keadaan hujan lebat !.
Jika waktu sudah agak lewat, maka biasanya kami akan memasak dahulu mee segera yang dibawa dan berkelah menikmati hidangan berkenaan. Ubi kayu yang dicuri juga dibakar disini. Namun biasanya kami lebih selesa berhenti dahulu di mana-mana pinggir sungai yang dirasakan sesuai dan berkelah disana. Itu lebih menyeronokkan dan bebas.
Sebuah pelampung besar mampu memuatkan dua atau tiga orang manusia. Jika menggunakan pelampung tayar kereta memang hanya mampu memuatkan seorang manusia sahaja. Menaiki pelampung secara berkumpulan dua atau tiga orang memerlukan kemahiran pengimbangan badan, jika tidak mudah sahaja pelampung itu terbalik dan kita jatuh ke dalam sungai. Jika keadaan memerlukan, saya lebih gemar bergantung sahaja sambil memegang pelampung dan badan saya berada di dalam air. Sebatang kayu pula digunakan bagi mengawal pergerakan pelampung dari melanggar tebing, batu atau "bangkor" ( panggilan kami kepada suatu kawasan dimana terdapat suatu halangan yang menyebabkan buluh atau kayu-kayu hanyut tersekat disitu ).
Selalunya yang tidak memiliki pelampung dan menumpang pelampung teman-teman yang lain terpaksa berperanan sebagai tukang pegang beg-beg plastik yang mengandungi pakaian atau barang berharga milik teman yang memiliki pelampung. Biasanya begitulah tugasan saya hingga menimbulkan satu kebencian pula terhadap teman-teman. Beg-beg plastik ini akan diikat kemas-kemas supaya air sungai tidak mampu memasukinya dan bungkusan-bungkusan beg plastik ini akan dikumpulkan sekali sebelum diisikan di dalam guni plastik beras. Guni plastik besar ini pula akan diikat hujung dengan tali dan dibuat satu tempat penggantung agar mudah digantung pada belakang badan saya yang kecil. Jadi ia tidak akan lepas dari saya dan kekallah ia sehingga aktiviti beranyut ini berakhir.
Makanan Yang Menyelerakan
Dunia sepanjang sungai ini adalah indah dan mendamaikan. Hutan-hutan belukar, rimbunan buluh-buluh yang mencecah sungai, estet-estet kelapa sawit dan kebun-kebun Cina menjadi latar pemandangan yang utama. Sesekali terserempak dengan kumpulan orang Asal yang masih banyak mendiami kawasan hulu sungai ini. Walaupun kami tidak memiliki sebarang hubungan dengan penduduk orang Asal ini, namun wujud satu interaksi yang sukar dimengertikan. Ia bagaikan satu hubungan yang saling memerlukan dan tidak hairanlah apabila terserempak mudah sahaja bertegur sapa walaupun sebentar.
Jika tadi berjalan kaki ke hulu sungai kami kerap berhenti untuk melakukan aktiviti lain seperti mencuri, begitu jugalah semasa beranyut ini. Di sepanjang sungai terdapat beberapa kebun milik bangsa Cina yang menanam pelbagai jenis tanaman seperti jambu, mangga, sengkuang, ubi keledek dan sayur-sayuran. Biasanya pada jam 2 petang, pekebun-pekebun Cina ini sudah mula pulang meninggalkan kebun mereka dan kebanyakan kebun-kebun ini tidak dipagar. Jadi apabila melalui kebun-kebun ini maka adalah imbuhan yang dapat dibawa bersama. Tiada langsung ada perasaan bersalah. Semakin banyak yang dapat diambil dari kebun-kebun ini maka makin tertambahlah martabat kita dimata teman-teman.
Uniknya, sepanjang saya beranyut tidak pernahlah pula kami ditangkap atau kantoi dengan pemilik kebun. Segalamya berlaku dengan pantas dan jujurnya ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan bagi menunjukkan kejantanan masing-masing.
Jika singgah di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai maka disitulah urusan masak memasak akan dilakukan. Segala macam mee segera yang dibawa akan dimasukkan sekali ke dalam periuk kecil itu. Jika ramai yang mengikuti maka perlulah dimasak beberapa kali. Soal menghidupkan api tidak menjadi masalah ( tetapi bagi saya adalah suatu masalah ) kerana teman-teman memang pakar dalam menghidupkan api. Pemetik api pula memang sentiasa dibawa kerana ramai antara kami sudah mula berjinak-jinak dengan rokok seawal usia 12 tahun lagi ( saya berhenti merokok dalam usia 14 tahun ).
Ubi kayu atau ubi keledek ( yang dicuri ) pula dicucuk dengan kayu tajam sebelum dibakar sehingga hangus di dalam bara api. Bila sudah hangus atau kulitnya kehitaman, kulitnya dikupas dan dimakan begitu sahaja. Jika ada teman-teman membawa gula ianya akan dicicah sekali. Walaupun hanya masakan yang ringkas, namun pada saya ianya adalah begitu menyelerakan dan sangat-sangat enak. Mee segera pelbagai perisa itu walaupun kuahnya hampir tiada namun dapat juga dihabiskan. Terasa begitu berbeza makan beramai-ramai dengan makan bersendiri. Saya bukanlah pemakan ubi kayu yang tegar namun ketika beranyut, saya akan menyimpan ubi kayu yang dibakar itu sedikit untuk di makan sepanjang perjalanan dan ianya sentiasa habis !
Makan Udang Mentah
Sungai Gedong juga kaya dengan koleksi faunanya yang tersendiri. Selain dari ikan seperti tengas, tilan, umbut-umbut dan lain-lain terdapat juga udang yang kami panggil udang batu. Udang-udang ini tinggal di celah-celah batu atau tunggul kayu hanyut di kawasan sungai yang cetek. Saiznya juga agak kecil dan mudah ditangkap dengan tangan sahaja andai kita cekap dan mahir.
Pernah juga seorang teman sewaktu memancing mendapat udang yang bersaiz agak besar di Sungai Gedong ini. Namun itulah kali pertama dan terakhir saya melihat udang yang bersepit biru itu meragut umpan. Selepas itu saya tidak lagi melihatnya. Rasanya ia berlaku pada tahun 1993 dan kini saya tidak pasti masih ada udang lagi di sungai berkenaan.
