Saya meninggalkan Tanjong Malim ketika hari sudah lewat petang namun masih cerah. Dalam perjalanan pulang ke Bidor ini saya akan singgah ke sebuah lagi pekan klasik dalam negeri Perak iaitu pekan Behrang Stesen. Pekan Behrang stesen terletak di pinggir jalan persekutuan dari Slim River menghala ke Tanjong Malim. Pekan ini juga merupakan pekan yang terletak tida jauh dari sempadan antara negeri Perak ( daerah Batang Padang ) dan negeri Selangor ( Daerah Hulu Selangor ).
Bagi pengguna yang sering melalui jalan Tanjong Malim ke Sungai Besar sudah pasti sentiasa akan melalui pekan ini. Namun bagi pengguna Projek Lebuh Raya Utara Selatan ( PLUS ) dan jalan persekutuan, kewujudan pekan ini mungkin menjadi tanda tanya kerana kedudukannya yang memerlukan kita masuk ke persimpangan sebelum menemui pekan ini. Behrang Stesen sebenarnya bukanlah sebuah pekan yang terpencil. Namun kedudukannya berhampiran dengan Tanjong Malim dan Slim River menyebabkan peranannya menjadi agak kurang penting.
Saya meyakini bahawa Behrang Stesen mungkin menjadi satu-satunya pekan dengan bangunan kayu yang masih utuh di Malaysia. Deretan rumah kedainya adalah diperbuat dari kayu. Suasanya begitu klasik malahan semasa berada di pekan ini terasa ia membawa saya ke zaman awal-awal tahun 1970an. Namun suasana pekan ini tetap hidup dengan aktiviti seharian penduduknya.
Deretan rumah kedai yang diperbuat dari papan masih teguh
di Behrang Stesen
Sebahagian dari panorama Behrang Stesen
Suasana petang di Behrang Stesen
Klasik
Saya menghabiskan masa hampir setengah jam di Behrang Stesen memerhatikan denyut nadi kehidupan di sini. Emak saya, Hasnah Bt Narih lahir di Kampung Mesjid dalam daerah Hulu Selangor berdekatan dengan pekan ini. Malahan masih ada lagi kaum kerabat datuk sebelah emak yang masih lagi mendiami kawasan ini. Cuma saya sahaja yang tidak tahu bersoreh dengan mereka....mungkin atas faktor jarak masa yang memisahkan kami. Saya mendapati kemudahan asas di pekan ini adalah lengkap. Sebuah balai polis, pejabat pos, pasar awam dan stesen keretapi yang moden terdapat di sini. Cuma yang saya tidak nampak ialah stesen pam minyak.
Pejabat Pos Behrang Stesen
Pekan Behrang stesen walaupun kelihatan tua, namun masih berdenyut dengan aktiviti perniagaan. Lensa kamera saya sempat merakamkan saudagar senja yang masih teguh mencari rezeki di pekan ini. Saya terlihat seorang tua berjaja sate di pekan ini. Namun dari pemerhatian saya,perniagaannya mendapat sambutan. Disamping itu seorang tukang jahit tua, masih terus menjalankan perniaaannya dalam sebuah kedai yang usang dan kusam. Ia menjadi bukti pekan Behrang Stesen sudah mula menjumpai zaman tuanya. Dengan kewujudan bandar Behrang 2020 tidak jauh dari pekan ini tidak mustahil pekan ini akan ditinggalkan menjadi seperti pekan Trolak yang semakin sepi dan terus sepi.
Penjual sate usia emas
Tukang jahit tua teguh dimamah masa
Saya bergerak pulang meninggalkan pekan Behrang Stesen dikala waktu sudah menunjukkan jam 7 malam. Hajat di hati ingin berlama-lama di sini menikmati suasana malamnya namun bila difikir tentang faktor cuaca dan jarak saya memutuskan untuk bergerak pulang. Behrang Stesen... pekan yang penuh gaya klasik. Perjalanan ke sini membuatkan saya merasa sayang dengan khazanah pekan-pekan terpencil yang terdapat di negeri Perak. Gaya klasik dan kehidupan yang bergerak perlahan membuatkan saya jatuh cinta dan membenci kehidupan sibuk di bandar.
Untuk siri perjalanan ke pekan-pekan kecil akan datang pula saya bergerak ke arah utara daerah Batang Padang. Tiga pekan yang menjadi sasaran saya ialah pekan Temoh, pekan Temoh Stesen dan Pekan Banir. Ia akan diceritakan dalam koleksi perjalanan akan datang... Sejarah mengajar kita menjadi dewasa ... dewasa pula membuatkan kita menjadi matang .... salam
1 ulasan:
Terbaik
Post a Comment