BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, January 15, 2011

Sepagi Di Kapit

Ini tahun ke tiga ( sebenarnya tahun ke-4 kerana saya sampai di Kapit pada tahun 2008 ) saya di Kapit. Sebenarnya saya sudah mula merasa sunyi di sini. Dalam usia sebegini hati dan perasaan sudah mula manjadi tepu. Keseronokan masa muda sudah mula menghindar jauh. Ditambah dengan beban kerja di sekolah membuatkan apa yang dikecapi dahulu akan dibuang jauh-jauh. Ia membuatkan saya lebih suka bersendirian... itu lebih baik.

Semalam, selepas solat Subuh saya berjalan kaki sendirian menenangkan fikiran. Niat di hati hanya ingin melihat suasana pagi di Kapit. Sebenarnya saya suka melihat kabus pagi. Di Kapit ini udaranya nyaman dan sejuk.  Dengan kamera tergalas, saya meneroka pemandangan dan denyut nadi kehidupan Kapit di waktu pagi. Ia benar-benar memberi saya kenikmatan. Di bawah ini disertakan beberapa gambar senario pagi di Kapit. Buat teman - teman di luar sana yang sering bertanya bagaimana suasana di Kapit, inilah realiti sebuah pekan yang menjadi tempat saya mencari rezeki. Ia membeli sejuta sayang yang saya tinggalkan di tanah besar Semenanjung .....

Pemandangan Kampung Baru yang didiami oleh majoriti orang Melayu
dari atas puncak bukit  Air Port

Dermaga Tongkang Kapit.
Tempat pertama saya menjejakkan kaki ke Kapit

Sebahagian dari pekan Kapit

Salah satu tempat yang wajib dikunjungi di Kapit ialah Pasar Teresang. Di sinilah sebenarnya nadi kesibukan pekan Kapit. Apa yang menarik di sini ialah anda boleh menjumpai makanan eksotik yang sukar dicari di tempat kita. Kebetulan kunjungan saya ke sini semalam jatuh pada musim ikan semah ( kelah ). Berbuih mata melihat harganya. Buat pertama kalinya dalam sejarah hidup saya di Kapit dapat melihat ikan Empurau. Dengar cerita harga ikan Empurau ini boleh mencapai ribuan ringgit bagi sekilogram... 

Pasar Teresang... denyut nadi kehidupan Kapit

Suasana di dalam Pasar Teresang



Pernah tengok ikan semah (kelah ) dan ikan empurau?
Yang atas dan bawah sekali ikan kelah... yang di tengah-tengah
ialah ikan empurau.


Ini musim ikan semah ( kelah ) di Kapit. Harganya ?
anda fikirlah sendiri

Ikan Baung

Yang ni pulak... RM10 untuk 3 ekor... ade berani?

Cabai ( cili ) hantu ... kata orang Kapit antara yang terpedas.
.saya masih belum mencuba.

Kapit kaya dengan panorama perbukitan yang indah. Sasterawan Negara ( SN ) A.Samad Said pernah sampai ke sini. Dalam salah satu buku kenangan perjalanannya ke Sarawak ( saya terlupa judul buku itu ), beliau mengatakan Kapit ialah tempat mencari kedamaian dan ketenangan dari hiruk piruk kota besar. Saya mengakui kata-katanya itu. Ia satu daerah yang membolehkan kita bermesra sepuasnya dengan alam.

Pemandangan di Pangau Danau







Panorama perbukitan di Kapit sememangnya menarik. Kabus pagi sentiasa menarik perhatian saya. Penduduk tempatan seringkali menanam padi huma di lereng-lereng bukit ini. Namun demikian, masih terdapat tumbuhan - tumbuhan semulajadi tumbuh meliar. Lensa kamera saya berdetik selalu merakamkan suasana ini.



Antara tumbuhan liar yang terlihat



Rasanya kemudahan di Kapit agak baik. Saya sempat merakamkan beberapa kemudahan asas yang dibangun kan oleh kerajaan khusus untuk penduduk Kapit.

Terminal Penumpang Kapit

Bangunan Kapit District Council ( KDC )

Di Kapit juga masih terdapat kesan - kesan sejarah peninggalan penjajahan keluarga Brooke di Sarawak. Tinggalana sejarah yang dimaksudkan itu ialah kubu yang diberi nama Fort Sylvia. Apa yang menarik dengan bangunan tua ini ialah di dindingnya diletakkan papan tanda aras air semasa banjir besar yang pernah berlaku di Kapit. 

