Ah ... itu semua adalah masa-masa muda yang berani dan bersemangat. Manalah sama dengan kehidupan hari ini yang memerlukan lebih lagi komitmen pada keluarga dan tugasan kerja. Masa dalam kehidupan seharian juga semakin menipis. Sesekali saya akan mengeluh... saya kini bukan lagi lelaki muda yang hidup secara semberono sahaja seperti dahulu. Putaran hidup telah memusingkan saya kepada kehidupan berkeluarga pada hari ini. Dan kisah-kisah zaman muda yang tertinggal di belakang itu hanyalah gamitan suatu kenangan ... yang pastinya akan sentiasa dikenang dalam senyuman yang manis.
Gamitan Perjalanan
Selama hampir dua tahun tinggal berkeluarga di Batu Pahat merupakan suatu peralihan fasa kehidupan yang begitu mencabar. Meninggalkan alam bujang yang sungguh indah dan memasuki alam berkeluarga membuatkan saya terkapai-kapai sendiri dalam mencari arah hidup. Ini ditambah pula dengan suasana sekolah baru saya dan keadaan bandar Batu Pahat yang berserabut manambahkan lagi kegawatan di jiwa.
Sesekali bersendirian di kamar melihat kembali gambar-gambar kenangan masa muda yang berselirat membuatkan hati menjadi rindu. Mengembara, merantau dan berpetualang di merata-rata tempat dengan hanya membawa diri sendiri tanpa berteman adalah kesukaan bagi diri saya yang sebenar-benarnya. Ia memberi saya peluang melihat alam dengan lebih luas di samping mencari cerita-cerita lama yang mungkin boleh dicoretkan kembali di dalam blog perkongsian ini.
Gamitan Perjalanan
Selama hampir dua tahun tinggal berkeluarga di Batu Pahat merupakan suatu peralihan fasa kehidupan yang begitu mencabar. Meninggalkan alam bujang yang sungguh indah dan memasuki alam berkeluarga membuatkan saya terkapai-kapai sendiri dalam mencari arah hidup. Ini ditambah pula dengan suasana sekolah baru saya dan keadaan bandar Batu Pahat yang berserabut manambahkan lagi kegawatan di jiwa.
Sesekali bersendirian di kamar melihat kembali gambar-gambar kenangan masa muda yang berselirat membuatkan hati menjadi rindu. Mengembara, merantau dan berpetualang di merata-rata tempat dengan hanya membawa diri sendiri tanpa berteman adalah kesukaan bagi diri saya yang sebenar-benarnya. Ia memberi saya peluang melihat alam dengan lebih luas di samping mencari cerita-cerita lama yang mungkin boleh dicoretkan kembali di dalam blog perkongsian ini.
Tetapi itu dahululah ... pada suatu ketika yang telah lama saya tinggalkan. Masakan mampu untuk saya kini berpisah dengan isteri dan anak yang saban masa terlihat di persekitaran mata. Berjalan dan melihat dunia bersendirian bukan lagi kemampuan bagi diri saya. Tetapi ,sesekali keinginan itu tetap datang dengan begitu halus menusuk ke ruang nurani ini. Betapa makin dielakkan, maka semakin kuat ia menyerang tanpa rasa belas ihsan. Akhirnya ia seakan-akan sukar dibendung lagi ....... dan akhirnya saya menyerah kalah.
Keretapi Malam
Sejak dari dulu lagi saya begitu kepingin untuk merasai pengalaman menaiki keretapi malam melalui landasan cawangan pantai timur yang sememangnya masih mengekalkan gaya lama dan klasik. Sayangnya keinginan itu tidak pernah menjadi kenyataan walaupun diusahakan beberapa kali. Semasa di Kapit, teman sebilik saya berasal dari Tumpat, dan beliau beberapa kali mengajak saya berkeretapi ke kampungnya. Namun itulah, rezeki saya masih belum tiba untuk perjalanan itu.
Sejujurnya seringkali juga saya bercerita kepada isteri tentang keinginan saya itu dan si isteri hanya tersenyum sahaja mendengarnya. Sejak awal perkenalan sehinggalah ke hari ini, isteri saya sememangnya sudah masak sangat dengan kerenah hidup saya. Sedari tahun 2013 lagi saya sudah mula berkira-kira untuk melakukan perjalanan menaiki keretapi malam ini. Namun apabila memikirkan soal isteri dan anak, ianya terus hilang begitu sahaja dan kekal sebagai satu keinginan yang tiada berpenghujung.
Rupa-rupanya dalam diam-diam, isteri saya sebenarnya sudah memberi lampu hijau untuk saya melakukan perjalanan itu. Cumanya ia perlulah direncanakan dengan teliti dan perkara yang paling penting si isteri mahu berada di kampungnya di Gemas bersama keluarga semasa ketiadaan saya. Ah ... ini suatu peluang yang tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Ia seolah-olah memberikan saya kekuatan masa muda semula.
Asalnya perancangan awal adalah untuk menaiki keretapi dari stesen keretapi Kluang. Namun setelah difikirkan syarat si isteri yang mahu bersama keluarganya sepanjang ketiadaan saya membuatkan saya menukar perancangan iaitu menaiki keretapi malam dari stesen keretapi Gemas menuju ke Tumpat, Kelantan. Setidak-tidaknya ini suatu keputusan menang dan menang antara kami berdua. Hahaha
Cuti Sekolah Dan Tiket
Saya mengambil keputusan untuk mempergunakan masa yang ada dalam cuti sekolah pertengahan tahun 2014 ini bagi merealisasikan perjalanan ini. Sahabat saya yang berasa dari Tumpat iaitu cikgu Kumaresan telah dimaklumkan lebih awal berkenaan perjalanan saya ini.
