Saya meneruskan perjalanan dari pekan Trolak ke pekan Slim Village yang terletak kira-kira 16 kilometer dari bandar Slim River. Suatu ketika dahulu semasa saya masih kecil, perjalanan ke pekan Slim Village terasa amat mencabar. Boleh dikatakan tempat ini dianggap ulu dan saya percaya statusnya sebagai pekan paling terpencil di Perak masih belum tercabar sehingga ke hari ini. Pengangkutan utama untuk ke pekan ini satu ketika dahulu ialah dengan menggunakan bas. Masih teringat lagi di ingatan saya keadaan bas Syarikat Mogah yang uzur. Namun bas itulah yang banyak berjasa kepada penduduk di kawasan ini.
Sebelum masuk ke pekan Slim Village, saya masuk dahulu ke kampung Ulu Slim bagi melawat ke kawasan air panas Ulu Slim. Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah sepanjang perjalanan saya ke kampung Ulu Slim ini ialah pemandangan dan suasana kampung berkenaan yang masih lagi mengekalkan keaslian serta kelihatan klasik. Ia membuatkan saya seolah-olah kembali ke zaman kanak-kanak saya. Kolam air panas Ulu Slim merupakan kawasan air panas semulajadi yang benar-benar menakjubkan. Masakan tidak, dari jauh lagu sudah kelihatan asap berkepul-kepul keluar dari aliran air panasnya yang mencecah ke suhu 104 darjah celcius.
Asap berkepul-kepul dari aliran air panas yang mengalir
Papan tanda amaran kepanasan air
Panorama kolam air panas Ulu Slim
Apa yang agak menyedihkan ialah keadaan kolam air panas ini yang agak terbiar. Walaupun terdapat usaha-usaha dari pihak berkuasa tempatan membina pondok-pondok persinggahan namun jelas kelihatan semak samun yang menghijau menghiasi persekitaran kolam ini. Sesuatu perlu dilakukan ( terutama oleh penduduk setempat ) bagi menceriakan kawasan ini. Saya akui kawasan ini berpotensi untuk dimajukan bagi tujuan perlancongan seperti yang telah dilakukan di Taman Rekreasi Air Panas ( TRAP ) Sungai Klah Sungkai.
Namun ada sesuatu yang menarik perhatian saya di sini iaitu kewujudan satu deretan rumah kedai usang di kawasan kampung Ulu Slim ini. Ia seolah - olah membentuk satu pekan kecil ( koboi ) bagi penduduk-penduduk kampung. Ia sangat klasik !!!!
Deretan kedai kayu usang di kampung Ulu Slim
Saya seterusnya meneruskan perjalanan ke pekan Slim Village. Jurai keturunan datuk sebelah emak saya berkemungkinan berasal dari sini. Malahan kata emak kami masih memiliki saudara mara di kawasan ini. Pekan Ulu Slim merupakan pekan yang paling terpencil dalam negeri Perak. Namun demikian, perhubungan ke kawasan ini semakin baik. Kemudahan jalan raya sudah mencapai tahap yang terbaik di samping kemudahan pengangkutan bas yang pada saya agak baik. Penduduk di sini kebanyakannya bekerja sebagai petani dan majoritinya Melayu.
Sebahagian dari pekan Slim Village
Kedai gunting rambut tradisi
yang masih terdapat di pekan Slim Village
Jalan masuk ke pekan Slim Village
Satu perkara yang menarik perhatian saya di pekan Slim Village ini ialah kewujudan sebuah bangunan berwarna kuning dan coklat betul - betul di persimpangan jalan masuk ke pekan ini. Di bahagian depan bangunan tua ini terpampang papan tanda bertulisan jawi bertulis UMNO Bahagian Slim. Ia mungkin menjadi bukti bahawa penduduk kawasan ini masih setia dengan pegangan politik nasionalis Melayu bawaan UMNO. Sebagai ahli UMNO tegar saya merasa bertuah kerana masih dapat melihat sebuah bangunan yang mungkin terlalu banyak berjasa kepada politik orang Melayu terutamanya di Slim Village.