Fort Sylvia ... tinggalan sejarah pemerintahan keluarga Brooke di Sarawak

catatan aras air banjir diabadikan di dinding Fort Sylvia

Sepagi di Kapit benar-benar menenangkan hati saya. Tidak tahu lagi bila kapal diri ini akan berlepas meninggalkan Kapit. Ia masih berlabuh di sini seolah-olah mahu kekal. Esok lusa siapa yang tahu ke mana arah haluan diri ini.... KAPIT menggamit saya untuk bersama menikmati kasih sayangnya.









Thursday, January 13, 2011

INTERLOK


Setelah berfikir sedalamnya, saya mula merasa bahawa gejala mempolitikkan sesuatu isu dalam hal ehwal pendidikan sudah mula menjadi amalan biasa di Malaysia. Banyak perkara dalam bidang pendidikan yang seharusnya menjadi wadah penyatuan bangsa besar Malaysia sering kali dipolitikkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Saya yang menjadi guru kadang kala merasa kesal melihat fenomena ini. Ia membuatkan sistem pendidikan seakan - akan kucar-kacir tanpa perancangan yang tetap.

Isu berkenaan novel Interlok karya agung Sasterawan Negara ( SN ) Abdullah Hussain sebenarnya membuatkan saya loya dengan gelagat sesetengah pihak. Soalan saya di sini... pernahkan pihak - pihak berkenaan membaca novel Interlok ini? .... hanya kerana satu perkataan habis satu Malaysia mahu digegar. 


Sasterawan Negara Abduulah Hussain

Saya sebenarnya sudah membaca novel ini hampir empat kali. Dan perkara pertama yang bermain di kepala saya apabila terpandang novel ini ialah soal perpaduan yang menjadi tunjang utama kepada latar cerita novel ini. Ia menggambarkan realiti sebenar nuansa era sebelum merdeka dan selepas merdeka. Kenapa selepas hampir 40 tahun kewujudan novel ini baru sekarang ia diperdebatkan ? .... 

SN Abdullah Hussain seorang pengarang atau penulis yang cukup-cukup hebat jalan penceritaanya. Pengalaman dan usia nya menjadi bukti beliau bukan seorang penulis sembarangan. Novel-novel beliau cukup mantap dan menarik... tanya lah peminat sastera tegar tentang novel Imam, Konserto Terakhir dan lain - lain lagi .... betapa mantapnya jalan penceritaanya. Interlok bukan novel cinta picisan.... ia mengangkat satu gambaran awal tentang kewujudan satu bangsa Malaysia namun bagi sesetangh pihak novel ini amat merbahaya kepada sesuatu kaum .... pada yang memberontak terutama ahli politik yang bersama-sama memperjuangkan isu memansuhkan novel ini sebagai teks KOMSAS, ini nasihat saya ... baik kita baca dulu novel ini. 

Saya menyokong sepenuhnya novel Interlok dijadikan teks sastera KOMSAS. Ia novel yang cukup kuat perisa perpaduannya. Selaras dengan gagasan 1 Malaysia marilah kita bersama - sama berusaha menyokong perjuangan ke arah satu bangsa Malaysia yang aman dan harmoni.


HIDUP
SN ABDULLAH HUSSAIN



Saturday, January 8, 2011

Kembara Pekan Terpencil 1 : Pekan Trolak

Cuti sekolah baru-baru ini sempat juga saya membuat kunjungan ke pekan - pekan kecil dan terpencil dalam daerah Batang Padang negeri Perak Darul Ridzuan. Sebagai sebuah negeri yang boleh dianggap tertua, Perak sememangnya istimewa kerana masih memiliki kumpulan pekan - pekan kecil yang pada anggapan saya belum lagi terusik dengan pembangunan yang nyata, sebaliknya terus kekal dengan gaya kolonial dan klasik.

