Selepas menghabiskan masa hampir sejam lamanya di pekan lama Kampung Kepayang, saya meneruskan perjalanan menuju ke Gopeng. Dari Gopeng saya terus menghala ke arah selatan. Apabila sampai ke Jeram Kuala Dipang saya membelok ke kiri bagi menuju ke sebuah pekan lama yang agak tersisih jauh dari jalan persekutuan iaitu pekan Sungai Siput Selatan.
Papan tanda menyambut kehadiran anda ke Sungai Siput Selatan.
Sungai Siput Selatan merupakan sebuah pekan perkampungan yang terletak tidak jauh dari bandar Kampar. Namun demikian kedudukannya agak tersisih dari jalan raya utama persekutuan. Ini menjadikan pekan ini agak sunyi dan lengang. Majoriti penduduk disini ialah kaum Cina. Sukar menjumpai orang Melayu di pekan ini. Namun demikian, komuniti orang Asli agak ramai yang mendiami perkampungan di berhampiran pekan Sungai Siput Selatan ini. Jadi tidak hairanlah jika kita akan mudah terserempak dengan masyarakat orang Asli yang banyak menjadikan pekan ini sebagai tempat untuk mencari barang keperluan harian.
Sebenarnya, bila kita menyebut tentang Sungai Siput kita biasanya akan membayangkan bandar Sungai Siput yang pernah suatu ketika dahulu menjadi kubu kuat bekas presiden MIC, Datuk Seri S.Sami Vellu. Namun demikian Sungai Siput dan dan Sungai Siput Selatan adalah terlalu banyak bezanya. Sungai Siput kini merupakan sebuah bandar yang semakin pesat membangun dan terletak berhampiran dengan Kuala Kangsar dan Ipoh. Manakala Sungai Siput Selatan pula hanyalah sebuah penempatan kecil yang didiami tidak kurang dari 200 orang penduduk dan jarak antara keduanya hampir 80 kilometer. Dan dari fakta-fakta yang saya temui di internet menyatakan bahawa usia pekan Sungai Siput Selatan ini menjangkau 140 tahun !
Sepanjang perjalanan ke pekan Sungai Siput Selatan ini, saya dihidangkan dengan panorama yang indah sekali. Saya dapat melihat banjaran-banjaran gunung, sungai dan tasik-tasik bekas lombong bijih timah yang tenang dan nyaman. Terdapat sebuah kawasan perkhelahan bernama hutan lipur Sungai Salu di pinggir jalan menuju ke pekan ini. Ia sebuah hutan lipur dengan air terjun yang sangat cantik. Jalan menuju ke Pekan ini agak sunyi. Hanya sesekali barulah ada kenderaan lain yang berselisih dengan motosikal saya. Saya memang benar-benar menikmati perjalanan ini. Meter motosikal saya langsung tidak melepas 50km/j. Hehehehehe
Papan tanda menuju ke Hutan Lipur Sungai Salu
Bukit-bukit menghijau menemani
perjalanan anda ke pekan Sungai Siput Selatan
Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah jalan menuju ke pekan ini akan melalui sebuah kuari batu yang masih beroperasi. Namun demikian jangan terkejut bila melihat ada sebuah laluan membawa batu ( barangkali ? ) yang merintangi perjalanan anda. Ketika melalui di bawahnya, agak risau juga saya jika ada batu yang jatuh menghempap saya. Namun andaian buruk itu hanya berlalu begitu sahaja.
Laluan yang membawa batuan kuari merintangi jalan
ke pekan Sungai Siput Selatan
Saya sampai ke Sungai Siput Selatan agak lewat petang juga. Sunyi dan tenang itulah gambaran pertama yang menerjah ke minda saya sebaik sahaja menjejakkan kaki ke sini. Jalannya lengang malahan hanya ada beberapa kenderaan sahaja yang kelihatan. Rumah-rumah kedai di pinggir jalan kelihatannya sudah tidak berfungsi sebagi kedai lagi sebaliknya dijadikan kediaman sahaja. Namun lanskapnya menarik dan bersih. Kelihatan sayup dibelakangnya bukit-bukit yang hijau dan segar. Beberapa orang warga emas bersiar-siar sambil menjaga anak cucu mereka bermain. Semuanya kelihatan santai. Malahan beberapa ekor anjing berkeliaran bebas di jalan raya tanpa ada sedikit pun perasaan takut pada kenderaan yang sememangnya tidak banyak !
Barisan rumah kedai yang dijadikan rumah dilatari
oleh bukit yang menghijau
Saya seterusnya memasuki kawasan utama pekan ini. Beberapa buah kedai masih beroperasi. Kelihatannya masih agak sibuk dengan pelanggan. Saya singgah sebentar di sebuah kedai runcit untuk membeli air menghilangkan dahaga. Ia sebuah kedai runcit lama. Pelanggannya banyak terdiri dari orang-orang Asli yang bermotosikal tanpa memakai helmet ke pekan ini !
Sebuah kedai runcit di pekan Sungai Siput Selatan
Tiada pejabat-pejabat kerajaan yang wujud disini melainkan sebuah pondok polis dan sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina iaitu SRJK Sin Min. SRJK ini tidak mempunyai ramai murid dan merupakan antara beberapa buah sekolah kurang murid yang masih wujud di negeri Perak Darul Ridzuan ini. Sekolah ini masih mengekalkan bentuk asal dengan bangunan lamanya masih teguh berdiri. Maklumat tambahan dari blog http://j-on-news.blogspot.com menyatakan bahawa hanya terdapat 26 orang murid sahaja yang masih menuntut di sekolah ini dengan tenaga pengajar seramai 10 orang.
Pondok Polis pekan Sungai Siput Selatan
SRJK Sin Min Sungai Siput Selatan
Penduduk tempatan berkemungkinan lebih selesa memebeli belah di bandar Kampar atau Gopeng. Yang berkenderaan sendiri pula sudah pasti akan ke Ipoh untuk mencari barangan keperluan harian. Tiada kemudahan stesyen minyak disini. Pengangkutan awam yang ada cumalah bas syarikat Kinta. Itupun saya tidak tahu sama ada ia masih beroperasi atau tidak ke pekan Sungai Siput Selatan ini.
Perkhidmatan bas Syarikat Kinta yang
beroperasi di pekan Sungai Siput Selatan
( http://e.nst.com.my/ )
( http://e.nst.com.my/ )
Saya tidak lama di pekan ini. Keadaan petang yang semakin gelap membuatkan saya perlu segera meninggalkan pekan Sungai Siput Selatan. Dengan menggunakan jalan dalam yang jarang digunakan oleh kenderaan saya meneruskan perjalanan menuju ke destinasi pekan lama terakhir saya iaitu pekan Chenderiang. Sebelum meninggalkan pekan ini sempat saya melihat panorama petang pekan Sungai Siput Selatan ini. Ia sebuah pekan kecil tua yang tenang dan sunyi. Saya tahu esok lusa ia akan tetap begitu dan saya akan selalu mengingatinya ... jumpa lagi Sungai Siput Selatan !
3 ulasan:
Pernah saya lalu bandar ni dlm sesi jln2 saya dari Malim Nawar.
Tuan Thomas.. bandar yang sunyi. tuan tidak berjumpa chimney di sini?
Terbaik perkongsian tuan...baru saya tau apa tu sg siput selatan
Post a Comment