Sekali lagi saya dan Cikgu Kumaresan berjalan-jalan melihat keindahan negeri Sarawak. Sasaran kami kali ini ialah ke bahagian Mukah. Asalnya pada bulan Mac dahulu kami mahu ke Mukah melihat Pesta Kaul yang diraikan oleh masyarakat Melanau namun ianya tidak menjadi kenyataan. Akhirnya haluan perjalanan terpaksa ditukar ke Bintulu. Cuma pada cuti sambutan Hari Malaysia yang lalu barulah kami berjaya menjejakkan kaki ke bumi Mukah. Apa yang pasti di dalam kepala saya cuma memikirkan suatu perkara ........ LAUT !
Dari perbincangan ringan bersama Cikgu Kumaresan, kami jadikan perjalanan ini sebagai suatu realiti. Seperti biasa kami memulakan perjalanan dari Kapit dengan menaiki bot ekspres seawal jam 7.30 pagi tanggal 15 Mei 2011 ( Khamis ). Perjalanan agak santai dan penumpang jugak agak kurang. Setelah menempuh 3 jam perjalanan akhirnya kami sampai ke Sibu. Di Sibu, tidak ada perkara lain yang kami lakukan melainkan bersarapan pagi roti canai dan tosai di kedai mamak yang biasa kami kunjungi. Selepas bersarapan, kami terus mendapatkan teksi yang akan membawa kami ke stesen bas Sibu.
Sesampainya di stesen bas Sibu, kami terus mendapatkan tiket bas ke Mukah. Tiket kami berharga RM18.70. Tidaklah mahal bagi satu perjalanan yang akan sentiasa dikenang dalam ingatan. Dari sembang-sembang kosong kami dengan pemandu teksi yang membawa kami ke stesen bas, dahulu jalan dari Sibu ke Mukah amat teruk dan menyiksakan. Ramai yang mengeluh kenderaan mereka rosak akibat dari jalan raya yang berlubang-lubang dan rosak. Namun kini keadaan sudah berubah. Jalan yang dahulunya berlubang telah berganti dengan jalan yang begitu baik. Pada saya, inilah dinamakan politik pembangunan. Kestabilan pada kuasa dan politik akan membantu memudahkan transformasi pembangunan.
Bas yang membawa kami ke Mukah
Sebelum masuk ke simpang Mukah, bas yang kami naiki singgah berehar sebentar di sebuah restoran berhampiran dengan pekan Selangau. Kami pernah berhenti rehat disini dahulu sewaktu dalam siri pengembaraan ke Bintulu. Keadaan masih sama. Cuma bahagian tandas di restoran berkenaan yang sudah diubahsuai bagi memberikan lebih keselesaan kepada pengunjung. Dahulu keadaannya agak menyedihkan.
Singgah berehat di Restoran Impian Selangau
Papan tanda menunjukkan jalan ke bahagian Mukah
Selepas beberapa ketika berehat, kami meneruskan perjalanan ke Mukah. Untuk sampai ke Mukah, kita akan melalui jalan yang dipanggil sebagai jalan ladang. Inilah jalan yang diceritakan oleh ramai pemandu bahawa sangat teruk pada suatu ketika dahulu. Namun kini jalan baru yang menggantikan jalan lama ternyata memberikan keselesaan kepada penagguna jalan berkenaan. Apa yang dapat saya lihat sepanjang perjalanan ialah saujana ladang sawit yang menghijau. Patut lah jalan ini dinamakan jalan ladang. Hehehehehe.
Kami sampai ke Mukah pada jam 3 petang. Agak blur juga kami ketika mula-mula sampai di stesen bas Mukah. Perkara pertama yang saya lihat di Mukah ialah sebuah bangunan tinggi yang menjadi mercu utama Mukah. Bangunan itu dinamakan sebagai Bangunan Pehin Setia Raja. Baru saya teringat, Ketua Menteri Sarawak iaitu YAB Pehin Seri Abdul Taib Mahmud berasal dari Mukah. Secara tidak langsung, Mukah mendapat limpahan pembangunan yang agak baik hasil dari kebijaksanaan beliau.
