BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, October 30, 2010

Undilah Calon Barisan Nasional



Blog Indahrasa J.Malim menzahirkan sokongan sepenuhnya kepada dua calon Barisan Nasional yang bertanding dalam pilihan raya kecil N.45 DUN Galas dan P.185 Batu Sapi. Semoga Allah SWT memberi kemenangan yang cemerlang kepada Barisan Nasional. Kepada pengundi dua kawasan berkenaan pilihlah  calon parti yang mempunyai rekod cemerlang dalam mentadbir negara dan bukannya calon parti yang penuh dengan impian dan khayalan untuk mentadbir negara. 


 HIDUP BARISAN NASIONAL






Thursday, October 21, 2010

Selamat Bersidang PEKEMBAR



Saya Hafez J.Malim melalui blog indahrasajmalim mengucapkan selamat bersidang kepada semua para perwakilan PEKEMBAR di Pusat Dagangan Dunia Putra ( PWTC ). Gunakan kesempatan ini untuk mengukuhkan semula kekuatan PEKEMBAR sebagai parti dominan keramat orang - orang Melayu dan Bumiputra. Walaupun jauh di bumi Kenyalang namun hati dan semangat saya tetap bersama PEKEMBAR sampai bila - bila !!!!! InsyaAllah... 


BERJUANG DEMI BANGSA, AGAMA DAN NEGARA

Friday, October 8, 2010

Saya Pun Melayu



Baru - baru ini saya telah dicadangkan oleh seorang teman baik untuk mencuba membaca buku hasil karangan bekas menteri kerajaan Barisan Nasional yang kini bersama Parti Keadilah Rakyat ( PKR ) iaitu Datuk Zaid Ibrahim. Buku berjudul "Saya Pun Melayu"  merupakan antara buku yang terlaris di pasaran. Sebagai seorang ahli UMNO yang tegar saya merasa tiada gunanya membaca buku dari seorang yang keluar dari perjuangan UMNO. Namun setelah berfikir lama, buku itu diambil juga oleh saya untuk dibaca. Pada hemat saya tiada salahnya sekadar membaca. Mana yang baik kita ambil sebagai panduan dan mana yang salah kita jadikan sebagai iktibar.


Namun setelah membaca buku berkenaan baru saya sedar bahawa pengarangnya menulis bukan berdasarkan emosi dan nafsu semata - mata. Ulasannya terhadap beberapa isu sebenarnya boleh diambil sebagai sesuatu yang baik khususnya bagi kerajaan Barisan Nasional. Sebagai seorang Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal kehakiman dan undang -undang saya merasakan Datuk Zaid Ibrahim telah berjaya menerangkan dengan lebih jelas tentang beberapa isu yang pernah melingkari hal - hal politik dan kehakiman negara kita satu ketika dahulu. Namun dalam isu ISA, saya memang berkeras bahawa akta itu memang perlu dikekalkan. Kebanyakan isu yang diutarakannya kadang kala kelihatan liberal terutama bagi kita yang berbangsa Melayu namun jika dilihat dari cara beliau mencapai kejayaan seperti hari ini maka kita kan faham mengapa beliau beranggapan sedemikian.


Pandangan peribadi saya terhadap Datuk Zaid Ibrahim ialah beliau seorang yang punya doktrin perjuangan yang baik. Cuma mungkin beberapa perubahan yang cuba dilakukannya dahulu dirasakan agak drastik. Saya tetap menganggap beliau sebangsa dengan saya. Perjalanan hidup beliau penuh warna - warni. Beliau mungkin boleh dianggap antara produk berkualiti bangsa Melayu. Mungkin cita - citanya sahaja merubah takrifan itu menjadi sebaliknya hingga pernah kedengaran suara - suara yang memintanya keluar dari bangsa Melayu. Itu realiti yang pernah terjadi.


Secara khususnya saya merasakan buku ini baik dibaca oleh semua ahli UMNO. Jika ditinjau secara mendalam Datuk Zaid sebenarnya tidak bermusuh dengan UMNO. Saya melihat pandangannya lebih kepada membina semula kekuatan UMNO untuk melalui suatu era yang baru. Beliau masih menyanjung tinggi beberapa pemimpin UMNO dan masih juga melihat betapa besarnya sumbangan UMNO kepada bangsa Melayu. Jangan cepat melatah membaca buku ini..... isinya kita ambil sebagai resepi baru dalam perjuangan UMNO.


AKU MELAYU CELUP  !!!




Wednesday, October 6, 2010

BABI


Lewat pagi aku kesana
Ketika mentari pagi
Membunuh tapak kaki embun
……..sama sahaja seperti musim yang selalu……

Terlalu banyak bayang – bayang disitu
Tetapi warnanya aku tidak tahu
Bersilau dan berbalam
Hingga kepala ku pusing
Seperti mahu mati
………sama sahaja seperti musim yang selalu……

kenangan yang berlari pantas
seperti babi – babi hutan menyelinap
membuat hati sebak
rupanya sudah selaksa nyawa yang pergi
tertinggal batu nisan
tak terjaga --- seolah – olah ia seekor babi --- jijik
……….sama sahaja seperti musim yang selalu…….

Aku tidak tahu apa yang tertinggal
Dari celahan tingkap nya
Kutemui telaga memori
Namun air rindunya kering ….. diminum babi dahaga
Ahh….. masa telah merubah tempat ini
Untuk melupakan aku
Anak nya yang kembali
Sebentar…… bukan selamanya….

Yang kutemui Cuma
Cebisan – cebisan tulang derita
Bapa dan leluhur
Membina sayang tulus dan suci
Akhirnya mereka mati
Dibunuh babi – babi
Bernama kemodenan !

Tempat ini menjadi kandang
Nafsu moden yang menggila babi!




 sekadar gambar hiasan


Dikirim ke ruangan penyair esastera pada 5 Oktober 2010

Tuesday, October 5, 2010

Tentang Seorang Doktor .......

Seseorang pergi ke klinik kerana ingin mendapat rawatan penyakit pening kepala yang selalu dihadapinya. Penyakitnya juga melibatkan matanya kerana penglihatannya semakin hari dirasakannya semakin kabur. Namun sudah menjadi lumrah bagi sesebuah klinik kerajaan maka pesakitnya mestilah ramai terutama bagi rakyat marhaen berkelas rendah sepertinya. Namun dia tetap sabar menanti untuk menerima rawatan dari seorang manusia yang terlalu amat dihormatinya..... DOKTOR !!!!!

Kebetulan nombor giliran rawatannya tiba pada ketika masa bekerja sudah tamat dan keadaan di klinik masih ramai umat manusia yang menantikan rawatan dari seorang DOKTOR. Maka fahamilah dirinya bahawa doktor dan kakitangan klinik berkenaan terpaksa bekerja lebih masa kerana terlalu ramai yang sakit dan memerlukan rawatan. Maka terfikir lah hatinya betapa mulianya tugas DOKTOR dan betapa bodohnya dia sewaktu di sekolah dahulu tidak mahu belajar bersungguh - sungguh untuk menjadi seorang DOKTOR. Bertambah - tambahlah hatinya menghormati seorang DOKTOR. Doktor lah pekerjaan paling mulia di dunia. Membantu manusia menjadi sihat semula.... itu yang terlintas di fikirannya.


Setelah hampir tiga jam menanti maka tibalah giliran nombor rawatannya dipanggil. Betapa suka hatinya akhirnya berjaya mendapatkan rawatan dari seorang DOKTOR. Jam ketika itu sudah menunjukkan angka 5.15 petang. Sebagai orang yang hanya bekerja biasa maka pakaiannya ketika berjumpa DOKTOR itu melambangkan dirinya juga. Dia hanya memakai seluar jeans lusuh, t-shirt murah, berselipar jepun dan bertopi. Padanya itu pakaian yang disukainya sebagai seorang marhaen di sebuah negara yang merdeka. 


Diketuknya daun pintu bilik DOKTOR perlahan - lahan. Risau ketukannya yang kuat mengganggu kosentrasi DOKTOR berkenaan. Kebetulan ketika dirinya masuk DOKTOR itu sedang membasuh tangannya di pili berhampiran. Dia mengucapkan salam kepada DOKTOR berkenaan. Ucapan salamnya tidak berjawab.. mungkin DOKTOR tidak mendengar fikirnya dalam - dalam. Perasaan hormatnya kepada DOKTOR begitu menebal. Di hadapannya kini seorang DOKTOR perempuan sebangsa dengannya dan masih muda. Ucapnya di dalam hati betapa betuahnya nikmat merdeka kini anak bangsanya menjadi DOKTOR mengubati penyakit bangsanya sendiri. Alangkah bangganya dia ketika itu walaupun dia hanya bekerja biasa - biasa dan bukannya dia yang menjadi DOKTOR !!!!!


