Hafez J.Malim Menjual Kain
Dalam usia remaja yang penuh dengan cabaran kehidupan, saya jarang melepaskan peluang yang terhidang di depan mata untuk menambahkan wang saku. Walaupun sudah menjadi kedi dan memperoleh pendapatan yang agak lumayan, sesekali saya akan bertukar angin dengan bekerja sebagai pembantu perniagaan di kedai kain milik sepupu saya di bandar Kampar. Selain dari membantu sepupu saya di kedai, saya juga mengikutinya berniaga kain di pasar-pasar lambak ( pasar sehari ) di sekitar daerah Batang Padang, Kinta dan Hilir Perak.
Pemandangan di sebuah pasar lambak
Mulanya adalah sekadar mengikuti abang sepupu saya yang kebetulan bekerja dengan abang iparnya yang menjual kain. Niat dihati hanya sekadar menemaninya namun akhirnya saya mengikut sekali membantu menjual kain. Namun upahnya tidaklah semewah menjadi kedi. Tetapi bekerja menjual kain terutama di pasar-pasar sehari amat menyeronokkan hati saya. Bertemu dan melihat pelbagai kerenah manusia yang datang membeli kain pasang, kain langsir, tudung dan selendang memberikan saya sejuta satu pengalaman yang berguna. Seterusnya ia melatih diri saya yang kini seorang guru untuk lebih berkeyakinan, apabila berhadapan dengan jutaan kerenah ibu-bapa pelajar di sekolah. Selain dari itu, sebab yang paling utama sudah pastilah untuk melihat gadis-gadis manis yang datang berkunjung ke pasar lambak. Ah ... biasalah dalam usia remaja. Naluri sebegitu memang tidak dapat dielakkan ... hahahaha
Namun, bekerja sebagai penjual kain ini bukanlah sesuatu yang indah. Jika tidak kena pada waktu dan harinya kami boleh pulang dengan keuntungan yang sedikit. Kadangkala hujan turun dengan lebatnya sehingga perniagaan tidak dapat dibuka dan kadar gaji juga berkurangan. Ia juga bagaikan satu perniagaan yang mengikut musim dan kehendak pelanggan. Menjelang hari raya dan cuti sekolah, pasti setiap pasar minggu yang kami sertai akan diserbu oleh pelanggan. Ketika itu duit dalam nilai not $500 dan $1000 masih digunakan di dalam pasaran. Maka tidak hairanlah not berkenaan bagaikan keluar masuk dan bertukar tangan tanpa had di kedai kami.
Bekerja menjual kain di bulan puasa dalam suasana yang panas terik benar-benar memberikan cabaran kepada saya dan abang sepupu saya. Pernah jugalah kami berdua ponteng puasa secara senyap-senyap tanpa pengetahuan abang iparnya. Paling tidak dapat saya lupakan ialah ketika kami di hon berkali-kali oleh kereta yang berada di belakang motosikal yang kami tunggangi di atas jalan raya setelah pemandunya melihat kami berdua minum air kelapa bungkus dengan slumber sewaktu pulang dari kerja. Sesekali apabila mengenangkan peristiwa itu saya sering tersenyum sendirian. Betapa rendahnya kualiti iman dan moral saya ketika itu. Namun ia akan kekal sebagai sesuatu kenangan yang terindah buat saya.
Dalam sebulan, adalah dua atau tiga kali saya mengikut abang sepupu saya menjual kain. Lazimnya tempat yang selalu menjadi ikutan saya ialah pasar minggu di bandar Batu Gajah. Pasar minggu Batu Gajah yang diadakan pada setiap hari Ahad merupakan sebuah pasar minggu yang agak besar. Selain dari itu saya juga sering mengikutinya ke pasar minggu di Chenderong Balai, Tapah dan Langkap. Saya tidaklah bekerja dalam erti kata sebenarnya dan hanya membantu dalam kerja-kerja yang ringan seperti membungkus, melipat dan mengangkat kain sewaktu membuka dan menutup perniagaan. Hal-hal seperti melayan pelanggan dan memotong kain sememangnya saya tidak mampu atas alasan usia.
Namun, bekerja sebagai penjual kain ini bukanlah sesuatu yang indah. Jika tidak kena pada waktu dan harinya kami boleh pulang dengan keuntungan yang sedikit. Kadangkala hujan turun dengan lebatnya sehingga perniagaan tidak dapat dibuka dan kadar gaji juga berkurangan. Ia juga bagaikan satu perniagaan yang mengikut musim dan kehendak pelanggan. Menjelang hari raya dan cuti sekolah, pasti setiap pasar minggu yang kami sertai akan diserbu oleh pelanggan. Ketika itu duit dalam nilai not $500 dan $1000 masih digunakan di dalam pasaran. Maka tidak hairanlah not berkenaan bagaikan keluar masuk dan bertukar tangan tanpa had di kedai kami.
Air kelapa muda buat pelepas dahaga ponteng puasa
Sesekali jika saya tidak mengikuti abang sepupu saya berniaga di pasar-pasar minggu, saya diminta pula bekerja di kedai kain yang terletak di Kampar. Namun ianya tidaklah selalu dan hanya selepas abang sepupu saya mendapat kerja tetap barulah abang iparnya meminta saya bekerja di kedainya dengan lebih kerap. Di kedai suasananya berbeza. Pelanggan tidaklah seramai di pasar-pasar minggu. Ia membuatkan saya mudah bosan dengan suasana seperti ini. Lama-kelamaan, saya juga akhirnya tidak lagi membantu di kedai ini. Tambahan pula usia saya juga semakin meningkat dan tumpuan kepada peperiksaan SPM juga membuatkan saya semakin malas untuk bekerja. Saya juga dapat merasakan diri saya sebenarnya tidak berbakat dalam pekerjaan yang melibatkan perniagaan.
Kini, perniagaan kain milik abang saudara saya itu telah berkembang dengan pesatnya. Walaupun beliau tidak lagi berniaga di pasar-pasar minggu utama, namun kedainya di Kampar terus dikunjungi oleh pelanggan. Beliau bukan sahaja berniaga kain malah mengambil tempahan langsir. Langsir untuk perkahwinan saya dahulu juga ditempah di kedainya. Sesekali jika saya ke bandar Kampar, sering saya singgah ke kedainya yang banyak memberi kenangan kepada saya. Walaupun bukanlah selalu saya bekerja disini namun ia tetap telah memberikan saya pengalaman yang amat bermakna dalam hidup.
Kadangkala apabila terlihat anak kecil yang bekerja di kedai-kedai kain mudah sahaja saya tersenyum sendirian kerana saya tahu dahulu itulah diri saya !
1 ulasan:
Apa nama kedai kain kat kampar tuh?
Post a Comment