Bagi masyarakat Malaysia terutama warga FELDA, nama FELDA Wilayah Trolak memang agak terkenal. Ditambah dengan kewujudan MRSM FELDA maka secara tidak langsung nama Trolak menjadi agak dikenali. Namun bagaimana pula dengan kewujudan pekan Trolak... ramai yang beranggapan bahawa pekan Trolak mestilah terletak di FELDA Trolak. Jawapan itu adalah salah kerana pekan Trolak adalah pekan yang sudah wujud sejak zaman penjajahan British lagi ditambah pula dengan jaraknya yang agak jauh dari FELDA Trolak. Dari pandangan saya secara peribadi, pekan Trolak ini mungkin wujud akibat dari perkembangan penanaman getah yang banyak ditanam di kawasan ini sejak dari zaman penjajahan British.

Bagi pengguna jalan raya persekutuan dari Sungkai ke Slim River lazimnya kurang menyedari kewujudan pekan Trolak. Ini adalah kerana kedudukannya yang memerlukan pengguna jalan raya masuk ke simpang jalan sebelum bertemu dengan pekan ini. Sewaktu kunjungan saya ke sini kira - kira 5 tahun yang lalu, pekan ini masih agak meriah dengan pelbagai aktiviti harian. Namun sewaktu kunjungan yang terbaru ini jelas pekan ini sudah mula mengalami zaman suramnya. Sebuah balai Polis dan Pejabat Pos menjadi nadi utama pakan Trolak. Apa yang menarik perhatian saya di sini ialah kewujudan sebuah jambatan yang meretangi sebatang sungai. Pada tembok jambatan itu tertera tahun jambatan itu dibina iaitu pada tahun 1939.



Masjid pekan Trolak di seberang sungai

Suasana pekan Trolak pada jam 3 petang

Sunyi dan sepi

Jambatan lama tertera tahun pembinaan 1939

 Pejabat Pos pekan Trolak... klasik yang menarik


Secara kasar, saya melihat kehidupan di pekan Trolak adalah mudah dan tenang. Majoriti penduduknya mungkin berketurunan India dan Melayu namun kaum Cina juga memainkan peranan yang aktif di sini. Pejabat Pos pekan Trolak begitu menarik minat saya. Ia sebuah banggunan kayu yang klasik. Menurut sepupu saya yang bekerja di Sungkai... pejabat pos ini jarang ada waktu sibuk. Ia sebuah pejabat pos yang tenang. Beliau selalu ke sini untuk menjelaskan bil-bil air dan elektrik. Benar tanggapan saya pada pertama kali menatap pejabat pos ini... ia benar - benar membawa saya ke zaman silam.

Perjalanan seterusnya ialah ke pekan Slim Village.. ia akan saya coretkan pada catatan yang akan datang. Kembara ke pekan-pekan terpencil seperti ini sebenarnya membeli semula segala ingatan terhadap sejarah lama negara yang jauh kita lupakan... siapa sangka dalam zaman secanggih hari ini kita masih boleh melihat suasana lama walaupun dimamah masa...  


IA MENGAJAR KITA 
MENOLEH SEBENTAR KE BELAKANG







Sunday, January 2, 2011

Terima Kasih Cikgu Ananthan

Esok sesi persekolahan baru bagi tahun 2011 akan bermula. Seperti biasa bagi golongan guru seperti saya, kesibukan di awal tahun pasti akan dilawan habis - habisan. Dengan pelbagai beban tugas dan peranan yang sudah sedia menanti selain dari tugasan hakiki iaitu mengajar, tidak dapat dinafikan guru seringkali diganggu perasaan ingin bermalas-malasan... hahahahahaha.

Namun demikian suasana di SMK Kapit bagi sesi 2011 ini agak sedikit aneh. Masakan tidak  Cikgu Ananthan A/L Subramaniam, pengetua SMK Kapit sudah bertukar ke Bintulu. Memang mengejutkan, namun itu realiti yang harus ditelan oleh saya sebagai salah seorang staff yang pernah berkhidmat di bawah seliaaan Cikgu Ananthan. Sebagai seorang guru yang masih baru, penempatan pertama saya adalah di SMK Kapit. Ini bermakna sampai ke akhir hayat saya, nama Cikgu Ananthan akan kekal di ingtan saya sebagai Ketua Jabatan saya yang pertama. 

Mustahil bagi saya melupakan segala budi dan jasa Cikgu Ananthan sepanjang beliau menjadi pengetua. Banyak pertolongan, nasihat dan ingatan yang diberi kepada saya sekaligus memberi semangat kepada saya untuk terus melangkah dalam alam keguruan ini. Paling saya ingati sekali ialah bimbingannya kepada saya dalam urusan surat - menyurat dan pengurusan PPKI SMK Kapit. Memang saya tidak boleh menipu diri saya sendiri ... saya banyak belajar cara berurusan dan berhadapan dengan individu lain menerusi gaya dan cara Cikgu Ananthan. Malahan sering kali saya memerhatikan beliau dari jauh sekiranya beliau lalu berhampiran dengan kelas PPKI.. memang ketrampilan beliau membuatkan saya terlalku menghormatinya.
 
Saya tidak sempat mengucap selamat kepada Cikgu Ananthan kerana beliau bertukar ketika waktu cuti penggal ke2 baru - baru ini. Namun ingatan terhadap beliau tidak pernah hilang. Masih diingat lagi pesanan beliau kepada kami guru-guru di SMK Kapit..... setiap kerja adalah ibadah .... ia sesuatu yang terkesan di hati saya. InsyaAllah di hari mendatang mungkin akan bertemu lagi. Semoga Cikgu Ananthan terus maju dan jaya di Bintulu.


TERIMA KASIH CIKGU

 Hafez J.Malim bersama mantan 
Pengetua SMK Kapit yang amat dihormati
Cikgu Ananthan A/L Subramaniam 




 

Friday, December 31, 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2011


INDAHRASA J.MALIM 
MENGUCAPKAN 
SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU 
2011
KEPADA SEMUA YANG SUDI SINGGAH
BERTANDANG KE BLOG INI...

LUPAKAN YANG LAMA,
AMBIL YANG BARU....

TEKAD BARU, SEMANGAT BARU,
JIWA BARU

Saturday, December 25, 2010

Seketika Di Gemas



Suatu ketika dahulu saya hanya mengenali pekan Gemas di Negeri Sembilan sebagai tempat pertemuan landasan keretapi dari pantai timur dan pantai barat Semenanjung. Itupun melalui pembacaan saya. Selebih dari itu, memang saya tidak tahu.

Cuti sekolah kali ini saya agak beruntung kerana dipelawa oleh Azura untuk ke Gemas, tempat kelahirannya. Apa yang terfikir dalam fikiran saya ialah stesen keretapinya yang klasik. Saya ke Gemas selama dua hari dan bermalam di rumah keluarga Azura di Kampung Felda Sungai Kelamah. Mulanya agak risau juga tidur di rumah orang selama dua malam namun segala kebimbangan itu terbuang jauh-jauh dengan penerimaan keluarga Azura yang terlalu baik dengan saya. Ditambah dengan keletah anak-anak buahnya seramai tiga orang membuatkan saya benar-benar teruja di Gemas.

Gemas pekan yang semakin membangun. Dahulunya di sini kebanyakan penduduk adalah peneroka tanah rancangan FELDA namun kini menurut kata Azura, Gemas semakin berkembang maju. Di rumah keluarga Azura, saya dilayan seperti ahli keluarga. Saya agak akrab dengan anak-anak buahnya. Agak lucu juga bila saya dipanggil dengan berbagai-bagai gelaran oleh mereka... sesekali mereka memanggil saya abang apish, kadang-kadang berubah menjadi acik apish dan yang tak tertahan saya juga dipanggil pakcu apish.... apa-apa gelaran pun oleh mereka saya tetap menyahut gembira. 


Hafez J.Malim bergambar dengan 
anak - anak buah Azura. Ainur Najiha ( kanan sekali ),
Tuah ( pangkuan ) dan Azim ( kiri ).


Azura dan anak - anak buahnya


Di Gemas akhirnya, saya berkesempatan pergi ke stesen keretapinya yang sungguh klasik. Di sinilah titik pertemuan landasan keretapi dari pantai timur dan pantai barat semenanjung Malaysia bertemu. Sudah lama saya ingin sampai di sini semenjak pertama kali saya membaca buku yang membicarakan tentang Gemas kira - kira 16 tahun yang lalu.


