BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS �

Thursday, February 27, 2014

Catatan Sebuah Buku : Meniti Lautan Gelora - Sebuah Memoir Politik Said Zahari


"Suaramu dari penjara Singapura :
'Mereka akan berkembang
Menghancurkan manusia biadab
Dan rakyat nanti
Tiada takut lagi'
Salut untuk Said Zahari
Salut untuk mereka yang berani !"

- Petikan sajak Salut Untuk Said Zahari
karya SN Usman Awang 

Siapakah empunya diri yang disalut ( dibangga atas perjuangan ) oleh sajak di atas ? ... pasti susuk nama itu bukan calang-calang orangnya. Lebih-lebih lagi pencipta sajak itu sendiri juga bukan sembarangan nama dan punya gelar Sasterawan Negara Usman Awang. Masakan tidak sajak ini tercipta jika susuk ilham yang bernama Said Zahari itu tidak punya cerita besar di hari silamnya. 

Ya ... Said Zahari... satu nama besar bukan sahaja untuk Singapura malahan melewati Malaysia. Sejarah Said Zahari ini merentasi zaman dan menurut perkiraan saya, beliau adalah momen-momen akhir yang masih tertinggal bagi suatu ketika yang penuh dengan kecelaruan politik antara fahaman nasionalisma, sosialisma dan komunisme pada tahun-tahun 1940an sehingga 1960an. 

Said Zahari

Benar juga kata seorang tua yang pernah saya temui di pinggir jalan yang sesak dan berdebu. Katanya generasi beliau ( merujuk anak-anak muda tahun 1940an hingga 1950an ) adalah generasi yang penuh dengan sifat perjuangan dan pemberontakan. Tidak kira apa jua fahaman dalam diri semuanya bermatlamatkan satu ... menegakkan sebuah negara yang merdeka. Namun menjelang tahun-tahun 1960an, ianya berkembang pula menjadi satu kemelut yang panjang antara fahaman-fahaman tertentu dan semestinya anak muda era ini pula menjadi jauh lebih fleksibel dalam menentukan jatuh dan bangun sesebuah perjuangan. 

Dan dalam sejarah yang panjang itu ...ternyata yang kuat pasti beroleh kemenangan walaupun dengan cara kotor atau berhemah. Itulah keributan politik yang nyata namun kesannya akan sentiasa dikenang oleh mereka-mereka yang mengalaminya. Saya mengerti selepas membaca buku memoir Said Zahari ini bahawa beliau adalah susuk yang turut serta dalam keributan politik itu. Beliau mungkin tewas atas bidang kuasa lawannya yang jauh lebih kuat. Namun semangat dan perjuangannya tetap menang walaupun dalam bentuk kenangan sejarah yang berbeza.

Siapa Said Zahari ?

Bagi generasi baru seperti saya, nama Said Zahari mungkin bukan satu nama yang besar dan dikenali. Tambahan pula kisahnya tidak ada diceritakan oleh sejarah yang dipelajari sehari-hari di sekolah. Nama Said Zahari mula memuncak apabila berlakunya mogok selama tiga bulan di Utusan Melayu pada tahun 1961 ekoran dari bantahan pekerja terhadap pengambilalihan syarikat berkenaan oleh parti UMNO.



Mogok itu mencatat sejarahnya yang tersendiri kerana para pekerja yang melakukan mogok berkenaan bukan bermogok untuk urusan kenaikan gaji sebaliknya adalah untuk mempertahankan kebebasan akhbar berkenaan dari dikuasai dan menjadi alat-alat suara kepada parti-parti tertentu. Inilah prinsip perjuangan beliau yang akhirnya menyebabkan beliau terusir dari Malaya ( ketika itu ) ke Singapura yang juga tanah kelahirannya.

Said Zahari dilahirkan di Singapura pada tanggal 18 Mei 1928. Beliau berketurunan Jawa. Mendapat pendidikan Inggeris dan Melayu di Singapura. Semasa pendudukan Jepun beliau berpeluang mengikuti kursus Bahasa Jepun di sekolah perguruan Jepun, Sihan Gakko di Singapura selama dua tahun. Selepas pendudukan Jepun, Said Zahari meneruskan pelajaran ke peringkat Senior Cambridge.

Cerita Said Zahari

Ada suatu cerita unik berkenaan dengan beliau yang begitu membekas pada diri saya selepas membaca buku memoir beliau ini. Dalam bab 1, Said Zahari menceritakan kepada para pembaca berkenaan dengan dirinya sewaktu masih kecil yang sering menangis akibat dari penyakit demam panas, kembung perut dan berbagai jenis penyakit lagi.

Seorang jiran terdekat dengan rumah keluarga beliau yang dipanggil Wak Lias mencadangkan agar Said Zahari yang masih kecil itu dibuang secara olok-olok ke dalam tong sampah. Ia mungkin sekadar petua untuk mengubati penyakitnya itu. Anehnya, mungkin berkat ilmu orang dahulu Said Zahari yang masih kecil itu pulih dan menjadi sihat malah tubuhnya semakin montok selepas upacara pembuangan olok-olok itu.



Hal ini begitu mempengaruhi saya sehingga saya sendiri pernah mencadangkan perkara ini kepada isteri untuk dilakukan kepada anak saya sendiri. Sewaktu awal-awal kelahirannya, anak saya sering menangis terutama menjelang waktu Maghrib. Hal ini benar-benar merunsingkan saya dan isteri. Kebetulan pada suatu hari saya membelek-belek buku ini dan teringat cerita awal Said Zahari tentang upacara pembuangan olok-olok tersebut dan mencadangkan upacara ini kepada isteri. Dengan muka yang mencuka, isteri saya memarahi saya kerana mahu melakukan hal seperti itu kepada anak sendiri. Saya mempertahankannya sebagai satu ikhtiar. Namun apabila memikirkan tentang perasaan seorang ibu kepada anak maka hal itu saya batalkan sahaja. Akhirnya anak saya pulih setelah diubati oleh seorang ustaz di Rembau.

Dunia Politik Singapura

Umum mengetahui bahawa politik Singapura suatu ketika dahulu adalah saling berkait rapat dengan politik Tanah Melayu. Percantuman Singapura dalam gagasan Malaysia pada tahun 1963 menambahkan lagi jalan cerita sejarah politik yang agak panas pada ketika itu.

Said Zahari tidak terkecuali dari terbabit dengan politik. Ketika itu kuasa dan kredibiliti seorang wartawan adalah amat hebat. Beliau kembali ke Singapura akibat dari tindakan Tunku Abdul Rahman yang mengharamkan beliau untuk masuk ke Tanah Melayu. Hal ini adalah akinat dari kesan pemogokan yang dilakukan oleh para pekerja Utusan Melayu yang menentang pengambilalihan surat khabar itu oleh UMNO. Di Singapura, beliau  akhirnya memutuskan untuk menggabungkan diri dalam Parti Rakyat Singapura pada tahun 1962 dan akhirnya dilantik menjadi Ketua Umum parti berkenaan.

Antara perkara yang agak unik berkenaan dengan hal kemasukan Said Zahari ke dalam Parti Rakyat Singapura ( PRS ) ini ialah keterlibatan beberapa orang tokoh nasionalis besar Melayu dalam organisasi parti. Antara yang disebut namanya dalam memoir ini ialah Allahyarham Cikgu Harun Aminurashid. Said Zahari dengan jujur memberikan penghargaan yang tinggi kepada Cikgu Harun Aminurashid ini sebagai seorang pejuang politik yang anti penjajah.

Cikgu Harun Aminurashid antara 
nasionalis kental Melayu

Namun demikian, menjadi seorang pemimpin sebuah parti politik seperti Parti Rakyat Singapura bukanlah sesuatu yang mudah. Parti Rakyat Singapura adalah parti berbilang kaum ( multi racial ) dimana terdapat kaum-kaum tertentu akan mendominasi parti berkenaan. Hal inilah yang dialami oleh parti berkenaan apabila sampai suatu ketika berlaku suatu penyimpangan ideologi antara ahli dan pemimpin. Hal ini berlaku adalah akibat dari penyerapan ideologi sosialis yang berkiblatkat Beijing mula berlaku di kalangan ahli sehingga ideologi asas parti iaitu Marhaenisme ( sosiodemokrasi-nasional ) yang diasaskan oleh Ahmad Boestaman mula terpinggir.

Said Zahari sendiri turut merasakan bahawa terdapat penyusupan anasir komunis dalam parti berkenaan dan agak sukar untuk menafikannya. Hubungan baik parti ini dengan sebuah lagi parti politik kiri Singapura iaitu Barisan Sosialis secara tidak langsung bagaikan menimbulkan suatu kesan yang agak berat di mata pihak pemerintah terutamanya kepada Lee Kuan Yew yang ketika itu menjadi setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat ( PAP ).

Antara Nasionalis, Komunis, Anti-Komunis, Soasialisma dan Marhaenisme

Dekad-dekad awal 1950an dan awal 1960an adalah satu tempoh sukar bagi negara Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Selain dari perjuangan menentang penjajahan British, rakyat juga terpaksa berhadapan dengan ancaman pengaruh komunis tidak kira dari segi perjuangan bersenjata mahupun ideologi. Perjuangan bersenjata Parti Komunis Malaya ( PKM ) yang menyebabkan berlakunya tempoh darurat di Tanah Melayu akhirnya menyebabkan Said Zahari dan partinya berada di dalam keadaan yang tertekan.

Parti Rakyat Singapura bukanlah sebuah organisasi parti yang besar dan kuat. Ia diakui sendiri oleh Said Zahari. Penyimpangan ideologi asal kepada ideologi yang banyak dipengharuhi oleh sosialisme Beijing ( ala- Mao ) sedikit sebanyak telah menyebabkan parti itu dicop sebagai berhaluan komunis. Ditambah pula dengan keadaan semasa ketika itu yang sememangnya panas dengan penentangan terhadap ideologi komunis maka pastinya parti-parti yang dianggap kiri seperti Parti Rakyat Singapura bagaikan menjadi ancaman kepada pihak pemerintah.

Namun demikian sejauh manapun Parti Rakyat Singapura cuma melarikan diri dari bayangan komunis, maka itulah yang sukar dielakkan oleh parti ini. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, penyimpangan ideologi telah " menjahanamkan " parti ini pada pilihanraya umum Singapura pada tahun 1959. Didalam pilihanraya ini keempat-empat calon Parti Rakyat Singapura telah kalah teruk malah hilang wang deposit mereka. Hal ini adalah sesuatu yang aneh kerana pada awal kempen kelihatannya sambutan yang diterima begitu menggalakkan namun sehingga ke akhir kempen segalanya berubah apabila ahli-ahli parti yang gigih berkempen mula mengendurkan peranan mereka sehingga menyebabkan ketewasan calon-calon parti.

Menurut Said Zahari hal ini adalah berpunca dari arahan dari tindakan seorang individu yang dianggap sebagai wakil Parti Komunis Malaya ( PKM ) yang digelar dengan panggilan Plen ( plenipotentary ), telah memberikan arahan kepada kader-kader Parti Rakyat Singapura ( PRS ) untuk menghentikan sokongan kepada parti. Akibat dari kekalahan pilihanraya ini amatlah besar kerana secara tidak langsung sekiranya benar berlaku jelas menunjukkan bahawa PRS sudah dijangkiti oleh kuman-kuman komunis. Ianya juga menyebabkan berlakunya saling ketidakpercayaan antara ahli parti terutama ahli berbangsa Melayu dengan ahli berbangsa Cina.