Biasanya jika mendapat udang tidak kira ditangkap dengan tangan atau dipancing atau dengan cara apa sekalipun ianya akan dibakar. Seronok melihat warna udang yang jernih itu bertukar menjadi oren apabila dibakar. Jujurnya saya bukan pemakan udang dan amat-amat tidak menggemari udang. Namun, terdapat satu lagi kaedah memakan udang ini iaitu memakannya secara mentah-mentah. Bunyinya memang agak aneh tetapi itulah realitinya. Udang berkenaan akan dikupas kulit luarnya dan isinya akan dimakan sedikit demi sedikit. Saya pada mulanya tidak percaya namun apabila melihat teman-teman memakannya secara mentah di depan mata barulah saya berani untuk mencuba. Rasanya agak manis-manis dan aneh ... hehehe. Tidak percaya anda boleh mencuba sendiri .... hahahaha.
Dusun Tua Yang Keras
Beranyut bersama teman-teman sememangnya sangat menyeronokkan. Gelak ketawa dan gurau senda sentiasa menjadi keutamaan. Ia menimbulkan suasana yang bising dengan suara - suara kami yang pelbagai. Namun ia menjadi sebaliknya apabila kami melalui suatu kawasan yang dipanggil Dusun Tua. Biasanya apabila pelampung-pelampung kami melalui kawasan ini kami akan menjadi senyap dan masing-masing akan berkata kiranya berbunyi begini,
" Maaf datuk nenek, anak cucu tumpang lalu !"
Saya sendiri sebenarnya tidak mengetahui dengan jelas kedudukan kawasan yangg bernama Dusun Tua itu sama ada ia terletak di kiri atau kanan sungai. Teman-teman menyatakan kawasan berkenaan agak keras dan berpenunggu jadi adalah baik jika mendiamkan diri ketika melaluinya. Jika tidak silap saya, terdapat kawasan perkuburan lama di kawasan berkenaan dengan jenis batu nisannya agak besar. Dari maklumat beberapa orang-orang lama dikatakan memang pernah wujud penempatan di kawasan Dusun Tua tersebut pada zaman dahulu.
Saya pernah mengikuti teman-teman melihat kawasan perkuburan yang dimaksudkan itu semasa remaja. Ketika itu rasanya kawasan perkuburan itu telah dicerobohi untuk satu projek yang tidak dapat saya sebutkan. Saya tidak berani ke kawasan berkenaan dan hanya melihat dari jauh sahaja. Memang terdapat nisan-nisan lama yang telah dicabut dan saya rasa ia memang dari jenis lama dan dibuat dari batu granit. Wallahualambissawab.
Ingatan-ingatan lama juga mengingatkan saya pada kata-kata ayah yang pernah membawa saya membasuh motosikalnya tidak jauh dari seberang kawasan Dusun Tua ini. Saya masih mengingati lagi ayah melarang saya berjauh-jauhan darinya kerana pada waktu itu "kita" berada di Dusun Tua.
Melalui kawasan Dusun Tua dengan suasana yang sunyi amat-amat menyeksakan diri. Masing-masing diam seribu bahasa. Abang sepupu saya biasanya akan memberikan isyarat supaya mendiamkan diri semasa mula memasuki kawasan Dusun Tua dan kami akan patuh dengan arahannya. Selang tidak lama kemudian apabila mula ternampak padang golf di seberang sungai maka kami tahu bahawa kami baru sahaja melewati kawasan Dusun Tua dan masing-masing mula bersuara.
Sungai Coken
Sungai Coken bukanlah sungai yang lain tetapi tetaplah Sungai Gedong itu sendiri. Uniknya kami anak-anak kampung lebih selesa memanggil tempat atau "port" bermandi manda di sungai Gedong ini dengan panggilan yang bersangkutan dengan nama penduduk yang rumahnya berhampiran dengan sungai berkenaan. Sungai Coken misalnya adalah tempat paling popular bagi kami untuk bermandi - manda dan menjadi penamat kepada aktiviti beranyut. Nama Coken diambil sempena nama seorang pemuda kampung yang tinggal bersama keluarganya tidak jauh dari pinggir sungai Gedong ini. Antara saya dengan Coken ini memang ada sedikit bau-bau bacang dalam hubungan persaudaraan. Semasa saya kecil memang saya agak takut dengan Coken ini kerana gemar menyakat kami.
Antara nama-nama tempat mandi yang agak popular di kampung suatu ketika dahulu ialah Sungai Coken, Sungai Pak Olong, Sungai Midi, Sungai Haji Rahmad, Sungai Wah dan pelbagai lagi yang saya sudah lupa. Hanya Sungai Coken, Sungai Midi dan Sungai Wah sahaja yang mempunyai pantai berpasir atau berbatu. Di pantai-pantai berpasir inilah kami seronok dan leka bermain pasir dan membina istana pasir yang selalu runtuh.
Kini kesemua tempat mandi-manda dahulu telah tiada. Saya sendiri sudah kelupaaan bila kali terakhir saya mandi di Sungai Gedong ini. Tempat-tempat mandi dahulu seperti Sungai Coken, Sungai Pak Olong dan Sungai Wah juga sudah bertahun-tahun saya tidak singgahi. Ah....dunia telah membunuhnya dan membawa kesemua kenangan itu jauh dan sukar digapai lagi.
Selepas sahaja Sungai Coken, maka ia adalah penamat bagi aliran Sungai Gedong di kampung saya. Kami juga perlu menamatkan aktiviti beranyut disini kerana tiada lagi rumah-rumah penduduk kampung di hilir sungai ini. Biasanya sampai sahaja tamat menghabiskan aktiviti beranyut kami tidak akan segera pulang sebaliknya akan terus mandi manda di sungai ini sehingga petang. Ada juga teman-teman yang lebih dewasa meneruskan aktiviti beranyut sehingga ke pertemuan kuala Sungai Gedong dengan Sungai Bidor. Namun saya tidak pernah melakukannya.
Benta
Benta adalah satu kawasan di pinggir sungai yang berumput tinggi. Rumput inilah yang kami panggil benta. Rumput benta ini tumbuh meliar dan sangat mudah dijumpai di pinggir Sungai Gedong pada ketika itu. Rumput benta ini juga seringkali tumbuh pada aliran Sungai Gedong yang telah terpisah dari laluan aliran asal.
Dahulu apabila aliran Sungai Gedong mengganas dan mula menghakis tebing sungai, maka pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran ( JPS ) dengan segera akan menjalankan projek aliran baru bagi Sungai Gedong. Aliran lama yang tertinggal biasanya akan kekal berair untuk suatu tempoh yang agak lama sebelum ia menjadi kering. Pada ketika itulah rumput benta akan mudah tumbuh dan meninggi. Aliran baru Sungai Gedong biasanya agak dalam dan amat menyeronokkan kami untuk mandi-manda.
Rumput benta ini sebenarnya akan meninggalkan kesan kegatalan pada betis kita apabila melaluinya. Kesan kegatalan itu lazimnya akan meninggalkn bintat-bintat merah yang hodoh. Kami ada petua sendiri bagaimana mahu menghilangkan kesan kegatalan ini. Jika tidak silap saya terdapat sejenis tumbuhan yang tumbuh dengan banyaknya di sekitar tebing Sungai Gedong ini yang kami panggil sebagai daun komando. Daun komando ini akan dilumat-lumatkan dan disapu atau dilumur pada bahagian betis. Biasanya bintat-bintat kegatalan akibat benta ini akan hilang dengan sendirinya. Namun, saya lebih selesa membiarkan sahaja bintat-bintat kegalatalan di betis tersebut. Balik rumah nanti sapu sahaja betis dengan minyak angin ... pasti segalanya akan hilang.
Hingga sampai suatu masa nanti, pasti wajah-wajah ini tidak akan wujud di dunia lagi. Maka ketika itu saya sendiri akan menjadi tua seperti mereka atau saya sendiri tidak berkesempatan menemui hari tua saya itu. Ketika itu masih wujudkan kampung kecil yang indah ini ? Atau ia bertukar menjadi kota metropolitan yang besar ? Atau kiamat lebih dahulu menyusul kepada kita ? .... saya buntu memikirkannya. Namun dalam diam-diam, saya bermohon dan berdoa kepada Allah SWT agar berkesempatan melihat kampung kecil ini di hari-hari tua saya. Saya mahu melihatnya dan mahu mati di kampung ini. Namun adakah ia akan kekal untuk saya pada masa itu. Saya sedar urbanisasi pasti akan merobek rantai-rantai tradisi yang ada padanya. Masa begitu kejam .... saya sendiri tidak mampu mengahalanginya.
Namun ada sesuatu yang mungkin dapat membeli semula segala kenangan kampung kecil ini andai suatu masa nanti kampung ini sudah tidak wujud lagi. Ya benar .... saya dapat melihatnya dan pasti tetap akan dapat melihatnya pada masa depan yang sukar itu. Pasti segala resah kenangan itu akan terlerai apabila menatap aliran sebatang sungai yang mengalir lesu .... sebatang sungai yang menyimpan segala kenangan warga penduduk kampung ratusan tahun lamanya ..... sebatang sungai bernama Sungai Gedong.
Sungai Gedong Yang Menderita
Sungai Gedong berkualakan Sungai Bidor
Ia sebatang sungai yang punya jalan cerita yang tersendiri. Saya mengenalinya sebagai sebatang sungai yang begitu baik kepada anak-anak kampung kecil itu. Sungai Gedong itulah tempat bermandi - manda yang sangat menyeronokkan bagi anak-anak kampung yang tidak punya sebarang hiburan lain melainkan sungai sebatang itu.
Di sungai yang jernih itu, saya belajar menembak, menjaring dan menjala ikan walaupun hakikatnya sehingga kini saya masih belum menguasai kemahiran berkenaan. Sesekali saya dan rakan-rakan mencuba memancing ikan di pinggir sungainya yang bersemak itu. Ketika itulah, Masih juga ada ikan yang sudi memakan umpan-umpan kami walaupun sesekali yang didapati ialah ikan Tilan yang sungguh mengelikan itu. Sudahnya pasti tali pancing diputuskan dan ikan itu akan dicampak jauh-jauh ke tengah sungai. Jika dibawa pulang sekalipun pasti ikan itu tidak bersiang .... kata emak terlalu susah menyiang ikan Tilan. Ah ... masih adakah ikan Tilan di Sungai Gedong hari ini ? Masa seolah-seolah telah membunuhnya tanpa sedar.
Ikan Tilan yang menggelikan
( sumber Google )
( sumber Google )
Sesekali sekala bila tiba musimnya atau dalam musim cuti persekolahan, sungai ini begitu meriah dengan pelbagai aktiviti. Bermain perang-perang di sungai adalah suatu yang tidak dapat dielakkan. Lumpur-lupur pasir halus di tepi-tepi sungai menjadi senjata yang paling canggih. Jarang berlaku sesuatu pihak memperolehi kemenangan. Ianya bukan medan mencari kemenangan tetapi medan bergelak ketawa melihat teman-teman yang gagal mengelak dari dilontar dengan lumpur-lumpur dari pihak lawan. Tidak pernah berlaku pergaduhan cumanya sesekali pasti ada yang mengalir air mata apabila teruk diejek terkena lumpur. Pulang kerumah dengan tekad tidak mahu lagi bermain perang-perang lumpur berkenaan. Namun esoknya watak yang bertekad tidak mahu bermain itu tetap ada di sungai berkenaan dan skrip yang sama akan berulang pada yang lain pula.
Pantai berpasir di Sungai Gedong tempat bermain
perang-perang
Arwah andak bekerja sebagai kakitangan Jabatan Parit dan Saliran ( JPS ). Memang ramai pekerja JPS yang tinggal di kampung ini terutama di sebelah hulu sejak dari awal tahun 1960an. Kebanyakan dari mereka ini datang dari daerah Perak Tengah seperti Kampung Gajah dan saling mempunyai ikatan persaudaraan. Apabila beberapa orang adik-beradiknya pindah ke Bidor, ayah dan opah turut menjejaki mereka. Sebuah rumah kecil dibina diatas tanah milik Andak untuk ayah dan opah. Di rumah kecil itulah juga saya dilahirkan.
Kayu Jojoi
Semasa saya bersekolah rendah, Andak masih lagi bekerja dengan JPS. Dahulu di tebing Sungai Gedong seringkali dibina petak-petak kayu kecil yang saya sendiri tidak ketahui apakah sebabnya. Binaan petak-petak kayu itu adalah terdiri dari kayu-kayu bakau yang sangat kuat dan kukuh. Apabila melihat lori-lori JPS masuk ke kampung dan meletakkan kayu-kayu berkenaan di tepi sungai, itu bermakna petak-petak kayu kecil itu akan dibina di sungai Gedong kesayangan kami ini. Kami menggelarkan kayu-kayu berkenaan sebagai Kayu Jojoi.
Kerja pemasangan kayu jojoi ini akan dilaksanakan oleh Andak dan teman-teman sekerjanya. Kerjanya agak sukar dan saya masih ingat untuk mencacakkan sebatang kayu jojoi, tenaga empat orang manusia diperlukan. Dengan sebuah besi berat yang mempunyai empat pemegang, mereka berempat akan mengangkat besi berkenaan tinggi-tinggi dan menghentakkan ke atas kayu jojoi berkenaan hingga terbenam ke dasar sungai. Kayu-kayu jojoi berkenaan akan dibenamkan sebaris panjang dan palang kayu jojoi juga akan dipasang pada deretan kayu-kayu joji berkenaan bagi tujuan menguatkannya.
Selepas sahaja siap binaan tapak kayu-kayu jojoi berkenaan, maka tibalah giliran kami mengerjakannya. Palang-palang kayu jojoi itu akan menjadi tempat kami bertenggek sebelum melakukan lompatan ke dalam sungai. Lebih manis lagi ia adalah tempat yang memudahkan kami untuk membuang air besar. Bertenggek sahaja di atas kayu jojoi berkenaan dan buanglah hajat semahunya hati di hadapan teman-teman. Langsung tiada perasaan malu.
Ada dua kemungkinan yang bakal berlaku semasa membuang air besar berkenaan. Pertamanya perbuatan membuang air besar itu pasti meransang teman-teman lain untuk turut serta membuang air besar. Maka penuhlah palang-palang kayu jojoi itu dengan punggung-punggung kami. Malah ada yang bertanding najis siapa yang paling banyak.
Kemungkinan yang kedua pula ialah kita akan diganggu oleh teman-teman dengan pelbagai cara. Cara yang paling tidak digemari ialah dibaling dengan lumpur. Hal ini biasanya pasti akan berakhir dengan pergaduhan dan perasaan untuk membalas dendam. Pernah terjadi sekali apabila seorang teman yang membuang air besar di atas kayu jojoi telah diganggu oleh sekumpulan teman-teman yang lain. Hal ini telah menimbulkan kemarahan yang sangat mendalam kepada dirinya. Kesudahannya begitu tragis apabila sehelai baju teman yang diletakkan di tebing sungai ditemui mempunyai najis manusia di atasnya. Siapa punya angkara mungkin sudah diagak pelakunya ... hahahahahaha
Pelampung Tiub
Sesekali sekala pula tibalah musim pelampung tiub. Ini bermakna setiap anak-anak kampung tidak kira dari sekolah rendah sehinggalah yang di sekolah menengah pasti mahu memiliki sebuah pelambung tiub. Biasanya pelampung-pelampung tiub ini diambil atau dibeli dari kedai-kedai tayar di pekan Bidor. Kedai-kedai tayar ini biasanya menyimpan tiub-tiub tayar terpakai yang masih boleh digunakan. Jika ada kebocoran kecil, ianya akan ditampal sediri dengan menggunakan penampal tayar basikal yang boleh dibeli pada harga RM0.30 sen sahaja pada ketika itu.
Bagi yang bertuah atau yang agak berduit mungkin sahaja boleh memiliki sebuah pelampung tiub tayar lori yang besar. Adalah satu kebanggaan jika memiliki pelampung tiub dalam saiz berkenaan. Bagi saya pula rasanya hanya pernah memiliki sebuah pelampung tiub tayar kereta sahaja. Itupun penuh dengan tampalan bagi menampung kebocorannya yang sudah mencapai tahap kronik. Taukeh-taukeh kedai basikal di pekan Bidor sangat anti kepada kami andai mahu mengepam pelampung-pelampung berkenaan di kedai basikal milik mereka. Namun demikian kami masih sahaja boleh mengepam pelampung-pelampung tiub berkenaan di stesen minyak atau guna sahaja sedikit tenaga yang ada mengepam secara manual menggunakan pam tangan.
Satu kesusahan yang mungkin timbul apabila mahu mengepam pelampung tiub ini ialah soal mengangkutnya ke stesen minyak. Walaupun jarak stesen minyak Petronas Bidor dari kampung saya ialah tidak terlalu jauh namun ia masih dikira agak jauh tambahan pula ia bukanlah zaman dimana semua anak muda memiliki motosikal. Yang ada hanyalah basikal. Namun ianya bagaikan tidak mempunyai kesan apa-apa kepada kami.
Bagi yang memiliki pelampung tiub besar, urusan mengepam ini memerlukan dua orang apabila menaiki basikal. Orang yang pertama akan menunggang basikal. Orang yang kedua mempunyai peranan yang cukup besar sebagai pembonceng basikal berkenaan kerana perlu memegang pelampung yang besar di belakang. Cara membawa pelampung tiub ini adalah sangat unik dengan pelampung itu akan disangkutkan pada kepala pembonceng basikal tersebut. Jadi pelampung tersebut walaupun agak besar namun akan sentiasa tergantung dibelakang dan tidak menyentuh permukaan jalan.
Beranyut
Inilah kenikmatan yang sangat indah apabila memiliki pelampung dimana aktiviti beranyut ( sebutan kami anak-anak kampung ) boleh dilakukan. Biasanya aktiviti beranyut ini akan dirancang dengan teliti masa dan harinya. Ia bukan satu aktiviti yang mudah dan amat jarang dilakukan dalam setiap tahun. Beranyut tidak akan dilakukan bersendirian. Ianya akan dilakukan secara berkumpulan dan akan mengambil masa sehari suntuk.
Saya jarang memiliki peluang untuk beranyut kerana sukar untuk memiliki pelampung tiub sendiri. Namun demikian sesekali sekala ada juga teman-teman mengajak sekali menumpang pelampung tiub mereka untuk beranyut. Jadi dapatlah saya menikmati aktiviti beranyut ini walaupun menumpang pelampung kawan.
Lazimnya aktiviti beranyut ini bermula awal pagi. Terdapat juga pembahagian tugasan antara teman-teman. Seorang teman akan ditugaskan membawa periuk kecil. Biasanya abang sepupu saya akan membawa periuk ini lengkap dengan senduknya sekali. Tujuan periuk ini adalah untuk digunakan bagi memasak mee segera yang akan menjadi makanan tengah hari sewaktu aktiviti beranyut itu nanti. Mee segera ini pula sama ada dibawa sendiri atau dibeli melalui pungutan wang antara teman-teman. Mangkuk dan sudu dibawa sendiri.
Masalah akan timbul apabila akan ada yang mahukan mee segera berperisa kari dan yang lainnya pula akan mahukan mee segera perisa sup ataupun asam laksa. Kata pemutus biasanya dipegang oleh sang ketua dan andai ada mee segera berlainan perisa dibawa sekali ianya akan dicampurkan sahaja di dalam periuk berkenaan apabila dimasak. Memang di dalam hal ini sesekali sekala unsur-unsur autokratik perlu diamalkan untuk mengelakkan perpecahan.
Sungai Gedong yang bermula dari Banjaran Titiwangsa adalah sebatang sungai yang masih belum tercemar ( pada ketika itu ). Alirannya tidaklah deras namun agak berliku-liku. Sungai Gedong juga tidaklah terlalu dalam airnya, namun pada tempat-tempat tertentu ada juga lubuk-lubuk yang agak menakutkan. Untuk aktiviti beranyut, ia memerlukan kami berjalan kaki ke hulu Sungai Gedong yang terletak kira-kira 5km dari kampung.
Banjaran Titiwangsa... arah punca aliran Sungai Gedong
Berjalan kaki untuk ke hulu sungai Gedong ini walupun jauh namun tidaklah begitu memenatkan. Selain dari berjalan beramai-ramai, aktiviti lain juga turut diselitkan walaupun tidak dirancang. Biasanya aktiviti yang sering dilakukan dalam perjalanan itu ialah mencuri buah-buahan penduduk kampung yang ditemui sepanjang jalan. Andai ketika itu musim rambutan, maka penuhlah mulut-mulut kami dengan rambutan. Andai pada ketika itu musim langsat atau rambai maka bersepahlah kulit-kulit rambai dan langsat di sepanjang jalan. Andai tiada musim buah-buahan, maka habislah pokok-pokok ubi kayu yang kami jumpai dicabut dan diambil ubinya. Nanti boleh dibakar dan dimakan sekali bersama mee segera.
Suasana di sepanjang jalan ke ulu Sungai Gedong
Jambatan kayu kecil merintangi Sungai Gedong
Jambatan kayu Sungai Gedong dari jauh.
Jika waktu sudah agak lewat, maka biasanya kami akan memasak dahulu mee segera yang dibawa dan berkelah menikmati hidangan berkenaan. Ubi kayu yang dicuri juga dibakar disini. Namun biasanya kami lebih selesa berhenti dahulu di mana-mana pinggir sungai yang dirasakan sesuai dan berkelah disana. Itu lebih menyeronokkan dan bebas.
Aliran Sungai Gedong dari atas jambatan kayu
Dahulu batuan granit ini berada di bawah permukaan
air Sungai Gedong. Air di kawasan ini dahulu bewarna gelap
dan dikatakan sangat dalam.
Sebuah pelampung besar mampu memuatkan dua atau tiga orang manusia. Jika menggunakan pelampung tayar kereta memang hanya mampu memuatkan seorang manusia sahaja. Menaiki pelampung secara berkumpulan dua atau tiga orang memerlukan kemahiran pengimbangan badan, jika tidak mudah sahaja pelampung itu terbalik dan kita jatuh ke dalam sungai. Jika keadaan memerlukan, saya lebih gemar bergantung sahaja sambil memegang pelampung dan badan saya berada di dalam air. Sebatang kayu pula digunakan bagi mengawal pergerakan pelampung dari melanggar tebing, batu atau "bangkor" ( panggilan kami kepada suatu kawasan dimana terdapat suatu halangan yang menyebabkan buluh atau kayu-kayu hanyut tersekat disitu ).
Bangkor kecil di Sungai Gedong kini
Pokok tumbang antara penyumbang utama
pembentukan bangkor di Sungai Gedong
Selalunya yang tidak memiliki pelampung dan menumpang pelampung teman-teman yang lain terpaksa berperanan sebagai tukang pegang beg-beg plastik yang mengandungi pakaian atau barang berharga milik teman yang memiliki pelampung. Biasanya begitulah tugasan saya hingga menimbulkan satu kebencian pula terhadap teman-teman. Beg-beg plastik ini akan diikat kemas-kemas supaya air sungai tidak mampu memasukinya dan bungkusan-bungkusan beg plastik ini akan dikumpulkan sekali sebelum diisikan di dalam guni plastik beras. Guni plastik besar ini pula akan diikat hujung dengan tali dan dibuat satu tempat penggantung agar mudah digantung pada belakang badan saya yang kecil. Jadi ia tidak akan lepas dari saya dan kekallah ia sehingga aktiviti beranyut ini berakhir.
Makanan Yang Menyelerakan
Panorama indah Sungai Gedong
Dunia sepanjang sungai ini adalah indah dan mendamaikan. Hutan-hutan belukar, rimbunan buluh-buluh yang mencecah sungai, estet-estet kelapa sawit dan kebun-kebun Cina menjadi latar pemandangan yang utama. Sesekali terserempak dengan kumpulan orang Asal yang masih banyak mendiami kawasan hulu sungai ini. Walaupun kami tidak memiliki sebarang hubungan dengan penduduk orang Asal ini, namun wujud satu interaksi yang sukar dimengertikan. Ia bagaikan satu hubungan yang saling memerlukan dan tidak hairanlah apabila terserempak mudah sahaja bertegur sapa walaupun sebentar.
