BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �

Friday, November 22, 2013

Ziarah Makam Lama 10 : Diburu Resah Di Tanah Teja



PERINGATAN

Para pembaca yang budiman adalah diingatkan segala fakta dan cerita di dalam penulisan ini adalah pendapat peribadi dan ilham penulis sendiri. Para pembaca tidak digalakkan untuk mempercayai segala apa yang terkandung didalam penulisan ini dan haruslah membuat rujukan sejarah. Penulis hanya menulis berdasarkan ilham dan gerak rasa disamping meminjam beberapa fakta penting sejarah sebagai bahan asas dan adalah dijelaskan segala fakta-fakta yang penulis beri TIDAK SEMESTINYA BENAR dan TIDAK SEMESTINYA TIDAK BENAR. Jika terdapat kesalahan fakta pada artikel ini mohon ia diperbetulkan dan dimurnikan bagi mengelakkan prejudis dan prasangka buruk.

Runsing Hari Akhir




Petang itu .... ia benar... petang itu hati saya bagai ditarik-ditarik oleh tali yang ketat. Esok saya sekeluarga akan ke Gemas. Hujung kehidupan saya sebagai seorang lelaki bujang sudah sampai ke akhirnya. Malam esok saya bakal menjadi seorang suami. Ini adalah petang yang amat membebankan jiwa dan hati saya.

Ketika kaum keluarga sibuk menyiapkan barangan keperluan khusus untuk majlis akad nikah saya esok, saya pula lebih selesa duduk mengelamun di luar rumah tanpa tujuan. Berbagai - bagai perkara masuk ke kepala membuatkan hati bertambah runsing. 

Benar ... kehidupan saya sebagai seorang lelaki bujang adalah sesuatu yang amat menyeronokkan. Bekerja tetap dan memiliki sumber kewangan sendiri membuatkan saya bebas dan rebel. Saya bebas kemana sahaja mengikut kemahuan tanpa sebarang rasa gentar. Jiwa perantau dan pengembara bebas di dalam jiwa saya, dan itulah diri saya yang sebenarnya. Menikmati keindahan dunia ciptaan Tuhan serta mencari seberapa banyak pengalaman dan cerita sepanjang perjalanan membuatkan saya matang dengan segala muslihat kehidupan. Ia seterusnya menjadikan saya seorang pencerita yang agak baik bagi yang ingin mendengar dan bertanya.

Tetapi itu dahululah ... esok segala-galanya akan berubah. Saya akan menjadi seorang suami kepada seorang wanita yang amat saya cintai. Dunia saya yang mendatang pastinya tidak akan sama dengan dunia-dunia lama yang pernah saya lalui dengan rasa bangga. Saya terus mengelamun tanpa henti ... gusar hati ini mampukah diri saya menjadi seorang suami yang baik ? ... Ia satu persoalan yang sangat penyakitkan hati dan perasaan.

Dikejutkan

Lamunan pekat saya dikejutkan oleh jeritan adik perempuan saya dari  dalam rumah. Dia mahu menggunakan suis elektrik yang telah saya gunakan untuk mengecas bateri kamera. Saya segera bergegas masuk ke rumah dan mencabut terus alat pengecas berkenaan dari kamera yang sangat-sangat berjasa dalam kehidupan saya itu. Kuasa baterinya sudah agak penuh. Saya membawanya keluar. Memang kamera berjenama Nikon itu sangat berjasa kepada saya. Ia tidak pernah sekali pun ponteng dalam memberikan perkhidmatannya kepada saya ketika di dalam perjalanan mahupun ketika majlis-majlis tertentu. Walaupun sudah agak ketinggalan zaman namun pada saya ia masih tetap unggul sama seperti hari pertama saya membelinya.


Model Nikon P100 kebanggaan saya

Saya melihat koleksi-koleksi gambar yang masih terdapat di dalam memori kamera berkenaan. Salah satu kelemahan saya ialah saya tidak suka memadamkan gambar-gambar lama yang terdapat di dalam kemera saya ini walaupun gambar-gambar berkenaan telah dipindahkan ke dalam komputer riba mahupun alat storan. Ini menyebabkan kad memori kamera yang bersaiz 4 gigabit itu kadang kala penuh dengan gambar sehingga saya perlu memadamkannya dari kemera satu persatu dan hal ini bagaikan menjadi satu kelaziman pula bagi saya.

Ketika melihat kembali gambar-gambar sewaktu melakukan perjalanan pertama dan kedua ke makam-makam bersejarah di sekitar daerah Hilir Perak dan Perak tengah beberapa hari yang lalu secara tiba-tiba hati saya berdetik kencang. Rasanya saya perlu melakukan satu lagi perjalanan pada petang ini. Ada sesuatu yang bagaikan memanggil saya untuk merungkai rasa resah hati ini.  Tetapi ke mana harus saya tujui langkah saya ini ? ... hati saya bungkam tanpa jawapan. 

Saya melihat satu persatu gambar-gambar yang terdapat di dalam memori kamera saya. Akhirnya ia terhenti di gambar batu tanda makam Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad di Kampung Pulau Besar Kampung Gajah. Saya meneliti setiap gambar-gambar yang pernah saya ambil di makam berkenaan. Kehilangan dan status baginda yang misteri membuatkan saya merasa perlu mencari cerita dan ilham tentang baginda. Tambahan pula dalam 110 tahun kebelakangan ini, sultan-sultan pemerintah negeri Perak adalah datang dari benih keturunan baginda. Saya yakin ada cerita yang boleh saya cari disebalik hal perlanjutan warisan keturunan baginda dalam pemerintahan Perak ini.

Ke Kota Bharu Gopeng

Dua orang putera Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad ini berjaya menjejaki hieraki takhta kesultanan Melayu Perak. Salah seorang daripadanya telah berjaya menjadi sultan Perak ke-23 dengan gelar Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah. Manakala seorang lagi putera baginda pula yang bernama Raja Alang Iskandar pula telah dilantik menjadi Raja Bendahara. Saya telah mengulas cerita berkenaan dengan Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah ini tidak lama dahulu ( sila rujuk entri ini : Misteri Batu Nisan Acheh Di Pulau Juar ). Bagi memuaskan hati, saya mengambil keputusan untuk mencari makam putera kedua Almarhum Raja Ahmad iaitu Raja Bendahara Alang Iskandar. Saya pasti ada cerita yang boleh saya temui di makamnya... insyaAllah.

Makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar terletak di pekan Kota Bharu dalam mukim Teja tidak jauh dari bandar Gopeng. Saya pernah mengulas cerita berkenaan pekan Kota Bharu ini dalam siri perjalanan saya ke pekan-pekan lama sekitar negeri Perak dalam tahun 2010 ( rujuk entri ini : Kembara Melihat Pekan-Pekan Lama 3 : Pekan Kota Bharu ). Sayangnya sewaktu kunjungan kali pertama saya ini tidak pula saya terfikir untuk menziarahi makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Mungkin kerana objektif saya pada ketika itu yang berbeza dengan kunjungan kali ini.

Saya melihat jam di dinding rumah yang menunjukkan angka 2.20 minit petang. Saya mula berkira-kira jarak dan masa yang akan saya ambil untuk ke makam berkenaan. Cuaca juga agak baik dan tidak terlalu panas. Akhirnya setelah berfikir sejenak, saya mengambil keputusan untuk ke Kota Bharu. Emak yang melihat saya tergopoh-gapah bersiap terus bertanya kemana arah tujuan saya pada petang ini ... dengan selamba saya berkata saya mahu ke kubur ... hehehe.

Emak membebel sebentar dengan jawapan saya. Saya tahu beliau risau tambahan pula esok saya akan menjadi pengantin. Beliau mengingatkan saya bahawa saya masih berdarah manis. Saya diam dan tersenyum. InsyaAllah segalanya akan baik-baik sahaja.

