Beberapa minggu yang lalu seorang teman tiba - tiba sahaja meng "upload" beberapa keping gambar tentang zaman persekolahan kami dahulu di SMK Syeikh Abdul Ghani Bidor dalam profile Facebook beliau. Bila melihat gambar - gambar itu hati mula terasa sebak yang halus.... masakan tidak hati menjadi begitu, gambar itu penuh dengan memori dan punya cerita yang tersendiri.
Dua keping gambar itu adalah gambar sewaktu saya dalam tingkatan 4 dan tingkatan 5. Ia diambil pada tahun 2000 dan 2001 untuk dimasukkan di dalam majalah sekolah. Saya menjadi ketua kelas dalam tingkatan berkenaan. Pada masa tingkatan 4 saya juga seorang pustakawan. Hingga ke hari ini saya masih terfikir bagaimana saya boleh menjadi seorang pustakawan sedangkan saya boleh lah dianggap salah seorang dari kutu - kutu penyangak sekolah. Semasa di tingkatan 5, saya dilucutkan dari jawatan pustakawan dan sampai sekarang saya masih terfikir kenapa jawatan saya itu dilucutkan tanpa sebab.
Tingkatan 4 Kreatif SMK Kapit ( 2000 ). Hafez J.Malim sebagai ketua kelas ditengah-tengah berkepala botak.
Ramai teman - teman lama dalam tingkatan berkenaan sudah berjaya dalam hidup masing - masing. Ramai juga yang sudah berumah tangga dan memiliki beberapa anak yang comel. Di masa remaja kami dahulu sering kami berbual tentang alam rumah tangga... kebanyakannya akan mengatakan mahu kahwin lambat ( termasuklah saya ). Namun realitinya kini cuma tinggal saya sahaja yang masih belum berkahwin sehingga dikatakan bujang terlajak !!!!!! Lucu dengan tingkah teman - teman pada saya.
Tingkatan 5 Kreatif ( 2001 ). Hafez J.Malim duduk 4 dari kanan sebagai ketua kelas
Jika dilihat pengaruh pakaian pada masa itu sememangnya jauh berbeza dengan masa kini. Kaki seluar sekolah semestinya besar ( paling koman 21 inci ). Rambut mesti ada ekor yang disimpan. Untuk menampakkan ranggi lagi zip pada seluar digantikan dengan butang ala - ala seluar jeans ( seksa bila nak buang air kecil ) dan kasut semestinya kasut kanvas berjenama Converse ( kalau All America pun kira ok la ).
Berada di sebuah pekan kecil bernama Bidor memuhibahkan kami. SMK Syeikh Abdul Ghani merupakan sekolah majmuk. Jumlah pelajar Melayu diimbangi oleh pelajar berketurunan India. Ada juga pelajar Cina, Sikh dan orang Asli. Ini menjadikan kami agak hormat - menghormati antara satu dengan yang lain. Ada juga sesekali terjadi pergaduhan di antara pelajar Melayu dan India namun kenyataannya selepas sekolah pelajar - pelajar berlainan bangsa ini masih boleh tegur menegur antara mereka. Saya juga tidak terkecuali. Ketika belajar sifat perkauman saya sangat tebal sehingga sekarang namun pada masa yang sama saya masih boleh bergaul mesra dengan teman - teman bukan sebangsa dengan saya.
Pada guru - guru yang pernah berjasa mendidik saya hingga kini, cuma rasa terima kasih sejuta bahasa yang dapat saya beri. Ada antara guru dan teman saya sudah berpulang dahulu menemui Tuhan. Semoga roh mereka dicucuri rahmad. Teman - teman saya dahulu juga ramai yang sudah keluar mencari rezeki jauh dari bumi Bidor tersayang. Begitu juga saya. Bila pulang sekali - sekala ke tanah antara dua sungai ini saya selalunya bersendirian. Teman - teman sudah makin sedikit yang tinggal. Namun bila sesekali sudah berkumpul maka saya orang yang paling banyak mulut untuk berlawa jenaka.
Gambar kenangan zaman sekolah banyak membuatkan saya menjadi rindu. Ini zaman yang tiada telefon bimbit, tiada motorsikal sebaliknya kami ke sekolah menaiki basikal, tiada cd ( masih guna kaset dan walkman ), zaman internet masih menjadi sesuatu yang baru, siapa yang memiliki Play Station dianggap anak orang kaya, belanja ke sekolah RM1 dan yang paling penting baru belajar nak bercinta.
Saya suka mengenang masa yang lalu kerana saya seorang yang bernostalgia. Ini memang diri saya. Saya sukar melupakan sesuatu kenangan. Setiap memori yang terlekat di ingtaan sudah pasti akan diulang - ulang semula hingga hati menjadi rindu..... RINDU ITU PUNYA SAYANG, SAYANG ITU PUNYA KENANGAN YANG TERSENDIRI...
0 ulasan:
Post a Comment