Cuti sekolah baru-baru ini sempat juga saya membuat kunjungan ke pekan - pekan kecil dan terpencil dalam daerah Batang Padang negeri Perak Darul Ridzuan. Sebagai sebuah negeri yang boleh dianggap tertua, Perak sememangnya istimewa kerana masih memiliki kumpulan pekan - pekan kecil yang pada anggapan saya belum lagi terusik dengan pembangunan yang nyata, sebaliknya terus kekal dengan gaya kolonial dan klasik.
Bagi masyarakat Malaysia terutama warga FELDA, nama FELDA Wilayah Trolak memang agak terkenal. Ditambah dengan kewujudan MRSM FELDA maka secara tidak langsung nama Trolak menjadi agak dikenali. Namun bagaimana pula dengan kewujudan pekan Trolak... ramai yang beranggapan bahawa pekan Trolak mestilah terletak di FELDA Trolak. Jawapan itu adalah salah kerana pekan Trolak adalah pekan yang sudah wujud sejak zaman penjajahan British lagi ditambah pula dengan jaraknya yang agak jauh dari FELDA Trolak. Dari pandangan saya secara peribadi, pekan Trolak ini mungkin wujud akibat dari perkembangan penanaman getah yang banyak ditanam di kawasan ini sejak dari zaman penjajahan British.
Bagi pengguna jalan raya persekutuan dari Sungkai ke Slim River lazimnya kurang menyedari kewujudan pekan Trolak. Ini adalah kerana kedudukannya yang memerlukan pengguna jalan raya masuk ke simpang jalan sebelum bertemu dengan pekan ini. Sewaktu kunjungan saya ke sini kira - kira 5 tahun yang lalu, pekan ini masih agak meriah dengan pelbagai aktiviti harian. Namun sewaktu kunjungan yang terbaru ini jelas pekan ini sudah mula mengalami zaman suramnya. Sebuah balai Polis dan Pejabat Pos menjadi nadi utama pakan Trolak. Apa yang menarik perhatian saya di sini ialah kewujudan sebuah jambatan yang meretangi sebatang sungai. Pada tembok jambatan itu tertera tahun jambatan itu dibina iaitu pada tahun 1939.
Masjid pekan Trolak di seberang sungai
Suasana pekan Trolak pada jam 3 petang
Sunyi dan sepi
Jambatan lama tertera tahun pembinaan 1939
Pejabat Pos pekan Trolak... klasik yang menarik
Secara kasar, saya melihat kehidupan di pekan Trolak adalah mudah dan tenang. Majoriti penduduknya mungkin berketurunan India dan Melayu namun kaum Cina juga memainkan peranan yang aktif di sini. Pejabat Pos pekan Trolak begitu menarik minat saya. Ia sebuah banggunan kayu yang klasik. Menurut sepupu saya yang bekerja di Sungkai... pejabat pos ini jarang ada waktu sibuk. Ia sebuah pejabat pos yang tenang. Beliau selalu ke sini untuk menjelaskan bil-bil air dan elektrik. Benar tanggapan saya pada pertama kali menatap pejabat pos ini... ia benar - benar membawa saya ke zaman silam.
Perjalanan seterusnya ialah ke pekan Slim Village.. ia akan saya coretkan pada catatan yang akan datang. Kembara ke pekan-pekan terpencil seperti ini sebenarnya membeli semula segala ingatan terhadap sejarah lama negara yang jauh kita lupakan... siapa sangka dalam zaman secanggih hari ini kita masih boleh melihat suasana lama walaupun dimamah masa...
IA MENGAJAR KITA
MENOLEH SEBENTAR KE BELAKANG
0 ulasan:
Post a Comment