Perjalanan lancar tanpa sebarang masalah. Dengan kelajuan yang sederhana saya yakin saya boleh sampai ke Kota Bharu dalam jam empat petang. Satu sahaja masalah yang perlu saya selesaikan iaitu mencari makam almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Jujurnya saya tidak tahu di manakah letaknya makam baginda. Namun demikian saya yakin pasti saya akan berjumpa dengan makam baginda walaupun perlu bersusah-susah sedikit. Alhamdulillah saya tiba ke pekan Kota Bharu tepat pada masa yang saya jangkakan.

Sebaik sahaja sampai ke pekan Kota Bharu yang sunyi saya terus mula mencari makam yang dimaksudkan. Pada pandangan saya pasti makam berkenaan terletak tidak jauh atau  di dalam kampung-kampung Melayu sekitar pekan Kota Bharu. Sayangnya saya tidak berjumpa langsung dengan kepuk makam. Ini membuatkan saya menjadi bingung. Mahu ditanya pada penduduk kampung terasa segan. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk terus sahaja menyusuri jalan utama tanpa arah tujuan.

Cerita Kota Bharu

Semakin jauh saya bergerak dari pekan Kota Bharu semakin kurang rumah-rumah penduduk kampung. Suasana petang yang meredup membuatkan saya semakin tidak keruan. Nampaknya impian saya untuk mencari makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar semakin pudar.



Pekan Kota Bharu sebenarnya sudah wujud sejak ratusan tahun yang lalu. Menurut Datuk Dr Haji Dzulkarnain bin Haji Abdul Rahman iaitu pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan negeri Perak, pekan Kota Bharu ini sudah wujud sejak dari awal abad ke-17 lagi.  Kedudukannya yang terletak di persisir Sungai Kinta ( dahulu dipanggil Sungai Kenta ) , menjadikannya sebagai sebuah pusat perdagangan yang agak sibuk. Malahan dikatakan landasan keretapi pertama di negara kita sebenarnya pernah dibina di pekan ini dan bukannya di Johor. Sayangnya maklumat sejarah berkenaan landasan keretapi ini agak kabur dan kesan peninggalannya juga mungkin telah lenyap ditelan zaman.

Dari komen seorang pengunjung blog ini, ketika era penjajahan khabarnya pihak Inggeris pernah merancang untuk menjadikan Kota Bharu sebagai pusat pentadbiran utama daerah Kinta. Sayangnya perancangan pihak Inggeris untuk menjadikan Kota Bharu sebagai " Capital Of Kinta Valley" tidak menjadi kenyataan akibat dari kedudukan pekan ini yang terdedah kepada bahaya banjir dari Sungai Kinta. Akhirnya Batu Gajah yang terpilih menjadi pusat pentadbiran daerah Kinta atas sebab kedudukan Batu Gajah yang terletak agak tinggi ( changkat ).

Umum mengetahui bahawa Lembah Kinta suatu ketika dahulu merupakan kawasan utama pengeluaran bijih timah dunia. Kota Bharu juga sebahagian dari sejarah penting kesan perlombongan di Lembah Kinta ini. Oleh itu adalah tidak menghairankan jika kita mudah melihat kawasan bekas-bekas lombong bijih timah di kiri dan kanan jalan pekan ini. Sungai Kinta yang mengalir dalam kawasan Kota Bharu ini membawa sejuta rahmad apabila alirannya juga turut membawa bijih timah yang bernilai tinggi suatu ketika dahulu.


Kepuk Makam Yang Tinggi


Saya tetap meneruskan tunggangan motosikal saya dengan mata saya sentiasa melilau memerhatikan kiri dan kanan jalan jika terserempak dengan kawasan perkuburan. Semakin jauh ke hadapan semakin gundah hati saya. Jam di tangan sudah mula hampir ke angka lima petang. Selain dari mengejar masa, saya juga perlu bersolat Asar.  Mungkin jauh di hadapan ada surau yang boleh saya singgahi untuk bersolat Asar.


Saya melintasi kawasan perkuburan yang terletak kiri dan kanan jalan. Hairan saya sendiri, bagaimana boleh terdapat dua kawasan perkuburan yang berbeza tempat namun berdekatan. Saya berhenti sejenak di pinggir jalan. Dari jauh saya terlihat satu binaan bertangga yang agak tinggi bewarna putih dan hitam. Saya memandang pula ke arah kawasan perkuburan di sebelah kanan jalan. Untungnya, ada papan tanda yang menunjukkan bahawa kawasan makam sebelah kanan berkenaan adalah khusus untuk kaum kerabat Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja Tengku Syed Jaafar.  Jika tidak silap saya jawatan Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja adalah jawatan penting dalam hieraki susunan pembesar negeri Perak. Jawatan ini merupakan yang kedua tertinggi dalam susunan pembesar berempat selepas jawatan  Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja.



Saya yakin kini saya telah menemui kepuk makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar. Saya terus menunggang motosikal saya melalui jalan yang agak sunyi. Kawasan perkuburan ini agak sunyi. Hati saya agak berdebar-debar juga ketika mula memasuki kawasan perkuburan. Di sebelah kiri kawasan perkuburan ini terdapat liputan hutan kecil yang memberikan suasana redup namun agak menyeramkan. Saya meletakkan motosikal dengan berhati-hati. Saya memandang sekeliling mencari jika ada manusia lain di sekitar kawasan makam. Nampaknya saya hanya bersendirian di sini.


Laluan ke makam 

Sebuah pondok yang uzur memberikan lagi suasana kusam di kawasan perkuburan ini. Mungkin ia dibina untuk dijadikan sebagai pondok wakaf bagi para penziarah. Saya mula memasuki kawasan kepuk makam. Inilah kali pertama saya berjumpa dengan kepuk makam yang agak tinggi dari tanah. Malahan untuk ke makam yang utama saya perlu mendaki beberapa anak tangga kecil. Makam ini amat terjaga malah ia adalah antara kepuk makam tercantik yang pernah saya lihat dalam siri ziarah saya ke makam-makam lama. Tetapi pastilah makam ini terjaga cantik kerana sultan-sultan Perak 110 tahun kebelakangan ini adalah dari benih warisan baginda. Malahan tidak keterlaluan dikatakan bahawa kaum kerabat diraja Perak dewasa ini ini kebanyakannya adalah dari warisan baginda. DYMM Sultan Azlan Shah yang sedang berkerajaan sekarang ini juga adalah generasi ke-5 Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini.


Pondok tinggal berdekatan kawasan makam


Anak tangga untuk ke makam utama

Saperti biasa yang sering saya lakukan, saya tidak akan terus masuk atau naik terus ke atas kepuk makam. Sebaliknya saya lebih selesa berlegar-legar dahulu di sekitar kawasan makam bagi melihat suasana dan ciri-ciri binaan sesebuah kepuk makam. Sebuah papan tanda yang menerangkan tentang Almarhum berdiri tegak betul-betul di hadapan luar pagar kepuk makam. Maklumat yang diberikan agak jelas secara tidak langsung berupaya memperincikan sejarah Almarhum kepada para penziarah.


Papan tanda makam

Terdapat juga makam-makam lain di sekitar kawasan kepuk makam. Namun ia agak tersorok dari pandangan mata akibat dilindungi oleh belukar kecil yang merimbun. Saya mula memasuki kawasan kepuk makam. Binaanya sangat berseni dan indah. Catnya yang bewarna putih dan corak-coraknya yang dicat hitam menambahkan lagi serinya. Sebatang tiang bendera juga menghiasi kawasan kepuk makam ini. Saya mendaki beberapa anak tangga yang terdapat pada kepuk makam. Makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar  terletak di tingkat yang paling atas manakala di bahagian bawah pula terdapat beberapa makam yang ditandai dengan batu nisan dari jenis granit. Mungkin makam-makam berkenaan adalah makam ahli keluarga terdekat Almarhum.


Antara makam lain sekepuk dengan 
makam Almarhum Raja Alang Iskandar



Sesuatu yang unik ialah batu nisan makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini adalah sama dengan batu nisan sultan-sultan Perak yang pernah saya ziarahi. Uniknya inilah kali pertama saya menziarahi makam seorang raja bergelar dan bukannya seorang Sultan. Kain yang menutupi batu nisan makam ini masih lagi cantik dan tidak dimakan masa. Jauh berbeza dengan kain-kain penutup batu nisan makam-makam sultan yang pernah saya ziarahi sebelum ini.Lantai kawasan makam ini juga dihiasi jubin dan bukannya dari tanah. Sememangnya makam ini amat dijaga dengan begitu teliti.





Al-Fatihah untuk Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar

Cerita Lama Yang Berselerakan

Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, Raja Bendahara Alang Iskandar ialah putera kepada Almarhum Raja Ahmad yang dikatakan ghaib atau mangkat akibat terjatuh di Sungai Terus tidak jauh dari Kampung Gajah. Identiti Raja Ahmad ini agak misteri sehingga dalam entri saya sebelum ini, saya pernah menyatakan bahawa baginda ialah dari warisan lain yang masuk dalam sistem pemerintahan negeri Perak ini. Namun itu adalah sekadar teori semata-mata dan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui tentang segalanya tentang baginda.

Seperti yang tercatat di dalam sejarah, seorang putera Raja Ahmad ini iaitu Raja Ngah Jaafar telah berperang dengan sultan Perak ke-22 iaitu Sultan Abdullah Muhammad Shah I. Dalam peperangan ini Sultan Abdullah Muhammad Shah I telah tewas.  Anehnya beberapa tahun selepas itu orang-orang besar Perak telah melantik Raja Ngah Jaafar menjadi sultan Perak ke-23 dengan gelar Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah dan memecat terus Sultan Abdullah Muhammad Shah I dari takhta. Akhirnya Sultan Abdullah Muhammad Shah I mangkat di Durian Sebatang tidak lama selepas itu.

Saya melihat dari aspek berbeza berkenaan dengan peperangan antara Sultan Abdullah Muhammad Shah I dengan Raja Ngah Jaafar ini. Sebilangan ahli sejarah menyatakan ia adalah peperangan saudara bagi merebut takhta namun saya lebih melihatnya sebagai satu perebutan kuasa antara garis keturunan dari kerabat yang berbeza. Ianya juga saling berkait rapat dengan suku-suku tertentu yang begitu dominan dalam hieraki pembesar negeri Perak ketika itu. Tambahan pula Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 dan Raja Ngah Jaafar, kedua-duanya bukan putera sultan sebaliknya hanyalah putera kepada Raja bergelar. 

Peperangan antara Sultan Abdullah Muhammad Shah I dengan Raja Ngah Jaafar inilah seterusnya membawa kepada masalah perebutan takhta yang lebih rumit pada masa depan sehingga akhirnya pihak Inggeris telah campur tangan dalam bidang kuasa pentadbiran negeri Perak.

Dengan perlantikan Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah Ibni Raja Kechil Tengah Ahmad ini maka baginda kini mempunyai autoriti yang kuat dalam pemerintahan Perak. Tambahan pula baginda mempunyai sokongan yang kuat dari para pembesar Perak ketika itu. Bonus kepada kekuasaan Sultan Jaafar Safiuddin pula ialah adindanya iaitu Raja Alang Iskandar memegang jawatan sebagai Raja Bendahara. 

Saya agak kurang jelas dengan perlantikan Raja Alang Iskandar ini sebagai Raja Bendahara ini. Fakta yang saya temui di internet agak kabur dan berserabut. Ada yang menyatakan baginda telah dilantik menjadi Raja Bendahara oleh Sultan Abdullah Muhammad Shah pada tahun 1851. Namun demikian seperti yang tertera pada papan tanda makam Sultan Abdullah Muhammad Shah di Durian Sebatang, pada tahun 1851 yang menjadi Raja Bendahara pada ketika itu ialah Raja Ngah Jaafar. 


Ada juga yang menyatakan baginda dilantik menjadi Raja Bendahara pada tahun 1841. Atau mungkin juga baginda diangkat menjadi Raja Bendahara menggantikan kekandanya yang berjaya menduduki takhta kerajaan tanpa memegang ( melangkah ) jawatan Raja Muda.Hal ini mungkin benar kerana hasil rujukan saya di laman Royal Ark, jelas menunjukkan Raja Alang Iskandar hanya pernah memegang jawatan sebagai Raja Bendahara sahaja tanpa pernah memegang jawatan raja-raja bergelar yang lain. Tambahan pula, Raja Lop Yusof iaitu anakanda kepada Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 telah dinafikan kedudukannya dalam hieraki jawatan Raja Bergelar Perak walaupun beliau layak atas alasan tidak disukai oleh pembesar. 



Raja Lop Yusof Ibni Sultan Abdullah Muhammad Shah 1
( seterusnya menjadi sultan Perak ke 27 )

Raja Bendahara berada dalam hieraki ketiga dalam kuasa pemerintahan negeri Perak selepas sultan dan raja muda. Yang agak ganjil disini ialah baginda tidak memilih untuk bersemayam di tebing Sungai Perak seperti yang sering dilakukan oleh mana-mana raja bergelar atau bakal sultan sebaliknya baginda memilih untuk bersemayam di Teja yang terletak di pertengahan Sungai Kinta yang berkualakan Sungai Perak. Pasti ia mempunyai rahsianya yang tersendiri. 


Saya melihat dari sudut berbeza berkenaan dengan kawasan pentadbiran Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Jika kita meninjau kepada peristiwa kejatuhan atau pemecatan Sultan Abdullah Muhammad Shah 1, ternyata kesannya masih terus berlarutan walaupun Raja Ngah Jaafar telah dilantik menjadi sultan. Mengikut ceritanya, kebanyakan rakyat negeri Perak masih lagi tidak mengiktiraf perlantikan Raja Ngah Jaafar sebagai sultan. Hanya selepas Sultan Abdullah Muhammad 1 mangkat barulah baginda diiktiraf sebagai sultan Perak. Lebih mengeruhkan lagi keadaan, putera Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 iaitu Raja Lop Yusof masih lagi memegang jawatan raja bergelar dan masih mempunyai kuasa serta pengaruh di kawasan Senggang dan Sayong. Ini sudah pasti akan menimbulkan pelbagai masalah kepada baginda sekiranya Raja Lop Yusof akan menyerang baginda. Baginda memilih untuk bersemayam di Pasir Panjang tidak jauh dari Kampung Gajah. 



Oleh yang demikian, baginda memerlukan sokongan dari kerabat diraja yang lain bagi menguatkan pengaruh dan kekuasaannya. Raja Ngah Ali yang memegang jawatan sebagai Raja Muda ketika pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 dikekalkan dan berkuasa di Sayong. Ini secara tidak langsung berupaya melumpuhkan kekuasaan Raja Lop Yusof di kawasan berkenaan dan hal ini terbukti apabila Raja Ngah Ali di lantik menjadi sultan Perak ke-24 dengan gelar Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah, baginda telah memecat terus Raja Lop Yusof dari sebarang jawatan Raja Bergelar negeri Perak walaupun Raja Lop Yusof layak untuk jawatan tersebut.

Kajian peta menunjukkan kawasan kekuasaan Raja Lop Yusof di Senggang
( berbulatan merah ) yang diapit oleh kawasan kekuasaan
Raja Muda Ngah Ali di Sayong ( berbulatan biru ) dan Raja Ismail di Belanja
( berbulatan unggu ). Kawasan kekuasaan Sultan Jaafar pula berbulatan hijau
terletak tidak jauh dari kawasan kekuasaan Raja Bendahara Alang Iskandar
 (berbulatan hitan )... adakah ini satu muslihat yang sangat bijak ?

Raja Alang Iskandar pula yang menjadi Raja Bendahara memilih untuk berkuasa di Teja tidak jauh dari kuala Sungai Kinta. Kuala Sungai Kinta terletak tidak jauh dari Kampung Gajah. Jika tidak silap dalam perkiraan saya kuala sungai ini agak bertentangan dengan kawasan mukim Bandar. Jadi kedudukan kawasan pemerintahan Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah adalah tidak jauh dari kawasan kuasa adindanya. Malahan, sekiranya berlaku serangan pasti Raja Bendahara Alang Iskandar dan para pengikutnya tidak mengambil masa yang lama untuk memberi bantuan kepada Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah ini. Ini hanyalah sekadar satu teori sahaja. Kesahihannya hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. 