Hafez J.malim di Gemas

Sebahagian pemandangan di stesen keretapi Gemas


Lukisan gambar gerabak keretapi menjadi hiasan utama
di stesen keretapi Gemas

Gemas membuatkan saya menjadi seperti kembali ke masa-masa kecil saya. Dengan deretan pohon-pohon getah dan kelapa sawit membuatkan saya jatuh cinta dengan tempat ini. Ia jauh dari kesibukan bandar-bandar besar.Tidak tahu lagi bila saya akan ke Gemas... namun segala kenangan di sini terakam erat di lubuk hati saya. Gemas membuat hati meronta-ronta..... MOHON DISAYANGI !!!!


Adik Tuah ...rajin mengusik saya









Sunday, December 12, 2010

Sesuatu Yang Berjalan Perlahan


Ini hujung tahun yang menyedihkan hati  saya. Beberapa orang teman setugas di SMK Kapit berjaya dalam urusan pertukaran mereka ke sekolah baru. Tambahan kepada kesedihan ini ialah teman - teman yang berpindah kebanyakannya punyai ikatan yang erat dengan saya. Diari perantauan saya merakamkan ramai teman yang berkunjung masuk dan keluar dalam alam persahabatan. Semuanya pernah memberikan seribu satu kenangan yang indah dalam hidup saya. Sukar untuk menerima kehilangan teman - teman yang sememangnya baik dan sekepala namun beginilah hakikat bertugas di bumi Kenyalang tercinta ini .... teman akan selalu datang dan pergi. Ini realiti yang tertelan di tekak - tekak kami.

Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan semoga selamat berjaya kepada teman - teman guru yang berpindah. Semoga selamat maju jaya di tempat baru. Ikatan persahabatan tidak akan luput dari pemikiran saya dan sepanjang usia saya. 

TERIMA KASIH TEMAN


 Ustaz Syukri bertukar ke Sibu


Cikgu Ahmad Khairi Mat Ali bertukar ke Johor


Cikgu Saiful Hisyam Jasni berpindah ke Selangor


Cikgu Sulaimi Abu Bakar betukar ke Johor


Cikgu Syahiful Azman ( Roy ) bertukar ke Sabah


Cikgu Aime Safri Dahlan bertukar ke Bintulu




Friday, November 26, 2010

Kembali Ke Perak Selatan

Ini musim cuti yang mengujakan. Semangat untuk bercuti tetap ada walaupun saya agak berat hati untuk meninggalkan Kapit. Kini saya sudah samapi ke Bidor... perasaan saya di kampung agak biasa - biasa sahaja. Aneh dan membosankan bila duduk di rumah dengan menghabiskan duit setiap hari tanpa membuat sebarang kerja. Badan pun semakin berisi tambah - tambah di pipi ( kata teman - teman baik ).


Ramai teman - teman baik makin menyusut bilangannnya. Yang ada pun susah sangat diajak keluar. Tinggallah saya termanggu - manggu tanpa tujuan.... esok lusa tetap sama tidak berubah. Kosong dan kosong. Kata emak.. saya sudah tiba masa untuk berkahwin.... terbahak - bahak saya ketawa... jawapannya mudah .... JIWA MASIH BELUM TERISI ..... esok lusa di tahun - tahun akan datang ... saya balik ke Perak Selatan dengan berteman.. emak tidak akan bising lagi... InsyaAllah

Sunday, November 21, 2010

Catatan Akhir Semester

Akhirnya saya menamatkan sesi persekolahan tahun 2010 ini dengan seribu satu kesibukan yang tidak terhingga. Dari awal tahun sehinggalah ke akhir tahun saya terkejar - kejar dengan bebanan kerja. Mujur segalanya telah berjaya diselesaikan walaupun ada beberapa perkara yang saya terpaksa abaikan dengan terpaksa.

Secara peribadi ini bukanlah tahun yang menggembirakan saya dari segi kepuasan kerja. Berbanding dengan tahun lepas saya dapat merasakan mutu kerja saya pada tahun ini agak menurun. Boleh dikatakan apa yang saya rancangkan sejak awal tahun cuma 70% sahaja yang mencapai sasaran. Tidak tahu kenapa boleh menjadi sedemikian walaupun saya sudah berusaha sepenuhnya.

Namun dari segi emosi. saya merasa lebih stabil. Kekuatan untuk meneruskan kehidupan sudah kembali pulih. Mujur teman - teman guru di Kapit banyak membantu memperkuatkan semula saya. Banyak aktiviti bersama teman - teman berjaya membebaskan diri saya dari belenggu tekanan kerja. Aktiviti seperti lawatan ke rumah panjang, jamuan, stret football dan permainan sepak takraw berjaya membantu mempertingkatkan hubungan antara kami.

Kini tahun 2010 sudah hampir melabuhkan tirainya. Ramai teman - teman semenanjung berjaya bertukar ke tempat asal. Beginilah lumrah kehidupan di Kapit... teman datang dan pergi tanpa sempadan. Sudah dua tahun saya menjadi orang terakhir yang menghantar teman - teman yang dapat bertukar di terminal penumpang Kapit. Kadang - kadang hati menjadi teramat sayu dan hiba. Namun syukur setakat ini saya masih mampu mengawal air mata saya.

Saya masih bertahan di daerah ini... daerah yang mengajar saya erti sayang dan harapan. Tidak tahu bila saya akan bergerak meninggalkan daerah ini. Hati meminta pergi namun jiwa mohon menghalang. Biarlah saya di sini. Ada kasih yang halus menyelinap di celah - celah belantara hijaunya... Catatan hujung tahun saya melabuhkan tirai... 


KASIH SAYANG TERJUMPA DISINI !!!!!!


Hafez J.Malim


Friday, November 19, 2010

PPKI SMK KAPIT : Beberapa Peristiwa Akhir 2010



Ini hujung tahun yang benar - benar menyesakkan saya di PPKI SMK Kapit. Masakan tidak sehingga ke akhir persekolahan saya masih punya kerja yang perlu diselesaikan dengan perasaan dan hati yang berat. Namun sudah lumrah makan gaji, kerja perlulah diselesaikan walau apapun yang terjadi. Beberapa aktiviti penting telah dijalankan sebelum menutup tahun 2010. Antara aktiviti akhir PPKI SMK Kapit ialah :

  • Peperiksaan Akhir Tahun PPKI SMK Kapit ( 28 Oktober - 5 November 2010 )
  • Cikgu Tay Hui Chin melapor diri sebagai guru baru PPKI SMK Kapit
  • Penyerahan wang sumbangan pembelian baju seragam sekolah oleh Yayasan Sarawak kepada pelajar PPKI SMK Kapit ( 6 November 2010 )
  • Pengeluaran wang bantuan pelajar pendidikan khas Bil 4/2010 pada 12 November 2010
  • Jamuan akhir tahun 2010 PPKI SMK Kapit ( 16 November 2010 )
  • Majlis penyampaian hadiah kecemerlangan SMK Kapit ( 18 November 2010 )


Kesemua aktiviti ini telah berjalan dengan jayanya dengan bantuan dari pihak sekolah, guru - guru PPKI, ibu bapa dan pelajar. Dibawah ini disertakan sekali gambar - gambar aktiviti penutup PPKI SMK Kapit 2010. Walaupun jauh dari kesibukan kota, kami di sini tetap hidup walaupun dalam berjuang.


PPKI SMK KAPIT
BERDIKARI DAN BERBAKTI


Akativiti masa lapang selepas pepriksaan


Taklimat pengeluaran wang bantuan pelajar pendidikan khas
Bil 4/2010 kepada ibu bapa pelajar PPKI.


Sebahagian dari ibu bapa pelajar yang hadir ke taklimat
pengeluaran wang bantuan pelajar pendidikan khas Bil 4/ 2010


Jamuan akhir tahun PPKI SMK Kapit. 
Sederhana tetapi terkesan di hati.


Ucapan alu - aluan dari Penyelaras PPKI, Cikgu Rosman Bin Sulaiman
yang akan berpidah ke SMK Lanang Sibu sebagai penolong kanan pendidikan khas.


