BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, September 14, 2011

Cerita Kenangan Di Teluk Anson ( Bahagian 1 )

Mukadimah Yang Panjang Berjela

Hari itu lah.... rasanya hari ketiga Syawal 1432 Hijrah. Ketika mata saya sedang enak-enak melayan mimpi, saya dikejutkan secara tergempar oleh adik bongsu saya. Mulanya malas saya hendak melayan kerenahnya. Hidayat namanya adik bongsu saya itu. Dia minta izin ke Teluk Intan dengan kawan-kawannya. Tidak berfikir panjang, saya membenarkannya. Katanya, dia  ke Teluk Intan dengan menaiki bas. Selepas itu, saya terus menyambung tidur saya kembali.

Ketika menuju bilik air untuk mandi selepas bangun dari tidur, emak menegur bertanya kenapa saya membenarkan Hidayat ke Teluk Intan ? .... saya hanya mendiamkan diri. Selepas mandi baru saya katakan kepada emak...."biarkan sahaja Hidayat ke Teluk Intan ... saya pun dulu seperti dia juga akan ke Teluk Intan pada hari raya bagi berlibur menghabiskan duit raya". Emak hanya tersenyum. Saya tahu emak sedang terfikir sudah pasti Hidayat akan menghabiskan duit rayanya tanpa kesan.

Kemudian ingatan saya mula melayang mengingatkan kenangan lama zaman awal remaja kira-kira 15 tahun yang silam. Ketika itu Teluk Intan lah bandar yang paling besar dan paling dekat dengan Bidor. Lumrahlah bagi seorang anak kampung seperti saya yang hidup dalam serba - serbi kekurangan, susah hendak ke Teluk Intan jika tiada sesuatu hal yang mustahak. Lagipun masalah kewangan memang menjadi satu perkara yang biasa.

Hanya pada ketika hari raya sahajalah saya dan teman-teman sekampung dapat pergi ke Teluk Intan. Lagipun ketika itu duit raya penuh di poket. Ia bagaikan suatu kewajipan yang mesti dipatuhi pada ketika hari raya. Awal-awal pagi lagi kami sudah ke stesen bas untuk menaiki bas Hup Soon ke Teluk Intan. Ada pelbagai agenda yang boleh dilaksana di Teluk Intan.... heheheheh.

Kesudahannya.... menjelang jam 2 petang, kerinduan saya terhadap zaman remaja saya di Teluk Intan tidak dapat dibendung lagi. Saya capai kamera, helmet dan baju sejuk terus saya menaiki motosikal saya menuju Teluk Intan. Emak hanya menggeleng kepala .... namun saya juga ada agenda lain. Ingin mencari sisa perkhidmatan keretapi di Teluk Intan. Jom lah.... ikuti saya mencari semula cerita lama zaman remaja saya di Teluk Intan sambil kita melihat sisi lama Teluk Anson yang masih tersisa.

Stesen Keretapi Bidor

Dalam perjalanan saya ke Teluk Intan, sempat saya singgah ke tapak bekas Stesen Keretapi Bidor yang terletak tidak jauh dari Kampung Baru Bidor Stesen. Stesen Keretapi Bidor telah lama dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan landasan berkembar. Saya masih ingat lagi dahulu jika keluarga saya ingin ke Batu Gajah, maka kami mesti akan menaiki keretapi dari stesen ini. Namun akibat dari perkembangan jaringan jalan raya, penduduk Bidor sudah tidak lagi ramai yang menggunakan perkhidmatan keretapi  dan ini telah menyebabkan stesen keretapi Bidor ditinggalkan sehinggalah ia dirobohkan.

 Tapak setsen keretapi Bidor yang telah dirobohkan


Jambatan ini pernah runtuh akibat dari nahas keretapi pada awal 90-an di Bidor

Kini keretapi hanya lalu sahaja di Bidor tanpa berhenti

Berhampiran dengan tapak stesen keretapi lama Bidor terdapat sebuah jambatan yang merintangi landasan keretapi. Jambatan tersebut menghubungkan jalan Bidor ke Teluk Intan. Jika tidak silap saya suatu ketika dahulu dalam tahun awal 90-an pernah berlaku satu nahas keretapi antara yang terburuk di negara kita. Nahas tersebut telah menyebabkan jambatan tersebut runtuh dan terpaksa dibina semula. Namun peristiwa itu bagaikan tidak pernah dikenang. Ianya terus kekal sebagai suatu tragedi yang dilupakan.