Raja Bendahara Alang Iskandar Yang Berwibawa

Tidak banyak cerita yang boleh saya korek berkenaan dengan Raja Alang Iskandar ini di internet. Selain itu rujukan buku yang ada pada saya juga agak terhad. Cuma jika dilihat kepada beberapa catatan di internet jelas menunjukkan baginda merupakan seorang tokoh yang sangat berwibawa. Baginda berkuasa mengutip cukai dan hasil mahsul di kawasan Teja ini sehingga baginda diberi gelaran Bendahara Teja.

Baginda merupakan zuriat ke-12 anak-anak raja yang memegang gelaran Raja Bendahara. Jawatan Raja Bendahara ini mula wujud pada ketika pemerintahan Sultan Iskandar Dzulkarnain Ibni Sultan Muhammad Shah Aminullah ( sultan Perak ke-12 ) setelah penyandang akhir jawatan bendahara ini dari keluarga Megat Terawis menyerahkan jawatan tersebut kepada baginda setelah berlakunya satu perbalahan berkenaan pembinaan istana. Sultan Iskandar Dzulkarnain telah bertindak menyerahkan jawatan bendahara tersebut kepada adindanya yang bernama Raja Alauddin Ibni Sultan Muhammad Shah Aminullah ( seterusnya menjadi sultan Perak ke-17 dengan gelar Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda ). Bermula dari perlantikan Raja Alauddin inilah bermulanya senarai zuriat anak-anak raja memegang jawatan Raja Bendahara sehinggalah pada tahun 1958 Sultan Sultan Yussuf Izzuddin Shah ( Sultan Perak ke-32 ), memulangkan jawatan bendahara ini kepada orang kebanyakan setelah penyandang terakhir jawatan ini iaitu Raja Abdul Rashid Ibni Sultan Idris Shah mangkat.


Almarhum Raja Abdul Rashid Ibni Sultan Idris Shah
penyandang jawatan Raja Bendahara terakhir Perak Darul Ridzuan
( kredit foto : Maharum Bugis Shah )

Baginda mengutip hasil dan khazanah serta cukai di atas segala barang-barang yang masuk dan keluar di Kuala Sungai Kinta. Kutipan itu dilakukan setahun sekali, iaitu kutipan keluarga yang dinamakan "BENAN KELUAR". Baginda menghantar seorang suruhannya dari keturunan Orang Kelar yang berasal dari Lambor bernama Alang Laut Bin Tok Monen atau Tok Nara, pergi ke kampung - kampung mengutip cukai 50 sen sekeluarga dengan membawa "BAUR" iaitu Keris Kuasa Raja. Lanjutan daripada itu Alang Laut digelar Panglima Teja iaitu Orang Besar Enam Belas dan penolongnya Tok Muda Lahab (Tok Rusa). Jadi berkemungkinan gelaran  Panglima Teja yang merupakan orang besar-16 Perak mungkin mula wujud ketika period baginda menjadi Raja Bendahara.


Saya memegang batu nisan makam yang berbalut cantik ini. Fikiran saya sibuk memikirkan tentang mukim Teja yang menjadi kawasan kuasa Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Aneh saya sendiri memikirkan bagaimana baginda boleh memilih untuk bersemayam di sini. Jika tidak silap saya hanya seorang sahaja sultan Perak yang pernah bersemayam di kawasan lingkungan Sungai Kinta ini iaitu Sultan Iskandar Dzulkarnain yang telah saya ceritakan dalam dua perenggan di atas. Baginda memutuskan untuk berkerajaan di Pulau Indera Sakti yang terletak di pertemuan kuala Sungai Kinta dan Sungai Perak. Sungguh pun begitu baginda masih tetap tidak "jauh duduk" dari Sungai Perak.

Kepuk makam yang indah

Namun demikian dalam sejarah panjang kesultanan Perak, memang diakui terdapat gelaran-gelaran raja yang kini sudah tidak digunakan lagi seperti Raja Di Baruh, Raja Di Hulu dan lain-lain lagi. Saya sendiri masih lagi mencari fakta berkenaan kawasan kekuasaan mereka ini. Kenapa dan bagaimana jawatan ini dimansuhkan tidak pula saya ketahui. Jawatan raja bergelar terakhir yang dimansuhkan ialah Raja Bendahara dan sehingga kini hanya tinggal tujuh jawatan sahaja dalam hieraki kesultanan Melayu Perak.

Raja Alang Iskandar mangkat pada tahun 1861 sewaktu kekandanya Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah masih lagi bertakhta dan dimakamkan di Kuala Teja. Baginda digelar Marhum Teja. Kemangkatan baginda telah menyebabkan Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah melantik Raja Ismail Ibni Saiyid Shaikh Al-Khairat sebagai Raja Bendahara yang baru dan berkuasa di kawasan Belanja. Perlantikan ini juga pasti mempunyai muslihatnya yang tersendiri kerana Belanja dapat dijadikan kawasan penampan dari pengaruh Raja Lop Yusuf yang sememangnya masih berjuang menuntut haknya ke atas takhta. Raja Ismail ini sebenarnya hanyalah waris sebelah tanah sahaja iaitu bermaksud mewarisi darah raja kesultanan Perak dari sebelah ibunya. Manakala ayahandanya pula adalah dari kerabat diraja Siak. Ini adalah satu tindakan berani dari Sultan Jaafar Safiuddin Muzaffar Shah yang seterusnya kelak bakal menimbulkan lebih keributan dalam perebutan takhta kesultanan Perak.


Mencungkil Rahsia


Ketika duduk-duduk meninjau makam ini secara tiba-tiba fikiran saya mula menerawang memikirkan sesuatu. Saya mula mendapat gerak rasa bahawa ada rahsia di sebalik semua sejarah yang pernah berlaku dahulu. Saya mula mengerti kenapa Raja Lop Yusuf berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kekuasaan warisan keturunannya keatas takhta negeri Perak. Jawapannya ada dan ia adalah seperti yang saya sangkakan sejak menziarahi batu tanda makam Raja Kechil Tengah Ahmad dahulu bahawa terdapat aliran warisan baru yang masuk ke dalam sistem hieraki takhta kesultanan Perak. Kini saya sudah semakin menjumpai jawapannya.


Jika kita meninjau warna bendera negeri Perak yang ada pada hari ini, maksud disebalik warna bendera itu sebenarnya mempunyai sebab yang tertentu. Umum mengetahui bahawa warna putih melambangkan warna rasmi sultan pemerintah Perak, warna kuning pula diertikan sebagai warna rasmi Raja Muda, manakala warna hitam khusus melambangkan warna rasmi Raja Bendahara ( selepas gelaran Raja Bendahara dihapuskan, Raja Di-Hilir menggunakan pula warna hitam ini sebagai warna rasmi. Ini dapat kita lihat melalui warna pakaian istiadat yang dikenakan oleh Duli-duli yang saya sebutkan tadi.


Rahsia bendera negeri Perak

Namun demikian, secara tersiratnya warna-warna berkenaan melambangkan pecahan warisan bagi tiga cabang kekuasaan yang berbeza bagi takhta negeri Perak. Warna putih melambangkan waris Acheh. Warna kuning pula melambangkan waris Melaka dan warna hitam pula melambangkan waris Bugis. Namun bagaimana ini boleh berlaku sedangkan kesultanan Perak dikatakan memiliki titisan darah kesultanan Melaka yang sah ? .... jadi bagaimana ada warisan lain yang masuk merajai negeri Perak ini ? ... resah saya semakin membara pula di tanah Teja ini. Fikiran saya mula mencerna beberapa fakta dan teori berkenaan dengan hal ini. 