Dia pun duduk di kerusi yang disediakan. Maka diceritakan masalah penyakitnya kepada DOKTOR yang amat dihormatinya. Suaranya agak mendatar dan  keterangannya agak kurang jelas mungkin kerana segannya pada DOKTOR amat menebal. Namun secara tiba - tiba apa yang berlaku menyebabkan dia menjadi terkejut... DOKTOR itu menyergahnya dengan nada yang tinggi....


      " Awak sakit apa datang kesini ?.... cakap dengan jelas dan jangan main-main disini !!!!! "

Tergamam dirinya seketika dengan reaksi DOKTOR itu. Dengan hati yang berbaur dia menerangkan apa yang dideritainya kepada DOKTOR berkenaan selancar yang boleh. Dirinya melihat reaksi DOKTOR yang amat dihormatinya penuh dengan rasa yang tidak senang. Kata-katanya juga bernada tinggi namun dirinya tetap sabar. dirinya tahu DOKTOR terpaksa bekerja lebih masa untuk marawat dirinya yang sakit itu. Maka DOKTOR itu memeriksa dirinya. Matanya disuluh mungkin biji matanya rosak... itu yang terlintas di fikirannya. Dia tidak tahu apa - apa. Hanya DOKTOR yang tahu masalahnya.


Selepas itu, DOKTOR berkenaan menulis sepucuk surat dan diberikan kepadanya.... ringkas dan mudah ucapan DOKTOR itu...

" Esok datang semula ambil surat temujanji berjumpa DOKTOR pakar mata di Hospital.... saya tidak dapat berikan ubat hari ini. Tunggu sehingga DOKTOR pakar mata merawat kamu"

Nada suara DOKTOR itu tinggi... jam menunjukkan angka 5.25 petang. Dirinya terkedu. Sebelum keluar sempat dia mengucapkan terima kasih kepada DOKTOR berkenaan. Salam juga diberi namun tidak berjawab. Dia melangkah longlai. Sebaik memegang tombol pintu untuk keluar dia memandang DOKTOR yang amat dihormatinya itu seraya berkata.....


" Maafkan saya DOKTOR kerana mengganggu masa rehat DOKTOR.... selepas ini saya akan berdoa kepada Allah supaya saya tidak sakit lagi "

DOKTOR itu merenungnya tajam .... dirinya terus melangkah keluar. Esok dia akan datang semula mengambil surat temu janjinya dengan DOKTOR pakar mata dari DOKTOR berkenaan. Dia cuma marhaen kecil. Dirinya anak kampung yang dibesarkan dalam rasa menghormati DOKTOR sebagai insan yang mulia dan dia tidak pernah untuk meminta dihormati. Ketika pulang bersendirian diucapkannya berkali - kali di hati ......., TERIMA KASIH DOKTOR !!!!!!



Monday, October 4, 2010

Perkhemahan Motivasi PPKI SMK Kapit 2010



Agak-agaknya inilah kali pertama Program Pendidikan Khas Integrasi di bahagian Kapit ini menjalankan aktiviti perkhemahan. Bunyinya mungkin pelik bagi guru - guru pendidikan khas di kawasan bandar namun realitinya bagi sebuah program di kawasan luar bandar kami berhadapan dengan masalah " pengabaian ". Namun lupakan seketika tentang lumrah pengabaian itu, kita bercerita sejenak tentang program Perkhemahan Motivasi PPKI SMK Kapit 2010 ini.

Perkhemahan ini berlangsung pada 23 hingga 24 September 2010 yang lalu. Lokasi perkhemahan ini ialah Penempatan Rejimen 510 Rejimen Askar Wataniah Kapit. Mulanya lokasi perkhemahan adalah di kawsan sekolah namun setelah difikirkan sedalamnya saya merubah lokasi perkhemahan ke kawasan kem Askar Wataniah ini. Tuan Pengetua juga agak risau dengan perkhemahan ini namun beliau akhirnya beralah setelah saya menerangkan langkah-langkah keselamatan yang perlu.

Perkhemahan ini agak santai. Seramai 15 orang pelajar, 5 orang guru dan 3 orang pembantu pengurusan murid ( PPM ) menyertai perkhemahan ini. Faktor cuaca, masa, kos dan keselamatan pelajar adalah keutamaan saya. Kami berkumpul di sekolah tepat jam 2.30 petang ( 23 September 2010 ). Setelah semua kelengkapan perkhemahan dikumpul kami bergerak ke tapak perkhemahan dengan van yang disewa khas.


Berkumpul sebelum bertolak ke tapak perkhemahan


Kami sampai ke tapak perkhemahan kira-kira 30 minit kemudian. Tidak berlenggah pelajar dan guru bergotong royong memasang khemah. Rasa keterujaan di kalangan pelajar amat tinggi kerana ada dikalangan mereka tidak pernah langsung berkhemah. Manakala PPM yang diketuai oleh Puan Sylvia pula bertungkus - lumus menyediakan makanan untuk pelajar. 


Cikgu Merum mengawasi anak - anak PPKI memasang khemah


Pelajar - pelajar perempuan juga tidak
terkecuali memasang khemah

Aktiviti petang hari pertama adalah bergotong royong di tapak perkhemahan. Agak pening juga mengawal kerenah anak - anak PPKI namun bantuan dari guru - guru PPKI yang lain berjaya mengawal keadaan. Di dalam fikiran saya cuma runsing berdoa agar hujan tidak turun pada waktu malam. Ini kerana khemah yang disediakan bukan lah dari jenis yang terbaik. Sudah semestinya air hujan akan masuk ke khemah pelajar !!!!


Menu makan malam kami ialah sup ayam, sayur campur dan telur dadar. Selain itu Cikgu Kuiek dan Cikgu Merum pula menyediakan pansuh ayam dan ikan. Hidangan yang amat menyelerakan kami semua. Di sebalik remang malam dapat pula makan beramai - ramai terasa keseronokannya. Saya juga berbesar hati dengan lawatan dari pensyarah Institut Amunuddin Baki ( IAB ) Cawangan Sarawak iaitu Dr Hud ke perkhemahan kami. Walaupun sekadar lawatan biasa namun sudah cukup membuatkan kami dihargai.

Puan Sylvia ( kiri ) dan Puan Entia, 
dua orang PPM yang sibuk memasak


Saya membantu mengisi makan malam pelajar

Jeffery Sang dan Jackson Jelani


Pada sebelah malamnya diadakan sesi ceramah motivasi yang dijlankan oleh Cikgu Azian dari Unit Bimbingan Dan Kaunseling SMK Kapit. Sengaja saya memilih tajuk permasalahan seks dan gender supaya pelajar - pelajar lebih terbuka dalam permasalahan ini. Pelajar - pelajar dilihat agak berminat dengan tajuk ini terutamanya pelajar - pelajar perempuan. Inilah yang ingin saya terapkan supaya mereka lebih menghargai nilai kehidupan remaja mereka walaupun sebagai seorang pelajar istimewa.
Aktiviti ceramah


Sementara para pelajar sibuk mendengar ceramah, saya, Cikgu Rosman, Cikgu Merum dan Cikgu Firdaus bergotong royong membakar kepak ayam dan sosej untuk pelajar. Agak malang bagi kami hujan turun dengan agak lebat. Ini memaksa para pelajar tidur di dalam banggunan kem. Agak sukar bagi saya menerima hakikat ini setelah melihat reaksi pelajar yang kecewa tidak dapat tidur di dalam khemah. Namun keselamatan mereka lebih utama dari segalanya.


Dari kiri, Cikgu Merum, Cikgu Firdaus dan Cikgu Rosman

Kepak ayam bakar 


Keesokan paginya kami memulakan aktiviti dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu negeri Sarawak iaitu Ibu Pertiwiku. Selepas itu aktiviti senaman ringan dilakukan. Pagi ini kami akan menjalankan aktiviti "berjalan pagi". Kami akan berjalan kaki sejauh hampir 5 kilometer ( pergi dan pulang ) sambil menghirup udara pagi serta menikmati pemandangan Kapit. Walaupun kelihatan agak mudah namun sebenarnya perjalanan ini agak mencabar fizikal dan mental. Keadaan muka bumi yang berbukit - bukau sedikit sebanyak menyukarkan pergerakan kami. Namun harus diakui.... stamina pelajar - pelajar saya memang begitu hebat jika dibandingkan dengan tenaga orang berusia seperti saya ini...hehehehehhe


 Senaman pagi


 Pemandangan tapak perkhemahan


 Panorama Kampung Kemarau dari puncak bukit.. indah dan tenang


 Berhenti sebentar melepaskan lelah


Saya bergambar kenangan bersama pelajar - pelajar saya


Menu sarapan pagi kami agak istimewa. Sylvia begitu kreatif dalam hal ehwal memasak ini. Terasa begitu beruntung memiliki Pembantu Pengurusan Murid yang rajin dan dedikasi dalam menjalankan tugas. Nasi Goreng Ayam panggang, biskut, sosej dan roti adalah menu kami pagi ini. Ditambah dengan air teh o panas terasa begitu berselera sekali saya manikmati hidangan pagi kali ini. Namun sesuatu yang pasti, saya mula dapat rasakan ada satu keterikatan antara saya, teman - teman guru pendidikan khas dan pembantu pengurusan murid. Inilah kali pertama sepanjang tempoh saya berkhidmat di PPKI SMK Kapit, saya merasa seperti berada dalam sebuah keluarga. Perasaan saya agak tenteram. 


Program diteruskan dengan caramah motivasi ke dua. Seterusnya selepas itu acara sukaneka pula dijalankan. Cikgu Rosman yang menjadi ketua bagi acara ini. Terasa begitu menghiburkan melihat anak - anak PPKI bermain acara sukaneka. Turut sama pada ketika ini ialah Penolong Kanan Pentadbiran SMK Kapit Cikgu Kuiek Bon Siau yang banyak membantu dalam menjayakan aktiviti perkhemahan ini. Malahan beliau juga turut serta bersama pelajar.



Beberapa gambar ketika aktiviti sukaneka


Walaupun hanya satu perkhemahan mudah dan ringkas namun saya amat berpuas hati. Dapat dirasakan kepuasan setelah melihat keseronokan pelajar terhadap perkhemahan ini. Walaupun penat namun saya gembira dapat menganjurkan perkhemahan ini. Tepat jam 12 tengah hari kami mula bergerak pulang. Saya dan Cikgu Firdaus terpaksa pula menghantar seorang pelajar PPKI pulang ke rumahnya. Dengan menaiki motor saya kami bergerak ke rumahnya yang memakan masa hampir 40 minit masa perjalanan. Dengan laluan balak yang mencabar terdetik di fikiran saya sendiri ..... " adakah cikgu - cikgu pendidikan khas di Semenanjung merasa kesusahan kami di sini ?" ...... hati saya terus menangis!!!!!








Tuesday, September 28, 2010

Lawatan Ke Rumah Lintang, Nanga Miaw, Katibas, Song

Pada 25 September 2010 yang lalu saya menyertai rakan - rakan guru Semenanjung yang bertugas di Kapit mengadakan lawatan sosial ke Rumah Panjang TR Lintang, Nanga Miaw Katibas Song. Lawatan ini diketuai oleh Cikgu Kuiek Bon Siau selaku Penolong Kanan Pentadbiran SMK Kapit Tujuan lawatan ini lebih menjurus kepada memberi pengalaman kepada guru - guru yang berasal dari Semenanjung berkaitan dengan cara hidup dan budaya masyarakat Iban di rumah panjang. Selain itu juga objektif utama program ini ialah sebagai satu projek sosial kami bagi membantu pelajar - pelajar di rumah panjang berkenaan mengenai aspek - aspek pembelajaran. Aktiviti ceramah motivasi dan sumbangan buku - buku pelajaran juga dijalankan pada lawatan ini.

Kami memulakan perjalanan dari Kapit seawal jam 7.00 pagi ke pekan Song dengan menaiki bot ekspres. menghilir Sungai Rajang Perjalanan mengambil masa lebih kurang 40 minit. Kami sampai ke pekan Song lebih kurang jam 8.00 pagi dan bersarapan pagi di Restoran Sarjan Rabu. Saya tidak melepaskan peluang menikmati nasi lemak dan secawan teh o panas. Ini ialah kali pertama saya menjejakkan kaki ke pekan Song dan rasa keterujaan agak tinggi di hati saya ini.


Saya di tengah gambar sewaktu di dalam bot ekspres


Jeti pekan Song di pinggir Batang Rajang


Bergambar di luar bot ekspres seketika sebelum sampai ke pekan Song


Sebahagian dari pemandangan pekan Song ... tenang dan damai

Pekan Song merupakan antara beberapa buah kawasan di dalam negeri Sarawak yang masih belum dapat dilalui melalui jalan darat. Jalan air melalui Sungai Rajang dan Sungai Katibas merupakan alternatif yang paling mudah bagi penduduk setempat ke pekan Song, Kapit atau ke Sibu. Namun dari pemerhatian saya dari segi kemudahan asas adalah memuaskan. Mungkin dengan terbinanya jalan raya dari Song ke Ngemah tidak lama lagi akan merancakkan lagi pembangunan di pekan Song ini.


Kami bergerak ke Rumah Lintang dengan menaiki dua buah van yang disewa khas. Perjalanan mengambil masa hampir 30 minit dengan jarak 11 kilometer ( mengikut kata pemandu van ). Namun demikian perjalanan kami tidaklah selancar yang dijangkakan. Keadaan jalan raya yang rosak menyukarkan pergerakan. Ini merupakan perkara yang amat menyedarkan saya betapa pentingnya jalan raya bagi penduduk kawasan pedalaman. Namun begitu saya yakin kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan sentiasa berusaha keras bagi memastikan kebajikan masyarakat luar bandar sentiasa terbela selaras dengan gagasan 1 Malaysia.




Keadaan jalan untuk sampai ke Rumah Lintang


Setelah menempuh perjalanan yang agak menarik, kami sampai ke Rumah Lintang pada jam 10.30 pagi. Rasa keterharuan mula menyelubungi diri dengan sambutan hangat yang diberikan oleh penduduk rumah panjang berkenaan. Mereka sudah siap berbaris menunggu kehadiran kami. Paling memberikan kesan pada diri saya ialah seorang aki ( datuk ) yang sudah tua namun tetap setia menanti sambil memegang bendera Malaysia menyambut kehadiran kami. Terasa kehadiran kami benar - benar dihargai.


Semangat 1 Malaysia mengiringi kedatangan kami


Kami juga disambut dengan tarian ngajat oleh anak - anak muda Iban yang bersemangat dalam mengekalkan adat dan budaya bangsa mereka. Berdebar juga hati saya bila melihat senyuman ayu gadis manis menyisipkan bunga di baju saya. Mujur juga fikiran tidak menarawang berfikir jauh ... hehehehehe. 


Hati berdebar namun jiwa mengingat jangan


Tarian Ngajat diepersembahkan kepada kami sebagai tanda sambutan


Ramai juga di kalangan peserta lawatan ini tidak pernah ke rumah panjang. Bagi saya pula, ini merupakan lawatan kali ke 4 saya ke rumah panjang. Secara tidak langsung pengalaman dari lawatan - lawatan terdahulu mematangkan saya dalam bergaul dengan penduduk setempat. Acara dimulakan dengan ucapan alu - aluan dari wakil Tuai Rumah Lintang dan diikuti dengan ucapan dari ketua lawatan iaitu Cikgu Kuiek Bon Siau. Jelas dapat dirasakan kehadiran kami benar - benar dialu-alukan.


Selepas itu acara penyampaian sumbangan buku - buku nota dan rujukan dari pihak kami kepada pihak rumah panjang telah dijalankan. Hampir 3 kotak buku - buku rujukan UPSR, PMR dan SPM yang masih baru telah disumbangkan kepada Rumah Panjang ini. Besar harapan kami ia dapat membantu pelajar - pelajar rumah panjang ini dalam menghadapi peperiksaan awam yang akan menjelang tiba.


Buku - buku peperiksaan awam sumbangan 
kami kepada pihak rumah panjang

Cikgu Kuiek Bon Siau sebagai ketua lawatan menyerahkan
sumbangan buku rujukan kepada Tuai Rumah Lintang.