Akibat dari beberapa masalah peribadi, saya tidak dapat membeli tiket lebih awal dan keadaan ini telah menyebabkan tiket bagi perjalanan ke pantai timur bagi tarikh yang saya inginkan telah habis. Hal ini hampir-hampir sahaja membuatkan saya membatalkan hasrat untuk berkeretapi ke Pantai Timur namun menjelang saat-saat akhir, pihak KTMB telah menyediakan gerabak-gerabak tambahan dan melalui pertolongan seorang anak saudara yang bekerja sebagai pemandu lokomotif KTMB, tiket perjalanan malam ke Tumpat telah dapat saya miliki. Maka dengan secara tidak langsung perjalanan saya akan bermula .....
Syukur.. masih ada lagi tiket untuk saya
Malam itu saya dihantar oleh isteri, anak dan beberapa orang anak saudara ke stesen keretapi Gemas yang baru sahaja siap bagi menggantikan stesen keretapi lama. Walaupun selalu ke Gemas, namun saya tidak pernah berkunjung ke stesen keretapi yang baru ini. Hal ini amat berbeza ketika stesen keretapi Gemas lama masih beroperasi dahulu, memang saya sering ke sana sama ada bagi tujuan fotografi ataupun secara suka-suka. Malahan sesi penggambaran perkahwinan saya dahulu juga pernah dirakamkan di stesen lama Gemas ini. Tidak hairanlah rasa kenangan saya kepada stesen keretapi Gemas yang lama agak kuat sehingga membunuh keinginan saya untuk meninjau-ninjau keunikan stesen keretapi barunya.
Berat juga hati mahu meninggalkan anak dan isteri di rumah mertua. Melihatkan anak yang menangis mahu mengikuti saya membuatkan hati berfikir dua kali untuk meneruskan perjalanan. Alhamdulillah selepas didukung dan dipujuk, anak kecil yang manis itu kembali tersenyum. InsyaAllah, ayah akan pulang lusa nanti. Oleh kerana hari yang sudah menjangkau lewat malam, saya menyuruh isteri saya pulang lebih awal dan tidak perlu menunggu sehingga keretapi saya tiba. Isteri saya mengikuti sahaja suruhan saya dan sekurang-kurangnya ia mengembalikan semula ingatan-ingatan saya pada zaman bujang yang bersendirian.
Anak dan isteri menghantar saya di stesen
keretapi baru Gemas
Saya memerhatikan keadaan dan suasana di steseen keretapi baru Gemas ini. Ternyata ia sebuah binaan moden yang serba lengkap. Masuk sahaja di pintu utama stesen, saya terpandang sebuah lukisan yang suatu ketika dahulu diletakkan tergantung di dinding kawasan legar stesen keretapi lama Gemas. Syukur Alhamdulillah, kini lukisan itu digantung pula pada dinding stesen keretapi baru ini. Terasa lukisan itu masih mempunyai auranya yang tersendiri. Bagaikan denyut stesen keretapi lama Gemas masih terasa disini walaupun ia telah lama ditinggalkan.
Gambar yang tergantung di
stesen keretapi baru Gemas ini
dahulunya pernah tergantung di stesen
keretapi lama Gemas.
Agak ramai juga penumpang yang menantikan keretapi pada malam ini. Kebanyakan dari mereka berkemungkinan berasal dari negeri Kelantan. Ianya berdasarkan dari loghat percakapan yang saya dengari dari perbualan mereka. Saya pula bagaikan tidak bernafsu untuk berbual-bual. Saya lebih selesa mengelamun memikirkan pelbagai hal.
Suasana malam di stesen keretapi baru Gemas
Terasa juga suasana yang agak sunyi di stesen ini akibat dari saiznya yang agak besar. Sesekali saya berlegar-legar di persekitarannya. Beberapa petugas KTMB dilihat sibuk dengan tugasan masing-masing. Sesekali ada juga yang melemparkan senyuman kepada saya, dan saya membalaskan dengan senyuman yang tawar. Terasa agak panas suhu di sekitar stesen ini. Berbeza dengan nuansa stesen keretapi lama Gemas yang terbuka dan segar. Memang terasa begitu sukar untuk saya agar tidak membandingkan antara dua buah stesen keretapi yang menjulang nama pekan Gemas ke seluruh pelusuk negara dan dunia ini.
Perjalanan Bermula
Menjelang jam 11.30 minit malam keretapi yang dinantikan tiba dari Kuala Lumpur. Bagi perjalanan ini, saya menaiki tren Ekspres Senandung Wau. Sebagai stesen yang menjadi titik pertemuan antara landasan cawangan pantai barat, pantai timur dan selatan, terdapat beberapa keunikan berkaitan keretapi yang boleh kita lihat disini.
