BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, April 17, 2010

Pilihanraya Kecil P.94 Hulu Selangor ( Satu Catatan Ringkas )


Gendang perang sudah dipalu. Perang demokrasi di Hulu Selangor baru sahaja bermula walaupun bibit - bibit pertarungan sudah mula kelihatan sejak hari kematian penyandang Ahli Parlimennya iaitu Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad akibat barah otak pada 25 Mac yang lalu. Jika dilihat dari senario politik kini jelas akan berlaku satu pertandingan yang sengit antara keempat-empat calon yang bertanding. Namun tumpuan sebenarnya lebih terarah kepada dua calon pilihan iaitu Encik P.Kamalanatahn dari Barisan Nasional ( BN ) dan Datuk Zaid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat ( PKR ).

Hulu Selangor bukan lah asing kepada diri saya. Ibu dan arwah datuk berasal dari daerah Hulu Selangor ini malahan saya masih punya sanak saudara disini. Selain itu ia adalah bersempadan dengan Tanjong Malim dalam daerah negeri Perak dimana terletaknya Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ), tempat saya menuntut ilmu. Jadi secara tidak langsung saya punya kenangan sentimental dengan daerah ini. Dahulu sewaktu belajar di UPSI sering saya berulang alik ke pekan Hulu Selangor yang cuma dipisahkan oleh Sungai Bernam sahaja dari Tanjong Malim.

Bagi sesiapa yang pernah melalui jalan lama dari Tanjong Malim ke Kuala Lumpur sudah pasti akan melalui daerah Hulu Selangor. Pekan - pekan kecil seperti Rasa, Kerling dan Kuala Kubu Bharu sudah pasti akan membuatkan kita tenang dengan suasananya. Ia tenang dan mendamaikan malahan gaya kolonial masih agak terasa terutamanya ketika berada di Kuala Kubu Bharu. Kedudukannya di kaki banjaran Titiwangsa memberikan suasana yang hijau malahan saya dahulu sering mendambakan untuk ditempatkan mengajar di daerah ini. Malahan saya juga pernah menikmati satu masa yang indah bersama seseorang di bandar Rawang ketika hati ini berputik dengan kasih sayang. Pada saya Hulu Selangor ini terlalu dekat dengan diri saya. 

Semoga penduduk Hulu Selangor dapat membuat pilihan yang sebaiknya bagi kelangsungan pembanggunan kawasan ini. Fikir dan pilih dengan hati yang tenang. Mungkin sukar untuk membuat pilihan namun pilihan hari ini menentukan masa hadapan kita dan generasi seterusnya. Bagi ahli UMNO teruskan menyokong calon yang telah diamanahkan oleh YAB Perdana Menteri. Mungkin sedikit kecewa namun lupakan segalanya demi kemenangan BN. Ambil iktibar dari kekalahan lalu sebagai pendorong untuk terus berusaha.

Saya juga melalui Blog saya Indah Rasa J.Malim menyatakan sokongan sepenuhnya kepada calon Barisan Nasional ( BN ), Encik P.Kamalanatahn bagi PRK P.94 Hulu Selangor ini. Semoga beliau akan beroleh kemenangan dalam pilihanraya kecil ini seterusnya memberikan khidmat bakti kepada penduduk Hulu Selangor.

SELAMAT MENGUNDI

Encik P.Kamalanathan
Calon BN P.094 Hulu Selangor

UNDILAH BARISAN NASIONAL

0 ulasan: