Ia sebenarnya berlaku dengan pantas dan tidak terduga. Angka 27 yang selalu saya jadikan angka bertuah di belakang helaian baju saya rupa-rupanya memang mempunyai tuahnya yang tersendiri. Saya sendiri tidak menyangka dalam usia 27 tahun ini saya telah menjadi seorang suami kepada seorang wanita bernama Masazura Bt Maslim.
Perjalanan panjang dalam perkenalan kami akhirnya berakhir dalam satu lafaz yang saya ucapkan di hadapan Tuan Kadi Kampung FELDA Sungai Kelamah pada tarikh 10 Disember 2011. Ada air mata mengalir keluar sebaik sahaja saya selesai melafazkan akad nikah. Segala peristiwa dan ingatan lama pada kesusahan kerja keras dalam mendirikan rumah tangga ini terus menerpa ke minda. Membuatkan saya sebak. Ianya bagaikan satu perjalanan panjang yang menghampiri noktah dengan kejayaan manis.
Dengan sekali lafaz, saya sah menjadi
suami kepada Masazura Bt Maslim
Perasaan saya sebenarnya bercampur-campur sebelum majlis perkahwinan ini. Malahan sehari sebelum bertolak ke Gemas, saya masih sempat mengunjungi makam-makam lama di sekitar negeri Perak bagi tujuan penulisan blog ini. Sepanjang perjalanan ke Gemas, saya lebih selesa mengelamun memikirkan banyak perkara lain yang langsung tiada kaitan dengan hal perkahwinan. Cuma bila tiba sahaja upacara akad nikah pada sebelah malamnya, barulah saya mula sedar peralihan zaman bujang kepada zaman berkeluarga sudah semakin hampir. Ketika inilah baru saya mula merasa debaran perkahwinan yang sebenar. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu bagaimana debaran hati saya ketika ini.
Sanak saudara sebelah emak dan ayah bergambar
kenangan di hadapan rumah keluarga saya di Bidor
sebelum bertolak ke Gemas.
Hujan turun dengan lebatnya pada ketika ini. Habislah saya dan rombongan akan basah lenjun. Benar jangkaan saya. Lorong rumah Azura agak sempit. Ini menyebabkan kami terpaksa meletakkan kereta dan bas jauh sedikit dari laluan rumahnya. Dapat dilihat pada ketika ini, abang dan anak-anak buah Azura sibuk memayungi kaum kerabat saya untuk ke khemah hidangan. Saya pula terkebil-kebil sendiri bersama pengapit saya Lutfi.
Akhirnya saya keluar dari kereta bersama pengapit saya Lutfi dalam keadaan hujan. Mujur juga ada payung. Hujan terlalu lebat. Memang kelam kabut jadinya. Tiba-tiba dari jauh kelihatan sebuah tandu diarak menuju ke arah saya. Ya Allah !!! Azura ditandu oleh kaum keluarganya. Riuh rendah jadinya pada ketika ini. Saya hanya mampu mengelengkan kepala saya. Saya diminta oleh keluarga Azura untuk naik sekali di atas tandu tersebut. Mahu tidak mahu terpaksalah saya mengikut. Sudahlah hujan lebat. Saya terpaksa pula memayungi diri saya di atas tandu tersebut bersama Azura. Rasa seronok pula diarak dan ditandu. Sejujurnya ia adalah pengalaman yang pasti tidak akan saya lupakan seumur hidup.
kenangan di hadapan rumah keluarga saya di Bidor
sebelum bertolak ke Gemas.
Keluarga sebelah pihak saya memulakan perjalanan menuju ke Gemas dari Bidor pada hari Sabtu bersamaan dengan 10 Disember 2011. Kami bergerak dari Bidor hanya dengan 2 buah kereta. Kami singgah di Ampang sebentar di rumah adik bongsu emak iaitu Pakcik Hairuddin. Terharu saya ketika berada di Ampang kerana Pakcik Hairuddin dan isterinya Makcik Intan telah mengadakan sedikit majlis doa selamat untuk perjalanan kami sekeluarga. Terima kasih Pakcik Hairuddin dan Makcik Intan yang juga turut serta dalam perjalanan ke Gemas selepas itu.
Ketika berhenti di RnR Seremban, kami disusuli pula oleh 2 buah kereta anak - beranak Wan Andak. Alhamdulillah menjelang petang kami sekeluarga selamat sampai ke Gemas. Mujur juga keluarga Azura telah menyediakan 2 buah rumah untuk kemudahan kami bermalam. Agak lucu juga bila di setiap rumah kami menginap disediakan juga dengan buah durian. Riuh rendah jadinya bila 'hardcore' durian dari Perak menyantap durian Negeri Sembilan. Hhahahahahaha.
Pada sebelah malamnya ialah sesi upacara akad nikah. Walaupun hati berdebar namun Alahamdulillah segalanya berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Tema warna yang dipilih pada malam ini ialah kelabu. Keluarga di belah pihak saya memang telah menyediakan baju berwarna hitam atau kelabu bagi menyerikan lagi majlis akad nikah. Terima kasih kepada pengapit saya iaitu Lutfi yang sentiasa menemani saya. Juga kepada bapa saudara saya Encik Tan Nazis yang banyak menguatkan semangat saya walaupun air mata saya asyik berjatuhan tanpa henti. Ayah saya kelihatan tenang. Ketenangan ayah lah yang banyak membuatkan saya menjadi lebih selesa menghadapi Tok Kadi. Ermmmm....
Berdebar sebelum majlis akad nikah.
Saya sebak sendiri selepas akad nikah
Selepas itu diadakan pula upacara membatalkan air sembahyang. Pertama kali saya melihat isteri saya Azura begitu anggun pada malam ini. Pertama kali bertentang mata sata dapat merasakan getaran pada hati saya. Kini kami sudah sah menjadi pasangan suami isteri. Saya bagaikan sukar mempercayai bahawa wanita cerah di hadapan saya sudah menjadi isteri saya. Namun itulah realitinya... saya sudah menjadi suami !!!
Menyarungkan cincin
Masazura Bt Maslim..isteri saya
Bergambar kenangan bersama keluarga
Malam selepas upacara akad nikah saya sukar untuk melelapkan mata. Pelbagai perkara mula memenuhi ruang fikiran saya. Ketika kaum kerabat saya sudah lena dibuai mimpi, saya pula berjuang untuk melelapkan mata. Barulah saya sedar betapa beratnya tanggungjawab bila sudah bergelar suami. Saya sedar cabaran dan dugaan yang akan saya lalui bersama Azura dalam menempuh bahtera rumah tangga. Semoga perjalanan kami berdua dirahmati oleh Allah SWT. Saya sendiri tidak sedar bila saya terlena...semuanya berlalu pantas.
Esoknya awal-awal pagi lagi emak telah mengajutkan saya dari lena. Katanya saya tidur berdengkur sepanjang malam. Huhuhuhuhu. Saya sebenarnya bukan jenis yang tidur berdengkur. Agaknya mungkin akibat dari keletihan. Kami keluar bersarapan di pekan Gemas. Ketika pulang dari bersarapan, keluarga Azura rupa-rupanya telah menyediakan sarapan pagi untuk keluarga kami. Ermmm... habis juga kami bedal roti canai yang disediakan. Kira-kiranya kami bersarapan dua kali lah pagi itu. Hahahahaha
Rombongan bas dari Bidor yang membawa kaum kerabat saya dari Bidor sampai ke Gemas pada jam 12 tengah hari. Adik saya Aminah dan tunangnya pula terpaksa pulang awal kerana urusan kerja. Agak gembira juga saya apabila teman serumah saya di Kapit Hafis Mat Dom datang bersama bakal tunangannya. Masalah mula timbul apabila mak andam yang akan membantu saya memakai set persalinan bersanding masih tidak sampai-sampai lagi sedangkan waktu sudah hampir menunjukkan angka 1. Sanak saudara saya sudah mula mengeluh. Mereka sudah siap lengkap berbaju hijau. Sedangkan pengantin lelakinya masih lagi tidak bersiap. Pada ketika ini juga hujan mula turun dengan lebatnya. Saya mula panas hati !!!
Akhirnya mak andam yang sekian lama ditunggu muncul dengan tergesa-gesa. Hati saya yang panas terus menjadi sejuk. Namun memang saya memuji hasil kerja dan profesionalisme mak andam ini yang menyiapkan saya dengan pantas. Tidak sampai 15 minit kemudian saya sudah suap sedia dengan sepersalinan baju berwarna hijau tin milo. Hahahaha. Kebetulan Hafis Mat Dom memandu kereta Proton Exora barunya, saya mengambil keputusan untuk menerima pelawaannya membawa saya ke rumah Azura. Bak kata pepatah lama ' ibarat orang mengantuk disorongkan bantal".. hahahaha
Hujan turun dengan lebatnya pada ketika ini. Habislah saya dan rombongan akan basah lenjun. Benar jangkaan saya. Lorong rumah Azura agak sempit. Ini menyebabkan kami terpaksa meletakkan kereta dan bas jauh sedikit dari laluan rumahnya. Dapat dilihat pada ketika ini, abang dan anak-anak buah Azura sibuk memayungi kaum kerabat saya untuk ke khemah hidangan. Saya pula terkebil-kebil sendiri bersama pengapit saya Lutfi.
Opah saya dipayungi oleh salah seorang abang Azura
Ditandu bersama isteri
Memang basah lenjun ketika kami bersanding. Pengapit saya Lutfi paling teruk. Tidak berpayung dan hampir 90 peratus bajunya kuyup. Namun acara mesti diteruskan juga. Apa yang pasti majlis di rumah Azura memang meriah. Tetamu bertali arus datang walaupun hujan lebat. Majlis persandingan berjalan dengan lancar walaupun kebasahan. Beberapa teman lama di UPSI turut hadir bagi memeriahkan majlis. Azura kelihatan anggun dengan persalinan hijau. Setiap kali bertentang mata kami tersenyum bersama.