Arahan dari plen ini sebenarnya hanyalah menguntungkan Lee Kuan Yew dan partinya. PKM menganggap kemenangan besar PAP pasti akan merubah pendirian Lee Kuan Yew terhadap PKM. Lee Kuan Yew yang ternyata lebih bijak bertindak dengan lebih agresif selepas itu apabila pada tahun 1961 bertindak melancarkan serangan terhadap anasir-anasir komunis di dalam PAP malahan seterusnya membuat kejutan untuk menyertai gagasan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

Lee Kuan Yew

PKM yang berhempas pulas untuk berjuang di Persekutuan Tanah Melayu kini semakin terhimpit. Harapan mereka untuk menguasai pulau Singapura juga kini makin jauh akibat dari percantuman yang tidak diduga itu. Lee Kuan Yew kini mendapat sokongan dari British dan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman. yang sememangnya pro barat dan anti komunis dan golongan kiri.

Kemuncak kepada peristiwa ini ialah berlakunya penangkapan besar-besaran terhadap pemimpin politik berhaluan kiri Singapura dan dicampakkan ke penjara atau dibuang negeri ke Malaya. Hal ini seterusnya melumpuhkan terus parti-parti kiri seperti Barisan Sosialis dan Parti Rakyat Singapura untuk terus bersaing dengan parti PAP di dalam pilihanraya yang diadakan selepas itu.

Said Zahari Ditangkap

Agak unik berkenaan penangkapan Said Zahari ialah ianya berlaku selepas sahaja beliau memegang jawatan sebagai ketua umum Parti Rakyat Singapura ( PRS ). Saya melihat hal penangkapan ini adalah saling berkait rapat dengan perjalanan politik di tiga buah negara iaitu di Tanah Melayu, Singapura dan Brunei.

Parti Rakyat Malaya yang diasaskan oleh Ahmad Boestamam pada tahun 1955. Uniknya pergerakan parti ini bukan sahaja aktif di Malaya namun ia juga mengalir ke pulau Singapura ( membentuk Parti Rakyat Singapura ) dan Brunei ( membentuk Parti Rakyat Brunei ). Pemimpin-pemimpin parti ini di ketiga-tiga buah negara adalah saling kenal mengenali malahan bersahabat baik. Di Malaya, Parti Rakyat Malaya adalah begitu kuat dan berpengaruh malahan moleh dikatakan pesaing yang agak hebat bagi parti pemerintah yang ditunjangi UMNO.

Ramai yang beranggapan Parti Rakyat adalah sebuah organisasi yang berideologikan sosialis ( sesetengah pihak memanggilnya parti berhaluan kiri ). Saya sebenarnya sudah mengkaji dengan agak lama berkaitan dengan fahaman pengasas parti ini iaitu Ahmad Boestamam. Untuk menyatakan beliau adalah seorang sosialis tulen adalah satu perkara yang sangat sukar. Ini adalah kerana pembabitan beliau dalam perjuangan kemerdekaan negara adalah begitu panjang dan diakui jalur kehidupan beliau dipenuhi dengan aktiviti keluar dan masuk penjara.

Saya meyakini sebenarnya Ahmad Boestamam adalah nasionalis tulen yang membawa gaya dan fahamannya yang tersendiri dalam ideologi politiknya. Hal ini menjadi bertambah nyata apabila di dalam buku ini , Said Zahari menyatakan bahawa ideologi asas Parti Rakyat Singapura adalah Marhaenisme dan bukannya sosialisme. Justeru bagaimana sejarah boleh memproklamirkan Ahmad Boestamam sebagai golongan kiri ?. Bukankah tidak adil bagi seorang tokoh besar seperti Ahmad Bostamam dinyatakan dengan satu sisi yang agak janggal sedangkan sejarah perjuangan terlalu besar bagi sebuah negara seperti Malaysia.

Pembentukan Malaysia pada tahun 1963 bagaikan satu bencana bagi Parti Rakyat di ketiga-tiga buah negara. Di Malaya, Parti Rakyat Malaya ( PRM ) yang diketuai oleh Ahmad Bostamam membantah dengan sekeras-kerasnya idea penubuhan Malaysia ini. Agak sukar untuk menyatakan kenapa dan apakah sebabnya parti ini membantah keras. Sejarah hanya menyatakan bahawa PRM lebih selesa bergabung dengan Indonesia bagi membentuk Indonesia Raya. Kesudahannya... Ahmad Boestamam dan ramai lagi pemimpin parti ini telah ditangkap dan dihumban ke dalam penjara.

Di Brunei pula, idea percantuman di dalam negara Malaysia telah mendapat respon yang sangat baik dari sultan namun demikian ianya mendapat tentangan dari pemimpin dan ahli Parti Rakyat Brunei ( PRB ) yang diketuai oleh A.M Azahari. Hal ini seterusnya telah menyebabkan berlakunya pemberontan Brunei yang akhirnya telah menyebabkan Brunei menarik diri dalam gagasan Malaysia.

Allahyarham A.M Azahari

Di Singapura pula, Parti Rakyat Singapura ( PRS ) yang baru sahaja mendapat ketua barunya iaitu Said Zahari berhadapan dengan pelbagai cabaran. Melihat kepada pendirian dua adik-beradik PRS iaitu PRM dan PRB yang menentang penubuhan Malaysia, bagaiman pula pendirian PRS dalam hal ini ?. Dalam hal ini adalah jelas parti-parti berhaluan kiri Singapura seperti Barisan Sosialis dan PRS sendiri menetang idea penggabungan itu kerana pada pandangan mereka pengabungan itu adalah lebih menguntungkan British dari rakyat di wilayah-wilayah yang berkaitan.

Inilah beban yang akhirnya memakan diri Saiz Zahari. Pembentukan Malaysia secara dasarnya lebih kepada suatu permainan politik yang sukar dimengertikan. Penubuhan Malaysia secara tidak langsung memberikan kemerdekaan yang luar biasa sifatnya kepada Singapura, Sarawak dan Boneo Utara ( Sabah ). Ia juga secara psikologinya menghapuskan terus impian Presiden Indonesia ketika itu iatu Soekarno dalam membentuk kesatuan Indonesia Raya.

Yang paling nyatanya adalah faktor KOMUNIS yang dikatakan punca untama pembentukan Malaysia. Maka akibat dari faktor komunis inilah parti-parti aliran kiri terus disalah tafsirkan ideologi mereka. Ia bertambah parah apabila sebahagian parti-parti ini membantah idea percantuman Malaysia. Soekarno pula terperangkap dalam permainan licik Partai Komunis Indonesia ( PKI ) sehingga menyebabkan beliau akhirnya tersingkir dari jawatan presiden Indonesia. Akhirnya seperti biasa yang kuat dan berkuasa akan menang dan yang tewas akan terhumban ke dalam penjara dunia yang perit dan hitam.

Akhirnya Said Zahari ditangkap pada tanggal 2 Februari 1963. Penangkapan beliau diikuti dengan penangkapan beberapa orang lagi aktivis lagi menerusi satu operasi besar-besaran di seluruh Singapura yang dinamakan Operation Cold Store. Dari penangkapan inilah Said Zahari terus terkurung dalam tahanan yang akhirnya memakan masa selama 17 tahun. Dan itulah sejarah yang benar dan tidak menipu kita semua namun Said Zahari telah melaluinya dengan tenang.

Dibenarkan Memasuki Malaysia Semula

Selepas sahaja peristiwa pemogokan pekerja Utusan Melayu, kerjaaan Malaysia dibawah pentadbiran YAM Tunku Abdul Rahman telah mengharamkan Said Zahari dari memasuki Malaysia. Hal ini seterusnya berterusan dalam pentadbiran Tun Haji Abdul Razak dan Tun Hussein Onn.

Namun demikian larangan memasuki Malaysia ini akhirnya terbatal setelah Perdana Menteri Malaysia keempat iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad menarik semula larangan terhadap Said Zahari bagi memasuki Malaysia pada tahun 1989.

Tun Mahathir Mohamad yang akhirnya yang
membenarkan semula Said Zahari ke Malaysia.

Seorang Pemimpin Berjiwa Besar



Salah satu penceritaan Said Zahari yang amat terkesan di jiwa saya ialah berkenaan dengan hemah seorang negarawan besar iaitu Tunku Abdul Rahman. Bagi sesetengah masyarakat Malaysia, pasti kita hanya mengenali latar Tunku sebagai seorang tokoh yang membebaskan negara Malaysia ini dari cengkaman penjajahan. Ada juga dikalangan individu yang mengecam Tunku sebagai seorang yang begitu pro-barat namun walaubagaimana pun andaian kita terhadap Tunku, adalah diakui beliau adalah seorang pemimpin berjiwa besar.

Said Zahari menulis satu kisah yang didapatinya dari setiausaha politik Tunku Abdul Rahman yang bernama Yap Chin Kwee berkenaan dengan keputusan Tunku Abdul Rahman yang bertegas tidak mahu bersetuju dengan rancangan pihak British yang mahu meletupkan kapal perang mereka sendiri di perairan Selat Melaka. Pada ketika itu Malaysia sedang berhadapan dengan konfrantasi dari Indonesia. Pasti jika kapal perang itu diletupkan akan menimbulkan andaian bahawa angkatan tentera Indonesia yang melakukan perbuatan tersebut dan dalam masa yang sama ia akan menimbulkan perang besar antara Malaysia dan Indonesia.

Malaysia yang ketika itu masih lagi bergantung harap kepada Perjanjian Pertahanan Inggeris Malaysia ( Anglo-Malaysian Defence Agreement ) dalam menghadapi suasana konfrontasi pasti akan mendapat bantuan dari Britain, Australia dan New Zealand sekiranya perang itu benar-benar berlaku. Menurutnya lagi seorang pegawai tinggi tentera British telah memberitahu kepada Tunku tentang rancangan jahat British itu dan menurut perkiraannya sekiranya perang itu berlaku,  perikatan tentera British, New Zealand, Australia dan Malaysia akan tidak mengambil masa yang lama untuk menghancurkan seluruh kekuatan tentera Indonesia.

Tunku lantas berang dan membantah sekeras-kerasnya rancangan jahat itu. Tunku  juga menegaskan bahawa kami ( merujuk kepada rakyat Malaysia ) mempunyai ikatan darah dan keturunan  yang sangat kuat dengan rakyat Indonesia. Ini adalah mesej jelas bahawa Tunku Abdul Rahman mengetahui bahawa sampai bila-bila pun walaupun berselisih fahaman, Indonesia dan Malaysia adalah adik beradik !

Tetapi atas alasan apakah Tunku Abdul Rahman berpendirian sedemikian ? ... inilah nilah hemah seorang Negrawan besar yang jarang diungkapkan oleh sejarah, Tunku Abdul Rahman menolak cadangan tersebut dan menegaskan konfrontasi itu adalah pertelingkahan beliau dengan rejim presiden Soekarno sahaja dan bukannya dengan rakyat Indonesia. Tunku Abdul Rahman dengan jelas menyatakan bahawa beliau tidak mahu melihat negara atau bangsa Indonesia dihancurkan oleh kuasa-kuasa Barat atas nama Malaysia, konfrantasi mahupun tiada konfrantasi.

Hal ini seterusnya dapat dilihat menerusi tangisan Tunku Abdul Rahman sewaktu beliau telah diusung dan dipaksa oleh sekumpulan pemuda yang menamakan diri mereka Malaysian Peoples Action Front untuk memijak lambang negara Indonesia iaitu Bhineka Tunggal Ika. Tunku Abdul Rahman yang tidak rela melakukannya dengan titisan air mata yang berjurai berkata,

             " Bukan ini yang yang saya mahu kamu semua lakukan ".

Tetapi pemuda-pemuda yang semacam sudah hilang akal itu terus menginjakkan-nginjakkan kaki Tunku Abdul Rahman keatas lambang Bhineka Tunggal Ika itu walaupun Tunku Abdul Rahman tidak merelakannya. Air mata Tunku mengalir hebat ketika ini tanda ketidakrelaannya atas perbuatan yang tidak bermaruah itu.

Itulah Tunku Abdul Rahman ... pemimpin yang tiada galang gantinya. Saya berasa bertuah kerana dapat mengetahui kisah ini melalui pembacaan memoir Said Zahari ini. Ia secara tidak langsung memberikan wajah dan cerita baru kepada diri saya berkenaan dengan idea pembentukan Malaysia. Ia juga adalah cerminan betapa eratnya hubungan persaudaraan antara bangsa Indonesia dan bangsa Malaysia. Ianya tidak akan terputus kerana kedua-dua negara ini adalah adik dan abang yang punya hubungan darah dan saling melengkapi antara satu sama lain sampai bila-bila !.

( sumber : http://jourlitersweet.blogspot.com/ )

Penutup

Bagi generasi muda, mungkin apabila melihat buku ini kita akan merasa luwes atau sekadar membelek-belek kulit luarannya sahaja. Bagi saya ia adalah satu naskah yang sangat hebat dan baik untuk kita baca dan ambil isinya. Said Zahari adalah seorang pencerita sejarah yang sangat baik. Ia juga memberikan kita satu pilihan yang lain dalam mentafsirkan sejarah negara kita.

Seperti yang diucapkan oleh tokoh wartawan negara Tan Sri Zainuddin Maidin dalam mengenang Said Zahari ...

          " Sama ada kita bersetuju atau tidak dengan penulisan Pak Said, kita tidak dapat menafikan bahawa Pak Said adalah sebahagian daripada sejarah Utusan dan Utusan adalah sebahagian daripada sejarah Malaysia. Sama ada mereka berhaluan kiri atau kanan , orang seperti Pak Said menjadikan Utusan itu hebat".

Dan saya melihat orang-orang seperti Said Zahari adalah idola yang harus dikenang sampai bila-bila. Maka benarlah kata Usman Awang terhadap Said Zahari dalam sajak besarnya ini.....

Berapa banyakkah darah mengalir
Tulang yang patah tak terhitung
Bertaburan di lantai bisu ini
di Pulau Singapura
Di mana-mana di bumi ini
Ribuan penjara dan
Jutaan si Berani.
Atas nama 'keselamatan umum'
Penuhlah penjara ngeri melindungi
Keselamatan mereka segelintir jumlahnya;
Atas nama 'undang-undang'
Rakyat dirompak dan dicandui
Sambil meneriakkan 'demokrasi'.
Di mana-mana di bumi ini
Si penjenayahlah yang memulakan perang
Penjara dibinanya untuk mengancam;
Tapi di mana-mana di bumi ini
Sekalian rakyat bersuara bertindak
tiada tangan menahan ombak
Lojika rakyat lojika sejarah manusia
Saudara
Telah tiga ribu hari rebah
Rebah di kaki pemerintah yang goyah
Keyakinan dan keberanian mengheretmu lagi
Ribuan hari berdiri di penjara ngeri.
Suaramu dari penjara Singapura:
'Mereka akan berkembang
Menghancurkan manusia biadab
Dan rakyat nanti
Tiada takut lagi' Salut untuk Said Zahari
Salut untuk mereka yang berani !"

Usman Awang
Kampung Tunku
Petaling Jaya
Selangor Darul Ehsan
September 1999

Dan saya mempersetujuinya dengan teguh................. 

SALUT UNTUK SAID ZAHARI 
SALUT UNTUK MEREKA YANG BERANI !










Saturday, January 4, 2014

SELAMAT JALAN SUHAIMI HAJI MUHAMMAD

Al-Fatihah untuk Suhaimi Haji Muhammad


Akhirnya berita celaka itu
berkumandang dengan sedihnya
di dada-dada akhbar
yang simpati atas ajalmu
yang tua  berkedut itu.

Sudah aku khabarkan dulu
gelar itu bukan untuk kamu Suhaimi
ia untuk mereka yang lebih gemar
bercakap dengan orang-orang besar
sedang kamu lebih selesa
duduk bermukim melayan hati
di tanah leluhurmu

Sudah aku khabarkan dulu
siapalah kamu untuk gelar itu
sedang si sepuluh, si sebelas dan si dua belas
title nya Datuk ...
siapa pula dirimu ... si tua misai putih
yang tidak berDatuk-datuk itu ?

Sudah aku khabarkan dulu
selaksa karyamu yang menggunung itu
bukan kupon potongan harga
yang bisa membeli sedikit curahan hati
si babi-babi yang bijak pandai di atas sana
untuk menilai kamu
hati mereka sudah tertutup
benak dan bodoh.

Dan seperti yang aku ceritakan dahulu
malaikat maut lebih menyintai nyawamu
melebihi kami yang membaca karyamu
maka tertinggallah namamu
dalam satu senarai besar
seorang sasterawan tua
yang tidak sempat diberi gelar
tertinggi itu

Pergilah wahai Suhaimi
sudah ratusan puisi mu yang merindui Tuhan
telah dibaca umat
kini masanya belayar yang panjang itu
telah kau lalui
aman atau berantakan
itu adalah hak yang mencipta

Esok lusa dan tulat
ketika si sepuluh, si sebelas dan si dua belas
bercerita tentang kenangan hidupmu
di dada-dada akhbar
akan kukoyak helaian itu
dengan rasa dendam yang keparat

Selamat jalan Suhaimi Haji Muhammad
bahasa indah mu telah mati di tangan mereka
tetapi tetap hidup
bagi yang selalu mengenangmu

Jumpa disana nanti !

















Friday, December 6, 2013

Mengenang Suatu Masa Yang Telah Berlalu 5

Hafez J.Malim Si Buruh Kasar


Hari-Hari Muda Yang Bertenaga

Dahululah ... ketika hari-hari muda yang penuh dengan kekuatan dan tenaga, kehidupan adalah sesuatu yang sangat indah untuk diteroka. Tiada istilah penat atau beralasan, semuanya dilalui dengan rasa berani tanpa gentar. Ia adalah peraduan-peraduan kehidupan yang diberikan Allah SWT kepada diri saya untuk ditandingi. Biar apa pun keputusan akhirnya ... saya tetap tersenyum kerana itulah lumrah kehidupan yang singkat ini. Sesekali saya menang menghadapi peraduan hidup itu dan sesekali kekalahan adalah sesuatu yang tidak dapat dilarikan. Namun sesuatu yang pasti, kehidupan hari silam yang penuh perjuangan itulah yang menjadikan hidup saya kini lebih bererti. 

Menjengah Usia 20 Tahun

Hampir 10 tahun yang lalu ... ketika usia baru mengetuk angka 20 tahun, saya sebenarnya adalah seorang mahasiswa junior di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim. Melalui detik-detik indah di kampus sememangnya amat menyeronokkan bagi saya. Bertemu dan berkenalan dengan teman-teman baru dari pelbagai negeri memberikan dimensi baru bagi seorang anak kampung yang hanya sesekali keluar dari kepompong kehidupan yang tenang di pekan kecil Bidor. Ia adalah ritual kenangan yang amat bermakna dalam hidup.

Namun itulah, berita kegembiraan kemasukan saya ke universiti turut diiringi oleh berita duka ayah yang diberhentikan kerja oleh pihak majikan. Setelah lebih dari 30 tahun bekerja di kilang yang menjadi lubuk rezeki kami sekeluarga, ayah diberhentikan kerja secara paksa ekoran dari langkah pihak pengurusan yang mahu mengurangkan kos penggajian pekerja. Saya sendiri berperang dengan perasaan sama ada mahu melanjutkan pelajaran atau terus bertahan di Bidor ... bekerja dan membantu keluarga. Ia benar-benar menguji hati dan ketabahan saya.

Kebetulan pula pada ketika itu saya masih bekerja sebagai penjual santan di pasar awam Bidor. Dengan upah yang agak lumayan kehidupan seharian saya sebagai seorang anak muda boleh dikira agak mewah. Ayah tidak merelakan saya tidak menyambung pelajaran ke universiti dan saya akur dengan kehendaknya. Perlu saya kenang sampai akhir hayat saya ialah segala wang perbelanjaan saya untuk masuk ke universiti adalah dari hasil dari wang pampasan pemberhentian kerja ayah. Sampai mati pun saya tidak akan melupakan jasa ayah !.

Masuk ke universiti bermakna saya perlu mengucapkan selamat jalan yang hangat kepada pekerjaan penjual santan di pasar awam Bidor. Saya perlu akur dengan kehendak perjalanan hidup yang telah diaturkan oleh Allah SWT. Maka hilanglah satu episod indah zaman anak muda saya di pasar awam Bidor. Saya kini bukan lagi anak muda yang selekeh dan comot ketika bekerja di pasar. Saya kini anak muda yang segak berbaju kemeja dan bertali leher di Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI ) Tanjong Malim.



Cuti Semester

Pertama kali berhadapan dengan cuti semester, saya merasa agak jengkel. Duduk di rumah tanpa sebarang hala dan tujuan membuatkan saya runsing. Kesudahannya, saya kembali semula ke pasar Bidor. Bekerja semula sebagai penjual santan. Ia sekurang-kurangnya membantu saya menambahkan duit poket yang makin menipis. Ayah pula setelah diberhentikan kerja lebih selesa duduk-duduk sahaja di rumah. Kewangan keluarga mula merosot pada ketika ini dan kehidupan kami mula tertekan.

Menjelang cuti semester kedua yang panjang, saya mula merasakan tekanan hidup yang amat parah. Dengan kedudukan kewangan diri dan keluarga yang semakin membeban, cuti semester yang belanjutan selama tiga bulan ini benar-benar menyakitkan. Mahu bekerja di pasar, sudah ada pekerja lain yang menggantikan tempat saya. Fikiran menjadi semakin buntu ketika ini.

Waktu itu pula heboh teman-teman di kawasan kejiranan saya ramai yang memohon dan mendapat kerja di kilang Tinex Kaolin yang terletak tidak jauh dari tempat tinggal saya. Melihat kepada keghairahan teman-teman, saya mengajak sahabat karib saya Tashar untuk sama-sama memohon kerja di kilang berkenaan. Kebetulan beliau juga belajar bersama saya di UPSI dan kami juga pernah bekerja sebagai penjual santan di pasar Bidor. Dengan menaiki motor ayah, kami berdua memberanikan diri memohon kerja di kilang berkenaan. Tanpa membawa sebarang dokumen rasmi dan menyembunyikan identiti sebagai mahasiswa, kami berjaya mendapatkan kerja di kilang berkenaan.

Nampaknya sejarah keluarga saya bagaikan berulang kembali. Ayah dahulu bekerja selama lebih 30 tahun di kilang KAOLIN Malaysia. Kini saya pula bekerja di kilang TINEX KAOLIN. Kedua-dua kilang ini beroperasi mengeluarkan sejenis bahan galian bukan mineral yang dikenali sebagai kaolin. Kaolin ini ialah tanah liat halus yang bewarna putih dan ianya digunakan secara meluas dalam industri pembuatan tembikar dan jubin lantai.

Suatu ketika dahulu ayah 
pernah bekerja di kilang Kaolin Malaysia

Saya masih mengingati lagi gaji pokok pertama yang ditawarkan kepada kami ialah RM480 tidak termasuk elaun bekerja lebih dan syif. Walaupun jumlahnya kecil namun ia bagaikan durian runtuh kepada kami berdua. Sekurang-kurangnya dengan gaji sekecil itu kami mampu untuk mengurangkan masalah kewangan diri. Cuma satu sahaja masalah yang bakal timbul, saya dengan Tashar perlu bekerja dalam tiga syif yang berbeza dalam setiap minggu. Inilah kali pertama saya bekerja dalam waktu syif dan pasti ia memberikan pengalaman yang sangat berguna kepada diri. Hati berdebar juga bimbang diri saya tidak mampu melaksanakan kerja yang pertama kali saya lakukan dalam kehidupan. 

Saya dan Tashar ditempatkan di bahagian "Processing Plan". Ia merupakan bahagian utama dan terpenting dalam pembuatan kaolin di kilang ini kerana daripada bahagian inilah kaolin yang diangkut dengan menggunakan jentolak diproses buat pertama kalinya. Saya dan Tashar diperkenalkan dengan ketua bahagian processing plan ini iaitu seorang lelaki berbangsa Cina yang dipanggil Mr. Yean. Orangnya ramah namun tegas. Sebaik sahaja beliau terpandang nama ayah saya terus beliau berkata bahawa beliau mengenali ayah saya. Rupa-rupanya beliau adalah rakan sekerja ayah yang sama-sama diberhentikan kerja di kilang lamanya. Ah ... satu kebetulan yang begitu aneh.

Hidup Kelas Bawahan

Sesuatu yang menarik berkenaan dengan kilang ini ialah keazaman pihak pengurusan yang berusaha untuk memberi pekerjaan hanya kepada rakyat tempatan dan bukannya kepada warga asing. Oleh itu tidak hairanlah pekerja-pekerja disini agak erat hubungan antara satu sama lain walaupun berbeza bangsa, agama dan keturunan. Majoriti pekerja adalah berbangsa Melayu dan India. Terdapat juga pekerja berbangsa Cina dan orang Asal. Kebanyakan dari pekerja-pekerja ini merupakan dari golongan kelas bawahan yang berjuang untuk terus hidup. Bagi orang bujang seperti saya ini, gaji RM600 sebulan mungkin mencukupi untuk menampung hidup seharian. Tapi bagaimana pula dengan mereka yang berkeluarga ?

Walaupun dalam kepayahan tersebut, kami semua tetap gembira dalam bekerja. Sesekali bila bersama teman-teman sekerja timbul juga ayat-ayat ketidakcukupan dalam kehidupan. Namun itulah realiti yang perlu dilalui oleh kelas bawahan seperti kami. Ia seperti sudah alah tegal biasa. Di kilang inilah saya mula melihat apa itu perjuangan kelas pekerja. Dalam diam saya mula mendalami idea sosialisme dan mengapa ayah suatu ketika dahulu menjadi seorang aktivis kelas pekerja walaupun berjiwa nasionalis. Kini saya sudah mula mengalaminya sendiri dan memahami betapa perlunya pembelaan berterusan terhadap kelas pekerja.

Bekerja Dan Terus Bekerja

Saya tidak mengerti tentang skop tugasan saya di kilang ini. Pertama kali melapor diri saya dan Tashar telah diberikan penerangan ringkas berkenaan dengan tugasan yang perlu dilakukan setiap hari. Kerjanya agak mudah namun memerlukan tenaga yang banyak dan menjemukan.

Lucu juga apabila di hari pertama kami berdua telah diberikan kerja memancut air sahaja. Selama lapan jam kerja saya hanyalah memancutkan air sahaja pada sebatian kaolin yang bercampur air yang dialirkan ke dalam sebuah tangki yang besar. Saya dan Tashar tidak henti-henti ketawa apabila memikirkan betapa mudahnya pekerjaan sedemikian. Namun esoknya baru saya sedar ada tugasan lain yang menanti kami dan ianya sungguh memeritkan !.

Esoknya kami berdua dibawa ke satu kawasan yang menjadi nadi utama kepada bahagian plan kami. Ianya terletak di bahagian bawah dan perlu menuruni beberapa tangga besi untuk sampai ke dalamnya. Ruangan berbentuk empat segi itu terletak di bawah sebuah mesin besar yang berpusing membawa tanah kaolin ke atas. Luasnya mungkin dalam anggaran 5 kaki lebar dan 10 kaki panjang. Ketinggiannya pula adalah dalam sekitar 2 meter. Terasa gerun apabila memasukinya. Tambah mengerunkan lagi  ialah "plate" mesin yang berbentuk seperti roda kereta kebal itu berputar betul-betul di atas kepala kami. Tidak tahulah apa akan berlaku jika sekiranya plate itu patah dan menimpa kepala kami. Namun syukurlah, selama tiga bulan bekerja di kilang berkenaan tidak pula terjadi perkara-perkara yang tidak diingini.

Ruangan sempit tempat tugasan saya.
Di bahagian atas ialah papan plate yang berputar.

Rupa-rupanya kami perlu mengangkut tanah kaolin yang jatuh dari mesin ini masuk semula ke dalam laluannya. Hati saya berdebar sendiri dan mula terasa kecut. Berbekalkan sebatang skop kami perlu mengorek dan mengangkut tanah yang terjatuh dalam setiap 2 jam sekali. Biasanya aktiviti mengorek dan mengangkut tanah ini mengambil masa hampir 30 minit ke 40 minit bergantung kepada kecekapan dan kekuatan kita. Pada mulanya saya sendiri terkial-kial untuk melaksanakannya. Namun setelah beberapa hari, ianya menjadi suatu perkara yang amat mudah dan menyenangkan.

Sesuatu yang amat menakutkan ialah sewaktu kami bertugas di bawah mesin berkenaan, jentolak yang membawa tanah kaolin yang belum diproses akan sentiasa memunggahkan tanah kaolin itu kedalam mesin yang sedang berputar itu. Terasa gegaran dan bunyi yang kuat dari atas. Seringkali saya berdoa agar papan plate mesin ini sentiasa kukuh dan tidak patah menimpa kami. Allah SWT sahaja yang mengetahui ketakutan saya ketika itu. Barangkali setelah acapkali berhadapan dengan situasi berkenaan, saya mula menjadi berani dan rasa kerisauan itu hilang sedikit demi sedikit.

Bekerja Malam

Saya tidak pernah bekerja pada waktu malam. Hal ini seterusnya begitu membebankan fikiran saya. Selalunya saya ke tempat kerja dihantar oleh ayah pada awal pagi. Begitu juga jika bekerja pada syif petang. Masalahnya saya seboleh-bolehnya tidak mahu ayah menghantar saya ke tempat kerja pada waktu malam. Tambahan pula lokasi kilang berkenaan terletak dalam kawasan yang agak tersorok. Tidak ada alternatif lain untuk saya melainkan terpaksa juga menerima perkhidmatan ayah untuk menghantar saya ke tempat kerja pada waktu malam.

Syif malam bermula pada jam 11 malam dan berakhir pada jam 7 pagi. Ketika hari pertama saya akan memulakan kerja pada syif malam, hujan turun dengan lebatnya di pertengahan jalan sehingga memaksa ayah berhenti di tepi jalan untuk mengenakan baju hujan. Tidak semena-mena berhenti sebuah motosikal lain berhampiran kami. Sangkaan saya pasti penunggang motosikal itu mahu mengenakan baju hujan. Sangkaan saya meleset apabial penunggang motosikal itu ialah rakan setugas yang membawa jentolak yang saya panggil Arul Kumar. Beliau dengan lembut mengajak saya membonceng bersamanya dan meminta ayah jangan lagi menghantar saya pada waktu malam. Biar sahaja beliau yang menumpangi saya ke kilang. Alangkah indahnya detik itu. Betapa kuatnya hubungan antara kami dalam kelas pekerja. Walaupun berbeza agama, bangsa dan bahasa semua itu bagaikan tidak terasa apabila sama-sama berjuang untuk hidup.

Segelas Kopi Di Tengah Malam

Kopi O panas yang enak

Biasanya apabila bekerja syif malam, saya akan membawa kopi "o" yang penuh dalam termos selain dari air kosong yang sememangnya menjadi kewajipan. Teman-teman sekerja agak jarang membawa air panas. Jadi, kopi "o" panas dari termos saya lah yang menjadi kegilaan ramai. Uniknya, walaupun hanya kopi "o" panas yang ringkas dan sedikit namun apabila dinikmati bersama teman-teman sekerja dalam suasana malam yang dingin dan sepi ianya menjadi begitu enak dan nikmat. Terasa begitu indah dan meriah berehat dan menikmati waktu minum ringkas sambil berbual dan bergurau ketawa. Biasanya subjek yang diperbual memang agak lucah dan melampau. Tetapi itulah hiburan yang kami ada pada ketika itu. Sekurang-kurangnya ia menghilangkan rasa mengantuk.

Bekerja di waktu malam sememangnya menjemukan malahan menakutkan juga. Bahagian kerja saya terletak agak jauh dan tersorok. Biasanya hanya enam orang sahaja yang bertugas di bahagian ini pada setiap malam. Tiga orang di kawasan mesin dan pancutan air, seorang menjadi pembancuh bancuhan kimia dan seorang mandur yang akan membantu kerja-kerja kami. Selain itu terdapat juga seorang pemandu jentolak. Terdapat juga bahagian-bahagian lain di kilang ini yang menjalankan operasinya pada waktu malam. Namun jumlah pekerjanya tidaklah terlalu ramai.

Biasanya kami akan membuat giliran waktu tidur. Setiap orang di antara kami diberi masa selama dua jam untuk tidur secara bergilir-gilir. Walaupun dianggap salah namun ianya bagaikan telah menjadi satu kelaziman yang tidak dapat dibendung oleh pihak pentadbiran. Masing-masing akan mencari lokasi yang paling tersorok untuk tidur bagi mengelakkan ditangkap oleh pihak pentadbiran. Saya sendiri mempunyai lokasi tempat tidur yang agak kondusif dan dilapik oleh kotak-kotak yang tebal. Biasanya, Arul Kumar yang membawa jentolak akan tidur tidak jauh dari saya. Katanya bimbang dipatuk ular.

Jodoh Hari Ini Bermula Di Kilang

Jika tidak mengorek dan mengangkut tanah, biasanya kerja saya banyak dihabiskan dengan memancut air. Kerja ini walaupun mudah namun amat membosankan. Tambahan pula jika bekerja pada waktu malam pasti mata mudah layu dan mengantuk. Syukur juga ketika itu saya sudah memiliki telefon bimbit. Jadi dapat juga saya menghilangkan rasa jemu itu.

Sejujurnya, saya bukanlah lelaki yang mempunyai teman wanita pada ketika itu. Dengan rupa paras yang agak kurang dan ekonomi keluarga yang susah, saya sememangnya tidak langsung terfikir untuk memiliki seorang teman wanita. Tetapi sebagai seorang lelaki, saya tidak boleh lari dari punya rasa ingin memiliki dan dimiliki. Namun sifat pemalu saya mengatasi segalanya. Dan tidak hairanlah, saya sukar untuk mendekati wanita apatah lagi memilikinya.

Seorang teman di UPSI memperkenalkan saya dengan sepupunya yang sedang mengikuti pengajian kejururawatan di sebuah kolej swasta di Selangor. Mulanya dari sekadar berhubung dengan menggunakan khidmat pesanan ringkas secara iseng-isengan. Lama-kelamaan menjadi suatu yang menyeronokkan pula. Sayangnya, perhubungan secara khidmat pesanan ringkas itu tidak pula menjadikan kami berdua erat sebaliknya hanyalah sebagai teman biasa sahaja. Sehinggalah perhubungan melalui khidmat pesanan ringkas itu terputus lama dan saya sebenarnya sudah menyerah kalah lebih awal.

Akhirnya di suatu malam yang pekat, saya yang ketika itu sudah mengantuk panjang memberanikan diri menghantar khidmat pesanan ringkas kepada gadis tersebut. Alhamdulillah ianya berbalas setelah hampir tiga bulan kami terputus hubungan. Alhamdulillah, bermula dari malam itu akhirnya gadis itu kini telah menjadi isteri saya. Itulah jodoh ketentuan Allah SWT yang diciptaNya untuk saya dalam suasana kerja yang penuh cabaran dan sesungguhnya saya amat bersyukur kerana inilah pilihan yang terbaik dalam hidup saya.

Teman-Teman Sekerja

Bersama Anaz ( kiri ) dan seorang teman yang saya terlupa namanya.

Di kilang ini saya bertemu dan berkenalan dengan pelbagai jenis manusia. Dari yang jujur, mengambil kesempatan, membodek dan pelbagai jenis ragam manusia yang rencam. Semuanya memberikan makna yang tersendiri kepada diri saya. Sebagai manusia yang menjadi kelas pekerja, kehidupan kami semuanya sama. Berjuang untuk meneruskan hidup di bumi Tuhan ini.

Banyak yang namanya telah saya lupa. Antara yang masih saya ingati adalah ketua mandur Mr. Yean, Mandur Mikal, Mandur Shaari Praq, Anaz, Tashar, Manoharan, Arul Kumar dan Maniam. Paling baik dengan saya ialah Maniam. Beliau seorang yang agak kuat berpegang kepada ajaran agama Hindu. Saya amat suka bila melihat beliau menikmati bekalan makanan yang dibawanya setiap hari. Beliau seorang yang agak teratur apabila menikmati hidangan. Daun pisang sentiasa menjadi keutamaan bagi melapik nasi. Kegemaran utamanya ialah kari ayam yang disimpan di dalam sebuah kelalang kaca Nescafe. Sayuranya juga ringkas sesekali ada juga telur dadar. Uniknya sebelum menikmati makanan, beliau akan memastikan persekitarannya bersih. Kari ayam di dalam botol kaca Nescafe itu akan digoncang-goncang terlebih dahulu dengan cermat sebelum dituang ke atas nasi. Saya hanya memandangnya dengan senyuman yang meleret.

Jika tidak menumpang Arul Kumar, saya juga sesekali menumpang Maniam ini untuk ke tempat kerja. Saya memanggilnya "Ayya". Sudah lama tidak bertemu dengannya. Dalam usianya yang mencecah angka 50 tahun ketika itu saya pasti kini beliau sudah berhenti kerja dari kilang berkenaan.

Seorang lagi teman ialah Arokianathan. Suaranya kecil tidak padan dengan tubuhnya yang besar. Beliau membawa jentolak dan gajinya juga agak besar. Seorang lelaki India yang pemurah dan tidak kedekut. Seringkali beliau membelanja kami dengan hidangan ayam KFC jika mempunyai duit lebih ataupun terkena nombor. Saya memanggilnya sebagai "Anney" sahaja. Katanya ia bermaksud abang dalam bahasa Tamil.

Berhenti Kerja

Saya hanya bekerja di kilang ini hanya selama tiga bulan sahaja. Banyak yang saya pelajari selama berada di kilang ini. Betapa bertuahnya bagi mereka yang bekerja dengan kerajaan jika dibandingkan dengan bekerja di kilang ini.Dengan gaji yang kecil kami membeli kehidupan pada harga yang sangat mahal.

Kenangan sebagai seorang buruh kasar

Saya menghantar surat berhenti kerja seminggu sebelum berhenti. Ketika memberikan surat itu kepada Mr. Yean beliau hanya tersenyum dan berkata jangan lagi datang ke kilang itu. Saya tahu beliau bukan bermaksud untuk memarahu saya sebaliknya beliau mahu saya menumpukan perhatian kepada pembelajaran di UPSI dan membela nasib keluarga.

Maniam pula biasa-biasa sahaja namun beliau ada juga menyatakan pasti nanti suasana malam di plan kami akan sunyi tanpa air kopi "o" saya. Beberapa orang teman sekerja juga menyatakan hasrat mahu turut berhenti kerja atas alasan mahu mencari pengalaman baru. Saya hanya mampu menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju dengan hasratnya.

Gaji terakhir yang saya terima ialah sejumlah RM586.30. Slip gaji berkenaan masih saya simpan sehingga kini. Dengan duit gaji terakhir itulah saya berjimat cermat di universiti memandangkan pada semester ketiga duit pinjaman dipotong bagi membayar duit pendahuluan semasa masuk ke universiti dahulu.

Penutup

Walaupun hanya menjadi buruh kasar selama tiga bulan namun ia adalah satu pengalaman yang tidak dapat saya lupakan sepanjang usia saya. Disini saya belajar betapa manisnya persahabatan. Disini juga saya belajar menjadi manusia yang berani untuk berterus terang pada seorang yang dicintai.

Tidak perlu berpakaian cantik dan kemas disini. Cukup sahaja dengan topi terbalik, berbaju dan seluar lusuh serta bersepatu kulit. Tangan-tangan kasar disini jauh lebih mulia dari tangan - tangan halus di atas sana yang sibuk dengan politik mereka. Nasib mereka perlu dibela dan bukannya menjadikan mereka sebagai habuan nafsu politik yang tidak berkesudahan.

Sesekali saya menunjukkan gambar-gambar kenangan saya sewaktu bekerja di kilang ini kepada anak-anak murid saya. Kebanyakan dari mereka mentertawakan saya terbahak-bahak. Katanya geli geleman bekerja kotor seperti itu. Saya hanya memandang jauh ke luar. Anak-anak muda kini hanya mahukan kerja yang mudah dan senang tanpa mengira kelayakan sebenar diri mereka. Itulah sebabnya pengangguran semakin menekan di kalangan generasi muda hanya kerana mereka memilih bidang kerja.

Kesudahannya, kebanyakan sektor pekerjaan seperti ini dikuasai oleh orang asing dan kita hanya menghabiskan masa meronggeng menaiki motosikal kesana kemari. Pada saya biarlah pekerjaaan itu kotor dan memeritkan tetapi hasilnya halal dan bererti.

Saya tidak pernah malu untuk menyatakan dahulu saya ialah seorang buruh kasar yang kotor dan comot !







Friday, November 22, 2013

Ziarah Makam Lama 10 : Diburu Resah Di Tanah Teja



PERINGATAN

Para pembaca yang budiman adalah diingatkan segala fakta dan cerita di dalam penulisan ini adalah pendapat peribadi dan ilham penulis sendiri. Para pembaca tidak digalakkan untuk mempercayai segala apa yang terkandung didalam penulisan ini dan haruslah membuat rujukan sejarah. Penulis hanya menulis berdasarkan ilham dan gerak rasa disamping meminjam beberapa fakta penting sejarah sebagai bahan asas dan adalah dijelaskan segala fakta-fakta yang penulis beri TIDAK SEMESTINYA BENAR dan TIDAK SEMESTINYA TIDAK BENAR. Jika terdapat kesalahan fakta pada artikel ini mohon ia diperbetulkan dan dimurnikan bagi mengelakkan prejudis dan prasangka buruk.

Runsing Hari Akhir




Petang itu .... ia benar... petang itu hati saya bagai ditarik-ditarik oleh tali yang ketat. Esok saya sekeluarga akan ke Gemas. Hujung kehidupan saya sebagai seorang lelaki bujang sudah sampai ke akhirnya. Malam esok saya bakal menjadi seorang suami. Ini adalah petang yang amat membebankan jiwa dan hati saya.

Ketika kaum keluarga sibuk menyiapkan barangan keperluan khusus untuk majlis akad nikah saya esok, saya pula lebih selesa duduk mengelamun di luar rumah tanpa tujuan. Berbagai - bagai perkara masuk ke kepala membuatkan hati bertambah runsing. 

Benar ... kehidupan saya sebagai seorang lelaki bujang adalah sesuatu yang amat menyeronokkan. Bekerja tetap dan memiliki sumber kewangan sendiri membuatkan saya bebas dan rebel. Saya bebas kemana sahaja mengikut kemahuan tanpa sebarang rasa gentar. Jiwa perantau dan pengembara bebas di dalam jiwa saya, dan itulah diri saya yang sebenarnya. Menikmati keindahan dunia ciptaan Tuhan serta mencari seberapa banyak pengalaman dan cerita sepanjang perjalanan membuatkan saya matang dengan segala muslihat kehidupan. Ia seterusnya menjadikan saya seorang pencerita yang agak baik bagi yang ingin mendengar dan bertanya.

Tetapi itu dahululah ... esok segala-galanya akan berubah. Saya akan menjadi seorang suami kepada seorang wanita yang amat saya cintai. Dunia saya yang mendatang pastinya tidak akan sama dengan dunia-dunia lama yang pernah saya lalui dengan rasa bangga. Saya terus mengelamun tanpa henti ... gusar hati ini mampukah diri saya menjadi seorang suami yang baik ? ... Ia satu persoalan yang sangat penyakitkan hati dan perasaan.

Dikejutkan

Lamunan pekat saya dikejutkan oleh jeritan adik perempuan saya dari  dalam rumah. Dia mahu menggunakan suis elektrik yang telah saya gunakan untuk mengecas bateri kamera. Saya segera bergegas masuk ke rumah dan mencabut terus alat pengecas berkenaan dari kamera yang sangat-sangat berjasa dalam kehidupan saya itu. Kuasa baterinya sudah agak penuh. Saya membawanya keluar. Memang kamera berjenama Nikon itu sangat berjasa kepada saya. Ia tidak pernah sekali pun ponteng dalam memberikan perkhidmatannya kepada saya ketika di dalam perjalanan mahupun ketika majlis-majlis tertentu. Walaupun sudah agak ketinggalan zaman namun pada saya ia masih tetap unggul sama seperti hari pertama saya membelinya.


Model Nikon P100 kebanggaan saya

Saya melihat koleksi-koleksi gambar yang masih terdapat di dalam memori kamera berkenaan. Salah satu kelemahan saya ialah saya tidak suka memadamkan gambar-gambar lama yang terdapat di dalam kemera saya ini walaupun gambar-gambar berkenaan telah dipindahkan ke dalam komputer riba mahupun alat storan. Ini menyebabkan kad memori kamera yang bersaiz 4 gigabit itu kadang kala penuh dengan gambar sehingga saya perlu memadamkannya dari kemera satu persatu dan hal ini bagaikan menjadi satu kelaziman pula bagi saya.

Ketika melihat kembali gambar-gambar sewaktu melakukan perjalanan pertama dan kedua ke makam-makam bersejarah di sekitar daerah Hilir Perak dan Perak tengah beberapa hari yang lalu secara tiba-tiba hati saya berdetik kencang. Rasanya saya perlu melakukan satu lagi perjalanan pada petang ini. Ada sesuatu yang bagaikan memanggil saya untuk merungkai rasa resah hati ini.  Tetapi ke mana harus saya tujui langkah saya ini ? ... hati saya bungkam tanpa jawapan. 

Saya melihat satu persatu gambar-gambar yang terdapat di dalam memori kamera saya. Akhirnya ia terhenti di gambar batu tanda makam Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad di Kampung Pulau Besar Kampung Gajah. Saya meneliti setiap gambar-gambar yang pernah saya ambil di makam berkenaan. Kehilangan dan status baginda yang misteri membuatkan saya merasa perlu mencari cerita dan ilham tentang baginda. Tambahan pula dalam 110 tahun kebelakangan ini, sultan-sultan pemerintah negeri Perak adalah datang dari benih keturunan baginda. Saya yakin ada cerita yang boleh saya cari disebalik hal perlanjutan warisan keturunan baginda dalam pemerintahan Perak ini.

Ke Kota Bharu Gopeng

Dua orang putera Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad ini berjaya menjejaki hieraki takhta kesultanan Melayu Perak. Salah seorang daripadanya telah berjaya menjadi sultan Perak ke-23 dengan gelar Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah. Manakala seorang lagi putera baginda pula yang bernama Raja Alang Iskandar pula telah dilantik menjadi Raja Bendahara. Saya telah mengulas cerita berkenaan dengan Almarhum Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah ini tidak lama dahulu ( sila rujuk entri ini : Misteri Batu Nisan Acheh Di Pulau Juar ). Bagi memuaskan hati, saya mengambil keputusan untuk mencari makam putera kedua Almarhum Raja Ahmad iaitu Raja Bendahara Alang Iskandar. Saya pasti ada cerita yang boleh saya temui di makamnya... insyaAllah.

Makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar terletak di pekan Kota Bharu dalam mukim Teja tidak jauh dari bandar Gopeng. Saya pernah mengulas cerita berkenaan pekan Kota Bharu ini dalam siri perjalanan saya ke pekan-pekan lama sekitar negeri Perak dalam tahun 2010 ( rujuk entri ini : Kembara Melihat Pekan-Pekan Lama 3 : Pekan Kota Bharu ). Sayangnya sewaktu kunjungan kali pertama saya ini tidak pula saya terfikir untuk menziarahi makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Mungkin kerana objektif saya pada ketika itu yang berbeza dengan kunjungan kali ini.

Saya melihat jam di dinding rumah yang menunjukkan angka 2.20 minit petang. Saya mula berkira-kira jarak dan masa yang akan saya ambil untuk ke makam berkenaan. Cuaca juga agak baik dan tidak terlalu panas. Akhirnya setelah berfikir sejenak, saya mengambil keputusan untuk ke Kota Bharu. Emak yang melihat saya tergopoh-gapah bersiap terus bertanya kemana arah tujuan saya pada petang ini ... dengan selamba saya berkata saya mahu ke kubur ... hehehe.

Emak membebel sebentar dengan jawapan saya. Saya tahu beliau risau tambahan pula esok saya akan menjadi pengantin. Beliau mengingatkan saya bahawa saya masih berdarah manis. Saya diam dan tersenyum. InsyaAllah segalanya akan baik-baik sahaja.

Perjalanan lancar tanpa sebarang masalah. Dengan kelajuan yang sederhana saya yakin saya boleh sampai ke Kota Bharu dalam jam empat petang. Satu sahaja masalah yang perlu saya selesaikan iaitu mencari makam almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Jujurnya saya tidak tahu di manakah letaknya makam baginda. Namun demikian saya yakin pasti saya akan berjumpa dengan makam baginda walaupun perlu bersusah-susah sedikit. Alhamdulillah saya tiba ke pekan Kota Bharu tepat pada masa yang saya jangkakan.

Sebaik sahaja sampai ke pekan Kota Bharu yang sunyi saya terus mula mencari makam yang dimaksudkan. Pada pandangan saya pasti makam berkenaan terletak tidak jauh atau  di dalam kampung-kampung Melayu sekitar pekan Kota Bharu. Sayangnya saya tidak berjumpa langsung dengan kepuk makam. Ini membuatkan saya menjadi bingung. Mahu ditanya pada penduduk kampung terasa segan. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk terus sahaja menyusuri jalan utama tanpa arah tujuan.

Cerita Kota Bharu

Semakin jauh saya bergerak dari pekan Kota Bharu semakin kurang rumah-rumah penduduk kampung. Suasana petang yang meredup membuatkan saya semakin tidak keruan. Nampaknya impian saya untuk mencari makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar semakin pudar.



Pekan Kota Bharu sebenarnya sudah wujud sejak ratusan tahun yang lalu. Menurut Datuk Dr Haji Dzulkarnain bin Haji Abdul Rahman iaitu pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia cawangan negeri Perak, pekan Kota Bharu ini sudah wujud sejak dari awal abad ke-17 lagi.  Kedudukannya yang terletak di persisir Sungai Kinta ( dahulu dipanggil Sungai Kenta ) , menjadikannya sebagai sebuah pusat perdagangan yang agak sibuk. Malahan dikatakan landasan keretapi pertama di negara kita sebenarnya pernah dibina di pekan ini dan bukannya di Johor. Sayangnya maklumat sejarah berkenaan landasan keretapi ini agak kabur dan kesan peninggalannya juga mungkin telah lenyap ditelan zaman.

Dari komen seorang pengunjung blog ini, ketika era penjajahan khabarnya pihak Inggeris pernah merancang untuk menjadikan Kota Bharu sebagai pusat pentadbiran utama daerah Kinta. Sayangnya perancangan pihak Inggeris untuk menjadikan Kota Bharu sebagai " Capital Of Kinta Valley" tidak menjadi kenyataan akibat dari kedudukan pekan ini yang terdedah kepada bahaya banjir dari Sungai Kinta. Akhirnya Batu Gajah yang terpilih menjadi pusat pentadbiran daerah Kinta atas sebab kedudukan Batu Gajah yang terletak agak tinggi ( changkat ).

Umum mengetahui bahawa Lembah Kinta suatu ketika dahulu merupakan kawasan utama pengeluaran bijih timah dunia. Kota Bharu juga sebahagian dari sejarah penting kesan perlombongan di Lembah Kinta ini. Oleh itu adalah tidak menghairankan jika kita mudah melihat kawasan bekas-bekas lombong bijih timah di kiri dan kanan jalan pekan ini. Sungai Kinta yang mengalir dalam kawasan Kota Bharu ini membawa sejuta rahmad apabila alirannya juga turut membawa bijih timah yang bernilai tinggi suatu ketika dahulu.


Kepuk Makam Yang Tinggi


Saya tetap meneruskan tunggangan motosikal saya dengan mata saya sentiasa melilau memerhatikan kiri dan kanan jalan jika terserempak dengan kawasan perkuburan. Semakin jauh ke hadapan semakin gundah hati saya. Jam di tangan sudah mula hampir ke angka lima petang. Selain dari mengejar masa, saya juga perlu bersolat Asar.  Mungkin jauh di hadapan ada surau yang boleh saya singgahi untuk bersolat Asar.


Saya melintasi kawasan perkuburan yang terletak kiri dan kanan jalan. Hairan saya sendiri, bagaimana boleh terdapat dua kawasan perkuburan yang berbeza tempat namun berdekatan. Saya berhenti sejenak di pinggir jalan. Dari jauh saya terlihat satu binaan bertangga yang agak tinggi bewarna putih dan hitam. Saya memandang pula ke arah kawasan perkuburan di sebelah kanan jalan. Untungnya, ada papan tanda yang menunjukkan bahawa kawasan makam sebelah kanan berkenaan adalah khusus untuk kaum kerabat Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja Tengku Syed Jaafar.  Jika tidak silap saya jawatan Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja adalah jawatan penting dalam hieraki susunan pembesar negeri Perak. Jawatan ini merupakan yang kedua tertinggi dalam susunan pembesar berempat selepas jawatan  Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja.



Saya yakin kini saya telah menemui kepuk makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar. Saya terus menunggang motosikal saya melalui jalan yang agak sunyi. Kawasan perkuburan ini agak sunyi. Hati saya agak berdebar-debar juga ketika mula memasuki kawasan perkuburan. Di sebelah kiri kawasan perkuburan ini terdapat liputan hutan kecil yang memberikan suasana redup namun agak menyeramkan. Saya meletakkan motosikal dengan berhati-hati. Saya memandang sekeliling mencari jika ada manusia lain di sekitar kawasan makam. Nampaknya saya hanya bersendirian di sini.


Laluan ke makam 

Sebuah pondok yang uzur memberikan lagi suasana kusam di kawasan perkuburan ini. Mungkin ia dibina untuk dijadikan sebagai pondok wakaf bagi para penziarah. Saya mula memasuki kawasan kepuk makam. Inilah kali pertama saya berjumpa dengan kepuk makam yang agak tinggi dari tanah. Malahan untuk ke makam yang utama saya perlu mendaki beberapa anak tangga kecil. Makam ini amat terjaga malah ia adalah antara kepuk makam tercantik yang pernah saya lihat dalam siri ziarah saya ke makam-makam lama. Tetapi pastilah makam ini terjaga cantik kerana sultan-sultan Perak 110 tahun kebelakangan ini adalah dari benih warisan baginda. Malahan tidak keterlaluan dikatakan bahawa kaum kerabat diraja Perak dewasa ini ini kebanyakannya adalah dari warisan baginda. DYMM Sultan Azlan Shah yang sedang berkerajaan sekarang ini juga adalah generasi ke-5 Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini.


Pondok tinggal berdekatan kawasan makam


Anak tangga untuk ke makam utama

Saperti biasa yang sering saya lakukan, saya tidak akan terus masuk atau naik terus ke atas kepuk makam. Sebaliknya saya lebih selesa berlegar-legar dahulu di sekitar kawasan makam bagi melihat suasana dan ciri-ciri binaan sesebuah kepuk makam. Sebuah papan tanda yang menerangkan tentang Almarhum berdiri tegak betul-betul di hadapan luar pagar kepuk makam. Maklumat yang diberikan agak jelas secara tidak langsung berupaya memperincikan sejarah Almarhum kepada para penziarah.


Papan tanda makam

Terdapat juga makam-makam lain di sekitar kawasan kepuk makam. Namun ia agak tersorok dari pandangan mata akibat dilindungi oleh belukar kecil yang merimbun. Saya mula memasuki kawasan kepuk makam. Binaanya sangat berseni dan indah. Catnya yang bewarna putih dan corak-coraknya yang dicat hitam menambahkan lagi serinya. Sebatang tiang bendera juga menghiasi kawasan kepuk makam ini. Saya mendaki beberapa anak tangga yang terdapat pada kepuk makam. Makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar  terletak di tingkat yang paling atas manakala di bahagian bawah pula terdapat beberapa makam yang ditandai dengan batu nisan dari jenis granit. Mungkin makam-makam berkenaan adalah makam ahli keluarga terdekat Almarhum.


Antara makam lain sekepuk dengan 
makam Almarhum Raja Alang Iskandar



Sesuatu yang unik ialah batu nisan makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini adalah sama dengan batu nisan sultan-sultan Perak yang pernah saya ziarahi. Uniknya inilah kali pertama saya menziarahi makam seorang raja bergelar dan bukannya seorang Sultan. Kain yang menutupi batu nisan makam ini masih lagi cantik dan tidak dimakan masa. Jauh berbeza dengan kain-kain penutup batu nisan makam-makam sultan yang pernah saya ziarahi sebelum ini.Lantai kawasan makam ini juga dihiasi jubin dan bukannya dari tanah. Sememangnya makam ini amat dijaga dengan begitu teliti.





Al-Fatihah untuk Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar

Cerita Lama Yang Berselerakan

Seperti yang telah saya jelaskan sebelum ini, Raja Bendahara Alang Iskandar ialah putera kepada Almarhum Raja Ahmad yang dikatakan ghaib atau mangkat akibat terjatuh di Sungai Terus tidak jauh dari Kampung Gajah. Identiti Raja Ahmad ini agak misteri sehingga dalam entri saya sebelum ini, saya pernah menyatakan bahawa baginda ialah dari warisan lain yang masuk dalam sistem pemerintahan negeri Perak ini. Namun itu adalah sekadar teori semata-mata dan hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui tentang segalanya tentang baginda.

Seperti yang tercatat di dalam sejarah, seorang putera Raja Ahmad ini iaitu Raja Ngah Jaafar telah berperang dengan sultan Perak ke-22 iaitu Sultan Abdullah Muhammad Shah I. Dalam peperangan ini Sultan Abdullah Muhammad Shah I telah tewas.  Anehnya beberapa tahun selepas itu orang-orang besar Perak telah melantik Raja Ngah Jaafar menjadi sultan Perak ke-23 dengan gelar Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah dan memecat terus Sultan Abdullah Muhammad Shah I dari takhta. Akhirnya Sultan Abdullah Muhammad Shah I mangkat di Durian Sebatang tidak lama selepas itu.

Saya melihat dari aspek berbeza berkenaan dengan peperangan antara Sultan Abdullah Muhammad Shah I dengan Raja Ngah Jaafar ini. Sebilangan ahli sejarah menyatakan ia adalah peperangan saudara bagi merebut takhta namun saya lebih melihatnya sebagai satu perebutan kuasa antara garis keturunan dari kerabat yang berbeza. Ianya juga saling berkait rapat dengan suku-suku tertentu yang begitu dominan dalam hieraki pembesar negeri Perak ketika itu. Tambahan pula Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 dan Raja Ngah Jaafar, kedua-duanya bukan putera sultan sebaliknya hanyalah putera kepada Raja bergelar. 

Peperangan antara Sultan Abdullah Muhammad Shah I dengan Raja Ngah Jaafar inilah seterusnya membawa kepada masalah perebutan takhta yang lebih rumit pada masa depan sehingga akhirnya pihak Inggeris telah campur tangan dalam bidang kuasa pentadbiran negeri Perak.

Dengan perlantikan Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah Ibni Raja Kechil Tengah Ahmad ini maka baginda kini mempunyai autoriti yang kuat dalam pemerintahan Perak. Tambahan pula baginda mempunyai sokongan yang kuat dari para pembesar Perak ketika itu. Bonus kepada kekuasaan Sultan Jaafar Safiuddin pula ialah adindanya iaitu Raja Alang Iskandar memegang jawatan sebagai Raja Bendahara. 

Saya agak kurang jelas dengan perlantikan Raja Alang Iskandar ini sebagai Raja Bendahara ini. Fakta yang saya temui di internet agak kabur dan berserabut. Ada yang menyatakan baginda telah dilantik menjadi Raja Bendahara oleh Sultan Abdullah Muhammad Shah pada tahun 1851. Namun demikian seperti yang tertera pada papan tanda makam Sultan Abdullah Muhammad Shah di Durian Sebatang, pada tahun 1851 yang menjadi Raja Bendahara pada ketika itu ialah Raja Ngah Jaafar. 


Ada juga yang menyatakan baginda dilantik menjadi Raja Bendahara pada tahun 1841. Atau mungkin juga baginda diangkat menjadi Raja Bendahara menggantikan kekandanya yang berjaya menduduki takhta kerajaan tanpa memegang ( melangkah ) jawatan Raja Muda.Hal ini mungkin benar kerana hasil rujukan saya di laman Royal Ark, jelas menunjukkan Raja Alang Iskandar hanya pernah memegang jawatan sebagai Raja Bendahara sahaja tanpa pernah memegang jawatan raja-raja bergelar yang lain. Tambahan pula, Raja Lop Yusof iaitu anakanda kepada Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 telah dinafikan kedudukannya dalam hieraki jawatan Raja Bergelar Perak walaupun beliau layak atas alasan tidak disukai oleh pembesar. 



Raja Lop Yusof Ibni Sultan Abdullah Muhammad Shah 1
( seterusnya menjadi sultan Perak ke 27 )

Raja Bendahara berada dalam hieraki ketiga dalam kuasa pemerintahan negeri Perak selepas sultan dan raja muda. Yang agak ganjil disini ialah baginda tidak memilih untuk bersemayam di tebing Sungai Perak seperti yang sering dilakukan oleh mana-mana raja bergelar atau bakal sultan sebaliknya baginda memilih untuk bersemayam di Teja yang terletak di pertengahan Sungai Kinta yang berkualakan Sungai Perak. Pasti ia mempunyai rahsianya yang tersendiri. 


Saya melihat dari sudut berbeza berkenaan dengan kawasan pentadbiran Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Jika kita meninjau kepada peristiwa kejatuhan atau pemecatan Sultan Abdullah Muhammad Shah 1, ternyata kesannya masih terus berlarutan walaupun Raja Ngah Jaafar telah dilantik menjadi sultan. Mengikut ceritanya, kebanyakan rakyat negeri Perak masih lagi tidak mengiktiraf perlantikan Raja Ngah Jaafar sebagai sultan. Hanya selepas Sultan Abdullah Muhammad 1 mangkat barulah baginda diiktiraf sebagai sultan Perak. Lebih mengeruhkan lagi keadaan, putera Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 iaitu Raja Lop Yusof masih lagi memegang jawatan raja bergelar dan masih mempunyai kuasa serta pengaruh di kawasan Senggang dan Sayong. Ini sudah pasti akan menimbulkan pelbagai masalah kepada baginda sekiranya Raja Lop Yusof akan menyerang baginda. Baginda memilih untuk bersemayam di Pasir Panjang tidak jauh dari Kampung Gajah. 



Oleh yang demikian, baginda memerlukan sokongan dari kerabat diraja yang lain bagi menguatkan pengaruh dan kekuasaannya. Raja Ngah Ali yang memegang jawatan sebagai Raja Muda ketika pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 dikekalkan dan berkuasa di Sayong. Ini secara tidak langsung berupaya melumpuhkan kekuasaan Raja Lop Yusof di kawasan berkenaan dan hal ini terbukti apabila Raja Ngah Ali di lantik menjadi sultan Perak ke-24 dengan gelar Sultan Ali Al-Mukammal Inayat Shah, baginda telah memecat terus Raja Lop Yusof dari sebarang jawatan Raja Bergelar negeri Perak walaupun Raja Lop Yusof layak untuk jawatan tersebut.

Kajian peta menunjukkan kawasan kekuasaan Raja Lop Yusof di Senggang
( berbulatan merah ) yang diapit oleh kawasan kekuasaan
Raja Muda Ngah Ali di Sayong ( berbulatan biru ) dan Raja Ismail di Belanja
( berbulatan unggu ). Kawasan kekuasaan Sultan Jaafar pula berbulatan hijau
terletak tidak jauh dari kawasan kekuasaan Raja Bendahara Alang Iskandar
 (berbulatan hitan )... adakah ini satu muslihat yang sangat bijak ?

Raja Alang Iskandar pula yang menjadi Raja Bendahara memilih untuk berkuasa di Teja tidak jauh dari kuala Sungai Kinta. Kuala Sungai Kinta terletak tidak jauh dari Kampung Gajah. Jika tidak silap dalam perkiraan saya kuala sungai ini agak bertentangan dengan kawasan mukim Bandar. Jadi kedudukan kawasan pemerintahan Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah adalah tidak jauh dari kawasan kuasa adindanya. Malahan, sekiranya berlaku serangan pasti Raja Bendahara Alang Iskandar dan para pengikutnya tidak mengambil masa yang lama untuk memberi bantuan kepada Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah ini. Ini hanyalah sekadar satu teori sahaja. Kesahihannya hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui. 

Raja Bendahara Alang Iskandar Yang Berwibawa

Tidak banyak cerita yang boleh saya korek berkenaan dengan Raja Alang Iskandar ini di internet. Selain itu rujukan buku yang ada pada saya juga agak terhad. Cuma jika dilihat kepada beberapa catatan di internet jelas menunjukkan baginda merupakan seorang tokoh yang sangat berwibawa. Baginda berkuasa mengutip cukai dan hasil mahsul di kawasan Teja ini sehingga baginda diberi gelaran Bendahara Teja.

Baginda merupakan zuriat ke-12 anak-anak raja yang memegang gelaran Raja Bendahara. Jawatan Raja Bendahara ini mula wujud pada ketika pemerintahan Sultan Iskandar Dzulkarnain Ibni Sultan Muhammad Shah Aminullah ( sultan Perak ke-12 ) setelah penyandang akhir jawatan bendahara ini dari keluarga Megat Terawis menyerahkan jawatan tersebut kepada baginda setelah berlakunya satu perbalahan berkenaan pembinaan istana. Sultan Iskandar Dzulkarnain telah bertindak menyerahkan jawatan bendahara tersebut kepada adindanya yang bernama Raja Alauddin Ibni Sultan Muhammad Shah Aminullah ( seterusnya menjadi sultan Perak ke-17 dengan gelar Sultan Alauddin Mansur Shah Iskandar Muda ). Bermula dari perlantikan Raja Alauddin inilah bermulanya senarai zuriat anak-anak raja memegang jawatan Raja Bendahara sehinggalah pada tahun 1958 Sultan Sultan Yussuf Izzuddin Shah ( Sultan Perak ke-32 ), memulangkan jawatan bendahara ini kepada orang kebanyakan setelah penyandang terakhir jawatan ini iaitu Raja Abdul Rashid Ibni Sultan Idris Shah mangkat.


Almarhum Raja Abdul Rashid Ibni Sultan Idris Shah
penyandang jawatan Raja Bendahara terakhir Perak Darul Ridzuan
( kredit foto : Maharum Bugis Shah )

Baginda mengutip hasil dan khazanah serta cukai di atas segala barang-barang yang masuk dan keluar di Kuala Sungai Kinta. Kutipan itu dilakukan setahun sekali, iaitu kutipan keluarga yang dinamakan "BENAN KELUAR". Baginda menghantar seorang suruhannya dari keturunan Orang Kelar yang berasal dari Lambor bernama Alang Laut Bin Tok Monen atau Tok Nara, pergi ke kampung - kampung mengutip cukai 50 sen sekeluarga dengan membawa "BAUR" iaitu Keris Kuasa Raja. Lanjutan daripada itu Alang Laut digelar Panglima Teja iaitu Orang Besar Enam Belas dan penolongnya Tok Muda Lahab (Tok Rusa). Jadi berkemungkinan gelaran  Panglima Teja yang merupakan orang besar-16 Perak mungkin mula wujud ketika period baginda menjadi Raja Bendahara.


Saya memegang batu nisan makam yang berbalut cantik ini. Fikiran saya sibuk memikirkan tentang mukim Teja yang menjadi kawasan kuasa Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Aneh saya sendiri memikirkan bagaimana baginda boleh memilih untuk bersemayam di sini. Jika tidak silap saya hanya seorang sahaja sultan Perak yang pernah bersemayam di kawasan lingkungan Sungai Kinta ini iaitu Sultan Iskandar Dzulkarnain yang telah saya ceritakan dalam dua perenggan di atas. Baginda memutuskan untuk berkerajaan di Pulau Indera Sakti yang terletak di pertemuan kuala Sungai Kinta dan Sungai Perak. Sungguh pun begitu baginda masih tetap tidak "jauh duduk" dari Sungai Perak.

Kepuk makam yang indah

Namun demikian dalam sejarah panjang kesultanan Perak, memang diakui terdapat gelaran-gelaran raja yang kini sudah tidak digunakan lagi seperti Raja Di Baruh, Raja Di Hulu dan lain-lain lagi. Saya sendiri masih lagi mencari fakta berkenaan kawasan kekuasaan mereka ini. Kenapa dan bagaimana jawatan ini dimansuhkan tidak pula saya ketahui. Jawatan raja bergelar terakhir yang dimansuhkan ialah Raja Bendahara dan sehingga kini hanya tinggal tujuh jawatan sahaja dalam hieraki kesultanan Melayu Perak.

Raja Alang Iskandar mangkat pada tahun 1861 sewaktu kekandanya Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah masih lagi bertakhta dan dimakamkan di Kuala Teja. Baginda digelar Marhum Teja. Kemangkatan baginda telah menyebabkan Sultan Jaafar Safiuddin Muazzam Shah melantik Raja Ismail Ibni Saiyid Shaikh Al-Khairat sebagai Raja Bendahara yang baru dan berkuasa di kawasan Belanja. Perlantikan ini juga pasti mempunyai muslihatnya yang tersendiri kerana Belanja dapat dijadikan kawasan penampan dari pengaruh Raja Lop Yusuf yang sememangnya masih berjuang menuntut haknya ke atas takhta. Raja Ismail ini sebenarnya hanyalah waris sebelah tanah sahaja iaitu bermaksud mewarisi darah raja kesultanan Perak dari sebelah ibunya. Manakala ayahandanya pula adalah dari kerabat diraja Siak. Ini adalah satu tindakan berani dari Sultan Jaafar Safiuddin Muzaffar Shah yang seterusnya kelak bakal menimbulkan lebih keributan dalam perebutan takhta kesultanan Perak.


Mencungkil Rahsia


Ketika duduk-duduk meninjau makam ini secara tiba-tiba fikiran saya mula menerawang memikirkan sesuatu. Saya mula mendapat gerak rasa bahawa ada rahsia di sebalik semua sejarah yang pernah berlaku dahulu. Saya mula mengerti kenapa Raja Lop Yusuf berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan kekuasaan warisan keturunannya keatas takhta negeri Perak. Jawapannya ada dan ia adalah seperti yang saya sangkakan sejak menziarahi batu tanda makam Raja Kechil Tengah Ahmad dahulu bahawa terdapat aliran warisan baru yang masuk ke dalam sistem hieraki takhta kesultanan Perak. Kini saya sudah semakin menjumpai jawapannya.


Jika kita meninjau warna bendera negeri Perak yang ada pada hari ini, maksud disebalik warna bendera itu sebenarnya mempunyai sebab yang tertentu. Umum mengetahui bahawa warna putih melambangkan warna rasmi sultan pemerintah Perak, warna kuning pula diertikan sebagai warna rasmi Raja Muda, manakala warna hitam khusus melambangkan warna rasmi Raja Bendahara ( selepas gelaran Raja Bendahara dihapuskan, Raja Di-Hilir menggunakan pula warna hitam ini sebagai warna rasmi. Ini dapat kita lihat melalui warna pakaian istiadat yang dikenakan oleh Duli-duli yang saya sebutkan tadi.


Rahsia bendera negeri Perak

Namun demikian, secara tersiratnya warna-warna berkenaan melambangkan pecahan warisan bagi tiga cabang kekuasaan yang berbeza bagi takhta negeri Perak. Warna putih melambangkan waris Acheh. Warna kuning pula melambangkan waris Melaka dan warna hitam pula melambangkan waris Bugis. Namun bagaimana ini boleh berlaku sedangkan kesultanan Perak dikatakan memiliki titisan darah kesultanan Melaka yang sah ? .... jadi bagaimana ada warisan lain yang masuk merajai negeri Perak ini ? ... resah saya semakin membara pula di tanah Teja ini. Fikiran saya mula mencerna beberapa fakta dan teori berkenaan dengan hal ini. 


Saya amat meyakini, bahawa bermulanya permasalahan ini atau dengan lebih tepatnya bagaimana ada warisan lain yang masuk ke dalam sistem pemerintahan Perak ini bermula dari pergeseran antara Sultan Abdullah Muhammad Shah 1 dengan Raja Ngah Jaafar. Hal ini dikuatkan lagi dengan tindakan Raja Muda ketika itu iaitu Raja Ngah Ali ( seterusnya menjadi sultan Perak ke-24 dengan gelar Sultan Ali Inayat Shah ) yang tidak masuk campur dalam permasalahan ini sebaliknya baginda mengambil sikap berkecuali ( terdapat juga pendapat sebenarnya baginda menyebelahi Raja Ngah Jaafar ). Jadi adakah kewujudan watak tiga orang duli-duli ini dapat menggambarkan kedudukan mereka mewakili darah keturunan Acheh, Melaka dan Bugis ? Agak menerik juga untuk menilai perkara ini dan saya yakin ia punya ceritanya yang tersendiri.


Mengikut sejarahnya, bendera negeri Perak mula diperkenalkan ketika period Raja Lop Yusof ketika itu menjawat jawatan Raja Muda menjadi pemangku sultan Perak atau kira-kira dalam tahun 1879. Peristiwa Perang Perak yang berlaku akibat dari pembunuhan residen Inggeris pertama Perak rupa-rupanya memberi peluang kepada baginda untuk menerajui takhta. Uniknya, selepas peristiwa Perang Perak itu negeri Perak sebenarnya tidak bersultan dan Raja Lop Yusof terus menjadi pemangku sultan Perak selama lebih kurang 10 tahun sehingga tahun 1886. Sayangnya baginda tidak lama di atas takhta iaitu hanya kira-kira satu tahun sahaja dan mangkat pada tahun 1887. Baginda merupakan sultan Perak terakhir yang bersemayam dan dimakamkan di tebing sebelah kanan sungai Perak selaras dengan perjanjian lama antara sultan Perak pertama dengan Tok Temong. Selepas dari itu .... semua sultan Perak disemadikan di tebing kiri sungai Perak atau di Bukit Chandan.

Ketika Sultan Yusuf Syarifudin Muzaffar Shah memerintah, yang menjadi Raja Muda ialah Raja Idris Ibni Raja Bendahara Alang Iskandar manakala Raja Bendahara pula ialah Raja Usman Ibni Sultan Ali. Jika diperhatikan dengan jelas, saya meyakini inilah jawapan penting kepada maksud bendera negeri Perak. Perhatikan gelaran hujung yang digunapakai oleh Sultan Yusuf yang berakhir dengan nama Muzaffar ... adakah ia membawa bukti baginda mewakili kerabat Melaka ? 

Perhatikan pula nama hujungan ayahanda Raja Bendahara Usman iaitu Sultan Ali Al-Mukammil Inayat Shah. Baginda meletakkan nama Al-Mukammil. Jika tidak silap saya terdapat sultan-sultan Aceh yang lahir dari keluarga Al-Mukammil ini. Adakah Raja Bendahara Usman dianggap mewakili kerabat diraja Acheh ? 

Dan yang akhir sekali ialah Raja Muda Idris Ibni Raja Bendahara Alang Iskandar ( seterusnya sultan Perak ke- 28 ) ... adakah baginda mewakili kerabat diraja Bugis ?. Hal inilah mungkin menjadikan telahan saya di makam Almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad sebelum ini benar. Hari ini saya berada di makam Raja Bendahara Alang Iskandar pula .. maka telahan tersebut bagaikan telah dijawab. Wallahualambissawab.

Namun demikian, sebagai pilihan kepada penyelesaian hal ini, saya lebih selesa untuk menyatakan bahawa percampuran dan perkahwinan dari beberapa kerabat berlainan warisan ini sedikit sebanyak menyelamatkan jiwa Melaka yang diwarisi oleh kesultanan Melayu Perak. Sejarah menunjukkan bahawa apabila munculnya Sultan Muzaffar Shah II dari Siak menjadi sultan Perak ke-10, maka aliran warisan Melaka dalam darah sultan-sultan seterusnya adalah dari benih sebelah pihak perempuan. Ianya terus berlanjutan dan tidak mustahil .... benih Melaka sebelah lelaki muncul semula pada masa depan tetapi dalam jenama keluarga yang lain .... wallahualambissawab.

Meneruskan Perjalanan

Saya akhirnya mengambil keputusan untuk bergerak pulang. Sebelum pulang sempat saya meninjau-ninjau makam-makam yang terdapat disekitar makam. Ternyata suasana petang yang meredup membuatkan hati saya menjadi kecut untuk berlama-lama disini. Tambahan pula saya hanya berseorangan di sini ... fikiran-fikiran yang negatif sangat sukat dibuang dari dalam kepala.

Saya meyakini apa yang terlintas dalam fikiran semasa berada di makam Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini adalah terlahir dari ilham dan kajian ringkas saya. Tambahan pula sungai Kinta yang mengalir tidak jauh dari makam ini bukanlah asing bagi keluarga dari sebelah ayah saya. Kampung Jong Buruk (kini telah ditinggalkan sepi ) yang terletak di kuala Sungai Kinta adalah tempat asal keturunan saya. Pasti kampung ini satu ketika dahulu merupakan kawasan pegangan kuasa Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Bapa moyang saya pernah diceritakan pernah menjadi orang kepercayaan sultan dan berkuasa di kampung berkenaan. Jika tidak silap saya, moyang saya berketurunan Bugis. Oleh itu tidak hairanlah suatu ketika dahulu masih ada Raja Muda yang bersemayam di Teluk Intan apabila pergi menuba ikan di sungai Kinta mahupun di sungai Perak pasti akan singgah di Kampung Jong Buruk ini. Namun sesuatu yang pasti .... 100 tahun kebelakangan ini penyandang Raja Muda semuanya dari keturunan almarhum Raja Kechil Tengah Ahmad dan anakandanya Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar ini. Ia seolah-olah membeli semula sebuah cerita lama yang telah ditinggalkan.

Almarhum Raja Bendahara Alang Iskandar Ibni Raja Kechil Tengah Ahmad ... suatu watak yang luarbiasa dalam sejarah kesultanan Melayu Perak. Kini ... hampir 160 tahun kemangkatannya, kuasa warisan baginda tidak pernah luntur dalam hieraki pemerintahan kesultanan Perak. Dan dalam 160 tahun itulah ..... cabang-cabang warisan lain ada yang hilang tanpa cerita. Biarlah ia terus menjadi cerita dalam rahsia bagi yang mengerti. Saya pula akan terus mencari pengertiannya hingga berjumpa pengakhirannya.

Sampai sahaja di simpang jalan ... saya terpandang papan tanda kawasan perkuburan di hadapan .... Ermmm ...  Orang Kaya Besar Seri Maharaja Diraja ... satu gelaran yang membuatkan saya terus menunggang motosikal ke arah kawasan pemakaman itu. Dan petang yang semakin tua itu sekali lagi gagal menghalang perasaan ingin tahu saya ... benar ... perasaan ingin tahu itu terus membuatkan saya resah di Tanah Teja yang bersejarah ini.......... 


Bersambung ...







v