Saya amat meyakini, bahawa bermulanya permasalahan ini atau dengan lebih tepatnya bagaimana ada warisan lain yang masuk ke dalam sistem pemerintahan Perak ini bermula dari pergeseran antara Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 dengan Raja Ngah Jaafar. Hal ini dikuatkan lagi dengan tindakan Raja Muda ketika itu iaitu Raja Ngah Ali ( seterusnya menjadi sultan Perak ke-24 dengan gelar Sultan Ali Inayat Shah ) yang tidak masuk campur dalam permasalahan ini sebaliknya baginda mengambil sikap berkecuali ( terdapat juga pendapat sebenarnya baginda menyebelahi Raja Ngah Jaafar ). Jadi adakah kewujudan watak tiga orang duli-duli ini dapat menggambarkan kedudukan mereka mewakili darah keturunan Acheh, Melaka dan Bugis ? Agak menerik juga untuk menilai perkara ini dan saya yakin ia punya ceritanya yang tersendiri.


Mengikut sejarahnya, bendera negeri Perak mula diperkenalkan ketika period Raja Lop Yusof ketika itu menjawat jawatan Raja Muda menjadi pemangku sultan Perak atau kira-kira dalam tahun 1879. Peristiwa Perang Perak yang berlaku akibat dari pembunuhan residen Inggeris pertama Perak rupa-rupanya memberi peluang kepada baginda untuk menerajui takhta. Uniknya, selepas peristiwa Perang Perak itu negeri Perak sebenarnya tidak bersultan dan Raja Lop Yusof terus menjadi pemangku sultan Perak selama lebih kurang 10 tahun sehingga tahun 1886. Sayangnya baginda tidak lama di atas takhta iaitu hanya kira-kira satu tahun sahaja dan mangkat pada tahun 1887. Baginda merupakan sultan Perak terakhir yang bersemayam dan dimakamkan di tebing sebelah kanan sungai Perak selaras dengan perjanjian lama antara sultan Perak pertama dengan Tok Temong. Selepas dari itu .... semua sultan Perak disemadikan di tebing kiri sungai Perak atau di Bukit Chandan.

Ketika Sultan Yusuf Syarifudin Muzaffar Shah memerintah, yang menjadi Raja Muda ialah Raja Idris Ibni Raja Bendahara Alang Iskandar manakala Raja Bendahara pula ialah Raja Usman Ibni Sultan Ali. Jika diperhatikan dengan jelas, saya meyakini inilah jawapan penting kepada maksud bendera negeri Perak. Perhatikan gelaran hujung yang digunapakai oleh Sultan Yusuf yang berakhir dengan nama Muzaffar ... adakah ia membawa bukti baginda mewakili kerabat Melaka ? 

Perhatikan pula nama hujungan ayahanda Raja Bendahara Usman iaitu Sultan Ali Al-Mukammil Inayat Shah. Baginda meletakkan nama Al-Mukammil. Jika tidak silap saya terdapat sultan-sultan Aceh yang lahir dari keluarga Al-Mukammil ini. Adakah Raja Bendahara Usman dianggap mewakili kerabat diraja Acheh ? 

Dan yang akhir sekali ialah Raja Muda Idris Ibni Raja Bendahara Alang Iskandar ( seterusnya sultan Perak ke- 28 ) ... adakah baginda mewakili kerabat diraja Bugis ?. Hal inilah mungkin menjadikan telahan saya di makam Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad sebelum ini benar. Hari ini saya berada di makam Raja Bendahara Alang Iskandar pula .. maka telahan tersebut bagaikan telah dijawab. Wallahualambissawab.

Namun demikian, sebagai pilihan kepada penyelesaian hal ini, saya lebih selesa untuk menyatakan bahawa percampuran dan perkahwinan dari beberapa kerabat berlainan warisan ini sedikit sebanyak menyelamatkan jiwa Melaka yang diwarisi oleh kesultanan Melayu Perak. Sejarah menunjukkan bahawa apabila munculnya Sultan Muzaffar Shah II dari Siak menjadi sultan Perak ke-10, maka aliran warisan Melaka dalam darah sultan-sultan seterusnya adalah dari benih sebelah pihak perempuan. Ianya terus berlanjutan dan tidak mustahil .... benih Melaka sebelah lelaki muncul semula pada masa depan tetapi dalam jenama keluarga yang lain .... wallahualambissawab.

Meneruskan Perjalanan

Saya akhirnya mengambil keputusan untuk bergerak pulang. Sebelum pulang sempat saya meninjau-ninjau makam-makam yang terdapat disekitar makam. Ternyata suasana petang yang meredup membuatkan hati saya menjadi kecut untuk berlama-lama disini. Tambahan pula saya hanya berseorangan di sini ... fikiran-fikiran yang negatif sangat sukat dibuang dari dalam kepala.

Saya meyakini apa yang terlintas dalam fikiran semasa berada di makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini adalah terlahir dari ilham dan kajian ringkas saya. Tambahan pula sungai Kinta yang mengalir tidak jauh dari makam ini bukanlah asing bagi keluarga dari sebelah ayah saya. Kampung Jong Buruk (kini telah ditinggalkan sepi ) yang terletak di kuala Sungai Kinta adalah tempat asal keturunan saya. Pasti kampung ini satu ketika dahulu merupakan kawasan pegangan kuasa Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Bapa moyang saya pernah diceritakan pernah menjadi orang kepercayaan sultan dan berkuasa di kampung berkenaan. Jika tidak silap saya, moyang saya berketurunan Bugis. Oleh itu tidak hairanlah suatu ketika dahulu masih ada Raja Muda yang bersemayam di Teluk Intan apabila pergi menuba ikan di sungai Kinta mahupun di sungai Perak pasti akan singgah di Kampung Jong Buruk ini. Namun sesuatu yang pasti .... 100 tahun kebelakangan ini penyandang Raja Muda semuanya dari keturunan almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad dan anakandanya Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Ia seolah-olah membeli semula sebuah cerita lama yang telah ditinggalkan.

Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar Ibni Raja Kechil Tengah Ahmad ... suatu watak yang luarbiasa dalam sejarah kesultanan Melayu Perak. Kini ... hampir 160 tahun kemangkatannya, kuasa warisan baginda tidak pernah luntur dalam hieraki pemerintahan kesultanan Perak. Dan dalam 160 tahun itulah ..... cabang-cabang warisan lain ada yang hilang tanpa cerita. Biarlah ia terus menjadi cerita dalam rahsia bagi yang mengerti. Saya pula akan terus mencari pengertiannya hingga berjumpa pengakhirannya.

Sampai sahaja di simpang jalan ... saya terpandang papan tanda kawasan perkuburan di hadapan .... Ermmm ...  Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja ... satu gelaran yang membuatkan saya terus menunggang motosikal ke arah kawasan pemakaman itu. Dan petang yang semakin tua itu sekali lagi gagal menghalang perasaan ingin tahu saya ... benar ... perasaan ingin tahu itu terus membuatkan saya resah di Tanah Teja yang bersejarah ini.......... 


Bersambung ...







v 






Saturday, September 21, 2013

Setahun Dalam Kehidupan Almas Nafisa


Rasanya bagai baru semalam
aku menyambut tubuhmu 
yang berlendir putih itu
pada tangisan kecil yang teriring
azan dan iqamah sendu
ah ... betapa manisnya kenangan itu
terpatri dan tersemat kukuh di ingatan.


Kini 
masa demi masa yang berjalan
semakin pantas
meneroka setiap ruangan usia mu
yang hijau berseri tanpa noda dosa
dan aku melihatmu dengan penuh
kasih sayang yang merumput.


Setahun usiamu anak
adalah musim-musim penuh cerita
gembira yang selaksa


Setahun usiamu anak
adalah daun-daun segar
yang merimbun dalam hati ibu dan ayah


Setahun usiamu anak
adalah azam tekad membara
dalam hati ini 
menjadikan dirimu manusia
yang tahu putih dan hitam kelam


Selamat ulang tahun pertama anakku
aku tahu esok dan lusa
adalah hari yang tetap bermakna
selagi hayat kita masih bersama.










Friday, August 30, 2013

Ulangtahun Kemerdekaan Malaysia Yang ke-56


INDAHRASA J.MALIM BLOGSPOT
MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT
HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA
YANG KE-56.

SEMOGA MALAYSIA TERUS AMAN
 SENTOSA SERTA DIRAHMATI
OLEH ALLAH SWT !

MALAYSIAKU BERDAULAT
TANAH TUMPAHNYA DARAHKU


Monday, August 26, 2013

Sejenak Di Stesen Keretapi Lama Batang Melaka

Bicara Awal




Asalnya hajat saya hanyalah untuk melihat pemandangan jajaran trek landasan berkembar baru yang menghubungkan Seremban dengan Gemas. Namun akhirnya ia bertukar menjadi satu garapan kecil berkenaan dengan sebuah lagi sisa-sisa stesen keretapi tua yang masih lagi wujud di negara kita ini. Walaupun sekadar satu persinggahan ringkas namun saya sedar, masa penamat stesen tua ini sudah mula ke pengakhirannya. Ia adalah baki-baki akhir tinggalan jajaran landasan keretapi lama bagi laluan Pantai Barat yang masih tinggal sehingga kini. Esok dan lusa masih belum ketahuan nasib hayatnya dan saya sedar ... kita tidak akan selamanya mampu bernostalgia dengannya.

Itulah stesen keretapi lama Batang Melaka. Sebuah stesen lama yang penuh dengan nilai-nilai sejarah dan begitu unik. Sebelum ini, saya hanya melihat gambar dan cerita berkenaan stesen ini melalui internet sahaja. Jarak, masa dan komitmen pada kerja pasti tidak memungkinkan saya untuk sampai dan melihat wajah stesen keretapi tua ini. 

Namun segalanya berubah setelah saya berumahtangga dan berpindah kerja dari Sarawak ke Semenanjung. Berumahtangga dengan seorang gadis yang berasal dari Gemas rupa-rupanya memberikan saya sejuta satu peluang untuk mengembangkan lagi hobi berkenaan dengan hal keretapi ini. Gemas yang menjadi titik pertemuan utama antara jajaran Pantai Timur, Pantai Barat dan Selatan telah memberikan saya nafas baru untuk meneroka setiap keunikan jajaran keretapi di negara kita ini. Ditambah pula dengan sokongan dari sang isteri tercinta yang jarang sekali bermasam muka dengan kegilaan saya ini ... maka tidak hairanlah bahan cerita berkenaan dengan hal keretapi ini tidak akan pernah luput dari senarai tajuk di blog perkongsian ini... insyaAllah.

Menjejak Landasan

Walaupun bekerja di Batu Pahat namun jika ada kelapangan di hujung minggu saya sekeluarga sering juga pulang ke kampung isteri yang terletak di FELDA Sungai Kelamah, Gemas Negeri Sembilan. Lumrahlah bagi seorang lelaki, walaupun hati tenang di rumah mertua namun sesekali saya mudah merasa bosan. Ubat yang paling mujarab kepada masalah kebosanan ini ialah keluar berjalan-jalan melihat suasana alam di sekitar Gemas dan pekan-pekan kecil sekitarnya. Ia menjadikan saya lebih mahir dengan jalan-jalan di sekitar daerah ini sekaligus menambahkan lagi pengetahuan dan pengalaman diri saya.

Kamera tua yang sering menjadi peneman diri tidak pernah saya lupakan. Dengan kamera inilah banyak sekali paparan-paparan yang dapat saya ulas di blog perkongsian ini. Jasanya terlalu besar bagi saya walaupun kini ia sudah amat-amat ketinggalan dek zaman. 

Saya memutuskan untuk menjejak pengakhiran landasan keretapi bagi jajaran Pantai Barat yang berakhir di Gemas. Sebelum ini, saya pernah mengulas berkenaan dengan Stesen Keretapi Lama Gemas. Kini saya mahu mencari dan melihat sendiri tingalan-tinggalan lama yang masih tinggal bagi jajaran ini bermula dari Gemas sehingga ke Batang Melaka. Saya yakin, pasti akan ketemu dengan sesuatu disini walaupun saya sedar projek landasan bekembar dari Seremban ke Gemas pasti banyak sekali membunuh tinggalan-tinggalan bersejarah ini. Saya hanya berserah kepada Allah SWT. Setiap sesuatu pasti ada rezekinya. Cukup sahaja falsafah itu yang menjadi pegangan saya.

Pekan Air Kuning Selatan Yang Menderita

Dari FELDA Sungai Kelamah menuju ke pekan Batang Melaka, saya akan melalui sebuah pekan kecil Air Kuning Selatan. Jika pulang ke Gemas, saya memang akan melalui pekan ini dari Batu Pahat. Ketika pertama kali melalui pekan ini, hati saya merasa begitu teruja kerana masih lagi dapat melihat sebuah pekan tua di pinggir landasan keretapi.

Pekan Air Kuning Selatan

Uniknya suatu ketika dahulu, kita perlu melintasi lintasan rata landasan keretapi untuk ke pekan ini. Jujurnya sewaktu kali pertama melintasi pekan ini saya menjadi begitu teruja. Malahan tunangan saya ( kini isteri ) tidak mampu menahan ketawa melihat saya terlopong sendiri melihat wajah pekan ini serta laluan keretapinya. Namun itu dahululah ... kini tiada lagi lintasan rata yang membelah landasan keretapi di pekan Air Kuning Selatan ini. Dengan terbinanya jejambat baru yang moden, lintasan rata itu hanyalah tinggal sebagai satu kenang-kenangan indah yang pasti suatu masa nanti tinggal sebagai satu cerita buat generasinya.

Stesen keretapi Air Kuning Selatan sebelum dirobohkan

Saya sempat juga melihat detik-detik akhir stesen keretapi Air Kuning Selatan sebelum ia dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan projek landasan berkembar dari Seremban ke Gemas. Kesal juga di hati ini kerana tidak mengambil gambar kenangan ketika hayat stesen ini masih hidup. Isteri saya sudah berkali-kali memberi cadangan untuk saya mengambil gambar stesen ini ketika melaluinya. Namun itulah nasibnya diri ... peluang yang ada di depan mata telah saya lepaskan tanpa banyak bicara.

Papan tanda stesen keretapi Air Kuning Selatan
( sumber : zkeretapi.blogspot.com )

Lintasan rata di pekan Air Kuning Selatan yang
kini hanya tinggal kenangan.
( sumber : zkeretapi.blogspot.com )

Mujurlah blog zkeretapi yang sering menjadi rujukan saya dalam penulisan hal keretapi masih banyak menyimpan gambar-gambar lama stesen keretapi Air Kuning Selatan ini. Jika tidak pasti saya akan dihantui mimpi-mimpi ngeri atas kegagalan saya merakam saat-saat hidupnya stesen keretapi Air Kuning Selatan. Semoga blog zkeretapi akan terus kekal menjadi bahan sumber arkib yang penting untuk para peminat keretapi seluruh Malaysia.

Uniknya Perjalanan Bersendirian

Memandu kereta bersendirian melalui jalan lama yang sunyi memberikan saya sejuta satu kenikmatan yang tiada terhingga. Kiri dan kanan jalan hanyalah estet-estet getah dan deretan kebun kelapa sawit yang menghijau. Inilah panorama yang sangat saya senangi. Estet-estet getah mengembalikan semula suasana lama di tahun-tahun 1960an sehingga awal tahun 1990an. Kini pemandangan estet-estet getah tua sudah terlalu sukar untuk kita lihat lagi kerana kebanyakan estet-estet ini sudah berubah wajah menjadi ladang kelapa sawit dan bukannya lagi estet getah yang klasik !

Panorama estet-estet getah mengembalikan memori
zaman-zaman yang telah berakhir

Sektor perladangan getah dan perkhidmatan keretapi di negara kita ini bagaikan sukar dipisahkan. Walaupun umum mengetahui perkembangan keretapi banyak dipengaruhi oleh kesan perlombongan bijeh timah namun banyak juga pekan-pekan kolonial yang wujud akibat ledakan ekonomi perladangan getah dilalui oleh jaringan landasan keretapi sejak zaman penjajahan lagi. Kerana itulah saya meyakini pekan Batang Melaka, Air Kuning Selatan dan Gemas wujud dari ledakan sektor perladangan getah negara suatu ketika dahulu.

Walaupun mutu jalan raya sudah dipertingkatkan sesuai dengan peredaran masa namun nuansanya tetap mengimbau memori jalan lama persekutuan dalam tahun-tahun lewat 1980an. Inilah yang membuatkan saya begitu menikmati perjalanan ini. Ia sebenarnya membuatkan saya begitu bernostalgia dan tenang.

Jarak-Jarak Terakhir Jajaran Pantai Barat Semenanjung

Pembinaan landasan berkembar sememangnya telah merubah wajah landasan bagi jajaran Pantai Barat Semenanjung. Pemodenan sistem pengangkutan keretapi bagi negara ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Jajaran landasan keretapi yang dipusakai sejak zaman kolonial perlu dinaiktaraf supaya ia terus kekal relevan kepada rakyat sampai bila-bila. Secara prinsipnya saya menyokong pemodenan landasan ini namun sesekali muncul juga kegelisahan di hati melihat tinggalan-tinggalan lama stesen keretapi tua mula diroboh atau ditinggalkan satu persatu demi melihat kejayaan projek landasan berkembar ini.

Namun itulah bayaran yang harus kita bayar demi kelangsungan perkhidmatan keretapi Malaysia. Kini, saya sudah mampu untuk lebih berlapang dada dalam menerima perkara ini. Mustahil bagi stesen-stesen tua yang sesetengahnnya sudah wujud sejak zaman kolonial lagi menampung jumlah penumpang yang semakin ramai. Pembinaan stesen keretapi moden dan besar adalah sesuatu yang sangat perlu sesuai dengan status negara maju yang dinikmati oleh negara kita.

Setelah memandu lebih kurang selama 30 minit  dan akhirnya saya sampai ke simpang masuk ke pekan kecil Batang Melaka. Di sepanjang perjalanan ke pekan ini, saya sesekali dapat melihat perkembangan projek landasan berkembar yang semakin rancak. Ia membuatkan saya tersenyum penuh kebanggan tanpa sebarang sebab.

Masuk ke simpang jalan menuju ke pekan Batang Melaka

Pekan Batang Melaka adalah sebuah pekan yang unik. Pekan ini terletak betul-betul di sempadan antara negeri Melaka dan Negeri Sembilan. Tidak hairanlah Batang Melaka bolehlah dianggap dikongsi secara bersama oleh Melaka dan Negeri Sembilan. Saya memasuki pekan ini dari arah Negeri Sembilan. Dari kejauhan saya sudah dapat melihat stesen keretapi lama Batang Melaka yang terletak agak tinggi dari jalan utama pekan ini.Melalui deretan rumah kedai lamanya yang klasik membuatkan saya begitu teruja. Saya tidak terus singgah ke stesen keretapinya sebaliknya terus memandu menyusuri keunikan pekan tua yang tenang ini.

Tidak sampai lima minit memandu, saya sudah mula memasuki ke pekan Batang Melaka yang terletak di dalam negeri Melaka. Suasananya tetap sama seperti pekan Batang Melaka yang terletak dalam Negeri Sembilan. Tidak jauh dari pekan ini terletak sebuah stesen keretapi baru yang moden dan besar. Jika stesen keretapi lama terletak dalam Negeri Sembilan, namun bagi stesen yang baru ini ianya terletak di dalam kawasan negeri Melaka. Secara tidak langsung kini negeri Melaka sudah mempunyai sebuah stesen keretapi yang terletak di dalam kawasannya sekaligus memadamkan terus statusnya sebagai negeri yang tidak mempunyai stesen keretapi sepertimana negeri Terengganu.

Batang Melaka ialah hentian ketiga terakhir dalam laluan landasan keretapi jajaran Pantai Barat selepas Air Kuning Selatan dan yang terakhir Gemas. Namun kini, setelah stesen keretapi Air Kuning Selatan tidak lagi beroperasi, Batang Melaka menjadi destinasi kedua terakhir bagi penghujung landasan Pantai Barat. Oleh itu tidak hairanlah saya jika pada permulaan penulisan artikel ini saya mahu meletakkan tajuknya sebagai "Jejak Penghujung Landasan Pantai Barat". Namun akhirnya saya merubahnya kepada tajuk yang sedia ada kini bagi membolehkan skop pembacaan pembaca nanti lebih terarah kepada stesen keretapi lama Batang Melaka.


Saya sempat juga meninjau keadaan stesen keretapi baru Batang Melaka ini. Ternyata ia sebuah stesen moden yang lengkap dan canggih. Saya yakin ia mampu memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada penduduk Batang Melaka. Saya hanya meninjau-ninjau dari luar sahaja stesen ini. Tidak berani masuk ke dalam. Takut pula nanti dianggap penceroboh yang datang tanpa diundang. Tambahan pula saya membawa kamera. Perasaan bimbang disalah anggap oleh kakitangan stesen sentiasa bermain di hati. Saya tidak lama di stesen baru ini. Hati dan fikiran saya lebih tertumpu kepada stesen keretapi lama Batang Melaka yang sememangnya menjadi hajat dan impian saya selama ini. Hidup sahaja enjin kereta saya terus memandu menuju ke stesen tua itu.

Sebuah Stesen Tua Di Atas Bukit


Stesen keretapi lama Batang Melaka

Tidak lama masa yang diambil untuk sampai ke stesen keretapi lama Batang Melaka. Kedudukannya terletak agak tinggi dari jalan utama pekan ini. Saya meletakkan kereta di seberang jalan raya. Saya meninjau-ninjau dahulu keadaan di sekeliling. Jika ada kakitangan KTMB yang bertugas boleh juga saya memohon kebenaran bagi mengambil gambar. Saya bertanya kepada seorang pekedai yang tersenyum melihat saya termanggu-manggu di depan kedainya jika stesen ini masih beroperasi. Beliau menyatakan bahawa operasi stesen ini telah dipindahkan ke stesen baru.

Papan tanda tua stesen keretapi Batang Melaka

Saya memandang dari jauh stesen ini. Banggunan utama stesen ini masih utuh dan tidak dimamah masa. Rasanya ia binaan baru yang dibina bagi menggantikan binaan lama. Namun ia masih lagi terlihat klasik. Saya mengambil kesempatan berbual dengan pekedai Cina berkenaan tentang hal-hal nostalgia berkaitan dengan stesen tua ini. Ternyata banyak kenangan beliau terhadap stesen keretapi tua ini. Sejak dari mudanya beliau melihat stesen itu. Keramahannya membuatkan saya terleka. Lama juga saya berbual-bual dengannnya sehinga terlupa maksud asal perjalanan ini.

Saya menaiki anak tangga simen untu ke kawasan stesen. Tangga-tangga ini mengingatkan saya kepada stesen keretapi lama Kuala Kubu Road yang telah ditinggalkan. Kedua-dua stesen ini bertangga cumanya yang membezakannya ialah di Batang Melaka ini saya perlu menaiki tangga manakala di Kuala Kubu Road saya perlu pula menuruni tangga. Namun itulah keunikan stesen-stesen lama ini. Ianya penuh dengan seni binaan yang kelihatan ringkas namun pada saya begitu berestetika.

Menaiki anak tangga bersimen untuk sampai 
ke bangunan stesen

Saya berharap agar papan tanda lama stesen ini masih wujud. Papan tanda putih yang menunjukkan nama stesen dan arah stesen seterusnya itu seringkali membuatkan saya begitu menjadi kagum. Keutuhannya dalam mendepani cabaran cuaca dan masa menjadikan ia satu tinggalan sejarah perkhidmatan keretapi Malaysia yang begitu hebat. Sudah banyak stesen-stesen keretapi lama yang pernah saya lawati, ternya papan tanda lama ini tetap berdiri kukuh sebagai bukti kewujudan sebuah stesen keretapi yang berjasa kepada masyarakat.

Papan tanda lama stesen keretapi lama Batang Melaka

Syukur juga papan tanda lama ini masih ada dan masih kukuh. Landasan di hadapan stesen ini telah dibongkar dan dialihkan ke laluan baru. Sayu hati melihat sebuah stesen keretapi lama yang kini sudah tidak berperanan lagi. Tiada lagi keretapi singgah dan mengambil penumpang disini. Ia kini sunyi tanpa deruan bunyi lokomotif yang gagah.

Tidak jauh dari papan tanda lama stesen ini terdapat sebuah pondok kayu kecil yang menjadi tempat penumpang menunggu keretapi. Walaupun hanya sebuah binaan kayu yang kecil namun jasanya sangat besar kepada para penumpang. Tidak ada kerusi kayu moden empuk bagi penumpang menunggu kedatangan keretapi di pondok ini. Cukuplah sekadar kerusi kayu panjang klasik untuk  para penumpang merehatkan lelah. Turut diletakkan di pondok menunggu ini ialah papan kenyataan yang memberi info-info berkaitan hal-hal keretapi. Ianya masih terga. ntung cantik tanpa sebarang gangguan.

Pondok menunggu yang klasik

Kerusi kayu .. peneman sepi yang selesa sementara
menanti keretapi tiba

Saya berlegar-legar di kawasan pondok ini membaca info-info yang diletakkan di papan kenyataan itu. Pasti suatu masa nanti poster-poster info ini akan dimamah masa. Alangkah baiknya jika saya dapat mengambilnya dan dibawa pulang. Namun saya sedar, ia tetap milik KTMB dan saya bukanlah lelaki yang suka menjarah hak orang.

Papan kenyataan stesen

Platform stesen ini masih kukuh. Agak panjang juga platform ini. Saya mendapat satu maklumat yang unik berkenaan dengan keretapi yang singgah berhenti di stesen ini. Khabarnya jika ada sesebuah keretapi berhenti di stesen ini dari arah Gemas, maka lokomotif atau kepala keretapi berkenaan akan berada dalam kawasan negeri Melaka. Manakala gerabak-gerabak keretapi berkenaan akan berada di dalam kawasan Negeri Sembilan. Begitu lah sebaliknya jika keretapi berhenti dari arah Tampin, maka gerabaknya di Melaka manakala lokomotifnya di Negeri Sembilan.

Platform Utama stesen

Di seberang landasan yang sudah dibongkar ini terdapat satu anak tangga kecil. Tidak pula saya mengetahui kemana arah perginya anak tangga berkenaan. Jika dilihat sepintas lalu, hanya dari belah bangunan stesen sahaja yang mempunyai platform. Manakala dari arah seberangnya tidak ada. Mungkin perselisihan tren tidak dapat dilaksanakan di stesen ini.

Tidak pula saya tahu kemana arah perginya
anak tangga ini.

Di hujung platform ini terdapat dua buah bangsal kecil. Sebuah bewarna putih manakala sebuah lagi bewarna merah. Bangsal bewarna putih berbumbung tirus manakala bangsal bewarna merah pula berbumbung melengkung. Seperti halnya anak tangga seberang stesen tadi, saya juga tidak mengetahui apakah fungsi dan peranan dua buah bangsal ini. Mungkin ia bangsal yang digunakan sebagai stor tempat meletak barang-barang atau sebagai rumah kunci kait.


Tanaman renek seperti pohon-pohon bunga hidup dengan suburnya di stesen ini. Bunga-bunganya mengembang cantik. Ia menyerikan lagi aroma klasik stesen ini dan pasti usia pohon-pohon bunga ini juga sudah mencapai puluhan tahun.

Pokok-pokok bunga yang masih berbunga

Saya melangkah ke bangunan utama stesen. Kaunter jualan tiketnya telah ditutup. Sekali pandang, kelihatannya bentuk binaan stesen ini sama dengan stesen keretapi Batu Anam yang pernah saya singgahi tidak lama dahulu. Saya merasakan banggunan stesen ini adalah binaan baru yang dibina bagi mengantikan bangunan stesen lama. Warna dindingnya yang kuning itu masih lagi utuh. Risau juga hati saya jika bangunan stesen ini nanti dijadikan sarang penagihan dadah atau maksiat oleh individu-individu tertentu. Hal ini jelas kerana beberapa stesen lama yang pernah saya singgahi sebelum ini telah dijadikan sarang penagihan dadah. Adalah sayang bagi sebuah stesen yang masih utuh seperti ini dibiarkan tanpa pembelaan. Saya beranggapan moleklah jika ia diwakafkan kepada penduduk setempat untuk dijadikan tempat kemasyarakatan dari dibiarkan atau dirobohkan.

Pemandangan depan bangunan stesen

Tiket kaunter ...sunyi dan sepi

Saya berlegar-legar sahaja di ruangan legar bangunan stesen ini. Saya memandang ke arah landasan di hadapan stesen yang telah dibongkarkan. Betapa dahulu keretapi melalui dan singgah di stesen ini sepanjang masa bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk setempat. Kini segala-galanya sunyi dan sepi. Walaupun penduduk Batang Melaka sudah mendapat sebuah stesen keretapi baru yang jauh lebih canggih, namun saya tahu di benak hati dan perasan mereka pasti ada rasa keterhutangan dan berterima kasih kepada stesen keretapi tua yang banyak berjasa ini.

Tiada lagi landasan disini ... segalanya telah dibongkar
ke arah laluan baru.

Jujurnya, inilah kali pertama perasaan saya menjadi jauh berbeza sewaktu mengunjungi stesen-stesen keretapi lama. Saya menjadi lebih rasional di stesen ini. Mungkin disebabkan keadaannya yang masih utuh menyebabkan saya menjadi sedemikian rupa. Saya sedar hayat stesen ini sudah mela mencapai masa-masa akhirnya. Jika lah suatu masa nanti stesen ini dirobohkan, saya masih boleh tersenyum sendiri kerana pada hari ini saya pernah melawat dan melihatnya dalam suasana yang jauh berubah.

Dengan tidak beroperasinya stesen keretapi lama Bantang Melaka ini bermakna kini Negeri Sembilan kehilangan sebuah stesen keretapinya manakala negeri Melaka pula sudah boleh berbangga kerana sudah memiliki sebuah stesen keretapinya yang tersendiri. Itulah bayaran yang paling mahal yang terpaksa diberi oleh penduduk Batang Melaka walaupun mempunyai pertalian sempadan negeri yang erat.

Saya tidak mahu berlama-lama di stesen tua ini. Masa yang mendesak membuatkan saya lebih selesa hanyak hinggap sejenak di stesen ini. Sewaktu menuruni tangga stesen tua ini, saya berselisih dengan seorang lelaki yang menjinjing bungkusan plastik. Beliau tersenyum memandang saya. Saya membalas senyumannya dengan seramah mungkin namun mata saya meliar memandang bungkusan plastik yang dijinjingnya. Sayangnya, saya tidak dapat mengecam apa yang dibawanya di dalam beg plastik itu. Agaknya apabila melihat diri saya yang meliar memandangnya terus lelaki itu bersuara bahawa beliau mahu menikmati makanan yang dibelinya di pondok stesen keretapi di atas. Saya hanya mampu menunjukkan isyarat bagus sahaja kepadanya.

Ketika mahu masuk ke kereta, saya memandang semula ke arah stesen tua Batang Melaka. Hari ini saya telah menjejakinya dan esok lusa saya tidak pasti sama ada mampu untuk melihatnya lagi. Stesen keretapi lama Batang Melaka, adalah contoh keunikan hubungan sempadan antara negeri di Malaysia. Kedudukannya yang terletak di titik sempadan menjadikan penduduk di negeri Melaka dan Negeri Sembilan berkongsi rasa dan kenangan yang sama terhadap stesen keretapi ini. Tidak mengapalah ... jika esok adalah penamat hayat stesen tua ini, saya pasti ia tetap akan tersenyum kerana sepanjang hayatnya ia telah berbakti tanpa penat untuk para penumpang keretapi.

Sejenak di stesen keretapi lama Batang Melaka banyak menyedarkan saya bahawa tidak selamanya dunia akan bersama dengan kehidupan kita !