Jika tadi berjalan kaki ke hulu sungai kami kerap berhenti untuk melakukan aktiviti lain seperti mencuri, begitu jugalah semasa beranyut ini. Di sepanjang sungai terdapat beberapa kebun milik bangsa Cina yang menanam pelbagai jenis tanaman seperti jambu, mangga, sengkuang, ubi keledek dan sayur-sayuran. Biasanya pada jam 2 petang, pekebun-pekebun Cina ini sudah mula pulang meninggalkan kebun mereka dan kebanyakan kebun-kebun ini tidak dipagar. Jadi apabila melalui kebun-kebun ini maka adalah imbuhan yang dapat dibawa bersama. Tiada langsung ada perasaan bersalah. Semakin banyak yang dapat diambil dari kebun-kebun ini maka makin tertambahlah martabat kita dimata teman-teman.
Uniknya, sepanjang saya beranyut tidak pernahlah pula kami ditangkap atau kantoi dengan pemilik kebun. Segalamya berlaku dengan pantas dan jujurnya ia adalah sesuatu yang perlu dilakukan bagi menunjukkan kejantanan masing-masing.
Jika singgah di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai maka disitulah urusan masak memasak akan dilakukan. Segala macam mee segera yang dibawa akan dimasukkan sekali ke dalam periuk kecil itu. Jika ramai yang mengikuti maka perlulah dimasak beberapa kali. Soal menghidupkan api tidak menjadi masalah ( tetapi bagi saya adalah suatu masalah ) kerana teman-teman memang pakar dalam menghidupkan api. Pemetik api pula memang sentiasa dibawa kerana ramai antara kami sudah mula berjinak-jinak dengan rokok seawal usia 12 tahun lagi ( saya berhenti merokok dalam usia 14 tahun ).
Mee segera.. makanan paling enak sewaktu melakukan
aktiviti beranyut.
Ubi kayu atau ubi keledek ( yang dicuri ) pula dicucuk dengan kayu tajam sebelum dibakar sehingga hangus di dalam bara api. Bila sudah hangus atau kulitnya kehitaman, kulitnya dikupas dan dimakan begitu sahaja. Jika ada teman-teman membawa gula ianya akan dicicah sekali. Walaupun hanya masakan yang ringkas, namun pada saya ianya adalah begitu menyelerakan dan sangat-sangat enak. Mee segera pelbagai perisa itu walaupun kuahnya hampir tiada namun dapat juga dihabiskan. Terasa begitu berbeza makan beramai-ramai dengan makan bersendiri. Saya bukanlah pemakan ubi kayu yang tegar namun ketika beranyut, saya akan menyimpan ubi kayu yang dibakar itu sedikit untuk di makan sepanjang perjalanan dan ianya sentiasa habis !
Makan Udang Mentah
Sungai Gedong juga kaya dengan koleksi faunanya yang tersendiri. Selain dari ikan seperti tengas, tilan, umbut-umbut dan lain-lain terdapat juga udang yang kami panggil udang batu. Udang-udang ini tinggal di celah-celah batu atau tunggul kayu hanyut di kawasan sungai yang cetek. Saiznya juga agak kecil dan mudah ditangkap dengan tangan sahaja andai kita cekap dan mahir.
Pernah juga seorang teman sewaktu memancing mendapat udang yang bersaiz agak besar di Sungai Gedong ini. Namun itulah kali pertama dan terakhir saya melihat udang yang bersepit biru itu meragut umpan. Selepas itu saya tidak lagi melihatnya. Rasanya ia berlaku pada tahun 1993 dan kini saya tidak pasti masih ada udang lagi di sungai berkenaan.
Biasanya jika mendapat udang tidak kira ditangkap dengan tangan atau dipancing atau dengan cara apa sekalipun ianya akan dibakar. Seronok melihat warna udang yang jernih itu bertukar menjadi oren apabila dibakar. Jujurnya saya bukan pemakan udang dan amat-amat tidak menggemari udang. Namun, terdapat satu lagi kaedah memakan udang ini iaitu memakannya secara mentah-mentah. Bunyinya memang agak aneh tetapi itulah realitinya. Udang berkenaan akan dikupas kulit luarnya dan isinya akan dimakan sedikit demi sedikit. Saya pada mulanya tidak percaya namun apabila melihat teman-teman memakannya secara mentah di depan mata barulah saya berani untuk mencuba. Rasanya agak manis-manis dan aneh ... hehehe. Tidak percaya anda boleh mencuba sendiri .... hahahaha.
Dusun Tua Yang Keras
Beranyut bersama teman-teman sememangnya sangat menyeronokkan. Gelak ketawa dan gurau senda sentiasa menjadi keutamaan. Ia menimbulkan suasana yang bising dengan suara - suara kami yang pelbagai. Namun ia menjadi sebaliknya apabila kami melalui suatu kawasan yang dipanggil Dusun Tua. Biasanya apabila pelampung-pelampung kami melalui kawasan ini kami akan menjadi senyap dan masing-masing akan berkata kiranya berbunyi begini,
" Maaf datuk nenek, anak cucu tumpang lalu !"
Saya sendiri sebenarnya tidak mengetahui dengan jelas kedudukan kawasan yangg bernama Dusun Tua itu sama ada ia terletak di kiri atau kanan sungai. Teman-teman menyatakan kawasan berkenaan agak keras dan berpenunggu jadi adalah baik jika mendiamkan diri ketika melaluinya. Jika tidak silap saya, terdapat kawasan perkuburan lama di kawasan berkenaan dengan jenis batu nisannya agak besar. Dari maklumat beberapa orang-orang lama dikatakan memang pernah wujud penempatan di kawasan Dusun Tua tersebut pada zaman dahulu.
Saya pernah mengikuti teman-teman melihat kawasan perkuburan yang dimaksudkan itu semasa remaja. Ketika itu rasanya kawasan perkuburan itu telah dicerobohi untuk satu projek yang tidak dapat saya sebutkan. Saya tidak berani ke kawasan berkenaan dan hanya melihat dari jauh sahaja. Memang terdapat nisan-nisan lama yang telah dicabut dan saya rasa ia memang dari jenis lama dan dibuat dari batu granit. Wallahualambissawab.
Ingatan-ingatan lama juga mengingatkan saya pada kata-kata ayah yang pernah membawa saya membasuh motosikalnya tidak jauh dari seberang kawasan Dusun Tua ini. Saya masih mengingati lagi ayah melarang saya berjauh-jauhan darinya kerana pada waktu itu "kita" berada di Dusun Tua.