Memotong kek sebagai tanda kenang - kenangan.
Dari kiri : Cikgu Tay Hui Chin, Puan Amelia Joseph 
( Pem.Tadbir yang banyak membantu kerja pentadbiran PPKI ), 
Cikgu Rosman ( Penyelaras PPKI ) dan Ustazah Aminah ( GK Kemanusiaan )


Makan - makan time


5 orang pelajar PPKI yang menerima hadiah dan sijil kecemerlangan







Tuesday, November 16, 2010

Selamat Hari Raya Aidiladha



Firman Allah :

Ù„َÙ† ÙŠَÙ†َالَ اللَّÙ‡َ Ù„ُØ­ُومُÙ‡َا ÙˆَÙ„َا دِÙ…َاؤُÙ‡َا ÙˆَÙ„َÙƒِÙ† ÙŠَÙ†َالُÙ‡ُ التَّÙ‚ْÙˆَÙ‰ Ù…ِنكُÙ…ْ ÙƒَذَÙ„ِÙƒَ سَØ®َّرَÙ‡َا Ù„َÙƒُÙ…ْ Ù„ِتُÙƒَبِّرُوا اللَّÙ‡َ عَÙ„َÙ‰ Ù…َا Ù‡َدَاكُÙ…ْ ÙˆَبَØ´ِّرِ الْÙ…ُØ­ْسِÙ†ِينَ

Ertinya : Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keridaan) Allah, tetapi ketakwaan dari kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah kabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik. (Al-Hajj : 37) 
 
 
 



Saya Hafez J.Malim mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua umat Islam yang sudi bertandang ke blog Indahrasajmalim ini. Semoga mendapat rahmad Ilahi berpanjangan ke akhir hayat.



 

Thursday, November 4, 2010

Alhamdulillah .... Barisan Nasional Menang !!!!



Alahamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnianya Barisan Nasional telah berjaya memenangi pilihan raya kecil Galas dan Batu Sapi. Semoga kemenangan ini menjadi pendorong kepada Barisan Nasional di dalam PRU13 nanti.


Isyarat dari rakyat adalah jelas dan jadikanlah dua pilihan raya kecil ini sebagai medan terbaik bagi kerajaan Barisan Nasional untuk menunaikan janji dan amanah yang diberikan. Saya yakin melalui konsep 1 Malaysia yang diperkenalkan oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Razak, kerajaan akan memberikan yang terbaik kepada rakyat bagi seluruh Malaysia khususnya. 


Saya melihat bagi konteks kedua - dua pilihanraya kecil ini betapa sebenarnya rakyat peribumi masih  sayangkan Barisan Nasional. Sokongan orang asal di Galas dan Bumiputera Islam di Batu Sapi kepada BN adalah tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri. Begitu juga dengan sokongan kaum Cina yang dilihat telah kembali semula kepada BN. Namun semua ini akan bisa hilang sekiranya kita terus lalai dalam menguruskan amanah rakyat yang tidak ternilai ini. Lihat sendiri keadaan hidup orang asal di Galas dan BN perlu tahu bahawa sesuatu perlu dilakukan untuk membela nasib mereka di tanah asal mereka. Begitu juga dengan di Batu Sapi.. kek kemajuan yang diberi haruslah mendatangkan manfaat yang berguna kepada rakyat khususnya kaum Bumiputera. 


Kemenangan ini janganlah membuatkan kita leka dan alpa. Ingat kita pernah alpa di kala kita menggengam kuasa majoriti di PRU11 sebelum kita jatuh tertonggeng di PRU12. Mujurlah panglima - panglima perang BN yang sentiasa ikhlas dalam berjuang tidak pernah jemu berjuang mempertahankan BN dari terus hanyut dibuai mimpi - mimpi sonsang.


Sekalung tahniah dan penghargaan kepada semua jentera BN yang bertungkus lumus berjuang memastikan Batu Sapi kekal milik kita dan merampas semula Galas dari pihak pembangkang. Begitu juga dengan peranan media alternatif yang sentiasa bersatu hati membongkar permasalahan rakyat dan temberang pihak pembangkang. Inilah buat kali pertamanya saya melihat BN menggunakan sepenuhnya peranan media massa dan media alternatif dengan semaksimum mungkin. Kerjasama yang ditunjukkan oleh media alternatif yang pro BN sebenarnya wajar diberikan penghargaan oleh BN. Mereka inilah yang terus berusaha setiap hari melondehkan keegoan pihak pembangkang. Tahniah dan terima kasih untuk semua.


SEKALUNG PENGHARGAAN


 Tengku Razaleigh Hamzah
Wira lama yang masih teguh berjuang


Harimau UMNO Sabah baru


Tokpa : Beliau perlu diberikan perhatian.
Permata UMNO Kelantan
 Tan Sri Panglima Joseph Pairin Kitingan


HIDUP BARISAN NASIONAL