BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Saturday, March 27, 2010

Sampul Surat Hari Pertama - Hobi Yang Mengujakan

 Sampul Surat Hari Pertama 
keluaran 10 Mac 2010 bertemakan Paku Pakis

Bagi peminat setem dan filateli hobi mengumpul setem, lembaran mini, sampul surat hari pertama dan juga folder setem adalah sesuatu yang begitu mengujakan. Hobi ini begitu unik dan memiliki pengikutnya yang tersendiri. Suatu ketika dahulu sudah pasti ramai diantara kita yang begitu berminat mengumpul setem dan meletakkannya di dalam album setem. Kita berlumba-lumba bersama teman untuk mencari koleksi setem lama, baru, dalam negara dan dari luar negara. 



Saya juga tidak terkecuali. Ibu saya sememangnya seorang pengumpul setem namun apabila sudah berkahwin dengan ayah, hobinya itu terus ditinggalkan. Saya amat bernasib baik kerana album setem koleksi ibu masih dijaganya dengan baik. Ini secara tidak langsung mencambahkan minat saya untuk mengumpul setem. Maka pada zaman sekolah rendah saya penuhlah album setem saya dengan koleksi-koleksi setem yang saya kumpul, beli dan tukar bersama teman - teman. Sayangnya ketika menjejakkan kaki ke alam sekolah menengah hobi itu terus pudar dan hanyut bersama dengan gerak hati remaja saya yang liar.

Namun demikian saya mula tertarik semula kepada setem apabila saya menjalankan kursus praktikum latihan mengajar saya di SMK Sungai Besar Selangor. Ianya adalah secara tidak sengaja apabila saya mendapat teman serumah yang berminat mengumpul poskad dan setem dari teman - temannya dari luar negara.  Pada mulanya saya tidak mengendahkan sangat hobinya itu dan pernah mengatakan kepadanya hobi mengumpul setem adalah hobi budak sekolah rendah. Sehinggalah pada suatu hari saya ditunjukkan nya dengan sejumlah poskad dan setem dari luar negara yang begitu cantik maka perasaan hati mula memujuk untuk mengumpul setem semula.  Saya kemudiannya bertemu dengan seorang guru yang mengajar di sekolah yang sama ( sudah lupa nama guru tersebut ) yang memperkenalkan saya dengan hobi mengumpul sapul surat hari pertama dan setem. Inilah faktor penyumbang terbesar kepada permulaan hobi saya mengumpul setem dan sampul surat hari pertama ini.

Sebahagian dari koleksi Sampul Surat Hari Pertama saya

Namun demikian ketika di Semenanjung saya amat sukar untuk mendapatkan Sampul Surat Hari Pertama ini kerana jumlah peminatnya adalah terlalu ramai dan cetakannya adalah terhad. Ini membuatkan semangat saya mengumpulnya jatuh dengan mendadak. Setelah jatuh cinta dengan hobi ini barulah saya sedar bahawa hobi ini punya peminat yang ramai malahan mereka - mereka di kalangan pentadbir dan yang berjawatan tinggi dalam kerajaan. Saya amat berminat dengan koleksi setem yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia. Lazimnya setem yang dikeluarkan mempunyai tema - tema tertentu malahan ia dikeluarkan sempena memeperingati sesuatu peristiwa atau ulang tahun pemerintahan Sultan di sesebuah negeri.

Sampul Surat Hari Pertama sempena pertabalan 
DYMM Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan

Katika sampai di Kapit hujung tahun 2008 secara tiba-tiba hobi ini berkembang terus dalam diri saya. Masakan tidak, di Kapit ini jumlah peminat hobi ini adalah sedikit malahan kita akan mudah membelinya tanpa berebut-rebut. Inilah yang dikatakan tuah. Melalui hobi ini juga hubungan saya dengan kakitangan pejabat Pos Malaysia cawangan Kapit menjadi erat. Malahan jika ada keluaran terbaru mereka akan menelefon saya memberitahu supaya datang ke Pejabat Pos Kapit. Sehingga kini saya sudah memiliki sejumlah hampir 30 Sampul Surat Hari Pertama, 3 buah Folder setem dan 5 helai lembaran mini yang sangat istimewa.

Ada koleksi dalam simpanan saya ini amat saya sayangi terutamanya Sampul Surat Kenangan bertemakan Ulang tahun Hubungan Malaysia - China yang ke-35 ( jumlahnya cuma ada 100000 sahaja di dunia ) dan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Azlan Shah yang ke-25 ( Sultan pemerintah negeri Perak dan jajahan takluknya : DAULAT TUANKU ). Ianya sebagai kenangan - kenangan saya terhadap sesuatu peristiwa. 

Selagi berada di Kapit ini insyaAllah hobi ini akan tetap saya teruskan. Ianya satu hobi yang istimewa dan tidak membebankan dari segi masa dan kewangan. Jika tiada aral melintang dan diizinkan Allah mungkin saya akan berusaha membuat pameran koleksi Sampul Surat Hari Pertama saya khusus untuk pelajar - pelajar sekolah tempat saya berbakti ini. Mungkin ia secara tidak langsung berupaya menanamkan minat mereka terhadap hobi yang unik ini dari mereka terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat. 

IA MEMBUATKAN SAYA TERUJA !!!!

Paku -Pakis keluaran 10 Mac 2010

Matawang Malaysia sempena
Ulangtahun ke -54 Bank Negara Malaysia
keluaran 18 Januari 2010

Gagasan 1 Malaysia
keluaran  31 Ogos 2009


Tuesday, March 16, 2010

SEPASANG KASUT JOHN BERT


Sudah lama saya memendam hasrat ingin memiliki kasut John Bert ini... rasanya sejak zaman persekolahan lagi. Dahulunya hati ini meronta-ronta ingin memilikinya tatkala abang - abang sepupu saya menyarung kasut ini di kaki mereka. Saya belum mampu memikinya ketika itu ditambah dengan faktor keluarga dari golongan yang berpendapatan rendah....keinginan itu saya simpan dalam-dalam. Ada rezeki nanti di masa hadapan tak mustahil sepasang kasut John Bert tersarung di kaki saya juga.

Satu lagi jenama yang menjadi kegilaan saya ialah kasut berjenama Johnson. Kalau mengikut panggilan biasa masyarakat ialah "Kasut Johnson". Namun demikian saya sudah merasa memakai kasut ini ketika belajar di UPSI kira-kira 4 tahun yang lalu. Kini kasut itu dipakai oleh ayah. Cuma kasut John Bert ini sahajalah lagi idaman saya hingga kini.

Akhirnya impian saya termakbul sudah kira-kira 3 minggu yang lalu. Saya membeli kasut John Bert ini melalui laman web Mudah.My dengan harga RM130. Ia kasut terpakai namun kelihatan masih baru. Bila melihat kasut ini teringat zaman - zaman sukar tatkala remaja saya dahulu. Terasa satu kejayaan yang indah dalam hidup ini walaupun hanya memiliki sepasang kasut terpakai.

Saya memakai kasut ini buat pertama kalinya ketika menyertai kontijen SMK Kapit dalam perarakan sambutan maulidur rasul peringkat bahagian Kapit yang lalu. Sudah menjadi tuah agaknya kasut baru ini apabila kontijen SMK Kapit mendapat tempat pertama dalam perbarisan dan sepanduk yang kami hasilkan mendapat tempat ke-3 dalam perarakan berkenaan... sekurang-kurangnya ada kenangan yang baik dengan kasut ini.

Hafez J.Malim berdiri 6 dari kanan dalam kontijen SMK Kapit sempena perarakan Maulidur Rasul peringkat bahagian Kapit 2010. Kasut John Bert tersarung kemas di kaki saya.

Biarlah kasut ini saya gunakan selama yang mungkin. Ia lambang sebuah impian seorang anak muda yang hari silamnya penuh getir perjuangan. Kini mentari indah mula menerangi hidupnya.. dicapai setiap harapan yang pernah diidamkannya walaupun tidak semua kesampaian.... DIA MASIH DISITU MENANTI HARAPAN HATINYA.....



Wednesday, March 10, 2010

Jiwa Tenang Di PPKI SMK Kapit


PPKI SMK Kapit beberapa minggu kebelakangan ini agak tenang dan aktiviti yang dirancang berjalan seperti biasa dengan lancarnya. Antara aktiviti yang dijalankan dalam minggu ini ialah :
  • Peperiksaan Pertengahan Penggal 1 2010
  • Pengeluaran wang bantuan pendidikan khas pelajar kali ke-2 tahun 2010
  • Aktiviti membuat roti bakar untuk makan pagi
  • Rancangan menghasilkan baju korporat untuk guru dan Pembantu Pengurusan Murid ( PPM ) PPKI
Pihak pentadbiran juga bersetuju untuk menaik taraf dan membaiki sistem pendawaian elektrik PPKI SMK Kapit. Sebuah kipas syiling baru dan tambahan 5 buah soket elektrik juga telah berjaya dipasang. Selain itu sebuah sinki untuk kegunaan pelajar juga dalam proses pembinaan ( terima kasih kepada Tuan Pengetua ). Berita lain yang menggembirakan ialah tambahan seorang guru GSTT khusus untuk mengajar matapelajaran Bahasa Melayu dan Pendidikan Sivik ( menggantikan Cikgu Supian Abdullah yang berpindah ke Kelantan ).

Walaupun berdepan dengan keadaan serba kekurangan namun kami di sini berusaha dengan sebaiknya untuk terus menambah aset khusus untuk pelajar PPKI. Pelajar pendidikan khas di sini sebenarnya berdepan dengan cabaran yang getir kerana mereka dipersiapkan untuk menduduki Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah ( PMR ). Ia secara tidak langsung memberikan kami cabaran tambahan dalam memberi keyakinan dalam diri mereka untuk bersaing dengan pelajar - pelajar aliran perdana.

Sedetik masa yang berlalu di PPKI SMK Kapit ini adalah masa - masa yang menggembirakan jiwa saya. Biarlah jauh menumpang kasih di sini namun bumi Sarawak ini menjanjikan seribu satu kenangan manis yang tak bisa dijumpai di tanah - tanah yang lain. Pesan ibu... buatlah jasa walau di manapun berada... ia akan terus melekat di hati hingga ke mati... MULUT MENGELUH NAMUN HATI MEMUJUK

 Kesibukan bukan halangan !!!!

Monday, March 1, 2010

SEPETANG DI SMK KAPIT

Petang ini hingar bingar berlaku di SMK Kapit. Masakan tidak, saya bersama Cikgu Sahiful dan Cikgu Aliff Stanley menjalankan aktiviti keceriaan sekolah. Hari ini kami bertiga mendapat arahan dari Tuan Pengetua untuk memotong daun pokok-pokok renek di sekitar sekolah dengan menggunakan mesin pemotong daun.

Pada mulanya agak takut juga di hati saya untuk menggunakan mesin ini buat kesekian kalinya. Namun hasil tunjuk ajar dari Cikgu Aliff Stanley segala kegusaran itu terbuang jauh-jauh. Maka menjeritlah mesin pemotong daun itu di sekeliling sekolah. Panas matahari tidak menghalang kerja kami yang dibantu oleh dua orang pelajar kelas intervensi ( kredit kepada mereka).

Mesin ini agak berat, malah ketika artikel ini ditulis tangan kiri dan kanan saya masih lagi terasa kekejangan. Hendak menaip pun serasa tidak terdaya akibat gegaran dari mesin itu. Namun ia satu pengalaman yang berharga juga bagi saya. Kadang kala terfikir juga di benak ini.... betapa uniknya menjadi guru di kawasan luar bandar ini. Di sini kita menjadi segalanya yang tak pernah terfikirkan oleh akal kita. Saya mula dapat merasai betapa bergunanya pengalaman sementelaah masih berada di Kapit ini. Dalam diam-diam saya mula dapat  menilai sesuatu tindakan dan tugasan yang diberikan oleh pentadbiran. Secara tidak langsung rasa kekaguman saya kepada Tuan Pengetua makin bertambah. Mungkin tugasan ini agak berat namun pada saya ia mengajar saya untuk menjadi lebih yakin kepada diri dan paling utama sekali ialah pengalaman.

Sepetang di SMK Kapit menguruskan kerja -kerja keceriaan sekolah banyak mengajar saya tentang kepatuhan dan keyakinan kita terhadap tugas yang diberikan. Ikhlas itu adalah yang sebaiknya. Ia membuatkan saya rasa sayang kepada sekolah ini walaupun saya sedar saya hanya penumpang sebentar di tanah buminya...... IA PERASAAN YANG TAK TERNILAI !!!!


  

  

  

  

  

Hafez J.Malim sedang bertugas

Friday, February 26, 2010

Cikgu Maaruf Mahmud - Satu Penghargaan Ringkas

 
Allahyarham Cikgu Maaruf Mahmud

Beberapa minggu yang lalu ketika Pusat Sumber SMK Kapit melakukan penghapusan stok buku - buku lama, saya mendapat kesempatan untuk mengutip beberapa buah buku yang saya kira mempunyai nilai khazanah ilmu yang amat bernilai. Masakan tidak, ratusan buku yang akan dilupuskan itu ada diantaranya sudah berusia lebih 50 tahun dan amat sukar untuk didapati pada masa kini.

 Novel Anak Din Biola karya Cikgu Maaruf Mahmud

Ketika sibuk mencari di atas timbunan buku - buku tersebut mata saya tertumpu pada sebuah buku yang sudah lama saya cari. Buku berjudul ' ANAK DIN BIOLA' karya pengarang buku kanak - kanak dan remaja yang amat saya minati dan hormati iaitu Cikgu Maaruf Mahmud. Sukar untuk menggambarkan perasaan saya pada ketika itu kerana kali terakhir saya membaca buku ini ialah dalam tahun 1995 iaitu kira-kira 15 tahun yang lalu. Buku yang saya jumpai ini adalah cetakan kali ke tiga pada tahun 1985. Ini bermakna buku itu berusia 25 tahun ketika ini dan saya hanya tua setahun sahaja dari buku berkenaan.

Saya amat berminat dengan karya - karya Cikgu Maaruf Mahmud. Bhasanya mudah dan menyeronokkan untuk dibaca. Cikgu Maaruf Mahmud  merupakan generasi guru - guru sebelum merdeka yang banyak menulis mengenai cerita kanak - kanak dan remaja. Biografi tentang dirinya tertulis di dalam sebuah buku berjudul ' Berenang Di Lautan Cetera" terbitan Dewan Bahasa Dan Pustaka. Saya sempat membaca bukunya ini.

Disini dilampirkan sedikit riwayat hidup Cikgu Maaruf Bin Mahmud. Apa yang bermakna disini ialah beliau adalah senior saya di Universiti Pendidikan Sultan Idris kerana beliau adalah lulusan daripada Sultan Idris Trainning College ( SITC ) - nama lama bagi UPSI.

Dilahirkan di Hulu Yam Baru pada 4 Disember 1920. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Hulu Yam, kemudian melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Bertugas sebagai guru sebelum bertukar ke Dewan Bahasa dan Pustaka sehinggalah bersara pada tahun 1977.

Menceburi bidang penulisan sejak 1955. Antara kejayaan beliau dalam bidang penulisan ialah:-
  • menang hadiah peraduan menulis Cerita Kanak-kanak anjuran Jabatan Pendidikan Negeri dan DBP, serta Kementerian Pendidikan Malaysia;
  • menang hadiah penghargaan dalam peraduan menulis Novel Sejarah Kanak-kanak DBP 1981.
Antara karya beliau yang diterbitkan oleh DBP ialah:-
  • Wira di Bumi Warisan
  • Pelita Yang Menyala
  • Berenang di Lautan Cetera
  • Novel Anak Din Biola memenangi tempat pertama Peraduan Hadiah sastera Remaja ESSO-GAPENA II, 1982.
( maklumat mengenai riwayat hidup Cikgu Maaruf Mahmud ini diambil dari http://azemi09.wordpress.com/ )

Friday, February 19, 2010

Sudah tersuratnya begitu..........


Dunia tak kan mati
Hidup tak kan sepi
Andai dia pergi.....
Tapi sayang tetap hidup
Sampai ketemu Tuhan.....


Monday, February 15, 2010

APA YANG TINGGAL ADALAH....


Dikirim ke esastera pada 16 Februari 2010

Thursday, February 11, 2010

Bercerita Tentang Melukis 2

Terasa hari yang menyeronokkan bagi saya dan anak - anak PPKI hari ini bila kami menjalankan aktiviti Pendidikan Seni Visual ( PSV ). Hari ini saya merancang untuk menghasilkan karya menerusi cara tiupan dengan menggunakan penyedut minuman. Memang kebelakangan ini saya amat meminati lukisan bercorak abstrak. Ini secara tidak langsung saya masukkan sekali di dalam pemikiran anak - anak didik PPKI saya.

Sebelum memulakan pengajaran saya meminta anak - anak didik saya membayangkan apa yang terlintas di fikiran mereka sebelum menghasilkn karya. Saya meminta mereka merahsiakan apa yang terkandung di dalam fikiran mereka dan meminta mereka masukkan di dalam karya mereka nanti. Kemudian baru lah saya mengajar cara dan teknik yang betul dalam menghasilkan karya melalui teknik tiupan ini.

Maka bermulalah perjuangan anak - anak didik saya mengahasilkan karya agung mereka. heheheehehe. Saya dan pembantu Pengurusan Murid ( PPM ) iaitu Puan Sylvia Jingga membantu dengan seadanya. Saya lebih suka anak - anak didik saya berusaha dengan daya kreatif sendiri.

 
Barisan depan dari kiri : Mariana, Victoria dan Sandra Sura
Bahagian belakang dari kiri : PPM Puan Sylvia Jingga dan Jackson Jelani


Sharina tersayang

Jackson dan ilusi autisma... karyanya memang menjadi kegemaran saya

Sesuatu yang menarik mengenai aktiviti ini ialah tumpuan yang diberikan oleh anak didik saya. Mereka memberikan sepenuh tumpuan. Jackson si pencetus masalah juga menjadi anak lelaki yang baik malahan karyanya memang menjadi kegemaran saya selalu.
Setelah bertungkus lumus selama hampir sejam maka siaplah 5 karya dari anak - anak didik PPKI saya. Secara jujurnya saya berpuas hati dengan apa yang mereka hasilkan. Selepas itu saya meminta mereka menerangkan apa yang ingin mereka lukis dan apa yang dibayangkan sewaktu menghasilkan kerja seni tadi. Jawapan nya memang lucu namun apa yang pasti ia memberi makna kepada diri saya.... 


Keterangan Gambar dan Judul Hasil Seni
Atas kiri : "Transformers" - Jackson Jelani
Atas kanan : "Bintang" - Sharina Merom
Tengah Kiri : "Cikgu Hafez" - Sandra Sura
Tengah Kanan : "Rumah Panjang" - Mariana Jantum
Bawah : "Cinta" - Victoria Dubau

Seronok melukis bersama anak - anak didik PPKI ini. Mereka gembira dengan karya mereka. Meraka berbangga dengan kreativiti mereka. Sebagai guru biarlah segala keseronokan ini terbawa bersama kenangan mereka bersama saya sepanjang hayat mereka nanti. Ia juga menenangkan fikiran saya semula. Perjuangan menentang perasaan sayu dan gundah terhadap seseorang masih tetap berjalan walaupun sukar.... IA MEMBUATKAN SAYA MAKIN KUAT DALAM DERITA !!!!!



Tuesday, February 9, 2010

TAHNIAH DS DR. ZAMBRI ABDUL KADIR


Hari ini terlerailah sudah teka - teki mengenai siapakan Menteri Besar Negeri Perak Darul Ridzuan yang sah setelah Mahkamah Persekutuan yang bersidang di Putrajaya sebulat suara memutuskan Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir sebagai menteri besar yang sah.

 
YAB Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir
Menteri Besar Perak Darul Ridzuan


Sebagai seorang rakyat negeri Perak Darul Ridzuan mengucapkan syukur kepada Allah SWT kerana telah memberikan peluang kepada Datuk Seri Zamri Abdul Kadir untuk mentadbir negeri Perak yang tercinta ini. Melalui keputusan ini jelaslah bahawa segala permasalahan dalam hal ehwal politik Perak sudah sampai ke penamatnya. Bagi pihak BN dan UMNO negeri Perak ingatlah ini bukan masa untuk berpesta dengan segembiranya tetapi jadikanlah "kemenangan" ini sebagai peransang untuk bekerja membela rakyat bukan sahaja kepada orang Melayu malahan kepada kaum - kaum lain yang bernaung di bawah payung DYMM Paduka Seri Sultan Perak.



Saya Hafez J.Malim melalui blog saya mengucapkan selamat maju jaya kepada YAB Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir sebagai menteri besar Perak. Besarlah harapan saya supaya beliau terus bejuang bersama - sama rakyat untuk mempertahankan kedaulatan DYMM Paduka  Seri Sultan Perak yang kita sayangi. Semoga negeri Perak bertambah makmur di bawah pentadbiran beliau.  
HIDUP MELAYU !





Sunday, February 7, 2010

Melihat Kenangan Lama

Beberapa minggu yang lalu seorang teman tiba - tiba sahaja meng "upload" beberapa keping gambar tentang zaman persekolahan kami dahulu di SMK Syeikh Abdul Ghani Bidor dalam profile Facebook beliau. Bila melihat gambar - gambar itu hati mula terasa sebak yang halus.... masakan tidak hati menjadi begitu, gambar itu penuh dengan memori dan punya cerita yang tersendiri.

Dua keping gambar itu adalah gambar sewaktu saya dalam tingkatan 4 dan tingkatan 5. Ia diambil pada tahun 2000 dan 2001 untuk dimasukkan di dalam majalah sekolah. Saya menjadi ketua kelas dalam tingkatan berkenaan. Pada masa tingkatan 4 saya juga seorang pustakawan. Hingga ke hari ini saya masih terfikir bagaimana saya boleh menjadi seorang pustakawan sedangkan saya boleh lah dianggap salah seorang dari kutu - kutu penyangak sekolah. Semasa di tingkatan 5, saya dilucutkan dari jawatan pustakawan dan sampai sekarang saya masih terfikir kenapa jawatan saya itu dilucutkan tanpa sebab. 

Tingkatan 4 Kreatif SMK Kapit ( 2000 ). Hafez J.Malim sebagai ketua kelas ditengah-tengah berkepala botak.

Ramai teman - teman lama dalam tingkatan berkenaan sudah berjaya dalam hidup masing - masing. Ramai juga yang sudah berumah tangga dan memiliki beberapa anak yang comel. Di masa remaja kami dahulu sering kami berbual tentang alam rumah tangga... kebanyakannya akan mengatakan mahu kahwin lambat ( termasuklah saya ). Namun realitinya kini cuma tinggal saya sahaja yang masih belum berkahwin sehingga dikatakan bujang terlajak !!!!!! Lucu dengan tingkah teman - teman pada saya.

 
Tingkatan 5 Kreatif ( 2001 ). Hafez J.Malim duduk 4 dari kanan sebagai ketua kelas

Jika dilihat pengaruh pakaian pada masa itu sememangnya jauh berbeza dengan masa kini. Kaki seluar sekolah semestinya besar ( paling koman 21 inci ). Rambut mesti ada ekor yang disimpan. Untuk menampakkan ranggi lagi zip pada seluar digantikan dengan butang ala - ala seluar jeans ( seksa bila nak buang air kecil ) dan kasut semestinya kasut kanvas berjenama Converse ( kalau All America pun kira ok la ).

Berada di sebuah pekan kecil bernama Bidor memuhibahkan kami. SMK Syeikh Abdul Ghani merupakan sekolah majmuk. Jumlah pelajar Melayu diimbangi oleh pelajar berketurunan India. Ada juga pelajar Cina, Sikh dan orang Asli. Ini menjadikan kami agak hormat - menghormati antara satu dengan yang lain. Ada juga sesekali terjadi pergaduhan di antara pelajar Melayu dan India namun kenyataannya selepas sekolah pelajar - pelajar berlainan bangsa ini masih boleh tegur menegur antara mereka. Saya juga tidak terkecuali. Ketika belajar sifat perkauman saya sangat tebal sehingga sekarang namun pada masa yang sama saya masih boleh bergaul mesra dengan teman - teman bukan sebangsa dengan saya.

Pada guru - guru yang pernah berjasa mendidik saya hingga kini, cuma rasa terima kasih sejuta bahasa yang dapat saya beri. Ada antara guru dan teman saya sudah berpulang dahulu menemui Tuhan. Semoga roh mereka dicucuri rahmad. Teman - teman saya dahulu juga ramai yang sudah keluar mencari rezeki jauh dari bumi Bidor tersayang. Begitu juga saya. Bila pulang sekali - sekala ke tanah antara dua sungai ini saya selalunya bersendirian. Teman - teman sudah makin sedikit yang tinggal. Namun bila sesekali sudah berkumpul maka saya orang yang paling banyak mulut untuk berlawa jenaka.

Gambar kenangan zaman sekolah banyak membuatkan saya menjadi rindu. Ini zaman yang tiada telefon bimbit, tiada motorsikal sebaliknya kami ke sekolah menaiki basikal, tiada cd ( masih guna kaset dan walkman ), zaman internet masih menjadi sesuatu yang baru, siapa yang memiliki Play Station dianggap anak orang kaya, belanja ke sekolah RM1 dan yang paling penting baru belajar nak bercinta.

Saya suka mengenang masa yang lalu kerana saya seorang yang bernostalgia. Ini memang diri saya. Saya sukar melupakan sesuatu kenangan. Setiap memori yang terlekat di ingtaan sudah pasti akan diulang - ulang semula hingga hati menjadi rindu..... RINDU ITU PUNYA SAYANG, SAYANG ITU PUNYA KENANGAN YANG TERSENDIRI...

Thursday, February 4, 2010

Bercerita Tentang Melukis

Yang sebenarnya....saya memang suka melukis tetapi saya langsung tidak pandai melukis. Bunyinya aneh tetapi itu realitinya. Melukis adalah keseronokan pada saya namun hasilnya selalu tidak mampu untuk dibanggakan. Sekadar melepas gian di masa lapang.

 
Resis : Cecorak Lain ( 29 Januari 2010 )

Untung juga sejak berada di PPKI SMK Kapit ini ,saya diberikan tugas menjadi guru matapelajaran Pendidikan Seni Visual ( PSV ) jadi secara tidak langsung minat itu terus subur dengan jayanya walaupun saya tahu saya bukan guru PSV yang baik. Malahan saya sendiri pada tahun pertama menjadi guru PSV terkial - kial mencari idea yang sesuai untuk pengajaran saya..... dan ditambah pula dengan saya sendiri yang tidak pandai melukis jadi semuanya tergaul mesra membuat fikiran bertambah  runsing.

Namun itu tidak menjadi halangan. Kadang - kadang jari - jari ini begitu teringin untuk melukis. Malahan saya sering melukis bersama - sama anak - anak didik saya. Sukar sebenarnya mengajar anak - anak istimewa ini melukis. Ada sesetengah mereka minat melukis namun tidak tahu mewarna. Ada juga diantara mereka masih terkial - kial menggunakan pelbagai alat tulis malahan terpaksa dibantu secara menyeluruh.

 
Bunga Kubur Nenek

Pelajar - pelajar saya suka dengan matapelajaran PSV ini. Bila bersama saya mereka lebih gemar meminta saya melukis gambar kartun dan mereka menitunya bulat - bulat. Malahan kartun - katun ajaran saya itu memang boleh kelihatan di buku - buku latihan mereka.....sesuatu yang boleh dibanggakan oleh saya...hahahahah walaupun di pihak cikgu - cikgu PPKI yang lain agak kurang senang....

Subjek yang selalu menjadi pilihan saya bersama pelajar untuk melukis ialah gambar binatang. Entah mengapa saya suka melukis gambar ayam ( dalam bahasa Iban nya Manok ). Kadang - kadang kami membuat corak bersama. Lazimnya lukisan yang saya hasilkan itulah yang akan menjadi tiruan mereka untuk melukis. Namun ada juga yang kreatif dan bisa menghasilkan lukisan berdasarkan imaginasi mereka sendiri... itu lebih baik.

Manok ( 2009 )

Sebagai guru yang paling penting adalah kepuasan melihat hasil pelajar jagaan saya menarik dan boleh diertikan dengan sebuah pujian. Melukis itu satu kenikmatan yang diberi Tuhan kepada manusia. Murid saya mungkin kekurangan dari segi pencapaian mental dan fizikal. Saya tidak tahu menilai keikhlasan saya dalam mendidik. Namun setiap kali mereka melukis setiap gambar yang diminta sudah pasti mereka akan melihat pada diri saya sendiri.... mereka seolah - olah melukis pada dasar hati mereka untuk merasa suka hingga diri rasa dihargai.....

SELALU SAYA BERPESAN PADA MEREKA..... BIARLAH KITA TIDAK PANDAI MELUKIS ASAL KITA TAHU MELUKIS HATI KITA DENGAN RASA SAYANG YANG IKHLAS.....

MOGA MEREKA INGAT SELALU !


Monday, January 18, 2010

TEMAN - TEMAN DAN DURIAN

Sesuatu yang paling menarik di Kapit ini ialah musim durian nya yang terlalu lama. Agak aneh dan misteri bagi saya. Masakan tidak, sudah hampir 3 bulan masa berlalu tetapi durian masih lagi banyak di Kapit ini malahan harganya teramat murah!!!!!!

Sebenarnya saya bukan lah pemakan durian yang aktif. Saya hanya makan durian hanya pada ketika saya teringin untuk menikmatinya sahaja. Namun sejak sampai di Kapit ini dan menikmati musim duriannya yang panjang saya sudah mula "candu" pada durian. Ditambah pula dengan teman - teman guru di sekolah saya yang agak "hard core" memakan durian maka tidak hairan lah bau durian itu kini bisa membuatkan saya terliur amat.

Mungkin hendak dijadikan satu keseronokan, teman - teman guru SMK Kapit tidak mempunyai masalah untuk menyantap durian. Secara kebetulan hari ini Cikgu Taqiuddin ( http://melayuslim.blogspot.com ) membelanja kami makan durian yang diborongnya dipasar bersama dengan Cikgu Kuiek. Maka hari ini di kantin sekolah kami berkenduri durian dengan gembiranya.

Durian di Kapit agak manis dan sedap. Lemaknya betul - betul melekat di tekak ( ketika artikel ini ditulis penulis sedang menderita sakit tekak ). Cikgu Syahiful pula menambahkan lagi kenduri durian ini dengan membeli buah pulasan. Habis serumah saya pada hari ini menderita sakit tekak. Namun aroma durian betul-betul berhantu membuatkan kami merasa indahnya hidup di Kapit ini. 


Cikgu Kuiek pakar membuka durian



Hafez J. Malim dan kesukaan terbarunya



Durian made in Kapit



Sekotak durian yang diborong oleh Cikgu Taqiuddin



Buah Pulasan yang dibeli Cikgu Syahiful



Cikgu Syahiful dengan tangan kiri pegang durian dan tangan kanan pegang pulasan. 


Musim durian masih tetap akan pergi dan kembali. Kapit masih setia dengan unik hidup masyarakatnya. Begitu juga halnya dengan kami anak rantau yang menumpang kasih sayang bumi ini sentiasa datang dan pergi. Teman - teman dan durian bukan sekadar sebuah keseronokan menikmati enaknya tetapi lambang betapa kami mengambil setiap kenangan dengan rasa bertuah.....betapa indah hidup di rantauan...... HATI TERINGAT...JIWA MENGENANG...SAYANGNYA DIRI BERSAMA TEMAN !!!!!

Sunday, January 10, 2010

BALADA DI KEJAR ANJING PUTIH

Agaknya memang nasib saya agak kurang baik petang ini. Di kala enak berjogging bersama teman - teman saya dikejar seekor anjing putih. Bertambah malang saya terjatuh tersembam atas jalan raya dan di hati hanya terfikir akan digigit anjing putih itu. Namun kemujuran yang aneh berlaku anjing tersebut tidak menyerang dan menggigit saya ketika saya hanya berserah pada Tuhan....sebaliknya hanya berpatah semula.... agaknya kasihan melihat saya jatuh tersembam ke jalan.


Anjing putih seperti ini mengejar saya dengan garang !!!!


Saya luka sedikit di lutut dan merasa agak sengal di kaki dan tangan. Cerita saya dikejar anjing menjadi suatu yang melucukan antara saya dan teman - teman. Namun rasanya saya tidak berdendam dengan anjing putih itu.... anjing putih itu sifatnya setia. Dia menjaga setiap langkah nyawanya untuk manusia...

Pengajarannya mudah.....hormati anjing.....ambil sifatnya yang setia dan tanamkan pada diri. Anjing putih itu benar - benar membuatkan saya terfikir.....SAYA INSAN YANG LEMAH SELALU !!!!

Friday, January 8, 2010

ISU PENGGUNAAN NAMA ALLAH SWT



BERKENAAN DENGAN KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI YANG MEMBENARKAN PENGGUNAAN NAMA ALLAH SWT OLEH GEREJA HERALD DALAM PENERBITANNYA , DENGAN INI SAYA HAFEZ J.MALIM MELALUI BLOG SAYA MENENTANG SEKERAS - KERASNYA KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI BERKENAAN.

SAYA BERANGGAPAN BAHAWA NAMA ALLAH SWT ADALAH HAK UMAT ISLAM SELARAS DENGAN KEPUTUSAN MUZAKARAH MAJLIS FATWA KEBANGSAAN KALI KE-82 ( 5 - 8 MEI 2008 ) YANG MEMUTUSKAN BAHAWA :

1.  Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

2.  Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

SAYA JUGA MENGUTUK SEKERAS - SEKERASNYA PERBUATAN MEMBAKAR GEREJA  RAKAN KITA BERAGAMA KRISTIAN YANG DILAKUKAN OLEH SEGELINTIR PIHAK YANG TIDAK BERTANGGUNGJAWAB. HAL INI MUNGKIN AKAN MENCEMARKAN PERPADUAN DAN KEAMANAN NEGARA MALAYSIA YANG KITA CINTAI INI.

ALLAHUAKBAR....ALLAHUAKBAR....ALLAHUAKBAR....ALLAHUAKBAR. 


 080110
HAFEZ J.MALIM
SARAWAK 



Tuesday, January 5, 2010

SELAMAT DATANG KE PPKI SMK KAPIT 2010



Tahun ini mungkin tahun bertuah saya. Masakan tidak untuk sesi  tahun 2010 ini saya menerima kehadiran anak - anak pendidikan baru di Program Pendidikan Khas Integrasi ( PPKI ) SMK Kapit seramai 10 orang. Pada saya satu jumlah yang agak ramai bagi sebuah program kecil seperti kami. Pada tahun ini saya menjadi guru kelas Tingkatan 1 Khas sama seperti tahun lepas.

Majoriti pelajar saya pada tahun ini mempunyai masalah lembam ( slow learner ) dan terdapat juga seorang pelajar yang mengalami masalah kekerdilan dan spina bifida dan seorang lagi mengalami masalah autisma yang agak ringan. Namun rata - ratanya comel dan ceria selalu. Kehadiran mereka di hari pendaftaran benar - benar mengubat duka hati ini setelah hampir 2 bulan bertarung dengan perasaan. Mereka hadir menyerikan semula kesepian saya.

Berita gembira yang membanggakan bagi warga PPKI SMK Kapit ialah kejayaan seorang pelajar Pendidikan Khas iaitu Zulkifli Bin Sadun mendapat A bagi matapelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu ( Pertanian ) dalam Peperiksaan Menengah Rendah ( PMR ). Walaupun hanya keputusan yang pada fikiran ramai mungkin hanya biasa - biasa tetapi pada kami itu satu kejayaan yang cukup membanggakan.

Senarai pelajar baru yang mendaftar bagi sesi persekolahan tahun 2010 PPKI SMK Kapit adalah :

1.    Dalan Ak Suring ( Ketua Kelas )
2.    Jackson Jelani Ak Bendingdang
3.    Mariana Ak Jantom ( Penolong Ketua Kelas )
4.    Noria Ak Jensen
5.    Sandra Sura Ak Lutau
6.    Sharina Ak Merom
7.    Siti Fatimah Bt Bakery
8.    Sofi Bin Sadun
9.    Syirain Bt Saufi
10.  Victoria Dubau Ak Simon Jelai

Namun demikian berita duka tetap juga mengisi kehidupan kami di PPKI SMK Kapit apabila kelas tingkatan 4 Khas yang dijangka dibuka pada tahun 2010 tidak diluluskan pembukaannnya oleh KPM. Kami menerima berita itu dengan hati yang terbuka walaupun pihak sekolah telah membelanjakan peruntukan yang banayak bagi urusan pengubahsuaian kelas berkenaan. Namun hati sedikit terubat kerana kelas berkenaan digunakan oleh kelas tingkatan 5s1. Pada hemat saya ini adalah pengorbanan warga PPKI untuk teman - teman di aliran perdana. Mereka tidak mengerti semua ini...tetapi pada saya mereka terlalu tulus untuk merasakan apa itu keselesaan...IA TERASA TETAPI TIDAK TERLIHAT

Tuesday, December 15, 2009

Kenangan Di SMK Selirik

Akhirnya semalam saya menamatkan tugas saya sebagai penyawas peperiksaan SPM 2009 di SMK Selirik Kapit. Ia pengalaman yang penuh dengan warna - warna yang sukar dilupakan. Teman - teman pengawas yang lain semoga kita berjumpa lagi di suatu masa yang lain. Buat pelajar jagaan saya semoga peroleh keputusan yang membina untuk sebuah masa depan yang akan datang.

Sebulan lebih bersendirian di Kapit ini banyak mengajar saya untuk merasa sayang pada sebuah tugas seorang guru. Ia mematangkan saya untuk sebuah sayang yang hilang di telan hijau daerah pedalaman ini.


Ketua pengawas pusat SP007 SMK Selirik ( A ) Encik Jawi Kulleh ( kiri ) dan pembantunya Encik Charles


Dari kiri Puan Darfrina, Encik Charles, Hafez J.Malim dan Encik Jawi Kulleh


Kertas akhir yang diawasi.. tulisan hodoh...hehehe


dalam debar sebuah perjuangan - semoga berjaya



Monday, December 14, 2009

Melepas Rasa

Kebelakangan ini fikiran, minda, akal, budi dan perasaan saya agak terlalu tertekan. Sukar bagi saya mengambarkan kejadian diri saya begini. Rasa penyesalan pada diri terlalu menekan sehingga saya sukar menerima kehilangan sesuatu yang paling berharga dalam hidup saya.

Ianya membuatkan saya mula mentafsir setiap kesalahan dan kekhilafan saya terhadap dia. Kini persoalan hatinya sudah terjawab...dia memerlukan masa dan saya sudah terlalu merasa kehilangannya walaupun sebentar. Dia gadis yang membuatkan saya berfikir untuk berubah....benar saya perlu berubah demi cintanya.

Akhirnya fikiran saya sukar ditenangkan dengan mudah. Mungkin mengambil masa yang lama namun harapan saya masih menggunung padanya. Setiap kenangan yang terbina di kejauhan masa yang lalu saya simpan kukuh di dalam kotak hati ini... InsyaAllah di suatu hari yang jauh nanti saya akan membuka kotak kenangan ini bersamanya....bersama dia yang saya cintai... gadis itu.

Bila petang - petang kuning di daerah pedalaman ini sering saya mencari tenang di tepi terminal penumpang Kapit. Saya mengenang kembali rasa sayang dia kepada saya dan benar dia gadis terbaik dalam hidup saya. Semoga dia kembali di suatu hari yang tenang nanti.... DIA TERLALU INDAH DI HARI SILAM SAYA.


Terminal Penumpang Kapit tempat saya mencari tenang


Barisan bot ekpres di Sungai Rajang


Terminal Penumpang Kapit dari arah belakang


SELAMAT DATANG KE KAPIT


Hati tenang di sini

Friday, December 4, 2009

KESEDARAN

( Untuk Mata Hatiku Yang Hampir Mati )

Dalam duka kasih
harus rasa kita tersenyum
kerana Tuhan memilih kita
untuk kuat dalam derita
yang zalim pedih memekat
di hati yang merah sakit....

Hidup ini untuk dinikmati sifatnya
bukannya untuk ditangis hiba
merenyuk jiwa pada kolam perasaan
hingga kita terlupa
kasih Tuhan
terlalu luas sifatnya
dan kasih sayang Tuhan
memberikan kita hidup....TANPA SYARAT !

Benarlah kata pujangga
hidup ini terlalu indah
untuk disia - siakan....


AKU KEMBALI MENJADI MANUSIA !!!




Dikirim ke esastera pada 4 Disember 2009