Melalui kawasan Dusun Tua dengan suasana yang sunyi amat-amat menyeksakan diri. Masing-masing diam seribu bahasa. Abang sepupu saya biasanya akan memberikan isyarat supaya mendiamkan diri semasa mula memasuki kawasan Dusun Tua dan kami akan patuh dengan arahannya. Selang tidak lama kemudian apabila mula ternampak padang golf di seberang sungai maka kami tahu bahawa kami baru sahaja melewati kawasan Dusun Tua dan masing-masing mula bersuara.
Sungai Coken
Sungai Coken bukanlah sungai yang lain tetapi tetaplah Sungai Gedong itu sendiri. Uniknya kami anak-anak kampung lebih selesa memanggil tempat atau "port" bermandi manda di sungai Gedong ini dengan panggilan yang bersangkutan dengan nama penduduk yang rumahnya berhampiran dengan sungai berkenaan. Sungai Coken misalnya adalah tempat paling popular bagi kami untuk bermandi - manda dan menjadi penamat kepada aktiviti beranyut. Nama Coken diambil sempena nama seorang pemuda kampung yang tinggal bersama keluarganya tidak jauh dari pinggir sungai Gedong ini. Antara saya dengan Coken ini memang ada sedikit bau-bau bacang dalam hubungan persaudaraan. Semasa saya kecil memang saya agak takut dengan Coken ini kerana gemar menyakat kami.
Persisir Sungai Coken kini.. tiada lagi keseronokan
disini. Dahulu di kawasan inilah kawasan mandi manda
yang paling menyeronokkan.
Antara nama-nama tempat mandi yang agak popular di kampung suatu ketika dahulu ialah Sungai Coken, Sungai Pak Olong, Sungai Midi, Sungai Haji Rahmad, Sungai Wah dan pelbagai lagi yang saya sudah lupa. Hanya Sungai Coken, Sungai Midi dan Sungai Wah sahaja yang mempunyai pantai berpasir atau berbatu. Di pantai-pantai berpasir inilah kami seronok dan leka bermain pasir dan membina istana pasir yang selalu runtuh.
Kini kesemua tempat mandi-manda dahulu telah tiada. Saya sendiri sudah kelupaaan bila kali terakhir saya mandi di Sungai Gedong ini. Tempat-tempat mandi dahulu seperti Sungai Coken, Sungai Pak Olong dan Sungai Wah juga sudah bertahun-tahun saya tidak singgahi. Ah....dunia telah membunuhnya dan membawa kesemua kenangan itu jauh dan sukar digapai lagi.
Persisir yang dahulunya meriah dengan suara anak-anak
kampung kini hanya ditumbuhi semak samun.
Selepas sahaja Sungai Coken, maka ia adalah penamat bagi aliran Sungai Gedong di kampung saya. Kami juga perlu menamatkan aktiviti beranyut disini kerana tiada lagi rumah-rumah penduduk kampung di hilir sungai ini. Biasanya sampai sahaja tamat menghabiskan aktiviti beranyut kami tidak akan segera pulang sebaliknya akan terus mandi manda di sungai ini sehingga petang. Ada juga teman-teman yang lebih dewasa meneruskan aktiviti beranyut sehingga ke pertemuan kuala Sungai Gedong dengan Sungai Bidor. Namun saya tidak pernah melakukannya.
Benta
Benta adalah satu kawasan di pinggir sungai yang berumput tinggi. Rumput inilah yang kami panggil benta. Rumput benta ini tumbuh meliar dan sangat mudah dijumpai di pinggir Sungai Gedong pada ketika itu. Rumput benta ini juga seringkali tumbuh pada aliran Sungai Gedong yang telah terpisah dari laluan aliran asal.
Salah satu bekas aliran Sungai Gedong lama yang kini
ditumbuhi oleh ruput benta yang meliar
Dahulu apabila aliran Sungai Gedong mengganas dan mula menghakis tebing sungai, maka pihak Jabatan Pengaliran dan Saliran ( JPS ) dengan segera akan menjalankan projek aliran baru bagi Sungai Gedong. Aliran lama yang tertinggal biasanya akan kekal berair untuk suatu tempoh yang agak lama sebelum ia menjadi kering. Pada ketika itulah rumput benta akan mudah tumbuh dan meninggi. Aliran baru Sungai Gedong biasanya agak dalam dan amat menyeronokkan kami untuk mandi-manda.
Rumput benta ini sebenarnya akan meninggalkan kesan kegatalan pada betis kita apabila melaluinya. Kesan kegatalan itu lazimnya akan meninggalkn bintat-bintat merah yang hodoh. Kami ada petua sendiri bagaimana mahu menghilangkan kesan kegatalan ini. Jika tidak silap saya terdapat sejenis tumbuhan yang tumbuh dengan banyaknya di sekitar tebing Sungai Gedong ini yang kami panggil sebagai daun komando. Daun komando ini akan dilumat-lumatkan dan disapu atau dilumur pada bahagian betis. Biasanya bintat-bintat kegatalan akibat benta ini akan hilang dengan sendirinya. Namun, saya lebih selesa membiarkan sahaja bintat-bintat kegalatalan di betis tersebut. Balik rumah nanti sapu sahaja betis dengan minyak angin ... pasti segalanya akan hilang.
Dibalun Ayah Di Sungai Coken
Saya bukanlah dari jenis anak yang nakal semasa kecil. Untuk mandi di sungai pun agak sukar mendapat kebenaran dari keluarga. Namun larangan itu hanya berkesan untuk seketika sahaja. Jika ada peluang dan kesempatan memang mandi sungai adalah satu aktiviti yang tidak dapat dilepaskan begitu sahaja. Biasanya peluang itu timbul apabila sepupu-sepupu saya merancang aktiviti berkelah di tepi sungai. "Port" yang dipilih biasanya di sungai Pak Olong kerana terdapat pelantar kayu kecil dibina dipinggir sungainya. Tambahan pula di sini air sungainya tidaklah terlalu dalam dan kurang berbatu.
Keluarga saya tidak menghalang untuk mengikuti aktiviti berkelah berkenaan dengan syaratnya saya dilarang untuk mandi sungai. Larangan ini sebenarnya hanyalah sekadar satu ingatan sahaja kerana apabila sampai ke sungai berkenaan pastinya larangan itu hanya tinggal kenangan sahaja. Siapa yang boleh menahan diri dari menikmati segarnya air sungai berkenaan ?. Pulang sahaja ke rumah pelbagai alasan akan saya kemukakan bagi menyokong sebab saya turut serta mandi sungai berkenaan. Antara alasan yang paling kerap saya gunakan ialah terjatuh dari tebing sungai sehingga basah lenjun. Alang-alang sudah basah saya terus sahaja mandi sekali dengan sepupu-sepupu saya. Anehnya alasan itu kerap diterima oleh keluarga tanpa banyak soal lagi.
Salah satu kecekapan ayah ialah beliau akan mudah mengetahui keadaan diri saya sama ada saya mandi sungai atau tidak. Memang diakui saya tidak mampu menipu ayah. Tetapi walaupun mengetahui saya telah ingkar arahannya supaya jangan mandi sungai namun jarang sekali beliau marah. Mungkin apabila melihat saya telah selamat kembali ke rumah maka amarahnya hilang begitu sahaja.
Namun ada juga sekali peristiwa saya dibalun ayah akibat ke sungai ketika hujan lebat. Lumrah sebagai kanak-kanak perasaan ingin tahu sentiasa menebal di dalam diri saya. Kebetulan pada hari berkenaan abang sepupu saya dan teman-temannya merancang untuk pergi memancing di sungai Coken. Saya yang kebetulan terlihat kumpulan ini mula memasang angan-angan untuk mengikuti rancangan mereka. Apabila hujan mula gerimis kecil, saya dengan segera menunggang basikal ke sungai. Kehadiran saya disambut oleh kumpulan abang saudara saya dengan rasa gembira.
Aliran Sungai Gedong pada ketika itu agak deras namun saya tidaklah pula mandi kerana sedikit-sebanyak perasaan takut itu tetap juga ada dalam diri. Saya leka memerhatikan rakan-rakan abang sepupu saya memancing ikan walaupun hasilnya tidaklah seberapa. Rupa-rupanya dalam leka saya memerhatikan aktiviti memancing itu masa sudah semakin hampir ke lewat petang dan hujan masih gerimis sehingga menimbulkan kegusaran pada keluarga saya di rumah.
Ayah terus mencari saya di sungai dan dapat melihat saya duduk di pinggir sungai. Kehadiran ayah disedari oleh abang saudara saya yang menyuruh saya cepat-cepat meninggalkan sungai. Sayangnya, basikal saya terletak betul-betul pada laluan jalan utama ke tempat memancing. Baru sahaja saya melangkah, ayah sudah dapat melihat saya. Dicapainya sebatang buluh reput dan dibalunnya belakang badan saya yang sedang kaget. Alangkah sakitnya ketika itu. Terasa mahu patah tulang belakang saya. Perit telinga saya menerima leteran dan amarah ayah. Dengan segera saya mencapai basikal dan mengayuhnya perlahan-lahan ke rumah sambil diiringi oleh ayah.
Saya tidak menangis sedikit pun ketika itu walaupun di belakang badan terasa seolah-olah berbirat hasil pukulan ayah tadi. Saya tidak menyalahkan ayah sebaliknya saya sendirilah yang harus menyalahkan diri saya sendiri kerana keluar dalam cuaca yang tidak menentu ke sungai. Namun, bagi saya itu adalah lumrah dalam kehidupan masa kecil. Sifat ingin tahu pada sesuatu membuatkan saya menjadi berani walaupun hakikatnya diri ini adalah begitu kerdil jika dibandingkan dengan cabaran alam yang begitu meluas ini.
Malam itu, ketika pergi mengaji abang saudara saya menyapu belakang badan saya dengan minyak yang dibawanya dari rumah. Katanya kesan lebam itu tidaklah seberapa. Sehingga kini saya masih tidak melupakan kisah dibalun ayah di sungai Gedong ini. Sesekali saya akan tersenyum sendirian mengenangkan kisah ini. Betapalah manisnya segala kenangan lama yang hampir 22 tahun berlaku itu.
Sungai Gedong Kini
Sungai Gedong kini masih tetap mengalir seperti dahulu walaupun saiz dan aliran airnya dilihat semakin mengecil. Rasanya air sungai ini masih bersih dan belum tercemar terutama di sebelah hulunya. Airnya masih jernih namun sudah semakin cetek. Tidaklah pula saya ketahui masih wujudkah spesis ikan yang suatu ketika dahulu menjadi buruan kami untuk sekadar dibakar di tepi sungai seperti sebarau, tilan, lampam dan sebagainya. Mungkin semuanya sudah pupus ditelan zaman. Kewujudan sebuah kem PLKN di hulu sungai ini sedikit sebanyak membuatkan air sungai ini tercemar dan ini belum termasuk dengan kesan baja kimia yang ditabur oleh individu tertentu yang menjadikan tanah rizab sungai ini sebagai tempat tanaman kelapa sawit.
Sungai Gedong juga sudah banyak kali dipotong arah alirannya akibat dari kesan hakisan yang boleh merosakkan tanah pertanian orang-orang kampung. Kunjungan saya baru-baru ini dapat melihat aliran lama Sungai Gedong yang sudah kering dan tidak digunakan lagi.
Anak-anak kampung juga sudah tidak lagi bermandi manda di sungai ini. Sungai ini sudah ditinggalkan mengalir dengan sendiri. Ini bukan lagi zaman anak-anak kampung bercanda dan bercinta dengan sungai. Ini zaman anak-anak zaman moden yang lebih mencintai dunia ASTRO dan internet. Tiada lagi aktiviti menjaring, menjala, memancing ikan atau menangkap udang. Segalanya tertinggal dalam ingatan sahaja bagi yang pernah menikmatinya suatu ketika dahulu.
Esok dan lusa, Sungai Gedong tetap akan mengalir ke pertemuannya dengan Sungai Bidor dan terus ke Sungai Perak sebelum ke Selat Melaka. Ia tetap mengalir membawa sejuta satu cerita dari hulu ke hilirnya tanpa pernah jemu dan kecewa. Sejuta satu kenangan terhimpun pada batu-batunya yang perang kehitaman itu. Mungkin sampai suatu masa kelak alirannya akan terhenti .... hilanglah satu memori pada sebuah sungai yang berjasa .... Sungai Gedong. Dan saya berharap saya dapat menemuinya di hari tua saya !
0 ulasan:
Post a Comment