Bangunan Pehin Seri Setia Diraja di Mukah
Kami ronda-ronda di sekitar bandar Mukah. Pada pandangan saya, Mukah sebuah bandar yang tersusun dan terancang. Bandar Mukah dilihat lebih kemas dan mempunyai lanskap yang menarik. Agak terkejut juga kami, kerana terdapat dua buah kedai mamak disini. Ini membuatkan kami mula gian hendak merasa roti canai dan tosainya... Hahahahahaha.
Rupa-rupanya di Mukah juga terdapat beberapa buah institusi pengajian tinggi awam ( IPTA ). Antaranya ialah Politeknik Mukah dan UiTM Kampus Mukah. Sempat juga saya dan cikgu Kumaresan bergambar kenangan di papan tanda UiTM Mukah ini. Hairan juga mahasiswa dan mahasiswi melihat kami bergambar sakan. Tiba-tiba ingatan saya tertumpah pada kenangan zaman belajar di UPSI dahulu. Tidak saya sangka sudah hampir 4 tahun saya meninggalkan alam mahasiswa saya.....
Hafez J.Malim dengan papan tanda UiTM Kampus Mukah.
Dihadapan kampus UiTM ini terdapat sebuah taman yang sangat cantik. Lanskapnya benar-benar tersusun. Ia menjadi kawasan berlibur bagi para pelajar dan penduduk setempat. Itu sebabnya saya menyatakan perancangan bandar Mukah memang terbaik di Sarawak. Namun begitu, kami masih belum menjumpai pasar utama Mukah. Mujur juga saya ini jenis ringan mulut bertanya kepada seorang gadis manis tentang lokasi pasar utama Mukah. Setelah diberitahu, barulah kami tahu bahawa pasar Mukah terletak di bandar lama Mukah. Jadi kami mempercepatkan langkah ke sana.
Sesampainya kami di bandar lama Mukah, barulah terasa keadaan Mukah yang sebenar. Namun saya amat teruja. Mukah tetap mempertahankan aura klasiknya dan tenang. Kami menginap di King Inn Hotel atas cadangan seorang teman yang selalu berkunjung ke Mukah. Dengan bayaran RM65 semalaman rasanya memang cukup berbaloi. Tidak pernah saya menginap di sebuah hotel bajet yang benar-benar selesa dan bersih. Malahan biliknya cukup luas dan kemas.
King Inn Hotel tempat penginapan kami
Ketika di hotel, hati saya sudah tidak dapat dari menahan diri untuk melihat laut Mukah. Ketawa besar pekerja kaunter hotel itu bila saya bertanyakan dimana lokasi pantai di Mukah. Katanya, pantai dan laut di Mukah tidak begitu cantik. Peduli apa saya dengan kata-katanya... saya dan cikgu Kumaresan bertekad, kami mesti pergi melihat laut. Tetapi pekerja kaubter hotel itu amat baik. Diberikannya kepada kami panduan bagaimana hendak ke laut. Saya bertambah bersemangat.
Petang itu juga, kami keluar bersiar-siar di sekitar bandar lama Mukah. Kamera memang sudah sedia tergantung di leher. Berhadapan dengan hotel penginapan kami, terdapat sebuah serombong kilang sagu lama yang sudah tidak digunakan lagi. Mukah dan orang Melanau sememangnya terkenal dengan pengeluaran sagu. Lama saya memandang serombong lama itu. Ia merupakan binaan yang unik dan kukuh. Serombong itu mungkin sengaja ditinggalkan, sebagai kenang-kenangan Mukah sebagai pusat pengeluaran sagu utama Sarawak.
Sebuah serombong bekas kilang sagu yang sunyi
Kami melalui jalan-jalan yang kami rasa betul untuk sampai ke pantai Mukah. Namun jawapannya hanya kehampaan yang kami temui. Kami tidak berjumpa dengan pantai dan laut Mukah. Puas kami berpusing-pusing malah bertanya pada manusia yang lalu lalang, bayangan laut pun tidak kami temui. Badan mula terasa penat. Akhirnya kami memutuskan untuk membatalkan hasrat melihat laut. Terasa kecewa di hati saya bila memikirkan impian melihat laut tidak kesampaian.
Kami meneruskan perjalanan kami ke bandar lama Mukah. Dari cerita teman-teman lama yang pernah berkunjung ke Mukah, disini terdapat perkhidmatan bot penambang yang amat-amat klasik. Bot penambang itu akan membawa kita menyeberang Sungai Mukah ke satu kawasan yang dikenali sebagai Taman Tanjung Pedada Seberang Mukah. Ianya merupakan kawasan paya bakau yang unik dan cantik. Berbagai-bagai flora dan fauna dapat ditemui disini. Antaranya spesis burung, monyet, haiwan akuatik dan berbagai-bagai lagi. Tambang yang dikenakan bagi menggunakan ialah RM0.40 sehala.
Kami meneruskan perjalanan kami ke bandar lama Mukah. Dari cerita teman-teman lama yang pernah berkunjung ke Mukah, disini terdapat perkhidmatan bot penambang yang amat-amat klasik. Bot penambang itu akan membawa kita menyeberang Sungai Mukah ke satu kawasan yang dikenali sebagai Taman Tanjung Pedada Seberang Mukah. Ianya merupakan kawasan paya bakau yang unik dan cantik. Berbagai-bagai flora dan fauna dapat ditemui disini. Antaranya spesis burung, monyet, haiwan akuatik dan berbagai-bagai lagi. Tambang yang dikenakan bagi menggunakan ialah RM0.40 sehala.
Bot penambang Sungai Mukah yang klasik
Papan tanda ke Taman Tanjung Pedada Seberang Mukah
Hafez J.Malim di dalam bot penambang dengan seorang penumpang
Agak menyedihkan, kawasan taman paya bakau ini agak kotor dan tercemar. Sampah sarap bersepah dan kelihatan tidak diuruskan dengan baik. Laluan kayu yang membolehkan kita berjalan melihat suasana paya bakau itu kelihatan sudah uzur malahan ada yang reput. Risau saya jika keadaan ini akan menimbulkan persepsi di kalangan pelancong asing yang datang berkunjung. Agak lucu juga melihat cikgu Kumaresan yang teruja melihat spesis ikan belacak yang banyak disini. Katanya dia tidak pernah melihat ikan belacak. Saya hanya tersenyum panjang.
Pemandangan di Taman Tanjong Pedada Seberang Mukah
Cikgu Kumaresan sibuk mengambil gambar ikan belacak.. hahahaha
Cari ikan belacak !!!
Perut kami mula berkeroncong. Sedari pagi tadi kami hanya menjamah roti canai dan tosai sahaja. Kami mengambil keputusan untuk pergi ke sebuah kedai mamak yang terdapat di Mukah ini. Mungkin kami sampai agak lewat, kelihatannya kedai mamak ini seperti hampir tutup. Namun ketika kami masuk kedalamnya, ternyata kedai itu masih beroperasi. Saya hanya memesan nasi goreng ayam telur mata dan cikgu Kumaresan makan nasi berlauk. Kata cikgu Kumaresan, lauk ayam masak kicap kedai mamak berkenaan amat sedap dan menyelerakan. Tetapi nasi goreng saya tawar... Huhuhuhuhu
Sempat juga kami berbual-bual dengan mamak yang menjadi tuan kedai itu. Katanya dia berasal dari Kuala Kangsar. Apabila diberitahu, saya berasal dari Bidor bukan main terkejutnya dia. Dia sudah lama menetap di Mukah. Hairan juga dia melihat kami berjalan-jalan berdua ke Mukah tanpa sebarang tujuan yang pasti.
Destinasi kami seterusnya ialah melihat kawasan bandar baru Mukah. Mukah tidaklah sebesar mana. Dengan berjalan kaki kita boleh meneroka bandarnya yang amat kemas dan tersusun. Saya tertarik dengan masjid utama Mukah. Ia sebuah bangunan yang penuh unsur-unsur tradisi kaum Melanau terutamanya pada bahagian bumbungnya. Menurut seorang teman, orang-orang Melanau menerima Islam sejak dari dahulu lagi melalui Kesultanan Brunei Darussalam. Kedudukan tempat tinggal mereka yang berhampiran dengan laut memudahkan lagi operasi pengislaman orang-orang Melanau ini. Namun demikian masih juga terdapat orang-orang Melanau yang beragama Kristian dan mengamalkan animisme. Antara tokoh ulama moden dikalangan orang Melanau yang terkenal ialah Mufti Perlis, Sahibus Samahah Dr. Haji Juanda Jaya.
Masjid Utama di Mukah.
Perhatikan kubahnya yang berdasarkan tardisi orang Melanau
Berhadapan dengan masjid ini, terdapat sebuah bangunan seperti menara masjid namun ianya agak terpisah jauh dari masjid dan terletak di seberang jalan. Saya sendiri tidak tahu kegunaanya. Namun ia sebuah monumen yang cantik. Ia membuatkan lanskap Mukah menjadi bertambah menarik.
Sebuah monumen yang menarik
Hujan gerimis turun petang ini. Nampaknya kami perlu segera pulang ke tempat penginapan kami. Mata kami tercari-cari juga jika terjumpa gerai yang menjual burger. Selalunya kami jika pergi ke sesuatu tempat, kami akan cuba merasa burger setiap kawasan. Hahahahahaa... namun hampa. Tiada orang berjual burger di Mukah ini nampaknya.
Malam itu, kami singgah makan di sebuah restoran yang terletak berhampiran dengan hotel kami. Kedudukan restoran ini amat menarik kerana ia terletak di persisir kuala Sungai Mukah. Nama restoran berkenaan ialah Riverside Restaurant. Ia kelihatan seperti sebuah restoran yang eklusif. Namun demikian saya dan cikgu Kumaresan tidak kisah sangat tentang soal harga janji rasanya berbaloi dengan nilainya.
Kami menempah tom yam campur, ayam goreng masak bijan, telur dadar dan peria goreng telur. Saya memesan air milo ais dan cikgu Kumaresan memesan ais bandung. Ketika hidangan sampai ke meja kami, alangkah terkejutnya kami ianya terlalu banyak untuk dimakan oleh dua orang manusia. Kami hanya tersenyum. Rasanya agak ok masakan disini. Satu masalah yang timbul ialah saya bukan jenis yang makan makanan laut. Namun segalanya berjaya dihabiskan oleh cikgu Kumaresan. Tidak mengapalah janji kami tidak membazirkan makanan. Sesuatu yang menarik di restoran ini ialah selepas sahaja anda selesai makan, kain alas meja akan diganti dengan yang baru. Ini menjadikan restoran ini kelihatan bersih.
Semasa ingin membayar harga makanan sekali lagi kami terkejut. Harga yang ditawarkan adalah amat berpatutan. Kami hanya dicas pada harga RM28 sahaja. Betul juga kata teman-teman yang pernah berkunjung ke Mukah, harga makanan di sini jauh lebih murah dari Kapit. Malam itu tiada aktiviti lain yang kami lakukan melainkan hanya berehat di dalam bilik penginapan. Hujan membantutkan program kami mencari gerai menjual burger. Akhirnya kami terlelap keletihan dan kekenyangan didalam balutan selimut yang amat selesa.
Esoknya, saya bangun agak lewat dari cikgu Kumaresan. Buka sahaja jendela kelihatan hujan turun dengan mencurah-curah. Hujan betul-betul merajuk dengan kami. Rasanya inilah kali pertama dalam siri penerokaan kami di bumi Sarawak hujan benar-benar memusuhi kami. Ketika hujan sudah hampir renyai-renyai, kami mula bergerak ke pasar Mukah. Mujur juga jarak hotel kami dengan pasar agak dekat jadi tidaklah kami kebasahan. Ketika lalu di kawasan wharf Mukah, kelihatan ramai manusia sedang sibuk berjual hasil laut. Teruja kami melihat harga yang ditawarkan terlalu murah jika ingin dibandingkan dengan Kapit.
Wharf R.C Coastal Mukah
Ikan murah-murah di Mukah
Suasana pasar Mukah
Saya juga punya tujuan lain ke pasar Mukah ini. Saya ingin membeli sagu. Mukah terkenal dengan sagunya. Lagipun ada saudara di semenanjung yang ingin sekali merasa sagu Mukah. Di pasar Mukah ini sagu dijual pada harga yang amat-amat murah.
Aneka jenis sagu di pasar Mukah
Kami membeli sarapan pagi di pasar Mukah. Harga makanan pagi di sini agak murah. Nasi lemak dan nasi ayam yang dibungkus dijual dengan harga yang amat murah iaitu sekitar RM 1 sahaja. Saya dan cikgu Kumaresan tidak melepaskan peluang ini. Dua bungkus seorang kami beli. Ternyata rasanya agak enak. Kalaulah saya mengajar di Mukah mungkin saya akan berlama-lama di sini. Hujan membuatkan kami tidak dapat bergerak jauh. Hanya pasar Mukah sahaja tempat kami berjalan-jalan.
Kami hanya melepak di hotel selepas itu. Menjelang jam 11 pagi kami sudah mula bergerak meninggalkan hotel penginapan kami menuju stesen bas Mukah. Sepanjang jalan hujan turun mencurah-curah. Kebasahan juga kami ketika sampai di stesen bas. Sebelum itu sempat juga kami singgah ke kedai mamak bagi merasa roti canai Mukah. Rasanya... ermmmm kurang menyengat.
Tepat jam 12.30 tengah hari, bas kami bergerak meninggalkan Mukah menuju ke Sibu. Fikiran saya kosong ketika bas bergerak perlahan-lahan meninggalkan Mukah. Tidak dapat melihat laut Mukah membuatkan saya begitu hampa. Hujan membuatkan perjalanan menjadi begitu sepi. Mukah membuatkan saya berfikir. Tidak semua perancangan akan menjadi nyata. Hanya kuasa Allah penentu setiap perancangan walaupun kita berusaha sedaya yang termampu.... impian menghirup bayu Mukah hanya tertunai di daratannya... lautnya hanya menjadi impian yang akan dikenang sepanjang usia.
Tepat jam 3 petang kami sampai ke Sibu. Bermalam semalaman dahulu di Sibu sebelum bergerak pulang ke Kapit keesokan harinya. Mukah .... bayu mu sentiasa menggamit impian ku !!!!
6 ulasan:
Mukah mengingatkan trip saya kesana utk mengambil gambar chimney.
salam tuan Thomas...
chimney di mukah amat2 klasik... nampaknya tuan dah sampai dulu.
Singgah mencari chimney kilang sagu yg masih berfungsi tapi tak jumpa di Sarawak,terjumpa pula di Kanthan ,Perak.
Assalamualaikum tmpng tnye klau dari terminal mukah nak ke bndar lama kne naik teksi ke? Jauh tak?
Tumpang tanya, restoran riverside tu halalkah? Kami di mukah, nampak restoran ni dr luar, mcm sekesa, tp bila diamati, pekerjanya spt non muslim.. tak pula turun kereta bertanya..
salam... ketika kunjungan saya pada ketika catatan ini ditulis ternyata terdapat beberapa pekerja muslim yang bekerja di restoran berkenaan. terdapat juga begitu ramai pelanggan yang terdiri dari keluarga muslim yang makan-makan berhampiran dengan kami. saya juga berkesempatan mengunjungi restoran ini dalam lawatan kedua saya ke mukah. dan ternyata masih terdapat pekerja muslim dan pelanggan muslim di restoran ini. wallahualambissawab.
Post a Comment