Habis saya, isteri dan pengapit basah lenjun
Emak saya merenjis air mawar ketika majlis persandingan
Ayah saya turut serta menabur beras kunyit
Ibu dan bapa mertua saya Encik Maslim dan Puan Kaseh
Satu perkara yang menarik ketika majlis bersanding secara tiba-tiba muncul seorang lelaki membawa piring di hadapan kami. Saya agak terkejut dengan perlakuan lelaki ini yang secara tiba-tiba muncul dan bersalaman dengan saya. Rupa-rupanya, lelaki tersebut ialah seorang penari tarian piring. Seumur hidup saya inilah kali pertama saya melihat tarian piring ditarikan. Walaupun hanya seorang, namun saya begitu tertarik dengan tarian ini. Sebelum memulakan tarian penari tersebut akan menyarungkan keluli seakan-akan cincin di jarinya. Ianya bertujuan untuk dilagakan dengan piring kaca sewaktu beliau sedang menari dengan mengikut irama dari kumpulan hadrah yang turut serta sewaktu majlis persandingan.
Tarian piring yang mempersonakan
Namun memang saya akui, majlis pernikahan adalah sesuatu yang meletihkan. Dengan tetamu yang ramai dan begitu ramai yang ingin bergambar kenangan membuatkan saya terkejar-kejar untuk memenuhi hajat mereka. Malahan ketika makan beradab, boleh dikira dengan jari berapa suap saya memasukkan nasi ke mulut saya. Huhuhu
Mujur juga hujan berhenti selepas bersanding dan makan beradab. Baru lah perasaan saya menjadi selesa sedikit. Namun persalinan saya dan Azura masih basah. Ketika ini barulah saya dapat beramah mesra dengan tetamu yang hadir. Sesi fotografi juga dapat dijalankan pada ketika ini. Menjelang jam 3 petang, rombongan keluarga saya mula beransur-ansur bergerak pulang. Mereka akan singgah ke Nilai pula selepas ini dan saya pula tertinggal bersama keluarga baru saya. Ermmm... mulalah fikiran saya menjadi takut !!!
Bergambar kenangan bersama emak dan ayah
ibu dan bapa mertua
Ini keluarga baru saya !
Selepas sesi bergambar yang begitu memenatkan barulah saya berkesempatan berehat. Namun demikian sempat juga saya berkaraoke di luar rumah. Hahahahaha... baru saya sedar rupa-rupanya saya sudah lama tidak berkaraoke. Jadilah sebuah lagu ... yang penting dapat melepaskan kerinduan.
Petang itu saya dan Azura memulakan aktiviti mencuci periuk. Pening juga kepala melihat periuk-periuk besar yang hampir kesemuanya hitam legam. Kenalah saya dan Azura menyental periuk sampai malam. Sedikit sebanyak saya mula sedar bahawa adat menyental periuk bagi pasangan pengantin adalah sama diantara negeri Perak dan Negeri Sembilan. Orang Melayu Perak juga mengamalkan adat ini. Nampaknya habis lah kami berdua ... di Gemas mencuci periuk dan di Bidor pun nanti nampaknya begitu juga...huhuhuhu
Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua yang banyak membantu melancarkan majlis perkahwinan saya ini. Hanya Allah SWT sahaja yang mampu membalas budi dan jasa kalian kepada saya. Doakan kebahagiaan saya dan isteri. Banyak air mata yang tumpah dalam membina perkahwinan ini. Jika ada salah dan silap mohon dimaafkan dari hujung rambut ke hujung kaki.
Dari Bidor ke Gemas .... saya tahu saya bukan lagi lelaki liar seperti dulu !!!!
Hafez J.Malim sudah berkahwin.
7 ulasan:
Selamat Pengantin Baru,
ngam betul
bagai pinang dibelah dua.
selamat pengantin baru!!!! frm ayahchik!! heheh click link ni utk persediaan jadi bapa... :)
http://www.churpchurp.com/sungkei/share/DutchLadyGrow
Tuan Thomas... terima kasih atas ucapan itu. Nampaknya selepas ini saya sudah berteman untuk mencari cerita baru di blog ini... hehehehe
Buat tok chik...terima kasih atas info tersebut..
rajin ko menulis ye ...apa apa pun penulisan yang bagus
sdra halim abdul aziz..terima kasih ats kunjungan ke blog ini. ko pun kena rajin menulis semula blog ko. makin sepi aku tengok sekarg ni.
Selamat pengantin baru , semuga berbahagia ke anak cucu, tahniah jg kerana bakal di gelar bapa , semoga berbahagia di samping isteri tercinta dan tersayang .
terima kasih kakak Barathi... semoga kakak juga berbahagia bersama keluarga tersayang
Post a Comment