Ekspres Senandung Wau tiba di stesen keretapi baru Gemas
Salah satunya ialah arah pergerakan keretapi atau tren. Sebagai contoh seperti keretapi yang saya naiki pada malam ini datang dari arah Kuala Lumpur ( landasan cawangan pantai barat ). Apabila sampai ke Gemas, keretapi akan berhenti sebentar bagi tujuan pertukaran lokomotif. Hal ini berlaku akibat dari arah perjalanan yang berbeza. Ini bermakna jika pada perjalanan sebelumnya ( Kuala Lumpur - Gemas ), lokomotif yang menarik gerabak akan berada di hadapan dan apabila di Gemas lokomotif baru akan disambungkan pula di bahagian belakang untuk menarik gerabak melalui landasan pantai timur.
Jika tidak silap dalam pengamatan saya, lokomotif yang tiba dari Kuala Lumpur di stesen Gemas ini ialah dari kelas 24. Penumpang berpusu-pusu masuk ke dalam gerabak manakala saya pula lebih selesa menunggu terlebuh dahulu. Seorang lelaki Cina yang lalu berhampiran dengan saya mengajak saya masuk sekali bersamanya dan tanpa banyak bicaya saya mengekorinya. Seorang kakitangan KTMB membantu kami berdua mencari tempat duduk ( katil ) mengikut nombor yang tertera pada tiket.
Lokomotif KTMB Kelas 24
Saya agak beruntung apabila mendapat katil di bahagian bawah. Tingkap yang luas memberikan peluang kepada saya untuk melihat panorama sepanjang perjalanan. Dengan tilam dan bantal kecil yang agak empuk, ia sekurang-kurangnya memberikan sedikit keselesaan kepada diri saya. Suatu ketika dahulu, ramai yang berhati-hati untuk meletakkan kasut mereka di bawah katil kerana bimbang kasut itu akan dicuri. Namun demikian dari pemerhatian saya kini penumpang sudah ramai yang meletakkan kasut di bawah katil dan yakin akan keselamatan barangan mereka.
Keadaan tempat duduk ( katil ) saya
Suasana di dalam gerabak
Tidak berapa lama kemudian, keretapi mula bergerak meninggalkan stesen Gemas. Dalam cahaya yang berbalam-balam dapat saya lihat perubahan yang berlaku pada kawasan di persekitaran stesen keretapI Gemas. Bangunan-bangunan lama KTMB sudah banyak yang tiada dan digantikan dengan bangunan yang baru. Mujur juga bangunan stesen lama masih dikekalkan. Dari sumber-sumber yang saya dengari, stesen keretapi lama Gemas akan dijadikan muzium atau galeri. Pasa saya itu adalah suatu tindakan yang tepat kerana ia secara tidak langsung mengabadikan memori stesen-stesen keretapi lama yang sememangnya sudah agak sukar untuk ditemui kini.
Stesen Keretapi Lama Bahau Yang Hilang
Stesen lama Bahau sebelum dirobohkan
( foto : http://www.maarofkassim.com/ )
Saya pernah ke Bahau beberapa kali dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Sayangnya, tidak pula terlintas di hati saya untuk singgah melihat-lihat sebentar stesen keretapinya yang klasik. Pada fikiran saya mungkin pada waktu-waktu yang terkemudian saya boleh singgah ke stesen ini dan yakin ianya tidak akan dirobohkan. Itulah ruginya saya apabila berfikir secara singkat dan kesannya kini stesen lama itu sudah tiada lagi wujud di dunia ini apabila ianya telah diruntuhkan bagi memberi laluan kepada pengoperasian stesen keretapi Bahau yang baru. Maka terbunuhlah satu lagi riwayat stesen keretapi lama di negara kita dan secara jujur saya amat menyesalinya !.
Hal ini selanjutnya membuatkan gamitan dan kegembiraan perjalanan saya bagaikan menghilang dan mata yang semakin kuyu membawa saya terus ke alam lena. Walaupun sesekali tersedar akibat gegaran, namun mudah pula mata saya untuk terpejam semula. Tambahan pula di luar tingkap hanyalah kegelapan malam yang membungkam dan saya menikmati tidur itu dengan rasa yang indah.
Saya tersedar dari tidur ketika jam di tangan sudah menunjukkan jam 2.30 pagi. Ketika itu barulah saya terasa lapar. Mujur juga semasa dalam perjalanan ke stesen keretapi Gemas tadi saya sempat membeli burger dan air mineral. Terasa begitu enak menikmati hidangan yang ringkas itu bersendirian di ruangan kecil gerabak keretapi ini. Sesuatu yang agak merimaskan saya ialah cuma ada satu sahaja bantal yang disediakan dalam sesuatu ruangan tempat tidur. Sejujurnya saya memang sudah terbiasa tidur dengan menggunakan bantal peluk. Hal ini membuatkan saya merasa agak tidak selesa. Mujur juga ada beg sandang dapat juga dijadikan bantal peluk.
Stesen Demi Stesen
Selepas sahaja makan terasa mata saya begitu sukar untuk dilelapkan. Saya mengambil peluang untuk berjalan-jalan di sekitar gerabak. Saya mahu mencari gerabak kantin dan menikmati secawan kopi. Sayangnya semakin jauh saya berjalan dari satu gerabak ke satu gerabak tidak pula saya berjumpa dengan gerabak kantin tersebut. Hairan juga memikirkan hal tersebut. Seorang lelaki yang saya jumpa memberitahu tiada gerabak kantin untuk perjalanan pada hari tersebut. Beliau sendiri tidak pasti kenapa keadaan sedemikian berlaku. Ah .... berlaparlah agaknya pengguna keretapi malam ini sepanjang perjalanan.
Stesen keretapi Mentakab Pahang
Stesen Kuala Krau Pahang
Stesen Jerantut
Stesen Kuala Lipis yang klasik
Perut Berkeroncong
Saya tersedar beberapa kali terutama ketika keretapi singgah sebentar di mana-mana stesen bagi tujuan menurunkan penumpang. Dapat juga saya mengambil gambar suasana malam di stesen-stesen berkenaan. Mungkin ramai yang suatu ketika dahulu pernah bersama-sama keluarga menunggu atau menghantar seseorang pada waktu malam di stesen keretapi. Kini suasana itu bagaikan sudah hampir pupus. Namun di landasan pantai timur ini, suasananya cukup-cukup meriah walaupun hari telah lewat malam. Penumpang turun dan disambut oleh ahli keluarga di stesen. Ah .... inilah nikmat menaiki keretapi. Ia tetap akan mengembalikan kenangan bagi yang memahaminya.
Jam 5.30 pagi, saya mula sedar dari tidur. Ia sebenarnya adalah suatu kebiasaaan bagi saya untuk bangun pada jam berkenaan. Perut sudah mula berkeroncong. Baki air mineral sudah semakin berkurangan. Perjalanan masih jauh. Ketika duduk melunjurkan kaki yang kepenatan, seorang petugas tren menyapa saya dengan mesra. Dari maklumatnya, keretapi berkenaan sudah memasuki kawasan dalam negeri Kelantan. Dengan segera saya terbayang akan stesen keretapi Gua Musang yang klasik. Saya berkira-kira untuk mencari makanan di stesen keretapi Gua Musang andainya keretapi ini singgah di sana nanti.
Keadaan di luar jendela sudah mulai berubah. Suasana gelap secara perlahan-lahan menjadi cerah dan cahaya matahari mula membeli suasana hari. Keadaan di dalam gerabak juga sudah mula hingar-bingar. Beberapa orang anak kecil berlari-lari di kawasan laluan gerabak. Saya keluar ke tandas untuk membasuh muka. Terasa sedikit segar apabila wajah disentuhi oleh air.
Seorang anak kecil yang ceria berlarian di dalam gerabak
Panorama pagi yang menyegarkan
Terbayang di kepala tentang beberapa maklumat yang diperoleh di internet berkenaan dengan stesen keretapi Gua Musang lama yang terletak di pinggir kawasan yang berbukitan. Namun saya sedia maklum bahawa sebuah stesen keretapi baru telah dibina bagi menggantikan peranan stesen keretapi lamanya. Bagaimanapun stesen keretapi lama tersebut masih dikekalkan bagi memberi makna sejarah yang begitu besar kepada sejarah perkhidmatan keretapi negara kita khasnya bagi negeri Kelantan.
Memandangkan bagi perjalanan kali ini gerabak kantin tidak dijalankan sekali maka perkerja KTMB menjual makanan dan minuman dengan menggunakan troli. Saya mengambil kesempatan untuk membeli air MILO panas pada harga RM3.00. Sayangnya, makanan yang dijual cuma roti bakar dan yang paling menyedihkan telah habis terjual. Ah ... perut ini semakin berkeroncong.
Minum pagi di dalam gerabak yang tenang
Keretapi cuma singgah sebentar sahaja di stesen keretapi Gua Musang. Keadaan di stesen ini agak sibuk dengan hingar bingar penumpang. Tidak pula saya berjumpa dengan penjual makanan di stesen ini. Memandangkan ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke negeri Kelantan dengan menggunakan perkhidmatan keretapi, timbul juga perasaan bimbang untuk turun melihat-lihat sekitar stesen ini sambil mencari nasi kerabu yang sememangnya menjadi makanan kegemaran saya sejak dari zaman belajar di UPSI dahalu. Nampaknya kekallah saya berlapar ... mungkin sekurang-kurangnya untuk tiga jam perjalanan lagi.
Sejenak di Stesen Keretapi Gua Musang yang baru
Gerabak yang membawa saya
Bukit batu kapur yang melatari pemandangan di stesen
keretapi Gua Musang
Jambatan Guillemard
Keretapi yang saya naiki terus melalui dan singgah di beberapa buah stesen utama seperti stesen Kemubu dan Dabong. Apabila singgah di Dabong fikiran saya teringat dengan seorang teman dari Dabong yang sama-sama belajar di UPSI Tanjong Malim kira-kira 10 tahun yang lepas. Saya sendiri sudah kelupaan namanya. Tamat sahaja zaman belajar dan masing-masing ditugaskan mengajar di merata-rata tempat diseluruh Malaysia, boleh dikatakan sukar lagi untuk bertemu dan berjumpa. Hanya ingatan-ingatan lama seperti ini sahajalah yang mampu membeli sedikit kenangan berkenaan insan-insan yang pernah saya bersua dan kenali. Apapun ia tetap membeli kenangan lama saya yang berjuta itu.
Tidak tahu kenapa saya begitu tertarik dengan
binaan ini yang terletak tidak jauh
dari stesen keretapi Kemubu
Berselisih dengan macha YDM
Dari cerita teman-teman yang berasal dari Kelantan ketika belajar di UPSI dahulu, kawasan Dabong boleh dikirakan antara kawasan yang agak hulu bagi negeri Kelantan. Menurut mereka lagi keretapi masih lagi merupakan pengangkutan yang paling penting bagi membawa pelajar pergi dan balik ke sekolah. Jika melihat kepada keadaan stesen keretapi Dabong ini, dapat dilihat ia sebuah stesen keretapi yang agak sibuk walaupun saiznya agak kecil. Beberapa orang petugas stesen sibuk dengan urusan masing-masing dan agak ramai juga penumpang yang naik di stesen ini !
Papan tanda lama stesen keretapi Dabong
Papan tanda yang lebih moden
Petugas di stesen keretapi Dabong
Suasana di sekitar stesen keretapi Dabong
Dari Dabong, keretapi terus bergerak menuju ke Kuala Krai. Ketika inilah saya dapat melihat suasana sebenar perjalanan keretapi melalui belantara hijau negeri Kelantan. Di luar jendela keretapi hanya hutan yang merimbun. Sesekali dapat dilihat rumah-rumah penduduk desa dan ladang-ladang kecil. Terasa tenang melihat kedamaian di luar jendela keretapi ini. Bertuahnya diri masih lagi dapat melihat suasana seperti ini ketika tahap urbanisasi negara yang sudah berkembang dengan pesatnya. Sekurang-kurangnya disini nilai-nilai tradisi dan nostalgia masih tersemat kukuh bagi yang benar-banar mencarinya. Syukur ... saya menikmatinya disini !
Rimbun hijau yang menyegar
Saya berjalan keluar ke tandas. Beberapa penumpang tersenyum memandang saya. Dari perbualan mereka jelas mereka memang berasal dari Kelantan. Mahu berbual terasa pula berat lidah ini. Seorang pakcik memandang saya dengan tersenyum. Saya membalas senyumannya dan menyapanya dengan mesra. Bagai tidak percaya pula apabila pakcik itu menyatakan beliau berasal dari Perak dan sudah hampir 30 tahun bermastautin di negeri Kelantan. Paling nyata loghat Peraknya masih pekat. Banyak juga yang kami bualkan dan beliau memberi kata-kata semangat untuk saya untuk terus berjalan-jalan melihat negara Malaysia ini walaupun telah berkahwin. Saya hanya tersenyum tawar mendengar kata-katanya. Terasa masa dan usia sudah semakin suntuk untuk cita-cita itu.
Papan tanda stesen keretapi Kuala Krai
Suasana di stesen keretapi Kuala Krai
Di stesen keretapi Kuala Krai, keretapi singgah agak lama. Dari pemerhatian saya, stesen Kuala Krai mungkin menjadi antara stesen keretapi yang paling penting di jajaran Pantai Timur. Ini dapat dilihat dari begitu banyak aset-aset milik KTMB yang terdapat disini. Saya juga dapat melihat bangunan-bangunan lama milik KTMB masih lagi digunakan disini. Sebuah kuarters lama yang diperbuat dari kayu juga sempat saya rakamkan. Secara sepintas lalu dapat saya rasakan suasana disini hampir-hampir sama dengan suasana di stesen keretapi Gemas yang lama.
Panorama klasik di stesen keretapi Kuala Krai
Jambatan Guillemard
( sumber : Google )
Ada dua perkara yang menjadikan jajaran landasan keretapi Pantai Timur begitu unik pada pandangan saya. Pertamanya ialah kewujudan beberapa terowong yang menjadi laluan landasan keretapi ini. Yang keduanya ialah Jambatan Guillemard yang secara tidak rasminya menjadi mercu tanda sebenar landasan jajaran Pantai Timur. Jambatan Guillemard ini merupakan jambatan keretapi yang paling terpanjang di Malaysia. Ianya merentangi Sungai Kelantan dan diperbuat daripada besi. Jambatan ini mula dibina pada tahun 1920 dan pembinaannya tamat pada tahun 1924. Ketika perang dunia kedua, jambatan ini telah diletup dan dimusnahkan oleh tentera British bagi menghalang kemaraan tentara Jepun. Setelah perang dunia kedua tamat, jambatan ini dibaik pulih semula dan dibuka pada tahun 1948.
Gambar Arkib Negara Malaysia yang menunjukkan
Jambatan Guillemard telah diletup dan dirobohkan
bagi menghalang kemaraan tentera Jepun dalam
peperangan dunia kedua.
Pada mulanya saya tidak menyedari bahawa saya sedang melalui jambatan Guillemard. Ketika itu saya sibuk mengelamun memandang pemandangan di luar jendela yang begitu mengasyikkan. Saya dikejutkan ketika pandangan saya diganggu oleh besi-besi yang meninggi. Lama saya berfikir seolah-olah pernah melihat bentuk besi-besi yang meninggi seperti itu di internet. Lama berfikir barulah saya sedari bahawa kini saya telah bertemu dengan Jambatan Guillemard yang begitu gah. Sayangnya saya hanya dapat mengambil gambar dari jendela sahaja. Sungai Kelantan yang luas dan keruh itu dapat saya lihat dibawahnya. Ah ... alangkah hebatnya kejuruteraan dalam membina jambatan sekukuh ini. Sudah hampir 70 tahun berdiri ... ia tetap kukuh dalam merintangi cabaran masa dan cuaca.
Melalui Jambatan Guillemard yang
merentangi Sungai Kelantan
Menikmati Kuih Tradisi Kelantan
Ketika enak melihat pemandangan di sepanjang perjalanan saya dikejutkan dengan sapaan seorang lelaki yang memakai kopiah. Di tangannya terdapat bungkusan-bungkusan berisi telur rebus, ubi rebus dan beberapa kuih tradisi negeri Kelantan jika tidak salam dalam ingatan saya. Beliau bertanyakan kepada saya jika ingin membeli makanan yang dibawanya. Saya yang sememangnya sudah lapar memandangnya dari atas ke bawah dan berharap ada nasi kerabu turut dijualnya sekali. Sayangnya memang itu sahajalah yang dijualnya.
Mahu tidak mahu saya membeli sejenis kuih yang dibungkus seperti ketupas palas. Sangkaan saya pasti kuih tersebut ialah ketupat palas yang berinti serunding ikan bilis, ayam atau daging. Tetapi sebaik sahaja membuka balutan kuih berkenaan warnanya ialah keperangan dan rasanya manis. Jika tidak silap saya kuih berkenaan diperbuat daripada tepung ubi. Namanya sahaja yang saya tidak ketahui ... mungkin juga ketupat palas cuma dalam jenisan yang berbeza.
Sangat enak dan membantu mengurangkan kelaparan
Tidak berapa lama kemudian, saya akhirnya tiba di stesen keretapi Tanah Merah, Saya sempat meninjau-ninjau keadaan stesen keretapi Tanah Merah ini yang kelihatan agak moden dan besar. Seperti juga stesen-stesen keretapi yang telah saya singgahi sebelum ini, keadaan di stesen ini juga agak sibuk dengan urusan manusia. Kedudukan stesen keretapi ini agak berdekatan dengan bandar maka tidak hairanlah saya dapat melihat kesibukan suasana bandar Tanah Merah dari jendela keretapi.
Stesen keretapi Tanah Merah
Suasana di stesen keretapi Tanah Merah
Papan tanda stesen keretapi Tanah Merah
Saya juga teringatkan beberapa orang teman rapat yang berasal dari kawasan Tanah Merah ini. Kini kebanyakan dari mereka tinggal berjauhan dari Tanah Merah dan berkhidmat sebagai guru di seluruh negara Malaysia ini. Alhamdulillah sejak dari zaman belajar hingga kini saya sentiasa mempunyai teman-teman baik yang berasal dari negeri Kelantan. Ketika di UPSI teman sibilik saya yang rapat dan masih berhubungan dengan saya sehingga kini bernama Cikgu Mohd Hezree Mohd Noor berasal dari Bachok. Ketika saya berkhidmat di Kapit Sarawak, yang menjadi teman rapat saya ialah Cikgu Kumaresan seorang lelaki peranakan India dan Siam yang berasal dari Tumpat. Itu belum dikira dari beberapa orang gadis manis dari Kelantan yang suatu ketika dahulu pernah datang singgah di hati saya .... ah lupakanlah. Biarkanlah semuanya tinggal sebagai suatu kenangan yang manis.
Keretapi Lewat Sampai
Ketika inilah jumlah penumpang sudah semakin berkurangan. Saya keluar dari tempat ( katil ) saya dan merayap ke dalam gerabak yang lain. Ada gerabak yang sudah tiada penumpang. Ketika itu saya disapa oleh seorang kakitangan KTMB yang sedang duduk di salah sebuah kerusi. Dapat juga saya berbual-bual dengannya. Dari maklumat yang saya perolehi daripadanya, berkemungkinan keretapi ini akan tiba lewat ke stesen keretapi Tumpat. Saya hanya tersenyum tawar.
Saya kembali semula ke tempat duduk saya dan mula merasa kepenatan perjalanan. Berkemungkinan saya akan sampai ke stesen Tumpat pada jam 12.30 tengah hari. Campur tolak jumlah keseluruhan perjalanan saya dari Gemas mengambil masa selama 13 jam. Saya sebenarnya lapar dan berharap agar cepat sampai agar saya boleh menikmati nasi kerabu yang sangat saya idam-idamkan itu. Tambahan pula saya masih belum mandi pagi maka timbul sedikit ketidak keselesaan dalam diri. Namun saya perlu lebih kuat ... inilah cabaran sebagai seorang pengembara amatur. Hahahahaha
Stesen yang seterusnya ialah stesen Pasir Mas. Dahulu pernah seorang teman yang mungkin sekadar bergurau menyatakan kepada saya bahawa gadis-gadis yang paling cantik di negeri Kelantan banyak terdapat di Pasir Mas dan Pasir Puteh. Tidak pula saya mengambil katanya itu bulat-bulat. Tetapi lama kelamaan apa yang disebutnya itu seperti ada kebenarannya yang tersendiri. Ramai teman-teman guru perempuan saya yang berasal dari kedua-dua tempat ini cantik dan manis wajahnya. Paling penting mereka ini berkulit cerah dan sesetangahnya walaupun berkulit sawo matang tetapi masih mempunyai potongan badan dan wajah yang menarik. Tetapi itu pada pandangan sayalah .... tidak pula saya mengetahui apa pula pandangan pembaca budiman yang lain ... hahahaha.
Benarkah ramai gadis-gadis manis di Pasir Mas dan Pasir Puteh ?
Apa yang menarik perhatian saya disini ialah terdapat sebuah pasar minggu yang terletak tidak jauh dari kawasan stesen ini. Suasananya agak padat dan meriah. Saya yang sememangnya suka akan pasar-pasar sedemikian terasa seolah-olah mahu sahaja turun dari keretapi dan berjalan-jalan di pasar itu sebentar. Saya berharap suatu masa dan ketika nanti saya dapat membeli belah di pasar berkenaan sambil menikmati suasana dan kemeriahannya. InsyaAllah.
Papan tanda stesen keretapi Pasir Mas
Deretan gerai di pasar minggu tidak jauh dari stesen keretapi
Pasir Mas
Stesen Keretapi Wakaf Baru Dan Gadis Manis
Papan tanda stesen keretapi Wakaf Bharu
Sampai sahaja di stesen Wakaf Bharu cuma tinggal saya sahaja penumpang yang masih tinggal di dalam gerabak. Hampir kesemua penumpang turun di stesen ini. Mungkin disebabkan kedudukan stesen ini yang berhampiran dengan bandar Kota Bharu adalah tidak menghairankan banyak penumpang akan turun di stesen ini. Saya memandang lesu deretan manusia di luar jendela keretapi. Beberapa gadis manis tersenyum memandang saya yang keletihan.
Secara tiba-tiba tiga orang gadis manis masuk dan duduk di dalam gerabak yang saya naiki. Pada perkiraan saya mereka adalah adik beradik. Mereka turut membawa beg yang agak besar. Berdebar-debar juga hati saya memandang ketiga-tiga gadis yang muncul secara tidak diundang itu. Saya memandang mereka itu satu persatu dan diakui wajah ketiga-tiganya punya tarikan yang tersendiri. Seorang dari mereka memberikan senyuman yang manis kepada saya dan saya membalasnya dengan senyuman tanpa sedar. Terasa jiwa menjadi muda pula ketika ini.
Saya tidak mengendahkan sangat kehadiran ketiga-tiga gadis berkenaan. Mungkin mereka memerlukan gerabak yang masih mempunyai penumpang bagi menghilangkan kegusaran atau masuk ke gerabak yang mempunyai katil untuk menumpang baring dan berehat. Dua orang dari gadis tersebut memang kelihatannya masuk ke dalam katil dan berbaring manakala yang tersenyum dengan saya tadi terus hanya duduk dan memandang saya. Berderau juga darah saya melihatnya. Dalam hati saya berdoa supaya keretapi ini cepat-cepat sampai ke stesen Tumpat. Hahahaha.
Selamat Tiba Di Tumpat
Papan tanda stesen keretapi Tumpat
Akhirnya saya tiba ke stesen keretapi Tumpat pada jam 12.30 tengah hari. Sahabat saya Cikgu Kumaresan seudah sedia menanti di luar stesen. Inilah stesen yang terakhir dalam jajaran landasan cawangan pantai timur semenanjung. Tidak ramai yang turun di stesen ini dan boleh dikira dengan jari bilangannya termasuklah saya bersama ketiga-tiga gaid manis tadi. Saya bersiar-siar dahulu menikmati keunikan stesen keretapi Tumpat ini.
Suasana di sekitar platform stesen keretapi Tumpat
Ruang legar dan kaunter tiket
Kerusi menunggu bagi penumpang
Tandas awam
Papan kenyataan maklumat
Saya berkesempatan melihat gerabak "Blue Train " atau Blue Coach - Malayan Tiger Train ( MTT ) yang dihadiahkan oleh kerajaan Jepun kepada Malaysia disini. Dari apa yang saya ketahui usia gerabak berkenaan sudah menjangkau hampir 50 tahun namun hasil dari sikap masyarakat Jepun yang berdisiplin dalam penjagaan dan penyelenggaraan maka gerabak ini tetap masih utuh untuk digunakan sehingga kini.
Gerabak Blue Train hadiah dari kerajaan Jepun
kepada kerajaan Malaysia
Sebuah perahu tradisi yang menjadi mercu tanda utama
stesen keretapi Tumpat
Setelah melihat keadaan stesen keretapi Tumpat, saya berjalan kaki ke arah Cikgu Kumaresan yang sudah sedia menunggau saya dengan kereta barunya. Ketika kunjungan saya ini, beliau baru sahaja enam bulan berpindah dari pada Kapit Sarawak ke Selangor atau kira-kira setahun selepas saya berpindah terlebih dahulu. Agak kekok juga hendak memulakan perbualan setelah lama tidak bertemu.
Nasi Kukus Yang Enak
Dari Tumpat, Cikgu Kumaresan membawa saya melihat-lihat dahulu pekan Tumpat yang didiami oleh minoriti masyarakat Siam. Saya menyukai keadaan pekan kecil ini yang tenang dan mendamaikan. Beliau seterusnya terus membawa saya ke bandaraya Kota Bharu untuk menikmati makan tengah hari di sebuah restoran tidak jauh dari masjid Muhammadi. Terasa begitu berselera menikmati hidangan di restoran ini. Tambahan pula ketika itu saya memang sudah kelaparan yang maha hebat.
Selepas menikmati hidangan tengah hari Cikgu Kumaresan membawa saya untuk mandi dan bersolat Jumaat di Masjid Muhammadi yang menjadi kemegahan bagi negeri Kelantan ini. Barulah terasa kesegaran apabila badan dibasahi oleh air. Sejujurnya inilah kali kedua dalam seumur hidup saya bersoalat Jumaat di negeri Kelantan Darul Naim ini. Kali pertama dahulu jika tidak salah dalam ingatan ialah kira-kira dalam tahun 2006 di Danau Tok Uban. Kali ini saya berpeluang pula menunaikan solat Jumaat di Masjid Muhammadi Kota Bharu.
Sejenak di Masjid Muhammadi menunaikan solat Jumaat
dan sempat menumpang mandi di sini.
Beduk besar yang terdapat di Masjid Muhammadi
Usai menunaikan solat Jumaat saya meninjau-ninjau dahulu keadaan di luar masjid dan melihat penjaja yang menjual pelbagai makanan dan barangan keagamaan. Saya tertarik dengan air berjenama Red Bull yang biasanya dijual dalam bentuk tin dan botol dijual dalam bantuk cawan pada harga RM1. Saya mencuba merasa air berkenaan dan memang terasa seperti air Red Bull cumanya mungkin agak tawar sedikit apabila telah dicampur dengan ais batu. Pelik bagaimana pula peniaga ini boleh mendapat keuntungan dengan cara ini.
Saya dibawa untuk bersiar-siar dahulu di Kampung Kraftangan. Menurut Cikgu Kumaresan hari Jummat merupakan hari cuti umum di Kelantan dan banyak kedai tidak dibuka pada hari ini. Saya hanya mengangguk mengiakan pendapatnya tambahan pula niat saya ke Kelantan ini hanyalah untuk merasai kenikmatan menaiki keretapi malam sambil berjumpa dengan teman-teman lama yang berasal dari negeri serambi Mekah ini.
Singgah sebentar di Kampung Kraftangan Kota Bharu
Pada sebelah petangnya saya dibawa berjumpa dengan seorang lagi teman lama semasa sama-sama berkhidmat di SMK Kapit dahulu iaitu Cikgu Kahirulnaim. Beliau masih lagi seperti dahulu ramah dan mesra dengan saya. Teringat kenangan perjalanan kami bertiga suatu ketika dahulu ke Mukah. Terasa bagai baru sahaja berlalu segala kenangan manis sewaktu berkhidmat di Sarawak dahulu. Kini masing-masing telah meninggalkan bumi Kenyalang dan bertugas di tempat baru. Saya di Batu Pahat, Cikgu Kumaresan di Selangor dan Cikgu Khairulnaim di Pahang. Masing-masing kini punya jalan cerita kehidupan masing-masing yang tersendiri namun sesekali terasa juga segala kenangan lama dahulu masih kekal bermain-main di jiwa dan perasaan.
Cikgu Kharulnaim Husain .. teman sewaktu sama-sama
berkhidmat di SMK Kapit Sarawak dahulu.
Saya bermalam di sebuah hotel tidak jauh dari pinggir bandar Kota Bharu bersama Cikgu Kumaresan. Dahulu jika kami berdua keluar mengembara ke mana-mana tempat dalam negeri Sarawak sudah pasti berdua atau jika sesekali keluar berlibur ke Sibu pasti juga berdua. Dahulu tidur di hotel bajet bagaikan suatu kemestian dan tiada langsung perasaan takut tidur di hotel-hotel yang agak terpencil. Kini semua itu bagaikan tidak akan kembali lagi. Tinggallah ia sebagai suatu kenangan zaman anak muda kami yang penuh dengan perasaan untuk meneroka.
Selamat Tinggal Kelantan
Esoknya saya sudah bersiap-siap untuk meninggalkan negeri Kelantan. Cikgu Kumaresan membawa saya melepaskan hajat untuk makan nasi kerabu di sebuah restoran tidak jauh dari stesen bas Kota Bharu. Jika dalam perjalanan pergi, saya menaiki keretapi dan untuk perjalanan pulang pula saya memilih untuk menaiki bas. Sengaja saya memilih bas untuk merasai pengalaman baru melalui jalan yang tidak pernah saya lalui dalam seumur hidup saya.
Melepaskan hajat menikmati nasi kerabu Kelantan
Tiga belas jam menaiki keretapi dan menikmati keindahan senyuman seorang gadis membuatkan saya berfikir saya bukan lagi semuda yang dahulu. Kekuatan dan kemampuan saya juga sudah semakin menipis. Namun saya bersyukur kerana dapat menunaikan hasrat yang telah lama terbuku di hati ini tanpa sebarang masalah. Perjalanan ini walaupun hanya sebuah perjalanan yang ringkas namun cukup banyak membuatkan saya membeli semula segala kenangan-kenangan lama yang sudah lama saya tinggalkan. Tidak hairanlah dalam penceritaan kali ini begitu banyak cerita kenangan yang dimasukkan sekali dalam setiap perenggan bagi mengembalikan semula nostalgia silam itu.
Tepat jam 11.00 malam bas yang saya naiki memasuki terminal one Seremban. Maka saya menamatkan perjalanan saya untuk kali ini. Namun sesuatu yang sentiasa segar dalam ingatan saya ialah pada sebuah keretapi malam yang bergerak sayup .... ia memberikan saya suatu perjalanan yang membeli jutaaan kenangan yang indah !.
Catatan : Perjalanan ini dilakukan pada bulan Jun tahun 2014 yang lalu.
2 ulasan:
Menaiki keretapi memang menggamit memori...masa zaman kanak-kanak tiada kenderaan..jd naik keretapi la blk ke kg..keretapi dulu blh buka tingkap, tarik ke bawah. Paling menarik bjln dr 1 gerabak ke 1 gerabak...☺
Seronok baca..teruskan menulis cikgu
Post a Comment