Selain dari menyampaikan sumbangan buku rujukan, kami juga telah menjalankan aktiviti motivasi dan ceramah berkaitan dengan peperiksaan kepada para pelajar di rumah panjang ini. Kumpulan - kumpulan mengikut peperiksaan awam PMR, SPM dan STPM telah dibentuk. Alhamdulillah aktiviti ini berjalan dengan lancar dan dirasakan agak berjaya. Namun demikian agak malang bagi saya kerana penyakit migrain saya melanda menyebabkan saya tidak dapat bergerak aktif.



Aktiviti motivasi dan ceramah peperiksaan yang dijalankan


Saya juga mengambil kesempatan berbual mesra dengan beberapa orang penduduk tempatan. Mereka amat ramah dan sentiasa mengukirkan senyuman kepada saya. Mujur juga saya boleh berbahasa Iban sedikit dan secara tidak langsung ia membantu saya mencuri kemesraan mereka. Namun soal bahasa tidaklah menjadi satu masalah yang besar. Kebanyakan penduduk mahir berbahasa Melayu dan lebih mengagumkan ada yang petah berbahasa Inggeris !!!!.


Bergambar kenangan dengan ibu-ibu yang ramah dengan senyuman

 Berbual dengan salah seorang penghuni rumah panjang


Tuai Rumah Lintang ...
senyuman sentiasa terukir di wajah beliau


Saya mengabadikan kenangan bersama Tuai Rumah Lintang


Semestinya yang terbaik sejak kemerdekaan !!!!!


Kami juga dijamu makan tengah hari dengan hidangan tradisi kaum Iban iaitu pansuh ayam dan pansuh ikan. Berselera kami menimati hidangan ini bersama penduduk rumah panjang. Makan beramai - ramai ini serasa seperti satu keluarga yang besar. Apa yang menarik ialah pinggan mangkuk yang kami gunakan adalah khusus untuk pelawat yang beragama Islam. Jelas disini bahawa jauh di pedalaman ini amalan hormat menghormati antara agama dan kaum berakar kuat dan teguh. Benar juga kata salah seorang penghuni rumah panjang ini bahawa amalan dalam gagasan 1 Malaysia sebenarnya telah lama disemai di Sarawak dan saya melihat buktinya. Kami juga dibenarkan untuk bersolat Zuhur secara berjemaah di rumah Tuai Rumah. Semoga perpaduan dan keamanan seperti terus kekal di bumi Malaysia dan Sarawak khususnya.


Makan tengah hari yang begitu menyelerakan!!!


Solat Zohor berjemaah diimamkan oleh Ustaz Syukri 
di rumah Tuai Rumah Lintang


Sebelum pulang, pihak Rumah Lintang telah menyampaikan cenderahati kepada guru - guru yang terlibat memberi ceramah motivasi kepada pelajar. Pihak kami juga tidak ketinggalan menyampaikan derma ikhlas kepada JKKK Rumah Lintang. Sumbangan disampaikan melalui wakil pihak guru - guru Semenanjung iaitu Cikgu Kumaresan A/L Saminathan.


Cikgu Kumaresan menyampaikan sumbangan kepada Tuai Rumah Lintang


Kami juga sempat berpoco-poco dengan kaum ibu dan muda - mudi di rumah panjang berkenaan. Saya juga turut serta dalam acara ini walaupun kepala saya agak perit dengan migrain. Hilang sebentar kesakitan bila dapat berpoco-poco. Muzik memang ubat yang mujarab bagi kesakitan jiwa dan jasmani.. hehehehehe
Berpoco - poco di ruai Rumah Panjang


Tepat jam 2 petang kami beransur-ansur bergerak pulang. Sebelum pulang kami bergambar kenangan bersama penduduk Rumah Lintang. Saya juga tidak melepaskan peluang bergambar kenangan di persekitaran rumah panjang berkenaan. Lambaian dari penduduk sewaktu kami bergerak pulang menyebabkan kami sebak sendiri. Berbagai - bagai andaian bermain di fikiran kami.... saya pula diganggu penyakit migrain !!!!


Bergambar kenangan bersama penduduk Rumah Lintang


Aku ingin terbang ke Semenanjung...hehehehe

Bergerak pulang


Kami sempat dibawa oleh pemandu van melihat - lihat kawasan pekan Song. Ternyata kemudahan di sini masih perlu dipertingkatkan. Tepat jam 4 petang kami menaiki bot ekspres pulang ke Kapit. Segala kenangan indah di sini akan kami kenang selalu sampai bila-bila. 

Nota Kaki ;

Hari Isnin ( 27 September 2010 ) laporan mengenai program lawatan kami tersiar di akhbar berbahasa Inggeris Sarawak Tribune...


Laporan akhbar Sarawak Tribune mengenai lawatan kami


SEKALUNG TERIMA KASIH DAN PENGHARGAAN

1.)   Tuai Rumah Lintang
2.)   Penduduk Rumah Lintang
3.)   Encik Febian selaku wakil Rumah Lintang yang bertanggungjawab membawa kami ke Rh.Lintang
4.)   Cikgu Kuiek Bon Siau selaku ketua lawatan
5.)   Tuan Presiden SFA Encik Taqie yang bertungkus lumus merangka program lawatan 
6.)   Teman - teman guru SMK Kapit dan SMK Selirik ( Staff SFA )
7.)   Cikgu Adham, Cikgu Zuraidah dan Cikgu Ahmad ( aku ambik gambor kamera korang ) hehehe
8.)   Sesiapa sahaja yang terlibat dan tidak sempat dinukilkan namanya...







Wednesday, September 15, 2010

SELAMAT MENYAMBUT HARI MALAYSIA



Esok 16 September genaplah 47 tahun negara Persekutuan Malaysia terbentuk. Penyatuan 12 negeri di Persekutuan Tanah Melayu dengan Sarawak, Sabah dan Pulau Temasik telah membenihkan penyatuan rumpun Bumiputera di dalam sebuah negara yang berdaulat dan dirahmati Tuhan iaitu Malaysia. Kini Malaysia terus mengorak langkah menjadi negara maju walaupun Pulau Temasik keluar dari Persekutuan Malaysia ini menjadi sebuah negara yang bukan dominan Bumiputera.




Tahun 2010 ini juga menjadi satu sejarah kerana buat julung kalinya sambutan Hari Malaysia diraikan sebagai cuti umum. Bagi saya ia adalah sesuatu yang amat baik kerana bagi rakyat negeri Sarawak dan Sabah, mereka sebenarnya menyambut Hari Malaysia ini sebagai memperingati saat negeri mereka bebas dari cengkaman penjajahan British. Kemerdekaan Sabah dan Sarawak melalui Persekutuan Malaysia merupakan satu hadiah yang amat bermakna dari Tuhan kepada kaum Bumiputera kerana melalui kemerdekaan inilah anak watan dapat mentadbir dan meningkatkan imej di mata kaum - kaum lain.


Saya merasa bertuah kerana dalam sambutan Hari Malaysia yang akan dirayakan ini saya sedang berkhidmat di negeri Sarawak. Mungkin pada orang lain ia suatu yang engteng tetapi pada saya ia suatu yang amat bermakna. Masakan tidak saya berperasaan sedemikian, sebagai orang yang berasal dari Semenanjung ( Perak ) saya dapat merasakan denyut nadi perjuangan pemimpin dan rakyat Sarawak yang terdahulu dalam memperjuangkan penubuhan Malaysia. Kini Sarawak terus berkembang menjadi sebuah negeri yang semakin maju. Dapat dilihat segala pembangunan menjalar dengan amat pesat di bumi kenyalang ini.


Sesekali bila menyanyikan lagu negeri Sarawak iaitu ' Ibu Pertiwiku' saya menjadi bersemangat bila tiba rangkap "Sarawak dalam Malaysia Aman Makmur Rahmat Tuhan Maha Esa" kerana ia jelas menunjukkan cita - cita dan visi masyarakat Sarawak yang komited dengan persekutuan Malaysia. Saya tetap di sini berbakti untuk anak peribumi... InsyaAllah.



Al-Fatihah dan semoga mendapat rahmat Tuhan untuk pemimpin - pemimpin yang telah berjuang dalam merealisasikan penubuhan Malaysia. Nama - nama besar seperti Tunku Abdul Rahman, Temenggung Tun Jugah, Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephen, Tun Abdul Razak, Stephen Kalong Ningkan dan nama - nama besar lain yang tidak dapat saya nukilkan.Budi dan jasa mereka akan tertanam kemas dan kukuh di hati warga Malaysia sampai bila-bila.


SELAMAT
HARI MALAYSIA