Bangunan tua UMNO Cawangan Slim
Dalam perjalanan pulang saya singgah dahulu ke kawasan perkelahan Lata Sungai Bil. Dahulu semasa belajar di UPSI Tanjong Malim, kawasan ini merupakan kawasan utama saya dan rakan - rakan mandi manda di hujung minggu. Keadaannya masih seperti dahulu dan tidak banyak yang berubah. Namun ia tetap mengimbau zaman belajar saya di UPSI bersama teman-teman.
Sebahagian dari panorama Sungai Bil
Hampir sejam saya menghabiskan masa di sungai Bil membeli semula masa-masa gembira zaman bergelar mahasiswa dahulu. Walaupun tidak mandi - manda di sini namun sempat juga saya meninjau suasana persekitarannya.
Saya meninggalkan Sungai Bil untu bergerak ke Tanjong Malim, tempat saya menumpang kasih selama empat tahun. Di pertengahan jalan, sempat saya menziarahi pusara datuk sebelah ibu yang terletak di Behrang Ulu. Sudah lama saya tidak berkunjung ke pusara ini. Agak sukar juga mencari pusara atuk. Namun akhirnya ketemu juga. Al- Fatihah saya sedekahkan untuk arwah datuk jauh di sana. Datuk saya bernama Tan Narih Bin Jali. Dari nama datuk saya jelas sekali bahawa jurai keturunan beliau adalah dari suku kaum Rawa. Orang - orang Rawa banyak mendiami kawasan Tanjong Malim, Bidor, Tapah dan Gopeng.
Batu nisan pusara datuk
Allahyarham Tan Narih Bin Jali
Saya bergerak ke Tanjong Malim bagi mengunjungi ibu kandung suluh budiman yang sudah lama saya tinggalkan. Seperti yang saya jangkakan, air mata saya jatuh berderai di sini mengenang sesuatu yang telah dibawa orang. Sudah hampir dua tahun kaki saya tidak ke sini. Tanjong Malim tetap seperti dahulu. Namun ia benar - benar membunuh kehidupan saya pabila mengenang perkara-perkara bodoh yang pernah berlaku dalam kehidupan saya di sini.
Lewat petang saya mula bergerak untuk menuju ke sebuah lagi pekan lama di negeri Perak iaitu pekan Behrang Stesen. Ia sebuah pekan yang unik. Kunjungan ke pekan Behrang Stesen akan saya ulas dalam siri catatan yang akan datang. Kadang kala hati memang boleh diajak untuk menipu diri sendiri.. kunjungan ke pekan-pekan kecil dan lama seperti ini membuatkan saya mudah menjadi sebak !!!!!
4 ulasan:
pembetulan sikit boleh x??? penduduk sekitar ulu slim bukan x nk bekerjasama untuk membersihkan kolam air panas ulu slim..tapi kawasan tanah dan kolam air panas, serta di sekitarnya telah dibeli atau diambil alih oleh pihak berkuasa tempatan iaitu majlis daerah tanjung malim.. so penduduk di kawasan ini tiada hak ataupun kebenaran daripada pihak berkuasa tersebut untuk melakukan sesuatu di kawasan berkenaan tanpa kebenaran majlis daerah tanjung malim...
terima kasih syuk atas komen anda. maafkan saya sekiranya fakta yang diberi pleh saya itu salah. semoga teguran sebegini akan berterusan bagi memperbaiki tulisan-tulisan saya di blog ini. salam kenalan
Amat membantu saya dalam thesis final project sy dlm bidang perancang bandar. Namun masih ada yang kamu belum terokai sehabisnya asal usul pekan slim village tersebut. Sy orang kampung tersebut. Agak terkilan kerana memberi fakta yang kurang matang dalam kajian sejarah.
tuan muhammad shahril.
harus dibezakan antara penulisan kajian sejarah dengan penulisan perjalanan. soal asal dan usul pekan slim village itu sendiri saya tidak tuliskan di dalam penulisan ini. Hanya saya meninjau dan menulis apa yang saya rasa dari persinggahan ringkas saya ke pekan slim village. Menulis nuansa dan menulis perkara sejarah adalah sesuatu yang berbeza. penulisan saya sendiri bukan bersifat kajian.. itu boleh dibaca dengan jelas kerana ia tidak bersifat akademik dan secara teorinya tidak boleh dijadikan bahan rujukan.
Post a Comment