Kompleks Aik-Aik 


Perjalanan menaiki bas ke Teluk Intan mengambil masa hampir 1 jam 30 minit. Itu dikira sekali dengan masa yang diambil oleh bas untuk berhenti mengambil penumpang dan keadaan jalan yang sungguh menyiksakan ( tidak rata dan berlubang ). Ketika itu jalan Bidor - Teluk Intan bukan seperti sekarang. Lubang - lubang dan permukaan jalan yang tidak rata sring kali mengahntui pengguna jalan berkenaan. Sampai sahaja ke stesen bas Teluk Intan, kami yang lengkap berbaju baru raya akan menuju ke sebuah bangunan seberang stsen bas Teluk Intan. Tujuannya ialah hendak bermain permainan video !!!!

Nama kompleks berkenaan ialah Kompleks Aik-Aik. Saya sendiri tidak tahu kenapa kompleks ini dinamakan sedemikian rupa. Tetapi kompleks ini bagaikan syurga bagi kami anak-anak kampung yang sesekali terlepas ke bandar. Terdapat beberapa buah pusat permainan video di kompleks ini. Walaupun usia saya baru menginjak sekitar bawah 15 tahun namun ia tidak dapat menghalang saya dari memasuki pusat permainan video berkenaan. Ada juga sesekali terfikir bahawa diri ini masih bawah umur dan mungkin akan ditangkap. Syukurlah juga sepanjang saya disana tidak pernah sekali pun saya dihalau keluar atau ditangkap.

Nasi Lambai

Restoran Nasi Lambai Teluk Intan

Habis bermain permainan video, lazimnya kami pergi pula melepak ke pasaraya Looking Good atau Pasaraya Fajar yang pada ketika itu merupakan pusat membeli belah terbesar di Teluk Intan. Bukan untuk membeli belah pun. Sekadar mencuci mata melihat barang-barang dan gadis-gadis manis yang sakan bergaya di waktu raya. Hahahahahaha.

Penat mencuci mata, kami berjalan kaki menuju ke suatu kawasan pinggir bandar Teluk Intan berhampiran dengan tebing Sungai Perak.Di situ terdapat sebuah restoran nasi kandar yang amat terkenal di Teluk Intan. Orang tempatan memanggilnya nasi lambai. Di situlah lubuk kami makan tengah hari. Bagi yang pertama kali sampai ke Teluk Intan, cuba-cubalah ke restoran nasi lambai ini... saya pasti kita akan berkunjung semula ke sini menikmati nasi kandarnya. Malahan saya sampai ke saat ini apabila ke Teluk Intan sudah pasti akan menikmati hidangan nasi lambai ini.

Menyelerakan !!!!

Menyeberang Sungai Perak

Selepas sahaja mengenyangkan perut di restoran nasi lambai, kami akan pergi melepak di tebingan Sungai Perak. Di tebingan Sungai Perak yang keruh dan berlumpur itu terdapat sebuah jeti yang digunakan oleh bot penambang bagi membawa penduduk kampung di seberang Sungai Perak untuk ke bandar Teluk Intan. Bot penambang ini berulang alik ke seberang dengan mengenakan bayaran tambang Rm0.25 sen sehala rasanya pada ketika itu. 

Kami biasanya akan turut serta naik bot berkenaan untuk perjalanan pergi dan pulang. Lucu juga melihat reaksi orang-orang kampung melihat kami menaiki bot berkenaan tanpa ada apa-apa tujuan. Sebenarnya ia sekadar memberi kami kepuasan. Di Bidor manalah ada bot penambang seperti ini. Seronok mendengar bunyi enjin dan desiran air Sungai Perak. 

Ketika saya sampai ke tebingan Sungai Perak baru-baru ini, perkhidmatan bot penambang ini masih lagi wujud. Cuma harga tambang perjalanan sehalanya sudah naik menjadi RM 0.50 sehala. Masih ada orang-orang kampung yang menggunakan perkhidmatan bot ini. Saya tidak pasti, berapa lamakah perkhidmatan bot ini akan terus bertahan. Saya sempat berbual dengan seorang pakcik tentang perkhidmatan bot penambang ini. Ada riak-riak yang sukar saya mengertikan dari wajahnya. Padanya, sejak dari kecil lagi dia sudah menyeberang Sungai Perak dengan bot penambang. Kalau boleh biarlah sampai dia mati. Saya terkedu dengan jawapannya.

Bot penambang Sungai Perak.



bersambung.....






0 ulasan: